Author: Admin

  • 150,000 rakyat Malaysia sudah divaksin di Singapura

    150,000 rakyat Malaysia sudah divaksin di Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JUMLAH penduduk Johor yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 adalah lebih besar daripada data yang diperoleh ekoran beberapa faktor yang mempengaruhinya.

    Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, antara faktor berkenaan termasuklah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan individu yang mendapatkan suntikan vaksin di klinik swasta.

    Menurut beliau, kelewatan perolehan data melibatkan dua kategori berkenaan menyumbang kepada perbezaan antara data diperoleh dan jumlah sebenar individu telah divaksin.

    “Johor mempunyai bekalan vaksin yang banyak namun kadar vaksin rendah. Kita dapati bahawa terdapat satu jumlah besar individu yang tidak boleh mendaftarkan vaksinasi mereka di dalam MySejahtera.

    “Contohnya yang dapat vaksin di Singapura, ramai bilangannya, mereka ini telah berdaftar dalam MySejahtera awal, namu divaksin di Singapura jadi proses suntikan itu tidak dilengkapkan menerusi MySejahtera.

    “Dianggarkan antara 100,000 hingga 150,000 individu yang sebelum ini berdaftar untuk mendapatkan vaksin di Johor tetapi telah divaksin di Singapura, itu satu jumlah besar tetapi tidak termasuk dalam MySejahtera namun angka rakyat dewasa perlu divaksin turut melibatkan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Serahan Sumbangan Menteri Besar Johor kepada Jabatan Kesihatan Negeri di Hospital Permai, Johor Bahru, hari ini.

    Hasni bagaimanapun memaklumkan pihaknya tidak terlalu bimbang dengan perkara berkenaan kerana yakin ia akan diuruskan agensi kerajaan pusat terlibat dalam masa terdekat.

    Sementara itu, pihaknya memberitahu, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini dalam memastikan pesakit Covid-19 mendapat rawatan sewajarnya.

    “Tumpuan kerajaan negeri dalam usaha beralih ke fasa seterusnya adalah untuk memastikan supaya kemudahan kesihatan mencukupi dalam apa keadaan sekalipun.

    “Kita tahu kes terus meningkat di Johor dan ia banyak disumbangkan kluster industri kerana sektor berkenaan banyak menjalankan ujian setiap dua minggu sekali selain ujian di lapangan.

    “Oleh itu, Johor perlu memastikan apabila beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara kita mempunyai kemudahan yang lengkap khususnya untuk merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima,” ujarnya.

    Sehubungan itu Hasni memberitahu, pihaknya tetap komited untuk memastikan Johor beralih memasuki Fasa 2 dalam keadaan lebih bersedia.

    Sementara itu, dalam program berkenaan kerajaan negeri dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor telah menyumbang pelbagai peralatan kesihatan berjumlah RM300,000 untuk diagihkan kepada lima hospital daerah bukan pakar di Johor.

    Hospital berkenaan adalah Hospital Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Tangkak.

  • Dakwaan langgar kuarantin kendiri, polis ambil keterangan Guan Eng

    Dakwaan langgar kuarantin kendiri, polis ambil keterangan Guan Eng

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang akan memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar tempoh kuarantin kendiri sebaik sahaja beliau selesai menjalani tempoh kuarantin itu pada 10 September ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

    Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

    “Kita juga telah merekodkan keterangan kesemua individu yang membuat laporan polis semalam manakala keterangan daripada pihak Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan direkodkan hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Semalam dua sayap pemuda parti pembangkang di Pulau Pinang iaitu Gerakan dan MCA membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kerana didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri. 

    Laporan itu supaya polis menjalankan siasatan selepas Guan Eng menghadiri sidang DUN pada 2 September lalu sedangkan beliau dilaporkan sepatutnya menjalani kuarantin kendiri bermula 1 hingga 10 September. 

    Terdahulu, media melaporkan perbicaraan kes Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan melibatkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19. 

    Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya itu diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.

    Bagaimanapun Guan Eng dalam kenyataan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan beliau hanya diberitahu pada 2 September setelah menghadiri sidang DUN yang mana beliau mungkin menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September. 

    Sehubungan itu jelasnya, beliau telah tinggal di rumahnya di bawah kuarantin kendiri selepas menghadiri sidang DUN pada 2 September sebelum kemudiannya diuji negatif. 

  • Gara-gara tertinggal lengkuas, warga emas bercerai atas motosikal

    Gara-gara tertinggal lengkuas, warga emas bercerai atas motosikal

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG wanita warga emas ditimpa nasib malang, apabila diceraikan suaminya hanya disebabkan dia tertinggal bungkusan lengkuas yang dibeli di sebuah pasar di Dungun.

    Kejadian dikatakan berlaku sewaktu pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah.

    Menurut Ketua Hakim Syarie negeri Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd, kejadian itu adalah antara beberapa kes perceraian di Terengganu melibatkan alasan remeh-temeh sehinggga menjadi punca perceraian pasangan Islam di negeri ini.

    Beliau berkata, lain-lain kes yang dilaporkan termasuklah isteri tidak memasak hidangan kegemaran suami.

    Katanya, selain itu terdapat juga kes perceraian pasangan disebabkan isteri tidak memakai seluar jeans.

    Menurut Wan Mohd Zakri, kes warga emas yang tertinggal bungkusan lengkuas itu adalah disebabkan emosi dan marah.

    “Kerana terlalu marah menyebabkan suami tidak mahu berpatah semula ke pasar untuk mengambil lengkuas, sebaliknya secara tiba-tiba melafazkan cerai ketika di atas motosikal.

    “Namun, kebanyakan suami yang bertindak seperti ini akhirnya menyesal di atas tindakan tersebut dan segera tampil ke mahkamah syariah bagi mengesahkan perceraian sebelum kembali rujuk kepada pasangan masing-masing,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.

    Wan Mohd. Zakri memberitahu, situasi perceraian berpunca daripada alasan remeh-temeh dan tidak munasabah sentiasa berlaku dalam masyarakat sejak dahulu lagi.

    Justeru, beliau menasihatkan golongan suami supaya tidak terlalu cepat emosi dan mesti banyak bersabar.

    Malah katanya, suami juga diminta tidak menggunakan lafaz talak sesuka hati sekiranya berhadapan masalah dengan pasangan masing-masing kerana bakal meninggalkan kesan buruk terhadap institusi rumah tangga yang dibina.

    “Usah terlalu mudah melafazkan perkataan cerai, sebaliknya suami perlu melihat pertimbangan sewajarnya dalam menyelesaikan masalah. 

    “Antaranya mengguna pendekatan mendidik, mengajar atau bergurau dengan isteri, bukannya melalui ugutan lafaz talak,” ujar beliau.

    Sementara itu, Wan Mohd. Zakri memberitahu, semua mahkamah syariah di negeri ini akan beroperasi sepenuhnya bermula minggu depan dengan memperluas kategori yang boleh didaftarkan berbanding sebelum ini.

  • Wajarkah Dr. Maszlee salahkan Muhyiddin?

    Wajarkah Dr. Maszlee salahkan Muhyiddin?

    Oleh MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

    Saya berasa amat hairan dengan tindakan Dr. Maszlee Malik yang mengaitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai orang yang bertanggungjawab menyebabkan dia disuruh meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad. Kononnya Muhyiddin marah kepadanya kerana tidak menyambung kontrak 1Bestarinet. https://00d0f3394cccdd7523fc20dce08dda78.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

    Saya tidak ingin mempersoalkan kenyataan Dr. Maszlee. Itu kenyataan dia. Cuma saya terfikir, Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dari 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, iaitu selama 17 bulan 16 hari.

    Jika benarlah Muhyiddin mempunyai kepentingan dalam projek 1Bestarinet, kenapa beliau yang mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan 16 hari itu tidak mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk memperbaharui kontrak 1Bestarinet?

    Sebagai Perdana Menteri, beliau tentunya mempunyai kuasa yang besar. Jika beliau boleh mendesak Dr. Mahathir supaya memecat Dr. Maszlee, takkanlah beliau apabila menjadi Perdana Menteri tidak boleh mengarahkan Menteri Pendidikan supaya mengikut kehendaknya?

    Bukankah lebih mudah untuk beliau sebagai Perdana Menteri memberi arahan kepada menteri yang beliau sendiri lantik untuk memenuhi kepentingan peribadinya?

    Tetapi Muhyiddin tidak melakukannya. Kita lihat fakta. Kontrak 1Bestarinet yang dilaksanakan secara tender terbuka bermula untuk Fasa 1 pada tahun 2011 ketika Muhyiddin adalah Menteri Pendidikan dan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri. Muhyiddin dipecat oleh Najib daripada Kabinet pada tahun 2015.

    Kontrak 1Bestarinet disambung untuk Fasa 2 pada tahun 2016 ketika Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Pendidikan dan Najib adalah Perdana Menteri. Kontrak 1Bestarinet seterusnya tidak disambung untuk Fasa 3 pada tahun 2019 ketika Dr. Maszlee menjadi Menteri Pendidikan dan Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri.

    Kontrak 1Bestarinet juga tidak dilaksanakan semula ketika Datuk Dr. Radzi Jidin menjadi Menteri Pendidikan dan Muhyiddin adalah Perdana Menteri. Ini faktanya. Jadi apa isu sebenarnya berkaitan kontrak 1Bestarinet ini sehingga menyebabkan Dr. Maszlee diminta meletak jawatan? Jika kita buat sedikit kajian, kita akan tahu sedikit sebanyak apa puncanya.

    Mungkin ramai yang masih ingat ketika Dr. Maszlee meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Januari 2020, terdapat kandungan satu surat yang ditulis oleh Dr. Mahathir kepada Dr. Maszlee tular dalam media sosial.

    Surat ini menyatakan sebab-sebab Dr. Maszlee diminta meletak jawatan (Baca di sini: https://www.themalaysianinsight.com/s/210117 ).

    Antara sebabnya ialah kegagalannya mematuhi arahan Kabinet dalam isu perkhidmatan internet percuma di sekolah.  (Baca di sini: https://www.sinarharian.com.my/article/64643/BERITA/Nasional/Maszlee-diarah-letak-jawatan-kerana-sering-ingkar-arahan-Kabinet )

    Bila saya buat semakan, YTL Communications iaitu syarikat yang mengendalikan kontrak 1Bestarinet telah memfailkan tindakan semakan  kehakiman ke atas Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dr. Maszlee sebagai Menteri Pendidikan. Semakan kehakiman ini dibuat kerana KPM tidak mempertimbangkan cadangan syarikat itu untuk membekalkan perkhidmatan internet secara percuma ke sekolah-sekolah selepas kontrak 1Bestarinet tamat.

    Sebaliknya KPM melantik beberapa syarikat telekomunikasi lain untuk menyediakan perkhidmatan internet secara berbayar (Boleh baca di sini: https://www.malaysiakini.com/news/520721 ). Mungkinkah ini isu berkaitan 1Bestarinet yang menjadi sebab peletakan jawatan Dr. Maszlee? Wallahua’lam. Cuma saya berasa hairan mengapa Dr.Maszlee menyalahkan Muhyiddin? Apa dosa Muhyiddin kepada Dr.Maszlee?

    Mungkin Dr. Maszlee tidak begitu mengenali Muhyiddin. Maklumlah, dia menyertai Bersatu hanya beberapa hari sebelum PRU 14. Mungkin ramai yang tidak tahu orang yang membawa Dr. Maszlee masuk ke dalam Bersatu dan menamakan dia sebagai calon di Parlimen Simpang Renggam adalah Muhyiddin.

    Mungkin pertemuan dia dengan Muhyiddin sebelum dia menyertai Bersatu hilang daripada memorinya. Bahkan Muhyiddin lah yang mencadangkan namanya kepada Dr.Mahathir untuk dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Mungkin dia tidak tahu atau dia buat tidak tahu.

    Bayangkan daripada seorang pensyarah biasa, pertama kali menjadi calon dalam pilihanraya dan kemudiannya terus jadi menteri yang agak kanan kedudukannya dalam Kabinet.

    Presiden parti yang beri dia peluang untuk naik dalam politik pun jadi rakan sejawatnya dalam Kabinet. Mungkin sebab itulah dia tidak hormat dan tidak rasa terhutang budi kepada Presiden parti yang ada sedikit jasa kepadanya. Sebagai aktivis ARMADA yang berjuang dari awal bersama Muhyiddin, saya lebih kenal Muhyiddin dan tahu perwatakannya. Jauh bezanya dengan Dr. Maszlee.

    Ketika panas isu Dr. Maszlee didesak oleh netizen supaya meletak jawatan sebagai Presiden UIAM, Muhyiddin menasihati Dr. Maszlee supaya letak jawatan segera. Ini kerana pelantikan itu bercanggah dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu. Saya diberitahu ada keputusan Kabinet supaya Dr. Maszlee meletak jawatan. Tetapi Dr. Maszlee degil. Dia ambil masa berbulan-bulan lamanya sebelum meletak jawatan.

    Kalau orang yang ada disiplin parti, apabila Presiden parti beri nasihat, cepat-cepatlah ikut nasihat. Nasihat itu pun untuk kebaikan parti dan Kerajaan,t tetapi Dr. Maszlee tidak ada disiplin parti. Sampai Kabinet terpaksa buat keputusan. Itu pun dia ambil masa yang lama untuk patuh.

    Saya tanya Muhyiddin susah sangatkah nak letak jawatan sebagai Presiden UIAM? Muhyiddin beritahu saya semasa beliau jadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, beliau terima warkah daripada Almarhum Sultan Pahang sebagai Ketua Perlembagaan UIAM pada ketika itu yang melantiknya sebagai Presiden UIA. Beliau menolak pelantikan tersebut secara terhormat kerana tidak mahu dilihat ada konflik kepentingan sebab beliau juga adalah Menteri Pendidikan.

    Jauh bezanya Dr. Maszlee dan Muhyiddin. Bagai langit dan bumi. Tetapi saya menjadi lebih hairan apabila mengenangkan tindakan-tanduk Dr.Maszlee. Ketika Muhyiddin hendak dilantik sebagai Perdana Menteri, dia berada bersama kumpulan yang menyokong Muhyiddin.

    Tetapi kemudiannya dia membuat pusingan-u dengan mengeluarkan kenyataan tidak menyokong Muhyiddin. Selang beberapa minit selepas kenyataannya dikeluarkan, Muhyiddin diumumkan sebagai Perdana Menteri. Mungkin dia tersilap langkah. Selepas Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, dia datang berjumpa Muhyiddin. Kononnya menyokong Muhyiddin semula. Pelik saya dibuatnya.

    Kalau dia seorang yang berprinsip dan dia yakin Muhyiddin yang menjadi punca dia dipaksa meletak jawatan, kenapa dia datang berjumpa Muhyiddin dan menyokong Muhyiddin pula? Ini satu perbuatan yang pelik. Melainkan dia datang berjumpa kerana ada tujuan tertentu. Maklumlah pada masa itu Ahli-Ahli Parlimen sedang sibuk menuntut jawatan itu dan ini dalam GLC. Adakah ini sebabnya? Saya tidak mahu menuduh.

    Tak lama selepas itu, dia buat pusingan-u sekali lagi. Dia tinggalkan Muhyiddin dan masuk parti Pejuang bersama Dr. Mahathir. Dia dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang.

    Tetapi ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim heboh mendakwa dia ada “strong, convincing and formidable majority”, dia buat pusingan-u sekali lagi. Dr Maszlee yang pada ketika itu masih AJK Penaja Parti Pejuang telah menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Tindakan dia menyokong Anwar adalah bercanggah dengan pendirian parti Pejuang. Akhirnya dia meninggalkan parti itu dan menjadi Ahli Parlimen bebas.

    Saya minta maaf. Saya perhati perjalanan politik Dr. Maszlee. Masih belum jauh perjalanannya. Tetapi saya nampak jelas kekaburan ‘prinsip’ Dr Maszlee. Adakah dia seorang yang berprinsip atau hanya seorang oportunis?

    • Penulis adalah Ketua Penerangan ARMADA Nasional. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Polis mengaku tidak bersalah masuk dadah dalam badan

    Polis mengaku tidak bersalah masuk dadah dalam badan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, pada Ahad lalu.

    Tertuduh, Mohd. Rashid Sulaiman, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zulhainie Zull Kafli.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam tubuh badannya sendiri.

    Perbuatan itu dilakukan pada 2.30 petang di sebuah Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, 5 September lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

    Dalam rayuannya, lelaki itu memohon supaya nilai jaminan dikurangkan kerana menjaga ibunya yang lumpuh.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah turut menasihatkan lelaki itu untuk melantik peguam dan menetapkan 3 November depan sebagai semula kes.

  • Perubahan angin monsun punca banjir – Tuan Ibrahim

    Perubahan angin monsun punca banjir – Tuan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERUBAHAN angin monsun ketika ini merupakan faktor hujan lebat yang berlaku sehingga mengakibatkan banjir.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun musim tengkujuh diramalkan berlaku pada Oktober, beberapa kawasan di negara ini dilaporkan sudah banjir akibat hujan lebat.

    “Adakalanya, amaran cuaca buruk belum dikeluarkan namun kejadian banjir telah berlaku terlebih dahulu. Justeru kita mohon komuniti untuk sama-sama mainkan peranan dengan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah ke dalam parit.

    “Tabiat itu boleh mengundang lebih banyak keburukkan sehingga menyumbang masalah banjir yang di sesebuah tempat. Justeru, masyarakat diminta untuk sentiasa berwaspada dan bersama memainkan peranan menjaga alam sekitar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Batu Pahat hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor yang menarik balik cadangan pelan pembangunan ke atas Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara (HSKKLU) dan membatalkan pemberimilikan tanah kepada syarikat terlibat.

    “Kami di pihak kementerian sendiri berhasrat kawasan-kawasan tadahan air dapat dipelihara dan negara kita masih mengekalkan 55 peratus hutan di Malaysia. Sebahagian kerajaan-kerajaan negeri yang ada telah mematuhi had tebangan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli.

    “Saya menyambut baik semua usaha-usaha untuk pewartaan kawasan tadahan air supaya kawasan berkenaan sentiasa terpelihara,” katanya.

  • KKM: Pesakit kuarantin kendiri waspada Happy hypoxia

    KKM: Pesakit kuarantin kendiri waspada Happy hypoxia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN kesihatan Malaysia semalam mengeluarkan peringatan kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah agar berhati-hati dengan gejala Happy hypoxia.

    Happy hypoxia adalah satu keadaan di mana pesakit Covid-19 tidak menyedari mereka mempunyai kadar oksigen yang rendah dalam badan yang menyebabkan kesukaran bernafas.

    Gejala-gejala yang berkemungkinan menunjukkan oksigen yang rendah di dalam darah seperti:

    1. Kelesuan yang teruk
    2. Berpeluh banyak walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal
    3. Perubahan warna bibir atau kulit menjadi kebiruan

    Pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah perlu segera ke hospital sekiranya mengalami kesukaran bernafas atau gejala yang berkaitan happy hypoxia atau bacaan pulse oximeter menjadi rendah.

    KKM dalam catatan Facebooknya mengenai perkara ituturut menasihati mereka yang bergejala demikian agar menghubungi talian kecemasan 999 untuk ambulans atau menggunakan kenderaan sendiri bagi mendapatkan rawatan di hospital.

    Peneman atau pemandu perlu memakai perlindungan berganda (pelitup muka berganda dan face shield) serta sarung tangan. 

  • COVID-19: Terengganu pastikan pelajar selamat ke sekolah

    COVID-19: Terengganu pastikan pelajar selamat ke sekolah

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Terengganu akan memastikan sektor pendidikan di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan selamat sebaik sahaja pembelajaran secara bersemuka dilaksanakan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pada bulan depan.

    Justeru kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, bagi mencapai hasrat tersebut, pihaknya kini sedang berusaha melengkapkan proses vaksinasi kepada semua pelajar terbabit sebelum Oktober depan.

    Menurut beliau, sehingga ini sebahagian besar guru di Terengganu telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin Covid-19 dan kini ditumpukan pula kepada para pelajar yang bakal
    menduduki peperiksaan, berusia 17 hingga 18 tahun.

    “Selain itu, kita juga akan memberi perhatian khusus bagi memantu pelajar yang ingin menyambung pengajian terutamanya di luar negara dengan memberikan vaksin pada bulan ini walaupun mereka berusia di bawah 18 tahun, “katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, Kuala Nerus, hari ini.

    Sehubungan itu, Satiful Bahari meminta pelajar yang berminat untuk mendapatkan vaksin, permohonan khas boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah masing-masing.

    Mengenai prosedur Operasi Standard (SOP) ketika pembukaan sekolah secara besemuka Satiful Bahari memberitahu, pihaknya akan berpandukan kepada panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    Bagaimanapun ujarnya, bagi kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia masih tidak boleh beroperasi.

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada minggu depan bermula dengan di Sarawak.

    Bagi negeri Terengganu pula, seramai 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini layak menerima vaksinasi Covid-19 sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi.

  • 100 rakyat Palestin cedera bertempur dengan pengganas Israel

    100 rakyat Palestin cedera bertempur dengan pengganas Israel

    SERAMAI 100 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan anggota tentera Israel berdekatan bandar Nablus di Tebing Barat pada Rabu, lapor Sputnik, memetik Bulan Sabit Merah Palestin.

    “Mereka cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di daerah Beita dan Huwara berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat,” menurut pertubuhan. 

    Pada Rabu, semua gerakan dan kumpulan Palestin bertempur dengan tentera Israel sebagai menyokong tahanan Palestin di penjara Israel.

    Sejak dua bulan kebelakangan ini, kawasan Beita di selatan Nablus telah menyaksikan pertempuran antara rakyat Palestin dan tentera Israel.

    Menurut laporan media, pertempuran itu disebabkan pembangunan penempatan Israel yang baharu di daerah ini yang dimulakan pada Mei.- BERNAMA

  • RM1.43 bilion atasi banjir, pulihara sungai

    RM1.43 bilion atasi banjir, pulihara sungai

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM1.43 bilion menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai serta hakisan pantai di Johor.

    Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 15 projek akan dilukukan melibatkan 13 projek sambungan dan dua projek baharu.

    Jelasnya, projek sambungan berkenaan diteruskan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

    Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, RM81.3 juta diperuntukkan untuk projek di daerah ini bertujuan mengurangkan risiko banjir termenung yang melanda sejak Ogos lalu.

    “Bagi mengurangkan risiko banjir termenung, KASA melalui JPS sedang melaksanakan dua projek pembangunan iaitu menaik taraf Sistem Saliran Mesra (SMA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat.

    “Projek SMA yang telah mula dilaksanakan di dua lokasi iaitu Sungai Suloh dan Peserai ini dijangka siap mulai tahun depan.

    “Ini melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM32.8juta bertujuan mengatasi banjir berpunca daripada masalah sistem saliran tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Batu Pahat, hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata, projek RTB Sungai Batu Pahat pula bakal menelan belanja sehingga RM48.5 juta yang berperanan mengurangkan risiko banjir termenung akibat kejadian hujan lebat.

    “Projek ini masih dalam tempoh pra-pelaksana bagi perkhidmatan perunding dan ia dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya.

    Fenomena banjir termenung itu katanya, berlaku ekoran hujan lebat di kawasan Sri Medan dan di bahagian hulu iaitu diChaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar.

    “Kedua-dua projek mega ini akan memberikan manfaat buat lebih 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah banjir termenung selain mengelakkan kerugian kepada peladang kelapa sawit di kawasan berisiko,” katanya.