Author: Admin

  • PN hanya calonkan Ismail Sabri sebagai PM baharu

    PN hanya calonkan Ismail Sabri sebagai PM baharu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERIKATAN Nasional (PN) hanya menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob seorang calon sebagai Perdana Menteri baharu.

    Seorang pemimpin kanan PN memberitahu, hanya satu nama dipersembahkan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

    “Ini juga dipersetujui Ahli Parlimen UMNO yang tidak bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sekarang terpulang kepada kem Ahmad Zahid, sama ada bersama kami atau sebaliknya.

    “Jelas kini, ada 100 ahli Parlimen menyokong PN. Kita sepakat memberikan peluang parti terbesar dalam PN untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya, hari ini.

    Menurutnya lagi, kumpulan Ahmad Zahid yang disertai 15 Ahli Parlimen UMNO pada masa ini menolak mencalonkan Ismail Sabri, sebaliknya menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri selain Tengku Razaleigh Hamzah.

    Beliau berkata, kumpulan Ahmad Zahid mempunyai dua pilihan, sama ada terus dengan niat mencalonkan Presiden UMNO itu atau Tengku Razaleigh atau menerima Ismail Sabri yang disokong ahli Parlimen PN.

    “Jika Ahmad Zahid enggan menerima Ismail Sabri dan mahu bersama-sama Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan baharu, bermakna beliau dan kumpulannya akan mengkhianati UMNO dan melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang tegas dengan pendirian ‘No Anwar, No DAP,” katanya.

  • Tiada parti politik boleh bentuk kerajaan sendiri

    Tiada parti politik boleh bentuk kerajaan sendiri

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TIADA parti politik yang boleh membentuk kerajaan secara sendirian ketika ini kerana masing-masing tidak mempunyai majoriti sokongan.

    Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, itu adalah situasi sebenar politik negara ketika ini.

    Salleh turut berkata, terdapat keperluan untuk penjajaran semula dan kompromi membabitkan semua pihak.

    “Tetapi fokus utama seharusnya kepada pemulihan. Parti politik perlu ingat perkara ini dan mempercayai Yang di-Pertuan Agong untuk memilih perdana menteri yang akan memikul tanggungjawab ini.

    “Perdana menteri baharu boleh pertimbangkan untuk mewujudkan kabinet yang kecil, mahir dan bipartisan bagi membina kestabilan,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook rasmi beliau, hari ini.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh jemaah menteri berkuat-kuasa serta merta.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada kenyataan berkata, susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

  • Empat lelaki didakwa hina Yang di-Pertua Negeri Melaka

    Empat lelaki didakwa hina Yang di-Pertua Negeri Melaka

    EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, akhir bulan lepas.

    Muhamad Ali Aswad Asngadu, 28, Mohd Hermy Rahim, 34, Ahmad Zaki Yamani Zainon, 45, dan Mohd Hafizuddin Rahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Kesemua tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet melalui laman profil Twitter milik masing-masing secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik ke atas Mohd Ali pada 28 Julai lepas.

    Hantaran komen dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain itu telah dibaca pengadu pada 29 Julai sekitar pukul 1.07 pagi di Ujong Pasir, Kampung Atap di sini.

    Kesemua tertuduh, masing-masing bekerja sebagai jurutera, ahli perniagaan, jurujual dan penyelia itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

    Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivasangari menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang selepas mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Sept depan dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan serta tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

    Peguam Saiful Ambar Abdullah mewakili Ahmad Zaki Yamani manakala tiga tertuduh lain diwakili peguam P. Purshotaman. – BERNAMA

  • Polis Selangor tumpaskan dua kumpulan sindiket, rampas dadah RM3.89 juta

    Polis Selangor tumpaskan dua kumpulan sindiket, rampas dadah RM3.89 juta

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    POLIS Selangor menumpaskan dua kumpulan sindiket pengedaran dadah menerusi beberapa siri tangkapan sekitar Gombak dan Ampang Jaya, serta merampas dadah bernilai RM3.89 juta di Shah Alam awal bulan ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam operasi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap 17 suspek warga tempatan membabitkan 14 lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 26 hingga 65 tahun.

    “Bagi kes pertama pukul 3 petang 6 Ogos lalu, polis menangkap tiga lelaki di kawasan perumahan di Batu Caves dan merampas 97 bungkusan hijau berisi dadah disyaki Methamphetamine dengan anggaran berat 100.74 kilogram (kg) serta sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza.

    “Polis turut menangkap empat lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan terbabit di empat lokasi berlainan sekitar kawasan Gombak, Selayang dan Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media secara maya, semalam.

