Author: Admin

  • Terengganu dijangka masuk Fasa 4 PPN penghujung Oktober

    Terengganu dijangka masuk Fasa 4 PPN penghujung Oktober

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Terengganu menaruh keyakinan tinggi bahawa negeri ini bakal beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya pada penghujung Oktober depan.

    Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, keyakinan itu berdasarkan pencapaian terkini tiga ambang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu kadar vaksinasi penduduk, penggunaan katil pesakit Covid-19 terutama di unit rawatan rapi (ICU) dan kadar jangkitan Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk di negeri ini semakin menggalakkan.

    Menurutnya, setakat ini masih belum ada ketetapan mengenai perkara itu, namun beliau percaya berdasarkan data sedia ada Terengganu mampu beralih ke Fasa Empat PPN dalam masa terdekat.

    “Kita akan perhalusi perkara ini menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang akan diadakan pada Rabu ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat program vaksinasi pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, Marang, hari ini.

    Pada program itu, seramai 1,470 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga melibatkan empat sekolah iaitu SMK Pengkalan Berangan, SMK Durian Guling, SMK Wakaf Tapai dan SMA Imtiaz Marang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

    Menurut Ahmad Samsuri, sehingga ini sebanyak 82.7 peratus populasi dewasa di Terengganu sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, manakala 91.2 peratus lagi telah mendapatkan suntikan dos pertama.

    Katanya, bagi kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 membabitkan hospital di seluruh negeri ini pula, ia sudah mencapai sebanyak 65.6 peratus.

    Selain itu, Ahmad Samsuri turut meminta supaya semua jentera kerajaan dan rakyat di negeri ini agar bersedia untuk berhadapan dengan era endemik Covid-19.

    “Kita perlu bersedia kerana apabila tiba masanya nanti, kita akan beralih dari pandemik ke endemik dan kita perlu bersedia untuk belajar hidup dengan Covid-19.

    “Itulah betapa pentingnya proses vaksinasi ini supaya kita boleh meneruskan kehidupan seperti biasa,” jelas beliau.

  • Dua PATI warga Myamnar diikat pada pokok dalam hutan

    Dua PATI warga Myamnar diikat pada pokok dalam hutan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PASUKAN Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar diikat pada pokok di hutan di Kampung Rahmat, Rantau Panjang, Kelantan, malam kelmarin.

    Kedua-duanya yang berusia 32 dan 33 tahun itu ditemui pukul 10.30 malam ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang membuat rondaan.

    Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, mereka ditemui diikat pada pokok dalam keadaan gelap gelita dan dipercayai dilakukan sindiket penyeludupan migran.

    Katanya, anggota kemudian mendekati dua lelaki berkenaan dan membebaskan mereka sebelum meminta kedua-duanya mengemukakan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pemeriksaan.

    “Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah, manakala hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan tidak menemui sebarang barangan yang salah.

    “Hasil soal siasat yang dijalankan, PATI ini memaklumkan bahawa kesemua barangan milik mereka berada dengan seorang lelaki yang tidak pasti akan butirannya, disyaki individu yang terbabit dengan sindiket penyeludupan Pati.

    “Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Lubok Stol, bagi siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Azhari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

    “Kedua-dua suspek dipercayai ditipu oleh sindiket yang berjanji untuk membawa mereka pulang ke Myanmar melalui Thailand selepas bekerja di Kelantan dalam tempoh tertentu.

    “Pihak kami juga tidak dapat mengenal pasti individu sebenar yang mengikat mereka pada pokok susulan masalah komunikasi memandangkan mereka tidak dapat berbahasa Melayu.

    “Selain itu, PGA7 turut menerima laporan daripada penduduk kampung mengenai pergerakan warga asing yang sering berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pangkalan haram yang menjadi tumpuan sindiket untuk penyeludupan Pati, justeru kawalan akan terus diperketatkan bagi menangani masalah itu.

  • Covid-19: 75 BID direkodkan semalam

    Covid-19: 75 BID direkodkan semalam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memberitahu, sejumlah 258 kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan setakat semalam dengan 75 daripadanya meninggal dunia di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

    Menurut data KKM dalam laman web COVIDNOW, jumlah sebenar kematian akibat Covid-19 purata seminggu di negara ini semalam adalah sebanyak 87, manakala selebihnya adalah kematian tertunggak (backlog).

    Jumlah keseluruhan kematian di Malaysia setakat ini ialah 25,695.

    Data kes kematian juga menunjukkan Pulau Pinang kekal mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 14.4 peratus kes kematian diikuti Johor 10.9 peratus, Sabah 6.5 peratus dan Kedah 6.3 peratus. Manakala, seramai 978 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 576 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

    Daripada 258 kes kematian yang dilaporkan semalam, 56 daripadanya adalah di Selangor, disusuli Johor (53), Kedah (46), Kuala Lumpur (25),Pulau Pinang (21), Sarawak (19), Sabah (12), Kelantan, Perak dan Pahang masing-masing (5),Terengganu dan Melaka (4), Perlis (2) serta Negeri Sembilan (1).

    Sementara Labuan dan Putrajaya mencatatkan sifar kes kematian semalam.

  • Ambil suntikan sebelum 4 Okt jika terlepas dos kedua AstraZeneca

    Ambil suntikan sebelum 4 Okt jika terlepas dos kedua AstraZeneca

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, mereka yang terlepas suntikan kedua dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca disaran supaya hadir ke Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) asal mereka secara terus atau ‘walk in’

    Menurut hantaran JKJAV dalam Facebook rasmi mereka, individu berkenaan perlu berbuat demikian sebelum 4 Oktober ini.

    “Individu berkenaan boleh datang terus ke mana-mana empat lokasi PPVAZ sebelum tarikh tersebut.

    “Lokasi PPAZ tersebut ialah PPVAZ Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur; PPVAZ Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur; PPVAZ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dan PPVAZ Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

    “Kepada penerima vaksin AstraZeneca di Lembah Klang yang telah terlepas suntikan dos kedua, sila terus ke PPV asal anda sebelum 4 Oktober 2021.

    “Semua PPVAZ di Lembah Klang akan ditutup selepas 3 Oktober,” jelas hantaran tersebut, hari ini.

  • 60.6 peratus rakyat Malaysia lengkap divaksin- JKJAV

    60.6 peratus rakyat Malaysia lengkap divaksin- JKJAV

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, setakat 27 September, sejumlah 60.6 peratus populasi negara sudah lengkap divaksin.

    Menurut JKJAV, jumlah itu merangkumi 19.78 juta individu atau 84.4 peratus populasi dewasa.

    Tertinggi adalah Lembah Klang yang kini merekodkan 80.4 peratus populasi lengkap divaksin diikuti Negeri Sembilan dengan 69.7 peratus.

    Keseluruhannya, sebanyak 42.69 juta dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    PICK yang dimulakan pada 24 Februari lalu oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah merupakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.

  • Penerima BPR terima bayaran mulai hari ini.

    Penerima BPR terima bayaran mulai hari ini.

    PEMBAYARAN Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR, akan dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula hari ini.

    Pembayaran secara berperingkat itu dijangka selesai pada 30 September ini, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Pembayaran itu akan memanfaatkan 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan, membabitkan peruntukan RM2.82 bilion.

    Bagi Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh hingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR pula hingga RM2,300, termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai hingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah serta bilangan anak.

    Pembayaran Fasa 3 ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diperoleh penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban.

    Sebarang pertanyaan boleh merujuk soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi BPR, iaitu https://bpr.hasil.gov.my, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

  • Enam sekeluarga melecur dalam kebakaran

    Enam sekeluarga melecur dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ENAM sekeluarga melecur di beberapa bahagian badan ketika menyelamatkan diri selepas rumah mereka terbakar di Jalan Makmur, Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa yang cedera dikenali sebagai Jamri Manap, 41, Jurina Aziz, 46, Mohd Raziq Azrai Jamri, 19, Norhidayah Jamri, 17, Norain Jamalin Jamri, 12 dan Mohd. Zazil Hidayat Jamri, 8.

    “Kejadian pada pukul 3 pagi itu mengakibatkan rumah setingkat itu musnah terbakar 90 peratus, manakala sebuah kereta Proton Wira musnah 60 peratus.

    “Susulan itu sepasukan 16 pegawai dan anggota bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan BBP Sungai Besar dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Enam mangsa yang tinggal di rumah itu semasa kebakaran berlaku berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, mereka yang melecur dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang (HTK) dengan menaiki van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    Norazam berkata, api berjaya dikawal pada pukul 3.32 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 4.15 pagi.

  • Syarikat didenda RM25,000 atas kecuaian keselamatan

    Syarikat didenda RM25,000 atas kecuaian keselamatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH syarikat dijatuhkan hukuman denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini kerana cuai sehingga mengakibatkan kemalangan maut seorang pekerja warga tempatan pada 4 Jun 2019.

    Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas Syarikat Bend Weld Engineering Sdn. Bhd. sebagai majikan mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    “Keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini adalah mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 erana gagal memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada semua pekerjanya.

    “Syarikat Bend Weld Engineering Sdn Bhd sebagai majikan didapati gagal mengawal laluan keluar dan masuk tempat kerja sehingga mengakibatkan kemalangan maut seorang pekerja warganegara tempatan pada 4 Jun 2019.

    “Mangsa yang berusia 45 tahun maut akibat tersepit di antara pagar automatik dan tiang dinding ketika hendak keluar dari kilang melalui pagar hadapan kilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, semasa perbicaraan pada 29 Julai lalu, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen-elemen pertuduhan dan dengan yang demikian suatu kes ’prima facie’ berjaya dibuktikan untuk kes itu.

    Menurutnya, syarikat itu sebagai majikan pada sesi pembelaan telah mengaku bersalah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Ahmad Fuad Othman.

  • 40 anggota IPD Gua Musang positif Covid-19

    40 anggota IPD Gua Musang positif Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 40 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dikuarantin 14 hari selepas dijangkiti Covid-19.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, semuanya dikuarantin di kuaters IPD Gua Musang selepas menunjukkan gejala berkaitan jangkitan virus itu.

    “Kesemua mereka ini dipercayai dijangkiti oleh orang awam ketika bertugas. Semua anggota sudah divaksinasi dan dijangkiti penyakit COVID-19 tahap satu dan dua.

    “Ini juga melibatkan ahli keluarga yang terpaksa dikuarantin dan kekal di rumah masing-masing,” katanya selepas menerima bantuan makanan untuk anggota polis yang dikuarantin sumbangan pihak Kelab Lion di IPD Gua Musang, hari ini.

    Difahamkan terdapat lebih 200 anggota polis pelbagai pangkat di IPD Gua Musang.

  • Kes sembuh Covid-19 di Malaysia kini melebihi 2 juta-Dr. Noor Hisham

    Kes sembuh Covid-19 di Malaysia kini melebihi 2 juta-Dr. Noor Hisham

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA merekodkan jumlah keseluruhan kes sembuh COVID-19 sehingga kini adalah sebanyak 2,005,942 kes sejak pandemik ini melanda negara.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 16,430 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas.

    Beliau berkata, bagi kes baharu, sebanyak 1.9 peratus atau 205 kes daripada 10,959 kes baharu Covid-19 dilaporkan bagi tempoh 24 jam lepas terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

    “Baki 98.1 peratus atau 10,754 kes pula adalah terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua, bergejala ringan. Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, daripada jumlah kes baharu, 12 adalah kes import melibatkan dua warga tempatan dan 10 bukan warganegara manakala 10,947 kes pula melibatkan penularan dalam negara iaitu 10,150 warganegara dan 797 rakyat asing.

    Beliau berkata, terdapat 980 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 862 yang disahkan positif Covid-19 manakala 118 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Katanya, sebanyak 579 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 378 disahkan positif Covid-19 manakala 201 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Dr. Noor Hisham memaklumkan, 19 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya berkaitan tempat kerja, lapan kluster membabitkan penularan dalam komuniti serta masing-masing satu melibatkan kluster pusat tahanan dan kluster kumpulan berisiko tinggi.

    Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.92 manakala Pahang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.02.

    “Semua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Perak dan Putrajaya masing-masing 0.98, diikuti Kelantan dan Perlis masing-masing 0.97, Terengganu (0.96), Johor (0.94), Sarawak dan Melaka masing-masing 0.92, Pulau Pinang (0.90), Selangor (0.89), Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing 0.87, Kedah serta Kuala Lumpur masing-masing 0.85 manakala Labuan (sifar),” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata, data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.