Author: Admin

  • BNPL jerat golongan muda ke ‘Lubuk Hutang’

    BNPL jerat golongan muda ke ‘Lubuk Hutang’

    DEWASA ini, platform dalam talian ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ atau BNPL semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, khususnya orang muda, dengan aplikasi mudah alih bersepah, sedia dimuat turun.

    Sepertimana cogan kata, pengguna boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan tanpa membuat pembayaran dahulu dengan prosedurnya semudah ABC – hanya perlukan kad pengenalan dan pengesahan wajah pembeli bagi tujuan pendaftaran – dan 10 minit kemudian seseorang sudah boleh berbelanja. 

    Namun, bagai ada udang di sebalik batu, BNPL sebenarnya berisiko menjerat pengguna ke ‘lubuk hutang’, kata penganalisis.

    “Saya melihat BNPL satu gejala membimbangkan kerana (buat masa ini) tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sekali gus memudahkan individu terjebak dengan hutang, terutama mereka yang tidak ada pengetahuan atau pengurusan kewangan yang bagus,” ulas Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

    Bercakap kepada Bernama di sini, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School itu berkata tarikan utama BNPL ialah seseorang boleh berbelanja tanpa had dan tidak menjejaskan skor kredit sekalipun individu berkenaan gagal melunaskan pembayaran.

    “Sekiranya seseorang itu gagal menjelaskan hutang barangan di satu penyedia  BNPL, mereka boleh berhutang dengan penyedia BNPL lain kerana tidak ada rekod, sekali gus merisikokan mereka terjebak dalam kancah hutang yang banyak,” jelasnya.

    Kenyataan penganalisis itu bukan omong kosong kerana menurut laporan media, nilai transaksi pasaran BNPL membabitkan 10 penyedia BNPL bukan bank di Malaysia, melonjak kepada RM1.49 bilion pada 2021 berbanding hanya RM55 juta pada 2020, mencerminkan peningkatan populariti platform tersebut dalam kalangan masyarakat di negara ini.

    BNPL PINJAMAN PERIBADI?

    Selepas mencuba sendiri membeli-belah melalui BNPL, penulis akui aktiviti itu berpotensi mendedahkan “kaki shopping” khususnya, ke kancah hutang, kerana berurus niaga di platform BNPL amat mudah dan “mengasyikkan” berikutan banyak diskaun dan promosi ditawarkan sehingga penulis sendiri berani menambah komitmen hutang.   

    Lebih-lebih lagi pembayaran boleh dilakukan secara ansuran dan penulis menggunakan kaedah itu untuk berhutang, membeli satu papan kekunci tablet berharga RM299 yang kemudian diberikan diskaun RM25, dengan bayaran bulanan RM68.50 selama empat bulan.

    Ahmed Razman melihat strategi urus niaga itu sebagai satu bentuk pinjaman peribadi.

    “Golongan peniaga nampak perkara ini (BNPL) sebagai satu cara untuk memudahkan orang ramai membeli kerana bukan semua (pembeli) ada kad kredit.

    “Jadi, peniaga mula mempraktikkan BNPL ini, bermakna pembeli sekarang sudah ada pilihan untuk membeli dengan berhutang menggunakan BNPL walaupun tiada kad kredit,” katanya.

    BENARKAH ‘FAEDAH SIFAR’?

    Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penyedia BNPL mempromosikan transaksi mereka sebagai tanpa faedah atau ‘zero interest’. Namun, benarkah begitu? 

    Hakikatnya, pengamatan Bernama mendapati lapan daripada 10 penyedia perkhidmatan BNPL ‘menyelitkan’ faedah tersembunyi yang perlu dibayar, sekiranya “si penghutang” terlambat membuat pembayaran.

    Hal ini diakui oleh pakar kewangan Dr Adam Zubir menerusi akaun YouTube beliau, kerana menurutnya, BNPL adalah konsep perniagaan yang turut membuat keuntungan melalui bayaran pemprosesan dan bayaran lewat. 

    Sementara itu, ditanya jika BNPL boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kelompok muflis, Ahmed Razman berkata potensi ke arah tersebut ada jika seseorang gagal memantau kedudukan kewangannya, sementelah BNPL tidak mengganggu skor kredit.

    “BNPL tidak akan membuatkan seseorang itu muflis tetapi berisiko ke arah itu apabila mereka  berhutang menggunakan kaedah tersebut sehingga mereka tidak mampu atau gagal menjelaskan pinjaman kereta, rumah, kad kredit disebabkan komitmen hutang telah bertambah.

    “Pada awalnya, komitmen hutang seseorang itu dengan bank kurang, tetapi  apabila dia  tidak mengawal perbelanjaannya dan mula menambah hutang melalui BNPL, ini yang menjadi masalah kewangan khususnya golongan muda,” katanya.

    Pada Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan kebimbangannya tentang kadar peningkatan kes muflis melibatkan golongan belia. Data Jabatan Insolvensi menunjukkan golongan itu merangkumi lebih 60 peratus atau kira-kira 27,000 kes bankrap yang direkodkan bagi tempoh 2018 hingga Mei 2022  dengan 19,334 kes berpunca daripada pinjaman peribadi.

    Rentetan itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan bagi membantu golongan muda mendepani isu berkenaan.

    LITERASI KEWANGAN RENDAH

    Antara punca utama orang muda mudah terjebak hutang ialah tahap literasi kewangan yang rendah dan ini disokong oleh Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menyatakan hanya 33 peratus masyarakat Malaysia mempunyai pengetahuan kewangan.

    “Berapa ramai yang buat perancangan perbelanjaan daripada pendapatan yang diperoleh setiap bulan? Ini kerana,  selagi (kita) tidak membuat pemantauan kewangan peribadi, selagi itulah kita mudah berbelanja termasuklah menggunakan BNPL,” kata Ahmed Razman.

    Isu BNPL boleh memburukkan lagi masalah keberhutangan isi rumah, yang mana kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar masih tinggi, iaitu  89 peratus pada akhir Disember 2021, iaitu tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.  

    “Kadar hutang isi rumah di Malaysia meningkat daripada RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion dan secara tidak langsung kadar hutang isi rumah di negara ini lebih tinggi berbanding hutang kerajaan persekutuan.

    “Berdasarkan laporan itu, isu ini (BNPL) amat berbahaya kerana seseorang yang sudah terikat dengan pinjaman kereta, rumah, kad kredit serta pinjaman peribadi, ditambah lagi dengan BNPL,” jelasnya. 

    Ahmed Razman seterusnya menggesa operator BNPL menampilkan maklumat jelas mengenai kaedah urus niaga itu agar pengguna faham mengenai risiko yang bakal ditanggung mereka.

    “Saya harap ada satu lapisan amaran sebelum pengguna menekan butang ‘setuju’ menggunakan sistem BNPL,” katanya.

    Sementara itu, kajian  Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)  ke atas peserta program kaunselingnya mendapati keberhutangan tinggi rakyat Malaysia disebabkan kos hidup dan perancangan kewangan yang lemah, masing-masing membabitkan 37 dan 36 peratus peserta.

    Dalam kenyataannya kepada Bernama, AKPK menjelaskan sikap pengguna sendiri yang mengutamakan gaya hidup melebihi kemampuan semata-mata untuk mengikuti trend terkini, selain mahu memuaskan keinginan, memburukkan lagi masalah hutang masyarakat. – Bernama

  • Dua lelaki ditahan selepas curi motosikal di masjid

    Dua lelaki ditahan selepas curi motosikal di masjid

    POLIS menahan dua lelaki yang sebelum ini berjaya mencuri sebuah motosikal di Masjid Taman Rakyat, di Alor Setar, Jumaat lalu.

    Tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Alor Setar ketika membuat rondaan cegah jenayah di sekitar pusat Bandar Raya Alor Setar pukul 8.30 malam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, anggota telah terserempak dengan dua lelaki yang membonceng motosikal dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah bank di Jalan Badlishah.

    “Sebaik mengesan pergerakan kedua-dua lelaki terbabit anggota CPJ kemudiannya terus mengekori mereka untuk pemeriksaan.

    “Sebaik menyedari mereka diekori suspek cuba meloloskan diri namun berjaya ditahan di tepi jalan kawasan Taman Wira Mergong.

    “Hasil semakan mendapati motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki kedua-dua suspek baru sahaja dilaporkan hilang pada 5 Ogos lalu di Masjid Taman Rakyat,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Ahmad Shukri berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 34 tahun itu bersama motosikal dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Curi Motosikal).

  • Dipenjara 230 tahun kerana tipu pakej umrah

    Dipenjara 230 tahun kerana tipu pakej umrah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pengarah urusan sebuah syarikat dipenjara 230 tahun selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah dan ziarah ke Mesir antara 2015 hingga 2016.

    Mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, Misbahalmunir Omar, 56, bagaimanapun membenarkan ia dijalankan serentak bermula tarikh sabitan.

    Keputusan itu dibuat Majistret Arif Mohamad Shariff selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Tertuduh dikecualikan hukuman sebatan kerana telah berusia melebihi 50 tahun dan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguh hukuman itu kerana ingin membuat rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

    Jaminan RM80,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum ini turut dinaikkan kepada RM88,000 dengan seorang penjamin, selain pasport antarabangsa dipegang oleh mahkamah sehingga selesai rayuan.

    Mengikut fakta kes, Misbahalmunir yang ketika kejadian bertugas sebagai pengarah urusan syarikat Raudah Mawaddah Travel & Tours Sdn. Bhd. telah berurusan dengan seorang individu untuk mengadakan rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

    Individu itu yang juga pengadu dalam kes terbabit merupakan perunding dan mutawwif umrah diminta oleh tertuduh untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank diberikan tertuduh bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.

    Bagaimanapun dia tidak memaklumkan bahawa syarikatnya telah gulung tikar sejak 14 Januari 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar dan meminta pengadu memasukkan wang peserta ke dalam akaun bank miliknya, isteri dan pekerja-pekerja syarikat itu.

    Kesemua 56 transaksi yang dilakukan antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016 dengan jumlah RM434,250 membabitkan seramai 202 peserta bagi rombongan umrah dan ziarah itu termasuk dua yang sudah meninggal dunia.

    Tertuduh telah menghantar itenari tiket kesemua peserta kepada pengadu di mana penerbangan dijadualkan pada 29 dan 30 Januari 2016, namun dokumen itu tidak sah dan tidak wujud.

    Tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 26 Jun 2018 dan dikenakan 23 pertuduhan memperdayakan pengadu untuk memasukkan wang yang dikutip daripada 202 peserta berjumlah antara RM2,000 hingga RM36,600.

    Kesemua kesalahan dilakukan di beberapa lokasi di Kedah, Johor dan Selangor antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016.

    Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

    Tertuduh diwakili peguam Siti Salwa Jaafar, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli dan Siti Haslina Hasbullah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin dan Galvin Loo Wei Ming.

  • Shahrir bayar penuh pembelian Honda Civic Hibrid

    Shahrir bayar penuh pembelian Honda Civic Hibrid

    MAHKAMAH Tinggi kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek, sembilan tahun lepas.

    Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd Rozana Khalid, 43, yang terlibat dalam proses penutupan akaun bagi pembelian kereta berwarna putih itu berkata, Ab Shahrir membuat pembayaran itu pada 21 Disember 2013.

    Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Saksi pendakwaan ketujuh itu turut mengesahkan salinan cek dan resit bayaran yang ditunjukkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi.

    Rozana juga berkata, terdapat tiga kaedah pembayaran bagi pembelian tunai iaitu menggunakan wang tunai, kad kredit dan cek, namun kebarangkalian untuk seseorang berbuat demikian hanya satu atau dua peratus.

    “Kebiasaannya pembeli akan membuat pinjaman bank. Sebagai contoh, daripada 50 unit yang terjual mungkin dua atau tiga orang akan membeli secara tunai dan pembayaran itu akan dibuat sama ada dalam bentuk wang tunai atau kad kredit,” katanya.

    Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan Eksekutif Pentadbiran Sutera Auto Sdn Bhd Nurrul Hafizah Md Roslan, 40, berhubung invois yang disediakan selepas urusan pembayaran dan pendaftaran kenderaan itu selesai.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

  • Isu LCS:Syed Saddiq cabar Najib beri penjelasan di Parlimen

    Isu LCS:Syed Saddiq cabar Najib beri penjelasan di Parlimen

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi penjelasan berhubung isu projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) di Parlimen.

    Beliau berkata, bekas Perdana Menteri perlu membuat kenyataan rasmi di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Dewan Rakyat, bukannya menjawab melalui media sosial seperti Facebook.

    “Jadi kalau kamu (Najib) atau Menteri Pertahanan begitu arif dengan projek ini, hadir ke Parlimen dan jawab dengan telus.

    “Tak perlu takut kalau kamu di pihak yang benar. Nak jawab, jawab betul-betul,” katanya dalam siaran di Facebook miliknya hari ini.

    Pada Khamis, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) mengenai pembinaan kapal LCS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, hal tersebut dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

    Selain itu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, apabila ada skandal yang telah dibongkarkan dalam laporan rasmi PAC, banyak pihak cuba lepas tangan dan memetik nama orang lain.

    “Selalu kena petik Pakatan Harapan (PH); bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan semualah.

    “Padahal waktu LCS ini lulus tahun 2010, semua entiti ini tak ada pun dalam kerajaan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan dahulu dalam mengendalikan isu berkenaan.

    “Kenapa apabila bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Jaafar suarakan masalah dan kerisauan tentang projek LCS, kerajaan kamu campak dan bakul sampahkan?

    “Kapal LCS pertama yang patut siap pada tahun 2019 pun baru 36.8 peratus siap. Tak masuk akal sebab waktu projek ni dibuat, lebih lapan tahun yang jadi kerajaan adalah kamu. Tiba-tiba salah kerajaan PH,” soalnya.

  • Kerajaan stabil, rakyat terima manfaat – Azmin

    Kerajaan stabil, rakyat terima manfaat – Azmin

    FOKUS pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan hari ini adalah untuk memulihkan semula ekonomi dan menangani Covid-19, demikian tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Beliau yang sebelum ini dikaitkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada Bersatu berkata, kestabilan kerajaan perlu diutamakan agar rakyat terus menerima manfaatnya.

    “Saya nak tegaskan sekali lagi kerajaan hari ini memberi fokus dan komited untuk dua perkara penting… pertama kita komited untuk memulihkan dan mencerdaskan ekonomi negara, itu komitmen kita.

    “Kedua, kita mahu menangani menguruskan Covid-19 lebih efektif, dasar kita ambil dua tahun lalu melihat satu pertumbuhan positif daripada segi ekonomi, pelaburan dan perdagangan, malah kes baharu (Covid-19) pun sudah terkawal Alhamdulilah,” katanya lapor Astro Awani.

    Azmin berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di antara 22 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat ejen pemasaran antarabangsa di Taman Ekspo Pertanian malaysia (MAEPS) Serdang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di Serdang, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, , kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri merupakan kerajaan atas gabungan PN sebagai komponen terbesar.

    Kerajaan ketika ini tambahnya, telah mewarisi dasar yang efektif dalam menangani isu ekonomi dan kesihatan.

    “Kerajaan hari ini adalah kerajaan gabungan bukan satu parti seperti sebelum ini, antara gabungan parti terbesar adalah kerajaan PN.

    “Maka apabila saya dan rakan saya bahawa tanggungjawab kita memperkukuhkan kerajaan bermakna kita nak perkukuhkan gabungan sedia ada.

    “Kalau kita lemah, maka kerajaan PN lemah, adalah tanggungjawab saya pastikan kerajaan ini kuat supaya dapat tangani dua isu ini,” katanya lagi.

    Mengulas mengenai hubungan Bersatu dan UMNO yang dilihat semakin tegang ketika ini, ujar Azmin lagi, beliau lebih fokus kepada politik berorentasikan tindakan bagi kepentingan rakyat.

    “Kita tak boleh terjebak dalam politik merugikan rakyat, saya mahu politik ‘action oriented’ dapat berikan khidmat kepada rakyat pastikan kita berjaya memenuhi dua matlamat mencerdaskan ekonomi dan tangani Covid-19,” jelas Azmin lagi.

  • 5 lelaki nyaris maut kereta terjunam gaung 30 meter

    5 lelaki nyaris maut kereta terjunam gaung 30 meter

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    LIMA lelaki nyaris maut selepas kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung di kawasan berhampiran Titi Kerawang, Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 21 tahun itu terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter.

    Menurut beliau, pihaknya yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mendapati kesemua mangsa cedera ringan.

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, komander operasi membuat ‘size up’ di dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

    “Kesemua mangsa telah berjaya dinaikkan ke kawasan yang selamat dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, operasi menyelamat itu tamat sepenuhnya pukul 4.44 petang.

  • Tujuh warga China didakwa masuk Malaysia tanpa dokumen

    Tujuh warga China didakwa masuk Malaysia tanpa dokumen

    TUJUH individu China termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen, bulan lalu.

    Tertuduh wanita, Dai Bao Xi, 54 dan lelaki, Guo Fei, 48, yang bekerja sebagai tukang masak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar.

    Sementara, Lin Zhi Chuang, 27; Guo Feng Jie,29; Li Tao, 23; Zhang Zheng Long, 29 dan Chen Yuan Zhou, 28, pula mengaku tidak bersalah.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati masuk dan berada negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di sebuah apartment di Jalan Lumut, Lumut pada 25 Julai lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang membawa hukuman denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

    A. Hafiizh kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Bao Xi manakala denda RM5,000 dan satu sebatan dikenakan terhadap Guo Fei.

    Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan sebatan tersebut dengan menfailkan notis rayuan.

    Kedua-dua tertuduh membayar denda itu dan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

    Bagi lima tertuduh lain, mahkamah menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya dan Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Salleh.

  • Akaun Telegram peribadi digodam, PM minta abai mesej diterima

    Akaun Telegram peribadi digodam, PM minta abai mesej diterima

    AKAUN Telegram peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.

    Ismail Sabri yang memaklumkan perkara itu menerusi ciapan di Twitter turut meminta orang ramai untuk mengabaikan mesej daripada akaun berkenaan.

    “Perhatian: akaun Telegram peribadi saya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.

    “Mohon laporkan kepada pihak berkuasa dan abaikan sebarang mesej yang diterima daripada akaun berkenaan,” katanya dalam ciapan itu.

  • TI-M gesa tangguh bayaran hingga kapal LCS siap ikut jadual

    TI-M gesa tangguh bayaran hingga kapal LCS siap ikut jadual

    TRANSPARENCY International Malaysia (TI-M) meminta kerajaan tidak membuat bayaran lanjut bagi projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) sehingga penghantaran kapal yang memenuhi spesifikasi kontrak dibuat dan setimpal dengan jumlah RM6.083 bilion yang dibayar sehingga kini.

    Ia adalah antara cadangan dikemukakan TI-M, yang disaran dilaksanakan segera oleh kerajaan, susulan laporan punca kepincangan projek LCS oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Khamis lalu.

    TI-M mempersoalkan bagaimana projek LCS yang bermula pada 2013 boleh dibiarkan sehingga berdepan kegagalan perolehan dan tadbir urus yang besar untuk sekian lama, selain aspek pengawasan, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti.

    Badan itu menggesa kerajaan menyiasat kontraktor dan subkontraktor LCS di semua peringkat bagi memastikan tiada pemalsuan syarikat (dummy companies) yang mendorong kepada penggelapan kontrak dengan nilai yang besar itu.

    “Prosedur operasi standard (SOP) perlu diadakan untuk audit pertengahan yang akan dijalankan bagi semua projek sektor awam membabitkan berbilion ringgit.

    “Langkah ini akan membantu mengesan sebarang isu dan menanganinya sebelum ia menjadi risiko yang membawa kepada kelewatan serta kemungkinan melampaui bajet yang ditetapkan.

    “Selain itu, kerajaan perlu memastikan semua projek bernilai dan berimpak tinggi, yang membabitkan wang pembayar cukai disemak oleh Parlimen sebelum ia diluluskan serta memastikan proses tender yang kompetitif diguna pakai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Khamis lalu, selepas dua tahun tahun disiasat dan sembilan prosiding, PAC mengumumkan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS.

    Rumusan berkenaan termasuk kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

    Selain itu, kajian daya maju oleh kerajaan terhadap BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pendahuluan RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

    TI-M juga menggesa tindakan tegas diambil jika didapati mana-mana penjawat awam cuai dalam melaksanakan tugas fidusiari berkaitan projek, terutama tugas berkaitan pengawasan dan pelaporan.

    “Prosiding jenayah perlu dimulakan terhadap sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan di bawah pelbagai undang-undang di Malaysia, terutama suapan, rasuah dan salah guna jawatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

    TI-M berkata, sebarang kegagalan atau kelewatan bertindak oleh kerajaan didakwa akan menunjukkan sikap tidak ikhlas terhadap komitmennya untuk melaksanakan reformasi institusi dan perjuangan membasmi rasuah.

    “Malangnya, Malaysia kini semakin dikenali dengan amalan tadbir urus buruk yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam, daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada projek LCS ini.

    “Tindakan sudah dan terus akan diambil ke atas isu 1MDB. Berapa lama lagikah kita perlu menunggu untuk melihat pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan kerana satu lagi kegagalan?” katanya.