Author: Admin

  • PN komited jayakan pelan pemulihan negara

    PN komited jayakan pelan pemulihan negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Parti Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi komitmen gabungan itu menyokong dasar dan perancangan kerajaan PN menjayakan pelan pemulihan negara termasuk mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.

    Beliau berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang diadakan hari ini dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Parti PN yang didukung oleh 50 Ahli Dewan Rakyat bersama-sama tiga Ahli Dewan Rakyat bebas akan terus bersama, bersatu padu dan komited untuk menyokong dasar dan perancangan kerajaan PN menjayakan pelan pemulihan negara, mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.

    “Mesyuarat juga telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara dan mendengar serta mengambil maklum semua pandangan dari parti-parti komponen bagi memperkukuhkan kerjasama politik dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Mesyuarat hari ini telah dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi PN termasuk Presiden parti-parti komponen iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (Sapp), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

    Turut menghadiri mesyuarat adalah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mohktar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta wakil-wakil dari parti komponen.

  • Tiga nelayan selamat, seorang lagi masih hilang

    Tiga nelayan selamat, seorang lagi masih hilang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Empat nelayan berdepan detik cemas apabila bot fiber dinaiki mereka terlanggar boya di posisi 0.5 batu nautika, selatan Pulau Lalang dekat Langkawi, Kedah hingga menyebabkan kesemua mereka tercampak ke laut, pagi tadi.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi menyebabkan seorang daripada nelayan tersebut gagal dikesan.

    Katanya, tiga individu lain yang berusia antara 18 hingga 53 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan kira-kira 20 minit selepas kejadian itu berlaku.

    “Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohamad Ewandi Husnan, 22. Kejadian dipercayai berlau apabila bot fiber dinaiki mereka terlanggar boya menyebabkan keempat-empat individu berkenaan tercampak ke laut ketika bot masih bergerak.

    “Bot PERKASA 1228 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diatur gerak ke lokasi kejadian dengan maklumat turut disalurkan kepada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan bagi membantu pencarian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, salah seorang mangsa terselamat patah hidung sementara dua yang lain, cedera ringan.

    Kesemua mereka dilaporkan stabil dan telah dihantar oleh bot nelayan tempatan ke daratan yang berpangkalan di Sungai Menghulu, Langkawi,” katanya.

    Tambahnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

    “Bot tanpa pengemudi itu ditemukan tersadai di daratan Pulau Lalang kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.

    “Operasi mencari dan menyelamat masih dipergiatkan di kawasan berhampiran,” katanya.

  • Tidak wajar debat isu pelantikan menteri Kabinet, serah kepada PM

    Tidak wajar debat isu pelantikan menteri Kabinet, serah kepada PM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ISU berkaitan pelantikan Menteri Kabinet tidak sewajarnya diperdebatkan dan hanya perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, dalam keadaan sekarang terpulang kepada Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan yang boleh menstabilkan keadaan politik untuk semua pihak bekerja bersama-sama.

    Katanya, apa yang lebih penting adalah pandemik Covid-19 dapat diuruskan dengan baik manakala ekonomi pula dapat dibangunkan semula.

    “Ini perkara penting dan akan menguji walau siapa juga yang menjadi Perdana Menteri.

    “Tentang Timbalan Perdana Menteri, saya tak mahu komen dan serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Kita tahu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang yang bijak dan beliau tentu tahu ke mana arah tuju parti dan negara ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Permatang Keramat di Yan, yang terjejas dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, beliau sendiri buat masa ini tidak tahu di mana akan ditempatkan selepas ini.

    “Saya akan terus bekerja dan terpulang pada pimpinan parti hendak letak di mana. Kalau tak letak pun, tak apa,” katanya.

    Sementara itu katanya, nama kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya diperdebatkan ketika ini oleh mana-mana ahli politik.

    “Secara logiknya kalau dilihat hari ni, wakil rakyat gabungan PN lebih besar daripada Barisan Nasional (BN). Itu definisinya kalau kita nak cakap politik.

