SUAMI yang menemani isteri mereka yang akan melahirkan anak di wad bersalin, hospital dengan syarat sudah lengkap vaksinasi dan negatif Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah mengajukan perkara tersebut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk kebenaran.
“Saya sudah ajukan kepada Tan Sri Dr Noor Hisham untuk membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi menjalankan ujian Covid dan negatif untuk menemani isteri mereka dalam bilik bersalin,” katanya menerusi ciapan, hari ini.
Beliau mengulas reaksi rakyat yang memohon untuk membenarkan golongan bapa untuk menemani isteri di bilik bersalin.
Reaksi itu disambut dengan rasa syukur oleh warga maya yang menanti kebenaran tersebut.
WANITA yang mendakwa dirinya Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, 39, mengumumkan pengisytiharan taubat (Istitabah) secara terbuka hari ini.
Sittah atau nama sebenarnya Masitah Ab. Jalar melakukan pengisytiharan itu di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Beliau melafazkan taubat itu dan menandatangani dokumen pengisytiharan taubat di hadapan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.
“Bahawasanya saya bertaubat dengan taubat dengan sebenar-benar taubat dan menyesal dengan perbuatan saya. Tiada mana-mana paksaan (lafaz taubat) melainkan dengan kesedaran diri sendiri,” antara lafaz taubat Masitah.
Masitah turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut dan mengakui semua perbuatan yang menyalahi hukum agama Islam dan yang melanggar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sementara itu Mohd Shahzihan berkata, Majlis Pengisytiharan Taubat itu diatur atas persetujuan wanita itu tanpa paksaan demi memberitahu kepada umum, khususnya kepada individu atau pihak yang percaya dan berpegang kepada pernyataan mimpinya untuk turut bersama-sama mengakui kekhilafan yang dilakukan, bertaubat serta kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang benar.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah suami serta anak-anak Masitah.
MALAYSIA terus mencatatkan penurunan kes baharu Covid-19 sebanyak 10,959 kes baharu dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan kes baharu itu menjadikan kes kumulatif dalam negara setakat ini berjumlah 2,209,194.
Jumlah kes Covid-19 dan pecahan setiap negeri yang dilaporkan hari ini dan secara kumulatif:
Selangor – 979 (673,129) Sarawak – 2,723 (201,812) Sabah – 751 (195,015) Johor – 1,226 (191,996) Kuala Lumpur – 176 (185,278) Kedah – 660 (132,331) Pulau Pinang – 793 (127,688) Kelantan – 983 (111,863) Perak – 713 (99,667) Negeri Sembilan – 110 (96,854) Pahang – 739 (62,680) Melaka – 346 (57,473) Terengganu – 691 (53,678) Labuan – 0 (9,954) Putrajaya – 18 (6,079) Perlis – 51 (3,697)
SULTAN Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini melancarkan Pelan Strategik Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) 2021-2025 yang akan menentukan hala tuju badan agama itu untuk bergerak seiring dengan arus pemodenan.
Pelan strategik tersebut adalah hasil cetusan ilham Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).
Tengku Sarafudin bertitah, baginda telah menyampaikan hasrat untuk menggubal pelan strategik itu sejak Januari 2020 namun proses penyediaannya tergangu disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara hingga menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun pelan ini baru saja diluluskan, gerak kerja di peringkat semua Ketua-Ketua Bahagian MAIK telah dilaksanakan bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan untuk 2021.
“Penghasilan Pelan Strategik MAIK ini adalah amat penting dan perlu bagi memastikan perancangan kita untuk tempoh lima tahun akan datang,” titah baginda.
Sultan Kedah lancar Pelan Strategik MAIK secara maya hari ini
Baginda bertitah, terdapat lima teras digariskan dalam pelan strategik tersebut dengan yang pertama adalah meningkatkan kualiti tadbir urus pengurusan dan kedua, memantapkan peranan Baitulmal sebagai penggerak sosial dan ekonomi Islam.
“Ketiga, memperkasakan wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi sosial umat Islam, keempat memperkukuhkan penggunaan teknologi dan komunikai terkini serta yang kelima, memperkasa penguatkuasaan undang-undang hal ehwal agama Islam dan membudayakan penyelidikan bagi kesejahteraan ummah,” titah baginda.
Baginda menambah, komitmen, kesepakatan dan kerjasama erat dalam kalangan semua kakitangan amat perlu bagi mencapai sasaran KPI ditetapkan.
“Walaubagaimanapun apa yang lebih utama dan penting adalah setiap perancangan digariskan untuk dicapai, pada akhirnya perlu mendatangkan faedah buat masyarakat Islam.
“Untuk memastikan aspirasi yang terkandung dalam pelan ini tercapai, semua warga kerja MAIK perlu komited untuk meningkatkan cara kerja dengan mementingkan kreativiti dan inovasi, selaras dengan perkembangan semasa,” katanya.
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Malaysia tidak seharusnya menjadi perisai ataupun proksi kepada mana-mana kuasa besar sehingga membolehkan mereka melakukan provokasi terhadap negara lain.
Presiden Pas itu berkata, kuasa-kuasa besar juga tidak seharusnya dibiarkan menjadi penyelesai kepada masalah dalam kalangan negara di rantau ini.
“Negara-negara serantau sepatutnya menyelesaikan masalah sendiri melalui pakatan kerjasama setempat selain mengadakan hubungan dengan semua pihak tanpa mengira Blok Timur atau Barat, menerima aspek positif dan menolak polisi negatif serta melampau.
“Tanggungjawab dan peranan untuk menyelamatkan negara sendiri lebih diutamakan, selain tidak menjadi alat kepada campur tangan asing secara langsung atau tidak langsung.
“Jangan jadikan negara ini sebagai perisai kepada negara lain atau proksi bagi pihaknya melalui provokasi murahan yang boleh dibeli oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang akan meminta pandangan China berhubung perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).
Hadi berkata, kenyataan Hishammuddin untuk meminta pandangan China itu bukan bermakna Malaysia sudah berpihak China tetapi, lebih bersifat kepada menunjukkan bahawa Malaysia tidak bergantung lagi kepada Barat.
Kelmarin, Hishammuddin menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa Malaysia menerima arahan daripada China berhubung pembentukan AUKUS.
Menteri Pertahanan itu sebaliknya berkata, Malaysia mahukan pandangan China dan tindakan mereka berhubung AUKUS supaya negara di rantau ini, termasuk negara ASEAN lain boleh ambil tindakan proaktif.
Hadi berkata, adalah wajar Malaysia meminta penjelasan China kerana keutamaan yang sepatutnya dalam hubungan antarabangsa adalah melihat terlebih dahulu terhadap sikap negara serantau yang terdekat, bukannya merangkak ke negara yang jauh merentasi lautan dan benua.
TINDAKAN pantas seorang wanita yang hamil tujuh bulan berjaya menyelamatkan empat anaknya semasa rumah mereka di Taman Sri Mewah Simpang Renggam, Kluang, terbakar pukul 9.30 pagi kelmarin.
Ketika kejadian, Intan Faizah M. Nor, 36, sedang memandikan anak bongsunya yang berusia tiga tahun dalam bilik air dan tidak menyedari sebuah dari bilik terbakar.
Menurut suaminya, Zulhairi Mansor, 36, ketika kejadian dia sedang berada di luar untuk membeli sarapan sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Intan Faizah yang cemas memberitahu rumah mereka terbakar.
Zulhairi menyuruh isteri menyelamatkan empat anaknya sebelum dia bergegas pulang ke rumah.
“Isteri berkata, dia sedang memandikan anak di bilik air dan sebaik selesai dan membuka pintu, dia terlihat kepulan asap keluar dari bawah pintu yang tertutup di bilik ketiga.
Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah yang terbakar Zulhairi di Taman Sri Mewah, Simpang Renggam, Kluang, kelmarin
“Isteri terus memanggil semua anak. Isteri dapat mengumpulkan tiga anak manakala dalam keadaan cemas itu seorang lagi anak, Muhamad Iffat Irsyad, 5 tahun tidak menyahut apabila dipanggil.
“Mujur selepas keadaan kecoh, dia tiba-tiba turun dari loteng yang dijadikan bilik.
Isteri terus menyuruh semua anak berusia dari 10 hingga tiga tahun keluar sambil mengambil tong pemadam api.
“Namun disebabkan cemas dan ketakutan dia tak mampu membukanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid, Amil Baitulmal Daerah Kluang, Al Azhar Ahmad Fazil dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang, Mohd Shazuwan Husnan Che Hamid.
Zulhairi bersyukur dan lega kerana sejurus pulang isteri dan anak-anaknya selamat.
Punca kebakaran katanya, masih tidak diketahuinya dan bilik yang terbakar itu menempatkan peralatan kerja miliknya termasuk barangan kelengkapan pendawaian elektrik, selain mesin jahit milik isterinya.
“Saya anggarkan kerugian mencecah RM120,000 kerana hampir 70 peratus rumah ini musnah kecuali sedikit di bahagian depan.
“Buat sementara ini saya menumpang berteduh di rumah mentua di Kampung Melayu Manong, Ayer Hitam,” katanya.
Sementara itu, Jamaludin berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa Zulhairi sekeluarga dan menghargai keprihatinan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta JKM kerana membantu keluarganya.
“MAINJ menyampaikan Bantuan Bencana Kebakaran sebanyak RM2,000 dan JKM pula menghulurkan sebanyak RM300 sumbangan daripada Tabung Bantuan Segera selain makanan.
“JKM juga akan membuat penilaian tambahan kos kerugian sehingga RM2,000 dan sumbangan akan terus dikreditkan ke akaun milik mangsa,” katanya.
KERAJAAN Terengganu meneruskan program vaksinasi rakyat dengan menumpukan pula kepada golongan gelandangan khususnya yang berada di Hentian Bas Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Menerusi program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diadakan di hentian bas itu malam tadi seramai 18 orang gelandangan mendapat suntikan vaksin Covid-19.
Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Terengganu, Ahmad Shah Muhamed, program malam tadi sebagai permulaan ke atas golongan tersebut di mana mereka menerima suntikan vaksin dos tunggal jenis CanSino.
Beliau memberitahu, meskipun gelandangan tidak ramai di Terengganu, tetapi golongan berkenaan tidak dipinggirkan.
18 gelandangan mendapat suntikan vaksin Covid-19 di Hentian Bas MBKT malam tadi
Malah katanya, sambutan diterima menggalakkan di mana 18 telah menerima suntikan sedangkan sasaran awal hanya 14 orang.
“Namun, ada juga yang melarikan diri kerana berkemungkinan mereka fikir akan ditangkap.
“Apapun, jumlah suntikan melebihi sasaran ini membuktikan mereka memberi kerjasama sangat baik dan kita akan teruskan lagi program ini untuk memastikan semua gelandangan dapat divaksin,” ujarnya.
Ahmad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar memberitahu demikian selepas meninjau program vaksinasi gelandangan di Hentian Bas MBKT malam tadi.
Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis dan Persatuan Sosial Komuniti Terengganu serta
turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor.
Menurut Ahmad Shah, dianggarkan terdapat lebih 50 gelandangan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu namun jumlahnya tidak statik.
SEORANG lelaki keluar menunggang basikal untuk beriadah dan pulang pukul 7.10 pagi di rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim.
Sejurus tiba, mangsa yang berusia 52 tahun melakukan senaman ringan meregangkan otot di laman luar rumahnya.
Namun, dia secara tiba-tiba pengsan dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh ahli keluarga sebelum mereka menghubungi ambulans.
Bagaimanapun, kakitangan hospital yang tiba mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
Pasukan perubatan melakukan pemeriksaan selepas rebah depan rumah sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati mangsa mempunyai sejarah kencing manis serta darah tinggi dan dia sudah menerima dua dos vaksin sebelum ini.
“Mangsa sebelum ini pernah dijangkiti Covid-19 pada 28 Ogos lalu dan sembuh selepas menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Jenazah dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
POLIS menumpaskan kegiatan perjudian dalam talian setelah menahan tujuh suspek membabitkan ahli sindiket permainan tersebut di sebuah kediaman di Kota Persiaran Southkey, Johor Bahru, baru-baru ini.
Dalam serbuan itu, enam suspek lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 18 hingga 34 tahun itu dipercayai berperanan sebagai operator tambah nilai kredit dan cuci kredit bagi permainan judi dalam talian.
Ketujuh-tujuh suspek warga tempatan itu juga bertanggungjawab untuk berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan berkaitan hal perjudian tersebut setiap hari.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket perjudian terbabit dipercayai mempunyai pelanggan yang dianggarkan seramai 7,000 orang terdiri daripada rakyat tempatan dengan nilai transaksi harian antara RM15,000 hingga RM20,000.
“Berdasarkan siasatan, kesemua suspek yang juga warga tempatan mengaku menerima bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan dan komisen satu peratus.
“Sindiket tersebut mempromosikan kegiatan perniagaan mereka melalui dua laman sesawang iaitu www.topup99.com dan www.lagiong.com,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Katanya, serbuan pada Khamis lalu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas enam set komputer, 35 telefon bimbit, dua modem wifi dan serangkai kunci rumah.
Ujar Ayob Khan, kesemua suspek direman selama satu hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Sejak 1 Ogos hingga 25 September lalu, Polis Johor telah membuat lima serbuan dan pemeriksaan menerusi Op Dadu iaitu tiga di kawasan Johor Bahru manakala dua lagi di Iskandar Puteri.
“Daripada serbuan tersebut, seramai 28 suspek telah ditahan melibatkan 20 lelaki dan lapan wanita warga tempatan,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak lima kertas siasatan telah dibuka dan kini dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk pertuduhan di mahkamah.
MAYAT seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung oleh nelayan pantai di kedudukan 2.03 kilometer dari selatan Pasir Blanda, Teluk Kumbar, Pulau Pinang pukul 4.10 petang semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Maritim Malaysia yang menerima aduan mengenai penemuan mayat itu menggerakkan bot ronda KILAT 26 ke lokasi kejadian.
Jelasnya, mayat tersebut dipercayai seorang lelaki lengkap berseluar panjang sukan hitam serta berbaju hitam namun tiada sebarang identiti diri ditemui.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada Balai Polis Batu Maung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat lengkap berseluar panjang sukan hitam serta berbaju hitam namun tiada sebarang identiti diri ditemui
Menurutnya, setakat ini Maritim Malaysia Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut.
Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil membuat aduan di balai polis yang berdekatan.
“Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan jika keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999.