Author: Admin

  • 6.42 bilion dos vaksin didaftar seluruh dunia

    6.42 bilion dos vaksin didaftar seluruh dunia

    JOHNS Hopkins University (JHO) memaklumkan, lebih
    6.42 bilion dos vaksin Covid-19 sudah didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

    Menurut data JHU, China mendahului dengan lebih 2.21 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Ini diikuti India dengan 939 juta dos dan Amerika Syarikat (AS) dengan lebih 398 juta dos vaksin.

    Brazil mencatat lebih 246 juta dos manakala Jepun melebihi 172 juta.

    Sementara itu, Turki, Jerman dan Mexico mencatat angka melepasi 100 juta dos.

    Di Asia Tenggara, Indonesia jauh di hadapan negara lain dengan 154 juta dos.

    Ini diikuti Thailand dengan lebih 58 juta, Filipina dan Malaysia lebih 48 juta.

    Singapura pula merekodkan lebih 9 juta dos vaksin didaftar.

  • PKPD di dua lokaliti di Pahang bermula 10 Oktober

    PKPD di dua lokaliti di Pahang bermula 10 Oktober

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Pahang dari 10 hingga 23 Oktober nanti.

    Menurut Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md. Saad, dua lokaliti terbabit ialah Pos Sinderut dan Perkampungan Orang Asli di Pos Lejang serta Pos Titom, Mukim Ulu Jelai di Lipis.

    “Keputusan melanjutkan PKPD itu dibuat setelah meneliti analisis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

    “Selain itu, tiga lokaliti di Sabah dan tiga lagi di Pahang ditamatkan PKPD pada 9 Oktober seperti dijadualkan.

    “Lokaliti tersebut adalah Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan di Ranau serta Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd, Batu 46, Tulid, Sook, Keningau di Sabah.

    “Selain itu tiga lokaliti di Pahang ialah Kampung Pasu dan Kampung Penderas di Kuala Krau serta Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakab di Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Hampir 300,000 menjadi OKU selepas terlibat kemalangan

    Hampir 300,000 menjadi OKU selepas terlibat kemalangan

    Hampir 300,000 daripada 600,000 yang berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) di negara ini terdiri daripada individu yang mengalami kecacatan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya.

    Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Yusof Ghani, ramai daripada individu berkenaan dilahirkan normal namun terlantar dan koma selepas terbabit nahas jalan raya.

    “Menurut Senator Datuk Ras Adiba Radzi, daripada 600,000 OKU di negara ini, 40 peratus daripadanya menjadi OKU kesan terbabit dengan nahas jalan raya, sedangkan sebelum ini mereka boleh bekerja dan belajar.

    “Antara kes yang saya temui ialah mangsa nahas yang koma selama lapan tahun selepas jatuh dari motosikal tanpa mengenakan topi keledar pada usianya baru 15 tahun.

    “Kejadian ini sememangnya pengajaran yang besar. Bukan saja mangsa tidak lagi produktif, malah ia memberi kesan ekonomi dan sosial, termasuk kepada keluarga terutamanya yang perlu menjaga mangsa 24 jam sehari,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam acara Sepetang Bersama MIROS – Bicara Kewartawanan dan Laporan Nahas Jalan Raya yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

    Acara itu sebahagian kluster MIROS@rt yang diadakan bertujuan menggerakkan elemen seni menerusi kepelbagaian medium membabitkan kemahiran penulisan kreatif dan komunikasi media.

    Antara lain ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran petugas media dan masyarakat mengenai isu keselamatan jalan raya.

    Turut serta Pengarah di Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Zulhaidi Jawi dan Ahli Lembaga Pengarah MIROS, Shahrim Tamrin.

    Sementara itu, Shahrim berkata, mengikut statistik, kadar kematian disebabkan nahas jalan raya di negara ini sudah menunjukkan trend penurunan sejak 2017.

    Katanya, meskipun ada andaian kadar kematian akibat nahas jalan raya akan semakin menurun jika trend kekal buat tahun ketiga atau keempat, tetapi MIROS tidak akan menghentikan usaha meningkatkan kesedaran awam.

  • Kebenaran rentas negeri akan dikuatkuasakan seluruh negara – Ismail Sabri

    Kebenaran rentas negeri akan dikuatkuasakan seluruh negara – Ismail Sabri

    KEBENARAN rentas negeri akan dikuatkuasakan serentak di seluruh negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ismail Sabri berkata kebenaran itu akan dikuatkuasakan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa telah mencapai 90 peratus dan dijangka diumumkan beliau dalam beberapa hari lagi.

    “Serentak seluruh negara. Kalau seluruh negara dah capai 90 peratus (kadar vaksinasi), kita jangka purata negeri-negeri sudah pun melebihi 80 peratus.

    “Jadi sebab itulah kita akan umumkan dalam waktu terdekat, sehari, dua hari, tiga hari ke tak tahulah. Tunggulah tapi tak lama dah,“ katanya ketika ditemui media selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur, hari ini.

    Sasaran kadar 90 peratus vaksinasi populasi dewasa semakin hampir apabila 89.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 setakat malam tadi.

    Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan sempadan negeri akan dibuka apabila kadar vaksinasi populasi dewasa telah mencapai tahap 90 peratus. – Bernama

  • Mekanik rompak kedai emas Wangsa Maju didakwa

    Mekanik rompak kedai emas Wangsa Maju didakwa

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas sebuah kedai emas membabitkan kerugian RM600,000 Mei lepas.

    Ahmad Effie Ahmad Shazaki, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

    Lelaki itu didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah kapak, tukul dan parang ke atas pemilik sebuah kedai emas dengan kerugian berjumlah RM600,000 di premis kedai emas di Wangsa Maju, pada 4.43 petang, 16 Mei lepas.

    Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan RM30,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana perlu menanggung keluarga.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 24 Nov ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • KWSP salur RM155.18 bilion kepada pengurus dana luaran pada 2020

    KWSP salur RM155.18 bilion kepada pengurus dana luaran pada 2020

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan sebanyak RM155.18 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2020, yang mana peruntukan ini telah dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 15.55 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

    Pengerusi KWSP Ahmad Badri Mohd Zahir berkata pengurus dana luaran itu terus memastikan prestasi yang baik dan memberikan hasil tetapi masih berada dalam lingkungan objektif pemulangan risiko KWSP di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global yang berpunca daripada Covid-19.

    “Seiring dengan pertumbuhan saiz dana, KWSP akan terus memperuntukkan sebahagian daripada dana tersebut kepada pengurus portfolio luaran bagi mengoptimumkan pulangan dan meningkatkan prestasi aset.

    KWSP yakin bahawa pengurus dana akan terus mencatatkan prestasi cemerlang serta mengekalkan standard yang tinggi dalam menguruskan portfolio KWSP, selain memastikan aset-aset terus mampan untuk jangka panjang.

    Untuk Anugerah Pengurus Dana Luaran 2021, sebanyak 19 anugerah yang merangkumi sembilan kategori bagi pendapatan tetap dan 10 kategori untuk ekuiti diberikan kepada pengurus dana luaran terbaik sebagai penghargaan atas prestasi mereka yang luar biasa.

    Bagi tahun kewangan berakhir 2020, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.20 peratus dengan jumlah agihan sebanyak RM42.88 bilion untuk simpanan konvensional, dan 4.90 peratus bagi simpanan syariah dengan jumlah agihan mencecah RM4.76 bilion.

    “Secara kumulatif, agihan KWSP pada 2020 adalah berjumlah RM47.64 bilion,” katanya. – Bernama

  • Pendengaran permohonan sekat PetroSaudi guna wang AS$340 juta berkait 1MDB ditangguh

    Pendengaran permohonan sekat PetroSaudi guna wang AS$340 juta berkait 1MDB ditangguh

    Pendengaran permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan lebih AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK) ditangguhkan.

    Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh menangguhkan pendengaran hari ini untuk memberi laluan kepada firma guaman, Clyde & Co LLP di United Kingdom mengesahkan sama ada mereka mahu menjawab dan mengemukakan afidavit berhubung dokumen yang disampaikan kepada mereka, atau sebaliknya.

    Ia selepas timbalan pendakwa raya Budiman Lutfi Mohamed memberitahu hakim Ahmad Shahir pihak pendakwaan telah menyampaikan dokumen berkenaan kepada tiga entiti asing yang disebut dalam permohonan itu, yakni Petrosaudi International Limited di Arab Saudi serta dua syarikat yang berpangkalan di London, yakni Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services Ltd.

    “Kami telah menghubungi wakil National Crime Agency (NCA), Danial Murphy dan beliau mengesahkan bahawa kerajaan UK telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Clyde & Co pada 1 Oktober.

    “Beliau turut menyampaikan pesanan mahkamah kepada Clyde & Co, bertanya sama ada syarikat itu berhasrat untuk memberikan maklum balas, tetapi sehingga kini kami belum menerima apa-apa jawapan dari mereka,” kata Budiman semasa prosiding hari ini.

    Budiman berkata syarikat itu telah mememaklumkan bahawa dokumen berkenaan telah diserahkan kepada mereka dan diterima oleh wakilnya, Sarah Wheatly.

    “Setelah berbincang dengan pihak yang berkaitan dan demi keadilan, mungkin Clyde & Co perlu diberi waktu untuk memberikan maklum balas kepada permohonan itu, dan pihak pendakwaan akan berkomunikasi dengan NCA bagi mendapatkan maklumat terkini dari firma guaman,” katanya.

    Peguam Alex Tan dan Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili anak syarikat PSI dari Amerika Selatan, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (PSOS-VZ) dan Tarek Obaid, masing-masing, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

    Ahmad Shahrir kemudiannya menetapkan 22 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes bagi pihak pendakwaan mengemas kini perkembangan berhubung maklum balas Clyde & Co’s.

    Pada 16 Julai tahun lepas mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk perintah interim bagi menyekat pihak berkenaan daripada memindahkan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di UK, ke entiti lain.

    Perintah interim itu bagi mengekalkan status quo pihak-pihak terlibat sehingga selesai permohonan sekatan kerajaan yang memohon perintah untuk menyekat sebarang urusan mengenai wang milik PSI dan PSOS-VZ yang kini berada di akaun escrow yang dipegang oleh Clyde & Co LLP di UK.

    Selain AS$340 juta itu, kerajaan juga memohon wang tidak ditentukan yang disimpan di bawah nama akaun perantaraan, Temple Fiduciary Services Limited, di Barclays Bank, UK.

    Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amlatfpuaa) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

    Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima. – Bernama

  • Lelaki ditemui mati terapung dalam parit selepas tiga hari hilang

    Lelaki ditemui mati terapung dalam parit selepas tiga hari hilang

    SEORANG lelaki yang menunggang motosikal sendirian dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik sebelum jatuh ke dalam parit ketika melalui Jalan Taiping-Selama, pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dalam parit itu telah dihanyutkan sejauh hampir 40 meter dari lokasi asal kemalangan akibat hujan lebat.

    “Tiada laporan awal diterima semasa kemalangan itu berlaku, sebaliknya maklumat mengenai insiden hanya diketahui selepas penemuan mayat mangsa.

    “Polis sedang mendapatkan maklumat diri mangsa dan berusaha menjejak waris serta majikan untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Katanya, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa turut ditemui di lokasi kemalangan dengan kesan lampu hadapan pecah, meter tertanggal dan lain-lain kerosakan.

    Beliau berkata, mayat lelaki tersebut ditemukan terapung-apung dalam sebuah parit di jalan itu berhampiran Masjid Mohd Ali Rouse, Kampung Ulu Sepetang, Taiping, hari ini.

    Jelasnya, keadaan mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu disedari orang awam sekitar jam 11.30 pagi, kira-kira tiga hari selepas kemalangan berlaku.

    “Tiada laporan awal diterima semasa kemalangan itu berlaku, sebaliknya maklumat mengenai insiden hanya diketahui selepas penemuan mayat mangsa.

    “Polis sedang mendapatkan maklumat diri mangsa dan berusaha menjejak waris serta majikan untuk membantu siasatan,” katanya.

    Katanya, pemilik motosikal terbabit telah dikenal pasti dan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk soal siasat.

    “Punca kematian sebenar akan diperoleh sebaik bedah siasat dijalankan. Buat masa ini kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 2 tekong, 15 awak-awak nelayan Vietnam didenda RM3.7 juta

    2 tekong, 15 awak-awak nelayan Vietnam didenda RM3.7 juta

    PADAH bagi dua tekong bersama 15 awak-awak nelayan Vietnam yang meceroboh perairan untuk merompak hasil laut negara, apabila mereka didenda RM3.7 juta selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut kelmarin.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, nelayan berusia 17 hingga 42 tahun itu menerima hukuman tersebut selepas dihadapkan di Mahkamah Seksyen Kemaman.

    Menurut beliau, sebelum ini nelayan terbabit ditahan dalam dua siri operasi diadakan pihaknya pada 3 Ogos lalu.

    Katanya, dalam kes pertama, seorang tekong bot didenda RM300,000 mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksmili tentang nama, bendera, lokasi dan destinasi serta keadaan vesel terbabit memasuki perairan Malaysia.

    “Selain itu, tekong tersebut juga turut didenda RM200,000 atas kesalahan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia JPM,” lapor Berita Harian, hari ini.

    Menurut Rashidilhadi, pada masa sama, tekong itu turut berdepan hukuman penjara antara lapan dan lima bulan sekiranya gagal menjelaskan kedua-dua denda yang dikenakan.

    Sementara empat awak-awak tekong itu pula masing-masing didenda RM200,000 disamping berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

    Ujarnya, bagi kes kedua pula, seorang lagi tekong betsama 11 awak-awak masing-masing didenda RM200,000 dan penjara lima tahun sekiranya gagal menjelaskan denda atas kesalahan sama.

    Beliau memberitahu, pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd. Hakim.

    Menurut beliau, Wan Suhaila juga mengarahkan kedua-dua bot nelayan Vietnam berkenaan dan semua peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

  • Seorang nelayan dikhuatiri lemas di Sungai Jebungan

    Seorang nelayan dikhuatiri lemas di Sungai Jebungan

    SEORANG nelayan dikhuatiri hilang selepas gagal pulang ke jeti, selepas keluar menjala ikan di Sungai Jebungan, Mukah.

    Mangsa, Mohd. Rashdi Abdullah, 42, keluar menjala pada awal pagi tadi sebelum gagal dihubungi.

    Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, Bilik Kawalan Bomba dan Penyelamat Mukah menerima laporan kehilangan mangsa sekitar pukul 10.19 pagi.

    “Dua pacuan empat roda serta lima anggota kemudian segera diatur gerak ke lokasi, dengan sebuah bot bagi mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat.

    “Berdasarkan maklumat awal, perahu mangsa telah ditemui di tebing sungai sekitar jam 9.00 pagi, namun mangsa gagal dikesan,” katanya.

    Ini merupakan kejadian kehilangan ketiga melibatkan komuniti nelayan dan pemancing di negeri ini dalam tempoh seminggu.