Author: Admin

  • Ahli Parlimen PN tidak lagi bertanding dalam PRN di Kedah

    Ahli Parlimen PN tidak lagi bertanding dalam PRN di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) di Kedah yang menjadi Ahli Parlimen setelah menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi. 

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selain kedua-dua individu berkenaan, terdapat juga ADUN-ADUN lain dalam PN yang menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding dalam PRN kali ini. 

    “ADUN Pas pun ada, ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun ada (tak mahu bertanding dalam PRN kali ini). Orang Pas ini tawaduk, tak boleh tawarkan diri dan kalau tak dipilih, maka tak datanglah beban. 

    “ADUN PN yang dah jadi Ahli Parlimen pun dah nyatakan hasrat tak mahu bertanding, berilah kepada orang lain pula untuk jadi calon,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini. 

    Ketika ini terdapat dua ADUN Kedah dari PN yang turut bergelar Ahli Parlimen iaitu Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Ahli Parlimen Kubang Pasu) dan Datuk Azman Nasrudin (Ahli Parlimen Padang Serai).

    Ku Ismail yang merupakan ADUN Guar Chempedak memegang jawatan exco sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pengajian Tinggi negeri manakala Azman pula yang merupakan ADUN Lunas, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri

    Muhammad Sanusi menambah, dalam Pas, keputusan untuk menjadi calon tidak terletak pada batang tubuh mana-mana individu.

    “Kalau parti kata ‘kamu bertanding’, maka kena bertandinglah. Etika kami begitu kerana apabila diputuskan jemaah, maka jadi kewajipan untuk mereka pikul amanah tersebut.  Hal itu termasuklah mereka yang kata tak mahu bertanding. Ada kemungkinan parti arahkan dan kalau dah diputuskan begitu, maka jadi satu kewajipan buat individu berkenaan,” katanya. 

    Menurutnya, senarai nama calon akan ditapis oleh Majlis Syura dari ‘bank’ calon yang ada di setiap DUN. 

    “Satu DUN mungkin ada tiga atau empat nama. Maka Majlis Syura akan putuskan siapa yang layak untuk diketengahkan,” katanya. 

  • Malaysia di ambang kegawatan ekonomi tetapi kerajaan masih selamba

    Malaysia di ambang kegawatan ekonomi tetapi kerajaan masih selamba

    Oleh  DR MOHD ZUHDI MARSUKI

    SEMEMANGNYA situasi seperti ini, iaitu negara kita sedang berhadapan dengan kegawatan ekonomi, merupakan berita gembira kepada parti pembangkang. Dalam berhadapan dengan PRN enam negeri yang bakal berlangsung pada akhir Julai atau awal Ogos, kemuraman ekonomi negara pasti menjadi hambatan kepada gabungan PH-BN untuk menang.

    Bagaimanapun, diyakini PN tidak ‘menangguk di air keruh’, mengeksploitasi situasi ini secara murahan hanya untuk mencapai kemenangan.

    Petunjuk-petunjuk ekonomi global dan lokal menunjukkan Malaysia bakal berhadapan dengan kegawatan ekonomi menjelang pembentangan Bajet 2024 pada bulan Oktober, sekiranya langkah-langkah proaktif dan progresif tidak dilakukan oleh Kerajaan Campuran PH-BN. 

    Namun demikian, Perdana Menteri khususnya masih bersikap ‘selamba’, seolah-olah signal yang ada tidak membawa apa-apa amaran. Beliau terus membuat ‘roadshow’ untuk tujuan menaikkan populariti dan mencipta persepsi. 

    Mutakhir ini, beberapa negara telah masuk kancah kegawatan ekonomi kesan daripada situasi ekonomi pasca-Covid-19 dan Perang Russia-Ukraine. Yang terbaru masuk ke kancah kegawatan ekonomi (technical recession) ialah New Zealand, antara negara yang dikatakan paling berjaya membendung pandemik Covid-19. Antara penyebab utama negara tersebut menghadapi situasi ini ialah tindakan berterusan bank pusat menaikkan kadar faedah sebagai ikhtiar untuk mengekang inflasi.

