Author: Admin

  • Harga runcit maksimum kit ujian pantas Covid-19 ditetapkan RM19.90

    Harga runcit maksimum kit ujian pantas Covid-19 ditetapkan RM19.90

    KERAJAAN menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept ini.

     Penetapan harga maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin dalam satu kenyataan bersama hari ini.

    “Penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menentukan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 berdasarkan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara.

    Harga maksimum turut ditentukan berdasarkan maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit serta persatuan farmasi barangan tersebut.

    KPDNHEP juga telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak. 

    Kenyataan bersama itu menyebut KPDNHEP dan KKM bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit berkenaan susulan permintaan terhadap kit ujian itu yang dijangka meningkat berikutan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak COVID19. 

    “Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak COVID-19.

    “KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang,” katanya.

    Kenyataan itu menyebut KPDNHEP akan mengawal harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum.

    Menurut kenyataan berkenaan, KPDNHEP menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga dan mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

    Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 adalah peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh MDA, KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan penyakit COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab dari hidung.- BERNAMA

  • Wanita Myanmar ditahan guna identiti orang lain untuk dapatkan vaksin

    Wanita Myanmar ditahan guna identiti orang lain untuk dapatkan vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita warga Myanmar ditahan ketika mendapatkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di sebuah klinik di Melaka Tengah pada 18 Ogos lepas kerana didapati menggunakan identiti orang lain.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendent E. Sundra Rajan berkata, suspek yang berumur 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang selepas didapati menggunakan pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera yang didaftarkan milik seorang pekerja lelaki dari sebuah syarikat percetakan di Cheng, Melaka.

    “Kejadian itu disedari mangsa yang juga seorang warga asing berusia 30-an yang memeriksa maklumat penerimaan vaksin dalam aplikasi tersebut, telah dikemas kini dan tercatat telah mengambil dos pertama.

    “Lelaki itu telah mengadu hal tersebut kepada majikannya sebelum majikan berkenaan membuat laporan polis yang mendakwa identiti pekerjanya telah digunakan oleh pihak ketiga untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya telah merampas satu kad vaksin atas nama suspek, i-kad bertulis ‘Malaysia Immigration Regulations 1963 Visit Pass’ yang dipercayai palsu, satu salinan kad pasport yang telah tamat tempoh dan telefon bimbit suspek.

    Sundra turut berkata, pihaknya mendapati klinik swasta terbabit telah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19.

    Katanya, suspek direman selama 17 hari bermula 19 Ogos hingga 4 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran dan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

    “Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah,” katanya.

  • PDRM kumpul maklumat ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir

    PDRM kumpul maklumat ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAMHAN

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengumpul segala maklumat dengan lengkap mengenai wanita bergelar Sittah Annur dan ajarannya, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan perlu diteliti mengenai ajaran yang didakwa bertentangan dengan Islam itu.

    “Ajaran serta gerakan seumpama itu bukan perkara baharu dan siasatan turut membabitkan jabatan lain. Saya lihat benda (ajaran PMYT) ini masih lagi dalam kawalan dan kita tidak boleh tergesa-gesa atau terburu-buru untuk bertindak.

    “Kita harus mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya kerana ia membabitkan jabatan lain iaitu Jabatan Agama Islam. Kita harus mendapatkan juga nasihat dan pandangan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Acryl Sani mengulas mengenai laporan media berhubung seorang wanita menggunakan gelaran Sittah Annur, yang mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.

    Beliau juga mendakwa memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

    Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan.

    Mengulas lanjut Acryl Sani berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk memanggil individu terbabit.

    “Sabar sedikit dan kita ada cara kita untuk menghadapi perkara ini. Dahulu pun kita berhadapan dengan perkara sama dan kita berjaya mengatasinya.

    “Jadi kita ada teknik, ada cara, ada kaedah yang kita laksanakan dalam hal ini. Percayalah, kita tidak leka dan kita sentiasa memastikan bahawa ia tidak sampai menimbulkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.

  • Anggota polis marin mengaku tidak bersalah ambil dadah

    Anggota polis marin mengaku tidak bersalah ambil dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis Marin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas dakwaan penyalahgunaan dadah, akhir bulan lalu.

    Tertuduh, Mohd. Khalil Che Khalid, 39, Bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

    Tertuduh yang telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 17 itu didakwa telah memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam dirinya sendiri.

    Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada pukul 11.30 pagi, 30 Ogos lalu.

    Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman memohon tertuduh diberi jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu dia kini sudah digantung tugas dan tidak mempunyai pendapatan, selain perlu menanggung seorang isteri dan dua orang anak.

    Mahkamah kemudian menetapkan wang jamin berjumlah RM2,000 dengan sheorang penjamin, selain turut menetapkan tarikh 7 November untuk serahan dokumen.

  • Azhar nafi tolak usul untuk tukar speaker Dewan Rakyat

    Azhar nafi tolak usul untuk tukar speaker Dewan Rakyat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    YANG Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, menafikan beliau menolak usul daripada Ahli Parlimen untuk beliau mengosongkan jawatan itu.

    Katanya, beliau sudah menerima usul itu dan turut mencadangkan calon selepas mengosongkan jawatan berkenaan.

    “Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul-usul tersebut, saya telah utuskan surat kepada semua pengusul bahawa saya tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul tersebut kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan.

    “Apa-apa keputusan mengenai usul tersebut diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Rashid Hasnon,” katanya dalam kenyataan.

  • Remaja maut digilis lori simen ketika ke tempat kerja

    Remaja maut digilis lori simen ketika ke tempat kerja

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG remaja lelaki maut setelah basikal yang ditunggangnya dikatakan bergesel dengan sebuah lori simen sebelum digilis di Kampung Tanjung Lumpur, dekat Sungai Soi, Kuantan, lewat petang semalam.

    Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 19 tahun itu yang juga merupakan seorang pekerja restoran dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Soi ke tempat kerja.

    Dalam kemalangan pada pukul 7.05 petang itu, mangsa, Mohammad Hazami Ghani,19, dari Perkampungan Sungai Soi Jaya 1 yang parah di bahagian dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Bagaimanapun, menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, pemandu lori berusia 55 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dari Sungai Soi menghala ke bandar Kuantan manakala lori simen itu juga dari arah yang sama.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, basikal mangsa dipercayai bergesel dengan lori simen berkenaan menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis.

    “Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi proses bedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau, hari ini.

  • Norazlan dilantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM

    Norazlan dilantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Norazlan Mohd. Razali dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil yang bersara wajib.

    Beliau yang merupakan Pengarah Kanan Siasatan SPRM sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Pengarah SPRM Selangor, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Ketua Staf Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Unit Integriti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengarah SPRM Johor.

    Norazlan, 57, berkelulusan Bachelor of Science in Business Control System, pengkhususan dalam bidang Perakaunan dari University of North Texas, Amerika Syarikat dan Master of Science in Economic Crime Management (Kepujian) daripada HELP University, Malaysia.

    Beliau mula menyertai SPRM pada 9 Februari 1989 dan sepanjang tempoh perkhidmatan, berpengalaman luas serta banyak terlibat dalam pelbagai inisiatif pencegahan rasuah di dalam dan luar negara.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Hishamuddin Hashim pula dilantik sebagai Pengarah Kanan Siasatan SPRM yang baharu berkuat kuasa pada tarikh sama manakala Ketua Unit Integriti, Kementerian Pengangkutan, Datuk Tan Kang Sai menggantikan jawatan Hishamuddin.

    Norazlan (kanan) dan Shamsun menandatangani dokumen penyerahan jawatan sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM yang baharu

    Sementara itu, SPRM menganjurkan Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Shamshun di Ibu Pejabat SPRM, semalam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Shamshun bersara wajib sebagai penjawat awam pada usia 60 tahun selepas berkhidmat dalam Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM selama 37 tahun sejak 1984.

    Beliau memulakan karier di BPR/SPRM sebagai pegawai penyiasat dan telah memegang pelbagai jawatan penting sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

    Antaranya Ketua Cawangan Pendaftaran Rahsia, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Pengarah Bahagian Keutuhan Pengurusan, Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat, Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM pada 4 Oktober 2016.

    SPRM merakamkan ucapan terima kasih atas usaha dan sumbangan bakti Shamshun sepanjang dalam perkhidmatan di BPR/SPRM bagi membanteras rasuah di negara ini.

    Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga SPRM turut mengucapkan tahniah atas pelantikan pucuk pimpinan baharu ini sekali gus menjadikan SPRM terus cemerlang.

  • 60 kampung di Sabah, 6 kawasan di Johor banjir

    60 kampung di Sabah, 6 kawasan di Johor banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 45 kampung di Beaufort dan 15 kampung di Membakut, Sabah dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Padas dan Sungai Membakut akibat hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai sejak kelmarin.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort memberitahu, bacaan kedalaman air di kedua-dua sungai melebihi paras bahaya iaitu 9.28 meter di Sungai Padas dan 7.41 meter di Sungai Membakut, setakat pukul 10 pagi.

    “Kampung terjejas banjir di Beaufort setakat ini ialah Binunuk, Balibata, Simpang Empat, Bakalau, Sungkadan, Melalugus, Batandok Lubak, Melati, Lumatai, Mempagar, Kuarters SESB Beaufort, Kuarters Kereta Api, Kampung Lawa, Lago, Suasa, Kangsa, Berumbai, Bangkalalak, Batu 60, Batu 58, Jempangah, Kitalabak Lumatai, Luagan Sanginan dan Laboi.

    “Kampung Bingkul, Mapait, Limbawang, Lajau, Lubak, Poribg Lupak, Lupak, Tuhu, Selinsing, Beringin, Gadong, Kebajang Ulu, Kukup, Jabang, Mentulud, Batu 64, Lupak Seberang, Kampung Cina, Kurian Padas Damit, Kebulu dan Menanjung,” katanya, hari ini.

    Katanya, antara kawasan turut dilanda banjir di daerah kecil Membakut ialah Kampung Bambangan, Sinoko, Sindok, Baitam Ulu, Baitam Laut, Baitam Baru, Jambatan Baru, Lumantak, Papas, Lampijas, Kayai, Dungau, Brunei dan pekan lama Membakut.

    Sementara itu, banjir turut melanda Batu 10, Kampung Laut, Skudai, Johor Bahru dan enam kawasan melibatkan Kampung Sepakat, Kampung Masjid, Sungai Masai, Desa Bakti dan Jalan Masai di Pasir Gudang.

    Anggota memantau keadaan banjir kilat di Kampung Sentosa Barat, Pasir Gudang, pagi ini namun tiada mangsa banjir dipindahkan kerana air semakin surut pada jam 8 pagi ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, hujan lebat sejak tengah malam tadi mengakibatkan banjir dan mengakibatkan penduduk terpaksa mengalami kerugian apabila pelbagai harta benda rosak.

    “Namun tiada sebarang kejadian kemalangan jiwa dilaporkan sehingga kini dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, tiada pusat pemindahan yang dibuka dan banjir kilat yang naik sehingga kira-kira satu meter juga sudah surut.

    Ketika ini katanya, mangsa sedang melakukan kerja pembersihan semasa beliau meninjau beberapa kawasan perkampungan terjejas pagi pagi ini.

  • Pelajar ditembak mati di sekolah AS

    Pelajar ditembak mati di sekolah AS

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pelajar di Sekolah Tinggi Mount Tabor, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) ditembak mati semalam selepas sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan awal bulan ini.

    Menurut Ketua Polis Winston-Salem, Catrina Thompson, insiden itu berlaku pada tengah hari dan suspek dipercayai seorang lagi pelajar di sekolah itu, melarikan diri dari lokasi sejurus kejadian.

    “Polis menemui seorang pelajar ditembak yang kemudian dikejarkan ke sebuah hospital tempatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya pada satu sidang media.

    Pasukan keselamatan sedang mengawal kawasan di kejiranan Foxhall di belakang Sekolah Tinggi Mount Tabor. – Foto AP

    Kejadian itu merupakan terbaharu dan risiko insiden tembakan dilaporkan telah menghantui sistem pendidikan AS selama bertahun-tahun.

    Dalam pada itu, polis Winston-Salem dalam kenyataan melalui Twitter pula memaklumkan, suspek berjaya diberkas tanpa sebarang insiden.

    Keluarga pelajar dan penduduk setempat berkumpul di kawasan berhampiran Sekolah Tinggi Mount Tabor selepas insiden tembakan yang menyebabkan seorang pelajar mati. – Foto AP

    Sementara itu Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper berkata, kejadian tembakan semalam adalah yang kedua berlaku di sebuah sekolah negeri berkenaan, dalam tempoh minggu ini saja.

    “Kita mesti berusaha memastikan keselamatan pelajar serta pendidik, menangkap pelaku dengan segera, dan tiada pistol dibawa ke kawasan sekolah,” katanya. – AFP

  • JKM Pahang terima 11,905 aduan dalam tempoh tiga bulan

    JKM Pahang terima 11,905 aduan dalam tempoh tiga bulan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    LEBIH 11,905 aduan orang ramai diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam tempoh tiga bulan mulai Jun lalu.

    Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya membuka 12 bilik gerakan di setiap daerah termasuk Ibu Pejabat JKM Pahang, yang beroperasi pada waktu pejabat.

    “Bilik Gerakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Lipis menerima 2,035 aduan, manakala PKMD Raub (1,176), PKMD Pekan (1,476), PKMD Bera (1,474), PKMD Maran (1,093), PKMD Bentong (698) dan PKMD Temerloh (637).

    “Sementara Bilik Gerakan JKM Pahang dan PKMD Kuantan masing-masing menerima 986 dan 552 aduan. PDKM Rompin mencatat jumlah aduan terendah sebanyak 381,” katanya, hari ini.

    Menurutnya, aduan tertinggi diterima pada Julai sebanyak 4,994, Ogos (4,426) dan Jun (2,485), jumlah aduan dijangka terus meningkat hingga akhir tahun.

    Jelasnya, aduan yang paling banyak JKM terima ialah membabitkan bantuan bakul makanan dan masalah kewangan.

    “Kita sentiasa prihatin dan bersedia membantu memberi bantuan kewangan dan keperluan asas, termasuk menerusi kerjasama dengan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (Makpen) untuk kelancaran agihan,” katanya.

    Beliau berkata, JKM turut menyediakan khidmat kaunseling dan ujian psikologi kepada mereka yang berhadapan masalah hingga menjejaskan kehidupan terutama apabila tiada sumber pendapatan disebabkan kehilangan pekerjaan.