Author: Admin

  • Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia menurun

    Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia menurun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KADAR kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend menurun sejak empat hari lalu.

    Semalam kadar tersebut direkodkan pada 1.01 berbanding 1.02 pada hari sebelumnya.

    Sebanyak sembilan negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

    Sarawak mencatat nilai Rt tertinggi dengan 1.23, diikuti Perlis (1.21), Sabah (1.18), Pulau Pinang (1.13), Johor (1.08), Perak (1.06), Kelantan (1.06), Kedah (1.04) dan Terengganu (1.03).

    Sementara Pahang mencatat Rt sama dengan purata kebangsaan dan negeri/wilayah dengan nilai Rt lebih rendah ialah Melaka (0.99), Selangor (0.96), Kuala Lumpur (0.83), Negeri Sembilan (0.79) dan Putrajaya (0.78).

    Labuan pula mencatatkan lapan kes baharu.

    Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, sementara yang tertinggi ialah 1.21 pada 23 Mei.

    Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

  • Langkah tepat kekalkan jemaah menteri terdahulu

    Langkah tepat kekalkan jemaah menteri terdahulu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah tepat apabila mengekalkan sebahagian besar menteri dan timbalan menteri daripada kerajaan terdahulu, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Sulaiman berkata, keputusan itu penting bagi memastikan kelancaran dan kesinambungan segala pelan perancangan serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk menyelesaikan cabaran pandemik Covid-19.

    Ia termasuk usaha memulihkan ekonomi negara, mengekalkan kestabilan, menjamin kelangsungan hidup rakyat serta mengembalikan semula keyakinan pelabur dapat dilakukan dengan lebih pantas serta berkesan.

    “Bagi pihak kerajaan negeri, saya menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana telah memperkenan senarai anggota jemaah menteri Persekutuan baharu.

    “Tindakan Perdana Menteri mengekalkan sebahagian besar ahli jemaah menteri Persekutuan dalam Kabinet Persekutuan yang baharu ini dianggap sebagai langkah tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Selain itu, ujar Sulaiman, pelantikan beberapa muka baharu yang dilihat berpengalaman juga dapat membantu Perdana Menteri dalam memperkasakan lagi fungsi dan peranan Kabinet Persekutuan sebagai pasukan pengurusan yang tertinggi serta utama.

    “Saya berharap dan mendoakan semoga Allah memberi kejayaan kepada Keluarga Malaysia dan merahmati pertiwi bertuah ini,” katanya.

  • Kompleks Rawatan Harian HTAR dibuka semula Isnin ini

    Kompleks Rawatan Harian HTAR dibuka semula Isnin ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KOMPLEKS Rawatan Harian (ACC) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang sebelum ini telah dijadikan wad sementara bagi menempatkan pesakit COVID-19 akan dibuka semula Isnin ini.

    HTAR memaklumkan pasukan Bomba dan Penyelamat Seri Andalas dan Pelabuhan Klang bersama-sama dengan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam telah datang ke hospital berkenaan bagi melaksanakan proses sanitasi dan dekontaminasi ACC yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.

    “Ia merupakan proses sanitasi dan dekontaminasi terakhir sebelum ACC dibuka semula pada Isnin depan,” menurut hospital itu menerusi hantarannya dalam Facebook.

    HTAR memaklumkan bagi pengoperasian semula klinik-klinik di ACC pula, ia dijangka akan bermula pada September ini.

  • Dua kanak-kanak mangsa dera ibu tunggal, kekasihnya diselamatkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa dera diselamatkan polis di sebuah pangsapuri di Kota Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, siasatan mendapati kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun didera ibu tunggal dan kekasihnya.

    “Turut dirampas tiga rotan pelbagai saiz digunakan suspek untuk mendera kanak-kanak lelaki dan perempuan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Biarkan Ismail Sabri bekerja, UMNO jangan beri tekanan

    Biarkan Ismail Sabri bekerja, UMNO jangan beri tekanan

    MASIHKAH kita ingat tujuh perkara yang digariskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang didakwa kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga mendorong parti itu menarik sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri pada 7 Julai lalu?

