Author: Admin

  • Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    MALAYSIA menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

    Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini berkata pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

    Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

    “Sebagai sebuah negara dalam ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” menurut kenyataan itu.

    Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan Ismail Sabri telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia Scott Morrison semalam yang memaklumkan dan memberikan penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama tiga hala AUKUS, yang bertujuan untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

    Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negara termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

    Kedua-dua pemimpin, menurut kenyataan itu turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa khususnya di rantau Indo-Pasifik.

    “Perdana Menteri Malaysia menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

    “Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif,” menurut Pejabat Perdana Menteri.– BERNAMA

  • Nilai kembali keputusan tidak tandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

    Nilai kembali keputusan tidak tandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI-parti pembangkang yang masih belum menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik, diminta memikirkan semula perkara itu bagi memastikan mereka dapat bersama dalam menangani cabaran dihadapi negara, terutamanya berkaitan ekonomi dan kesusahan dihadapi rakyat akibat Covid-19.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dengan menandatangani MoU tersebut, itu tidak bermakna mereka tidak lagi menjalankan tugas-tugas membangkang serta memainkan peranan semak dan imbang.

    Malah katanya, mereka juga tidak sekali-kali menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana apa yang dibentuk bukanlah kerajaan perpaduan (unity government).

    “MoU ini persefahaman antara kerajaan dan pembangkang tetapi dia tetap membangkang. Dalam Parlimen pun mereka tetap ‘tibai’ kerajaan dan peranan semak serta imbang tetap dimainkan.

    “cumanya ada persefahaman atau limitasi mengenai hal dinyatakan dalam MoU itu yang akan melibatkan kerjasama dari kerajaan dan pembangkang. Oleh itu, kita berharap parti lain juga yang belum menandatangani MoU, dapat mencari jalan supaya bersetuju dengan kerajaan, untuk bersama dalam urusan berkaitan Covid-19 dan pembangunan semula ekonomi,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima taklimat mengenai program tanam semula di Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau, Padang Terap, hari ini.

    Tiga parti pembangkang iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik (Muda)sehingga kini masih enggan menandatangani memorandum tersebut dengan beberapa alasan diberikan mengenainya.

    Keadaan itu mendorong pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bersuara menerusi satu kenyataan semalam untuk mengajak ketiga-tiga parti tersebut agar bersama menandatanganinya demi masa depan yang baik untuk rakyat Malaysia.

    Mahdzir menambah, dalam keadaan sekarang, semua ahli politik tidak seharusya sibuk bermain politik, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Elok kita tumpukan kepada kesusahan rakyat dalam ekonomi dan bagaimana hendak berdepan dengan pandemik ini. Di pihak kerajaan, insya Allah tanggungjawab ini akan diambil secara serius dengan program ekonomi rakyat juga akan dibuat secara menyeluruh,” katanya.

  • KPDNHEP kesan 34 peniaga jual kit ujian kendiri melebihi harga kawalan

    KPDNHEP kesan 34 peniaga jual kit ujian kendiri melebihi harga kawalan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SERAMAI 34 peniaga dikesan menjual kit ujian kendiri antigen Covid-19 melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

    Menurut Rosol, peniaga terbabit dikesan hasil pemeriksaan ke atas lebih 1,800 farmasi, klinik dan premis yang menjual kit ujian kendiri antigen Covid-19 di seluruh negara bermula dari 5 hingga 17 September.

    Daripada jumlah itu katanya, didapati 1,552 peniaga menjual kit ujian ini mengikut harga kawalan ditetapkan manakala 185 premis lagi menjual di bawah harga RM19.90.

    “Bagaimanapun, setakat ini hanya satu kompaun bernilai RM250 dikeluarkan kerana menjual melebihi harga maksimum,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.

    Sementara itu, mengenai kenaikan harga ikan hingga RM2 sekilogram dalam pasaran, Rosol mengesahkan berhubung perkara tersebut.

    Menurut beliau, pihaknya ada menerima aduan mengenai kenaikan tersebut dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membuat pemantauan.

    Katanya, berdasarkan aduan diterima, ikan selayang sekarang dijual dengan harga RM16 satu kilogram manakala ikan kembung semalam dijual mencecah RM22 sekilogram.

  • Tak timbul isu Bersatu berkecuali undi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

    Tak timbul isu Bersatu berkecuali undi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

    TIDAK timbul isu Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berkecuali dalam pengundian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengulas sedemikian susulan dakwaan terbabit.

    Beliau yang dipetik Astro Awani berkata, pemilihan jawatan itu telah ditangguhkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini.

    “Setakat sekarang, tidak salah saya, kita telah putuskan dalam persidangan (Dewan Rakyat) Menteri Parlimen dan Undang-Undang telah usulkan jawatan Timbalan Speaker ditangguhkan.

    “Maka, tidak timbul Ahli Parlimen Bersatu akan berkecuali dalam perkara tersebut,” katanya hari ini.

    Sebelum ini, memetik laporan Sinar Harian, bahawa kesemua ahli Parlimen Parti Bersatu dijangka mengemukakan pendirian berkecuali dalam isu cadangan nama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon tunggal kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen baharu.

    Terdahulu, Dewan Rakyat pada Selasa bersetuju usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada Selasa.

    Jelas Wan Junaidi, keputusan itu bagi membolehkan satu pindaan dibuat membabitkan Perkara 57(1)(b), iaitu membolehkan jawatan Timbalan Speaker yang ketiga diwujudkan.

  • Covid-19:Jangkitan harian turun 15,549 kes

    Covid-19:Jangkitan harian turun 15,549 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia hari ini menurun sebanyak 2,000 kes kepada 15,549 kes berbanding 17,577 jangkitan semalam.

    Penurunan sebanyak 2,028 kes itu, sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 setakat ini ialah sebanyak 2,082,876 kes kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di Facebook berkata, Sarawak mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi dengan 2,929 kes diikuti Johor, 2,208 kes.

    Selangor pula di tempat ketiga dengan 1,995 kes berbanding 2,646 kes semalam.

    Selain itu, lima negeri turut menyumbang lebih 1,000 jangkitan harian Covid-19 iaitu Sabah (1,395 kes), Pulau Pinang (1,375 kes), Kelantan (1,214 kes), Perak (1,120 kes) dan Kedah (1,073 kes)

    Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing masing mencatatkan hanya tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 11 jangkitan diikuti, Putrajaya 31 kes dan Perlis 33 kes.

  • Sultan Johor gesa Peguam Negara batal rayuan isu hak kerakyatan

    Sultan Johor gesa Peguam Negara batal rayuan isu hak kerakyatan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menggugurkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan anak-anak dilahirkan warganegara Malaysia di luar negara untuk diberikan kewarganegaraan secara automatik.

    Baginda bertitah, semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini.

    “Kesucian mahkamah mesti dipelihara. Mengapa ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara perlu alami diskriminasi? Ini adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia.

    “Ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak bapa dan ibu dipandang secara berbeza daripada sudut undang-undang dalam soal berkaitan kerakyatan anak mereka. Adakah ibu dan bapa mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang berbeza,” soal Sultan Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

    Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan anak-anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kewarganegaraan Malaysia.

    Media kemudian melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.

    Bertitah lanjut, Sultan Ibrahim juga menyatakan kerajaan tidak wajar menolak kerakyatan kepada mereka yang berhak, lebih-lebih lagi apabila Malaysia kini berdepan masalah serius kehilangan orang muda yang berbakat dan berkelayakan.

    “Inilah masanya untuk menerima mereka dan menerapkan semangat Malaysia dalam diri mereka, bukannya menolak dan menghalau mereka. Dasar seperti ini adalah tidak betul,” titah baginda.

    Titah Sultan Ibrahim lagi, dalam semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Peguam Negara harus segera menarik balik rayuan ke atas keputusan mahkamah itu.

  • 12 tan metrik baja kompos dihasilkan daripada sisa makanan

    12 tan metrik baja kompos dihasilkan daripada sisa makanan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PROJEK Perintis Pengkomposan antara syarikat SWM Environment Sdn. Bhd. dengan penduduk di dua buah taman perumahan di Batu Pahat berjaya menghasilkan sebanyak 12 tan metrik baja kompos hasil sisa makanan.

    Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, program dilaksanakan bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu diadakan sejak Februari lalu.

    Menurut beliau, kesemua sisa makanan yang dikompos dijadikan baja sebelum diedarkan kepada komuniti setempat bagi kegunaan pelbagai jenis tanaman.

    “Program ini melibatkan komuniti antara penduduk dan peniaga di Taman Universiti serta Taman Pura Kencana, di sini dan kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama erat pelbagai pihak dalam membentuk inisiatif kelestarian alam sekitar.

    “Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan, malah berupaya mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar seperti penghasilan gas karbon dan metana.

    “Jika tidak, air lelehan sampah atau air larut resap dari sisa pepejal dan pencemaran bahan kimia semasa proses penguraian sisa pepejal akan merisikokan alam sekitar dan hidupan,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Mohd. Norlisam, cabaran utama menghasilkan projek itu adalah kesukaran mengasingkan sisa makanan daripada sisa buangan lain yang bercampur aduk sehingga terpaksa diasingkan semula mengikut kaedah manual.

    “Selain itu, faktor cuaca juga memberikan kesan apabila menjejaskan kualiti sisa makanan untuk dijadikan baja kompos.

    “Bagaimanapun kita harapkan agar kejayaan projek perintis ini dapat mengubah gaya hidup masyarakat untuk mengkompos sampah bagi mengurangkan pencemaran,” katanya.

    Justeru, pihaknya meminta semua pihak memainkan peranan dalam penjagaan alam sekitar demi mengurangkan intensiti pelepasan karbon kerana penggunaan sumber yang efisyen bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran malah membantu negara melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan bersama.

  • 13 geng motosikal lasak ditahan ceroboh hutan simpan Tembat

    13 geng motosikal lasak ditahan ceroboh hutan simpan Tembat

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TINDAKAN sekumpulan geng motosikal lasak mengadakan aktiviti di di kawasan Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu tanpa kebenaran membawa padah, apabila mereka ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu, petang semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, kelibat 13 lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 49 tahun yang menunggang motosikal lasak pelbagai model berjaya dihidu anggotanya, sebelum mereka ditahan pada pukul 1 petang.

    Menurut beliau, setelah pemeriksan dibuat mendapati kumpulan terbabit menceroboh hutan simpan itu kerana ingin mengadakan aktiviti sukan lasak.

    Bagaimanapun katanya, tindakan itu merupakan satu kesalahan kerana mereka tidak memohon sebarang permit daripada Jabatan Perhutanan.

    Justeru, Roslan ingin mengingatkan kepada orang ramai yang ingin memasuki kawasan hutan simpan atau ingin mengadakan apa jua aktiviti mestilah memohon permit daripada Jabatan Perhutanan bagi mengelak tindakan undang-undang.

    “Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri
    Terengganu,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Roslan memberitahu, sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Beliau berkata, 13 motosikal lasak itu kini disita untuk siasatan lanjut dan pihaknya meminta orang ramai yang memperoleh maklumat berhubung pencerobohan di kawasan hutan simpan kekal diminta agar memaklumkan secara rasmi kepada pihaknya berserta bukti untuk membolehkan siasatan dan tangkapan dibuat.

    “Kami juga ingin menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat jelas berhubung keperluan dan kaedah permohonan permit sebelum memasuki hutan simpan kekal di Pejabat Perhutanan daerah terdekat sebelum menjalankan sebarang aktiviti.

    “Kita bersama agensi penguat kuasa lain akan terus menjalankan operasi dan pemantauan bersepadu bagi memastikan aktiviti pencerobohan hutan simpan kekal dapat dibendung,” jelas beliau.

  • Kemensah Heights:Pembinaan cerucuk besi perlu disegerakan – Azmin

    Kemensah Heights:Pembinaan cerucuk besi perlu disegerakan – Azmin

    PEMBINAAN cerucuk besi perlu dilaksanakan segera di kawasan yang terlibat dengan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan itu.

    Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagi tujuan itu pihaknya telah meminta pertimbangan dan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan. 

    “Jika diikutkan kawasan ini merupakan tanah persendirian, jadi kerja-kerja membaik pulih mengikut undang-undang perlu dilakukan oleh pemilik tanah sendiri. Namun kali ini nyawa rakyat lebih menjadi keutamaan jadi saya telah hubungi Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tujuan itu. 

    “Kita perlu menyegerakan cerucuk besi untuk hentikan pergerakan tanah di lokasi kejadian. Seperti yang kita tahu bahawa kawasan seperti Ampang dan Bukit Antarabangsa merupakan kawasan berisiko berlaku runtuhan tanah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi runtuhan itu.

    Dalam kejadian malam tadi, tiga rumah banglo dan 16 rumah bandar (townhouse) membabitkan 32 keluarga terjejas berikutan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya dimaklumkan sejumlah 16 rumah bandar yang berdekatan dengan kawasan tanah runtuh terbabit sedang menunggu laporan penuh teknikal untuk disiapkan Jabatan Mineral dan Geosains. 

    “Ia memerlukan tiga hari untuk laporan teknikal itu dikeluarkan bagi memastikan sama ada kawasan rumah mereka itu selamat untuk didiami atau tidak. 

    “Setakat ini dimaklumkan struktur rumah terbabit masih kukuh dan tiada sebarang pergerakan dan penduduk akan dibenarkan pulang sekiranya laporan mengatakan ia selamat untuk kembali diduduki,” katanya. 

    Beliau berkata kebanyakan penduduk terlibat telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai di AU2 dan AU5 Lembah Keramat. – BERNAMA

  • Sektor pertanian, jaminan makanan jadi fokus utama Belanjawan 2022

    Sektor pertanian, jaminan makanan jadi fokus utama Belanjawan 2022

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN akan meletakkan sektor pertanian khususnya jaminan bekalan makanan sebagai keutamaan dalam Belanjawan 2022 bagi memastikan industri makanan negara tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import dalam jangka masa panjang.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah tersebut dilakukan berdasarkan potensi sedia ada terhadap industri pertanian negara.

    Ujarnya, usaha untuk meningkatkan industri pertanian negara dilihat sebagai kesinambungan dalam belanjawan tahun lalu melalui peruntukan yang telah disalurkan.

    “Dalam Belanjawan 2022, kita juga mahu fokus kepada sektor pertanian khususnya jaminan bekalan makanan kerana ia adalah salah satu elemen utama dalam Pakej Rangsangan dan juga Belanjawan 2021.

    “Jaminan makanan dan sektor pertanian akan tetap diberi keutamaan bagi membina asas untuk penambahbaikan agar kita tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import pada jangka panjang,” katanya ketika melawat Pusat Ternakan Kelah di Asuko Genius Sdn. Bhd., di Kulai hari ini.

    Tambah Tengku Zafrul, RM3.15 billion diperuntukan untuk sektor pertanian secara keseluruhan melalui pakej-pakej rangsangan dan Belanjawan 2021 dengan RM1.75 bilion telah disalurkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk projek-projek berkaitan pertanian.

    “Projek-projek yang telah dilaksana termasuklah yang berkaitan logistik semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudahan mikro kredit di bawah Agrobank dan projek-projek negeri lain termasuk di negeri Johor,” ujarnya.

    Sementara itu, dalam lawatan kerja dua hari beliau ke Johor, Tengku Zafrul turut menyatakan sokongan pihaknya kepada usaha kerajaan Johor untuk menjadi hab makanan negara.

    “Hari ini saya turun padang untuk melihat potensi Johor dalam sektor pertanian yang merupakan penyumbang utama sektor pertanian dan agro makanan negara.

    “Saya difahamkan ini selaras dengan misi menjadikan Johor sebagai ‘Food Basket of Malaysia’ bagi membangunkan industri agro makanan yg kompetitif.

    “Melalui bantuan kewangan, insentif geran dan kerjasama erat antara pusat dan negeri, diharap Johor akan terus meningkatkan pengeluaran makanan negara yang mampan serta berkualiti terutama yang melibatkan projek berskala besar, berimpak tinggi serta berteknologi tinggi,” jelasnya.