Author: Admin

  • KBS yakin emas Olimpik pertama mampu dicapai di Paris 2024

    KBS yakin emas Olimpik pertama mampu dicapai di Paris 2024

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin kontinjen Malaysia mampu meraih pingat emas sulung menjelang Paris 2024.

    Jelasnya, keyakinan itu berasas jikadinilai prestasi atlet negara di temasya Olimpik Tokyo.

    Beliau mengakui harapan tinggi disandarkan kepada jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk membawa pulang pingat emas pertama.

    Katanya, sememangnya Azizulhasni diharap mampu menjukang emas tetapi pencapaian meraih pingat perak dalam acara keirin tetap membanggakan.

    “Kita cuba untuk dapatkan pingat emas pertama di Olimpik Tokyo, tetapi malangnya acara keirin oleh Azizulhasni (gagal beri emas).

    “Saya rasakan dia sudah berikan persembahan emas, namun nasib tidak menyebelahi beliau dan Malaysia kerana ‘pace maker’ terlalu jauh menyebabkan Azizulhasni tidak dapat memecut.

    “Tetapi, apa yang saya boleh katakan, ia adalah persembahan emas bagi rakyat Malaysia,” katanya selepas menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia.

    Berbaki tiga tahun menjelang Olimpik Paris 2024, Faizal berkata, pasukan atlet negara dijangka dapat mencapai kemuncak prestasi untuk merealisasikan hasrat emas pertama negara dalam sukan paling berprestij di dunia itu.

    “Dengan latihan baik, bukan saja bagi Azizulhasni, tetapi saya yakin dengan beberapa atlet lain juga akan capai kemuncak prestasi (untuk ke Olimpik Paris 2024),” katanya sambil menambah kerjasama rapat antara semua persatuan sukan amat penting bagi memastikan atlet negara mampu menjayakan misi berkenaan.

    “Kalau kita berjaya lakukannya, saya percaya pingat emas pertama dalam genggaman kita,” katanya.

  • Najib, Mohd Nazifuddin fail kebenaran merayu bayaran cukai LHDN

    Najib, Mohd Nazifuddin fail kebenaran merayu bayaran cukai LHDN

    Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin selaku pemohon memberitahu pemberita bahawa notis usul itu difailkan secara berasingan pada hari ini di Mahkamah Persekutuan menerusi Tetuan Shafee & Co dengan menamakan Kerajaan Malaysia selaku responden.

    Dalam notis usul itu, mereka memohon diberi kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan pada 9 September lepas yang menolak rayuan kedua-dua perayu dengan kos RM10,000 setiap seorang.

    Dalam notis itu, mereka turut mengemukakan sembilan persoalan undang-undang antaranya sama ada Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan sama ada Seksyen 106 (3) itu tidak berperlembagaan atau ultra vires kerana ia telah merampas kuasa kehakiman mahkamah seperti termaktub di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

    Pada 9 September lepas, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.

    Najib dan Mohd Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

    Najib dan Mohd Nazifuddin perlu membayar cukai berkenaan kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dimasukkan terhadap mereka.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lepas oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

    Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

    LHDN memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lalu kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan berkenaan. – Bernama

  • Guna ‘mangkuk’ dan kata kesat lain di Parlimen bukti PH masih sama, belum matang

    Guna ‘mangkuk’ dan kata kesat lain di Parlimen bukti PH masih sama, belum matang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGGUNAAN kata-kata kesat oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan Pakatan Harapan (PH) ‘belum matang’ walaupun baru semalam memeterai perjanjian dengan kerajaan untuk melakukan pelbagai transformasi sistem demokrasi.

    Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penggunaan ungkapan ‘mangkuk’ oleh Mahfuz dalam menolak penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah tidak wajar sama sekali.

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, walaupun memorandum persefahaman (MoU) baru saja dimeterai antara kerajaan dan PH semalam, Dewan Rakyat yang bersidang hari ini tetap kecoh ketika waktu pertanyaan Menteri.

    “Penggunaan ayat seperti ini tidak patut diungkapkan oleh Ahli Parlimen di dalam Dewan yang mulia. Baik ada MoU atau tidak, perangai tetap sama, masih belum berubah, masih belum matang,” kata Ka Siong dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya.