    Antara tujuh perkara itu ialah mendakwa kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan,  kegagalan kerajaan mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang dan kegagalan kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.

    Ini termasuklah tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi-agensi kerajaan lain seperti LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti BPR, BPN dan BKC yang lambat dan amat terhad.

    Dan malam tadi perkara ini yang  hampir serupa digariskan sebagai ketetapan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO ‘dilontarkan’ pula kepada Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dilaksanakan.

    Kali ini ia dengan tiga lagi gesaan atau desakan iaitu penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan yang dilakukan oleh Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi-institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

    Kerajaan terus menggunakan jenama ;’Keluarga Malaysia’ dan tidak lagi Kerajaan Perikatan Nasional dan menyahut titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi pandemik Covid-19.

    Dalam kenyataan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang diedarkan kepada media pada awal pagi ini turut disertakan dengan perkataan, ‘’beberapa panduan utama telah dibincangkan dan DIPERSETUJUI bersama YAB Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO bagi memastikan kelancaran perjalanan kerajaan.’’

    Dalam bahasa mudahnya, Ismail Sabri harus memastikan semua ‘desakan dan gesaan’ UMNO itu dilaksanakan.

    Persoalannya, kenapa UMNO mahu memberi tekanan kepada Ismail Sabri dan menggariskan perkara-perkara yang perlu dilakukan dan ada antaranya pernah dijadikan alasan untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada kerusi Perdana Menteri?

    Apakah MT UMNO juga akan membuat keputusan menarik sokongan kepada Ismail Sabri jika beliau gagal melaksanakan perkara yang ‘DIPERSETUJUI’ itu? Perlu diingatkan dahulu UMNO juga mendakwa Muhyiddin tidak melaksanakan perkara yang dipersetujui.

    Sepatutnya Ahmad Zahid dan MT UMNO tidak perlu membuat demikian jika mereka benar-benar meneliti apa yang dinyatakan oleh Ismail Sabri dalam ucapannya ketika mengumumkan barisan Kabinet semalam.

    Perdana Menteri awal-awal lagi sudah menegaskan,’’ Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.’’

    Begitu juga ketetapan MT untuk permuafakatan rentas parti bagi menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat. Bukankah dalam para kelapan ucapannya, Ismail Sabri sudah menegaskan,;

    ‘’Saya akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.’’

    Justeru apa perlu lagi MT UMNO untuk menekankan perkara yang sudah Perdana Menteri tegaskan dalam ucapannya? Adakah ini di kemudian hari kepemimpinan UMNO akan ‘mendabik dada’ menyatakan kejayaan kepemimpinan Ismail Sabri adalah hasil desakan parti itu?

    Agak aneh apabila MT UMNO begitu beria-beria mahukan RCI ditubuhkan SEGERA bagi menyiasat pendedahan oleh Tommy Thomas. Kenapa perlu SEGERA? Apakah RCI tersebut lebih penting daripada pandemik Covid-19 yang sepatutnya diberi tumpuan penuh berbanding penubuhan RCI yang akan dianggap bermotif politik?

    Penubuhan RCI ini tidak perlu disegerakan kerana Ismail Sabri dan Kabinet mempunyai urusan yang lebih penting untuk diuruskan. Bila semua sudah selesai barulah, beliau boleh menumpukan kepada soal-soal lain. Buat masa ini perkara paling utama ialah mengeluarkan negara dari pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.

    Senang cakap, Ismail Sabri dan Kabinetnya mempunyai tugas lain untuk disegerakan berbanding penubuhan RCI melibatkan pendedahan Tommy Thomas.

    Begitu juga soal tuntutan lapuk UMNO berkaitan moratorium dan i-Citra, semua perkara itu sudah dilaksanakan, biasalah ada sikit sebanyak kelemahan tetapi kita percaya kerajaan terdahulu melakukannya mengikut  kemampuan kewangan negara dan kenapa tuntutan atau kehendak seperti mana dikehendaki oleh parti tersebut tidak boleh dilaksanakan.

    Rasanya sudah cukup UMNO menggunakan ‘modal lapuk’ itu untuk menunjukkan parti tersebut mahu menjadi pembela rakyat. Tak kanlah bertukar Perdana Menteri pun masih lagi ‘menyanyi lagu yang sama’.

    Betul, mereka akan menegaskan, ia demi kepentingan rakyat tetapi kerajaan termasuk Ismail Sabri pasti akan berhadapan dengan  isu kenapa ia tidak boleh dilaksanakan seperti mana dituntut oleh UMNO. Jadi janganlah MT UMNO dilihat mahu menyusahkan Ismail Sabri.

    Tindakan MT UMNO bercakap soal penggunaan nama kerajaan juga agak melucukan. Tak kanlah bermesyuarat berjam-jam, perkara seumpama itu dibangkitkan. Sebenarnya nak guna nama apa sekalipun itu bukanlah isu. Apa yang lebih penting keberkesanannya.

    Kenapa alergi sangat dengan nama Perikatan Nasional (PN)? Alasan UMNO, ‘’kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara parti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional. Jika itu hujah maknanya, UMNO janganlah terlalu banyak sangat mahu memberi tekanan kepada Ismail Sabri dengan ketetapan itu dan ini.

    Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri dengan sokongan 114 ahli Parlimen dan daripada itu jumlah 42 datang daripada BN manakala 73 daripada gabungan PN. Justeru Ahli Parlimen Bera itu bertanggungjawab untuk menyantuni semua parti bukan mahu melayan kehendak politik UMNO sahaja.

    Kalaulah Pas melalui Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi kepercayan penuh kepada Ismail Sabri menguruskan negara tanpa meletakkan apa-apa desakan dan gesaan, kenapa yang UMNO beria-ia benar mahu berbuat demikian kepada Naib Presiden mereka sendiri?

    Sepatutnya Ismail Sabri tidak diganggu dengan tekanan daripada mana-mana parti apabila sudah membentuk Kabinet. Kalau ada yang mahu memberi pandangan, boleh sahaja tetapi jangan dilihat berbentuk desakan sehingga menjejaskan tumpuan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

    Pemimpin-pemimpin UMNO harus memberi ruang kepada Ismail Sabri bertugas dengan tenang. Walaupun beliau daripada UMNO tetapi beliau adalah Perdana Menteri kepada semua termasuklah parti-parti politik.

    Cukuplah dengan apa yang dilakukan oleh segelintir pemimpin UMNO dan ‘batu api’ mereka terhadap Muhyiddin, tak kanlah perkara yang sama mahu dilakukan kepada Ismail Sabri pula?

    Apakah selepas ni kita mahu menyaksikan pada awal pagi seperti mana 7 Julai lalu, Presiden UMNO muncul mengumumkan penarikan sokongan kepada Perdana Menteri dengan alasan yang dilihat bermotif politik?

    Justeru kepemimpinan dan MT UMNO tidak perlu mengganggu Ismail Sabri. Beliau berhadapan dengan cabaran besar dan segala misi yang beliau gariskan ketika ucapan pengumuman Kabinet semalam tidak akan dicapai jika Perdana Menteri diganggu dengan serangan bermotif politik seperti mana dialami Muhyiddin.

    Cukuplah sekali! Jangan sampai orang kata kerja UMNO hanya mahu menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan sahaja.

  • Lelaki berputih mata wang simpanan RM24,291 lesap ditipu Macau Scam

    Lelaki berputih mata wang simpanan RM24,291 lesap ditipu Macau Scam

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    IMPIAN seorang lelaki untuk mendapat pekerjaan bukan sahaja menemui kegagalan, sebaliknya dia terpaksa berputih mata apabila wang simpanan miliknya berjumlah RM24,291 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam pada 20 Ogos lalu.

    Mangsa berusia 41 tahun yang juga seorang penganggur dikatakan berminat untuk mendapatkan pekerjaan itu selepas melihat iklan tawaran kerja sambilan di laman sosial Facebook (FB) miliknya.

    Menurut Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa pada mulanya bertindak menekan link iklan berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut berhubung tawaran pekerjaan itu menerusi pesanan aplikasi WhatsApp suspek.

    Katanya, setelah berhubung, suspek menawarkan kerja sambilan agak lumayan dengan pembayaran komisen sehingga 10 peratus sekiranya tugasan diberi dapat diselesaikan mangsa.

    Bagaimanapun katanya, suspek meminta mangsa membayar RM3,000 terlebih dahulu sebagai wang proses dan ia akan dipulangkan semula.

    “Berikutan itu, pada Jumaat lalu, suspek memberi mangsa tugasan pertama dan kedua di mana mangsa berjaya memperoleh kembali wang proses dibayarnya berserta komisen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir memberitahu, suspek mula meneruskan modus operandinya dengan memberi tugasan berikutnya dalam usaha untuk memperdaya mangsa.

    Beliau berkata, mangsa kemudian diberikan sebanyak 12 tugasan lagi selain perlu membayar wang proses untuk tugasan tersebut.

    “Mangsa akhirnya telah memasukkan wang ke tiga akaun bank berbeza dengan 12 transaksi berjumlah RM24,291.

    Namun katanya, sehingga ini mangsa masih belum menerima semula wang proses tersebut, begitu juga dengan komisen seperti dijanjikan suspek.

    Kemudian, ujar Mohd Wazir, mangsa yang merasakan dirinya ditipu oleh sindiket telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • AS serang sasaran Daesh di Afghanistan

    AS serang sasaran Daesh di Afghanistan

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AMERIKA Syarikat (AS) mula bertindak balas terhadap kematian 13 tenteranya di lapangan terbang di Kabul, Afghanistan kelmarin, dengan melancarkan serangan dron terhadap sasaran Daesh di negara itu, hari ini.

    Serangan negara yang dianggap ‘polis dunia itu’ dilakukan ketika operasi pemindahan kini memasuki peringkat akhir dan semakin genting.

    Perkembangan itu sekali gus menyaksikan tentera AS yang mengawal proses pemindahan keluar dari Afghanistan terpaksa menjalinkan kerjasama keselamatan lebih rapat dengan Taliban untuk mencegah berulangnya insiden berkenaan.

    Pentagon mengumumkan, pihaknya melakukan serangan dron ke atas ‘perancang’ daripada kumpulan terbabit di timur Afghanistan.

    “Petunjuk awal ialah kami membunuh sasaran,” kata Kapten Bill Urban daripada Komando Pusat AS.

    Kelmarin, Afghanistan digemparkan dengan letupan bom terbaharu yang mengorbankan 20 orang awam dan 13 tentera AS yang berasak di luar lapangan terbang di Kabul.

    Kejadian tersebut belaku ketika mereka yang berada di lapangan terbang itu mahu meninggalkan negara tersebut, menjelang tarikh akhir 31 Ogos ini untuk AS dan negara Barat lain menyelesaikan proses pemindahan berkenaan,

    Setakat ini kira-kira 100,000 orang sudah dibawa keluar.

    Walaupun masih tiada bukti siapa melakukan serangan itu, media barat melaporkan kumpulan IS bertanggungjawab atas serangan tersebut.

  • Penduduk di lima pulau capai imuniti kelompok 100 peratus

    Penduduk di lima pulau capai imuniti kelompok 100 peratus

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENDUDUK di lima pulau di Mersing berjaya mencapai imuniti kelompok 100 peratus selepas lengkap menerima dos kedua vaksin menerusi Program Pemberian Vaksin (PPV) bergerak, semalam.

    Pegawai Kesihatan Daerah Mersing, Dr. Norzaher Ismail berkata, pemberian dos kedua itu melibatkan 1,000 penduduk termasuk pekerja dalam sektor pelancongan di pulau-pulau di daerah berkenaan.

    “Setakat ini tiada masalah membabitkan penduduk di pulau dan tiada yang menolak menerima suntikan vaksin.

    “Ini berikutan tahap kesedaran dan juga kerjasama amat baik melibatkan sektor pelancongan, pejabat daerah, Mersing Tourism Association (MTA),” katanya ketika ditemui pemberita pada PPV Dos Kedua Secara PPV bergerak Mukim Pulau Daerah Mersing di Pulau Besar, Mersing, semalam.

    Sementara itu, Penghulu Mukim Pulau-Pulau/Tenggaroh Daerah Mersing, Muhammad Nur Fahmi Zulkifli berharap dengan tercapainya kolompok imuniti itu akan kembali merancakkan sektor pelancongan di pulau-pulau di Mersing.

    “Kita bersedia terima kehadiran pelancong pada bila-bila masa jika aktiviti pelancongan sudah dibenarkan,” katanya.

    Dalam pada itu, penduduk Pulau Besar, Nurul Akma Kamal, 33, berkata, dia sememangnya sudah sekian lama menanti untuk mendapatkan janji temu vaksin malah tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkannya.

    “Saya sendiri memang mahu cepat-cepat vaksin sebab bekerja di resort di pulau ini dan kini saya diminta kerja di darat menjaga cafe. Bila ramai yang sudah vaksin di pulau ini, diharapkan pelancongan di sini dapat dibuka dengan cepat,” katanya.

    Mariana Nawang, 45, pula lega sudah lengkap menerima vaksin dan juga berharap pelancong mula kembali datang ke pulau berkenaan.

    Setiausaha Mersing Tourism Association (MTA), Ahmad Firdaus Shaik Omar berkata, MTA sudah memulakan Kempen Pendaftaran Vaksinasi Pelancongan pada 1 hingga 6 April lalu. 

    Katanya, bermula dengan 100 nama akhirnya meningkat menjadi 600 peserta terdiri daripada pekerja dalam sektor pelancongan meliputi penginapan, bot sewa pelancong, agensi pengembaraan dan pemandu pelancong. 

    “Semoga usaha pelbagai pihak ini dapat memberikan persediaan awal sebelum tibanya musim monsun pada November nanti. Dijangka pelancongan bakal bergerak aktif menjelang Februari 2022,” katanya.

  • Bonnie raih emas pertama Malaysia di Paralimpik Tokyo

    Bonnie raih emas pertama Malaysia di Paralimpik Tokyo

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    MALAYSIA raih pingat emas pertama menerusi Bonnie Bunyau Gustin dalam acara Powerlifting kategori lelaki 72 kilogram Paralimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

    Bonnie melakukan angkatan seberat 228kg sekali gus memecah rekod baharu sukan Paralimpik.

    Anak kelahiran Sarawak itu sekali cuba untuk memecahkan rekod dunia dengan angkatan seberat 231 kg namun tidak berjaya.

    Bonnie sebelum ini memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230kg yang sebelumnya dipegang Roohallah Rostami dari Iran dengan angkatan 229kg semasa di Para Asia Jakarta 2018.

    Sementara itu, pencabarnya dari Mesir, Mahmoud Attia melakukan angkatan 191kg bagi pingat perak, manakala wakil Great Britain, Mickey Yuli meraih pingat gangsa dengan angkatan seberat 182kg

  • Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji

    Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini.

    Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

    Menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik dalam Facebook hari ini, Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

    “Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” demikianmenurut kenyataan Istana Negara tersebut.

    Baginda berdua turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

    Dilahirkan pada 16 September 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merupakan tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam negara yang amat disegani dan dihormati.

    Allahyarham juga adalah pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.