Author: Admin

  • 7,082 rakyat Terengganu berjaya mendapat pekerjaan

    7,082 rakyat Terengganu berjaya mendapat pekerjaan

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    PROGRAM temuduga secara terbuka dan pelbagai penganjuran karnival yang diadakan Terengganu Human Resources Development Center (THRDC) berjaya membantu rakyat negeri ini megisi peluang-peluang pekerjaan yang ada.

    Ini terbukti apabila sehingga Ogos lalu, seramai 7,082 rakyat negeri ini dilaporkan berjaya mendapat pekerjaan melalui pendekatan aktiviti tersebut.

    Menurut Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin, sehingga Ogos lalu THRDC dengan kerjasama pihaknya dan juga Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT serta Majlis Pekerjaan Negeri Terengganu (MPNT) telah mengadakan 55 siri temuduga termasuk menganjurkan Karnival Pekerjaan Negeri Terengganu.

    Beliau berkata, memandangkan di Terengganu, pihaknya saling bekerjasama dengan kerajaan negeri termasuk agensi kerajaan dan swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu rakyat, maka hasilnya hasrat tersebut mampu direalisasikan.

    Malah katanya, jumlah 7,082 rakyat Terengganu yang berjaya mendapat pekerjaan melalui penganjuran aktiviti berkenaan secara tidak langsung dapat mengurangkan indeks pengangguran di negeri ini.

    “Kita turut bangga kerana sikap prihatin kerajaan negeri yang telah menubuhkan UPNT dan MPNT pada Julai lalu hasil cetusan idea THRDC, iaitu anak syarikat kerajaan negeri bersama Perkeso.

    “UPNT memiliki lebih 30 agensi melibatkan pihak majikan, pendana, pemain industri serta pusat latihan dan pembelajaran bagi menjalankan tanggungjawab membawa semula kerjaya kepada rakyat yang terkesan,” katanya pada Majlis Sambutan Jubli Emas Peringkat Perkeso Negeri Terengganu di Setiu, hari ini.

    Menurut Farihah, selain menawarkan pekerjaan, UPNT dan MPNT juga berperanan menyalurkan pelbagai bantuan Kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu agar tiada yang ketinggalan dalam mendapat manfaat tersebut.

  • Pusat jagaan terlibat kes dera kanak-kanak autisme akan disita, dikompaun – Rina

    Pusat jagaan terlibat kes dera kanak-kanak autisme akan disita, dikompaun – Rina

    JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil tindakan penguatkuasaan bersesuaian mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) terhadap pusat jagaan yang disyaki terbabit dalam kes mendera seorang kanak-kanak autisme, Jumaat lalu.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata antara tindakan yang boleh diambil adalah menyita premis berkenaan mengikut Seksyen 16A(1) Akta 506.

    Selain itu, katanya, pengendali juga boleh didakwa dan dikompaun seperti termaktub dalam Seksyen 21 dan 21A Akta 506.

    “Tindakan intervensi daripada sudut psikososial dan kaunseling akan turut diberikan oleh kaunselor berdaftar kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang terbabit demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak serta keluarga tidak terjejas dan terpelihara.

    “Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan sehingga menjejaskan kehidupan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, KPWKM memandang serius insiden kanak-kanak autisme yang tular dalam media sosial akibat dikasari dan disyaki didera pengasuh di pusat intervensi autisme di Bandar Baru Ampang, Selangor.

    “Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak orang kelainan upaya (OKU), saya menzahirkan rasa terkilan dan dukacita dengan perbuatan pengendali pusat intervensi berkenaan yang seharusnya lebih peka dan sensitif dengan keperluan anak-anak berkeperluan khas.

    “Saya berkehendakkan perkara ini disiasat segera dengan teliti dan hukuman yang tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah supaya perkara sebegini tidak berulang lagi.

    “Di samping (supaya) menjadi peringatan kepada pusat jagaan dan pusat intervensi kanak-kanak di negara ini,” katanya.

    Tegasnya, KPWKM akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

    Pada masa sama, beliau juga menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak disyaki terbabit dalam kegiatan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak.

    “Saya juga ingin menasihatkan ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan anak-anak supaya mendapatkan perkhidmatan yang berdaftar dengan JKM.

    “Perkara ini amat penting supaya kanak-kanak mendapat pengasuhan dan penjagaan yang berkualiti di pusat jagaan berdaftar dan keselamatan kanak-kanak lebih terjamin, di samping memastikan anak-anak mendapat penjagaan dari pengasuh yang terlatih,” katanya. 

  • Malaysia bebas varian Mu, Lambda sehingga ini – Khairy

    Malaysia bebas varian Mu, Lambda sehingga ini – Khairy

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, sebanyak 95 peratus atau 1,246 daripada 1,312 sampel di Malaysia yang menjalani aktiviti jujukan genom setakat ini dikenal pasti sebagai varian Delta.

    Daripada jumlah sampel itu juga katanya, sebanyak 11 sampel dikategorikan sebagai varian Beta manakala 55 lain tergolong dalam bukan varian yang membimbangkan (VOC).

    “Analisis jujukan jenom itu dijalankan secara konsortium dengan kerjasama tujuh makmal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

    “Sampel yang diperoleh adalah dari semua Jabatan Kesihatan Negeri. Sehingga kini juga, tiada varian Mu dan Lambda dikesan daripada sampel-sampel di Malaysia,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Khairy (BN-Rembau) berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Azizah Mohd. Dun (Bersatu-Beaufort) yang minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah perancangan kesiapsiagaan Kementerian dalam menangani kemunculan varian-varian baharu COVID-19 yang membimbangkan.

    Beliau berkata, konsortium akan terus memantau varian SARS-CoV-2 di Malaysia.

    Bagi membolehkan Konsortium menjalankan analisis jujukan genom katanya, MOSTI turut mengumumkan tambahan dana RM13.9 juta.

    “Dana ini membolehkan kesinambungan dalam menjalankan penjujukan genom memandangkan ia sangat penting untuk memantau varian-varian baharu di Malaysia,” katanya.

  • Warga emas dituduh sembunyikan wang RM2.9 juta

    Warga emas dituduh sembunyikan wang RM2.9 juta

    SEORANG warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, hari ini atas 172 pertuduhan menyembunyikan wang bernilai RM2.9 juta daripada syarikat tempatnya bekerja antara 2016 hingga 2020.

    Tertuduh, Lai Ching Wai, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Diana Md. Razali.

    Mengikut pertuduhan, Ching Wai dengan curangnya menolong menyembunyikan wang RM2.9 juta yang dimasukkan oleh Aerial Mix Sdn. Bhd. ke dalam empat akaunnya yang mana tertuduh tidak berhak ke atas wang berkenaan.

    Kesalahan dilakukan dari 26 April 2016 hingga 2 Jun 2020 di empat bank berbeza di Seremban iaitu Maybank, Cimb Bank, Bank Rakyat dan HSBC Bank.

    Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd. Nasir menawarkan jaminan RM300,000 bagi semua pertuduhan.

    Tertuduh yang diwakili oleh empat peguam yang diketuai S. Karthigesan merayu supaya anak guamnya diberi jumlah jaminan yang munasabah atas alasan tertuduh baharu kematian isteri dan kini tidak lagi bekerja dan mempunyai dua anak.

    Katanya, tertuduh juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dilakukan.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM58,000 dan sebutan semula kes 2 Disember ini.

  • Edar dadah: Anggota polis berdepan hukuman gantung sampai mati

    Edar dadah: Anggota polis berdepan hukuman gantung sampai mati

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan terlibat mengedar dadah pada 23 September lalu.

    Tertuduh, C. Harethaess, 27, yang bertugas di Balai Polis Labu, Negeri Sembilan dan P. Darshan, 19, yang bekerja sebagai pemandu sambilan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Suhaila Shafi’uddin namun tiada pengakuan direkodkan.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama telah mengedar dadah jenis ekstasi seberat 181.95 gram.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kota Southkey, Johor Bahru pada jam 9.45 malam, 23 September lalu.

    Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit bersalah, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim.

    Darshan diwakili barisan peguam, Muhammad Firdaus Adnan, Muhamad Wafiq Hadie dan Amer Ashrhaf Azuddin manakala Harethaess tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 5 Disember untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia manakala kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

  • KKM sedia beri maklumat terperinci berhubung keberkesanan vaksin – Khairy

    KKM sedia beri maklumat terperinci berhubung keberkesanan vaksin – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sentiasa bersedia memberikan maklumat terperinci kepada sesiapa sahaja mengenai keberkesanan dan kesihatan vaksin terutama mereka yang enggan divaksin.

    Menterinya, Khairy Jamaluddin berkat, kelonggaran kepada individu yang lengkap divaksinasi diharap dapat menggalakkan lebih ramai individu ‘tegar’ yang masih enggan menerima vaksin.

    “Untuk mereka yang masih lagi tegar untuk tidak menerima vaksin, kita juga telah umumkan bahawa beberapa kebebasan hanya akan diberikan kepada yang telah menerima vaksin lengkap.

    “Jadi, dengan pendekatan ini saya harap yang masih ramai lagi tegar untuk tidak menerima vaksin akan tampil untuk mendapatkan maklumat terperinci. Kita sentiasa bersedia untuk memberikan maklumat kepada sesiapa pun berkenaan dengan keberkesanan dengan keberkesanan dan kesihatan vaksin,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Khairy (BN-Rembau) berkata demikian menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud).

    Jelas beliau, maklumat berkenaan kesan sampingan terhadap vaksin akan turut dimuat naik dalam laman sesawang KKM mulai hari ini bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat terperinci.

    Dalam masa yang sama, Khairy sekali lagi menegaskan setakat ini tiada mana-mana kematian direkodkan di negara ini akibat pengambilan vaksin.

    Sementara itu, beliau berkata, mana-mana individu yang disahkan tidak boleh divaksin kerana faktor-faktor perubatan boleh memohon sijil digital khas atau sijil pengecualian.

    Khairy berkata, permohonan tersebut boleh dibuat di aplikasi MySejahtera melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan dengan mengemukakan Borang Khas Slip Pengecualian menerima vaksin Covid-19 bagi pesakit dengan masalah tertentu.

  • PH Melaka dijangka umum PN tumbang, tubuh kerajaan baharu?

    PH Melaka dijangka umum PN tumbang, tubuh kerajaan baharu?

    PAKATAN Harapan (PH) negeri dijangka mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka hari ini sekali gus menaikkan kembali suhu politik di negeri tersebut.

    Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew dikatakan akan mengadakan sidang akhbar itu namun pihak media sehingga kini masih belum ada sebarang jemputan rasmi dikeluarkan.

    Bagaimanapun, sehingga ini belum kelihatan sebarang individu daripada PH negeri yang hadir sejak pengamal media mula berkumpul seawal jam 9 pagi tadi di hotel berkenaan.

    Sidang akhbar itu dijadualkan berlangsung jam 10 pagi tadi namun difahamkan masih belum bermula kerana dipercayai dua wakil rakyat kerajaan yang mahu menyertai kumpulan itu difahamkan telah membuat pusingan U.

    PH negeri didakwa telah mempunyai bilangan akuan bersumpah (SD) yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

  • Pandora Papers dedah 2 ahli politik Malaysia miliki akaun luar pesisir, ada kaitan 1MDB

    Pandora Papers dedah 2 ahli politik Malaysia miliki akaun luar pesisir, ada kaitan 1MDB

    INTERNATIONAL of Investigative Journalists (ICIJ) mendedahkan, terdapat beratus-ratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain.

    Menurut ICIJ menerusi pendedahan digelar Pandora Papers, ini dilakukan sejak 25 tahun lalu yang melibatkan 12 juta fail dimiliki 14 firma di serata dunia.

    Menerusi pendedahan itu yang dilakukan semalam melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara, menunjukkan transaksi golongan elit dan korup yang menyembunyikan aset bernilai beberapa trilion dolar AS dalam pelbagai akaun luar pesisir.

    Mereka dilapor mengambil langkah tersebut, antara lain bertujuan mengelak membayar cukai.

    ICIJ dalam penafiannya menjelaskan, wujud penggunaan sah untuk akaun luar pesisir dan tidak semua individu yang terlibat adalah korup.

    Siasatan yang dilakukan selama setahun ini mendedahkan bagaimana bank dan firma guaman bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan luar persisir untuk mereka struktur korporat yang rumit.

    Antara nama individu didedahkan mempunyai akaun luar pesisir sulit adalah Raja Jordan Raja Abdullah II, bekas perdana menteri United Kingdom Tony Blair, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Russia Vladimir Putin.

    Menurut pendedahan tersebut, dua ahli politik daripada Malaysia didakwa memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat dengan pemilik berasal dari Malaysia.

    Antara nama yang disebut adalah Jho Low dan kaitannya dengan sebuah firma undang undang Amerika global yang dilaporkan diguna untuk membina jaringan syarikat di Malaysia dan Hong Kong.

    Syarikat ini didakwa pihak berkuasa Amerika digunakan untuk menyalurkan wang yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

  • Dakwaan remaja mati akibat vaksin, polis rakam 6 keterangan

    Dakwaan remaja mati akibat vaksin, polis rakam 6 keterangan

    SEKURANG-KURANGNYA enam individu sudah dirakam keterangan berhubung dakwaan kononnya dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima imunisasi vaksin Covid-19

    Polis mengesahkan perkembangan terkini siasatan kes video yang tular sejak seminggu lalu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keterangan aktivis wanita berusia 39 tahun terbabit sudah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Selangor, semalam.

    Selain itu, pihak lain yang turut dipanggil bagi dirakam percakapan iaitu pengarah kesihatan daerah Ulu Kinta, pengetua sekolah berkenaan dan pegawai perubatan yang merawat pelajar yang terbabit.

    Bahkan, keluarga pelajar serta beberapa saksi yang berada di tempat kejadian sewaktu suspek membuat kenyataan sebagaimana dalam video tular berkenaan turut dirakam percakapan.

    Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid

    Beliau berkata, siasatan kes terbabit akan disegerakan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi arahan selanjutnya.

    “Mungkin kita akan mencadangkan untuk pertuduhan ke atas suspek (di mahkamah). Suspek juga mengaku ada membuat kenyataan seperti dalam video tular berkenaan yang mana sangat jelas kenyataan yang diberikannya itu tidak benar.

    “Kenyataan suspek berkenaan dibimbangi dapat menggusarkan ramai lalu takut untuk menerima vaksin padahal kenyataan itu langsung tidak tepat memandangkan dua pelajar terbabit meninggal dunia sebelum divaksin,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sempena hari pertama sesi persekolahan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), di Sekolah Menengah St Micheal, di Ipoh, hari ini.

    Katanya lagi, siasatan mendapati sewaktu membuat dakwaan terbabit, suspek berada di Putrajaya iaitu pada 28 September lalu.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

    Siasatan awal mendapati kematian kedua-dua pelajar SMK Tasek Damai terbabit, disahkan sebelum Program Imunisasi Covi1- Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja dilaksanakan di Perak iaitu bermula 20 September lalu.

  • 20.51 juta populasi dewasa lengkap divaksin – KKM

    20.51 juta populasi dewasa lengkap divaksin – KKM

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan menerusi portal COVIDNOW, seramai 20.51 juta individu atau 87.6 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Sebanyak 94.3 peratus atau 22.08 juta daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

    Bagi populasi keseluruhan, seramai 20.62 juta individu atau 63.1 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

    Pada masa sama, 72.9 peratus atau 23.83 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Selain itu, seramai 108,826 atau 3.5 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin. Terdapat pertambahan 206,574 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

    Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah lebih 44.35 juta dos.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.