Author: Admin

  • Lebih 20 maut termasuk 13 tentera AS dalam serangan bom di lapangan terbang Kabul

    Lebih 20 maut termasuk 13 tentera AS dalam serangan bom di lapangan terbang Kabul

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AFGHANISTAN digemparkan dengan letupan bom terbaharu yang mengorbankan 20 orang awam dan 13 tentera Amerika Syarikat (AS) yang berasak di luar lapangan terbang di Kabul semalam.

    Kejadian tersebut belaku ketika mereka yang berada di lapangan terbang itu mahu meninggalkan negara tersebut, menjelang tarikh akhir 31 Ogos ini untuk AS dan negara Barat lain menyelesaikan proses pemindahan berkenaan,

    Setakat ini kira-kira 100,000 orang sudah dibawa keluar.

    Menurut Taliban, dua letupan dalam insiden berkenaan telah mengorbankan antara 13 hingga 20 orang, namun seorang pegawai kesihatan daripada kerajaan terdahulu yang enggan dikenali pula memaklumkan angka terbabit berkemungkinan boleh mencecah hingga 60 mangsa.

    Serangan itu juga dilapor mengakibatkan bilangan kematian tertinggi dalam tempoh sehari membabitkan tentera AS di Afghanistan sejak 2011.

    Kumpulan IS dilaporkan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, sekali gus meningkatkan lagi situasi genting dalam proses pemindahan keluar dari Afghanistan.

    Susulan itu, Presiden AS, Joe Biden yang menyifatkan tentera AS terkorban dalam letupan berkenaan sebagai perwira, berikrar untuk memburu pihak bertanggungjawab atas serangan terbabit.

    “Kita tidak akan memaafkan. Kita tidak akan melupakan. Kita akan memburu anda sehingga dapat dan membuat anda menanggung akibatnya,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan Taliban bersekongkol dengan IS dalam serangan berkenaan.

    Bagaimanapun, katanya, proses pemindahan keluar dari Afghanistan akan diteruskan dan tamat mengikut jadual pada akhir bulan ini.

    Sementara itu jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, memberitahu AFP bahawa antara 13 hingga 20 orang maut dan 52 lagi cedera dalam dua letupan berkenaan, manakala hospital di Kabul pula melaporkan enam mati serta 90 mangsa mengalami kecederaan. – AFP

  • MA Analytics, MKE menterai MoU majukan industri pertahanan negara

    MA Analytics, MKE menterai MoU majukan industri pertahanan negara

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Syarikat pertahanan Malaysia, MA Analytics Sdn. Bhd. (MA Analytics) baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MOU) bersama tiga syarikat pertahanan terbesar dari Turki iaitu Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE), Katmerciler dan IVEO Defence, bagi memajukan industri pertahanan negara.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MA Analytics, Rasyad Anwar, pemeteraian perjanjian itu bakal menyaksikan penglibatan ketiga-tiga syarikat gergasi pertahanan dari Turki tersebut untuk memajukan industri pertahanan negara ini.

    Jelasnya, antara kandungan MoU yang dipersetujui adalah kerjasama yang memfokuskan kepada sistem persenjataan, artileri dan kereta perisai.

    “Usahasama ini bersetuju untuk sama-sama terlibat dalam mereka cipta, membina dan membekalkan alaan persenjataan, artileri, serta kereta perisai di Malaysia.

    “Syarikat-syarikat itu akan memberikan bantuan teknikal, perundangan, bahan dokumentasi, teknologi, lesen, peralatan, pembaikan dan bantuan selepas jualan kepada Malaysia.

    “Selain itu, terdapat juga usahasama dalam bidang-bidang lain tertakluk kepada perundangan kedua-dua negara,” kataya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pemeteraian MoU itu berlangsung ketika Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2021 di Pusat Konvensyen dan Kongres Tuyap di Istanbul, baru-baru ini.

