Author: Admin

  • Lebih 43.14 juta dos vaksin capai sasaran 90 peratus

    Lebih 43.14 juta dos vaksin capai sasaran 90 peratus

    SASARAN 90 peratus individu dewasa lengkap divaksin telah berjaya dicapai setelah 70,408 penerima melengkapkan dos masing-masing semalam, sama ada yang menerima vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

    Keseluruhannya, lebih 43.14 juta dos vaksin telah diberikan kepada golongan dewasa sehingga semalam, membabitkan 21.07 juta individu lengkap divaksinasi, manakala 94.8 peratus atau 22.16 juta lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja pula, seramai 231,714 (7.4 peratus) remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan dos kedua semalam.

    Seramai 2.27 juta (72.2 peratus) remaja daripada keseluruhan lebih 2.5 juta dos yang diberikan sejak 20 September lalu, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Semalam sahaja sebanyak 50,169 dos diberikan membabitkan 27,178 remaja melengkapkan dos kedua masing-masing, manakala 22,991 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Sementara itu, secara keseluruhannya sejak 24 Februari lalu sebanyak 45.65 juta dos telah diberikan kepada semua golongan penduduk di Malaysia.

    Daripada jumlah itu, 21.31 juta (65.2 peratus) telah lengkap divaksin, manakala 74.9 peratus atau 24.46 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

    Pencapaian sasaran 90 peratus individu dewasa melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 membolehkan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula hari ini.

    Secara keseluruhannya sejak 24 Februari lalu sebanyak 45.65 juta dos telah diberikan kepada semua golongan penduduk di Malaysia.

    Daripada jumlah itu, 21,305,196 atau 65.2 peratus telah lengkap divaksin, manakala 74.9 peratus atau 24,457,378 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

  • MT UMNO bincang kemelut politik Melaka 14 Okt

    MT UMNO bincang kemelut politik Melaka 14 Okt

    MAJLIS Tertinggi (MT) UMNO akan bermesyuarat pada Khamis ini bagi membincangkan kemelut politik di Melaka, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    “Segala cadangan dan langkah mengenai apa yang perlu dilakukan selepas ini akan dibentangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali kepada MT.

    “Tentunya Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalan Presiden UMNO (Datuk Seri Mohamad Hasan) serta Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan memberi pandangan mengenai situasi politik Melaka,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pimpinan Badan Perhubungan UMNO Melaka di Klebang malam tadi.

    Ab Rauf selaku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 5 Oktober lepas dilaporkan berkata, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

    Ia rentetan daripada tindakan empat Ahli DUN (ADUN) kerajaan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua Bersatu dan satu Bebas manakala pembangkang memiliki 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua PKR dan dua Amanah.

    Mengulas jumlah kerusi yang akan ditandingi serta calon, Ahmad memaklumkan perkara itu masih dalam perundingan dan belum dimuktamadkan lagi. — Bernama

  • 3 RUU dijangka dibentang Dewan Rakyat hari ini

    3 RUU dijangka dibentang Dewan Rakyat hari ini

    BERBAKI dua hari lagi penutupan sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, tiga Rang Undang-Undang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama hari ini termasuk Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, dua lagi adalah Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

    Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) meminta Menteri Kewangan menyatakan implikasi faedah terakru kepada para peminjam menerusi moratorium dan kesediaan kerajaan untuk meghapuskan faedah tersebut.

    Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan sejauh mana perancangan kementerian dalam meneruskan usaha melaksanakan satu aliran sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan supaya tiada lagi masyarakat yang tidak fasih berbahasa Malaysia.

    Selain itu, soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia pula mengenai skrip drama yang menggunakan watak bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang tidak bermoral seperti melakukan hubungan sulit dengan isteri orang serta mengambil rasuah kerana ia menjatuhkan imej gelaran tersebut.

    Turut ditanya adalah soalan mengenai pengeluaran dan pengedaran benih padi sah kepada peladang yang diajukan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. – Bernama

  • Dadah: Pelakon, pengarah, penolong pengarah ditahan

    Dadah: Pelakon, pengarah, penolong pengarah ditahan

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar menahan seorang pelakon, seorang pengarah dan penolong pengarah selepas terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Ipoh, semalam.

    Menerusi serbuan dengan kerjasama Balai Polis Kuala Kangsar pada pukul 7.15 pagi itu, pelakon berkenaan 29, serta Pengarah dan penolong pengarah berusia 49 dan 47 tahun berada dalam bilik berasingan.

    Hasil saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati pelakon dan pengarah itu positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol.

    Penolong pengarah pula didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

    Ketiga-ketiga mereka disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi pagi ini mengesahkan perkara itu.

    Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam.

  • Budak 5 tahun korban Covid-19 termuda di Sarawak

    Budak 5 tahun korban Covid-19 termuda di Sarawak

    SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun menjadi korban termuda Covid-19 pada 6 Oktober lalu di Hospital Miri.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memberitahu, kanak-kanak tersebut sebelum ini memiliki komorbiditi obesiti.

    “Kes merupakan antara 14 kematian yang dilaporkan di negeri ini bermula 30 September hingga 8 Oktober,” lapor jawatankuasa berkenaan.

    Daripada jumlah tersebut, lima kes kematian berlaku di luar hospital.

    Sarawak merekodkan 1,126 jangkitan baharu dengan 10 kes melibatkan jangkitan kategori 3,4, dan 5.

    Kesemua kes ini membabitkan 77 kes aktif, dengan Kuching merekodkan kes tertinggi 315 kes, diikuti Miri 195 kes dan Sibu 117 kes.

    Ia menjadikan kes keseluruhan di Sarawak kepada 223,507 kes.

  • Sasaran 90 peratus vaksinasi dewasa semakin hampir

    Sasaran 90 peratus vaksinasi dewasa semakin hampir

    SETAKAT semalam seramai 21,104,896 individu atau 89.4 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksinasi.

    Sementara 24,384,831 atau 94.7 peratus populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin termasuk suntikan vaksin dos tunggal CanSino.

    Daripada segi populasi keseluruhan, 64.6 peratus telah lengkap divaksinasi sementara 74.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Sejumlah 174,820 dos vaksin telah diberikan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada 45,379,299.

  • Pengkhususan dan kepakaran pelbagai bidang penting untuk survival pasca Covid-19 – Muhyiddin

    Pengkhususan dan kepakaran pelbagai bidang penting untuk survival pasca Covid-19 – Muhyiddin

    NORMA baru kehidupan rentetan pandemik Covid-19 yang melanda dunia memaksa semua pihak melakukan perubahan demi kelestarian kehidupan masing-masing.

    Malah, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, norma hidup yang baru ini juga akan menjadi pemangkin kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang dijangka akan mengubah landskap pasaran buruh di seluruh dunia termasuk, Malaysia.

    Justeru, penting bagi masyarakat untuk melihat pekerjaan di masa hadapan dalam aspek kepelbagaian bidang dan kepakaran.

    “Pengkhususan dan kepakaran dalam pelbagai bidang sepatutnya dijadikan keutamaan dalam persikataran pekerjaan pasca pandemik Covid-19.

    “Justeru, amat penting bagi para pelajar, graduan, remaja malah suri rumah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang diakibatkan oleh pandemik dan pendigitalan dengan menumpukan terhadap mempelbagaikan kemahiran mereka,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam ucaptama beliau di persidangan maya Minds For Malaysia 2021, hari ini.

    Tambah beliau kemahiran, contoh seperti dalam bidang pemprosesan data, kemahiran buatan dan pengkomputeran maya akan dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang mana kebanyakan daripadanya tidak dibatasi oleh sempadan fizikal.

    Oleh itu, Muhyiddin menyarankan agar masyarakat terutamanya golongan muda untuk mempersiapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran digital untuk meluaskan lagi peluang ekonomi masing-masing agar mereka lebih bersedia menghadapi tuntutan pasaran pekerjaan ketika ini.

    Selain itu mereka juga harus melibatkan diri dalam perniagaan pelbagai disiplin dan berusaha untuk mendapatkan kemahiran digital bagi menghadapi cabaran yang dibawa oleh pandemik ini pada ketika ini dan di masa hadapan.

    Muhyiddin juga mengingatkan mereka untuk membina kemahiran insaniah bagi meningkatkan lagi kadar kebolehpasaran dan kebolehkerjaan masing-masing.

    “Maka amat penting bagi kita semua untuk sentiasa terus mencari idea dan kaedah baharu serta berinovatif agar pemulihan negara dapat dicapai dengan segera,” kata beliau.

    Beliau turut mengingatkan bahawa krisis kesihatan ini merupakan satu petanda agar semua pihak menaik taraf dan memperkasakan teknologi serta infrastruktur untuk memudahcarakan industri pendidikan danperniagaan laindalam era norma baharu.

    Pandemik yang melanda ini kata Muhyiddin, diharapkan juga menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk melakukan perubahan pada kehidupan masing-masing dan memacu penggunaan penyelesaian digital dalam kehidupan. – Satu Berita

  • Pemilik rumah maut dalam tragedi kutip sewa tertunggak

    Pemilik rumah maut dalam tragedi kutip sewa tertunggak

    POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang pesara tentera bagi membantu siasatan kes seorang pemilik rumah maut selepas bergelut dengan penyewanya ketika datang mengutip sewa tertunggak di Kampung Guar Sabun, Kangar, malam tadi

    Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku pukul 8.30 malam selepas mangsa, Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49, terbabit pergaduhan dengan seorang lagi lelaki di kampung berkenaan.

    “Siasatan awal polis, mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian tunggakan sewa rumah di mana mangsa sebelum itu pergi ke rumah suspek sambil membawa sebilah parang.

    “Mangsa bertindak mengarahkan suspek yang menganggur itu segera membayar sewa rumah yang diduduki bersama isterinya namun suspek tidak mahu melayan tuntutan mangsa sambil mendakwa sewa itu sudah dibayar kepada seorang jiran di kampung itu dikenali sebagai Nana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wari berkata, jawapan suspek itu membuatkan mangsa berang, lantas menetak cermin kereta suspek yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

    “Melihatkan tindakan mangsa itu, suspek kemudian menghampirinya menyebabkan mangsa terus menetak sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.

    “Isteri suspek yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi jiran yang bernama Nana terbabit dan apabila Nana tiba di tempat kejadian, mangsa dan suspek masih bergelut di tepi rumah, sebelum meminta bantuan empat jiran lain yang berada berhampiran.

    “Ketika keempat-empatnya sampai, mereka terus membantu suspek menangkap dan mengikat mangsa sebelum mendapati mangsa sudah tidak bergerak. Susulan itu, mereka menghubungi polis dan paramedik,” katanya.

    Wari berkata, polis yang tiba di lokasi menemui mangsa dalam keadaan terlentang di luar rumah dalam keadaan tangan terikat di bahagian belakang menggunakan tali berwarna kuning.

    “Pemeriksaan luaran badan mangsa juga mendapati ada luka kecil di atas dahi mangsa.

    “Suspek turut mendapat cedera di kepala akibat tetakan parang oleh mangsa dan kini dalam rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

    Katanya, susulan daripada kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia 39 hingga 55 tahun yang berasal dari Jalan Kelab Golf Putra, Kangar dan Kuala Perlis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Mereka kini direman sehingga 15 Oktober hadapan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Kerajaan fokus tangani isu miskin tegar: Mustapa

    Kerajaan fokus tangani isu miskin tegar: Mustapa

    Kerajaan akan memberi keutamaan serta penekanan bagi menangani isu miskin tegar di negara ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, pada Khamis lepas.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan pusat akan mengatur strategi baharu untuk menghapuskan isu berkenaan memandangkan mungkin berlaku peningkatan dalam peratusan kadar miskin tegar susulan pandemik Covid-19.

    “Dulu (2019) kadar miskin tegar adalah 0.4 peratus dan pada tahun berikutnya ia naik pada 0.8 peratus selepas Covid-19… perkara ini perlu diberi fokus yang lebih. Caranya kerajaan pusat perlu ada pegawai khusus dan di peringkat daerah juga untuk menangani isu kemiskinan.

    Penting sekali adalah mengadakan pelbagai program atau projek ekonomi yang lebih berkesan yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Kelantan berhubung RMK12 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, sebanyak 46.8 peratus daripada RM39 bilion peruntukan bagi pembangunan asas dibelanjakan membabitkan seluruh negara, setakat 3 Oktober lepas.

    Menurutnya, jumlah peratusan yang dibelanjakan itu mengalami kelewatan daripada perancangan asal disebabkan pelbagai masalah seperti isu pemilikan tanah, kontrak dan sebagainya, selain pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, justeru, kerajaan pusat serta negeri akan memantau rapi setiap projek pembangunan asas bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang pada masa hadapan. – Bernama

  • Butiran terperinci kes harian hanya dimuat naik di COVIDNOW

    Butiran terperinci kes harian hanya dimuat naik di COVIDNOW

    SEGALA butiran terperinci mengenai kes harian baharu COVID-19 termasuk pecahan mengikut negeri hanya akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW mulai hari ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, itu sebagai satu daripada usaha peralihan ke fasa endemik.

    Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi akan melaporkan kes harian tetapi semua data atau petunjuk penting akan dipaparkan di laman web itu pada waktu malam.

    “Kita telah memberi tumpuan kepada jumlah kes harian untuk tempoh yang lama.

    “Sebagai peralihan ke fasa endemik, kita masih akan melaporkan jumlah kes harian tetapi segala butiran akan dimuat naik bersama-msama semua data atau petunjuk penting lain di COVIDNOW pada waktu malam bermula hari ini,” ciap beliau di Twitter hari ini.

    Sebanyak 8,743 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini, turun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam.

    Kadar yang direkodkan hari ini juga merupakan hari ketujuh berturut-turut kes berada di bawah paras 10,000.

    Jangkitan Covid-19 mula menurun ke paras empat angka pada hari Ahad lalu dengan 9,066 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pandemik itu telah pun mencecah 2.33 juta.

    Bagaimanapun, buat pertama kali, Dr. Noor Hisham tidak berkongsi pecahan penularan kes mengikut negeri seperti hari-hari sebelumnya.

    Sebaliknya, kata beliau, maklumat terperinci mengenai kes harian baharu COVID-19 hanya akan dimuat naik ke laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu COVIDNOW.

    Kebiasaannya, laman web berkenaan hanya akan mengemas kini data jangkitan COVID-19 menjelang tengah malam.