Author: Admin

  • Guru sekolah agama didakwa pukul pelajar OKU

    Guru sekolah agama didakwa pukul pelajar OKU

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh hari ini mendakwa seorang guru agama di sebuah madrasah, di Telok Mas, Melaka atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), minggu lalu.

    Tertuduh, Mohamad Haslam Abdul Salam, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Haslam dituduh memukul bahagian badan, tangan dan kaki Muhammad Sawfi Razali, 21, menggunakan sebatang penyapu sehingga mendatangkan kecederaan.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Bahagia, Pulau Gadong, Melaka pukul jam 7 pagi, 22 Ogos lalu.

    Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 326 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Shangari, mencadangkan jaminan RM8,000.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.

    Hakim Nariman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan.

    Mahkamah turut menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Beberapa kepala, anggota manusia dalam peti sejuk bekas pemain bola

    Beberapa kepala, anggota manusia dalam peti sejuk bekas pemain bola

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEBERAPA kepala dan anggota badan manusia ditemukan dalam peti sejuk di rumah bekas pemain bola sepak Ghana, Richard Gyamfi, di kawasan Perbandaran Sunyani, Ahad lalu.

    Susulan itu polis menahan Richard, 28, yang kini bertugas sebagai pengulas bola sepak.

    Penemuan beberapa kepala dan anggota badan siap dipotong termasuk salah satunya milik remaja berusia 13 tahun, menggamparkan negara itu.

    Rahsia itu terbongkar selepas bapa remaja itu, Thomas Agyei datang ke rumah Gyamfi untuk mencari anak lelakinya Louis Agyemang Junior.

    Remaja berkenaan disyaki ke rumah suspek dari taman berhampiran, lapor Kanyi Daily.

    Gyamfi memberitahu Agyei dia tidak pernah melihat Louis dan menafikan ada kaitan dengan kehilangan remaja itu.

    Bagaimanapun, seorang rakan Agyei memberitahu melihat Gyamfi membawa Louis masuk ke dalam rumah.

    Bagi mendapatkan kepastian, Agyei ditemani rakannya masuk ke rumah Gyamfi dan mereka pada mulanya tidak menemui apa-apa yang luar biasa.

    Tidak berpuas hati, Agyei dan rakannya terus menggeledah ruang dalam rumah sebelum menemukan bilik dengan pintu terkunci.

    Agyei mendesak Gyamfi membukanya namun lelaki itu enggan berbuat demikian dengan alasan kunci pintu bilik berkenaan hilang.

    Berang dengan jawapan itu, Agyei dan rakannya menendang pintu berkenaan sebelum menemukan mayat anaknya tanpa kepala di lantai.

    Polis segera dipanggil ke tempat kejadian yang kemudian menemui dua lagi kepala dan beberapa bahagian tubuh manusia dalam peti sejuk.

    Identiti mangsa lain belum didedahkan.

    Pengarah Hal Ehwal Awam Perkhidmatan Polis Ghana, Alexander Kwaku Obeng memberitahu media tempatan bahawa mayat mangsa dibawa ke bilik forensik hospital Perkhidmatan Polis Ghana di Accra untuk dibedah siasat.

    “Sementara menunggu hasil bedah siasat, keluarga mangsa, penduduk setempat dan pegawai polis terbabit dalam kes itu dirujuk ke pakar psikiatri bagi mendapatkan sokongan.

    “Siasatan dijalankan dan suspek ditahan untuk disoal siasat,” katanya.

  • ATM tunggu laporan penuh kes anggota TUDM ditembak

    ATM tunggu laporan penuh kes anggota TUDM ditembak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KES empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kejadian tembak di Kem TUDM di Kota Samarahan, Sarawak masih lagi dalam siasatan polis.

    Menurut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, pihaknya masih menunggu perkembangan siasatan dan laporan penuh daripada pihak polis.

    “Jadi kita tidak boleh ulas lagi buat masa ini sehingga kertas siasatan polis dilengkapkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penyerahan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan Sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM di sebuah hotel di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, hari ini.

    WartaRakyat pada 13 Ogos lalu melaporkan empat anggota TUDM maut dalam kejadian tembak pada jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM di Kem TUDM, Kota Samarahan.

    TUDM kemudian menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tembak yang mengakibatkan empat anggotanya maut di kem berkenaan. – SB

  • 60 cedera letupan di depot senjata Kementerian Pertahanan Kazakhstan

    60 cedera letupan di depot senjata Kementerian Pertahanan Kazakhstan

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH depot senjata meletup di daerah Bayzakov, Kazakhstan semalam dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 60 orang cedera sehingga menyebabkan pihak berkuasa memindahkan penduduk ke empat kampung berhampiran.

