Author: Admin

  • Pembukaan semua sekolah pada September sangat berisiko – EMIR Research

    Pembukaan semua sekolah pada September sangat berisiko – EMIR Research

    KANAK-KANAK mungkin terdedah kepada risiko lebih besar dengan pembukaan semula sekolah yang dijadualkan pada September ini, berikutan kemunculan varian Delta wabak COVID-19 yang mudah menular, demikian menurut badan pemikir bebas EMIR Research.

    Ketua Sains dan Teknologi EMIR Research Ahmad Ameen Mohd Kamal berkata kumpulan pemikir itu sebelum ini telah mencadangkan bahawa petunjuk paling minimum untuk pembukaan semula sekolah adalah apabila semua penduduk dewasa telah divaksinasi, yang disasarkan menjelang Oktober.

    “Bagaimanapun, cadangan ini berdasarkan kepada andaian sebelum ini iaitu kumpulan usia yang lebih muda lebih cenderung untuk tidak menunjukkan gejala teruk, dan mereka yang sudah lengkap divaksin kebanyakan masanya akan dilindungi.

    “Namun, kemunculan varian baharu seperti Delta dan kes baru-baru ini membuktikan bahawa ia bukan masalahnya dan kita meletakkan kanak-kanak (dan dewasa terdedah kepada) risiko lebih besar melalui pembukaan sekolah ini,” katanya dalam artikel kajian badan itu bertajuk ‘Very Risky to Reopen Schools in September’.

    Ahmad Ameen berkata golongan berusia bawah 18 tahun, iaitu hampir 30 peratus penduduk Malaysia, adalah kumpulan terbesar tanpa perlindungan.

    “Cepat atau lambat, mereka harus dilindungi daripada virus, sama ada menerusi vaksinasi atau imuniti semula jadi. Bagaimanapun, terlalu awal untuk mempertaruhkan nasib mereka,” katanya.

    Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia pada November 2020, Ahmad Ameen berkata Lembah Klang mempunyai jumlah kanak-kanak bawah 18 tahun paling ramai iaitu 24.4 peratus.

    Beliau berkata Sabah dan Johor mempunyai peratusan penduduk yang lengkap vaksinasi paling rendah setakat 11 Ogos iaitu masing-masing dengan 13.2 peratus dan 16.8 peratus, namun mempunyai penduduk bawah 18 tahun yang kedua dan ketiga tertinggi iaitu masing-masing 12.4 peratus dan 11.6 peratus.

    “Berikutan varian yang sangat mudah menular yang menghindari kekebalan tubuh, menyebabkan jangkitan ke atas individu yang telah lengkap divaksin dan imuniti mukosa yang tidak mencukupi yang mencabar konsep tradisional imuniti kelompok, sasaran penduduk dewasa lengkap divaksin menjelang Oktober juga mungkin tidak mencukupi untuk melindungi dewasa dan kanak-kanak – apatah lagi pada awal September?

    “Persoalannya kini adalah antara risiko kesan sampingan vaksin berbanding risiko jangkitan dan gejala lebih teruk daripada varian baharu SARS-CoV-2. Difahamkan, banyak ibu bapa tidak bersedia mengambil kesempatan menerusi imuniti semula jadi memandangkan potensi risikonya,” katanya.

    Beliau berkata ada ibu bapa yang mahu anak mereka divaksin terlebih dahulu, manakala mereka yang risau dengan jangkitan virus dan kesan sampingan vaksin mungkin memilih untuk mengelakkan anak-anak ke sekolah sehingga mendapat maklumat lanjut dan penyelesaian yang lebih selamat.

    “Tambahan pula, cuti sekolah akan bermula pada November. Mengapa mengambil risiko pada September dan Oktober? Justeru, waktu paling cepat untuk pembukaan semula sekolah mungkin awal tahun hadapan,” katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Ameen berkata walaupun didapati golongan muda kurang mendapat gejala lebih teruk oleh jangkitan Delta atau varian lain, kes-kes jangkitan mungkin meningkat apabila sekolah dibuka semula.- BERNAMA

  • Vaksinasi lengkap bantu lima negeri kurangkan kemasukan kategori 3 hingga 5 ke hospital

    Vaksinasi lengkap bantu lima negeri kurangkan kemasukan kategori 3 hingga 5 ke hospital

    SUNTIKAN dos lengkap vaksin COVID-19 yang meningkat dalam kalangan populasi dewasa di lima negeri berjaya membantu menurunkan kes kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital di negeri terbabit.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata suntikan dos lengkap itu juga telah mengurangkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi ketiga-tiga kategori di semua negeri terlibat iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    “Kita mendapati apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 dalam kalangan populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Labuan mencapai 63.4 peratus, Sarawak (55.7 peratus), Negeri Sembilan (40.1 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus), terdapat penurunan bagi kemasukan kes kategori tiga hingga lima ke hospital dan ICU.

    “Negeri-Negeri lain pula belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan liputan dos lengkap masih kurang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa COVID-19 di sini hari ini.

    Beliau berkata trend penurunan itu turut dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

    “Selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, kita dapati pada minggu ke-30, kes kemasukan kategori empat dan lima ke hospital semakin menurun dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

    “Selain itu, kita lihat kes kemasukan individu berusia antara 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi berjaya menurunkan kes ke hospital dan penggunaan katil-katil di ICU,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata simptom keparahan dialami mereka yang dijangkiti juga rendah apabila hanya tiga kes daripada petugas kesihatan yang dijangkiti virus itu berada dalam kategori lima iaitu dua daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih dirawat di ICU serta diberi bantuan pernafasan.

    Beliau turut memaklumkan bahawa daripada sejumlah 21,468 jangkitan baharu COVID-19 yang dilapor hari ini, hanya 2,703 kes atau 12.6 peratus telah lengkap divaksinasi.

    Katanya kes aktif pula ialah 241,187 manakala seramai 1,075 pesakit kini dirawat di ICU dengan 537 orang memerlukan bantuan pernafasan. Kes sembuh yang dilaporkan hari ini ialah 17,025.

    Sejumlah 277 kematian dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kematian negara kini 11,968 orang, katanya sambil menambah terdapat 41 kluster baharu direkodkan, menjadikan kluster aktif kini berjumlah 1,293.

    Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (RT) di Malaysia kini 1.05 dengan Perlis mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah dan Kelantan (masing-masing 1.20) serta Sarawak dan Pulau Pinang (1.17).- BERNAMA

  • Gangguan bekalan air sekitar Kuala Nerus, Kuala Terengganu pulih sepenuhnya esok

    Gangguan bekalan air sekitar Kuala Nerus, Kuala Terengganu pulih sepenuhnya esok

    GANGGUAN bekalan air melibatkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang berlaku sejak 12 hari lepas dijangka pulih sepenuhnya esok.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Pengerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), berkata bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna mulai 12 tengah hari tadi.

    “Alhamdulillah, hari ini kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual asal kerja-kerja pembaikan paip pecah Tangki Utama Berangan di dasar Sungai Terengganu,” katanya dalam sidang media di Tangki Air Bukit Berangan di sini hari ini.

    Masalah gangguan bekalan air itu, yang bermula pada 2 Ogos lepas, adalah berpunca daripada insiden paip bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

    Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri pada Rabu lepas telah membentuk sebuah jawatankuasa siasatan berhubung insiden itu dan akan mengemukakan cadangan dalam tempoh sebulan supaya perkara sama tidak berulang.

    Katanya jawatankuasa itu diketuai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan dianggotai pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

    Mengulas aktiviti mengorek pasir yang dijalankan berhampiran kawasan paip tersebut, beliau berkata aktiviti itu telah diarah dihentikan sehingga siasatan selesai.

    Ahmad Samsuri juga berkata bagi memastikan kejadian sama tidak berulang termasuk di kawasan lain, SATU akan menjalin kerjasama dengan pihak berwajib bagi membuat penandaan untuk memudahkan pengesanan kewujudan jajaran paip di dasar sungai atau laut.

    “Untuk makluman, selain paip ke Tangki Air Berangan di Sungai Terengganu ini, terdapat 10 lagi jajaran paip yang dibina di dasar sungai atau laut seluruh negeri antaranya paip ke Pulau Redang di Setiu sepanjang 27 kilometer (km), paip ke Pulau Perhentian di Besut sepanjang 17km dan paip ke kawasan pusat bandar (Kuala Terengganu) di Kuala Ibai sepanjang 0.17km,” katanya.- BERNAMA

  • Prestasi ekonomi Malaysia semakin baik tingkatkan keyakinan pelabur

    Prestasi ekonomi Malaysia semakin baik tingkatkan keyakinan pelabur

    PRESTASI ekonomi Malaysia yang semakin baik akan melonjakkan keyakinan pelabur dan sekali gus menggambarkan petunjuk bahawa negara ini bergerak ke arah yang betul, kata ahli ekonomi.

