Author: Admin

  • Tidak hadir perbicaraan, Hakim berang dengan Najib

    Tidak hadir perbicaraan, Hakim berang dengan Najib

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    HAKIM Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berang kerana bekas Perdana Menteri itu tidak hadir pada prosiding perbicaraan, pagi ini.

    Sebaik saja perbicaraan kes itu bermula pada jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah, anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

    Menurut Rahmat, Najib dan Ahli Parlimen dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    “Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berang dan berkata, Najib seharusnya hadir di mahkamah terlebih dahulu.

    “Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana. Namun, laporan media menyatakan, ia akan dilakukan secara berperingkat.

    “Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di istana kerana kes ini akan diteruskan,” katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

    Tambah beliau, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam untuk memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Agong.

    Namun, mahkamah kemudian memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.

  • Perkhidmatan kerajaan E2E kini capai 57.02 peratus

    Perkhidmatan kerajaan E2E kini capai 57.02 peratus

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PERKHIDMATAN kerajaan dalam talian sepenuhnya atau ‘end-to-end’ (E2E) sudah mencapai tahap 57.02 peratus sehingga bulan lalu.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, E2E yang bertujuan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat itu adalah berdasarkan rangka kerja MyDigital.

    Kerajaan katanya, menetapkan sasaran 80 peratus menjelang 2025 bagi perkhidmatan sedemikian.

    “Antara objektif pendigitalan kerajaan adalah untuk meningkatkan jumlah ataupun peratus perkhidmatan secara dalam talian sepenuhnya dari mula hingga akhir, pada bila-bila masa dan di mana-mana tanpa perlu berurusan secara bersemuka.

    “E2E akan menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Malah urusan sedemikian lebih mudah, cepat, selesa serta tiada had masa,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Persidangan Digital Sektor Awam 2021 (PDiSA) secara maya menerusi laman sosial Facebook Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Justeru katanya, sebagai pendekatan untuk memberi nilai tambah dan memperkasakan lagi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan meningkatkan kecekapan tadbir urus dalaman agensi, kerajaan bersetuju untuk menetapkan penambahan lima peratus daripada perkhidmatan E2E semasa sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) 2021 Tier-1 bagi penjawat utama perkhidmatan awam.

  • PICK capai sasaran 50 peratus dewasa divaksinasi semalam – JKJAV

    PICK capai sasaran 50 peratus dewasa divaksinasi semalam – JKJAV

    Oleh Abu Ubaidilah Rahman

    SASARAN untuk menvaksinasikan 50 peratus rakyat dewasa negara telah berjaya dicapai semalam.

    Menurut pihak pengurusan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu, setakat ini 11,743,096 populasi dewasa negara telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

    Menurut perkongsian infografik di Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini, memaklumkan sebanyak 75.3 peratus atau 17,625,760 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin COVID-19 menerusi PICK setakat semalam sebanyak 29,368,856 dos.

    Menurut JKJAV, 54 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama manakala 36 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

    Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan peningkatan kepada 531,114 dos semalam berbanding 525,111 dos pada Selasa, dengan 188,474 adalah dos pertama manakala 342,640 adalah dos kedua.

  • Harap usaha Muhyiddin, kerajaan PN tangani Covid-19 diteruskan kerajaan baharu

    Harap usaha Muhyiddin, kerajaan PN tangani Covid-19 diteruskan kerajaan baharu

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    PERDANA Menteri dan kerajaan baharu nanti diharap dapat meneruskan semua usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dalam menangani Covid-19.

    Ketua Penerangan Wanita PN Johor, Normala Sudirman berkata, antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kerana ternyata membuktikan kejayaan dengan catatan jumlah vaksinasi harian tertinggi di dunia.

    “Begitu juga strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga menunjukkan prestasi yang baik dan semakin menunjukkan kejayaan dari masa ke semasa dan sehingga hujung tahun ini kita akan melihat keberhasilan PPN.

    “Inisiatif kerajaan PN sebelum ini yang menempah lebih 87 juta dos vaksin melibatkan perbelanjaan RM4.36 bilion adalah langkah dan usaha membebaskan rakyat daripada Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, sebanyak RM530 bilion telah diperuntukkan sepanjang era kerajaan PN melibatkan lapan pakej ekonomi dalam usaha menjaga kesihatan dan meneruskan kelangsungan hidup rakyat.

    Wanita PN Johor katanya, mahukan semua usaha itu dapat diteruskan Kabinet baharu meskipun pucuk pimpinan utama kerajaan telah bertukar selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

    “Kita ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinet kerajaan PN yang telah mencurahkan khidmat bakti dengan cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan.

