Author: Admin

  • Kartunis lukis gambar Nabi Muhammad mati nahas jalan raya

    Kartunis lukis gambar Nabi Muhammad mati nahas jalan raya

    SEORANG kartunis dari Sweden yang sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia selepas melukis gambar Nabi Muhammad, maut dalam kemalangan jalan raya semalam.

    Menurut media tempatan, Lars Vilks dilaporkan terbunuh ketika kereta polis yang dinaikinya bertembung dengan sebuah trak berdekatan bandar Markaryd di selatan Sweden.

    Dua anggota polis turut dilaporkan terkorban dalam nahas itu manakala pemandu trak berkenaan dibawa ke hospital untuk rawatan.

    Vilks, 75 tahun, hidup di bawah perlindungan polis selepas berdepan ugutan bunuh susulan lukisannya yang menimbulkan kontroversi.

    Hasil lukisan kartun berkenaan yang dihasilkan pada 2007, dikritik ramai kerana ibarat mencerca Nabi Muhammad.

    Kartunis lukis gambar Nabi Muhammad maut nahas jalan raya di Sweden

    Bagaimanapun, pihak polis setakat ini belum mengeluarkan keterangan berhubung mangsa nahas namun pasangan Vilks mengesahkan kematiannya kepada akhbar tempatan, Dagens Nyheter.

    Lukisan kartun Vilks itu turut mencetus pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan pemimpin seluruh dunia.

    Ini memaksa Perdana Menteri Sweden ketika itu, Fredrik Reinfeldt, bertemu duta besar dari 22 negara Islam dalam usaha meredakan keadaan.

    Al-Qaeda di Iraq juga menawarkan ganjaran AS$100,000 atau RM417,000 bagi pembunuhannya.

    Pada 2015, Vilks menghadiri perdebatan mengenai kebebasan bersuara yang menjadi sasaran serangan senjata api di Copenhagen.

    Dakwanya, dia mungkin menjadi sasaran serangan sehingga seorang pengarah filem terbunuh.

  • Pengasuh ditahan kes dera kanak-kanak autisme

    Pengasuh ditahan kes dera kanak-kanak autisme

    SEORANG pengasuh wanita ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki autisme di sebuah pusat asuhan di Ampang, Selangor, semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 1.50 tengah hari itu, pihak polis telah menerima satu laporan daripada bapa kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun berkenaan pada Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa dipercayai didera pada 1 Oktober lepas antara 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selepas bapanya mengambil anaknya, selain menemukan kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua belah mata.

    Beliau berkata, seorang cikgu di pusat asuhan berkenaan memaklumkan kepada bapa kanak-kanak itu terdapat kesan kemerahan pada tepi dahi kiri mangsa dan mendakwa mangsa menghantukkan kepala di meja atas alasan tidak mahu makan.

    “Bapa mangsa kemudian bertindak melihat rakaman kamera litar tertutup tempat kejadian selain mendapati suspek bertindak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan,” katanya ketika dihubungi.

    Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan lanjut mendapati wanita warga asing berumur 51 tahun itu merupakan pengurus di premis berkenaan turut menggajikan tiga pekerja warga tempatan yang juga berada di tempat kejadian.

    “Wanita itu mempunyai tujuh pelajar termasuk mangsa yang kesemuanya OKU autisme. Hasil siasatan lanjut juga mendapati pusat asuhan dikendalikan suspek telah beroperasi selama tujuh tahun dan semakan awal mendapati status lesen dimilikinya telah tamat tempoh,” katanya.

    Beliau berkata, pas lawatan wanita itu disyaki telah tamat tempoh dan dia direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak serta Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan pas sosial tamat tempoh.

  • Mayat remaja lemas ketika mandi pantai ditemukan

    Mayat remaja lemas ketika mandi pantai ditemukan

    SEORANG remaja lelaki yang lemas ketika mandi bersama-sama abang tirinya di Pantai Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Sungai Pagar, Labuan, awal pagi ini.

    Mangsa, Al Saeif Manahan, 17, ditemukan pukul 5.50 pagi dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan, Lapor Sinar Harian.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kedua diteruskan selepas laporan diterima semalam.