    Profesor Madya Putra Business School, Abu Sofian Yaacob berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan isyarat positif kepada bakal pelabur bahawa negara ini masih bertahan di tengah-tengah peningkatan kes jangkitan Covid-19.

    “Walaupun pada ketika ini Malaysia masih berhadapan dengan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi, kita telah membuktikan kita berjaya menaikkan KDNK berserta dengan keyakinan bahawa kadar vaksinasi berjalan lancar ke arah imuniti kelompok,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 16.1 peratus pada suku kedua 2021, disokong terutamanya oleh peningkatan permintaan dalam negeri dan prestasi eksport yang berterusan.

    Abu Sofian berkata, untuk ekonomi meneruskan pencapaian positifnya, kerajaan perlu menguatkuasakan langkah-langkah yang lebih ketat bagi memastikan sektor ekonomi terus beroperasi dengan risiko minimum terhadap jangkitan Covid-19.

    Beliau menambah, terdapat juga keperluan untuk membuka kembali lebih banyak sektor ekonomi secepat mungkin untuk meningkatkan kehidupan masyarakat terutama yang terlibat dalam perniagaan ekonomi mikro.

    “Dengan membenarkan peniaga membuka kembali perniagaan, mereka boleh mendapat pendapatan yang lebih stabil dan tidak sepenuhnya bergantung pada pemberian kerajaan,” tambahnya.

    Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat bahawa ekonomi masih lemah dan lanjutan kawalan pergerakan akan terus mempengaruhi kegiatan ekonomi.

    “Walaupun KDNK suku kedua 2021 naik lebih tinggi, ini hanya disebabkan oleh kesan asas yang rendah. Sekiranya kita bandingkan dengan paras KDNK suku kedua 2019, ekonomi masih menguncup sebanyak 3.9 peratus,” jelas beliau.

    Bank pusat juga menyemak semula sasaran pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2021 kepada antara tiga dan empat peratus, lebih rendah daripada unjuran awal antara enam dan tujuh peratus.

    Mohd Afzanizam menyatakan semakan KDNK itu perlu berdasarkan ketidakpastian yang meningkat terhadap kadar kecepatan pembukaan semula ekonomi.

    “Pada julat unjuran tiga hingga empat peratus, ini jelas menunjukkan bahawa bank pusat dan kerajaan agak berhati-hati terhadap risiko penurunan. Itu bermakna pendirian ke atas dasar monetari dan fiskal dijangka kekal meluas dalam usaha memudahkan proses pemulihan,” kata beliau.

    Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, syarat untuk pemulihan ekonomi yang berterusan adalah kepantasan dalam pembukaan semula ekonomi.

    “Ini sangat bergantung kepada program vaksinasi yang kini berjalan dengan baik.

    “Walaupun keseimbangan risiko lebih menjuruskan kepada menurun, sokongan dasar yang cukup besar seharusnya dapat memberikan dorongan yang diperlukan sebaik sahaja negara ini mencapai imuniti kelompok dalam waktu terdekat,” tambah beliau. – Bernama


  • Covid: Sabah terus kuat kuasa sekatan perjalanan rentas daerah

    Covid: Sabah terus kuat kuasa sekatan perjalanan rentas daerah

    SABAH akan terus menguatkuasakan sekatan perjalanan rentas daerah susulan terdapat peningkatan membimbangkan dalam jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setiap hari di negeri itu sejak beberapa minggu lepas.

    Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata meskipun terdapat usaha oleh pihak berkuasa seperti mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti yang terjejas, jumlah itu terus meningkat.

    “Oleh itu, sekatan jalan raya akan terus dipergiat kerana perjalanan rentas daerah masih tidak dibenarkan. Rakyat perlu mematuhi SOP ini dengan ketat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelonggaran beberapa SOP di negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk membenarkan perjalanan rentas daerah bagi mereka yang lengkap divaksinasi.

    SOP Fasa Dua PPN Sabah telah dikemas kini pada 12 Ogos namun menyatakan bahawa sekatan perjalanan rentas daerah masih berkuat kuasa kecuali bagi kes-kes kecemasan, kerja (disokong oleh surat majikan), janji temu vaksinasi COVID-19 dan mereka yang berada dalam sektor perkhidmatan penting.

    SOP itu juga menyatakan bahawa kebenaran polis diperlukan bagi pergerakan rentas daerah bagi kes-kes kecemasan, pasangan suami isteri di daerah berbeza dan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

    Dalam hal ini, Hajiji berkata antara langkah bagi memerangi COVID-19 ialah dengan mendapatkan sebanyak mungkin vaksin selain memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

    “Kami menggesa semua pihak agar tidak mengadakan perhimpunan yang akan membabitkan ramai orang buat masa ini. Kami mahu orang ramai menjadi lebih berdisiplin. Hanya dengan cara ini kita boleh melandaikan keluk pandemik,” katanya.

    Beliau berkata Sabah akan memperoleh sejumlah 200,000 dos vaksin CanSino minggu depan susulan jaminan yang diberikan oleh menteri yang bertanggungjawab bagi Program Imunisasi COVID-10 Kebangsaan Khairy Jamaluddin bahawa negeri itu akan diberi keutamaan dalam pengagihan bekalan CanSino.

    Ketibaan vaksin dos tunggal itu dijangka membantu meningkatkan jumlah vaksinasi ke arah mencapai imuniti kelompok.

    Setakat ini, lebih 1.22 juta atau 44.5 peratus penduduk Sabah yang berumur 18 tahun ke atas telah menerima suntikan dos pertama vaksin.

    Terdahulu, Hajiji menyampaikan anugerah kepada 13 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan yang bertugas di barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 di Sabah pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1443H/2021M.

    Penerima anugerah itu ialah kakitangan Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah.

    Turut menerima penghargaan Majlis Keselamatan Negara Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, Jabatan Sukarelawan Malaysia Sabah dan Persatuan Wartawan Sabah.

    Masing-Masing menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000.

    “Kerajaan negeri menzahirkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang telah menjalankan tanggungjawab membantu kerajaan melaksanakan apa juga tugasan demi kebaikan serta kepentingan rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.- BERNAMA

  • Kastam gagalkan cubaan seludup produk tembakau, beras putih di Pelabuhan Barat

    Kastam gagalkan cubaan seludup produk tembakau, beras putih di Pelabuhan Barat

    JABATAN Kastam Zon Tengah (Kuala Lumpur) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah produk tembakau disyaki cerut berjenama dan beras putih menggunakan kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, 5 Ogos lepas.

    Penolong Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata barangan dagangan dalam kontena bersaiz enam meter berkenaan dianggarkan bernilai RM101,175 dengan melibatkan cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM2.6 juta.

    Beliau berkata barangan dagangan itu dipercayai tidak berkastam dengan produk tembakau serta beras putih itu masing-masing memerlukan permit import daripada Ketua Pengarah Kastam dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras untuk mengimportnya.

    “Berdasarkan maklumat di dalam bil muatan, dagangan berkenaan diikrarkan sebagai ‘general merchandise’ dari negara jiran dan wakil perkapalan telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan itu.

    “Pemeriksaan fizikal telah dibuat dan mendapati dagangan yang ditemukan adalah berbeza seperti yang dinyatakan iaitu produk tembakau yang disyaki cerut dan beras putih yang dipercayai tidak berkastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zazuli berkata pihaknya sedang mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya manakala wakil syarikat perkapalan telah hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, katanya.- BERNAMA

  • KPDNHEP sita 232 termometer tiruan bernilai RM25,270

    KPDNHEP sita 232 termometer tiruan bernilai RM25,270

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 232 unit termometer tiruan bernilai RM25,270 dalam serbuan di Klang, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil berkata serbuan pada 5 dan 11 Ogos lepas itu dibuat susulan maklumat serta aduan daripada wakil pemilik cap dagang barang berkenaan selepas mendapati produk yang disyaki tiruan itu dijual secara dalam talian.

    “Modus operandi adalah dengan mengiklankan termometer menggunakan jenama popular dengan harga lebih murah daripada harga pasaran bagi menarik perhatian pembeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata keterangan telah diambil daripada dua lelaki tempatan yang mengaku sebagai pemilik kediaman dan gudang yang menyimpan termometer terbabit.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.- BERNAMA

  • TPM, UMNO Johor adakan pertemuan

    TPM, UMNO Johor adakan pertemuan

    Oleh Rahimi Mohamad

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada sebelah pagi menyambung kunjungan beliau ke negeri itu dengan pertemuan bersama-sama UMNO Johor.

    Bagaimanapun, pertemuan tertutup itu hanya melibatkan Biro Politik UMNO negeri yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana pada sebelah petang.

    Kenderaan yang membawa Naib Presiden UMNO dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi berkenaan pada pukul 2.15 petang sebelum meninggalkan kawasan itu hampir pukul 4 petang.

    Setakat ini, tidak dapat dipastikan tujuan mesyuarat tersebut diadakan memandangkan media yang berada di pintu masuk utama tidak dibenarkan masuk selain Ismail Sabri juga terus meninggalkan kediaman itu sejurus selepas pertemuan.

    Selain Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor, turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad.

    Sebelum mesyuarat tersebut, Ismail Sabri menghadap Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi di sini sehari selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

    Pertemuan tersebut difahamkan adalah pertemuan pertama Timbalan Perdana Menteri yang baharu itu setelah menjawat jawatan tersebut, baru-baru ini.

  • Cuti anggota, pegawai polis dibekukan

    Cuti anggota, pegawai polis dibekukan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    CUTI semua anggota dan pegawai polis dibekukan berkuat kuasa semalam hingga diberitahu kelak.

    Menurut Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass, pembekuan cuti itu bagi memastikan setiap anggota dan pegawai bersiap siaga untuk digerakkan bagi operasi kawalan dan pemantauan pada bila-bila masa.

    Beliau dalam masa menafikan arahan pembekuan cuti berkenaan ada kaitan dengan senario politik semasa.

    “Ya saya sahkan semua polis dibekukan cuti. Tujuannya bagi melancarkan dan memudahkan sistem penugasan,” katanya.

    Zaini dalam laporan Berita Harian mengenai perkara ini juga menafikan bahawa berkenaan ada kaitan dengan kemungkinan diadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat.

    Terdahulu, satu surat pekeliling bertarikh semalam tular di media sosial memetik Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengeluarkan arahan cuti dalam negeri, luar negara serta pergerakan luar daerah bagi semua pegawai kanan serta rendah polis dibekukan berkuat kuasa mengikut tarikh surat itu dikeluarkan.

  • Penyeludup tinggalkan haiwan eksotik bernilai RM65,000

    Penyeludup tinggalkan haiwan eksotik bernilai RM65,000

    Oleh Mohd Lazim Endut

    GARA-GARA terserempak dengan pihak berkuasa, sekumpulan lelaki disyaki penyeludup bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan meninggalkan pelbagai burung eksotik bernilai RM65,000 di pangkalan haram Sota, Jeram Perdah, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Nor Azizan Yusof, kejadian berlaku pukul pukul 7.30 malam ketika anggotanya membuat rondaan di lokasi berkenaan lalu terserempak sekumpulan lelaki sedang mengangkat kotak dan bakul dalam keadaan mencurigakan.

    Menurut beliau, anggotanya kemudian mendekati kumpulan tersebut, namun mereka bertindak melarikan diri dengan menggunakan perahu merentasi Sungai Golok ke Thailand.

    Beliau berkata, setelah anggotanya memeriksa kotak dan bakul tersebut mendapati seekor burung kakak tua bernilai RM35,000, empat ayam laga bernilai RM20,000 dan 10 anak burung Sun Corner dengan harga RM10,000.

    “Kesemua haiwan berkenaan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

    “Haiwan eksotik itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Nor Azizan memberitahu, burung dan ayam laga berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran di sekitar Kelantan yang mempunyai peminat tersendiri.

    Menurut beliau, penyeludup menjalankan aktiviti ketika waktu Maghrib kerana menganggap kawalan pihak berkuasa berkurangan pada masa berkenaan selain menjadikan pangkalan haram yang sunyi agar kegiatan mereka tidak dapat dikesan.

    Bagaimanapun katanya, di atas kepekaan anggota bertugas aktiviti penyeludupan dapat dikekang di mana kawalan terus diperketatkan dari semasa ke semasa.

    “Hasrat kita adalah untuk memastikan supayaa tiada pembolosan sempadan berlaku,” ujarnya.