    Ka Siong merujuk kepada kepada MoU yang dimeterai antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH semalam yang antara lain menggariskan komitmen bersama untuk mengukuhkan kerjasama rentas parti serta mengembalikan semula kestabilan politik.

    MoU itu merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen dan memastikan kebebasan Institusi Kehakiman.

    Mahfuz pagi tadi menegur Hamzah menggunakan perkataan ‘mangkuk’ atas penjelasan beliau mengenai tindakan polis menghalang ahli Parlimen pembangkang berarak ke bangunan Parlimen 2 Ogos lalu.

    Ka Siong berkata, sikap sesetengah ahli Parlimen yang masih belum berubah menjadi cabaran untuk menjayakan transformasi Parlimen dan mengembalikan kestabilan politik negara.

    Katanya, semua pihak perlu ikhlas dalam menjayakan transformasi yang diharapkan melalui MoU yang telah dimeterai petang semalam.

    “Maka, inilah cabaran terbesar untuk menjayakan transformasi Parlimen dan mengekalkan kestabilan politik. Keikhlasan perlu ada pada semua pihak dan perlu ada anjakan paradigma. Doakan yang terbaik buat Keluarga Malaysia,” ujarnya.

  • Paip pecah akibat hakisan sejauh 80 meter punca krisis bekalan air: Dr Mamad

    Paip pecah akibat hakisan sejauh 80 meter punca krisis bekalan air: Dr Mamad

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    KRISIS bekalan air yang menyebabkan 28,700 akaun pengguna di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu terjejas baru-baru ini berpunca daripada paip pecah di dasar Sungai Terengganu setelah paip tersebut hilang sokongan akibat kawasan itu mengalami hakisan sejauh 80 meter.

    Menurut Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh , akibat kehilangan sokongan di dasar sungai paip berkenaan tergantung pada jarak 80 meter dan patah.

    Beliau memberitahu, paip itu dilaksanakan pada tahun 2003 dan siap 2006, Ia ditanam sedalam antara 1.5 hingga 2 meter.

    “Namun, setelah siasatan dilakukan pada tahun ini, kawasan berkenaan telah terhakis sejauh 80 meter,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepuh) berhubung kejadian kebocoran paip air di dasar Sungai Terengganu awal Ogos lalu pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

    Menurut Dr. Mamad, di lokasi itu juga terdapat 12 pengusaha pasir yang
    melakukan kerja-kerja mengorek pasir pada jarak lima kilometer dari kawasan tersebut sejak 10 tahun lalu.

    Daripada jumlah itu katanya, tujuh pengusaha masih aktif menjalankan aktiviti manakala lima lagi telah menghentikan operasi.

    Katanya, ketika permohonan menyedut pasir dibuat dan diluluskan, tiada makluman daripada mana-mana agensi kerajaan mengatakan terdapat paip air ditanam di kawasan tersebut.

    “Sepatutnya apabila ada permohonan tanah atau urusan berkaitan pasir, seharusnya ada ulasan dari agensi-agensi kerajaan, namun pada waktu itu tidak ada mana-mana agensi yang memberitahu perkara itu, seolah-olah paip air di dasar sungai, itu tidak wujud, itu yang menjadi masalah,” ujarnya.

    Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di luar dewan, Dr. Mamad berkata, kerajaan bercadang untuk memperkasakan fungsi Jabatan Bekalan Air (JBA) supaya masalah sama tidak berulang pada masa akan datang.

    Katanya, ini akan membolehkan JBA menyimpan maklumat semua paip yang ada di dasar Sungai Terengganu dan aset kerajaan lain dalam satu sistem sebagai rujukan apabila ada permohonan atau projek yang hendak dijalankan di satu-satu kawasan.

    “Bagi peringkat daerah yang ada sungai, kita akan wujudkan satu unit diketuai pegawai daerah untuk memantau semua aktiviti korek pasir dan perusahaan pasir dari masa ke masa,” jelasnya.

  • Ah long beri pinjaman wang kepada rakyat Malaysia di Singapura dicekup

    Ah long beri pinjaman wang kepada rakyat Malaysia di Singapura dicekup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS menumpaskan sindiket ah long yang memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada warga tempatan yang bekerja di Singapura dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bukit Pasir dan Taman Banang, di Batu Pahat, Isnin lalu.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang itu, empat lelaki berusia lingkungan 23 hingga 36 tahun ditahan yang dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak 2019.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek turut melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah terhadap mangsa dan keluarga mereka yang melakukan pinjaman itu.

    “Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati mereka mengaku telibat dalam sindiket ah long dan menawarkan pinjaman atara SGD300 hingga SGD1,000 (RM900 hingga RM3,000) dengan bayaran bunga dikenakan sebanyak 20 peratus kepada peminjam.

    “Mereka juga melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah terhadap mangsa-mangsa dan keluarga mangsa yang melakukan pinjaman itu apabila gagal membuat bayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas lima unit komputer riba, 21 unit telefon bimbit, 18 keping kad bank, tiga buku catatan mengandungi nombor telefon peminjam serta enam keping kertas yang terpapar gambar peminjam.

    Turut dirampas 56 keping simkad, seutas jam tangan berjenama mewah, enam unit pendrive, dua unit modem dan wang tunai RM9,700.

    Ayob Khan berkata, kesemua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama sembilan hari sehingga esok bagi membantu siasatan dijalankan.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api ke atas kediaman dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 akibat menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat pinjaman atau berurusan dengan ah long kerana kadar bunga yang tinggi, syarat pinjaman yang tidak jelas dan terdedah kepada ancaman ugutan, bencana dan kerosakan harta benda,” ujarnya.

    Sejak Januari hingga kini, sebanyak 168 kertas siasatan telah dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor melibatkan perlakuan khianat oleh kumpulan ah long dengan 123 kes khianat simbah cat dan 45 lagi kes baling molotov cocktail.

  • [VIDEO] Luahan ikhlas, spontan rakyat mahu Muhyiddin jadi PM lagi

    [VIDEO] Luahan ikhlas, spontan rakyat mahu Muhyiddin jadi PM lagi

    PELETAKAN jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri mungkin memberikan kesan gembira kepada musuh politiknya, namun bagi rakyat secara keseluruhannya ia satu kedukaan.

    Di sebalik segala tuduhan musuhnya, rakyat sedar pengorbanan Muhyiddin dan bersimpati nasibnya.

    Telah banyak bukti bagi menyokong kenyataan itu, namun video Tik Tok aksi spontan seorang peniaga meluahkan rasa hatinya kepada Muhyiddin amat meruntun jiwa.

    “Sedih abah tak jadi Perdana Menteri, kita mengharap kat abah lagi jadi Perdana Menteri, walau semua tak sokong abah, kita sokong abah,” kata ibu tunggal itu kepada Muhyiddin, ketika beliau turun padang untuk melihat pembukaan sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara.

    Video yang berdurasi 57 saat itu mendapat 1.5 juta jumlah tontonan serta hampir 200,000 tanda suka.

    Lawatan Muhyiddin ke AEON AU2 Setiawangsa, Taman Keramat, Kuala Lumpur, semalam, turut dikongsikan di Facebook rasmi beliau.

    Katanya, lawatan tersebut bagi mendengar sendiri daripada mulut peniaga tentang pengalaman dan rintihan mereka dalam berhadapan cabaran mencari rezeki ketika musim pandemik.

    “Ada yang mengadu kepada saya tentang cabaran perniagaan yang dihadapi sepanjang tempoh “lockdown” termasuk kerugian yang ditanggung.

    “Namun Alhamdulillah, rata-rata peniaga menghargai bantuan-bantuan tunai yang telah disalurkan Kerajaan sejak Mac 2020 seperti Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Khas Covid baru baru ini,” ujar beliau. – SATU BERITA

  • Dasar tingkatkan pendapatan isi rumah B40 diteruskan- PM

    Dasar tingkatkan pendapatan isi rumah B40 diteruskan- PM

    KERAJAAN akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah miskin dalam kalangan B40 bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan.

    “… (selain itu), menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan serta meningkatkan perlindungan sosial,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ismail Sabri berkata kerajaan sebelum ini menyediakan bantuan jangka pendek kepada rakyat di bawah lapan pakej ransangan ekonomi antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa 1 yang keseluruhannya berjumlah RM24.9 bilion dan telah membantu 10.9 juta individu dan isi rumah.

    Turut disediakan, moratorium bayaran balik pinjaman kepada lebih tujuh juta peminjam, diskaun bil elektrik sebanyak RM3.14 bilion yang memanfaatkan 8.8 juta individu dan isi rumah, sejumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan serta mengekal dan mewujudkan pekerjaan termasuk program Subsidi Upah yang membantu kira-kira 300,000 majikan dan mengekalkan lebih 2.7 juta pekerjaan.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata jurang atau peratusan kemiskinan dalam negara dapat dikurangkan apabila sektor ekonomi dibuka yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat atau memulakan perniagaan. 

    Beliau berkata bantuan jangka pendek yang disediakan sebelum ini bersifat sementara dan hanya bertahan untuk beberapa waktu.

    “Sebagai contoh, apabila kita berikan bantuan kepada peniaga mikro secara ‘one-off cash’ (tunai sekali beri), ia bertahan untuk beberapa waktu… sebab itu pelan kita bagi jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memberikan latihan kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran untuk mereka diberikan peluang menambah pendapatan atau mencari pendapatan baharu,” katanya.

    Beliau menjawab soalan tambahan Anwar mengenai sama ada bantuan yang disediakan oleh kerajaan sebelum ini mencukupi untuk membantu rakyat. 

    Kepada soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada kerajaan bercadang memberikan moratorium tanpa faedah terakru bagi membantu masalah hutang isi rumah, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan memandangkan kerajaan memahami situasi yang dihadapi rakyat.

    Terdahulu, beliau berkata Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Ogos menyaksikan pendapatan purata kasar bulanan isi rumah menurun 10.3 peratus daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM7,089 pada 2020.

    Menurut laporan itu, insiden kemiskinan meningkat kepada 8.4 peratus yang melibatkan 639,800 isi rumah berbanding 5.6 peratus atau 405,400 isi rumah pada 2019. 

    “Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020,” kata Ismail Sabri. 

    Beliau berkata kira-kira 600,000 isi rumah M40 yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 sebulan telah jatuh ke kumpulan B40.- BERNAMA

  • Enam helikopter MD-530G sedang jalani proses prapenghantaran

    Enam helikopter MD-530G sedang jalani proses prapenghantaran

    ENAM buah helikopter jenis MD-530G yang akan dioperasikan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sedang dalam peringkat pemeriksaan prapenghantaran (PDI), sebelum mula digunakan secara rasmi, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Beliau berkata proses PDI helikopter buatan McDonnell Douglas berkenaan adalah bagi memastikan aspek teknikal dan spesifikasi dipatuhi sepenuhnya, bagi pengoperasiannya kelak yang bertujuan mengukuhkan lagi mobiliti udara TDM.

    “Berdasarkan kepada kontrak perolehan, semua pesawat helikopter terbabit dijangka sampai ke Malaysia pada akhir tahun ini,” katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira ATM, di sini.

    Pada Februari lepas, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyatakan Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menerima helikopter buatan McDonnell Douglas bernilai RM321.9 juta itu, pada bulan Ogos tahun ini.

    Mengulas mengenai perancangan ATM terutamanya dalam menguruskan aset-aset pertahanan yang disifatkan agak berusia sama ada ia mencukupi untuk mempertahankan negara, Affendi berkata pihaknya mempunyai perancangan dalam perkara itu.

    “ATM mempunyai rancangan pengurusan aset-aset yang merangkumi Program Senggaraan, ‘Upgrading program’ dan Program Penggantian Aset Pertahanan, bagi membolehkan ATM menjalankan fungsi mempertahankan negara.

    “Selain itu, ATM telah memfokuskan Rancangan Pengurusan Aset kepada Tonggak 1 Strategi Pertahanan Negara iaitu Cegah Rintang Berpadu, seperti mana yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan, di mana ATM mendapati ada kekangan terhadap keupayaan dan bilangan aset untuk menjaga keseluruhan kawasan operasi,” katanya.

    Affendi berkata ATM telah membuat perancangan operasi secara sistematik melalui aset-aset sedia ada, bagi memberikan efek pertahanan yang lebih berkesan.

    Mengulas mengenai perkembangan latihan komprehensif di prermis MD Helicopter Inc di Arizona, Amerika Syarikat bagi juruterbang dan juruteknik, Affendi berkata ATM telah menghantar seramai lapan juruterbang dan sembilan juruteknik, untuk menjalani latihan berkenaan pada 24 April hingga 13 Ogos lepas.

    “Latihan berkenaan bertujuan meningkatkan kemahiran juruterbang dalam pengendalian sistem persenjataan, penerbangan taktikal dan latihan menembak pesawat, manakala latihan kru untuk penyelenggaraan pesawat, enjin dan persenjataan,” katanya.

    Dalam pada itu, Affendi berkata sejumlah lapan syarikat pengeluar telah menyatakan minat membida tender perbekalan jet latihan penggempur/jet tempur ringan (FLIT-LCA) yang telah diiklankan pada 22 Jun lalu.

    “Di antara pesawat yang terlibat adalah PAC JF-17 keluaran Pakistan Aeronautical, Hongdu L15B keluaran China National Aero-Technology, M-346 keluaran Leonardo dari Itali, Yak-130 keluaran Irkut Corporation dari Rusia dan T-7 Red Hawk keluaran Boeing dari Amerika Syarikat.

    “Tender dijadualkan akan ditutup pada 22 Sept depan dan proses tender itu masih sedang berjalan,” katanya.- BERNAMA

  • “Beri kepercayaan pada Muhyiddin” – PM

    “Beri kepercayaan pada Muhyiddin” – PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERLANTIKAN semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bukanlah satu langkah yang dibuat secara semberono.

    Pelantikan Ahli Parlimen Pagoh itu adalah berdasarkan hakikat dia telah mempengerusikannya sejak awal, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

    Justeru jelas beliau, adalah amat wajar bekas perdana menteri itu diberikan kepercayaan penuh untuk menjalankan tugas yang dimulakan sejak awal lagi.

    “Memang Pagoh pengerusikan mesyuarat ini sejak mula diwujudkan, maka kita beri kepercayaan Pagoh teruskan tugasnya,” katanya dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini.

    Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Salim Sharif (BN–Jempol) yang mahu tahu rasional pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan sebab MPN dipengerusikan Muhyiddin.

    Muhyddin dilantik sebagai Pengerusi MPN dengan status menteri pada 4 September lalu.

    PPN diperkenalkan era pentadbiran 17 bulan Muhyiddin sebelum dijatuhkan oleh UMNO.

    Rancangan itu memperkenalkan empat tahap sebelum ekonomi dibuka semula sepuhnya dengan mengambil kira jumlah kes harian Covid-19, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi. 

  • Kadar pengangguran di Malaysia turun pada suku kedua 2021

    Kadar pengangguran di Malaysia turun pada suku kedua 2021

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Sumber Manusia merekodkan kadar pengangguran rakyat Malaysia turun 0.3 peratus pada suku kedua tahun ini iaitu kepada 4.8 peratus berbanding 5.1 peratus yang dicatat pada tempoh sama pada 2020.

    Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bagi kedudukan pengangguran di peringkat negeri pada suku kedua tahun ini, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatat kadar pengangguran lebih lapan peratus iaitu masing-masing pada kadar 8.8 peratus dan 8.7 peratus.

    “Ini menunjukkan daripada 100 orang tenaga buruh di negeri itu, sembilan orang daripadanya adalah penganggur,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

    Katanya, bagi tempoh sama, Perlis mencatatkan kadar pengangguran 5.3 peratus manakala enam negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih 4.0 peratus iaitu Kelantan (4.8 peratus), Kuala Lumpur (4.7 peratus), Perak, Selangor dan Sarawak masing-masing 4.4 peratus serta Terengganu pada kadar 4.2 peratus.

    “Enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mencatatkan kadar pengangguran antara 3.5 peratus ke 3.9 peratus.

    “Kadar pengangguran terendah pula adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada kadar 1.7 peratus. Ini dapat dikaitkan dengan penglibatan tinggi penduduk kawasan ini yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya.

    Saravanan berkata, terdapat tujuh negeri mencatatkan kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus, menggambarkan ekonomi negeri berkenaan masih beroperasi dengan guna tenaga penuh.

    Pada masa sama, penurunan bilangan penganggur direkodkan di tujuh negeri iaitu Sabah, Perak, Sarawak, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Putrajaya, kata beliau.

    Bagaimanapun katanya, Selangor mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan penduduk bekerja, namun bilangan penganggur di negeri itu turut meningkat sebanyak 2.3 peratus iaitu 3,700 orang daripada 161,000 orang kepada 165,000 orang.