Author: Admin

  • Polis tumpas sindiket ah long dengan pinjaman RM1.5 juta

    Polis tumpas sindiket ah long dengan pinjaman RM1.5 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ah long yang melibatkan pinjaman RM1.5 juta tumpas selepas menahan tiga lelaki warga tempatan di Johor Bahru pada 18 Ogos lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga suspek itu berusia 27 hingga 47 tahun dan hasil siasatan mendapati sindiket itu sudah beroperasi di daerah ini sejak hujung tahun lalu.

    Jelasnya, mereka menyasarkan mangsa yang terdiri daripada peniaga khususnya peniaga kecil dengan jumlah pinjaman ditawarkan antara RM1,000 hingga RM100,000 denga kadar faedah bulanan 8 hingga 15 peratus.

    “Setakat ini seramai 80 peminjam dikesan menjadi peminjam berulang kepada sindiket ini dengan jumlah pinjaman dianggarkan RM1.5 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.

    Katanya, Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemebri Pinjaman Wang 1951, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan berasingan pada 17 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor menangkap seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat kegiatan khianat.

    Menurutnya, lelaki tersebut, 41, menyimbah cat ke rumah peminjam di sekitar Batu Pahat dan Segamat dengan menerimah upah RM350 untuk setiap rumah yang disimbah cat.

    “Setakat ini suspek telah melakukan khianat ke atas empat buah rumah di daerah tersebut,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang (membantu kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen).

    Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Dalam perkembangan sama, Ayob memberitahu, dari Januari hingga 15 Ogos lalu JSJK Johor telah membuka 128 kertas siasatan melibatkan kes ah long dan daripada jumlah itu, 59 kertas siasatan sudah dituduh di mahkamah.

    Beliau berkata, seramai 78 suspek telah ditangkap dan 21 daripadanya merupakan tangkapan bersindiket manakala 57 lagi adakah pemilik ‘mule accaount’.

    Polis Johor menyeru dan mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat pinjaman dengan elemen pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

    Sekiranya mempunyai informasi bersabit kegiatan ini, laporkan kepada polis melalui Pegawai Risikan/Operasi JSJK Johor, Asisten Superitendan Timmy Anak Aheng menerusi talian 019-7773728 atau 013-2111222 atau 07-2254074.

  • Mayat keenam mangsa fenomena kepala air ditemukan

    Mayat keenam mangsa fenomena kepala air ditemukan

    MAYAT mangsa keenam yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di Yan ditemukan di kawasan sekitar Titi Hayun di sini pada 1.30 tengah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar berkata mayat Ridwan Poniman, 61, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai dihanyutkan di Titi Hayun.

    “Mayat mangsa yang terakhir ini ditemukan di bawah timbunan kayu dan mayat dalam keadaan masih sempurna,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat gerakan mencari dan menyelamat di Titi Hayun.

    Shahnaz berkata seramai 400 anggota pasukan penyelamat termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat hari ini.

    Katanya mayat Ridwan dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat.

    Beliau berkata sehubungan itu pencarian mangsa hilang dihentikan selepas penemuan mayat terakhir tersebut.

    Insiden pada petang Rabu itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di sekitar daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.- BERNAMA

  • China rekod sifar kes baharu jangkitan Covid-19

    China rekod sifar kes baharu jangkitan Covid-19

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PIHAK berkuasa China dilihat berjaya mengekang virus Covid-19 yang kembali menular di negara itu dengan varian Delta, menerusi ujian saringan besar-besaran dan sekatan pergerakan (lockdown) bersasar.

    Hari ini, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan mengesahkan jangkitan tempatan adalah sifar, selepas tempoh lima minggu.

    Penularan terbaharu, bermula pada pertengahan Julai apabila pekerja pembersihan di lapangan terbang di Nanjing disahkan positif dan adalah kes paling serius sejak virus itu dikesan di Wuhan, pada tahun lalu.

    Ribuan orang dijangkiti di berpuluh-puluh bandar, seluruh negara.

    Susulan itu, kerajaan menguatkuasakan ‘lockdown’, larangan perjalanan dan ujian besar-besaran di kawasan kejiranan sebagai strategi sifar kes.

    Hasilnya, jangkitan tempatan terbaharu itu menurun dalam tempoh dua minggu dan hari ini merekodkan sifar kes baharu.

    Perkembangan terkini itu melegakan China selepas Wuhan dikatakan punca merebaknya virus Covid-19 ke seluruh dunia dan menyaksikan jutaan nyawa terkorban. – Agensi

  • 330,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 ditemui di Pulau Karah

    330,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 ditemui di Pulau Karah

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEBANYAK 330,000 batang rokok seludup bernilai RM350,000 ditemui Agensi Penguatkuasaan
    Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu yang ditinggalkan di kawasan pantai Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

    Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli memberitahu, kesemua rokok melibatkan sebanyak 1,650 karton dikesan sewaktu pihaknya melakukan pemantauan di kawasan tersebut pada pukul 6 petang.

    Menurutnya, sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan, sepasukan anggota bot Panggalan 45 dikerahkan ke lokasi di pulau berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan dibuat, kami menemukan beberapa bungkusan plastik lut sinar berisi rokok putih dipercayai ditinggalkan kerana tidak sempat dipindahkan ke bot lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu hari ini.

    Malah, Muhammad Suffi percaya Pulau Karah dijadikan sebagai lokasi transit penyeludupan rokok sebelum dibawa masuk untuk dijual di pasaran tempatan.

    Ini kerana katanya, pulau tersebut tidak berpenghuni dan tiada penempatan
    penduduk.

    Menurut beliau, kes melibatkan aktiviti penyeludupan rokok menggunakan jalan air merupakan pertama kali direkodkan Maritim Terengganu.

    “Suspek dipercayai melakukan aktiviti berkenaan dengan menggunakan jalan laut kerana sukar menggunakan jalan darat berikutan penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) yang terlalu ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

    “Kami tidak menolak kemungkinan penyeludupan rokok tersebut didalangi warga tempatan dan rokok itu dikilangkan di Vietnam,” jelasnya.

    Muhammad Suffi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

    “Maritim Terengganu akan terus meningkatkan kawalan bagi mengesan sebarang aktiviti salah laku di perairan negara,” tambah beliau.

  • Tiga ADUN Perak tidak dibenarkan hadiri persidangan DUN

    Tiga ADUN Perak tidak dibenarkan hadiri persidangan DUN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ini berikutan status tiga ADUN tersebut iaitu positif COVID-19, kontak rapat dan belum menerima vaksin.

    “Saya telah maklumkan secara peribadi mengenai nasihat yang kami terima daripada MKN dan KKM kepada mereka akan perkara ini. Yang positif itu baru mendapat keputusannya semalam, yang kontak rapat itu perlu kuarantin kendiri di rumah dan seorang lagi belum divaksin.

    “Jadi ketiga-tiga ini tidak dibenarkan menghadiri sidang DUN. Kita perlu mengambil langkah sewajarnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya pada sidang media hari ini dan menambah, maklumat lanjut mengenai ketiga-tiga ADUN itu akan dimaklumkan kemudian.

    Mohammad Zahir berkata, selain itu, setiausaha dan penolong dewan juga digantikan dengan orang lain kerana mereka perlu kuarantin kendiri ekoran dua orang petugas yang terlibat dengan persidangan itu telah didapati positif Covid-19.

    Sementara itu, Mohammad Zahir berkata selain sesi perbahasan titah Diraja dan sesi soalan lisan, persidangan juga dijangka membahaskan usul-usul melantik keanggotaan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak.

    Sebelum ini dilaporkan, konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri akan diguna pakai dalam Persidangan DUN Perak yang bermula pada 25 Ogos ini dan pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri itu serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

    Konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

    Bagi meminimumkan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan ini akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, telah berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan.

  • PM umum senarai Kabinet minggu ini

    PM umum senarai Kabinet minggu ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, senarai Kabinet akan diumumkan dalam minggu ini.

    Beliau berkata, pengumuman akan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Ismail Sabri Yaakob hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra Putrajaya.

    Ketibaan Ismail Sabri di blok utama Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada jam kira-kira 8.25 pagi itu disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

  • TMJ akan bertemu guru tolak vaksin pada Jumaat

    TMJ akan bertemu guru tolak vaksin pada Jumaat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berjumpa Pengarah Pendidikan negeri dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan, Johor Bahru, Jumaat ini.

    Perkara tersebut dimaklumkna Tunku Ismail dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

    “Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini.

    “Demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya’Allah,” katanya.

    Hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

    Baginda bertitah, kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

    Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, semalam berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

  • Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

    Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

    LEMBAGA Air Sibu (SWB) tidak dapat mengekstrak air dari Sungai Rejang akibat berlaku pelodakan serius, susulan kejadian himpunan serpihan kayu balak di kawasan hulu Sungai Baleh di Bahagian Kapit, semalam.

    Dalam notis kepada pelangganya menerusi Facebook, SWB memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Salim dan Loji Rawatan Air Bukit Lima beroperasi pada kapasiti minimum, sekali gus memberi kesan terhadap bekalan air ke seluruh kawasan Sibu.

    “Kita akan cuba memulihkan bekalan dengan kadar segera. Sebarang kesulitan amat dikesali,” menurut SWB dalam kenyataan itu.

    Semalam Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Baleh Tan Sri Dr James Masing berkata himpunan balak tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan hulu Baleh.

    Beliau yang berang dengan kejadian itu, mendesak supaya lesen bagi pemilik-pemilik konsensi balak berkenaan tidak diperbaharui bagi mengelak insiden yang sama berulang.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew menggesa kerajaan Sarawak untuk menyiasat punca berlakunya himpunan balak tersebut, yang pernah berlaku pada 2010 sehingga menyebabkan ikan-ikan mati akibat kandungan bahan tercemar yang tinggi dan kandungan oksigen yang sangat rendah di dalam air.

    “Kesilapan sama berulang lagi hari ini, kami berhak mendapat jawapan daripada kerajaan negeri. Ini adalah isu alam sekitar yang serius, ikan-ikan yang bernilai di Sungai Rejang mungkin hilang jika isu ini tidak diselesaikan dan dibiar berulang lebih kerap,” tegas beliau menerusi satu kenyataan.

    Beliau mendesak kerajaan mengeluarkan laporan siasatan secepat mungkin dan langkah-langkah yang telah dilakukan sejak insiden himpunan kayu balak pada 2010 dan faktor berulangnya kejadian ini.

    Dalam pada itu, bekas presiden Kelab Rotary Sibu Dr Gregory Hii Sui Cheng meminta pemilik konsensi balak untuk mengamalkan kaedah yang lebih baik agar serpihan balak tidak dihanyutkan ke dalam sungai sehingga menyebabkan hakisan tebing sungai dan pencemaran yang teruk.

    “Pencemaran sungai ini telah memberi kesan kepada kita susulan gangguan bekalan sumber air minum,” kata Hii.

    Beliau turut merayu kepada penduduk di tebing sungai dan penghuni kota, supaya mengelak daripada membuang sisa domestik ke dalam sungai yang akan memburukkan lagi masalah kelodak dan pencemaran sungai itu.

    “Sungai perlu dijaga dan hargai, oleh itu saya merayu kepada semua supaya peliharalah kebersihan sungai kita dan hentikan mencemarinya,” katanya.- BERNAMA

  • Tiada amaran cuaca waspada – MetMalaysia

    Tiada amaran cuaca waspada – MetMalaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan negara ketika ini menerima tiupun angin dari pelbagai hala mengakibatkan cuaca yang lebih lembap dan berlaku penumpuan angin di sekitar Semenanjung Malaysia.

    Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah bagaimanapun berkata, keadaan tersebut dijangka berterusan dalam tempoh seminggu atau pada awal September, selain beberapa kawasan menerima taburan hujan yang melebihi kebiasaan.

    Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah bagaimanapun berkata, rantau negara ketika ini menerima tiupun angin dari pelbagai hala mengakibatkan cuaca yang lebih lembap dan berlaku penumpuan angin di sekitar Semenanjung Malaysia.

    Jelas beliau, keadaan tersebut dijangka berterusan dalam tempoh seminggu atau pada awal September, selain beberapa kawasan menerima taburan hujan yang melebihi kebiasaan.

    “Jadi, corak seperti itu kita jangkakan akan berterusan untuk beberapa hari akan datang, dan pada waktu petang pula kalau di negeri-negeri pantai barat, kita jangkakan ribut petir dan hujan berlaku pada waktu petang dan boleh membawa sehingga waktu malam.

    “Begitu juga kalau di negeri-negeri pantai timur terutama sekali kawasan di pedalaman negeri-negeri juga boleh terjejas dengan ribut petir dan hujan.

    “Sabah dan Sarawak pun kebanyakan kawasan kita menjangkakan keadaan cuaca yang sedimikian. Cuaca di Malaysia pada amnya lembap, jadi negeri-negeri yang terjejas dengan kejadian banjir juga akan mengalami tempiasnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, keadaan lembap tersebut disebabkan intensiti monsun barat daya yang ketika ini berada pada tahap lemah.

    Pihaknya meramalkan amaran cuaca waspada di beberapa kawasan di seluruh negara tidak akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

  • Sindiket palsu dokumen MITI, surat pengesahan majikan untung RM37,500

    Sindiket palsu dokumen MITI, surat pengesahan majikan untung RM37,500

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SINDIKET penipuan dan pemalsuan dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan surat pengesahan majikan di daerah ini mengaut untung RM37,500 hasil kegiatan dijalankan sejak Mac lalu.

    Bagaimanapun sindiket yang menggunakan khidmat empat remaja berusia 16 hingga 19 tahun terbongkar setelah ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini, 5 Ogos lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar setelah aktiviti pengikalanan yang dibuat menggunakan platform media sosial seperti di Facebook, Instagram serta aplikasi WeChat.

    Beliau berkata, dua remaja lelaki dan dua remaja perempuan itu menerima upah antara RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen yang berjaya dijual.

    Katanya, berdasarkan maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor dibantu JSJK Bukit Aman telah menjalankan operasi berasingan antara 8.30 hingga 10 malam bagi menahan empat suspek berkenaan.

    “Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial. Sindiket ini turut mengubah suai surat kelulusan MITI sebuah syarikat yang beralamat di Kempas, di sini bagi mengelirukan pihak berkuasa.

    “Sindiket ini menjual dokumen MITI dan surat pengesahan majikan yang dipalsukan pada harga RM150 dan sudah menjual sebanyak 250 keping ke seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.

    Dalam serbuan yang dijalankan, polis merampas sejumlah telefon bimbit dan kad bank yang digunakan dalam sindiket itu.

    Ayob Khan berkata, polis kini sedang mengesan seorang individu bernama Nicholas Chai Jia Han, 21, yang dipercayai dalang sindiket berkenaan.

    Tambahnya, alamat terakhir lelaki itu ialah di 49, Jalan Bukit Kontang, Taman Ria, Tangkak, bagi membantu siasatan.

    “Masyarakat yang ingin merentas daerah dan negeri diingatkan supaya membuat permohonan dengan hadir ke balai polis berhampiran dan atas alasan pergerakan munasabah.

    “Jangan ambil tindakan mudah dengan membeli dan menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” katanya.