    “Rakyat Malaysia menjadi saksi kesungguhan kerajaan PN dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah gigih berusaha sehabis mampu untuk menyelamatkan negara tercinta daripada cengkaman wabak Covid-19 selama ini,” katanya.

    Pihaknya mengharapkan agar rakyat dapat dibebaskan daripada pandemik Covid-19 dalam masa terdekat walau apa jua situasi yang berlaku.

  • Pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman

    Pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENDAKWAH selebriti yang dikaitkan dengan video tular ganguan seksual baru-baru ini tiba ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada polis.

    Beliau hadir kira-kira pukul 9 pagi selepas dipanggil pihak polis, pada Rabu.

    Menurut laporan-laporan media semalam, pendakwah terbabit dipanggil untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. 

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi media mengesahkan kehadiran pendakwah itu.

    Menurutnya, satu kenyataan media akan dikeluarkan mengenai kehadiran pendakwah terbabit. 

    Pada Julai lepas, seorang pengguna twitter telah menularkan satu video memaparkan individu mirip pendakwah berkenaan melaku aksi seksual.

    Pengguna twitter yang menyembunyikan identiti dirinya itu turut mengeluarkan persoalan apa yang bakal berlalu sekiranya seorang tokoh negara merupakan seorang pemangsa seksual.

    “Apa yang anda buat sekiranya anda tahu seseorang tokoh negara seorang seksual predator.

    “Tetapi, anda tiada bukti mahkahmah (sebab si mangsa tak nak buat report polis).

    “Tokoh ini tokoh yang disanjung dan disayangi. Sampai susah nak percaya perangai sebenarnya,” kata hantaran itu. 

  • 3 PPS di Pulau Pinang dibuka

    3 PPS di Pulau Pinang dibuka

    SEBANYAK tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir dibuka di Pulau Pinang bermula tengah malam tadi ekoran kejadian banjir di beberapa kawasan di negeri itu sejak petang semalam.

    Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, PPS itu masing-masing di Dewan JKKK Sungai Kechil; Sekolah Kebangsaan Jawi dan Dewan Al-Barakah, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar.

    Katanya, PPS Dewan JKKK Sungai Kechil dibuka pukul 1 pagi tadi dan menempatkan sembilan orang daripada sebuah keluarga termasuk tiga kanak-kanak.

    Sementara itu katanya, PPS SK Jawi dibuka pukul 12 tengah malam tadi dan kini menempatkan seramai 11 orang daripada empat buah keluarga.

    Dalam pada itu, difahamkan PPS di Dewan Al Barakah, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar yang dibuka pukul 11 malam tadi ketika ini menempatkan tiga buah keluarga terdiri daripada 12 orang.

    “Semua mangsa banjir yang berada di PPS dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Ratusan buah rumah khususnya di kawasan Balik Pulau; Teluk Kumbar, Balik; Teluk Bahang dan Nibong Tebal petang semalam dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 12 tengah hari.

    Keadaan banjir menjadi lebih buruk dengan ada kawasan dinaiki air sehingga 0.5 meter disebabkan kejadian air pasang selain hujan yang kembali lebat pada sebelah malam.

    Bagaimanapun, air kembali surut pagi ini dan penduduk kini sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah mereka daripada sisa-sisa banjir.

    Ini merupakan kali kedua banjir kilat melanda kawasan terbabit selepas kejadian pertama Mei lalu disebabkan hujan lebat berterusan dalam tempoh hanya beberapa jam.

  • 102 mangsa banjir di Perak dipindahkan ke PPS

    102 mangsa banjir di Perak dipindahkan ke PPS

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memindahkan 102 penduduk di lima buah kampung di daerah Larut Matang, Taiping ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir semalam.

    JBPM Perak dalam satu kenyataan memberitahu, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim Al Baraqah dan Dewan Orang Ramai Sungai Baru dibuka dan dijadikan PPS untuk mangsa banjir.

    “Seramai 25 keluarga dari Kampung Sungai Rentaka, Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong kiri ditempatkan di PPS SRAR Ngah Ibrahim Al Baraqah yang dibuka pada jam 9.50 malam tadi.

    “Bagi PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru yang dibuka pada jam 12.01 tengah malam ini pula, seramai 15 mangsa banjir dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi ditempatkan di situ,” jelas JBPM Perak itu, hari ini.

    Jelas kenyataan tersebut, setakat ini sebanyak 29 keluarga ditempatkan di dua PPS tersebut.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar dalam hantaran di Facebook turut turun padang meninjau keadaan banjir tersebut sejak petang Rabu.

