Author: Admin

  • Dua beradik sempat selamatkan diri keluar daripada api marak

    Dua beradik sempat selamatkan diri keluar daripada api marak

    DUA beradik perempuan seibu sempat keluar menyelamatkan diri daripada api marak selepas rumah sewa dihuni keluarga mereka di Kampung Tengah, Pasir Panjang, Sekinchan terbakar dalam kejadian pada awal pagi ini.

    Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, Norhidayah Rosman, 17, dan Norain Jamalina Jumri, 12, terpaksa menendang tingkap nako untuk keluar dari rumah yang sedang marak untuk menyelamatkan diri.

    Abang mereka, Mohd. Raziq Azrai Rosman, 19 berkata, kedua-dua adiknya terperangkap kira-kira 10 minit sebelum berjaya keluar dari rumah berkenaan.

    “Pada waktu itu api memang menjulang tinggi dan saya bersama-sama ayah, ibu serta seorang adik bongsu sempat keluar melalui pintu depan rumah.

    “Bagaimanapun, dua lagi adik perempuan (Norhidayah dan Norain) berada di bilik berasingan dan kami terpaksa menjerit meminta mereka keluar melalui tingkap bilik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah nenek mereka di Kampung Tali Air 10, Sekinchan, hari ini.

    Mohd. Raziq berkata, semasa cuba keluar dari rumah itu, dia terpaksa merangkak untuk mencari pintu depan berikutan keadaan gelap di dalam rumah berkenaan.

    “Saya terpaksa meraba-raba ke bawah untuk mencari pintu keluar dan masa itu asap terlalu banyak hingga sukar bernafas, malah ketika itu badan saya seolah hendak pengsan.

    “Kami berempat akhirnya berjaya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri sambil berharap dua adik yang masih di dalam bilik selamat,” katanya.

    Menurutnya, sejurus mereka berada di depan rumah, bapanya, Jumri Manap, 41, tidak berhenti-henti melaungkan kalimah Allah.

    “Bapa tidak henti-henti mengungkap perkataan Allahuakbar berulang kali, pada waktu itu saya nampak dua adik perempuan seolah bertarung nyawa untuk keluar dari tingkap bilik.

    “Keadaan waktu itu amat menakutkan dan kami hanya berserah kepada Allah agar semua nyawa dapat diselamatkan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Mohd. Raziq mengakui dia amat bersyukur apabila dua adiknya itu berjaya keluar setelah Norhidayah menendang beberapa kali tingkap bilik.

    “Saya nampak tingkap bilik semakin mereput akibat terbakar manakala Norhidayah dan Norain akhirnya berjaya keluar daripada kebakaran.

    “Kedua-dua mereka dalam keadaan lemah akibat terhidu asap tebal dan beberapa bahagian badan melecur terkena api,” katanya.

    Jelasnya, kejadian itu mengundang rasa trauma mereka sekeluarga apatah lagi ia berlaku dalam sekelip mata.

    “Inilah detik ngeri yang saya pernah alami sepanjang hidup, namun bersyukur semua ahli keluarga saya selamat dalam kejadian ini,” katanya.

    Mohd. Raziq memberitahu, Norain pada ketika ini masih dirawat di Hospital Sungai Buloh manakala ibu dan bapanya menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

  • Mekanik warga emas ditahan tanam dadah RM200,000 bawah rumah

    Mekanik warga emas ditahan tanam dadah RM200,000 bawah rumah

    SEORANG mekanik warga emas ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, Melaka, kelmarin.

    Menerusi serbuan pada pukul 1.40 pagi, suspek yang merupakan dalang utama sindiket itu dipercayai menyorok bekalan dadah jenis syabu seberat 7.5 kilogram (kg) bernilai RM223,100 dalam sebuah tong yang ditanam bawah rumah.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kegiatan suspek yang aktif sejak sebulan lalu itu akhirnya terbongkar selepas polis menahan dua rakan karibnya sebelum menahan anak serta menantunya masing-masing berusia 21 dan 24 tahun dalam serbuan Sabtu lalu.

    Menurutnya, susulan tangkapan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah membuat serbuan di rumah suspek dan menahan suspek bersama-sama seorang anaknya yang berusia 27 tahun.

    “Sindiket digelarkan Geng Misai itu berjaya ditumpaskan dengan penahanan awal dua lelaki yang merupakan rakan karib kepada warga emas terbabit pada 25 September lalu.

    “Hasil soal siasat terhadap mereka berjaya menahan suspek bersama anaknya di rumah itu pada keesokannya dan menemui bekalan dadah yang ditanam di bawah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di Banda Hilir, hari ini.

    Beliau berkata, warga emas itu akan menggali semula dadah yang ditanam dan mengeluarkannya mengikut permintaan sebelum diedarkan oleh ahli keluarganya di sekitar kawasan Kuala Sungai Baru.

    Menurutnya, saringan ujian air kencing juga mendapati empat suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

    “Kita turut merampas sebuah motosikal dan wang tunai dengan jumlah sitaan keseluruhan bernilai RM15,000.

    “Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952, ” katanya.

  • Panjat jambatan selepas khayal akibat hidu gam

    Panjat jambatan selepas khayal akibat hidu gam

    SEORANG lelaki yang dipercayai sedang khayal selepas menghidu gam, memanjat jambatan setinggi lebih enam meter di Beaufort hari ini.

    Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, pemuda berusia 20 tahun itu dipercayai tidak sedar apa yang dilakukan sebelum kejadian itu disedari sepasukan polis yang sedang menjalankan Pematuhan dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, selepas usaha memujuknya turun gagal, anggota bertugas terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan menurunkan lelaki terbabit.

    “Sebaik berjaya dibawa turun, lelaki terbabit terus dibawa ke Balai Polis Beaufort untuk proses dokumentasi.

    “Pemeriksaan tubuh badan dan beg sandang lelaki terbabit membawa kepada penemuan plastik dan satu tin gam.

    “Lelaki terbabit terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • ‘Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa’

    ‘Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa’

    TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyerahkan sepenuh keputusan kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya berhubung dakwaan melanggar peraturan jalan raya.

    Menurutnya, beliau amat menghargai teguran dan nasihat yang diberikan sama ada secara terus kepadanya atau melalui komen di media sosial.

    “Sebagai seorang insan yang tidak sempurna, saya mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan dan menjadikannya sebagai penambahbaikan buat saya dan kakitangan.

    “Insiden tersebut kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa. Staf yang terlibat juga telah dipanggil memberikan keterangan beliau.

    “Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Pada Isnin, media melaporkan polis membuka siasatan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard milik seorang timbalan menteri susulan rakaman video yang tular di media sosial mendakwa beliau melanggar peraturan jalan raya di Jalan Bukit Marak, Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Superintendan Suhaimi Jusoh berkata, rakaman video yang tular itu memaparkan kenderaan dengan nombor pendaftaran P45 memotong kenderaan di hadapan di garisan berkembar walaupun terdapat kenderaan lain di atas jalan tersebut dari arah bertentangan.

    Pada Isnin, media melaporkan polis membuka siasatan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard milik seorang timbalan menteri susulan rakaman video yang tular di media sosial mendakwa beliau melanggar peraturan jalan raya di Jalan Bukit Marak, Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Superintendan Suhaimi Jusoh berkata, rakaman video yang tular itu memaparkan kenderaan dengan nombor pendaftaran P45 memotong kenderaan di hadapan di garisan berkembar walaupun terdapat kenderaan lain di atas jalan tersebut dari arah bertentangan.

    Tambah Ahmad Marzuk, sekiranya dikenakan hukuman, beliau berharap ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat mereka.

    “Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat.

    “Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti demi rakyat Malaysia,” jelasnya.

  • 3 maut dipukul kepala air, mayat ketiga ditemukan hari ini

    3 maut dipukul kepala air, mayat ketiga ditemukan hari ini

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBELUM ini tular video yang memaparkan kejadian kepala air di sebuah air terjun di Tinubdan di Bandar Catmon Filipina yang sekelip mata menghanyutkan beberapa orang yang mandi di kawasan tersebut.

    Difahamkan, ketika kejadian, 30 orang didapati berada dalam sungai di kawasan air terjun itu sementara kira-kira 100 orang lagi berada di sekitarnya.

    Kejadian tragis kepala air di air terjun berkenaan menggemparkan negara itu dan telah mengorbankan dua nyawa dan seorang lagi masih tidak dijumpai ketika itu.

    Namun, menurut laporan Cebu Daily News, mayat wanita tersebut, Jacel Alastra ditemui oleh nelayan di perairan Barangay Luyang sekitar jam 1 pagi hari ini.

    Wanita tersebut dikatakan hilang sejak petang Ahad, 26 September, setelah dia dan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun serta sepupunya yang berusia 17 tahun dihanyutkan kepala air.

    Mayat sepupunya, Kent Junde Monterolla ditemui berhampiran alur limpah di Katambisan, Bandar Catmon pada hari Ahad malam manakala mayat anak perempuannya, Princess Alastra ditemui di Sitio Kulo, Barangay Duyan sekitar jam 11:30 pagi pada hari Isnin, 27 September.

    Sementara itu,  Pengarah Pejabat Polis Wilayah Cebu (CPPO), Kolonel Engelbert Soriano berkata dia masih menunggu laporan rasmi dari Pejabat Pengurangan dan Pengendalian Risiko Bencana Wilayah (PDRRMO) dan kerajaan wilayah mengenai saranan untuk melarang lawatan ke air terjun Tinubdan buat masa ini. 

    Menurut kenyataan dari saudara mangsa, mereka mengunjungi air terjun Tinubdan pada hari Ahad lalu untuk meraikan ulang tahun kematian ahli keluarga namun ianya berakhir dengan tragedi yang meragut tiga nyawa.

  • Agong puas hati lawatan khas ke UK

    Agong puas hati lawatan khas ke UK

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) yang telah berakhir kelmarin.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa puas hati dan sukacita dapat bertemu diaspora Malaysia di UK kerana ia merupakan peluang penting bagi Seri Paduka mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat walau di mana mereka berada.

    “Sesi pertemuan diaspora Malaysia di UK telah dibahagikan kepada dua, yang pertama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada 24 September dan kedua di The Shire, London pada 26 September. 

    “Sesi di The Shire, London turut melibatkan kehadiran rakyat Malaysia yang berada di luar ibu kota London, termasuk dari Liverpool, Manchester dan Wales.

    “Seri Paduka turut menzahirkan rasa bangga  keupayaan syarikat milik rakyat Malaysia dan agensi kerajaan Malaysia yang menjalankan urusan perniagaan serta pelaburan di negara itu,” katanya. 

    Lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke UK itu bermula 17 hingga 26 September dan kemudiannya Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September.

    Lawatan khas itu merupakan kali kedua bagi Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dengan lawatan khas pertama diadakan tujuh hari bermula 9 Disember 2019 – Bernama

  • LHDN nafi dakwaan data 4 juta pembayar cukai bocor

    LHDN nafi dakwaan data 4 juta pembayar cukai bocor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan berlaku sebarang kebocoran data peribadi melalui laman sesawangnya melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    LHDN dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memberitahu, pihaknya hanya pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut di samping pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman berkenaan perkara tersebut.

    Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan media yang mendakwa berlaku kebocoran 4 juta data peribadi rakyat Malaysia yang kini ditawarkan untuk pembelian Internet.

    “Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

    “LHDN juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini,” menurut kenyataan itu.

    LHDN berkata, pihaknya memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDN adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.

    Perkara tersebut didedahkan oleh seorang pakar IT, Adnan Shukor melalui ciapannya yang mana beliau turut mendakwa data tersebut boleh dibeli pada harga RM35,000.

    Adnan turut berkongsi sebuah tangkap layar yang menunjukkan jualan yang menawarkan empat juta data peribadi yang bocor daripada laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Agensi percukaian negara itu adalah salah satu dari 10 agensi kerajaan yang turut termasuk dalam platform myIDENTITY di mana data dari JPN dikongsi.

  • Penganggur ditahan bersama heroin bernilai RM61,500

    Penganggur ditahan bersama heroin bernilai RM61,500

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang menahan seorang penganggur yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas 4.59 kilogram heroin bernilai RM61,573 dalam serbuan di dua lokasi berbeza di negeri itu.

    Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Pulau Pinang di tepi Jalan Tun Hussein On, Seberang Jaya dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, ketika ditahan polis turut merampas dua bungkusan dadah jenis heroin seberat 907 gram bersama-sama suspek.

    Susulan penahanan suspek katanya, polis menyerbu tapak parkir di sebuah kondominium di Golden Triangle di Relau, Bayan Lepas dan menjumpai lapan bungkusan dadah yang disimpan di dalam sebuah kereta jenis Chevrolet.

    Ujar beliau, lelaki itu dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak lima bulan lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas tersebut boleh digunakan seramai 22,957 orang jika terlepas ke pasaran.

    “Hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methapetamine selain suspek turut mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.

    Tambahnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Pembantu kedai dobi rugi RM23,900 diperdaya ‘LHDN Kedah’

    Pembantu kedai dobi rugi RM23,900 diperdaya ‘LHDN Kedah’

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BERMODALKAN air liur, satu sindiket yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya ‘mengikis’ wang seorang pembantu kedai dobi hingga menyebabkan mangsa menganggung kerugian berjumlah RM23,900.

    Terdahulu, mangsa yang berusia 23 tahun pada mulanya menerima panggilan kononnya daripada LHDN Kedah yang kemudian memaklumkan namanya disalahguna untuk pendaftaran syarikat dan mendakwa turut mempunyai tunggakan cukai.

    Timbalan Ketua Jabatan Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket/Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Deputi Superintendan Mohd. Ridzuan Nor Ihsan berkata, ahli sindiket kemudian menasihati mangsa supaya membuat laporan polis bagi mengelak namanya mempunyai rekod buruk.

    “Sindiket kemudian menyambung talian kepada pihak ‘polis’ kononnya untuk memudahkan mangsa membuat laporan penafian berhubung pendaftaran syarikat atas namanya yang didapati tidak sah.

    “Selain itu, mangsa juga turut diminta membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia oleh sindiket terbabit dengan alasan untuk perlindungan akaun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Ridzuan berkata, mangsa yang yang sudah masuk perangkap itu hanya menurut arahan sindiket yang meminta dia menyerahkan kata laluan, nombor kad ATM, Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dan ID pengguna dengan alasan ia untuk siasatan.

    “Mangsa bagaimanapun mula menyedari ditipu apabila mendapati RM23,900 dalam akaun bank miliknya lesap dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan orang ramai diminta berhati-hati sekiranya menerima panggilan mencurigakan,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi CCIS Response Center di talian 03-26101559/1599.

  • Guru Besar direman berkait tuntutan palsu

    Guru Besar direman berkait tuntutan palsu

    SEORANG guru besar direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1,568, dua tahun lalu.

    Suspek pada penghujung tahun 2019 dikatakan memperakukan pembayaran bagi program Majlis Sukan Negara (MSN), majlis perpisahan dan majlis hari jadi di sekolah tempatnya bertugas, namun dipercayai majlis berkenaan tidak dilaksanakan.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di Port Dickson, dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Syed Farid Syed Ali.

    Permohonan reman dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim, manakala suspek diwakili peguam, T. Sailaja.

    Suspek ditahan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, Seremban, kira-kira 1.30 tengah hari semalam, selepas hadir memberikan keterangan, menurut laporan Berita Harian.

    Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail, mengesahkan penahanan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.