    Kerajaan tempatan menerusi satu kenyataan memberitahu, letupan itu berlaku di depot senjata Kementerian Pertahanan di wilayah selatan negara itu, Jambyl.

    Kerajaan Jambyl menyatakan 60 orang termasuk 11 anggota tentera dimasukkan ke sebuah hospital di bandar Taraz kerana mengalami kecederaan.

    “Penduduk di empat buah kampung termasuk sebuah kampung yang terletak kurang 1 kilometer dari lokasi letupan turut terlibat dalam proses pemindahan itu,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

    Bagaimanapun, setakat ini letupan tersebut tidak melibatkan sebarang kematian.

    Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pula, kebakaran yang berlaku di salah satu depot di Jambyl telah menyebabkan berlakunya satu letupan.

    Kementerian itu juga menyatakan jabatan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut dan sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi menentukan punca kejadian.

    Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev berkata menerusi Twitter, bahawa askar-askar dan pekerja-pekerja perkhidmatan kecemasan cedera dalam kejadian tersebut. – Agensi

  • Kerajaan Perak belanja RM40 juta bagi kebajikan awam dan keperluan kesihatan

    Kerajaan Perak belanja RM40 juta bagi kebajikan awam dan keperluan kesihatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh, hari ini bahawa kerajaan negeri membelanjakan RM40 juta bagi tujuan kebajikan awam dan keperluan kesihatan.

    Jelas beliau, jumlah tersebut bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Kata Saarani, lebih 30 inisiatif dilaksanakan bagi sektor kebajikan dan kesihatan melibatkan bantuan kotak makanan, pengecualian sewa rumah serta penubuhan Pusat Penempatan Gelandangan.

    “Dana ini juga disalurkan untuk membantu petugas barisan hadapan melaksanakan program saringan dan sanitasi Covid-19 selain dibelanjakan bagi penyediaan kelengkapan, peralatan perubatan tambahan, pemberian bantuan one-off dan makanan.

    “Kerajaan juga telah menyediakan dana kepada semua 59 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan pengurusan Covid-19 di kawasan masing-masing.

    “Setiap pusat khidmat ADUN menerima RM40,000 dan tambahan RM20,000 lagi sekiranya kawasan mereka terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) ketika sesi soalan lisan dalam sidang DUN Perak.

    Selain itu katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada beberapa sektor lain antaranya RM14.8 juta kepada golongan penjaja, peniaga kecil dan usahawan merangkumi bantuan khas one-off kepada 41,750 penjaja serta peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta beberapa inisiatif lain.

    Menurutnya, bagi sektor pendidikan pula, sejumlah RM8.7 juta disalurkan kepada mahasiswa menerusi bantuan sara diri, pelaksanaan program Tuisyen Cikgu Saarani dan sebagainya.

  • Pemandu rentung selepas treler terbabas, terbakar

    Pemandu rentung selepas treler terbabas, terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki rentung selepas treler dipandunya terbabas dan terbakar di Kilometer 145.9 Lebuhraya Utara-Selatan, Bukit Gambir, Tangkak, semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 7.36 pagi.

    “Seramai 13 anggota bersama-sama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan bomba menggunakan kaedah dua aliran salur bantu mula dan satu aliran foam sumber air daripada lori tangki.

    “Mangsa, Aminrullrashed Azman, 38, ditemukan rentung di bahagian depan treler berkenaan.

    “Kebakaran telah memusnahkan sehingga 90 peratus kepala trleer dan 20 peratus bahagian treler tanpa muatan itu.

    “Operasi membawa mangsa keluar dan pemadaman di bawah seliaan Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Khalid Mohd Aris telah mengambil masa kira-kira 40 minit,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

    Mangsa ujarnya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 10 pagi.

    “Kemalangan telah menyebabkan kesesakan di lebuhraya sepanjang dua kilometer,” katanya.

  • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    RINGGIT mengakhiri peningkatan selama empat hari berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Jumaat ketika sentimen berhati-hati terus menguasai pasaran menjelang pengumuman mengenai barisan Kabinet baharu pada jam 11 pagi ini.

    Menurut peniaga, penurunan ringgit itu turut berkait rapat dengan aktiviti pengambilan untung secara sederhana susulan peningkatan yang dicatatkan baru-baru ini.

    Pada jam 9 pagi ini, ringgit berada pada paras 4.1995/2040 berbanding dolar AS daripada 4.1940/1965 pada akhir dagangan Khamis.