    “Tetapi hari ini kita kekalkan… Apa yang pasti, kita kekalkan PN itu sendiri,” katanya.

    Tambahnya, rakyat boleh menilai mengenai kesungguhan kerajaan PN dalam berdepan cabaran yang cukup besar sebelum ini.

    “Ini memberi satu ujian kepada sesiapa saja yang menjadi Perdana Menteri. Apa yang penting, kita dapat bekerjasama antara satu sama lain.

    “Kalau boleh, kita bawa pendekatan kepada melangkaui parti. Siapa berkebolehan dan boleh bantu rakyat secara langsung atau tidak, boleh ke depan tanpa ada masalah,” katanya.

  • Mayat kelima mangsa Gunung Jerai ditemukan mengiring ke arah kiblat

    Mayat kelima mangsa Gunung Jerai ditemukan mengiring ke arah kiblat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MANGSA kelima tragedi kepala air di Gunung Jerai, Kedah berjaya ditemukan di kawasan sekitar Batu Hampar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.23 petang tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelama Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkaa, mayat Ku Shuib Ku Abdullah, 91, ditemukan di bawah timbunan kayu.

    Katanya, mayat tersebut yang masih berada dalam keadaan baik berjaya dikeluarkan kira-kira lima minit kemudian.

    “Mayat berkenaan ditemukan mengiring ke arah kiblat dan dalam keadaan sempurna.

    “Sebaik dikeluarkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk tindakan lanjut.

    “Usaha mencari dan menyelamat mangsa terakhir diteruskan di kawasan Titi Hayun,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Sebelum ini empat mangsa yang maut sudah ditemukan iaitu Ahmad Din, 68, Shahruzi Mohamad, 53, Zahinor Murad, 65 dan Mohd. Faizal Mohd. Zohir, 28.

  • Ahmad Faizal syorkan nama kerajaan PN dikekalkan

    Ahmad Faizal syorkan nama kerajaan PN dikekalkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN baharu disyorkan mengekalkan nama Perikatan Nasional (PN) kerana PN masih mendominasi gabungan itu selain dianggotai Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengesyorkan penggunaan itu berkata, ini kerana ahli Parlimen yang mendokong PN seramai 77 orang manakala BN pula seramai 41 Ahli Parlimen.

    “Jadi, kami percaya ia mewakili kerajaan PN,” katanya yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas selesai mesyuarat PN di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sejak semalam, wujud perselisihan antara pemimpin UMNO dan Bersatu mengenai nama kerajaan baharu yang dipimpin Ismail Sabri.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kelmarin mempertikaikan penggunaan nama kerajaan PN dalam kenyataan dikeluarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, dengan mendakwa itu rujukan kepada kerajaan terdahulu.

    Katanya, kerajaan dulu ialah gabungan BN, PN, PBS dan GPS, bukannya kerajaan PN.

    Seramai 114 Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sebelum ini membabitkan parti komponen PN (54), BN (41), Gabungan Parti Sarawak (18) serta seorang ahli Parlimen daripada Parti Bersatu Sabah (PBS).

  • Covid-19:19,807 kes baharu hari ini

    Covid-19:19,807 kes baharu hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA mencatatkan 19,807 kes baharu hari ini sekali gus menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 berjumlah 1,555,093 setakat ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 5,379.

    Ini diikuti Sabah dengan 2,638 kes, Kedah (1,948 kes), Sarawak (1,772 kes), Pulau Pinang (1,501 kes), Johor (1,391 kes) dan Kelantan, 1,196 kes.

    Kuala Lumpur pula mencatatkan 999 kes, Perak (703 kes), Pahang (598 kes), Melaka (558 kes), Terengganu (534 kes) dan Negeri Sembilan (508 kes).

    Hanya tiga kawasan mencatatkan kes dua digit iaitu Perlis dengan 54 kes, Putrajaya (24 kes) dan Labuan (4 kes).

  • 12,000 anggota bomba siap siaga hadapi musim tengkujuh, banjir

    12,000 anggota bomba siap siaga hadapi musim tengkujuh, banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meletakkan lebih 12,000 anggota serta pegawainya dalam keadaan siap siaga susulan musim tengkujuh dan kemungkinan banjir yang akan melanda negara ini.

    Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, semua anggota terbabit di seluruh negara akan dikerahkan bagi tujuan memantau dan menyelamat di kawasan berisiko.

    Jelasnya, ini merangkumi kesiapsiagaan mengatur gerak di kawasan dilanda banjir kilat, banjir lumpur mahupun tanah runtuh.

    Pihaknya bergantung kepada maklumat disediakan pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk menggerakkan sepenuhnya lebih 1,000 aset JBPM, selain anggota dan pegawai ke lokasi panas kawasan banjir dan bencana alam yang dikenal pasti.

    “Maklumat diterima untuk tindakan kami termasuk mengenai jumlah taburan hujan di sesetengah kawasan, pasang surut air dan berkaitan monsun yang akan melanda,” katanya, hari ini.

  • ‘Ibu segala kegagalan’ – Apabila Najib gagal tumbangkan PN

    ‘Ibu segala kegagalan’ – Apabila Najib gagal tumbangkan PN

    BEBERAPA tahun dari sekarang, sarjana sains politik berpeluang mengkaji perancangan yang dilakukan Najib Razak sejak tahun lalu dalam kertas kajian bertajuk, “Bagaimana untuk gagal dalam menggulingkan kerajaan”.

    Untuk beberapa bulan menuju peletakan jawatan Muhyiddin Yassin, Najib bertubi-tubi menyerang usaha kerajaan menguruskan krisis Covid-19, sambil mendakwa kaedah kerajaan menguruskan sebuah krisis global – yang menyebabkan negara maju pun melutut dalam kegagalan – “gagal segagal-gagalnya”, meminjam kata-katanya.

    Hari ini, ketika kerajaan kembali kepada Perikatan Nasional yang menjadi sasaran Najib dan kuncu-kuncunya dalam usaha menggulingkannya, ungkapan yang sering diulang oleh tukang karutnya dalam hantaran media sosial ditumpukan pula kepada dirinya.

    Sejak Oktober lalu, Najib dan panglimanya Ahmad Zahid Hamidi, dibantu seseorang yang boleh, patut dan akan – tetapi belum pernah – menjadi perdana menteri, sibuk menjejaskan setiap usaha kerajaan dalam melawan pandemik.

    Najib sudah lakukan segalanya: daripada membuat ramalan hambar tentang program vaksinasi (“Bossku” pernah menganggarkan Malaysia akan mengambil masa sehingga enam tahun untuk capai sasaran imuniti kelompok), kepada pelbagai muat naik sinis dan gurauan di laman media sosialnya hampir setiap jam.

    Kemuncaknya ialah apa yang boleh dianggap sebagai mercu tanda kegagalannya: ketika beliau dan sekumpulan ahli Parlimen Umno mengumumkan penarikan balik sokongan mereka sambil mengisytiharkan kerajaan tumbang, di waktu genting usaha melawan Covid-19.

    Najib mungkin sudah terlebih sudu dari kuah dalam usahanya menjatuhkan Muhyiddin, seperti mana sikapnya ketika beliau tampak yakin dalam berdepan seorang lelaki berusia 93 tahun pada pilihan raya umum tiga tahun lalu.

    Hakikatnya, Muhyiddin adalah orang sama yang pernah dipecat Najib pada 2016, dan dua tahun kemudian orang inilah menumbangkannya.

    Kalau sudah kena main dengan penyangak berusia 30-an, kalau tak sedar akaun peribadinya menyimpan wang yang begitu banyak, dan kalau masih tidak dapat menjelaskan barangan kemas dan beg tangan isterinya yang boleh memuatkan beberapa biji lori, tidak perlulah berangan-angan untuk menjatuhkan seorang yang membuktikan bangkit semula bukan sekali, bukan dua kali, tetapi kini untuk kali ketiga.

    Dalam usaha menggulingkan kerajaan, seharusnya Najib ambil iktibar dari pengalaman yang pernah ditempuhi oleh individu tertentu.

    Satu ketika, tak lain tak bukan mendiang Karpal Singh pernah mengutuk individu ini, di samping pemimpin dari partinya sendiri DAP, supaya bertaubat daripada terus membuat masalah kepada negara.

    Kini, teguran keras itu terpakai kepada Najib dan ahli Parlimen seangkatannya, juga mereka yang menggelar diri mereka pejuang hak asasi, yang selama ini kecoh tentang “kerajaan gagal”, ketika pentadbiran berhempas-pulas cuba menghidupkan semula ekonomi dan memastikan kejayaan program vaksinasi, sambil menolak tawaran kerajaan melakukan reformasi yang penuh bererti yang dapat memulihkan sistem yang telah robek sejak 1980-an.

    Najib yang berdepan 42 pertuduhan jenayah dinasihatkan tidak menambah angka itu dengan terus melemahkan usaha menyelamatkan negara.

    Beliau membuktikan dirinya “gagal segagal-gagalnya” dalam menguruskan kewangan negara sehingga rakyat Malaysia menanggung malu. Kini, beliau gagal segagal-gagalnya dalam membantu negara mengatasi pandemik.

    Oleh ABDAR RAHMAN KOYA
    CEO dan Editor MalaysiaNow

    Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

  • Guru enggan terima vaksin, ‘saya akan jumpa mereka’ – TMJ

    Guru enggan terima vaksin, ‘saya akan jumpa mereka’ – TMJ

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan negeri dan guru-guru berhubung isu 779 warga pendidik di Johor yang dikatakan enggan menerima vaksin.

    Pertemuan tersebut dikatakan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

    “Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan guru-guru tersebut dalam masa terdekat.

    “Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

    “Insha-Allah kita boleh selesaikan masalah ini dengan cara berhemah,” titah Tunku Mahkota Johor dalam Twitter @hrhcrownprinceofjohor hari ini.

    Tunku Ismail bertitah demikian sebagai respon terhadap perkongsian daripada pengikut baginda dalam Twitter mengenai seramai 779 guru di Johor yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

    Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kota Iskandar, hari ini.

    Malah, Mazlan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) juga akan membantu meyakinkan guru-guru terlibat untuk menerima suntikan vaksin mereka.

  • 4 ADUN tidak dibenarkan ikuti sidang DUN akibat Covid-19

    4 ADUN tidak dibenarkan ikuti sidang DUN akibat Covid-19

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bersambung semula, hari ini.

    ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar disahkan positif ketika menjalani ujian saringan pada Khamis lalu, manakala tiga lagi wakil rakyat turut tidak dibenarkan.

    Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, tiga lagi wakil rakyat yang terlibat ialah ADUN Johor Lama, Rosleili Jahari; ADUN Tangkak, Ee Chin Li dan ADUN Senai, Tee Boon Tsong.

    “Rosleili ketika ujian RTK-Antigen pagi tadi positif, jadi beliau diuji kembali di Hospital Sultanah Aminah (HSA), tetapi keputusannya adalah negatif. Boon Tsong pula batuk ketika datang jadi kita tidak mahu ambil risiko dan minta dia balik.

    “Kedua-dua mereka dibenarkan menyertai hari terakhir sidang pada Rabu ini jika keadaan mengizinkan manakala Chin Li pula perlu menjalani kuarantin lebih lama dan tidak dapat menyertai sesi persidangan kali ini kerana menjadi kontak rapat,” katanya di sini, hari ini.

    Sebelum ini, kesemua 56 ADUN, petugas dewan dan media perlu menjalani ujian calitan RTK-Antigen setiap hari ketika menghadiri Sidang DUN bermula 22 hingga 25 Ogos sebagai langkah berjaga-jaga bagi menangani pandemik Covid-19.

    Sementara itu, Suhaizan berkata, hanya dua ahli dewan yang tidak hadir pada persidangan hari ini namun sudah memaklumkan ketidak hadiran mereka lebih awal sebelum sesi disambung kembali.

    “Dua ahli dewan berkenaan ialah ADUN Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Perdana Menteri dan ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai,” katanya.