KUALA Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini, kata Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Labuan pula katanya, akan dibuka semula di bawah program gelembung pelancongan mulai 16 September ini sama seperti di Pulau Langkawi, Kedah, lapor portal Wilayahku.
Shahidan turut mengingatkan masyarakat khususnya warga kota untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Kadar vaksinasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya juga sudah hampir mencapai 100 peratus walaupun jumlah kes penularan pandemik Covid-19 masih tinggi.
Sebelum ini, Melaka diumum beralih kepada Fasa 2 manakala Negeri Sembilan kepada Fasa 3 di bawah PPN.
SEORANG lelaki ditahan selepas bertindak agresif dengan memanjat kereta peronda polis sambil melibaskan sebilah sabit panjang di hadapan Balai Polis Gopeng di sini, seperti yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian jam 8 pagi tadi, lelaki berumur 61 tahun itu berjaya ditahan selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian untuk membantu, bertindak menyembur air ke arahnya.
Beliau berkata suspek datang ke balai polis berkenaan dengan menaiki motosikal dan membawa parang dan sabit, lalu memasuki kawasan balai sehingga berada di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan.
“Pegawai polis yang bertugas telah bertindak untuk menenangkan suspek serta menghubungi bantuan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.
“Suspek telah bertindak keluar dari kawasan balai dan menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun telah disekat pihak polis di hadapan pagar balai polis tersebut. Polis juga telah meletakkan sebuah kereta peronda di tengah jalan sebelum itu bagi menghalang orang ramai melalui kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mior Faridalathrash berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta heroin, selain mempunyai 16 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
“Turut dirampas bersama-sama suspek adalah sebilah parang, sebilah sabit panjang, sebuah motosikal dan empat bilah kunci.
“Berdasarkan maklumat awal juga, suspek telah mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng,” katanya.
Mior Faridalathrash berkata suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.- BERNAMA
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji kaedah penganjuran yang terbaik bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dan mungkin menggunakan pendekatan sama digunakan pada sukan Olimpik Tokyo 2020.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara kaedah penganjuran yang akan dipertimbangkan ialah mengadakan acara sukan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.
“Dari segi persiapan, saya lihat kerajaan Negeri begitu teliti dan venue-venue Sukma sudah tersedia untuk digunakan. Malah, penyelenggaraan venue juga telah dibuat dengan baik dan bersedia untuk menganjurkan.
“Jadi, kita akan berbincang cara terbaik untuk perancangan seterusnya. Kita juga mendapati ada suara-suara yang ada pandangan lain tentang kaedah penganjuran temasya sukan itu.
“Soal penganjuran, kita akan meneliti cara terbaik untuk Sukma Johor 2020. Ia masih di tahap perbincangan kaedah penganjurannya dan berlangsung secara tertutup (tanpa penonton) antara yang akan dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini hari ini.
Ahmad Faisal berkata, beliau akan bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan lanjut mengenai perkara itu.
Katanya, banyak isu lain berkaitan Sukma Johor 2020 yang akan dibincangkan termasuk gelembung atlet memandangkan berusia bawah 17 tahun yang belum menerima vaksin.
“Kita kena tahu, penganjuran Sukma ini akan membabitkan atlet kemungkinan usia bawah 17 tahun. Jadi, ini antara perkara yang perlu kita fikirkan.
“Penganjuran Sukma Johor 2020 adalah fokus utama KBS dan berikan kami sediki masa untuk mengatur jadual temasya tersebut,” katanya.
Semalam, Onn Hafiz memberitahu bahawa Johor bersedia menjadi tuan rumah Sukma pada tahun hadapan selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini akibat wabak Covid-19 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Onn Hafiz berkata, semua venue Sukma di negeri ini juga sudah siap 100 peratus dan kerajaan Johor turut memperuntukkan RM4.2 juta bagi menyelenggara kemudahan dan lokasi acara Sukma di negeri ini.
Tambahnya, Johor masih menunggu keputusan sama ada Sukma Johor 2020 boleh dianjurkan pada tahun hadapan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam masa terdekat.
HARGA runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh mulai esok hingga 15 Sept, manakala harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter daripada RM2.72 kepada RM2.73.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.- BERNAMA
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan tindakan atlet yang menyalahgunakan bahan terlarang bagi tujuan meningkatkan prestasi mereka sebagai sikap yang tidak bertanggungjawab.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbuatan tersebut menunjukkan betapa atlet terbabit tidak mempunyai semangat kesukanan seperti yang diharapkan.
Menurut beliau, pihak kementerian malah di pihak persatuan mempunyai polisi yang ketat berhubung perkara itu yang boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya terbukti mereka terlibat dalam isu ‘doping’ tersebut.
“Pihak KBS amat tidak bersetuju dengan tindakan para atlet yang menyalahgunakan substance untuk menaikan prestasi ini adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai semangat kesukanan.
“Jadi jika terbukti seseorang atlet itu menyalahgunakan pengambilan ‘substance’ untuk menaikkan prestasinya, ada polisi yang membolehkan kementerian akan mengambil tindakan untuk mengantung atlet tersebut,” katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan yang akan diambil kementerian terhadap atlet yang dipercayai positif doping itu.
Pada Ahad lalu, Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin mengesahkan dua atlet negara yang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) positif penggunaan bahan terlarang pada ujian yang dilakukan Jun lalu.
Susulan itu, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) turut mengesahkan bahawa dua atlet yang dilaporkan positif penggunaan bahan terlarang itu adalah atlet angkat berat.
Dalam kenyataan dikeluarkan Isnin lalu, kedua-dua mereka telah digantung daripada sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalalankan.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal akui masih belum meneliti laporan berhubung kes berkenaan.
“Adalah amat tidak adil bagi saya untuk menyatakan apa tindakan yang akan dibuat tetapi pihak KBS sentiasa (memandang serius berhubung isu tersebut).
“Selain kementerian, pihak persatuan sendiri akan ambil tindakan untuk tidak membenarkan atlet berkenaan untuk ambil bahagian dalam acara akan datang,” katanya.
KEADAAN pandemik di Sarawak kini telah beralih menjadi endemik apabila hampir semua kes COVID-19 yang dilaporkan melibatkan yang tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata program vaksinasi COVID-19 yang dijalankan di Sarawak sejak Februari lepas berjaya meningkatkan sistem ketahanan badan dan mengurangkan kesan serius akibat penyakit itu.
“Menurut pakar (kesihatan) keadaannya sama dengan kolera, SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan Swine flu yang apabila (virus COVID) dapat dilawan, akan membawa ke peringkat disebut endemik, di mana kita hidup dengan virus tetapi kita ada sistem pertahanan dalam tubuh (untuk melindungi) kita.
“Kalaulah tidak ada vaksinasi mungkin keadaannya berlainan. Apabila seseorang itu sudah divaksinasi, dia akan mempunyai sistem daya tahan diri untuk melawan virus COVID-19,” katanya selepas meninjau pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 untuk remaja berumur 16 dan 17 tahun di Kampung Telaga Air, kira-kira 25 km dari sini.
Beliau berkata setakat ini Sarawak telah mencapai 88.9 peratus liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi golongan dewasa yang layak atau 65.1 daripada keseluruhan populasi Sarawak dan peratusan ini akan terus bertambah memandangkan program vaksinasi masih berjalan.- BERNAMA
PIALA Presiden dan Piala Belia yang dibatalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menimbulkan kemarahan banyak pihak bukan dilakukan secara suka-suka.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan, keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab kerana agak sukar mengawal pemain jumlah yang begitu besar untuk mengadakan gelembung sukan.
“Keduanya, kebanyakan daripada mereka belum divaksin, jadi kita bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan mereka. Maka FAM buat keputusan yang bertanggungjawab dan penilaian sama akan dibuat untuk Sukma,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.
Ahmad Faizal dan Ras Adiba melakukan lawatan dan beramah mesra dengan penerima vaksin
Berkenaan isu membenarkan gimnasium di seluruh negara beroperasi semula tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, beliau memberitahu, perkara itu akan dibawakan dalam mesyuarat Kabinet esok.
Kabinet diharap katanya, mempertimbangkan cadangan itu sebagaimana kelonggaran yang diberikan terhadap industri kreatif terutama kebenaran menonton di panggung wayang.
Katanya, ketika ini pengusaha-pengusaha pusat gimnasium di seluruh negara terjejas pendapatan selepas tidak beroperasi sejak sekian lama.
“Kita tidak boleh buka gimnasium sewenang-wenangya tetapi SOP yang ketat perlu diadakan. Saya percaya (kita) boleh buka panggung wayang yang bukan satu keperluan tetapi kita tidak benarkan pembukaan gimnasium.
“Ramai yang kata ini (buka gimnasium) bukan keperluan dan hanya cara hidup tetapi bezanya orang yang duduk panggung wayang dengan orang yang pergi gimnasium, orang pergi gimnasium (lebih) menitikberatkan kesihatan,” katanya.
Menurut beliau, cadangan tersebut diharap dapat dipertimbangkan demi kelangsungan hidup mereka yang terlibat.
Ahmad Faizal berkata, mereka yang pergi ke gimnasium lebih menitikberatkan kesihatan kerana sudah tentu akan mematuhi semua amalan penjagaan diri dan SOP ditetapkan.