    Bagi kes pertama katanya, lima daripada tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, malah hasil ujian saringan awal urin mendapati tiga suspek positif Opiate dan THC.

    Arjunaidi berkata, nilai sitaan berjumlah RM448,420 iaitu wang tunai RM114,750; empat kenderaan bernilai RM240,000 dan wang dalam empat akaun berjumlah RM93,670.

    Sementara itu, beliau berkata, kumpulan sindiket pengedaran dadah kedua pula diberkas di kawasan lot parkir kereta sebuah pasar raya di Ampang, pukul 11.15 pagi 8 Ogos lalu.

    “Sepasukan polis berjaya menahan dua kenderaan jenis Toyota Estima dan Volkswagen Passat serta menangkap dua lelaki dan dua wanita di lokasi terbabit.

    “Dalam pemeriksaan ke atas Volkswagen Passat, polis merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi dadah disyaki Methamphetamine anggaran berat 7.35 kg.

    “Susulan itu, polis turut menangkap lima lelaki dan seorang wanita di enam lokasi berbeza sekitar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata, semakan mendapati tujuh daripada 10 suspek kes kedua itu mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala tiga daripada mereka positif Methamphetamine.

    “Nilai sitaan berjumlah RM976,720 membabitkan RM12,970 wang tunai, tujuh kenderaan berjumlah RM495,000; 12 barang kemas bernilai RM37,570, tiga utas jam tangan bernilai RM85,000 serta wang dalam 20 akaun berjumlah RM346,180,” katanya.

    Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah dirampas dalam kedua-dua kes berjumlah RM3.89 juta dan keseluruhan sitaan kedua-dua kes berjumlah RM1.43 juta.

    “Dadah dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang dan Selangor. Kedua-dua kumpulan ini tiada kaitan, dipercayai aktif sejak enam bulan hingga setahun lalu.

    “Semua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan Acara Jenayah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Varian Lambda dikesan di Bangladesh

    Varian Lambda dikesan di Bangladesh

    BANGLADESH telah mengesan kehadiran varian Lambda yang dijumpai dalam sampel seorang wanita berusia 49 tahun di Dhaka.

    “Varian baharu itu dikenal pasti dari sampel jujukan genom yang diperoleh Majlis Penyelidikan Saintifik dan Industri Bangladesh (BCSIR) dan Universiti Jahangirnagar pada Mac.

    “Kami kemudian menyerahkan laporan itu kepada Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID) Jerman untuk kajian lanjut dan hasil keputusan ujian adalah sama,” kata pegawai saintifik BCSIR, Salim Khan, kepada Agensi Anadolu.

    Varian Lambda dipercayai berasal dari Peru dan menyumbang hampir 81 peratus kes di negara itu.

    Bangladesh pada Isnin merekodkan 174 lagi kematian dan 6,959 kes jangkitan akibat COVID-19, menjadikan jumlah korban terkini mencecah 24,349 dan kes keseluruhan 1,425,861, menurut Direktorat Perkhidmatan Kesihatan Awam (DGHS).- BERNAMA

  • Permohonan sijil halal susah, mahal persepsi salah – Jakim

    Permohonan sijil halal susah, mahal persepsi salah – Jakim

    DAKWAAN yang mengatakan proses permohonan mendapatkan pensijilan halal susah, lambat dan mahal adalah satu persepsi yang salah.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh statistik menunjukkan sebanyak 3,117 syarikat bumiputera telah memperoleh pensijilan halal Malaysia dan masih aktif sehingga kini.

    Persepsi orang ramai bahawa permohonan mendapatkan pensijilan halal susah, lambat dan mahal adalah tidak benar, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh.

    Beliau berkata statistik menunjukkan sebanyak 3,117 syarikat bumiputera telah memperoleh pensijilan halal Malaysia dan masih aktif sehingga kini.

    Menurutnya, Jakim bersama Jabatan Agama Islam Negeri komited untuk merancakkan perkembangan industri halal di Malaysia terutamanya yang melibatkan usahawan bumiputera serta pembangunan industri kecil dan mikro yang lengkap dengan pakej produk bersama pensijilan halal Malaysia.

    “Banyak permohonan yang berjaya dikendalikan dalam masa kurang daripada tempoh 30 hari dan ini dapat dicapai apabila keperluan pensijilan dipenuhi dengan baik.

    “Melalui saluran maklumat dan bimbingan yang betul, kita akan dapat merancakkan perkembangan industri halal dan juga perkembangan yang positif bagi pensijilan halal Malaysia di peringkat global,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Persidangan Meja Bulat bersama Agensi Pembimbing Usahawan secara maya hari ini. 

  • Remaja 15 tahun  ditahan bersama pil kuda

    Remaja 15 tahun ditahan bersama pil kuda

    Oleh Mohd. Lazim Endut

    POLIS menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun serta merampas 111 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1,100 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lati, Lemal, Pasir Mas Kelantan, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir, serbuan dibuat pada pukul 9.30 pagi dan penahanan ketiga-tiga suspek berusia 15 hingga 23 tahun itu adalah berkait dengan laporan sebelum ini.

    Katanya, serbuan ke lokasi tersebut dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

    “Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati pintu hadapan rumah berkenaan berada dalam keadaan terbuka, sebelum anggota kita bertindak masuk ke dalam rumah bagi membuat pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, setelah pemeriksaan dibuat, polis mendapati tiga individu berada di dalam rumah tersebut.

    Berikutan itu katanya, polis kemudian membuat pemeriksaan di dalam sebuah bilik sambil disaksikan kesemua suspek sehingga membawa kepada penemuan satu kotak rokok.

    Beliau berkata, setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, polis menemui sebanyak 111 biji pil kuda.

    “Kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

    “Melalui saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Hasil soal siasat yang dilakukan salah seorang suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya.

    “Suspek berusia 23 itu turut mengaku mendapat bekalan daripada abangnya yang dikenali sebagai Iskandar,” ujar beliau.

    Mohd Nasaruddin berkata, usaha mengesan Iskandar sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Malaysia capai status negara menua lebih awal jika pandemik COVID-19 berpanjangan

    Malaysia capai status negara menua lebih awal jika pandemik COVID-19 berpanjangan

    MALAYSIA akan mencapai status negara menua lebih awal daripada jangkaan sekiranya situasi pandemik COVID-19 berterusan untuk tempoh yang panjang susulan trend penurunan bilangan kelahiran yang dicatatkan negara.

    Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia dijangka mencapai status negara menua pada 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.

    “Namun, situasi pandemik COVID-19 yang berlaku pada ketika ini memungkinkan status tersebut dicapai lebih awal.

    “Penemuan tinjauan pendapat umum yang dilaksanakan LPPKN pada April 2020 mendapati 53 peratus responden menjangkakan situasi pandemik ini akan mengakibatkan peningkatan bilangan kelahiran penduduk.

    “Namun, majoriti daripada mereka (61 peratus) mengambil keputusan untuk menangguhkan atau merancang semula kehamilan mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada 2020, populasi berusia 60 tahun dan ke atas meningkat daripada 3.4 juta (2019) kepada 3.5 juta yang mewakili 10.7 peratus daripada jumlah penduduk.

    Abdul Shukur berkata kadar penurunan kelahiran sebanyak 4.4 peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas pada asasnya telah dijangkakan akan berlaku.

    Beliau berkata antara faktor yang menyebabkan pasangan menangguhkan perancangan untuk menimang cahaya mata adalah disebabkan oleh kekurangan wang simpanan (58 peratus), bimbang diri dijangkiti COVID-19 (34 peratus) dan bimbang akses rawatan kehamilan akan terganggu disebabkan situasi pandemik (32 peratus).

    Mengulas lanjut katanya, trend penurunan bilangan kelahiran ini sememangnya akan memberi impak kepada kadar pertumbuhan penduduk yang mempercepatkan proses penuaan penduduk negara, malah sekiranya trend ini berterusan negara juga akan mengalami kekurangan tenaga buruh pada masa akan datang.

    “Dengan itu, negara perlu bergantung kepada tenaga kerja asing bagi mengatasi kekurangan tenaga buruh tempatan. Bagaimanapun, menjelang 2050 nanti, kebanyakan negara sumber tenaga kerja asing seperti India, Bangladesh, Filipina dan Myanmar akan turut mengalami proses penuaan penduduk dan kekurangan tenaga buruh tempatan,” katanya.

    Oleh demikian, Abdul Shukur berkata keadaan ini akan memaksa negara-negara sumber tersebut untuk mengekalkan pekerja tempatan mereka daripada berhijrah ke negara luar seperti Malaysia.

    “Sebagai persediaan untuk menjadi negara menua, adalah penting bagi negara untuk meminimumkan ketidaksepadanan antara kemahiran yang dimiliki dengan pekerjaan yang dilakukan oleh penduduk di negara ini. Malah sejak berlakunya pandemik COVID-19, jurang ketidaksepadanan ini adalah semakin ketara,” katanya.

    Menurutnya, berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, didapati bilangan siswazah menganggur telah meningkat sebanyak 22.5 peratus, iaitu daripada sekitar 165,200 orang pada 2019 kepada kira-kira 202,400 orang pada 2020.

    “Dalam tempoh yang sama, dilaporkan bahawa peratusan siswazah yang bekerja dalam kategori mahir telah berkurang sebanyak 0.8 peratus sementara mereka yang bekerja dalam kategori separuh mahir sebaliknya meningkat sebanyak 19.3 peratus, terutamanya bagi pekerjaan perkhidmatan dan jualan, dan operator loji dan mesin serta pemasangan,” katanya.

    Dalam pada itu katanya, hasil kajian LPPKN pada 2018 mengunjurkan negara berpotensi untuk mengalami penguncupan penduduk buat kali pertama pada 2072.

    “Melalui kajian ini, diunjurkan bahawa penduduk negara akan kekal bertambah sehingga mencecah jumlah maksimum seramai 46.09 juta orang pada 2071 sebelum mula berkurang kepada 46.08 juta orang pada 2072,” katanya.

    Namun, Abdul Shukur berkata terdapat kemungkinan negara akan mengalami penguncupan penduduk lebih awal sekiranya bilangan kelahiran menurun secara berterusan pada masa akan datang kesan daripada penularan pandemik COVID-19. – Bernama

  • Dewan Ulama puji ketegasan Muhyiddin tolak puak kleptokrat

    Dewan Ulama puji ketegasan Muhyiddin tolak puak kleptokrat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KETEGASAN menolak golongan kleptokrat dan kesungguhan untuk melakukan yang terbaik dalam tempoh kepimpinan yang singkat Tan Sri Muhidin Yasin mendapat penghargaan dan penghormatan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

    Ketua DUPP Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, walaupun tempoh kepimpinan yang singkat, Muhyiddin telah melakukan yang terbaik untuk manfaat negara dan rakyat khususnya dalam menangani pandemic Covid-19.

    Kata beliau, DUPP juga menghormati dan menyambut baik ketegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak sesekali berkompromi dengan kelompok kleptokrat yang mahukan penyalahgunaan kuasa dilakukan semula.

    “DUPP juga melahirkan kekesalan dengan kerakusan sesetengah pimpinan politik untuk mendapatkan kuasa tanpa mengira keresahan dan kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat, sehingga membawa kepada suasana politik yang tidak stabil dan harmoni serta mendorong kepada perletakan jawatan Perdana Menteri bersama Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional.

    “DUPP juga menyambut baik ketegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sesekali tidak berkompromi dengan kelompok kleptokrat yang cuba untuk mengganggu gugat proses pentadbiran negara serta menginginkan berlakunya penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Walau bagaimanapun dalam kenyataan berkenaan, yang tidak menyatakan siapa kelompok kleptokrat yang dimaksudkan.

  • Muhyiddin tetap ambil berat soal rakyat, harap kerajaan baharu teruskan proses pemulihan

    Muhyiddin tetap ambil berat soal rakyat, harap kerajaan baharu teruskan proses pemulihan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan tetap mengambil berat masalah rakyat walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

    Ahl Parlimen Pagoh itu berkata, slogan ‘Kerajaan Prihatin’ akan terus berada dalam jiwa beliau serta rakan-rakan yang sehaluan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah sebelum ini.

    “Hakikatnya, saya bukan lagi Perdana Menteri, tapi saya akan turun ke bawah tengok…supaya nasib mereka (rakyat) terbela sebab saya faham semasa menjadi perdana menteri ada data menunjukkan rakyat miskin bertambah dan ini amat mencabar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada editor-editor kanan setelah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri semalam.

    Muhyiddin sedar ramai yang meminta ‘Abah’ iaitu gelaran diberikan rakyat kepadanya supaya kekal sebagai Perdana Menteri dan pekara itu amat menyentuh hatinya namun perkara tersebut tidak dapat dielakkan.

    Katanya, beliau berharap dapat berbuat demikian tetapi di bawah demokrasi berparlimen lantikan seperti jawatan Perdana Menteri bersandarkan peruntukan dalam Perlembagaan.

    Sebagai rakyat yang diberikan amanah, Muhyiddin berkata, beliau melakukan semua ini mengikut yang terkandung dalam Perlembagaan iaitu apabila tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat maka wajib baginya meletakkan jawatan.

    Beliau menjelaskan tindakan itu diambil disebabkan penarikan sokongan Ahli Parlimen terutamanya daripada parti UMNO terhadap beliau.

    “Siapakah mereka itu…bukan saya nak menidakkan mereka sebagai ahli Parlimen, tapi soal politik jika mereka fikir nasib rakyat ketika ini ramai terkesan dan jadi miskin, bukan masa berpolitik tapi tumpuan untuk selamatkan nyawa. Bantu rakyat, jangan berpolitik kita dah muak. Kalaulah mereka mengambil kira perkara itu mereka tidak akan bertindak seperti ini,” katanya.

    Ditanya adakah beliau rasa telah dikhianati, Muhyiddin berkata, apa yang berlaku sehingga beliau terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri bukanlah pengkhianatan terhadapnya tetapi kepada negara dan rakyat yang sedang menderita.

    “Fikir-fikirkanlah, jika mereka ada perasaan mereka tidak akan raikan pasal tumbangkan saya sedangkan kita sedang berusaha melaksanakan

    amal ibadah, buat sesuatu menyabung nyawa, jaga dan pelihara nyawa dan kehidupan, adakah itu tidak mulia.

    “Ada petanda saya fikir dilakukan pihak tertentu untuk tujuan tertentu, saya tak nak buat kenyataan yang boleh diheret ke mahkamah. Ini fakta politik saya akui mungkin bawa kesan begitu rupa, mungkin cita-cita mereka berhasil, tapi tidak mengapa kita terima perkara (yang telah) ditakdirkan,” katanya.

    Menurutnya, jika dinilai prestasi PN, gabungan itu tidak gagal tetapi kerajaan beliau telah melakanakan tugas dangan baik dan ramai mengakuinya berdasarkan kepada usaha yang telah dilakukannya dalam memerangi pandemik Covid-19.

    “Saya rasa kerajaan saya telah membuat yang terbaik…orang kata kita telah melakukannya, menguruskan Covid-19 bukannya mudah. Saya fikir kita telah menyelamatkan jutaan nyawa, beberapa ribu orang telah meninggal dunia, selalu orang melihat perkara ini tetapi sekarang rakyat telah menyedari bahawa kita telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa, kami telah melakukan sehabis baik,” katanya.

    Muhyiddin lega kerana telah melakukan apa yang sepatutnya dalam melaksanakan usaha membantu rakyat berhadapan dengan pandemik.

    “Sudah tentu ada yang bertanya apa perasaan saya, sama ada saya sedih. Saya fikir saya boleh melakukan lebih banyak lagi jika masih menjadi Perdana Menteri, saya ingin selesaikan semua perkara sehingga penghujungnya untuk melihat apa yang kita mulakan, dapat diselesaikan sepenuhnya walaupun dengan penat lelah, keletihan atau penuh berhati-hati, pasukan saya dan penjawat awam telah bekerja keras,” katanya.

    Muhyiddin berharap dengan ketiadaan beliau dan barisan Kabinet, pegawai kerajaan yang ada dapat terus menjalankan tugas membantu rakyat memerangi Covid-19 yang kini sudah menampakkan kelegaan dalam penularan pandemik itu.

    “Saya sudah berjumpa dengan pegawai atasan penjawat awam, tentera, polis, Peguam Negara dan membincangkan perkara setelah saya bukan lagi Perdana Menteri. Mereka berjanji akan terus membantu sehingga selesai kes Covid-19. Saya berharap ia terus menjadi tumpuan dan jangan sesekali diabaikan.

    “Saya rasa tanggungjawab bila baca mengenai kematian, bunuh diri. Pada akhirnya saya rasa bertanggungjawab dan saya tidak suka perkara seperti itu diletakkan di atas bahu saya, tetapi sebagai Perdana Menteri saya perlu menanggungnya,” katanya.

    Beliau berharap kerajaan baharu akan meneruskan proses pemulihan terutamanya pelan pemulihan yang ada walaupun ia akan mengambil masa agak lama.

    Muhyiddin turut menitipkan nasihat agar kerajaan baharu terus memberi perhatian kepada kebajikan rakyat kerana masalah Covid-19 masih belum selesai.

    ‘Saya minta semua bertenang, sistem yang kita bina dalam negara terjamin, jaga hubungan baik dan usaha bantu rakyat…peruntukan kerajaan dalam bajet mesti dibelanjakan, rakyat jangan rasa terbiar, harap pimpinan kerajaan baharu tidak akan mengabaikan mereka, yang penting usaha yang dibuat diteruskan dan langkah lain harus dilakukan,” katanya.

    Beliau berdoa dan mengharapkan agar Malaysia dapat bangkit semula dengan pertumbuhan yang pantas agar rakyat dapat hidup seperti biasa.