Author: Admin

  • Untitled post 44212

    Najib Razak, Zahid Hamidi macam ‘panas’ je isu LCS.
    Tak kan ‘makan cili’ kot.

  • Kerani dakwa diraba, dicium pegawai polis

    Kerani dakwa diraba, dicium pegawai polis

    SEORANG wanita mendakwa dicabul seorang pegawai polis dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sentosa dekat Kampar, Jumaat lalu.

    Mangsa, 23, yang bekerja sebagai kerani mendakwa kejadian itu berlaku sekitar pukul 10.30 malam, suspek bertindak meraba dan menciumnya.

    Menurut Sumber, kejadian berlaku ketika wanita itu menemui pegawai polis berkenaan kerana mahu mengetahui bagaimana lelaki itu mengenalinya.

    Lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai polis telah mengajak wanita terbabit menaiki kereta sebelum dibawa ke rumahnya.

    “Sampai di rumah lelaki itu, mangsa meminta untuk dihantar pulang, namun suspek secara tiba-tiba menghalang dan menarik wanita itu sebelum meraba dan menciumnya.

    “Mangsa berjaya menghalang perbuatan suspek dan telah dihantar pulang. Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

    Mangsa kini dikatakan dalam keadaan trauma dan ketakutan apabila suspek didakwa mengganggunya dengan memintanya menarik semula laporan polis berkenaan.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

    Menurutnya, lelaki yang didakwa terlibat dalam kejadian itu telah dikenal pasti.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul Kehormatan,” katanya.

  • PRU-15: Polis Johor tubuh Pasukan Cantas Khas

    PRU-15: Polis Johor tubuh Pasukan Cantas Khas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Johor akan menubuhkan Pasukan Cantas Khas bagi menangani elemen gengsterism dan mencegah daripada berlaku kacau-bilau semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penubuhan tersebut bagi menentukan perjalanan semua kaedah PRU15 berjalan lancar mengikut undang-undang yang ditetapkan.

    “Ini sepertimana penubuhan tim yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas untuk memastikan tiada gangguan semasa penamaan calon, berkempen dan juga semasa hari PRU, kita nak pastikan tiada gangguan daripada mana-mana pihak,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Hari Polis di Lapang sasar, Ladang REM di Kota Tinggi, hari ini.

    Pasukan tersebut katanya, akan ambil tugas risikan dan cari maklumat sekiranya terdapat rancangan untuk membuat kacau atau sebagainya.

    “Pada PRN Johor lepas alhamdulillah tiada berlaku apa-apa perkara tidak sedemikian,” katanya lagi.

    Kamarul Zaman memaklumkan tiada kawasan panas dikenal pasti di negeri ini pada PRU15 dan berharap semuanya akan berjalan lancar dan tenang sebagaimana PRN Johor yang berlangsung awal tahun ini.

    Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 11,000 pegawai dan anggota PDRM Johor akan bertugas dalam PRU-15.

    Pihaknya kini berada dalam siap sedia sekiranya PRU15 diadakan pada bila-bila masa.

    “Kita memang sudah siap sedia sejak PRN Johor yang berlangsung pada Februari lalu. Tiada anggota tambahan memandangkan pilihan raya umum akan diadakan di seluruh negara.

    “Anggota akan bergerak secara ‘mobilise’ dan kita yakin dengan kekuatan yang ada sekarang mampu hadapai PRU-15,” katanya.

  • Pengamal perubatan tradisional didakwa membunuh

    Pengamal perubatan tradisional didakwa membunuh

    SEORANG pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang mendapatkan rawatan di rumahnya, dua minggu lalu.

    Tertuduh, Che Hong Chiew, 51, yang hadir ke mahkamah memakai baju kelabu, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Hong Chiew didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Lim Sin Lue, 41, di ruang tamu di sebuah rumah di Jalan Perdana 2/20, Pandan Perdana di Ampang, antara pukul 4.45 hingga 5 petang, pada 27 Julai lalu.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

    Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada 28 Julai lalu, media melaporkan seorang pengamal perubatan tradisional ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang wanita di sebuah rumah di Pandan Perdana di Ampang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, seorang wanita menghubungi pihak polis, memaklumkan anaknya berusia 41 tahun meninggal dunia pada pukul 6.35 petang.

    Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan berbaring dan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah pengamal perubatan tradisional itu, lapor BH Online.

  • Hasanah bebas tuduhan pecah amanah AS$12.1 juta

    Hasanah bebas tuduhan pecah amanah AS$12.1 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab. Hamid daripada tuduhan pecah amanah wang AS$12.1 juta (RM50.4 juta).

    Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati tidak adil untuk wanita itu dibiarkan terus tergantung dengan pertuduhan berkenaan lebih daripada setahun.

    Menurutnya, keadilan tidak dilaksanakan dengan cara sedemikian.

    “Mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

    “Berdasarkan fakta bahawa pihak pendakwaan tidak lagi mempunyai keinginan untuk meneruskan kes, maka mahkamah mempunyai kuasa dengan memberikan perintah lepas bebas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pada 12 April lalu, media melaporkan, Hasanah dilepas tanpa dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan itu.

    Hakim Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan perkara itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap wanita berkenaan.

    Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

  • Jurutera hilang ditemui maut dalam kemalangan

    Jurutera hilang ditemui maut dalam kemalangan

    “SAYA lega Ayah segera ditemui, biarpun sudah tidak bernyawa, kami sekeluarga reda.”

    Demikian luahan Zul Husni Zahari, 39, yang merupakan anak sulung kepada Zahari Zakaria, 62, juruukur di Pelabuhan Johor, yang hilang selepas bertolak dari rumahnya di Kemaman, Terengganu untuk kembali bekerja di Pasir Gudang, pada Ahad.

    Jelas Zul Husni, ayahnya bertolak sekitar pukul 10.30 malam pada Ahad selepas menghantar ibunya pulang ke Kemaman, Terengganu.

    Zahari Zakaria
    Zahari Zakaria

    Katanya, ayahnya memaklumkan mahu pulang ke Pasir Gudang kerana ada urusan kerja yang belum diselesaikan lagi.

    “Ahad lebih kurang jam 10.30 malam ayah bergerak dari rumah. Sepatutnya ayah dijangka tiba di tempat kerja pada keesokan paginya.

    “Ibu ada menghubungi ayah pada waktu Subuh tetapi tidak dapat dihubungi. Saya hubungi tempat kerja ayah, memaklumkan ayah tiada. Saya jadi risau dan membuat laporan polis sebelum menularkan kehilangan ayah di media sosial.

    “Kami semua menetap di Kemaman, Terengganu. Hanya ayah sahaja yang berulang dari Pasir Gudang-Kemaman, Terengganu kerana bertugas,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambah Zul Husni, ayahnya sudah lebih 20 tahun melalui jalan sama setiap kali pulang bertugas iaitu menggunakan Jalan Kemaman ke Johor Bahru laluan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang.

    Katanya lagi, selepas membuat laporan polis, pihaknya ada menghubungi beberapa balai polis untuk bertanyakan tentang kemalangan di sepanjang jalan terbabit.

    “Kalau diikutkan ayah sudah bersara tetapi ditawarkan semula kerja secara kontrak sejak tahun lalu.

    “Cukup 24 jam saya buat laporan polis berhubung kehilangan ayah dan ada menghubungi balai polis bertanyakan sama ada terdapat kemalangan di sepanjang laluan perjalanan ayah. Namun, semalam tiada berita dan dapat tahu ini ada kemalangan pagi ini,” katanya.

    Sejak pagi Selasa, tular di media sosial kehilangan Zahari Zakaria yang menaiki kereta Produa Myvi berwarna biru selepas bergerak ke Pasir Gudang dari Kemaman, Terengganu pada Ahad gagal dihubungi.

