Author: Admin

  • Majoriti pelajar tajaan Mara golongan B40 – Mahdzir

    Majoriti pelajar tajaan Mara golongan B40 – Mahdzir

    SEBANYAK 89 peratus pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai minda kelas pertama dan bertaraf global.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Mara telah menaja seramai 50,555 pelajar sehingga 30 September lalu.

    “Jumlah ini merangkumi 44,994 pelajar golongan B40; 5,055 atau 10 peratus daripada golongan M40 dan hanya satu peratus atau 506 sahaja pelajar T20.

    “Pelaksanaan dasar ini telah bermula di peringkat pengambilan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kemasukan pelajar ke institusi pendidikan Mara (IPMA) dan juga program penajaan pelajaran.

    “Mara sejak dahulu lagi mengamalkan dasar yang memberi keutamaan kepada golongan B40 dan penduduk luar bandar bagi akses kepada pendidikan yang lebih baik.

    “Melalui program pengajuran pelajaran ini, ia merupakan strategi serampang dua mata yang bukan sekadar memberi tumpuan dan peluang kepada pelajar miskin serta luar bandar tetapi turut menjamin keperluan guna tenaga dan modal insan negara dapat dipenuhi selaras dengan perkembangan teknologi serta industri,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Mara juga menyediakan penajaan pelajaran di institusi dalam dan luar negara berbentuk pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang bermula daripada program persediaan sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

    Baca artikel berkaitan: Orang Melayu tidak perlu banyak parti politik – Mahdzir

    Kata beliau, ia termasuk kursus-kursus pentauliahan profesional, kepakaran dan program-program kritikal yang diselaraskan mengikut keperluan negara pada masa hadapan.

    Bagi tahun ini, Mahdzir berkata, Mara menyediakan peruntukan untuk membiayai 60,000 pelajar merangkumi 35,000 pelajar sedia ada dan 25,000 lagi pelajar baharu.

    “Pemilihan pelajar bagi mengikuti program penajaan ini bukan hanya tertumpu dari aspek status sosio ekonomi (SES) keluarga sahaja, tetapi turut mengambil kira kecemerlangan akademik, kebolehan pelajar yang dinilai melalui ujian psikometrik, ko-kurikulum serta status institusi pendidikan dan program yang dipilih.

    “Peratusan itu juga jelas menunjukkan bahawa kementerian bersama-sama Mara sememangnya memberikan keutamaan kepada anak-anak dari keluarga B40 sekali gus menafikan dakwaan tajaan Mara lebih mengutamakan pelajar dari keluarga T20.

    “Saya mohon kepada orang ramai untuk merujuk Mara terlebih dahulu sekiranya terdapat dakwaan tidak berasas daripada pihak tertentu,” jelas Mahdzir.

    Terbaharu, Mara menghantar 215 pelajar tajaannya ke United Kingdom dibawah program Young Talent Development Program (YTP), IPMA Excellent Sponsorship Program (IESP) dan World Top University (WTU).

    Terbaharu, Mara menghantar 215 pelajar tajaannya ke United Kingdom dibawah program Young Talent Development Program (YTP), IPMA Excellent Sponsorship Program (IESP) dan World Top University (WTU).

  • Pelakon, pengarah, penolong pengarah mengaku miliki dadah

    Pelakon, pengarah, penolong pengarah mengaku miliki dadah

    SEORANG pelakon bersama-sama pengarah dan penolong pengarah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memiliki dadah.

    Ketiga-tiga tertuduh, Muhamad Niezam Mohd. Zaidi, 29, Mohd. Latif Zami, 49, dan Saiful Zaidrin Ismail, 43, tiba di bangunan mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari dengan pakaian lokap polis berwarna ungu.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, kejadian berlaku pada 10 Oktober 2021 jam 7.15 pagi di sebuah rumah di No 835, Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, Kuala Kangsar.

    Muhamad Niezam dituduh memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis kanabis yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    tertuduh kedua, Mohd Latif dituduh atas kesalahan sama kerana memiliki 0.3 gram dadah berbahaya jenis kanabis di bawah seksyen sama.

    Tertuduh ketiga, Saiful Zaidrin pula didakwa memiliki 0.38 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi meminta jaminan sebanyak RM6,000 bagi tertuduh pertama dan kedua manakala RM8,000 bagi tertuduh ketiga.

    Bagaimanapun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili kesemua tertuduh meminta jaminan yang lebih rendah ditawarkan.

    Intan Shafini memberi alasan pengurangan jaminan tersebut disebabkan ketiga-tiga mereka baru sahaja memulakan penggambaran pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum.

    Majistret Mohd Shazmeer Zamhari kemudian menetapkan jaminan masing-masing RM3,000, RM2,600 dan RM3,2000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.

  • Suami isteri tak mengaku dera dua beradik

    Suami isteri tak mengaku dera dua beradik

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEPASANG suami isteri tidak mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan mendera dua beradik lelaki yang berada di bawah jagaan mereka sebelum ini.

    Kedua-dua tertuduh, R. Kartik, 32, dan isterinya, B. Darga Devi, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

    Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu bersama dua lagi individu yang telah dituduh didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan memukul menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop; meletakkan pisau panas ke tangan; mencucuh rokok di seluruh badan dan menghantuk kepala ke dinding sehingga mendatangkan trauma dan kecederaan.

    Dalam pertuduhan kedua, mereka sekali lagi bersama-sama dua individu itu didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun dengan menggunakan cara sama selain mencucuh puntung rokok di kemaluan dan menyiram air panas ke seluruh badan.

    Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 8 malam hingga 1 pagi antara Jun hingga September lalu di Flat Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan perbuatan itu bersifat ganas dan kejam, selain turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mangsa sekiranya didekati tertuduh.

    “Kes ini juga telah dilaporkan dalam media dan mendapat perhatian umum, selain itu kedua-dua tertuduh juga telah melarikan diri selepas polis menahan ibu dan kakak Kartik,” katanya.

    Peguam tertuduh, Munirah Najihah Shaari bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan dalam jumlah yang rendah khususnya buat Darga Devi yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai tanggungan tiga anak kecil berusia 3 dan 2 tahun serta bayi sembilan bulan.

    Kartik pula tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah memasak serta menjadi penanggung utama keluarga.

    Mahkamah kemudian menetapkan Kartik dibenarkan jamin dengan jumlah RM30,000 manakala Darga Devi sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin dan beberapa syarat tambahan seperti perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua minggu sekali dan dilarang mendekati mangsa atau saksi kejadian.

    Wan Mohd. Norisham turut menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebuah semula kes dan serahan dokumen.

    Pada 6 Oktober lalu, ibu Kartik, B. Mariamah, 60, dan kakaknya, R. Deeba, 37, telah dituduh di mahkamah namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mendera dua beradik berkenaan.

    Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak itu masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru atas kecederaan yang dialami mereka.

  • RM10 bilion Belanjawan Sarawak 2022

    RM10 bilion Belanjawan Sarawak 2022

    SARAWAK hari ini mengumumkan belanjawan negeri RM10.036 bilion bagi 2022 dengam fokus utama antaranya menumpukan usaha-usaha pemulihan negeri daripada impak pandemik Covid-19.

    Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg berkata, itu merupakan belanjawan negeri pertama yang tidak dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan perintah darurat yang masih berkuat kuasa di negeri itu.

    “Ini adalah kali pertama kita berkongsi bajet kerana kita dalam keadaan darurat,” katanya sambil menambah beliau memiliki kuasa untuk meluluskan peruntukan daripada dana negeri yang terkumpul.

    “Dengan anggaran hasil sebanyak RM10.036 bilion, dan jangkaan perbelanjaan biasa sebanyak RM10.64 bilion, ini bermakna kita akan berdepan defisit sebanyak RM600 juta.

    “Belanjawan 2022 ini adalah belanjawan yang diperluaskan, bagi menumpukan usaha pemulihan pandemik. Belanjawan ini akan tertumpu kepada usaha melindungi dan mengembalikan kelangsungan hidup rakyat dan perniagaan-perniagaan kecil,” katanya dalam sidang akhbar di Kuching.

    Bagi membantu warga Sarawak berpendapatan rendah daripada sektor kelapa sawit dan pengusaha kecil, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan dana khas dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

    “Bagi penternak ikan akan ada dana khas bagi pengusaha kecil, terutama dalam sektor kelapa sawit dan cili. Kita juga akan menyediakan skim dana pemerkasaan bagi memajukan komuniti perniagaan kecil untuk beradaptasi dengan norma baru ketika ini.

    “Secara kesimpulannya, belanjawan ini adalah tertumpu kepada rakyat,” katanya.

    Abang Johari turut mengumumkan bonus sebulan setengah gaji bagi kakitangan awam dan RM500 kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang bekerja di negeri itu.

  • Selepas 4 hari trend menurun, hari ini naik 7,276 kes

    Selepas 4 hari trend menurun, hari ini naik 7,276 kes

    SELEPAS menunjukkan trend penurunan ketara jangkitan baharu Covid-19 selama empat hari berturut-turut, bagaimanapun kes baharu hari ini naik sedikit kembali melepasi paras 7,000.

    Sebanyak 7,276 penularan wabak Covid-19 telah dilaporkan di seluruh negara, setakat tengah hari tadi.

    Bagaimanapun, jumlah tersebut masih sejajar dengan trend penurunan sejak lebih sebulan lalu, hasil peningkatan kadar vaksinasi seluruh negara.

    Namun, kes baharu mula menunjukkan penurunan sejak empat hari lalu dengan kekal berada di bawah paras 10,000.

    Semalam, kes baharu turun kepada 6,709 semalam iaitu kali pertama kes Covid-19 dilaporkan di bawah angka 7,000 dalam tempoh 100 hari.

    Jangkitan Covid-19 mula turun ke paras empat angka pada 3 Oktober lalu dengan 9,066 kes telah dilaporkan.

    Menurut perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kumulatif jangkitan Covid-19 di Malaysia berjumlah 2.35 juta kes.

    “Sehingga 12 Oktober 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 7,276 kes (2,353,579 kes).

    “Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

    “Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” tulisnya menerusi media sosial miliknya hari ini.

    Buat hari ketiga juga tiada perincian kes mengikut negeri dikongsikan dengan data tersebut akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW.

    Berdasarkan kes yang dilaporkan semalam dalam laman web COVIDNOW, Sarawak masih menjadi penyumbang tertinggi selepas 1,037 jangkitan dikesan.

    Ia diikuti Kelantan yang mencatatkan 938 kes; Johor (777 kes) dan Selangor sebanyak 671 kes.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 97.9 peratus atau 7,126 daripada 7,276 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, melibatkan individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

    Beliau berkata, baki 150 kes atau 2.1 peratus pula terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

    Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

    “Daripada jumlah kes baharu itu 7,266 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 6,869 warganegara dan 397 rakyat asing manakala 10 kes adalah kes import membabitkan dua warganegara dan lapan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata, 10,555 kes sembuh dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,217,057.

    Dr Noor Hisham berkata, terdapat 724 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 683 yang disahkan positif COVID-19 manakala 41 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Sebanyak 398 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 297 yang disahkan positif COVID-19 manakala 101 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan (suspected, probable) dan dalam siasatan.

    Beliau turut memaklumkan 14 kluster baharu dikesan dengan enam kluster membabitkan kluster tempat kerja, lima kluster membabitkan penularan dalam komuniti, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster membabitkan pendidikan lain serta kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

    Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia semalam adalah 0.88 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.08.

    Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik dalam laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

  • Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya ikut keadaan

    Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya ikut keadaan

    URUSAN kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya bermula mengikut keadaan termasuk tamat tempoh tidak kurang selang lapan tahun daripada tarikh siap urusan kajian semula sebelumnya serta pindaan undang-undang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  untuk melaksanakan kajian semula sempadan setiap bahagian pilihan raya.

    Beliau berkata, ia terbahagi kepada tiga unit mengikut undang-undang Fasal (6) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Unit Negeri Sabah dan Unit Negeri Sarawak.

    “Jika ia berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan kajian persempadanan semula setelah tamat tempoh tidak kurang lat lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya.

    “Namun sekiranya SPR memulakan urusan itu, ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
     
    Wan Junaidi berkata, bagi maksud itu, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sarawak akan berakhir pada 2023, Sabah pada 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada 2026.

    Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu cadangan kerajaan untuk menambah kawasan pilihan raya atau persempadanan semula, selepas pertambahan pemilih yang banyak pada suku ke-3 Tahun 2021. 

    Selain itu, Wan Junaidi berkata ia turut melibatkan pindaan undang-undang dan apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, SPR hendaklah melaksanakan urusan kajian persempadanan semula dalam tempoh dua tahun dari tarikh pindaan undang-undang itu berkuat kuasa, sama ada penambahan atau pengurangan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baharu. 

    Secara dasarnya, beliau berkata setiap pemilih akan mengundi berdasarkan bahagian pilihan raya yang ditetapkan namun jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor-faktor seperti kesulitan atau kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi.

    Katanya setiap bahagian adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi dan ia juga tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian yang lain. – Bernama

  • Sebahagian kuil bersejarah Kek Lok Si terbakar

    Sebahagian kuil bersejarah Kek Lok Si terbakar

    SEBAHAGIAN daripada Kuil Kek Lok Si yang merupakan antara monumen bersejarah berusia lebih 130 tahun di Air Itam, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu melibatkan ruang sembahyang di kuil yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa berkenaan dengan kemusnahan hampir 70 peratus.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.56 pagi menggerakkan seramai 15 anggota termasuk bantuan dari BBP Jalan Perak ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran.

    Kebakaran melibatkan ruang sembahyang di kuil yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa

    Menurut beliau, anggota bomba turut berdepan kesukaran memadamkan api kerana lokasi tokong itu yang terletak di atas bukit.

    “Jentera kita mempunyai ketinggian sehingga lima meter, namun pintu gerbang di tokong itu hanya berketinggian empat meter.

    “Sehubungan itu, anggota kita terpaksa meletakkan jentera di luar dan berjalan kaki sehingga 600 meter untuk ke lokasi kejadian selain kesukaran mendapatkan sumber air,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mohd. Shakir berkata, ketika kejadian, terdapat empat penjaga tokong, namun tiada mangsa yang dilaporkan terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan.

  • Dua individu direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    Dua individu direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    MAHKAMAH Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap dua penjawat awam sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

    Perintah reman kedua-dua individu berkenaan termasuk seorang wanita yang bermula hari ini hingga 15 Okt itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Terdahulu, kedua-dua individu yang berumur 37 dan 40 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini sekitar 9.30 pagi tadi diiringi pegawai SPRM.

    Semalam, media melaporkan SPRM menahan dua kakitangan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek itu ditahan kira-kira 2.30 petang di sebuah restoran di Putrajaya.

    Sumber berkata mereka disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan. – Bernama

  • Usul batal Ordinan Darurat pada sidang akan datang

    Usul batal Ordinan Darurat pada sidang akan datang

    PERDANA Menteri memutuskan usul untuk membatalkan Ordinan Darurat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata , Datuk Seri Ismail Sabri membuat keputusan itu berikutan permintaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan pembentang usul tersebut.

    “Ia bagi membolehkan bagi memberi banyak masa untuk dibahaskan oleh ahli Parlimen sebelum diluluskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Di Dewan Rakyat, Wan Junaidi memohon penangguhan usul tersebut kerana hanya mempunyai satu jam untuk membahaskannya.

    “Saya minta Speaker menangguhkan usul ini agar mempunyai lebih masa untuk berbahas,” katanya.

  • Mayat lelaki tempatan ditemukan terapung di laut

    Mayat lelaki tempatan ditemukan terapung di laut

    MAYAT seorang lelaki ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Selat Che Mat Zin, Klang, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata ia dipercayai mayat Hasmudin anak Omar, 24, lelaki itu yang dilaporkan terjatuh ke laut semasa dalam perjalanan balik ke Pulau Carey, Klang, Shah Alam kelmarin.

    Katanya, sejurus selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 2.40 petang, Pasukan Polis Marin (PPM) terus bergegas ke lokasi untuk menyiasat.

    “Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti PPM bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga dan diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, bagi tindakan lanjut.

    “Berdasarkan pengecaman awal oleh ahli keluarga, ia dipercayai mayat Hasmudin, lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin pada 10 Oktober lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Rosli berkata, operasi mencari dan menyelamat yang diselaras Maritim Malaysia menggunakan lima bot dan satu pesawat udara dari pelbagai agensi termasuk PPM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu komuniti nelayan tempatan ditamatkan pada jam 5.15 petang semalam.

    “Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam jika berlaku sebarang kecemasan di perairan Selangor. – Bernama