    Pemeteraian perjanjian itu disempurnakan Rasyad sendiri mewakili MA Analytics; CEO MKE, Yasin Akdere; Timbalan Pengerusi Katmerciler, Mehmet Katmerci dan CEO IVEO Defence, Gokhan Erthuran.

    Rasyad menambah, kerjasama tersebut jelas menunjukkan keyakinan negara teluk itu terhadap Malaysia bersandarkan visi dan dasar diterapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika beliau memegang portfolio Menteri Pertahanan sebelum ini.

    “Turki terkenal sebagai negara yang sudi berkongsi pengetahuan menerusi pemindahan teknologi (ToT).

    Menerusi kerjasama ini, kebergantungan kepada negara luar dapat dikurangkan melalui pelbagai kursus yang bakal dilaksanakan.

    “Peluang pekerjaan juga dapa ditingkatkan terutamanya kepada veteran tentera.

    Selain itu, MA Analytics juga merancang untuk menjalin kerjasama bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) supaya manfaat daripada MoU ini mendatangkan impak maksimum,” katanya.

  • 17 dikompaun ‘dine-in’ di restoran lebih masa

    17 dikompaun ‘dine-in’ di restoran lebih masa

    Oleh WARTAWAN WARTARAKYAT

    KESERONOKAN 16 lelaki makan di dalam restoran atau ‘dine-in’ sehingga melebihi masa seperti ditetapkan menerusi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila mereka dikompaun masing-masing RM2,000.

    Turut dikompaun adalah wanita pengusaha restoran terbabit sebanyak RM10,000 kerana membenarkan pelanggannya ‘dine-in’ melebihi masa ditetapkan.

    Kesemua mereka ditahan di sebuah restoran di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 11.30 malam semalam selepas sepasukan polis melakukan serbuan dan pemeriksaan di restoran terbabit.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad, dalam pemeriksaan itu polis mendapati pihak berkenaan menjalankan dan terlibat dalam aktiviti tidak dibenarkan iaitu ‘dine-in’ melebihi masa yang ditetapkan.

    “Seramai 16 pengunjung lelaki dan seorang wanita pengusaha premis ditahan kerana melanggar SOP.

    “Pengunjung berkenaan masing-masing dikompaun RM2,000, manakala pengusaha premis dikompaun RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Shafee, mereka didapati melakukan kesalahan aktiviti terlarang di bawah Peraturan 26 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPBB) (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (PPN) SOP Fasa 2 2021.

    Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0 dalam usaha bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

    Ini kerana tegasnya, pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada pengusaha premis makanan dan orang ramai yang melanggar SOP.

  • Kastam tumpas sindiket dadah antarabangsa bernilai RM6.6 juta

    Kastam tumpas sindiket dadah antarabangsa bernilai RM6.6 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas 184 kilogram (kg) dadah bernilai RM6,624 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 16 Ogos lalu.

    Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir berkata, serbuan dilakukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM terhadap 14 kotak yang hendak dieksport ke luar negara melalui perkhidmatan kargo di KLIA.

    Jelas beliau, sindiket berkenaan berselindung di sebalik perkakasan dapur elektrik.

    “Dagangan itu didapati diikrarkan sebagai alat perkakasan dapur elektrik. Hasil pemeriksaan mendapati 10 daripada 14 kotak terbabit mengandungi 184 kg bungkusan teh berisi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methaphetamine.

    “Jumlah berat kasar keseluruhan adalah 184 kg bernilai RM6,624 juta dan kita percaya dadah ini dipercayai untuk dipasarkan di negara Asia Pacifik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, Nilai, hari ini.

    Menurutnya, dua lelaki rakyat tempatan berusia 35 dan 43 tahun ditahan dan dibawa ke Pejabat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat untuk siasatan lanjut.

    Pihaknya kemudian membuat serbuan di dua lokasi berasingan di sekitar Nilai, hasil siasatan lanjut terhadap suspek.

    Hasil serbuan di dua rumah, beliau berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 42 dan 45 tahun kerana disyaki menjadi dalang dalam sindiket penyeludupan dadah yang dirampas ke luar negara berkenaan.