    Demikian juga dengan negara-negara Eropah atau dikenali Eurozone, juga sudah memasuki kancah kegawatan ekonomi teknikal setelah perkembangan ekonomi mereka menguncup pada suku pertama tahun ini. 

    Faktor utama yang menyebabkan mereka mengalami kegawatan ialah kenaikan inflasi, yang merupakan kesan langsung daripada Perang Russia-Ukraine. Sebagaimana pengaruh ekonomi US dan China, kegawatan yang dialami oleh Eurozone juga boleh mempengaruhi ekonomi global.

    Negara jiran Malaysia, Singapura, sedang memantau dengan begitu berhati-hati kemungkinan negara tersebut pun bakal memasuki kancah kegawatan ekonomi. Baru-baru ini, eksport negara tersebut telah jatuh 14.7 peratus yang menjadi antara petunjuk penting, negara tersebut sedang berhadapan dengan risiko memasuki kancah kegawatan ekonomi. 

    Oleh yang demikian, kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi berskala global pada separuh kedua tahun 2023 ini, bukanlah sesuatu yang mustahil.

    Bagaimanapun, di dalam berhadapan dengan kemuraman ekonomi global ini, Kerajaan Campuran PH-BN khususnya Perdana Menteri masih bersikap selamba. Boleh jadi, perkembangan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini pada kadar 5.6 peratus menyebabkan kerajaan berasa selesa.

    Demikian juga, dilaporkan oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, pelaburan masuk ke Malaysia bagi suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 59.7 peratus berbanding suku pertama tahun 2022 yang lalu.

    Sehingga artikel ini ditulis, belum ada satu pengumuman yang meyakinkan apatah lagi langkah-langkah yang berkesan diambil oleh kerajaan untuk berhadapan dengan kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi. 

    Perdana Menteri sibuk dengan aktiviti roadshow ke seluruh negara seolah-olah seperti tidak apa-apa yang berlaku. Beliau terus cuba mengelirukan rakyat dengan naratif rasuah dan salah guna kuasa, sedangkan faktor langsung menyebabkan kegawatan ekonomi yang bakal berlaku bukanlah disebabkan itu.

    Sekiranya kerajaan dan Perdana Menteri masih dengan sikap selamba, malah terus menerus berpolitiking, tidak menghairankan jika Malaysia akan memasuki kancah kegawatan ekonomi lebih awal. Meskipun secara teknikalnya, paling awal Malaysia dijangka boleh memasuki kancah itu pada suku keempat 2023, sikap selamba Kerajaan Campuran PH-BN boleh menyebabkan rakyat merasai gejala-gejala kegawatan ekonomi lebih awal. Situasi ini memang menguntungkan pembangkang, tetapi apa maknanya jika rakyat menderita.

    *DR MOHD ZUHDI MARSUKI adalah Ahli Jawatankuasa Kerja  Pas Pusat.

    *Artikel ini dipetik daripada harakahdaily.net

  • Kedah nilai kewajaran lulus lesen pusat urut, refleksologi

    Kedah nilai kewajaran lulus lesen pusat urut, refleksologi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah hari ini memutuskan untuk menilai semula kewajaran bagi meluluskan lesen pusat urut dan refleksologi di negeri tersebut, yang dikhuatiri menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral melibatkan pelbagai peringkat usia.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, beliau menerima taklimat daripada exco berkaitan serta pihak-pihak berkuasa menerusi beberapa siri mesyuarat mengenai perkara itu.

    “Apabila ada laporan mengenai kegiatan ‘lain’ di pusat-pusat refleksologi itu, maka satu serbuan dibuat oleh agensi penguatkuasa seperti polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan imigresen. Operasi itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad.

    “Tetapi mungkin disebabkan maklumat serbuan itu bocor, jadi tak ditemui apa-apa aktiviti selain refleksologi. Namun jika pemantauan oleh PBT, polis, imigresen dan kerajaan negeri selepas ini mendapati masih berlaku kegiatan selain dilesenkan, maka lesen premis terbabit tidak akan diperbaharui.

    “Kita akan tutup pusat-pusat itu dan melihat peruntukan di undang-undang mana yang boleh digunakan untuk menghentikan lesen mereka. Perkara itu telah dimasukkan dalam keputusan mesyuarat exco hari ini,” katanyaselepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

    Beliau berkata, walaupun DUN akan dibubar dalam masa terdekat tetapi pihak berkuasa termasuk polis, imigresen serta PBT akan terus bekerja seperti biasa dan mereka akan laksanakan perkara itu.

    ”Keputusan sudah dibuat dalam mesyuarat exco, jadi pemantauan akan terus dilakukan pihak berkenaan dan kalau ada melanggar syarat, maka lesen tidak akan diperbaharui,” katanya.

    Mesyuarat hari ini dijangka menjadi yang terakhir bagi kerajaan negeri Kedah untuk penggal ini, dengan beliau sebelum ini sudah mengesahkan akan menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun depan, bagi mencadangkan agar pembubaran DUN dibuat pada 28 Jun nanti.

    Dalam pada itu Najmi berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa kegiatan tidak sihat membabitkan pusat-pusat urut dan refleksologi berkenaan, turut melibatkan pelajar sekolah serta golongan belia.

    Katanya, perkara itu merupakan antara faktor mengapa mesyuarat exco hari ini membuat keputusan untuk menimbangkan kewajaran meluluskan permohonan lesen baharu premis rumah urut dan seumpamanya.

    “Antara penilaian dibuat termasuklah berkaitan keuntungan kepada negeri dari sudut ekonomi, kesihatan dan moral. Buat masa ini, kita tak rasa ia menguntungkan negeri kerana kebanyakan pekerja di tempat-tempat seperti itu, merupakan warga asing dan pendapatan mereka mengalir ke luar negara.

    “Negeri ini pun tak bergantung kepada perkara itu, tak untung banyak mana pun. Kita nak supaya keberkatan itu ada dan biarlah lesen itu tak diluluskan pun, tak mengapa,” katanya.

  • Bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain buat lain- Sanusi

    Bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain buat lain- Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    PRINSIP demokrasi wajar dipraktikkan oleh semua pihak yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu perlu diamalkan bermula sejak hari pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga ke hari pengundian dan pembentukan kerajaan pasca PRN.

    Katanya, mana-mana parti termasuk Perikatan Nasional (PN) sendiri perlu memastikan mereka menggunakan kapasiti dan kekuatan sendiri tanpa perlu melibatkan aset kerajaan sepanjang berkempen.

    “Bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain buat lain. Jangan guna harta kerajaan untuk kempen, jangan guna dana kerajaan untuk kempen, jangan guna agensi kerajaan untuk kempen dan jangan guna jabatan kerajaan untuk kempen.

    “Saya juga telah memohon Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah untuk menggariskan perkara-perkara yang boleh dilaksanakan sepanjang menjadi kerajaan interim (selepas DUN bubar).

    “Kita turut mengarahkan semua Exco memulangkan kenderaan rasmi pada hari pembubaran kerana mahu sepanjang mereka berkempen tak guna harta kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berharap perkara sama dilakukan oleh parti-parti lain yang akan bertanding pada PRN tersebut bagi memastikan prinsip demokrasi benar-benar diamalkan.

    “Kalau ada lori yang dibeli sebagai harta kerajaan parking dahulu. Selepas itu (kalau menang) dilantik jadi Exco ambil lah semula,” tegasnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan tarikh cadangan untuk menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah masih 25 Jun seperti yang dirancang bagi memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Kedah.

    “Saya akan umum tarikh (bubar) selepas Tuanku perkenan. Ada orang umum sebelum Tuanku perkenan, tak boleh begitu. Cuma saya cadang kita menghadap 25 Jun untuk nak cadang tarikh bubar (28 Jun), kalau Tuanku perkenan saya akan umumkan,” katanya.

  • Lelaki rentung, isteri serta dua anak parah kemalangan

    Lelaki rentung, isteri serta dua anak parah kemalangan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki yang memandu kereta Proton Iswara tersepit di tempat duduknya ketika kenderaan itu terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lagi kereta di Jalan Kulim-Baling, hari ini.

    Mangsa berusia 27 tahun ditemukan rentung setelah api berjaya dipadamkan dalam kejadian pada pukul 2.20 petang tadi.

    Isterinya yang berumur 28 tahun serta dua anak mereka masing-masing berusia tiga dan empat tahun mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.

    Mereka bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang melalui jalan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah Kulim ke Baling dipercayai terbabas ke laluan bertentangan.

    “Kereta itu kemudian bertembung kereta Toyota Camry dari arah Baling ke Kulim, namun pemandunya yang berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Redzuan berkata, isteri dan anak-anak mangsa kini sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Kulim (HK).

    Sementara itu, siasatan turut mendapati pemandu kereta Toyota Camry terbabit memandu dalam keadaan lesen tamat tempoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, anggota bomba memadam kereta yang terbakar dan mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas.

  • Tunku Puan Mahkota Kedah dahului senarai penerima darjah kebesaran Kedah 

    Tunku Puan Mahkota Kedah dahului senarai penerima darjah kebesaran Kedah 

    TUNKU Puan Mahkota Kedah Che Puan Nur Julie Ariff mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-81 di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

    Che Puan Nur Julie dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (SSSK) yang membawa gelaran Dato’ Seri Diraja, lapor BERNAMA

    Sultan Sallehuddin turut berkenaan menganugerahkan Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali diikuti Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Datuk Bakar Din yang dianugerahkan Orang Besar Lapan yang membawa gelaran Dato’ Seri Setia Diraja.

    Istiadat diteruskan dengan penganugerahan Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGWK) yang membawa gelaran Dato’ Wira kepada dua penerima iaitu Pegawai Kewangan Kedah Datuk Isahak Murat dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Kedah Datuk Mansor Ismail.

    Ketua Pegawai Eksekutif LSP Sdn Bhd Datuk Vijayasundram Jeyabalan pula dianugerahkan Darjah Gemilang Wira Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGWK) (Kehormat) yang membawa gelaran Dato’ Wira.

    Dua penerima iaitu Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris dan Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Dihormati (DSPK) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan.

    Manakala Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk M.Noor Azman Taib dan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Dato’.

    Sebelas penerima pula dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’, antaranya Pengarah Tanah dan Galian Kedah Datuk Md Shuhaimie Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah Datuk Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin dan Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah.

    Turut menerima DSDK adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Zamzuri Abdul Aziz dan bekas Pegawai Daerah Padang Terap Fathullah Suhaimi Ismail.

    Penerima DSDK lain adalah Ketua Perkhidmatan Ortopedik, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Sultan Abdul Halim Dr Vijaya Kumar a/l L.Suppan, Timbalan Ketua Perkhidmatan, Jabatan Pembedahan Kardiotorasik Hospital Pulau Pinang Dr Abu Yamin Khamis, Pengerusi Persatuan Industri Keselamatan Malaysia Kedah dan Perlis Datuk Md Rosli Abd Wahab, Pengerusi Tiong Min Constructions Sdn Bhd Koay Hun Tiong dan Pengarah Kumpulan The Weststar Group Muhammad Arif Abu Bakar.

    Dua penerima pula iaitu Timbalan Pengarah 1, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Bukit Aman DCP Mohd Nasri Omar dan Panglima Wilayah Laut, Markas Wilayah Laut 3 Laksamana Pertama Ee (Yee) Tai Peng dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Dato’.

    Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan bintang kebesaran iaitu Setia Sultan Sallehuddin (SSS) (dua penerima), Setia DiRaja Kedah (SDK) (12 penerima), Ahli Mahkota Kedah (AMK) (35 penerima), Ahli Setia Pahlawan (ASP) (enam penerima) dan Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) (40 penerima).

    Seramai 99 penerima pula menerima tiga pingat kebesaran iaitu Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (PCK)  dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

    Berangkat sama ke istiadat hari ini Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

    Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

  • Selagi penternak tidak insaf, nyawa manusia terus terancam!

    Selagi penternak tidak insaf, nyawa manusia terus terancam!

    guane

    BERCAKAP mengenai haiwan peliharaan dan ternakan berkeliaran, isu ini sentiasa hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak sama ada orang ramai mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Pelbagai cara dan kaedah termasuk kompaun dikenakan ke atas penternak terbabit, namun ia seolah-olah tidak memberi sebarang kesan.