Katanya lagi, cadangan tersebut juga akan dibawa kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan nanti.
“Bukan sahaja pemilik gimnasium yang terkesan tetapi jurulatih turut menerima terjejas apabila gimanasium tidak dibuka. Bagi mereka yang terlibat dalam sukan ini, mereka perlu teruskan kerana kalau tak badan akan terkesan jika tidak terus berlatih.
“Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing ada membuat kunjungan hormat di pejabat saya semalam (Selasa). Mereka juga ada pandangan yang sama kerana golongan dalam sukan ini, kalau tinggalkan latihan dalam masa yang panjang, apa yang mereka buat selama ini boleh jadi hilang,” katanya.
HANYA disebabkan terlalu berminat untuk memakai rantai tangan lipan kait dan gelang emas fesyen, seorang suri rumah akhirnya terjerat dengan satu sindiket penipuan menjual barangan yang tidak wujud.
Malah, suri rumah berusia 42 tahun itu bukan sahaja kempunan untuk memiliki barangan kemas kegemarannya, malah mangsa turut mengalami kerugian RM2,499 ekoran ditipu dalam pembelian barangan pada awal bulan ini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof, dalam kejadian tersebut, mangsa yang tinggal di Kota Sri Ahmad Shah, Kuantan dikatakan memang berminat untuk membeli barangan kemas itu.
Katanya, ia bermula sebaik sahaja mangsa melihat satu iklan penjualan emas lelong yang diiklankan menerusi laman sosial Instagram dengan nama kedai_emas.lelong916official.
Justeru katanya, mangsa kemudian telah menghubungi nombor telefon yang tertera di media sosial tersebut untuk membeli rantai tangan lipan kait seberat 64.88 gram dan gelang emas fesyen seberat 17.48 gram dengan harga berjumlah RM2,499.
“Setelah berbincang, mangsa menyatakan persetujuan untuk membeli dan telah membuat tiga transaksi bayaran ke dua akaun diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun kata Mohd Wazir, selepas membuat pembayaran, sehingga kini mangsa tidak menerima barangan kemas yang dibeli itu.
“Ekoran itu, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kerana merasakan dirinya telah ditipu. Modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menawarkan penjualan emas tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian,” ujar beliau.
MAHKAMAH Majistret Kota Bharu hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari ke atas seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan anak tirinya, dipercayai berlaku sejak tiga tahun lalu.
Reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rusli Ahmad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Guchil Bayam pada pukul 5.30 petang semalam.
Menurut beliau, penahanan itu dibuat selepas satu laporan polis dibuat mangsa berusia 14 tahun yang mendakwa dirogol bapa tirinya sejak dia berusia 11 tahun sehingga kejadian terakhir pada 8 pagi kelmarin.
“Mangsa telah menceritakan kejadian tersebut kepada ibu saudaranya sebelum dia tampil membuat laporan polis bersama ibu kandungnya.
“Mangsa dikatakan tinggal bersama ibu dan bapa tirinya sejak tahun 2014 dan dia mendakwa kejadian berlaku semasa ibunya tiada di rumah di mana suspek akan masuk ke dalam bilik tidurnya,” katanya.
Menurut Abdul Rahim, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku sejak dia berusia 11 tahun, tetapi mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana takut dengan ugutan suspek,” katanya di Kota Bharu ketika dihubungi media hari ini.
Katanya, mangsa telag dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi rawatan dan pemeriksaan lanjut.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ada kesan kejadian baru dan lama pada kemaluan mangsa.
Ujarnya, hasil siasatan awal, suspek mengaku merogol anak tirinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melakukan serbuan di sebuah gudang yang dijadikan lokasi penyimpanan minuman keras dan mercun seludup diserbu dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan, Penampang hari ini.
Menerusi operasi pada pukul 3.05 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama-sama JKDM Sabah berjaya merampas minuman keras dan mercun bernilai lebih RM500,000.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, pihaknya menemukan 3,986 katon minuman keras dan 40,500 biji mercun pelbagai jenama dalam gudang tersebut.
“Nilai keseluruhan minuman keras dan mercun yang dirampas selepas tafsiran cukai RM502,316.
“Tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dilakukan dan semua barang rampasan diserahkan kepada JKDM Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Mohd. Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang tidak berkastam.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Haris berkata, operasi yang dijalankan bersama JKDM Sabah itu adalah untuk membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan daerah ini.
“Objektif operasi bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai selain memastikan Penampang bersih daripada menjadi pusat penyimpanan barangan tanpa cukai.
“Sepanjang operasi bersepadu bersama JKDM Sabah dilaksanakan sebanyak empat kali serbuan dan rampasan berjaya direkodkan dalam tempoh dua bulan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat setempat menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Penampang.