    “Modus operandi sindiket ini menyeludup dadah dengan mengikrarkan barangan sebagai alat perkakasan dapur elektrik iaitu barang yang dikategorikan sebagai kargo am.

    “Malah, melalui siasatan lanjut juga mendapati ini adalah kali 11 sindiket berkenaan menjalankan kegiatan terbabit,” katanya.

    Abdul Latiff berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa suspek lain yang dipercayai turut terbabit dengan sindiket berkenaan.

  • Bekas ADUN Melor meninggal dunia akibat Covid-19

    Bekas ADUN Melor meninggal dunia akibat Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, 66, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada pukul 12.20 tengah hari ini akibat positif Covid-19.

    Isteri keduanya, Siti Madinah Ilyas Khan, 59, berkata, Wan Ismail disahkan positif Covid-19 pada 7 Ogos lalu selepas dimasukkan ke wad biasa hospital berkenaan.

    “Kemudian arwah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 15 Ogos lepas. Arwah juga sudah lengkap dua dos vaksin Coivd-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, Allahyarham suaminya itu juga seorang penghidap penyakit kencing manis dan telah ditidurkan di ICU pada Isnin lalu.

    “Kami sekeluarga turut dijangkiti Covid-19 kategori satu dan menjalani kuarantin di rumah di Telipot. Begitu juga keluarga di Melor turut dijangkiti,” tambahnya.

    Menurut Siti Madinah, jenazah Allhyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bechah Keranji, Melor, Kota Bharu pada 5.30 petang selepas solat Asar hari ini.

    Allahyarham meninggalkan dua isteri, Nurizam Yusoff, 60, dan Siti Madinah serta 14 anak termasuk tiga anak tiri.

    Wan Ismail yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Ketereh, pernah menjadi ADUN Melor selama dua penggal iaitu pada 1999-2004 dan 2008-2013.

    Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham melalui hantaran di akaun rasmi Facebook beliau.

    “Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.

  • Covid-19:Australia catat kes tertinggi, lebih 1,000 kes baharu dilaporkan

    Covid-19:Australia catat kes tertinggi, lebih 1,000 kes baharu dilaporkan

    AUSTRALIA buat pertama kali mencatat rekod jangkitan harian COVID-19 tertinggi melebihi 1,000 kes sejak wabak mula melanda.

    Menurut pihak berkuasa tempatan, sebanyak 1,130 kes baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 47,650 disebabkan penularan varian Delta, lapor Agensi Anadolu memetik stesen penyiaran tempatan ABC News.

    Tiga lagi kematian baharu menjadikan jumlah angka korban terkini sebanyak 989.

    New South Wales (NSW) melaporkan 1,029 kes baharu dan kekal menjadi pusat penularan wabak di Australia.

    Bagaimanapun, NSW meneruskan agenda mengurangkan sekatan terhadap mereka yang lengkap divaksin.

    “Penduduk NSW yang telah terima dua dos vaksin COVID-19 akan memperoleh lebih banyak kebebasan mulai bulan depan, kerana NSW telah mencapai sasaran enam juta suntikan,” kata Ketua Menterinya Gladys Berejiklian.

    Di bawah peraturan baharu, mereka yang lengkap dua dos suntikan boleh mengadakan perjumpaan di luar rumah hingga lima orang termasuk kanak-kanak, tidak melebihi lima kilometer dari kediaman.

    Menurut data terbaharu, Australia dengan populasi melebihi 25 juta orang, merekodkan 18 juta dos penggunaan vaksin, lebih 11.3 juta rakyat sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala hampir 6.7 juta lengkap dua dos.

    Sementara itu, Perdana Menteri Scott Morrison memberitahu wartawan sebanyak 335,420 suntikan diberikan di seluruh negara pada Rabu.

    “Rekod itu memberi harapan untuk kita bersama-sama membawa negara menuju sasaran yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

  • MAS jangka penerbangan domestik pulih akhir tahun depan

    MAS jangka penerbangan domestik pulih akhir tahun depan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    INDUSTRI penerbangan domestik dijangka kembali ke tahap sebelum pandemik menjelang akhir 2022 namun pasaran antarabangsa dijangka mengambil masa yang lebih lama untuk pulih sepenuhnya.

    Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, permulaan semula aktiviti iaitu industri penerbangan tempatandijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

    “Industri penerbangan tempatan akan kembali ke tahap seperti sebelum pandemik secara kasarnya pada 2022 sekiranya keadaan (pandemik) bertambah baik.

    “Bagi pemulihan penuh (pasaran antarabangsa) kami menyasarkan pada pertengahan 2023 atau awal 2024,” katanya pada taklimat media secara maya yang diadakan Malaysia Airlines dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), hari ini.

    Syarikat penerbangan nasional itu ketika ini menyediakan perkhidmatan penerbangan kepada kira-kira 1,000 penumpang sehari berbanding tahap sebelum pandemik sebanyak 38,000 penumpang sehari pada 2019 dan mengendalikan 1,700 bagasi setiap hari berbanding 36,000 bagasi sebelumnya.

    Sementara itu, Ahmad Luqman berkata, Malaysia Airlines akan melaksanakan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 syarikat dengan mengambil kira beberapa senario pemulihan.

    Mengenai rancangan untuk menyambung semula operasi penerbangan Firefly, beliau berkata, dijangka dimulakan secara rasmi pada awal suku pertama tahun depan bergantung kepada pemulihan pasaran domestik.

    Menurutnya, Malaysia Airlines masih meneruskan operasi penerbangan jarak jauhnya ke destinasi seperti United Kingdom, Australia, Korea Selatan, Jepun, China dan beberapa bandar raya di ASEAN, walaupun pada kekerapan yang berkurangan.

  • Setiausaha Wanita DAP Selangor, aktivis didakwa merusuh

    Setiausaha Wanita DAP Selangor, aktivis didakwa merusuh

    SETIAUSAHA Wanita DAP Selangor, Nalina Nair Rama Krishnan dan seorang aktivis didakwa di dua Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merusuh dan berkelakuan tidak senonoh di sebuah balai polis di Kuala Lumpur, minggu lepas.

    Nalina Nair, 32, dan pelajar Doktor Falsafah (PhD), Sujatra Jayarah, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandi Chin dan Wong Chai Sia.

    Mereka masing-masing dituduh telah merusuh, berkelakuan tidak senonoh atau mengaibkan di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada 9 malam, 19 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar masing-masing menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

    Peguam Farida Mohammad dan V. Yoges, yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guam mereka banyak terlibat dalam kerja amal selain tiada risiko untuk melarikan diri.

    Yoges berkata Sujatra adalah pelajar PhD sepenuh masa dan tidak mempunyai pendapatan.

    Mahkamah membenarkan Nalina Nair diikat jamin RM5,000 manakala Sujatra diikat jamin RM2,000, masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Okt depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pasangan kekasih simpan dadah bernilai RM60,000 dalam rumah sewa

    Pasangan kekasih simpan dadah bernilai RM60,000 dalam rumah sewa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan empat individu termasuk pasangan kekasih serta merampas pelbagai jenis dadah yang kesemuanya bernilai hampir RM60,000 dalam
    dalam dua serbuan berasingan di Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superitendan Mohd. Shokri Abdullah berkata, menerusi serbuan itu pihaknya berjaya membongkar modus operandi suspek yang menjadikan rumah sewa sebagai stor menyimpan dadah.

    Beliau memberitahu, kegiatan itu terbongkar selepas polis melakukan risikan selama dua minggu ke atas sindiket tersebut yang dipercayai aktif sejak tiga bulan di Lembah Klang.

    Menurutnya, dalam serbuan pertama di tempat letak kereta di Jalan Ritchie Off Jalan Ampang, polis memberkas seorang ahli sindiket dan merampas dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 66 gram dan 50 pil erimin 5 dalam beg yang dipegang lelaki itu.