    Menurut beliau, kejadian tersebut antara yang terburuk pernah dialami penduduk di kawasan Matang.

  • Fenomena air pasang: Utamakan keselamatan, bekalan makanan

    Fenomena air pasang: Utamakan keselamatan, bekalan makanan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mahu keselamatan dan bekalan makanan dijadikan keutamaan ketika ini bagi mereka yang menjadi mangsa fenonema kepala air di beberapa kawasan sekitar Gunung Jerai, Kedah petang semalam.

    Perdana Menteri sementara berharap, kerajaan negeri Kedah serta agensi-agensi berkaitan dapat menggerakkan segera semua bentuk bantuan kepada penduduk di kampung-kampung yang terlibat dalam bencana ini.

    “Saya mengikuti secara dekat bencana banjir kilat yang melanda beberapa buah kampung di daerah Yan, Kedah dipercayai kesan daripada fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai petang tadi.

    “Saya difahamkan bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan operasi menyelamat dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan bencana terjamin.

    “Semoga tugas-tugas pasukan keselamatan ini dipermudah manakala penduduk yang terjejas serta terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara disediakan bantuan dan perlindungan sewajarnya, dengan selamat dan teratur terutamanya ketika dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • Tiga maut, tiga lagi masih hilang-MB Kedah

    Tiga maut, tiga lagi masih hilang-MB Kedah

    Oleh Rizqi Zabadi

    TIGA individu dilaporkan maut manakala tiga lagi masih hilang setakat pukul 1 pagi tadi berikutan fenonema kepala air yang melanda sekitar beberapa kawasan di sekitar Gunung Jerai, petang semalam.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketiga-tiga individu yang hilang tu dipercayai berada di kawasan Titi Hayun semasa kejadian.

    Semua jabatan dan agensi kerajaan negeri digerakkan bagi menangani bencana kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

    “Operasi mencari ketiga-tiga mereka dihentikan pada pukul 1 pagi tadi dan disambung pukul 7 pagi ini. Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada mangsa terlibat.

    “Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Yan telah membuka pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan yang menempatkan 60 mangsa.

    “14 mangsa yang positif Covid-19 dan 45 orang yang masih menjalani kuarantin, ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teroi dengan kedua-dua penempatan itu dipantau rapi semua agensi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

    Katanya, paras air telah pun surut namun orang ramai dinasihatkan supaya berjaga-jaga.

    Pihak berkuasa tempatan (PBT) berhampiran iaitu Majlis Daerah Pendang, Majlis Perbandaran Sungan Petani Kedah (MPSPK), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Majlis Daerah Sik digerakkan bagi membantu Majlis Daerah Yan membersihkan kawsan, melakukan pemindahan dan logistik.

    “Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan menghantar bekalan air ke kawasan ke kawasan terputus bekalan akibat penutupan loji rawatan air di kawasan terjejas berikutan terdapat kelodak dan lumpur.

    “Bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan diperolehi segera,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Besar Kedah itu sudah melawat semua kawasan terlibat termasuk mangsa di pusat pemindahan semalam.

  • PN komited terus sokong kerajaan Melaka

    PN komited terus sokong kerajaan Melaka

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN negeri Melaka diyakini akan terus kekal selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu tidak merancang untuk menarik sokongan.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen, beliau selaku ADUN Paya Rumput dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad sepakat terus kekal di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Kata Naib Presiden Bersatu itu, kini bukan masa sesuai untuk merebut kuasa termasuk gerakan bermotifkan politik bagi menjatuhkan sesiapa sahaja sama ada Perdana Menteri atau pemimpin lain.

    “Kita akan mengekalkan kerajaan PN di Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman. Cukup-cukuplah membuat percaturan politik yang penuh dengan tipu muslihat sehingga menjatuhkan pemimpin lain.

    “Ini bukan masa untuk merebut kuasa kerana rakyat menuntut tumpuan diberikan bagi menangani wabak Covid-19 dan juga pemulihan ekonomi,” katanya selepas majlis penyampaian insentif kepada pemain badminton negara di Pejabat Yang Dipertua Negeri, hari ini.

    Daripada 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kerajaan negeri Melaka yang kini ditunjangi 14 ADUN UMNO dan dua Bersatu turut disokong seorang ADUN bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang sebelum ini bersama DAP.

    Manakala Pakatan Harapan (PH) yang mewakili blok pembangkang dianggotai 11 wakil rakyat dari Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP termasuk bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

    Melaka antara empat negeri disamping Johor, Perak dan Sabah yang sebelum ini disebut-sebut akan terkesan sekiranya berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan.