Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TINDAKAN pantas seorang wanita yang hamil tujuh bulan berjaya menyelamatkan empat anaknya semasa rumah mereka di Taman
Sri Mewah Simpang Renggam, Kluang, terbakar pukul 9.30 pagi kelmarin.

Ketika kejadian, Intan Faizah M. Nor, 36, sedang memandikan anak bongsunya yang berusia tiga tahun dalam bilik air dan tidak menyedari sebuah dari bilik terbakar.

Menurut suaminya, Zulhairi Mansor, 36, ketika kejadian dia sedang berada di luar untuk membeli sarapan sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Intan Faizah yang cemas memberitahu rumah mereka terbakar.

Zulhairi menyuruh isteri menyelamatkan empat anaknya sebelum dia bergegas pulang ke rumah.

“Isteri berkata, dia sedang memandikan anak di bilik air dan sebaik selesai dan membuka pintu, dia terlihat kepulan asap keluar dari bawah pintu yang tertutup di bilik ketiga.

Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah yang terbakar Zulhairi di Taman Sri Mewah, Simpang Renggam, Kluang, kelmarin

“Isteri terus memanggil semua anak. Isteri dapat mengumpulkan tiga anak manakala dalam keadaan cemas itu seorang lagi anak, Muhamad Iffat Irsyad, 5 tahun tidak menyahut apabila dipanggil.

“Mujur selepas keadaan kecoh, dia tiba-tiba turun dari loteng yang dijadikan bilik.

Isteri terus menyuruh semua anak berusia dari 10 hingga tiga tahun keluar sambil mengambil tong pemadam api.

“Namun disebabkan cemas dan ketakutan dia tak mampu membukanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid, Amil Baitulmal Daerah Kluang, Al Azhar Ahmad Fazil dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang, Mohd Shazuwan Husnan Che Hamid.

Zulhairi bersyukur dan lega kerana sejurus pulang isteri dan anak-anaknya selamat.

Punca kebakaran katanya, masih tidak diketahuinya dan bilik yang terbakar itu menempatkan peralatan kerja miliknya termasuk barangan kelengkapan pendawaian elektrik, selain mesin jahit milik isterinya.

“Saya anggarkan kerugian mencecah RM120,000 kerana hampir 70 peratus rumah ini musnah kecuali sedikit di bahagian depan.

“Buat sementara ini saya menumpang berteduh di rumah mentua di Kampung Melayu Manong, Ayer Hitam,” katanya.

Sementara itu, Jamaludin berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa Zulhairi sekeluarga dan menghargai keprihatinan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta JKM kerana membantu keluarganya.

“MAINJ menyampaikan Bantuan Bencana Kebakaran sebanyak RM2,000 dan JKM pula menghulurkan sebanyak RM300 sumbangan daripada Tabung Bantuan Segera selain makanan.

“JKM juga akan membuat penilaian tambahan kos kerugian sehingga RM2,000 dan sumbangan akan terus dikreditkan ke akaun milik mangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here