    “Susulan daripada penahanan itu, polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan yang sama dan menahan tiga individu termasuk suspek utama dan teman wanitanya.

    “Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 954 gram, ganja (376 gram) dan 1,000 pil erimin 5,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Shokri memberitahu, kesemua nilai rampasan dalam kedua-dua serbuan adalah 1.02 kilogram dadah Methamphetamine bernilai RM41,000; ganja 376 gram (RM940) dan 1,050 pili Eramin 5 (RM15,750).

    Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati rumah tersebut yang disewa RM2,800 sebulan oleh suspek utama itu, dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah.

    Katanya, rumah tersebut baru tiga bulan disewa dan jumlah rampasan dadah itu boleh digunakan oleh 3,842 penagih dadah.

    “Ujuan saringan air kencing mendapati kesemua empat suspek itu positif dadah Methamphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” ujarnya.

    Kesemua mereka katanya, ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos ini.

    Beliau memberitahu, keempat-empat suspek yang berusia 23 hingga 30 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    “Dengan tangkapan ini, kita percaya berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan yang dikesan aktif di sekitar Lembah Klang,” ujarnya lagi.

  • JMG kesan 47 runtuhan tanah di Gunung Jerai

    JMG kesan 47 runtuhan tanah di Gunung Jerai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PEMANTAUAN berterusan dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama-sama beberapa lagi agensi di Gunung Jerai telah mengesan sebanyak 47 runtuhan tanah di kawasan itu yang dipercayai menjadi antara punca berlakunya kemusnahan besar dalam tragedi aliran debris atau aliran puing di kawasan itu, minggu lalu.

    Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, runtuhan itu dipercayai berpunca daripada jumlah hujan lebat luar biasa seperti dinyatakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini.

    “Kalau setakat kepala air biasa, fenomena itu memang biasa terjadi dan tidak akan membawa kepada kemusnahan sebanyak ini.

    “Namun kali ini tragedi kepala air itu disertakan dengan tanah runtuh dari cerun tinggi akibat hujan lebat. Seperti dinyatakan MetMalaysia sebelum ini, jumlah hujan lebat selama lapan jam pada hari kejadian menyamai jumlah hujan dalam tempoh sebulan dan perkara itu menjadi pencetus kepada kejadian tanah runtuh yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

    Tambahnya, keadaan itu bagaimanapun bukanlah disebabkan oleh kegiatan manusia sebaliknya sememangnya kejadian semula jadi yang akan membantu menstabilkan kembali cerun-cerun terlibat.

    “Kejadian ini berlaku apabila batuan di cerun-cerun itu mengalami proses luluh hawa. Proses ini mengambil jangka masa panjang dan berlaku secara semula jadi tanpa ada campur tangan manusia,” katanya dalam sidang akhbar .

    Sementara itu beliau berkata, sebanyak 25 daripada kejadian tanah runtuh tersebut ditemukan di kawasan Titi Hayun manakala 10 lagi berada di Batu Hampar.

    “Selain itu terdapat 10 kawasan tanah runtuh dikesan di laluan utama untuk naik ke Gunung Jerai, satu di Lembah Bujang dan satu di Tanjung Jaga.

    “Runtuhan itu ada dalam pelbagai saiz dengan yang kecil berkeluasan antara dua hingga lima meter manakala yang besar pula berkeluasan 10 hingga 50 meter,” katanya.

    Tambahnya, kebanyakan runtuhan bersaiz besar itu ditemukan di kawasan Titi Hayun dan Batu Hampar.

    “Keadaan itu menjelaskan mengapa tragedi itu memberi kesan yang amat buruk di kedua-dua kawasan tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu katanya, jumlah 47 lokasi runtuhan tanah itu mungkin akan bertambah kerana pengumpulan data sedang dijalankan di kawasan Tupah ketika ini.

    “Penerokaan kawasan di sebelah Tupah sedang berjalan dengan menggunakan dron dan peralatan lain bagi mengenal pasti keadaan di sana,” katanya.