    Seorang peniaga berkata, para pelabur dilihat enggan membuat sebarang keputusan penting pada masa ini dan sebaliknya memilih untuk memantau pengumuman anggota kabinet tersebut, terutama jawatan Menteri Kewangan – tugas penting yang boleh mempengaruhi landskap ekonomi negara selepas ini.

    Malah, antara spekulasi turut menyebut kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas tugas penting tersebut.

    Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

    Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0993/1030 daripada 3.0998/1021 pada Khamis, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7458/7519 daripada 5.7659/7693 dan naik berbanding euro kepada 4.9327/9380 daripada 4.9376/9405 pada Khamis.

    Bagaimanapun, ringgit sebaliknya susut berbanding yen kepada 3.8153/8197 daaripada 3.8075/8102 sebelum ini. – Bernama

  • Pinjam vaksin masih tertakluk kepada MOSTI

    Pinjam vaksin masih tertakluk kepada MOSTI

    Oleh WARTAWAN WARTARAKYAT

    USAHA Kerajaan Negari Pulau Pinang untuk meminjam bekalan 200,000 dos vaksin Covid-19 masih tertakluk kepada kelulusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

    Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengutus surat kepada Ketua Setiausaha MOSTI berhubung kelulusan proses pinjaman itu.

    Dalam masa sama ujarnya, beliau juga akan mengadakan perbincangan secara ‘online’ bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari petang ini berhubung perkara tersebut.

    “Perbincangan itu diharap bakal membuahkan hasil demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan permintaan bagi meminjamkan kira-kira 200,000 dos vaksin Covid-19 kepada Pulau Pinang.

    Jelas beliau, permintaan itu bagi menyelesaikan pemberian vaksin dos pertama kepada baki 225,226 penduduk negeri ini pada minggu terakhir bulan ini.

    Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor atas sumbangan 20,000 dos vaksin Covid-19 kepada negeri itu.

    Ujarnya, sumbangan itu diharapkan dapat membantu merancakkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

    “Kerajaan negeri  juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng atas inisiatif mendapatkan sumbangan berkaitan daripada Menteri Besar Selangor,” katanya.

  • 31 bayi positif Covid-19 di Sabah

    31 bayi positif Covid-19 di Sabah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 31 bayi berusia di bawah satu tahun antara disahkan positif Covid-19 daripada keseluruhan 3,487 kes dilaporkan di Sabah semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun.

    Jurucakap khas Covid-19 Sabah itu berkata, 297 yang dilaporkan di Sabah semalam pula adalah kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga lima tahun, dan 632 orang berusia antara enam hingga 17 tahun.

    “Majoriti pesakit iaitu 2,240 kes adalah mereka dalam lingkungan umur 18 hingga 59 tahun dan selebihnya adalah warga emas berusia 60 tahun dan lebih,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 1,992 kes dikesan melalui saringan kontak rapat.

    “Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

    Masidi berkata, terdapat satu kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Hamparan 2 di Kinabatangan yang merupakan kluster tempat kerja yang berlaku di sebuah ladang sawit di Mukim Sukau melibatkan 21 kes kumulatif sehingga semalam.

    “Kes indeks adalah pembantu klinik wanita di ladang tersebut berusia 24 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 18 Ogos setelah bergejala sejak 12 Ogos…daripada 77 kontak yang disaring terdapat 20 orang kontak sosial, pekerja dan tanggungan turut dijangkiti,” katanya.

  • Lebih 60 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

    Lebih 60 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 60.2 peratus, atau 14,095,554 orang daripada populasi dewasa di seluruh negara telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

    Menerusi perkongsian infografik di Twitter, JKJAV memaklumkan, penerima dos pertama pula adalah sebanyak 80.09 peratus atau 18,948,648 orang.

    Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 33,044,202 dos.

    Labuan terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 92.9 peratus, atau 63,663 orang daripada populasinya telah lengkap dua dos vaksin.

    Ini diikuti Lembah Klang dengan 87.8 peratus (5,415,045), Sarawak 86.3 peratus (1,762,553), dan Negeri Sembilan 75.5 peratus (614,523), sementara Sabah kekal negeri paling rendah menerima suntikan vaksin iaitu 35 peratus (966,363) selain Kedah 41.3 peratus (635,656).

    Sementara itu, jumlah pemberian vaksinasi harian semalam adalah sebanyak 408,295 dos membabitkan 155,669 dos pertama dan 252,626 dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok Covid-19.