    Katanya, hasil pencarian pihak bomba dan ahli keluarga berjaya menemui mangsa kedua.

    “Mangsa ditemui sekitar pukul 5.50 pagi dan identiti mangsa telah dikenal pasti oleh ibu mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Operasi ditamat sepenuhnya pada pukul 7.29 pagi,” katanya.

  • Tiada keperluan terus buka PPV mega – Khairy

    Tiada keperluan terus buka PPV mega – Khairy

    TIADA keperluan untuk pusat pemberian vaksin (PPV) mega meneruskan operasi pemberian vaksin COVID-19 berikutan majoriti rakyat telah menerima vaksin lengkap, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata justeru, PPV yang mencapai liputan vaksinasi yang baik akan mula ditutup.

    “Bila kebanyakan penerima vaksin telah menerima vaksin, jadi kita tak perlu lagi ada PPV besar beroperasi kerana ini melibatkan kos dan sebagainya. Esok, saya akan bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenai beberapa PPV masih dibuka untuk yang tercicir dan warga asing.

    “Kita juga sedang berbincang dengan MOSTI untuk tutup PPV (yang sudah capai matlamat) secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas melawat hari terakhir operasi PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.

    Menurutnya, PPV WTC ditutup secara rasmi hari ini selepas 150 hari beroperasi, sejak 5 Mei lepas.

    Khairy berkata, beberapa PPV masih dibuka bagi program vaksinasi remaja, manakala klinik kerajaan dan swasta akan dijadikan PPV melibatkan dos ketiga dan dos penggalak.

    Mengenai laporan palsu atau ‘false alarm’ kesan sampingan vaksin dalam kalangan remaja, beliau berkata, tiada laporan berkaitan kesan sampingan serius diterima setakat ini.

    Pada 22 September lepas, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata seramai 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dan tiada sebarang laporan mengenai kesan sampingan serius dialami golongan remaja yang menerima suntikan itu.

  • Zuraida enggan dikaitkan dengan Parti Negara Malaysia

    Zuraida enggan dikaitkan dengan Parti Negara Malaysia

    MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin enggan dikaitkan dengan Parti Negara Malaysia (PNM) iaitu sebuah parti politik baharu yang dikatakan akan menjadi platform terbaharunya dalam politik.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang itu enggan mengulas perkara itu sebaliknya memberitahu perkara itu sekadar desas-desus.

    “Desas-desus… desas-desus… desas-desus lah…” katanya ringkas dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan dokumen Kenaf Grading Standard di Galeri Kenaf, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu sumber memaklumkan sebuah parti politik yang diterajui beliau akan ditubuhkan pada akhir bulan ini yang terbuka menerima menerima keahlian pelbagai kaum.

    Penubuhan PNM dikatakan bertitik tolak pada tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak menerima sebahagian ahli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), penyokong Zuraida dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Zuraidah diberi penerangan berkenaan perkembangan industri kenaf termasuk penggunaan teknologi Integrated Building System (IBS) dan pengeluaran produk ‘non woven fiber’ berasaskan kenaf di Ibu Pejabat LTKN, Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini

    Media difahamkan, penubuhan parti baharu itu bagi membolehkan penyokong beliau dan penyokong Azmin bergerak dalam sebuah platform selepas tersingkir sebagai ahli PKR.

    PNM bagaimanapun, difahamkan akan kekal berada dalam blok Perikatan Nasional (PN) dan menjadi penyokong kerajaan hari ini.

    Sumber turut mendakwa, beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak menyokong PKR juga akan akan menyertai parti baharu itu.

    Difahamkan, pengenalan dan pelancaran parti baharu itu akan dibuat di ibu negara hujung bulan ini.

    Untuk rekod, Zuraida dan Azmin kini merupakan ahli Bersatu selepas disingkirkan daripada PKR.

  • DUN Melaka bergolak: ‘Saya tidak faham mengapa dikaitkan’ – Idris Haron

    DUN Melaka bergolak: ‘Saya tidak faham mengapa dikaitkan’ – Idris Haron

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang dikaitkan dengan gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri Melaka, hari ini tampil menafikan pembabitannya.

    Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, tidak tahu mengapa namanya dikaitkan sedangkan secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika ini.

    Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa gerakan menumbangkan kerajaan oleh pelbagai pihak, namun menegaskan langkah berkenaan bukan usahanya.

    “Saya rasa mungkin ada gerakan daripada pelbagai pihak, tetapi yang pastinya bukan inisiatif saya.

    “Saya pun tidak faham mengapa nama saya dikaitkan kerana saya tiada sebarang masalah dengan Ketua Menteri sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

    Sebelum ini, Idris yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Banjir antara empat nama ADUN yang didakwa akan menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

    Senario itu sekali gus bakal menyaksikan Kerajaan Negeri Melaka yang sebelum ini pernah dipimpin Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sebelum tumbang, akan kembali bertukar tangan.

    Antara nama lain yang dikaitkan termasuk Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Norhizam yang sebelum ini menang pada PRU lalu atas tiket PH bagaimanapun telah manafikan dakwaan berkenaan manakala dua lagi ADUN masih mendiamkan diri.

    Mengulas lanjut mengenai dakwaan bakal ‘melompat’ parti itu, Idris menegaskan perkara itu tidak berlaku.

    “No such thing, tiada lompatan,” tambahnya ringkas.

    Sementara itu, satu sumber memberitahu, usaha pihak tertentu mengumpul Akuan Bersumpah (SD) daripada sebilangan ADUN kerajaan untuk mendapatkan sokongan bagi menumbangkan kerajaan negeri tidak berhasil.

    Dakwanya, usaha berkenaan menemui jalan buntu apabila ada ADUN yang membuat pusingan-U.

    “Memang mulanya ada wakil rakyat kerajaan sudah menandatangani SD untuk bersama PH dan tumbangkan kerajaan negeri ini, namun usaha itu gagal selepas ada antara mereka membatalkannya.

    “Bagaimanapun mungkin akan ada perubahan dalam struktur kerajaan negeri sehari dua ini, tetapi kerajaan sedia ada kekal. Tunggu sajalah,” katanya.

    Untuk rekod Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman daripada UMNO selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH yang tumbang Mac tahun lalu.

    Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.

  • PKPD di satu kampung Orang Asli di Pahang

    PKPD di satu kampung Orang Asli di Pahang

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Orang Asli Sungai Kelang, Mukim Batu Talam di Raub di Pahang.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, PKPD di lokaliti tersebut akan dilaksanakan selama 14 hari bermula 4 hingga 17 Oktober nanti.

    “Prosedur Operasi Standard (SOP) di lokaliti tersebut adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

    “Selain itu, PKPD di Taman Pantai Lok Kawi di Papar di Sabah ditamatkan pada 4 Oktober ini seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kenyataan itu juga, Rodzi memaklumkan tiada mana-mana lokaliti yang dilanjutkan PKPD.

  • Op Patuh:Hampir 8,000 dikompaun sejak Jun lalu

    Op Patuh:Hampir 8,000 dikompaun sejak Jun lalu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 7,740 kompaun telah dikeluarkan kepada premis yang didapati melakukan pelbagai kesalahan sepanjang Ops Patuh dilaksanakan di seluruh negara bermula 25 Jun lalu hingga semalam.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kompaun itu dikeluarkan susulan lebih dua juta premis di seluruh negara diperiksa dalam tempoh operasi dijalankan.

    Katanya, dalam tempoh yang sama, sebanyak 4,622 premis telah diarahkan untuk tutup serta-merta kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Sepanjang Ops Patuh dilakukan, kita telah menggerakkan seramai 14,959 pegawai dan anggota membabitkan 3,442 pasukan pematuhan di setiap negeri.

    “Pemeriksaan ini memberi tumpuan sama ada mereka mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Mazlan Lazim (tengah) melakukan lawatan kerja ke Johor Bahru dan Iskandar Puteri bagi melihat skop penugasan, pengoperasian dan keselamatan

    Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Mazlan berkata, pemeriksaan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan melibatkan kawasan kilang, tapak pembinaan, asrama penempatan pekerja serta premis perniagaan.

    Katanya, semua pihak diharap dapat mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19 seterusnya memastikan rakyat selamat daripada penularan wabak.

  • 32,000 pekerja ladang asing dibawa masuk pertengahan Oktober

    32,000 pekerja ladang asing dibawa masuk pertengahan Oktober

    KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) meluluskan 32,000 pekerja ladang dari luar negara yang lengkap vaksinasi Covid-19, akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat bermula pertengahan Oktober ini.

    Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kesemua pekerja itu dibawa masuk ke negara ini untuk menjadi tukang penuai ladang memandangkan kebanyakan rakyat tempatan masih belum bersedia untuk melaksanakan tugasan itu.

    Beliau menjelaskan usaha itu juga merupakan sebahagian inisiatifnya dalam prestasi 100 hari pertama perkhidmatannya iaitu untuk meningkatkan pengeksportan komoditi negara ini.

    “KPPK akan pastikan pekerja peladang dari luar negara boleh diambil sebagai tukang penuai sebab negara masih memerlukan tenaga asing kerana orang Malaysia masih belum bersedia untuk bekerja di ladang sebagai penuai tetapi bahagian lain okey.

    “Namun, apabila negara ini sampai ke satu tahap teknologi dan sebagainya mungkin kita akan menggalakkan orang Malaysia untuk kerja di ladang dengan gaji yang lebih lumayan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Dokumen Kenaf Grading Standard di Ibu Pejabat Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN), Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Zuraida berkata bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) untuk kemasukan pekerja dari luar negara masih diperkemaskan pihak berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) antaranya melihat warga negara mana yang dibenarkan memasuki Malaysia atas tujuan ini.

    Beliau berkata pemain industri ladang terbesar juga bersedia untuk mengikuti setiap SOP ditetapkan seperti memastikan pekerja asing yang diambil telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 serta menyediakan tempat kuarantin yang sesuai dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan.

    “Malah, pemain industri ini juga bersedia untuk menanggung kos kemasukan pekerja dari luar negara, sekali gus ia dapat mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing,” katanya sambil menambah kemasukan pekerja ini antaranya terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.

    Dalam pada itu, Zuraida turut optimis bahawa sasarannya untuk mencapai RM180 bilion pengeksportan komoditi melalui prestasi 100 hari perkhidmatannya sebagai Menteri KPPK mampu direalisasikan memandangkan nilai eksport komoditi negara telah mencecah lebih RM160 bilion, ketika ini. – Bernama

  • Kerajaan sedang susun SOP, mekanisme mengerjakan umrah

    Kerajaan sedang susun SOP, mekanisme mengerjakan umrah

    SEMUA prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme untuk mengerjakan umrah akan diputuskan kerajaan pada November ini.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini bagi memastikan semua SOP dan mekanisme sesuai serta selamat sebelum memberi kebenaran mengerjakan ibadah itu.

    Bagaimanapun katanya, jumlah kuota untuk mengerjakan umrah bergantung kepada kelulusan diberikan kerajaan Arab Saudi.

    “Kerajaan tidak menolak kemungkinan agihan kuota itu mengikut pecahan negara,” katanya mengulas kenyataan Kerajaan Arab Saudi yang membenarkan 100,000 umat Islam untuk menunaikan ibadat umrah setiap hari.

    Beliau sebelum itu menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Kelantan, Cawangan Kota Bharu, hari ini.

    Menurutnya, Malaysia akan mematuhi setiap arahan sebagaimana ditetapkan oleh Arab Saudi bagi memastikan umat Islam di negara ini dapat mengerjakan umrah.

    Beliau berkata, Jabatan Wakaf Haji dan Umrah akan menyusun sepenuhnya SOP bagi memastikan keselamatan jemaah yang berangkat ke tanah suci berada dalam keadaan baik sehingga kembali semula ke negara ini.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 orang manakala bilangan jemaah solat fardu turut dinaikkan kepada 60,000 orang bermula Jumaat lalu.

    Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang tumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah serta pengunjung sebulan.