Author: Admin

  • Sistem pembayaran bank kekal selamat dan terjamin – BNM

    Sistem pembayaran bank kekal selamat dan terjamin – BNM

    BANK Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan sistem pembayaran bank kekal selamat dan terjamin, selepas pelanggaran keselamatan siber yang dialami penyedia pembayaran dalam talian, iPay88.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, bank pusat itu berkata, pelanggaran tersebut berpunca dan terbatas kepada sistem pembayaran kad ipay88 serta tidak melibatkan kelemahan sistem institusi perbankan.

    BNM menegaskan bank di Malaysia mengamalkan kaedah pengesahan mantap bagi transaksi kad dalam talian, termasuk segera memaklumkan pemegang kad untuk pengesahan lanjut, jika terdapat transaksi yang dianggap “lebih berisiko”.

    “Ini mengurangkan risiko berlakunya penipuan transaksi. Bagi transaksi tidak menggunakan pengesahan, khususnya pembelian daripada peniaga di luar negara, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan atas sebarang penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran yang mungkin terjadi susulan insiden ini.

    “BNM telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad terlibat mengenai langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran.

    “Bank-bank juga telah mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau aktiviti mencurigakan atau penipuan menggunakan kad-kad terlibat,” katanya.

    BNM berkata, ia memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan sewajarnya bagi memastikan kawalan keselamatan kukuh dilaksanakan dan diamalkan bank.

    Katanya, siasatan forensik sedang dijalankan ke atas pelanggaran data melibatkan iPay88.

    Ia menasihatkan pelanggan segera memaklumkan kepada bank, jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan atau tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka.

    Semalam, iPay88 mengesahkan ia mengalami pelanggaran keselamatan siber lebih dua bulan lalu yang mungkin menjejaskan data kad pengguna.

    Firma e-dagang itu berkata, siasatan dimulakan sejak 31 Mei lalu dan sedang dijalankan dengan bantuan pakar keselamatan siber untuk membendung isu itu, tetapi “tiada lagi aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai”.

    Jabatan Perlindungan Data Peribadi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah memulakan siasatan berhubung pelanggaran keselamatan siber itu.

  • Tiga lelaki gagal curi 11 tual cengal bernilai RM80,000

    Tiga lelaki gagal curi 11 tual cengal bernilai RM80,000

    JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya menggagalkan cubaan tiga lelaki untuk membelah 11 tual balak spesies cengal bernilai lebih RM80,000 secara haram di Kuantan, semalam.

    Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, tiga lelaki berusia 34 hingga 55 tahun itu dipercayai mahu menggunakan kayu berkenaan bagi menghasilkan pelbagai produk hiasan seperti meja dan kerusi.

    “Hasil aduan awam pasukan Unit Penguat kuasa (UPK) Zon Pahang Timur JPNP melakukan semakan di kawasan terbabit yang terletak dalam hutan tanah kerajaan berhampiran dengan padang golf bertaraf antarabangsa.

    “Pemeriksaan pihaknya menemui beberapa longgok balak yang tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan hasil hutan berkenaan dimiliki secara sah oleh pihak tertentu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, pada masa sama ketika serbuan dilakukan dua lelaki terbabit sedang melakukan aktiviti membelah balak bernilai tinggi itu dengan menggunakan dua unit mesin gergaji berantai yang telah diubah suai.

    Jelasnya, teknik membelah balak digunakan ialah dengan menggunakan batang besi bagi menyokong serta menampung mesin gergaji berantai yang digerakkan secara manual.

    Beliau berkata, salah seorang lelaki yang ditahan mendakwa dia mengusahakan tapak semaian dan mengupah dua lelaki untuk melakukan kerja membelah balak terbabit.

    Nor Azirim berkata, soal siasat dilakukan terhadap tiga lelaki terbabit mendapati 11 tual balak yang ditemui tidak mempunyai dokumen yang dapat mengesahkan hasil hutan itu milik mereka secara sah.

    “Aduan awam diterima mendakwa melihat sebuah lori membawa muatan balak berkenaan pada malam kelmarin secara haram.

    “Anggota UPK Timur akan membuat pemeriksaan lokasi hutan tempat pokok Cengal berkenaan ditebang, kita percaya ia terletak hampir dengan tempat penemuan longgokan balak terbabit,” katanya.

    Beliau berkata, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan 11 tual balak disita, pemantau barang kes dilakukan UPK Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran.

  • Remaja 17 tahun ‘buku lima’ pemain lawan ketika bermain futsal

    Remaja 17 tahun ‘buku lima’ pemain lawan ketika bermain futsal

    HANYA kerana tidak puas hati semasa bermain futsal, seorang pelajar lelaki cedera di badan dan tangan dalam kejadian pergaduhan di gelanggang futsal di Tasik Tambahan, Ampang, kelmarin.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, remaja berusia 17 tahun ditumbuk suspek berusia 17 tahun menggunakan senjata ‘buku lima’.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, berdasarkan siasatan mangsa bersama rakan sekolah bermain futsal dengan satu kumpulan dari sekolah yang lain.

    “Semasa permainan, mangsa melihat salah seorang pemain dari pasukan lawan membuat serangan di bahagian kaki menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

    “Suspek yang juga rakan kepada pemain itu kemudian menghampiri mangsa sambil memegang buku lima, lalu menumbuk bahagian rusuk kiri dan siku mangsa.

    “Suspek sama juga dikatakan cuba menumbuk adik mangsa namun sempat ditarik oleh mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.

    Bertindak atas laporan, beliau berkata, sepasukan polis ke lokasi dan menahan suspek serta merampas satu rantai basikal yang sudah diubah suai.

    Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan masih bersekolah.

    “Siasatan mendapati, punca kejadian itu adalah disebabkan tidak berpuas hati kerana menendang kaki semasa bermain futsal,

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Guru muat naik kandungan negatif di media sosial akan dikenakan tindakan

    Guru muat naik kandungan negatif di media sosial akan dikenakan tindakan

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan ke atas guru yang didapati memuat naik video yang mempunyai kandungan unsur negatif ke laman media sosial seperti TikTok.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon berkata, KPM juga akan memperhalusi lebih lanjut perkara berkenaan demi memelihara nama baik institusi pendidikan negara.

    Beliau berkata, perbincangan lanjut di peringkat kementerian juga akan diadakan bagi mengekang masalah berkenaan daripada terus berulang pada masa hadapan.

    “Sebagaimana ibu bapa kepada anak mereka, begitu juga dengan guru, apabila tingkah laku mereka itu juga akan menjadi ikutan anak-anak murid, selain daripada ilmu yang disampaikan dalam kelas.

    “Jadi pada pandangan saya, sebagai guru yang terlatih ini, mereka harus memahami tugas dan tanggungjawab sebenar mereka apabila bergelar seorang guru.

    “Tugas mereka untuk memastikan anak didik mereka menjadi insan yang lebih baik atau disebut kemenjadian murid. Anak murid ini harus berjaya bukan sahaja dari segi akademik semata-mata, malah aspek rohani dan sahsiah juga penting,” katanya yang dipetik Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan pelancaran Bamboo Pavilion, di sini, pada Jumaat.
    Beliau mengulas berkenaan tindakan segelintir guru terutama dalam golongan muda yang memuat naik video berunsur negatif seperti berbaur seksual ke laman TikTok, seperti yang tular baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Hang Soon turut menasihatkan agar warga pendidik dapat menggunakan media sosial dengan cara berhemah dan seeloknya menjurus kepada kandungan-kandungan berbentuk pendidikan.

    “Apa yang kita muat naik ke laman sosial ini akan menjadi tatapan umum. Ada kalanya juga, sesuatu tindakan kita buat itu tidak dijangka akan tular.

    “Justeru, saya menasihatkan warga pendidik untuk lebih berhati-hati dan menjadi contoh teladan terbaik kepada anak murid kita.

    “Gunakan media sosial ini dengan cara yang elok seperti dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan menunjukkan contoh-contoh terbaik kepada masyarakat,” katanya lagi.

    Pada awal bulan ini, sebuah portal media melaporkan seorang pemuda dikatakan guru telah memuat naik video pendek ke media sosial TikTok yang didakwa mempunyai unsur pengantunan seksual atau ‘sexual grooming’.

    Terdahulu pada April pula, tular di laman Twitter perkongsian seorang pengguna memaparkan tangkap layar seorang guru yang melakukan sesi video secara langsung di aplikasi sama sambil mengajar di dalam kelas.

    Perlakuan itu mengundang pelbagai reaksi negatif khususnya daripada ibu bapa yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.

    Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kemudian dalam satu kenyataan dilaporkan menasihatkan agar golongan pendidik dapat menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran dan bukan untuk mempopularkan diri.

  • Perunding syarikat didenda RM8,000, mengaku bersalah hina Islam

    Perunding syarikat didenda RM8,000, mengaku bersalah hina Islam

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan denda RM8,000 terhadap seorang ibu tunggal selepas mengaku bersalah menghina Islam menerusi hantaran dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.

    Orang kena saman (OKS) Hong Jia Ming, 34, yang bekerja sebagai perunding syarikat swasta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab. Razak.

    Nor Hasniah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

    Berdasarkan fakta kes, OKS secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melalui perkhidmatan aplikasi laman web profil Joyceanne Hong pada 9.22 malam, 12 Mac lalu.

    Hantaran itu menyebut ‘How many idiots got brain damage thinking their gatherings prayers will keep them away from Covid-19’ (Berapa ramai orang bodoh yang rosak otak beranggapan bahawa solat yang didirikan akan menjauhkan mereka daripada Covid-19) dengan perkataan ‘so stupid’ dan ‘support them’ (amat bodoh dan sokong mereka) di dalam kotak undian.

    Ia dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang kemudian dibaca pada 12.41 tengah hari, 13 Mac 2020 di Masjid Muadz Jabal di Wangsa Maju oleh pengadu yang menerima hantaran mesej berkaitan hantaran itu menerusi kumpulan sembang WhatsApp tempat kerjanya.

    Wanita itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya selain boleh didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najihah FarhanaChe Awang mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap OKS.

    Bagaimanapun, peguam mewakili OKS, Haijan Omar berhujah supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dengan mengambil kira status OKS sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak lelaki berusia sembilan tahun selain mempunyai penyakit jantung dan bekerja sebagai perunding swasta berpendapatan RM12,000 sebulan.

    Semasa dalam proses rayuan, OKS memaklumkan bahawa dia menyesal dengan perbuatannya dan mengakui hantarannya di Facebook itu mencetuskan salah faham dan menyinggung perasaan bekas rakan sekerjanya.

    “Saya sudah belajar satu pengajaran akibat perbuatan ini dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam meluahkan pandangan pada masa hadapan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Naib Pengerusi MPN PKR Sabah keluar parti, dakwa kecewa dengan Anwar

    Naib Pengerusi MPN PKR Sabah keluar parti, dakwa kecewa dengan Anwar

    KECEWA dengan Presiden parti, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk John Ghani mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar parti.

    Menurutnya, keputusan itu diambil kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan pusat sebelum ini.

    Malah memburukkan rasa tidak puas hati pemimpin itu ialah tindakan menggantikan Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Christina Liew dengan Datuk Sangkar Rasam beberapa hari lepas.

    “Perkara pertama berkenaan dengan menandatangani MoU Pakatan Harapan. Anwar Ibrahim sendiri sebagai ketua pembangkang buat MoU dengan kerajaan.

    “Tidak ada manfaat kepada parti. Tidak ada dalam sejarah, sebuah parti pembangkang yang begitu ditakuti dan digeruni begitu kuat oleh kerajaan menandatangani MoU dengan kerajaan.

    “Apabila kita menandatangani MoU dengan kerajaan, maknanya kita sebahagian daripada kerajaan. Apa masalah-masalah melibatkan kerajaan sudah tidak wujud lagi”, katanya menerusi laporan yang dipetik Astro Awani.

    John berkata, tindakan Anwar menggantikan Christina Liew dengan Sangkar Rasam sebagai pengerusi baru MPN PKR Sabah di saat PRU-15 semakin hampir merupakan langkah yang kurang tepat selain memecahkan kesatuan parti itu.

    “Anwar sendiri tahu masalah PKR Sabah. Kem YB Christina, Raymond dan Sangkar sedang bersaing.

    “Kita berharap kedatangan Anwar itu untuk menyelesaikan masalah tapi tidak, dia lepaskan Christina sebagai Pengerusi MPN PKR Sabah, dan lantik Datuk Sangkar sebagai pengerusi baru.

    “Untuk menukar pemimpin boleh tapi tidak sesuai pada waktu ini di mana kita mahu menghadapi pilihanraya.

    “Sepatutnya dia (Anwar) datang ke sini menyatukan kami semua, bukan memecahkan. Dia memecahkan kami semua”, beliau berkata.

    Veteran PKR berusia 72 tahun itu menambah, penggantian Christina kepada Rasam berpotensi menyebabkan PKR kehilangan kerusi parlimen di Tawau dan kerusi DUN Api-Api.

    “Ya, seperti yang berlaku di Semenanjung. Ini sepatutnya jadi satu pengajaran tapi saya tidak tahu apa terjadi kepada dia (Anwar)”, tambah John.

    John sebelum ini juga pernah memegang jawatan Naib Presiden PKR di dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selepas posisi itu ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Lajim Ukin.

    Berjuang selama 16 tahun bersama PKR, Johm belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini.

  • Pegawai kerajaan dilarang beri kenyataan awam- SUK Melaka 

    Pegawai kerajaan dilarang beri kenyataan awam- SUK Melaka 

    PEGAWAI awam di Melaka terutama ketua jabatan atau agensi dilarang memberi kenyataan awam secara lisan atau bertulis khususnya melibatkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan melibatkan apa jua isu. 

    Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari berkata bagaimanapun, ketua jabatan dibenarkan memberi sesuatu kenyataan awam selepas isu atau maklumat yang ingin diuar-uarkan itu mendapat kebenaran daripada SUK. 

    “Sebagai contoh jika melibatkan maklumat berkaitan operasi tangkapan khalwat, kita serahkan kepada ketua jabatan iaitu Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)…kalau JAIM fikir boleh uar-uarkan untuk hebahan media maka kita benarkan. 

    “Proses mendapatkan kebenaran daripada SUK bagi sesuatu maklumat untuk diuar-uarkan boleh dibuat menerusi telefon secara terus…tidak perlu surat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan 2022 di Seri Negeri di Melaka hari ini. 

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amanat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkaitan larangan berkenaan menerusi teks ucapannya yang dibaca Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman pada perhimpunan itu. 

    Sulaiman dalam ucapan tersebut berkata larangan berkenaan selaras dengan arahan kerajaan Persekutuan menerusi surat edaran yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan peraturan sedia ada yang masih berkuat kuasa iaitu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam di bawah kelakuan dan tatatertib 1993. 

    Jelasnya, larangan berkenan juga turut melibatkan kenyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan imej kerajaan, ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan atau mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat pegawai awam atau mana-mana pihak lain. 

    Beliau berkata semua larangan berkenaan bertujuan mempertahankan prinsip neutrality dan impartiality dalam perkhidmatan awam. 

    Sulaiman berkata dalam menghadapi cabaran dunia digital, penjawat awam perlulah lebih bijak dan sensitif sebelum mengeluarkan kenyataan awam di sebarang platform atau media bagi mengelakkan sebarang salah faham. 

    “Saya menegaskan dan memperingatkan semua warga kerja perkhidmatan awam Negeri Melaka untuk sentiasa berintegriti dan berhemah semasa menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.  

    “Ketua jabatan juga diingatkan agar dapat memaklumkan kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tata etika yang telah ditetapkan,” katanya. 

    Terdahulu, Rahmad berkata Tabung Pahlawan Negeri Melaka telah berjaya mengutip sumbangan lebih RM150,000 daripada pelbagai pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan. – Bernama

  • Bekas CEO, isteri mengaku tidak bersalah terima deposit RM364,000 tanpa lesen

    Bekas CEO, isteri mengaku tidak bersalah terima deposit RM364,000 tanpa lesen

    SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas satu pertuduhan menerima deposit RM364,000 daripada orang awam tanpa lesen sah, tujuh tahun lalu.

    tertuduh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat telekomunikasi, Ho Kok Keong, 60 dan suri rumah, Koh Orchid, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menerima wang deposit itu daripada seorang pengajar bidang IT berusia 49 tahun, secara berperingkat tanpa lesen sah yang diberikan bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

    Kesalahan didakwa dilakukan pada 16 Disember 2015 sehingga 16 April 2016 yang mana bayaran pertama diterima di sebuah restoran di Sentul, di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 137(1) akta sama, boleh dihukum bawah Seksyen 137(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau denda tidak maksimum RM50 juta atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam, Sean Dudley yang mewakili pasangan suami isteri itu, merayu agar ikat jamin itu diletakkan pada kadar yang lebih munasabah.

    Menurutnya, anak guamnya merupakan seorang pesara, perlu menyara ibu bapa yang uzur dan dua anak lelakinya.

    “Mereka juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri daripada kes ini,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Kamarudin membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan kes.

  • Ahli perniagaan dituduh tipu RM1.89j selesai kes cukai rokok

    Ahli perniagaan dituduh tipu RM1.89j selesai kes cukai rokok

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas lapan pertuduhan menipu seorang individu bagi menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Eksais Diraja Malaysia membabitkan nilai RM1,895,020 pada 2019.

    Bagaimanapun tertuduh, Chan Eng Leong, 48, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mohd. Khalid Abd. Karim dan Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut kertas pertuduhan, Eng Leong didakwa menipu Pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd., Goh Kim Heong dengan memperdaya untuk mempercayai dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak JKDM dan Jabatan Eksais DiRaja.

    Tertuduh dengan curangnya telah mendorong Kim Heong memindahkan saham syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd. kepada syarikat Natural Transforms Sdn. Bhd. miliknya yang mana Kim Heong tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh enam kali pada 24 April dan masing-masing sekali pada 11 Jun dan 15 Ogos 2019 di alamat No 29, Green Hall, Georgetown, Pulau Pinang.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri; Mohammad Nazri Abdul Rahim; Teh Li Siew dan Chew Qi Wei manakalan tertuduh diwakili peguam R.S.N Rayer dan R. Arvend.

    Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

    Bagaimanapun, Rayer merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kesemua akaun bank milik tertuduh kini sudah dibekukan.

    Selain itu, tertuduh sebelum ini turut diarahkan membayar wang jaminan sebanyak RM450,000 bersabit dua lagi kes yang sedang dihadapinya di Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Sesyen Butterworth.

    Hakim Mohd. Khalid kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

    Sementara itu, Hakim Mazdi pula menetapkan wang jaminan keseluruhan RM130,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

    Selain itu, beliau turut menetapkan syarat tambahan yang mana tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu pengadu dan saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

    Kedua-dua mahkamah turut menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

  • LCS: Sistem pengurusan tempur dikhuatiri luput dalam 10 tahun

    LCS: Sistem pengurusan tempur dikhuatiri luput dalam 10 tahun

    SISTEM pengurusan tempur kapal tempur pesisir (LCS) yang dalam pembinaan berisiko luput dalam tempoh sedekad susulan perubahan spesifikasinya.

    Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang memetik laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertindak menukar sistem Tacticos yang dipilih tentera laut kepada sistem Setis.

    Menurutnya dalam satu kenyataan, sistem Setis yang dipilih itu bukan saja lebih mahal, malah ia belum dibangunkan sepenuhnya dan berisiko untuk luput dalam jangka pendek lima hingga 10 tahun.

    “Paling tidak munasabah, sistem ini tidak mampu berintegrasi dengan kebanyakan peralatan pilihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya yang dipetik dari Free Malaysia Today.

    Sim berkata, sistem asal yang dipilih TLDM ialah Tacticos yang sudah diguna pakai kapal TLDM, iaitu KD Kasturi dan KD Lekir.

    “Pemindahan teknologi juga telah berlaku, di mana penyelenggaraan sistem ini dibuat sebuah syarikat teknologi tempatan. Kini semua ini telah dihentikan,” katanya.

    Beliau berkata, keputusan menukar reka bentuk kapal Sigma kepada Gowind oleh syarikat Perancis pada 2011 menyebabkan industri pembuatan kapal tempur Malaysia terkebelakang.

    Katanya, Malaysia terlepas peluang untuk pemindahan teknologi kerana reka bentuk kapal Sigma yang direka syarikat Belanda, Damen Shipyard sepatutnya menjadikan Malaysia hab pembuatannya.

    “Ini sudah tentu akan membolehkan pemindahan teknologi penting dalam industri pembuatan kapal tempur serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

    Minggu lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

    Beliau berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.

    Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus.

    Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini.