POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kedai sekitar daerah Sabak Bernam di pekarangan rumahnya di Hutan Melintang, Perak, pukul 5 petang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 30-an itu, polis berjaya menemui hasil rampasan barang curi dianggarkan bernilai RM20,000 di rumah berkenaan.

Beliau berkata, suspek sudah melakukan kegiatan tersebut sejak Julai lalu.

“Antara barang yang dirampas dalam serbuan itu ialah tiga komputer riba, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, kad tambah nilai, kad kupon insurans telefon bimbit, set pengecaj komputer riba, beg, pembesar suara dan set mikrofon,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Agus Salim berkata, hasil siasatan suspek mengaku melakukan tiga kes pecah kedai di daerah ini.

“Suspek disyaki menjalakan kegiatan itu membabitkan satu kes di kedai alat telekomunikasi di Sungai Besar dan dua premis di Sabak Bernam membabitkan kedai telekomunikasi dan kedai cermin mata,” kata beliau.

Jelas beliau, hasil semakan turut mendapati suspek sebelum ini mempunyai 11 rekod jenayah dan narkotik.

“Suspek sebelum ini direman selama empat hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here