    Sejak dahulu hingga sekarang, masih terdapat para penternak yang bersikap ‘lepas tangan’ bukan setakat membiarkan haiwan ternakan mereka seperti lembu, kerbau dan kambing berkeliaran ke halaman jiran dan tidak menyediakan kandang.

    Sebaliknya ada yang sanggup memarahi jiran tetangga apabila diadukan mengenai haiwan mereka yang menceroboh halaman atau memakan tanaman di kebun.

    “Kalau tinggal di kawasan kampung tidak pelihara lembu, bodoh lah namanya…” Lembu-lembu ni mana ada akal, kalau tidak mahu haiwan ni masuk makan tanaman, buatlah pagar kukuh sikit”.

    Inilah antara dua dialog yang pernah masyarakat kampung ceritakan kepada penulis mengenai gelagat penternak haiwan apabila dimaklumkan lembu mereka memakan tanaman serta membuang najis di halaman jiran.

    “Sudahlah lembu peliharaanya ceroboh dalam pagar kita, tetapi kita pulak yang kena marah”, cerita Pak Su Mail seorang penduduk yang tinggal di Kampung Pulau Kerengga, Marang.

    Apa yang membimbangkan, akibat sikap tidak bertanggungjawab penternak haiwan peliharaan ini, kes-kes kemalangan jalan raya juga dilaporkan semakin meningkat. Ada di antara kemalangan yang dilaporkan itu turut meragut nyawa sehingga memaksa kerajaan negeri dan PBT melakukan penguatkuasaan secara berkala. Namun, ia tetap seperti tidak diendahkan oleh para penternak terbabit.

    Apa menarik perhatian penulis, pada minggu lalu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) turut memberikan peringatan ini menerusi khutbah Jumaat bertajuk ‘Hak dan Tanggungjawab Penjagaan Haiwan”.

    Menerusi khutbah tersebut khatib antaranya menyatakan melihat peranan haiwan yang hebat kepada manusia, maka aspek hak dan kebajikan haiwan harus dilihat dan diberikan perhatian.

    Antara hak dan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan haiwan ialah tidak membiarkannya berkeliaran, buang najis merata-rata, merosakkan tanaman dan harta benda orang lain, terutama jiran tetangga.

    Ini kerana, ia boleh membawa kepada salah faham, pertikaian dan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.Oleh itu manusia diseru agar sentiasa menginsafi bahawa Allah SWT menciptakan manusia sebagai khalifah adalah untuk mengurus alam ini termasuk menjaga hak haiwan dengan penuh ihsan, rahmah dan amanah.

    Penganiayaan dan pengabaian haiwan adalah menjadi kesalahan disisi undang-undang. Kita juga perlu menjaga kebajikan haiwan peliharaan dan ternakan dengan sebaiknya.

    Jangan membiarkan haiwan peliharaan menjadi punca kesusahan dan kemudaratan kepada pihak lain. Apa yang dikesalkan peringatan melalui khutbah Jumaat juga seakan tidak diendahkan oleh penternak kerana mereka masih membiarkan ternakan berkeliaran di merata tempat bukan sahaja menceroboh ke halamam rumah jiran tetapi juga tidur ditepi jalan-jalan raya.

    Di Tembila Besut, enam orang yang menaiki sebuah kenderan dilaporkan hampir kehilangan nyawa apabila kereta Exora dinaiki terbabas ke dalam paya sewaktu mengelak seekor lembu melintas jalan pada pagi semalam (Sabtu).

    Ekoran kejadian berkenaan, ada netizen secara berseloroh menularkan kempen berbunyi “Kempen Selamatkan Pengguna Jalan Raya: Lembu di jalanan hak awam, sila ambil jika terjumpa”.

    Persoalannya, sampai bilakah masalah haiwan berkeliaran ini akan dapat diselesaikan? Selagi para penternak terbabit tidak insaf, maka nyawa manusia juga terus terancam.

    Justeru, sudah sampai masanya kerajaan khususnya PBT perlu bertindak tegas termasuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas para penternak yang ingkar dan tidak bertanggungjawab ini.

  • PRN : Pembahagian kerusi PN Kedah selesai – Sanusi

    PRN : Pembahagian kerusi PN Kedah selesai – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pembahagian kerusi melibatkan Perikatan Nasional (PN) di Kedah sudah pun selesai dengan pengagihannya dibuat bersandarkan kekuatan setiap parti dalam gabungan tersebut.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu bagaimanapun belum boleh didedahkan kerana belum sampai masanya.

    “Pengagihan selesai dengan aman tetapi tak boleh umum. Kena embargo dulu dan bila tiba hari penamaan calon nanti, semua orang tahulah. Pembahagiannya seimbang dibuat bersandarkan kekuatan, keupayaan, kesanggupan dan status quo masing-masing,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Khemah, Meja dan Kerusi Kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) Di Bawah Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Sementara itu Muhammad Sanusi menjelaskan, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan projek kuari batu kapur di Gunung Pulai dan Gunung Baling seperti didesak beberapa pihak sebelum ini kerana kelulusan berkaitan perkara itu telah diberikan kepada syarikat terlibat oleh pentadbiran sebelum ini.

    Menurutnya, perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia tidak hanya melibatkan aspek perundangan malah implikasi kewangan.

    “Perkara itu sedang diuruskan dan ia bukan kelulusan baharu tetapi dari tahun 1997 lagi. Saya masih ingat, kes dekat Singkir, hendak batalkan projek kuari kena bayar RM40 juta..kerajaan negeri mana ada duit banyak hendak bayar, sebab itu ia ambil masa untuk selesaikan isu ini.

    “Tetapi, kerajaan negeri telah ambil pelbagai langkah antaranya pencegahan banjir dan sebagainya,” katanya.

    Pada Isnin lalu, lebih 1,000 penduduk yang tinggal berdekatan Gunung Pulai dan Gunung Baling mendesak agar kerajaan membatalkan projek kuari di kawasan tersebut kerana didakwa akan memberi impak terhadap pelbagai aspek termasuk ekonomi dan sosial sekiranya ia diteruskan.

  • MB menghadap Sultan 25 Jun, cadang DUN Kedah dibubar 28 Jun 

    MB menghadap Sultan 25 Jun, cadang DUN Kedah dibubar 28 Jun 

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun depan bagi menyembah maklum cadangan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini dibubarkan pada 28 Jun depan. 

    Menurut Muhammad Sanusi, pemilihan tarikh itu dibuat bersempena hari Wukuf di Arafah yang membawa maksud ‘berhenti’, serta merupakan salah satu rukun haji terpenting buat umat Islam. 

    Begitu pun katanya, pembubaran DUN negeri ini pada tarikh tersebut masih tertakluk kepada perkenan Sultan Kedah. 

    “Saya kena dapat perkenan Tuanku dulu dan saya akan menghadap baginda pada 25 Jun nanti. Saya cadang persembahkan kepada Tuanku cadangan pembubaran pada 28 Jun sempena hari Wukuf yang bermaksud berhenti.

    “Itu cadangan saja, kalau Tuanku perkenan baharu saya akan umum secara rasmi. Kalau Tuanku tak perkenan kita boleh lanjut tarikh itu sampai tarikh matang DUN Kedah pada 4 Julai dan segalanya terserah kepada Tuanku.

    “Tindakan lanjut selepas pembubaran berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Khemah, Meja dan Kerusi Kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) Di Bawah Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Ditanya dakwaan ditimbulkan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kononnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan kembali menjadi Menteri Besar selepas PRN berlangsung, Muhammad Sanusi berkata Mukhriz sendiri telah menafikan perkara itu di laman media sosialnya.

    “Mukhriz sudah buat status tak akan kembali (jadi Menteri Besar). Nak jadi Menteri Besar kena menang pilihan raya dulu. Kalau jadi calon awal tetapi tak menang, bukan boleh dilantik jadi senator untuk jadi Menteri Besar,” katanya. 

    Sementara itu katanya, dakwaan kononnya kerajaan negeri Kedah tidak berbuat apa-apa sepanjang tiga tahun di bawah Perikatan Nasional (PN) dibuat oleh orang politik ‘yang buta dan pekak’. 

    Katanya, pelbagai perkara dilakukan kerajaan negeri selama ini termasuk kejayaan menarik pelaburan baharu. 

    “Pandanglah dengan hati ikhlas an jangan jadi pekak atau buta. Berlapang dada untuk mengakui perkara yang baik. Banyak kita yang kita laksanakan antaranya Projek Kedah 2035 di mana pelbagai inisiatif kita rangka. Ketika Sidang DUN Kedah mereka kata saya tak terangkan, jadi saya jemput semua pembangkang ke taklimat khas Kedah 2035 tetapi yang datang seorang saja iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi,” katanya.

  • Serangan UMNO tak jadi ‘kudis gatal’ buat PN Terengganu

    Serangan UMNO tak jadi ‘kudis gatal’ buat PN Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    REGU terbaharu pembangkang Terengganu, gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dikatakan semakin panik dengan kebangkitan  ‘Gelombang PN’ di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Dalam suasana politik tidak menentu ini para pemimpin parti terbabit dilihat berasa amat bimbang sekiranya para pengundi tidak akan berpihak kepada calon-calon yang bakal ditampilkan.

    Justeru, berdasarkan perkembangan itulah pihak pembangkang khususnya UMNO terpaksa mencari jalan dengan menyerang ‘seterunya’ iaitu Pas dan Perikatan Nasional (PN)  dengan ‘menabur peluru secara rambang’.

    Antaranya termasuklah membangkitkan pelbagai isu yang didakwa melibatkan salah laku dalam pentadbiran kerajaan Pas di negeri ini. Ia termasuklah dakwaan mengenai isu  penjualan tanah yang dikatakan dijual kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa hartanah.

    Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah mencabar  Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar supaya berdebat secara terbuka dengannya berhubung isu tersebut.

    Bagaimanapun, Ahmad Samsuri enggan menyahut cabaran berkenaan dengan mengambil pendekatan berdiam diri serta tidak menjawab setiap isu dibangkitkan oleh UMNO terutama melibatkan pemilikan tanah strategik di pusat bandaraya Kuala Terengganu.

    Ketika bercakap kepada media di Kuala Terengganu pada Selasa lalu,  Ahmad Samsuri bukan sahaja tidak melayang cabaran tersebut, sebaliknya  menyifatkan ia sebagai senjata dan serangan UMNO menjelang PRN.

    Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata,  buat masa ini pihaknya belum bercadang untuk menyerang balas.

    Ini kerana ujarnya, Pas Terengganu hanya menunggu masa yang sesuai  untuk kembali melontarkan peluru ekoran serangan secara bertali arus dilakukan UMNO menjelang PRN kali ini.

    Menurutnya, buat masa ini semua strategi telah diatur dan akan menunggu masa sesuai sahaja untuk beraksi dalam peperangan sebenar sekali gus memastikan kemenangan bergaya Pas dan PN di Terengganu nanti.

    Katanya,  ketika nak berperang lah, baru dikeluarkan peluru mengenai pelbagai salah laku dalam  pentadbiran UMNO, buat ketika ini banyak lagi disimpan dalam poket, semua peluru  itu akan dikeluarkan  ketika kempen PRN.

    Dalam PRU 14 pada 2018, Pas berjaya memerintah Terengganu setelah memenangi 22 kerusi manakala UMNO-BN hanya menang 10 kerusi. Perkembangan itu sekaligus menyaksikan Pas kembali menjadi kerajaan semula selepas 14 tahun.

    Kali terakhir Pas memerintah Terengganu ialah ketika PRU 10 pada tahun 1999 di mana  Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Menteri Besar. Namun kerajaan Pas ketika itu hanya bertahan selama sepenggal sahaja apabila tewas  semula  kepada UMNO-BN pada tahun 2004.

    Apa pun, banyak pihak berpendapat dalam PRN kali ini Pas bersama PN yang dinaungi bersama parti Bersatu dan Gerakan dijangka terus kekal memerintah Terengganu. Walaupun ketika ini serangan bertali arus dihadapi kerajaan Terengganu dilakukan oleh PH dan BN diketuai Ahmad Said.

    Namun, banyak pihak berpendapat isu-isu dimainkan dikatakan tidak akan memberi kesan besar dan tidak menjadi ‘kudis gatal’ buat PN bagi menghadapi PRN nanti. Ini kerana rakyat sudah tahu siapa penyerangnya di samping semakin muak dengan politik yang dimainkan pembangkang sekarang ini.