Author: Admin

  • Kereta terjunam selepas tembok penahan runtuh

    Kereta terjunam selepas tembok penahan runtuh

    SEBUAH kereta jenis Proton Saga yang diparkir di kawasan kejiranan di Lengkok Halia, Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini terjunam selepas sebahagian tembok penahan (retaining wall) di situ runtuh.

    Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi itu.

    Video kejadian itu turut tular dalam media sosial hari ini yang menunjukkan kereta tersebut yang diparkir tanpa pemandu terjunam bersama-sama runtuhan tembok penahan tersebut.

    Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.

    Bagaimanapun jelasnya, pihaknya semalam mendapati terdapat rekahan pada tembok penahan itu dan sudah mengarahkan pemilik yang meletakkan kereta mereka di kawasan berkenaan mengalihkan kenderaan mereka segera.

    Ketika kejadian tambahnya, terdapat sebanyak enam buah kereta diparkir di lokasi kejadian, namun lima daripadanya telah dialihkan oleh pemilik kenderaan.

    “Kawasan itu merupakan tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kita telah meminta mereka membaiki runtuhan tersebut.

    “Ketika ini, kita menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu daripada JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

  • Pusat Warga Emas di semua kawasan Parlimen – PM

    Pusat Warga Emas di semua kawasan Parlimen – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan merancang untuk memperluas Pusat Warga Emas ke seluruh kawasan Parlimen di negara ini.

    Menurut Perdana Menteri, rancangan tersebut adalah selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

    “Sehingga hari ini, sebanyak 140 Pusat Warga Emas telah diwujudkan dan kerajaan merancang untuk memperluaskan usaha ini,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau, hari ini.

    Katanya, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada 2030 dengan 15 peratus daripada jumlah penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.

    “Bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada golongan ini,” katanya.

    Beliau berkata, negara juga akan mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang.

    “Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas,” katanya.

    Dalam hantaran sama, Ismail Sabri turut memberi ucapan kepada warga emas sempena sambutan Hari Warga Emas.

    “Selamat menyambut Hari Warga Emas saya ucapkan kepada semua warga emas di seluruh Malaysia. Kesaksamaan digital merentasi usia,” katanya.

  • 2 remaja sesat di Bukit Bauk ditemukan selamat

    2 remaja sesat di Bukit Bauk ditemukan selamat

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TINDAKAN pantas anggota pasukan bomba dan penyelamat bagi mengesan dua remaja yang dilaporkan tersesat ketika menuruni puncak Bukit Bauk di Dungun, berjaya menyelamatkan kedua-dua sahabat berkenaan daripada bermalam di dalam hutan simpan kekal di kawasan itu.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, dua remaja tersebut dilaporkan tersesat hampir tiga jam di dalam hutan itu semasa mereka sedang menuruni bukit berkenaan petang semalam.

    Menurut beliau, kedua-dua remaja berusia 20an itu mula mendaki Bukit Bauk pada pukul 9 pagi dan pada pukul 12 tengah hari pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan daripada mereka.

    Katanya, salah seorang mangsa memberitahu dengan mengatakan mereka telah tersesat laluan sewaktu sedang turun dari puncak Bukit Bauk.

    Justeru ujarnya, sebaik menerima maklumat tersebut, pihaknya terdiri daripada 20 anggota pelbagai agensi penyelamat terus ke tempat kejadian.

    “Dalam operasi berkenaan, kita berjaya menemui kedua-dua mangsa pada kedudukan dua kilometer daripada laluan asal pendakian pada pukul 1.31 petang.

    “Susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat orang hilang di sekitar kawasan bukit setinggi 400 meter itu ditamatkan pada pukul 2.37 petang,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Menurut Azman, dua mangsa terbabit kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun bagib pemeriksaan lanjut.

  • JAS siasat tiga individu didakwa buang sisa di Sungai Kinta

    JAS siasat tiga individu didakwa buang sisa di Sungai Kinta

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Perak akan menyiasat tindakan tiga individu yang didakwa melakukan pencemaran dengan membuang ‘sisa’ ke Sungai Kinta, Ipoh, semalam.

    Pengarahnya, Rosli Zul berkata, satu laporan polis akan dibuat bagi mengesan mereka yang terlibat untuk tindakan lanjut.

    “JAS akan cari pemilik kereta berkenaan sebagaimana yang dikongsikan dalam video tular terbabit.

    “Kita akan mengesan pelakunya bagi mengetahui buangan apa yang dilepaskan ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

    Menurutnya, persampelan air akan diambil bagi mengetahui kualiti air sungai terbabit dan siasatan lanjut masih diteruskan.

    Tindakan tiga individu yang dipercayai membuang sesuatu ke Sungai Kinta di Jalan Sultan Iskandar, di sini mendapat kecaman warganet.

    Video berdurasi 44 saat itu mula tular apabila dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan Twitter mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

    Mereka didapati membuang sesuatu seperti cecair daripada beberapa tong plastik berwarna biru sebelum kesemuanya beredar menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tebing sungai.

  • Jangkitan Covid-19 menurun kepada 11,889 kes hari ini

    Jangkitan Covid-19 menurun kepada 11,889 kes hari ini

    MALAYSIA merekodkan 11,889 kes baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari ini.

    Jumlah berkenaan menurun berbanding semalam yang mencatatkan sebanyak 12,735 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam laman sosialnya memaklumkan, perkembangan terbaru itu menjadikan kumulatif kes adalah 2,257,584.

    Sarawak kekal melaporkan kes harian tertinggi sebanyak 2,413 diikuti Selangor (1,568) dan Johor (1,217).

  • Sorok 10 plastik heroin dalam plastik kurier elak dihidu polis

    Sorok 10 plastik heroin dalam plastik kurier elak dihidu polis

    SEORANG penganggur lelaki berusia 30 tahun dita han polis di Kepala Batas, Pulau Pinang Selasa lalu bersama-sama 10 plastik dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram.

    Dadah bernilai RM60,300 itu dijumpai disorok dalam bahagian but kereta jenis Proton Wira yang dinaiki suspek dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari.

    Ketika dijumpai, dadah itu didapati dibungkus menggunakan plastik lutsinar yang kemudiannya diletakkan dalam bungkusan plastik kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika ditahan suspek dipercayai dalam proses untuk menghantar bekalan dadah tersebut kepada ahli sindiket yang lain.

    Beliau berkata, suspek juga dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan tersebut memandangkan dia tiada rekod lampau berkaitan dadah

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak kira-kira dua bulan lalu manakala suspek yang ditahan memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes melarikan orang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, Kepala Batas hari ini.

    Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket atau rakan-rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

    “Suspek kini direman selama enam hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • KPDNHEP terima 350 aduan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan

    KPDNHEP terima 350 aduan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam NegerI dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 350 aduan berkaitan penjualan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan dalamr tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

    Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, aduan paling tinggi membabitkan minyak masak dengan 172 aduan, diikuti gas petroleum cecair (111), gula (28), kit ujian Covid-19 (17) dan masing-masing 11 aduan untuk pelitup muka dan tepung.

    “Penguat kuasa KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melanggar garis panduan dan syarat serta harga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, peniaga yang menjual melebihi harga kawalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu.

    Sementara itu bagi syarikat katanya, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

    Azman berkata, barang keperluan seperti gula pasir putih bertapis kasar dan halus, tepung gandum serba guna, minyak masak, gas petroleum cecair, pelitup muka dan kit ujian pantas antigen Covid-19, telah ditetapkan harga jualannya di semua jenis kedai dan platform perniagaan termasuk dalam talian.

    “Ia bagi memastikan rakyat dapat menikmati barang keperluan pada harga terkawal dan sekali gus tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya menambah bahawa harga yang ditetapkan itu tidak termasuk caj penghantaran.

    Pengguna digalakkan membuat aduan terus kepada KPDNHEP dengan memberi maklumat lengkap mengenai barang berserta tanda harga dan lokasi premis atau platform, menerusi pelbagai saluran yang disediakan seperti Whatsapp 019-279 4317; Mobileapps Ez ADU KPDNHEP; portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan 1-800-886-800; e-mel di [email protected] atau melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245. – Bernama

  • Sindiket edar dadah RM2.5 juta guna kereta sewa tumpas

    Sindiket edar dadah RM2.5 juta guna kereta sewa tumpas

    TAKTIK satu sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sewa selain menyorok bahan terlarang berkenaan dalam bungkusan ‘teh Cina’ gagal mengaburi mata polis berjaya dibongkar selepas lapan individu termasuk dua wanita ditahan di Lembah Klang pada 23 September lalu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, menerusi beberapa serbuan berasingan berkenaan, pihak polis turut berjaya merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM2.5 juta.

    “Polis merampas 62 bungkusan ‘teh Cina’ berisi dadah jenis methamphetamine anggaran berat 63.1 kilogram dalam sebuah kereta jenis Hyundai Ionic yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya di Seri Kembangan pada jam 6.30 petang.

    “Kami kemudian berjaya memberkas seorang lelaki dan wanita warga Vietnam di sebuah kondominium di Brickfields.

    “Hasil soal siasat, kami menahan lima lelaki dan seorang warga Thailand di tiga lokasi di Dang Wangi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

    Sharul Lalli berkata, modus operandi sindiket yang bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu itu menggunakan kenderaan sewa.

    “Kereta tersebut akan ditinggalkan sindiket berkenaan di sesuatu kawasan, kemudian individu lain akan mengambil kenderaan itu atau bungkusan dadah tersebut,” katanya.

    Sharul Lalli berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM126,000 dan lima buah kereta jenis Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz, Lexus, Proton Exora dan Nissan Serena.

    “Hasil semakan mendapati lima suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dan dadah. Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga orang positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua suspek berusia 31 hingga 53 tahun itu ditahan reman 11 hari dari 24 September hingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Malaysia-AS sepakat pastikan momentum hubungan dua hala kekal kukuh

    Malaysia-AS sepakat pastikan momentum hubungan dua hala kekal kukuh

    MENTERI Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengadakan perbualan telefon pada malam tadi dan kedua-dua pemimpin berazam untuk memastikan momentum hubungan dua hala terus kekal kukuh.

    Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), hubungan dua hala itu merangkumi pelbagai aspek termasuk kesihatan dan keselamatan serta perdagangan dan pelaburan.

    Saifuddin dan Blinken turut membincangkan pelbagai isu antarabangsa dan serantau, termasuk kerjasama tiga hala Australia-United Kingdom-AS (AUKUS), situasi di Myanmar dan Afghanistan serta Laut China Selatan.

    “Saifuddin juga mengulangi penghargaan Malaysia kepada AS yang bermurah hati menyumbangkan satu juta dos vaksin Covid-19 Pfizer kepada kerajaan Malaysia pada Julai lalu dan bantuan kewangan AS$800,000 melalui Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah sebagai menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

    AS, melalui kedutaannya di Kuala Lumpur, turut menghulurkan pelbagai bantuan serta sumbangan lain bernilai AS$2.85 juta kepada Malaysia sejak pandemik melanda.

    “Kedua-dua pemimpin menyuarakan komitmen untuk terus memelihara hubungan antara kedua-dua negara, termasuk pertukaran kunjungan bagi memanfaatkan potensi besar Kerjasama Komprehensif Malaysia-AS,” kata kenyataan itu. – Bernama

  • Masih ada formula Muafakat Nasional, Perikatan Nasional jadi gabungan mantap

    Masih ada formula Muafakat Nasional, Perikatan Nasional jadi gabungan mantap

    Oleh : NASRUDIN HASSAN

    JIKA kita benar mahu melihat tampuk pemerintahan negara kekal menjadi milik dominasi umat Islam tanpa mengenepikan kepentingan kaum, bangsa dan agama lain, maka terasnya ialah penyatuan parti-parti politik umat Islam.

    Kita tidak perlu skeptikal mengenainya, sehingga berulang kali mengungkit kisah perselisihan silam dan menimbulkan elemen percanggahan sesama umat Islam.

    Sememang suara penyatuan ini muncul kerana umat Islam telah melalui episod perpecahan yang sengit dan parah. Sebagaimana munculnya jarum dan benang menjahit kerana ada dua atau tiga sudut kain yang terpisah.

    Menjahit itu adalah untuk mencantumkannya. Sebagaimana penyatuan itu adalah untuk menggabung eratkan umat Islam yang terberai sebelum ini.

    Fokus ! Fokus kepada kepentingan dominasi pemerintahan negara mesti berada ditangan parti parti politik umat Islam.

    Berlapang dada dan bertolak ansurlah dalam segala hal. Jangan mudah melatah atau terkesan dengan propaganda musuh Islam yang begitu licik dan beracun untuk melemah dan meretak belahkan gabungan parti-parti umat Islam.

    Pilihanraya umum semakin hampir. Persiapan sudah tentu sedang rancak diatur susun oleh semua parti parti politik. Malah ada ngo yang beragam tak ubah parti politik bagi menghadapi PRU ke 15 nanti.

    Langkah utama kita ialah persefahaman untuk memastikan DAP dan jajaran politiknya tidak kembali menguasai pemerintahan negara.

    Jangan pertaruhkan perpaduan umat Islam dan penyatuan parti-parti politik umat Islam sebagai “demanding power” sehingga timbul ugutan atau kata dua untuk menarik diri dari penyatuan.

     Sebaliknya berundinglah dengan tenang dan ikhlas serta meletakkan kepentingan bersama umat Islam sebagai neraca pengimbang bagi mewujudkan suasana “win-win situation” dalam kerjasama dan keputusan yang diambil.

    Hindari sikap angkuh, ego dan berasa diri hebat daripada yang lain, kerana pasti ia adalah sifat-sifat negatif dan “boomerang” yang bakal mengembalikan kesan buruk pada penyatuan umat Islam bahkan pada diri sendiri.

    Masih ada masa dan cara untuk perkasakan Muafakat Nasional dan pertahankan Perikatan Nasional. Bahkan masih ada formula bagi membolehkan MN dan PN menjadi coalition yang mantap dan sekaligus menjadi halilintar buat DAP dan jajaran politik mereka.

    Kita hanya ada satu jalan dan satu cara untuk merosakkan segala kekuatan umat Islam, iaitu bersikap angkuh dan berkepentingan diri. Sedang disana pula kita ada 1001 cara untuk mengukuh jitu penyatuan parti-parti politik umat Islam.

    Hanya perlu ikhlas, sabar dan tidak angkuh. Buka ruang perbincangan dan tutup peluang persengketaan. Kerap bertemu dan bermanis wajah. Elakkan dari terpengaruh dengan gossip politik dan desas desus warga net.

    • Nasrudin Hassan adalah Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Yang Dipertuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).