  • Lelaki ditahan terlibat tiga kes pecah kedai

    Lelaki ditahan terlibat tiga kes pecah kedai

    POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kedai sekitar daerah Sabak Bernam di pekarangan rumahnya di Hutan Melintang, Perak, pukul 5 petang, Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 30-an itu, polis berjaya menemui hasil rampasan barang curi dianggarkan bernilai RM20,000 di rumah berkenaan.

    Beliau berkata, suspek sudah melakukan kegiatan tersebut sejak Julai lalu.

    “Antara barang yang dirampas dalam serbuan itu ialah tiga komputer riba, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, kad tambah nilai, kad kupon insurans telefon bimbit, set pengecaj komputer riba, beg, pembesar suara dan set mikrofon,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

    Agus Salim berkata, hasil siasatan suspek mengaku melakukan tiga kes pecah kedai di daerah ini.

    “Suspek disyaki menjalakan kegiatan itu membabitkan satu kes di kedai alat telekomunikasi di Sungai Besar dan dua premis di Sabak Bernam membabitkan kedai telekomunikasi dan kedai cermin mata,” kata beliau.

    Jelas beliau, hasil semakan turut mendapati suspek sebelum ini mempunyai 11 rekod jenayah dan narkotik.

    “Suspek sebelum ini direman selama empat hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Sanggup terjun bangunan elak diberkas imigresen

    Sanggup terjun bangunan elak diberkas imigresen

    SEORANG lelaki warga Indonesia nekad terjun dari tingkat empat bangunan rumah kedai di Kompleks Hentian Kajang, Kajang, dalam usahanya untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa menerusi serbuan tengah malam tadi.

    Lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu terjun melalui tingkap di rumah sewa yang didiami bersama dua rakannya yang juga warga Indonesia di tingkat empat menyebabkan dia tersangkut pada bumbung di tingkat dua.

    Dia kemudian jatuh ke tingkat bawah dan cuba melarikan diri ke belukar berhampiran sebelum berjaya ditahan anggota penguat kuasa yang bertugas.

    Akibatnya lelaki berusia 27 tahun itu mengalami patah kaki kanan selpas dipercayai patah akibat terjatuh dalam insiden berkenaan.

    Lelaki itu memaklumkan bertindak sedemikian kerana takut memandangkan pasport miliknya sudah tamat tempoh pada Disember tahun lalu.

    “Saya masuk Malaysia sejak tiga tahun lalu dan pasport sudah mati sejak Disember tahun lalu. Disebabkan itu, saya takut dan bertindak melarikan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

    Lelaki itu antara 175 warga asing yang ditahan dalam Operasi Kutip (Op Kutip) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di lokasi berkenaan bermula jam 12 tengah malam tadi.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memeriksa 425 warga asing di 134 kediaman membabitkan enam blok bangunan di lokasi terbabit.

    “Daripada jumlah itu, kami menahan 132 lelaki, 41 wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan warga asing terdiri daripada berusia antara dua hingga 55 tahun.

    “Mereka yang ditahan membabitkan 115 warga Myanmar, 33 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh, sembilan warga Nepal, empat warga Sri Lanka dan seorang warga India,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

    Pihaknya sudah lama memerhatikan Kompleks Hentian Kajang apabila ramai warga asing termasuk dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh serta India mendiami kediaman kawasan berkenaan.

    “Semasa serbuan dilakukan, anggota bertugas terpaksa memecahkan pintu kediaman kerana ada di antara warga asing yang enggan memberi kerjasama membuka pintu rumah.

    “Ada juga warga asing yang ditahan adalah pencari suaka warga Myanmar iaitu dari etnik Shan yang mempunyai surat Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan mempunyai keluarga di sini,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran, pekerja kilang dan pekerja kedai di kawasan sekitar.

    “Hasil pemeriksaan dilakukan, kami turut menemui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam sektor perkilangan selain pemegang kad UNHCR etnik Rakhine yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) tinggal bersama.

    “Kami juga menemui sebuah premis yang dipercayai pusat judi dalam talian, namun semua individu di dalam premis berkenaan melarikan diri melalui tingkap yang diumpil.

    “Pemeriksaan di dalam premis itu yang dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) menemui kira-kira 20 komputer riba dipercayai digunakan bagi kegiatan judi dalam talian,” katanya.

    Katanya, kebanyakan Pati yang ditahan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan laut menerusi pintu masuk di Johor.

    “Semua warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen, menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh dan tamat permit kerja.

    “Mereka yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

  • Selepas PM, akaun Telegram Saifuddin Abdullah pula digodam

    Selepas PM, akaun Telegram Saifuddin Abdullah pula digodam

    SELEPAS akaun Telegram milik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didapati digodam petang semalam, akaun Nenteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menghadapi perkara yang sama malam tadi.

    Saifuddin memaklumkan akaun Telegram miliknya telah digodam pihak tidak bertanggungjawab menerusi ciapan dalam Twitter miliknya,

    “Pihak yang menggodam akaunnya itu telah menyalahgunakan nama dan gambarnya melalui aplikasi berkenaan.

    “Sesiapa yang menerima sebarang mesej daripada Telegram dinasihati abaikannya dan laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam ciapan tersebut, lapor Utusan TV, hari ini.

    Petang semalam, Perdana Menteri dalam ciapan di Twitter memberitahu, akaun aplikasi Telegram peribadinya telah digodam.

    Dalam ciapan tersebut, Perdana Menteri meminta orang ramai mengabaikan mesej yang diterima daripada akaun berkenaan.

    Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima mesej daripada akaun itu.

    Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pula memaklumkan laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan akaun Telegram serta Signal peribadi milik Perdana Menteri digodam.

    Akaun Telegram dan Signal yang digodam itu dipercayai digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi aktiviti jenayah penipuan.

  • Skandal LCS:Najib, Zahid, Hishammuddin perlu disiasat

    Skandal LCS:Najib, Zahid, Hishammuddin perlu disiasat

    PEMUDA DAP menggesa siasatan dilakukan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan semasa, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berhubung kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Susulan itu kata Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii, beberapa laporan polis akan dibuat terhadap mereka yang terlibat dalam projek kapal tempur pesisir yang bernilai RM9 billion.

    “Kami turut menggesa orang ramai supaya melakukan perkara yang sama. Pemimpin mesti memikul tanggungjawab dalam kegagalan perolehan projek, dengan mengatakan menteri kanan yang mempunyai kuasa membuat keputusan secara langsung mahupun tidak langsung dalam projek itu harus disiasat.

    “Projek kapal tempur pesisir tersebut memerlukan pembinaan enam frigat, dan kapal pertama dalam kelas itu, KD Maharaja Lela telah dilancarkan pada 2017.

    “Bagaimanapun, tiada satu pun daripada enam kapal yang dijadualkan untuk dihantar antara 2019 sehingga tahun ini diterima.

    “Kami menggesa pihak berkuasa untuk mengambil serius perkara ini dan menyiasat semua yang terlibat, termasuklah Najib, Zahid, Hishamuddin dan pemimpin lain,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Beliau berkata, kerajaan tidak mengambil serius terhadap isu itu dan tidak mempunyai niat untuk bertanggungjawab, sambil mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memekakkan telinga berhubung perkara itu.

    Projek tersebut telah mendapat kritikan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selaku badan pemerhati Parlimen yang berkata pada Khamis bahawa kerajaan telah mengabaikan pandangan tentera laut mengenai kontrak itu.

    Jawatankuasa itu berkata, reka bentuk awal yang dipilih tentera laut serta diluluskan oleh Kementerian Pertahanan telah ditukar kepada kapal Gowind rekaan Perancis atas cadangan B Boustead Naval Shipyard (BNS) kepada menteri pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi.

    Hishamuddin awal hari ini berkata, LCS pertama akan siap dalam tempoh sekurang-kurangnya satu atau dua tahun.

    Beliau berkata, kementriannya akan memastikan projek itu siap mengikut tempoh yang ditetapkan.