KEHIDUPANNYA sentiasa dibelenggu masalah, selain kegagalan dalam rumahtangga, dia juga menghidap penyakit angin ahmar disamping sejenis penyakit ganjil dan aneh, iaitu wajahnya ditumbuhi misai dan janggut seperti seorang lelaki.
Begitulah keperitan hidup yang terpaksa dihadapi seorang warga emas, Che Halimah Che Mood, 62, dari Kampung Batu Karang, Pasir Mas, Kelantan.
“Saya bukan lelaki tetapi wanita tulen,” ujarnya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurut Che Halimah, dia dianggap berwajah ‘pelik’ kerana memiliki misai dan janggut.
Ceritanya, dia diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu, tetapi penyakit ditumbuhi misal dan janggut telah membelenggu hidupnya sejak di usia awal 20-an lagi, menyebabkan dia terpaksa bercukur dua atau tiga kali seminggu agar kelihatan seperti wanita biasa.
“Mak cik sudah berjumpa doktor untuk mengetahui punca masalah dan disahkan mempunyai kadar hormon testosteron yang tinggi.
“Selama berpuluh tahun mak cik terpaksa bercukur supaya tidak dipandang aneh oleh masyarakat sekeliling.
Tetapi, keadaan mak cik bertambah teruk setelah diserang angin ahmar sehingga separuh badan sebelah kiri mak cik lumpuh,” ujarnya.
Che Halimah sebelum ini pernah berhadapan dengan kegagalan berumahtangga sebanyak dua kali.
“Mak cik tidak mempunyai anak untuk menumpang kasih, cuma bergantung kepada adik, Mohammad Kamaruddin Abdullah, 42, dan isterinya, Nur Asmira Che Hussin, 36, yang sanggup menjaga makan dan minum mak cik dan ibu yang sudah tua, Kalsom Mamat, 93.
Sekarang katanya, Nur Asmira lah yang membantu mencukur misai dan janggutnya sekali atau dua kali seminggu agar tidak panjang seperti lelaki.
Terdahulu, Che Halimah dikunjungi wakil Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar yang menyampaikan sumbangan kewangan, barangan keperluan serta lampin pakai buang kepadanya.
Menurut Che Halimah, dia mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, digunakan untuk membeli keperluan lampin pakai buang dengan kos RM250 sebulan.
“Ketika masih sihat dan kuat, mak cik banyak merantau mencari rezeki termasuk pernah bekerja di Singapura sebagai tukang masak restoran di sana.
Sebolehnya, mak cik tidak mahu menyusahkan orang sekeliling, tetapi apakan daya mak cik diuji dan kini hanya mampu terbaring sahaja.
“Sebelum ini, mak cik tidak pernah menceritakan maslah ini kepada orang lain, kecuali keluarga terdekat sahaja,” ujarnya.
KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah premis di Lorong Hajah Saonah, Kampung Parit Banyu Mas, Parit Yan, Batu Pahat, terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melakukan serbuan semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan serbuan pada jam 6 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.
“Antara rokok seludup yang berjaya dirampas melibatkan 250 karton John D Blend 20 batang; 150 karton John JGI 25 batang; 125 karton John White 25 batang; 25 karton John British 20 batang; 50 karton Canyon Premium Red 20 batang dan 200 karton Canyon Mentol Hijau 20 batang.
“Ini termasuk 100 karton rokok Gudang Garam 12 batang; 50 karton rokok Gudang Garam 16 batang; 120 karton rokok Nusantara Hijau 12 batang; 40 karton rokok Nusantara Merah 12 batang dan 75 karton Dji Sam Soe 234 Fatsal 5 12 batang.
“Selain itu 10 karton Dji Sam Soe Super Premium 12 batang; 60 karton rokok Sampoerna 16 batang; lapan karton Canyon Blast 20 batang dan 30 karton RE Bold 16 batang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Batu Pahat dan Yong Peng.
Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM234,306, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar daerah Batu Pahat dan Yong Peng,” katanya.
Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280.
KERAJAAN perlu mengkaji semula pelaksanaan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi mencapai keseimbangan positif terhadap kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kajian perlu dibuat kerana beberapa syarat baharu kepada peserta program dilihat terlalu ketat ketika ia diumum untuk dilaksanakan kembali.
Sultan Ibrahim bimbang dengan syarat-syarat itu yang dilihat akan menjejaskan kemasukan peserta baharu selain menjejaskan pemegang pas MM2H sedia ada.
“Penetapan syarat baharu seharusnya lebih baik, bagi mendorong kemasukan pelancong serta pelabur untuk kembali meningkatkan ekonomi negara.
“Jika syarat baharu terlalu ketat, kemungkinan boleh memberi kesan kepada pendapatan negara, serta memberi tekanan kepada peserta baharu dan sedia ada.
“Ini amat mengecewakan kita di Johor di mana kita mempunyai hubungan sejarah yang lama dengan Singapura serta rakyatnya, syarat baharu ini kemungkinan akan menyebabkan mereka tidak melabur di Johor,” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.
Sejak dimulakan pada 2002, seramai 57,478 warga asing telah diberikan pas jangka panjang sebelum program MM2h dihentikan pada September 2018 untuk dikaji semula dengan syarat-syarat baharu diperkenalkan, minggu lalu.
Mengikut syarat baharu, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.
Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.
Sultan Ibrahim turut bertitah, kerajaan juga perlu mempertimbang untuk mengembalikan kriteria ditetapkan sebelum ini yang berkesan dalam mempromosi Malaysia sebagai antara destinasi persaraan antarabangsa.
“Peraturan baharu ini akan menyebabkan lebih banyak pemegang pas MM2H keluar dari negara ini. Bagaimana kita hendak mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan.
“Jika kita kerap mengubah peraturan, ini boleh menyebabkan ketidakyakinan dalam kalangan peserta, dan ini juga bukan masanya untuk menaikan kadar fi. Pengubahan syarat secara drastik juga akan menjejaskan imej negara,” titah baginda.
SERBUAN dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari unit D7 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman berjaya merampas lebih dua kilogram (kg) dadah jenis heroin di Kampung Sungai Division, Sungai Petani Kedah baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, ACP Mohd. Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, Khamis lalu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 23 tahun.
“Hasil pemeriksaan di sebuah pondok berdekatan ladang kelapa sawit telah menemukan 439 bungkusan kecil plastik lutsinar bahan disyaki dadah jenis heroin seberat. 2.05 kg serta peralatan membungkus dadah.
“Selain itu dua bilah pedang turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM14,000.
“Hasil ujian urin mendapat seorang daripada mereka positif dadah jenis THC manakala seorang lagi negatif,” katanya.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Muda turut menyita harta suspek iaitu satu rantai berwarna kekuningan yang dianggarkan bernilai RM5,000.
“Kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 27 Ogos lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.,” ujarnya
SEORANG anggota tentera dikhuatiri lemas dipercayai ketika latihan sempena Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, Bera, Pahang, semalam.
Insiden itu dimaklumkan adik mangsa selepas dimaklumkan kakak iparnya bahawa abangnya dikhuatiri lemas ketika latihan tersebut.
Noor Suhada Mohamad Isa, 24, ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini, mengesahkan kejadian itu yang menimpa abangnya, Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.
Menurutnya, kejadian membabitkan abangnya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu diketahui menerusi isteri abangnya kira-kira jam 7 petang semalam.
“Abang memang ada beritahu mengenai latihan di Pahang dan kali terakhir saya jumpa dia (Mohamad Azrin) pada Januari lalu.
“Tiada perubahan sikap yang ditunjukkan dan dia ceria seperti biasa” katanya lagi.
Mengharapkan abangnya segera ditemui, Noor Suhada memberitahu, anggota tentera itu satu-satunya anak tunggal lelaki daripada empat beradik.
“Abang seorang penyayang, ceria dan sangat disenangi kerana sikapnya yang suka membantu orang,” ujarnya.
Sebelum ini, pada Sabtu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan dan melihat latihan yang dijalankan sempena eksesais tersebut.
Eksesais Para Predator merupakan salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka dalam tempoh 14 hari melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak turut memuat naik status mengenai insiden itu dalam laman Facebook miliknya dan melawat di tempat kejadian pada petang semalam.
GARA-gara menggunakan dua keping wang palsu RM100 untuk membeli nasi dan rokok, seorang penganggur dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.
Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhamad Fizwan Norruhadi, 34, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 23 Ogos lepas.
Tertuduh yang beralamat di Sungai Isap 3 di sini, didakwa menggunakan wang palsu RM100 sebagai tulen untuk membeli nasi bungkus berharga RM5 di sebuah gerai makan di Beserah di sini pada 9.30 pagi 21 Ogos lepas.
Dia juga didakwa menggunakan sekeping lagi wang palsu itu pada 3.18 petang hari yang sama di sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota di sini, untuk membayar sebungkus rokok bernilai RM12.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menjaga bapanya yang berusia 64 tahun. – BERNAMA
KETIKA Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan Kabinet pada 27 Ogos lalu pelbagai gelaran diberikan oleh pelbagai pihak termasuklah Kabinet 69, Kabinet besi buruk, Kabinet kitar semula dan macam-macam lagi.
Maklumlah, sekarang ni ramai berasa lebih bijak daripada Perdana Menteri untuk membentuk Kabinet. Dan ada pula parti-parti politik yang berasa ‘puak’ mereka sahaja layak menguruskan negara.
Oleh itu hari ini, apabila selesai mengangkat sumpah kesemua menteri perlu membuktikan segala ‘kata-kata nista’ tersebut tidak benar. Mereka hanya mempunyai 100 hari sahaja untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Usah lakukan tindakan ibarat ‘beri peluru’ kepada musuh
100 hari bukanlah satu tempoh yang panjang, ikut kiraan kasar tiga bulan 10 hari sahaja. Jadi setiap hari, setiap jam adalah penting bagi kesemua menteri-menteri tersebut. Mereka tidak boleh habiskan masa dengan membuat Tik Tok entah apa-apa, membuat gimik menjadi penghantar makanan atau melakukan tindakan lain yang ibarat memberi ‘peluru kepada musuh’.
Sebenarnya ‘musuh’ mereka pun bukanlah hebat sangat. Semasa memerintah 22 bulan dulupun, rakyat sudah tahu sejauh mana kemampuan mereka. Kemampuan mereka setakat menjadi pembangkang seperti sekarang… itu sahaja, sebab bila jadi kerajaan ‘kelam kabut’ mereka…lebih teruk lagi.
Tetapi menteri-menteripun kenalah buat kerja betul-betul. Dalam tempoh 100 hari beri tumpuan sepenuhnya kepada isu berkaitan rakyat. Soal dasar-dasar lain boleh diketepikan dulu, yang penting sekarang mencapai misi ditetapkan oleh Perdana Menteri iaitu memulihkan ekonomi dan menyejahterakan rakyat.
Dalam soal ini, menteri-menteri di kementerian yang ada kaitan atau hubungan langsung dengan rakyat perlu memberi tumpuan kepada tugas mereka.
Jangan dalam tempoh 100 hari ini, dok lenggang lenggok lagi, seolah-olah seronok dapat kembali ke pejabat menteri, apatah lagi siapa sangka lepas letak jawatanpun dapat semula jawatan lama.
Tidak mengapalah itu rezeki menteri berkenaan tetapi kali ini mana-mana menteri yang dilihat pernah melakukan tindakan kontroversi sehingga mencetuskan kemarahan atau menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada rakyat tidak harus mengulangi perbuatan itu.
Yang mahu beri bantuan kepada keluarga miskin, tak payahlah menteri pergi bersama ‘rombongan Cik Kiah’ …kalau boleh diwakilkan kepada pegawai lagi bagus supaya menteri boleh tumpu urusan lain pula.
Selesai isu menyentuh rakyat secara langsung
Kalau melihat reaksi dalam media sosial, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi antara kementerian paling mendapat perhatian. Respons negatif jauh lebih banyak daripada positif. Kenapa jadi begitu?
Menteri Pendidikan Datuk Dr.Radzi Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad tidak perlu terasa dengan respons negatif itu. Jangan gabra atau panik tidak tentu hala.
Apa yang penting lihat satu demi satu kritikan itu. Yang mana ada kelemahan perbaiki, yang mana sudah baik perkukuhkan. Tidak boleh ada dasar atau tindakan ‘flip flop’ yang menyusahkan rakyat.
Sebelum membuat apa-apa keputusan, fikirkan dulu kesannya kepada rakyat. Jangan pagi suruh hantar anak masuk mendaftar, petang suruh ibu bapa jemput semula anak mereka. Semua itu menyusahkan.
Tidak perlu membuat pengumuman atau keputusan kementerian dengan ‘pelbagai gaya’ apa yang penting ialah adakah apa yang mahu dilakukan benar-benar memberi manfaat dan akan menguntungkan rakyat.
Begitu juga yang jaga ekonomi khususnya Kementerian Kewangan, penulis yakin Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz boleh meneruskan kerja-kerja dan misi beliau yang tergendala sebelum ini.
Penulis akui sudah banyak dilakukan oleh Kementerian Kewangan dalam usaha membantu rakyat tetapi masih ada ruang yang perlu diperbaiki khususnya melibatkan soal moratorium dan beberapa isu lain.
Walaupun kehadiran beberapa muka lama dalam Kabinet dilihat ‘tidak begitu disenangi’ namun penulis secara peribadi tidak nampak apa-apa masalah dengan pelantikan Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Shahidan Kasssim.
Ketiga-tiga mereka ada pengalaman dalam Kabinet. Penulis yakin mereka akan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. Kalau mahu ikut pembangkang, siapapun yang dilantik mereka tidak akan berpuashati, jadi biarkan sahaja.
Jangan biarkan Timbalan Menteri sekadar pelengkap struktur kementerian
Seperkara lagi, penulis berharap menteri tidak menjadikan timbalan mereka sekadar pelengkap kepada struktur kementerian. Dalam keadaan mereka mempunyai masa cukup suntuk bagi mencapai KPI ditetapkan, adalah wajar para menteri membahagi-bahagikan tugas dengan timbalan masing-masing.
Pembahagian tugas ini penting bagi mengelakkan kehadiran timbalan menteri dilihat tidak ada ada apa-apa fungsi. Sebab itulah rakyat tidak kenal mereka dan pelantikan mereka dilihat hanya membazir wang rakyat.
Penulis faham menteri mungkin tidak mahu timbalannya membayangi beliau tetapi sekarang bukan masa mahu soal bayang membayang atau bayang-bayang, sekarang ialah masa untuk menumpukan sepenuh tenaga bagi memulihkan negara dan menyejahterakan rakyat.
Apa yang penting setiap tindakan timbalan menteri perlu diketahui oleh menteri dan dlihat tidak bertentangan dengan menteri khususnya melibatkan soal dasar dan keputusan kementerian.
Sememangnya cabaran kepada seluruh anggota Kabinet amat mencabar. Dalam tempoh 100 hari ini, apa sahaja yang mereka lakukan akan diperhatikan dan dinilai.
Tidak kisah kalau penilaian itu dibuat secara objektif tetapi dalam keadaan kekalutan politik yang masih terasa bahangnya, penulis tidak yakin menteri akan dinilai secara adil. Tetapi penilaian oleh ahli politik tidak penting, yang penting penilaian rakyat.
Sebab itulah tumpuan perlu diberikan kepada rakyat bukan memikirkan apa yang akan dinilai oleh parti politik. Rakyat yang akan menilai dan rakyat yang akan menentukan nasib menteri-menteri.
Justeru jangan ada menteri yang masih tidak faham-faham lagi, termasuklah pegawai mereka, janganlah emosi bila ‘boss’ dikritik. Ambil sahaja apa yang dikritik sebagai ‘input’, kalau ada kebenaran sampaikan kepada ‘’boss’ supaya ditangani, kalau nampak lebih banyak berunsur peribadi atau bermotif politik,tenang-tenang sahaja.
Kesimpulannya, para menteri dan timbalan menteri yang memulakan tugas secara rasmi hari ini perlu memahami cabaran besar menanti mereka. Jika dalam tempoh 100 hari ada antara mereka gagal mencapai KPI yang ditetapkan, pandai-pandailah ‘bawa diri’. Ia bagi mengelakkan seluruh Kabinet menjadi ‘mangsanya’.
EMPAT lelaki yang terlibat dalam satu video memaparkan seorang bomoh dipukul sehingga tular di media sosial awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul tanpa senjata sehingga menyebabkan kecederaan.
Bagaimanapun, keempat-empat lelaki itu yang juga pengamal perubatan tradisional iaitu Mohd Syamsul Izwan Midin, 33, Idris Ishak, 42, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 33, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 39, di sebuah inap desa, dekat sini kira-kira 4 petang, pada 5 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahril Ramli manakala peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili kesemua OKS memohon jumlah jaminan paling minimum.
Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS dan menetapkan 4 Okt depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.- BERNAMA
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 8 November sebagai tarikh untuk menentukan sama ada membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak pelbagai barangan yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta beberapa individu dan syarikat selepas 9 Mei 2018.
Keputusan itu telah dibuat oleh Hakim, Mohamed Zaini Mazlan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menghantar penghujahan bertulis untuk menyokong permohonan itu.
Harris berkata, mereka akan bergantung pada penghujahan bertulis dan tidak akan membuat penghujahan lisan di mahkamah.
“Saya percaya semua telah bersetuju untuk mahkamah menetapkan tarikh bagi keputusan itu,” katanya.
Hakim secara berseloroh membalas dengan berkata Ia akan menjadi minggu yang baik.
Zaini turut berkata, mahkamah memerlukan kira-kira dua bulan untuk membuat keputusan dan menyediakan penghakiman bertulis sebelum 8 November.
Kerajaan memohon untuk melucut hak beratus-ratus barangan yang dirampas daripada Najib dan 17 individu serta syarikat pada 2018, dengan mendakwa barangan itu diperolehi daripada aktiviti yang melanggar undang-undang.
Antara individu yang dinamakan dalam permohonan pelucutan hak itu adalah Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Aziz, anak-anak Najib, bekas pegawai bank Goldman Sachs dan ibu Low Taek Jhor, Goh Gaik Ewe.
Barangan itu termasuk beg tangan mewah, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, jam tangan, kasut dan 27 buah kenderaan dan wang sebanyak RM18 juta dalam beberapa akaun simpanan dan sebuah banglo milik keluarga Low di Tanjung Bungah, Pulau Pinang turut dirampas.
SEKURANG-KURANGNYA 30 maut dalam serangan peluru berpandu dan dron di pangkalan tentera utama selatan Yaman semalam.
Menurut jurucakap tentera Yaman, kejadian itu antara serangan paling dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan.
Seorang anggota tentera yang terselamat, Nasser Saeed berkata, serangan itu berlaku di kawasan perumahan tentera di Pangkalan Udara Al-Anad.
“Peluru berpandu itu mendarat dan meletup di kawasan yang didiami 50 tentera,” katanya.
Jelas pegawai Yaman, sekurang-kurangnya tiga letupan berlaku di pangkalan udara itu namun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas insiden tersebut.
Sebaliknya, pegawai Yaman menyalahkan pihak Houthi atas serangan yang berlaku.
Walau bagaimanapun, jurucakap tentera Houthi tidak mengesah atau menafikan serangan itu.
Houthi sebelum ini melancarkan serangan serupa pada 2019 yang mengorbankan enam tentera.
Konflik yang berleluasa di Yaman telah mengorbankan 130,000 nyawa dan menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia.