Author: Admin

  • Op Samseng Jalanan: Polis tahan 16 pemandu mabuk

    Op Samseng Jalanan: Polis tahan 16 pemandu mabuk

    POLIS menahan 16 lelaki kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol serta menunggang motosikal secara merbahaya menerusi Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, kelmarin hingga pagi ini.

    Operasi itu dijalankan 89 pegawai Unit Penguatkuasaan dan Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam kelmarin hingga 4 pagi tadi.

    Tumpuan operasi adalah di sekitar pusat bandar, Jalan Bangsar, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut (menghala Sentul dan Chow Kit), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

    Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, hasil operasi, 11 lelaki berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

    Beliau berkata, lima lagi lelaki berusia 15 hingga 22 tahun ditahan kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi ‘Superman’, zig-zag’, dan ‘roket’ selain bersaing sesama sendiri.

    “Semua tahanan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 45(A) dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Secara keseluruhan sebanyak 358 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

    “JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Juruteknik ditipu tawaran pinjaman wang menerusi Facebook

    Juruteknik ditipu tawaran pinjaman wang menerusi Facebook

    SEORANG juruteknik membuat pinjaman selepas tertarik dengan satu iklan pinjaman wang menerusi Facebook.

    Baaimanapun mangsa yang berusia 24 tahun menyedari ditipu sindiket pinjaman tidak wujud selepas membuat empat transaksi ke tiga akaun.

    Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof memberitahu, jumlah semua transaksi itu membabitkan jumlah sebanyak RM13,310.

    “Kejadian itu bermula pada Khamis apabila mangsa menghubungi seorang individu dikenali sebagai CK Leong dan memberitahu mahu membuat pinjaman sebanyak RM20,000.

    “Mereka mengadakan perbincangan, mangsa bersetuju dan kemudian menyerahkan maklumat lengkap seperti kad pengenalan, penyata bank, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyata gaji bagi membolehkan permohonan pinjaman diproses.

    “Individu itu kemudian meminta mangsa membuat beberapa transaksi ke dalam tiga akaun diberikan bagi proses pinjaman wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan kesemua wang diminta dianggarkan berjumlah RM13,310 bagi tujuan kelulusan pinjaman terbabit.

    Katanya, individu berkenaan bagaimanapun masih lagi meminta mangsa membuat pembayaran kononnya untuk proses kemasukan wang ke dalam akaun.

    “Mangsa mula mengesyaki individu itu merupakan ‘scammer’ dan segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Satu maut, tiga cedera kereta langgar gajah

    Satu maut, tiga cedera kereta langgar gajah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG maut manakala tiga lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak selepas kereta dinaiki melanggar seekor gajah di Jalan Pinang menghala ke Bukit Tongkat, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 9.59 malam itu, kereta jenis Honda City dinaiki semua mangsa dikatakan tidak perasan kemunculan gajah sebelum tidak sempat menekan brek lalu melanggar haiwan tersebut.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Abd. Rahim Razali berkata, seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Langgar gajah
    Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan melanggar seekor gajah di Jalan Pinang, Kluang, malam tadi.

    “Terdapat tiga telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak ambulans sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa, Ismail Daud, 37, dari bahagian tempat duduk pemandu dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    “Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Pemandu kereta tersebut meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pegawai perubatan yang hadir

    “Selain itu, biras dan bapa mertua mangsa, masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 65 tahun dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun dalam kereta tersebut cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, tidak diketahui keadaan gajah tersebut dan operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 10.44 malam.

  • 4 laporan diterima, 2 kertas siasatan dirujuk BNM susulan pendedahan Kertas Pandora

    4 laporan diterima, 2 kertas siasatan dirujuk BNM susulan pendedahan Kertas Pandora

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berkait dakwaan wang Malaysia yang dibawa ke luar negara secara haram susulan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan menjelaskan, dua daripada laporan yang diterima telah diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut kerana berkaitan dengan aktiviti penyerahan memorandum menggesa siasatan.

    Bagi dua lagi laporan polis katanya, PDRM telah pun membuka kertas siasatan dan menjalankan rakaman percakapan pengadu.

    “Satu kertas siasatan yang dibuka telah pun dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Oktober 2021 manakala satu lagi kertas siasatan akan dirujuk kepada BNM pada 18 Oktober 2021 untuk siasatan lanjut,” memetik kenyataan media yang dikeluarkan beliau hari ini.

    Antara badan politik yang pernah membuat laporan berhubung isu ini adalah Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Pemuda Pakatan Harapan (PH).

    Pendedahan Pandora Papers seperti yang telah dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI) mendapati terdapat pengaliran wang Malaysia ke luar negara secara haram yang berjumlah RM1,800 billion dari tahun 2005 sehingga 2015.

    Pendedahan itu turut mendapati beratus ahli politik Malaysia yang terlibat dalam isu ini, termasuk Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Zainal Abidin; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menegaskan, kerajaan terbuka dan tidak akan mencampuri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkenaan kandungan dan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

    Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan terbuka untuk mana-mana pihak berkuasa yang terlibat untuk melakukan siasatan sekiranya ada bukti terhadap apa yang dilaporkan oleh pihak berkenaan.

  • Tiga kanak-kanak antara 12 PATI diusir dari Sarawak

    Tiga kanak-kanak antara 12 PATI diusir dari Sarawak

    SERAMAI 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar dari Sarawak selepas cuba masuk melalui lorong tikus di kawasan Tebedu hari ini.

    Dalam kejadian sekitar 5.30 pagi itu, semua PATI berjalan kaki memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

    Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kehadiran mereka dikesan sepasukan anggota yang sedang melaksanakan serkap.

    “Setelah ditahan dan disoal siasat, lima individu lelaki berusia antara 35 hingga 45 tahun, empat individu wanita berusia antara 34 hingga 39 tahun bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia antara empat hingga 14 tahun disahkan sebagai PATI.

    “Ini kerana mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan.

    “Kesemua PATI diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Jelas pasukan 1 Divisyen lagi, impak pandemik Covid-19 menyebabkan kes-kes melibatkan PATI cuba memasuki Sarawak untuk mencari pekerjaan dilihat semakin meningkat.

    Pelbagai taktik dan kaedah digunakan PATI yang cuba masuk ke Malaysia termasuk cubaan menyelinap di awal pagi, namun berjaya digagalkan, jelas kenyataan itu lagi.

    1 Div menambah, Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak-Kalimantan Barat akan terus kekal siaga dalam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

  • Misteri kehilangan peneroka warga emas terjawab

    Misteri kehilangan peneroka warga emas terjawab

    MISTERI kehilangan seorang peneroka Felda sejak kelmarin terjawab apabila warga emas itu ditemukan meninggal dunia dalam kenderaan pacuan empat roda di sebuah ladang kelapa sawit, Ladang Geddes, Jempol, hari ini.

    Mangsa Md. Jani Sulong, 66, ditemui oleh orang awam dalam kenderaan jenis Ford Ranger di lokasi berkenaan lalu sebelum melaporkan kejadian di Balai Polis Ladang Geddes pada pukul 11.30 pagi.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah individu yang dimaklumkan kehilangannya di balai polis sama oleh ahli keluarganya.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa sebelum itu terlibat dengan kemalangan kira-kira pukul jam 11 pagi kelmarin semasa dia dalam perjalanan

    dari kedai hardware Ladang Gaddes menuju ke Felda Serting Hilir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, mangsa dipercayai terbabas ke dalam kebun sawit dan melanggar pokok sawit.

    Akibat kemalangan berkenaan, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dipercayai sesak nafas.

    Jelas beliau, mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat esok susulan menunggu keputusan Covid-19.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Polis buru lelaki cuba cederakan orang awam di pusat beli-belah

    Polis buru lelaki cuba cederakan orang awam di pusat beli-belah

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield sedang mengesan seorang lelaki yang mahu mencederakan orang awam di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan perbuatan itu dirakam sebelum menjadi tular dalam media sosial.

    Klip video berdurasi 29 saat itu memaparkan lelaki berkenaan mengacah untuk memukul beberapa orang awam yang sedang menaiki eskalator.

    Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya mengesan video berkenaan menerusi sebuah akaun halaman di Facebook sekitar pukul 6.30 petang kelmarin.

    “Tarikh dan masa kejadian sebenar video ini dirakamkan tidak dapat dipastikan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau memohon saksi atau individu terlibat untuk tampil membantu siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

    “Sebarang pelanggaran yang menyalahi peruntukan undang-undang boleh dikenakan tindakan. Sebarang maklumat boleh disalurkan menerus hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222,” katanya.

  • Aktiviti lombong emas secara haram di Lahad Datu sejak 90-an terbongkar

    Aktiviti lombong emas secara haram di Lahad Datu sejak 90-an terbongkar

    OPERASI Bersepadu Khazanah (OBK) berjaya membongkar aktiviti melombong emas Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu yang dipercayai sudah dilakukan sejak tahun 90-an.

    OBK yang dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Tabung Hidupan Liar (WWF) itu berjaya menemukan ratusan lubang dan terowong di sepanjang lapan kilometer sungai tersebut.

    Kegiatan itu berjaya dikesan selepas pasukan OBK masuk ke kawasan berkenaan dari Ladang Ongkor, pada 14 Ogos lalu dengan mengambil masa sehingga lapan hari perjalanan untuk tiba ke sungai berkenaan.

    Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, hasil operasi, pasukan OBK berjaya menemui aktiviti melombong emas secara haram di sepanjang kilometer satu hingga kilometer lapan di Sungai Bole.

    “Di kilometer lapan juga, terdapat 103 lubang dan terowong yang aktif dipercayai baharu dikorek dan jumlah ini tidak termasuk lubang yang wujud di sepanjang lapan kilometer sungai berkenaan untuk aktiviti melombong emas yang dikatakan bermula sejak tahun 1990-an,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Toipi berkata, susulan daripada penemuan itu, pihaknya bertindak memusnahkan enam kawasan membabitkan 14 pondok yang dijadikan penempatan sementara bagi pelombong haram berkenaan.

    “Pasukan kita kemudian keluar dari kawasan berkenaan pada 21 Ogos lalu dan terpaksa melalui jeram supaya laporan polis dapat dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

    “Susulan daripada penemuan itu juga, pasukan yang diketuai oleh saya sendiri bertindak masuk semula ke kawasan itu untuk melakukan siasatan dan penggeledahan secara teliti dilakukan sebelum menemui tiga ‘dump’ (kawasan simpanan) yang mengandungi barang makanan, peralatan dapur, barangan peribadi dan peralatan melombong emas di kawasan berkenaan.

    “‘Dump’ terakhir yang mengandungi alat senjata api seperti bakakuk dan peluru hidup yang disimpan agak jauh dari penempatan ditemui pada kali keempat pasukan masuk ke kawasan berkenaan iaitu pada 8 Oktober lalu,” katanya.

    Katanya lagi, tiada tangkapan dibuat kerana pelombong haram berkenaan sudah keluar dari kawasan itu lebih awal sebelum serbuan dibuat.

    “Bagaimanapun, berdasarkan daripada penemuan barangan wanita di kawasan itu, kita percaya aktiviti melombong emas ini turut disertai oleh lebih daripada dua wanita dan siasatan masih dibuat bagi mengenal pasti individu yang terlibat,” katanya.

    Katanya lagi, hasil risikan sebelum ini, pihaknya percaya bahawa setiap satu kumpulan pelombong berkenaan berjaya menghasilkan sehingga empat kilogram emas setiap kali aktiviti melombong dilakukan.

    “Perbuatan melombong di kawasan ini bukan saja membabitkan isu emas tetapi lubang dan terowong berkenaan yang ditinggalkan akan menyebabkan haiwan terperangkap dan hasil risikan juga terdapat empat kematian didedahkan berlaku di kawasan itu setakat ini.

    “Oleh itu, pihak Tiger Platun merancang untuk melakukan lebih kerap latihan dalam perkhidmatan di kawasan ini selain cuba bekerjasama dengan pihak JPS sendiri bagi menghalang aktiviti ini berterusan,” katanya.

  • Konflik rumah tangga punca lelaki Orang Asli merajuk lari masuk hutan

    Konflik rumah tangga punca lelaki Orang Asli merajuk lari masuk hutan

    SEORANG lelaki Orang Asli, Zali Yasa, 19, YANG melarikan diri masuk ke dalam hutan di Kampung Kundang, Muadzam Shah berpunca daripada masalah rumah tangga yang dihadapinya.

    Kehilangan Zali selepas dilihat kali terakhir kelmarin sebelum dia meninggalkan motosikalnya di tepi jalan dan menghilangkan diri ke dalam hutan, dilaporkan kepada pihak polis.

    Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, usaha mencarinya gagal dan berdasarkan maklumat daripada batin Kampung Kundang, Wahid Abdullah mendakwa lelaki berkenaan berhadapan masalah rumah tangga sejak beberapa bulan lalu.

    Jelasnya, masalah tersebut kemudian melibatkan campur tangan keluarga.

    Katanya, usaha batin dan keluarga untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi tidak berjaya menyebabkan lelaki itu kecewa dan merajuk sehingga bertindak nekad melarikan diri ke hutan.

    “Operasi mencari lelaki yang hilang berkenaan kini giat dilakukan kira-kira 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) balai Muadzam Shah bersama Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta Kuantan, dibantu 25 penduduk Orang Asli setempat.

    “Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan tiba petang ini bagi mengesan kedudukan lelaki berkenaan,” katanya yang turut sama menyertai operasi mencari hari ini.

    Beliau berkata, kawasan hutan yang dipercayai tempat lelaki berkenaan hilang dikelilingi ladang kelapa sawit dan hutan yang sudah diteroka.

    Mohd Azahari berkata, tumpuan operasi lebih tertumpu di kawasan hutan terletak berhampiran rumah keluarga isteri lelaki terbabit kerana kemungkinan dia berada di situ untuk melihat anaknya yang berusia setahun.

    Katanya, difahamkan lelaki berkenaan yang bekerja kampung terlalu rindukan anaknya selepas lama tidak bertemu selepas dia berselisih faham dengan isterinya.

    “Ini kes keempat operasi mencari orang hilang dilakukan sepanjang tahun ini dan kes pertama membabitkan Orang Asli menghilangkan diri dalam hutan di daerah ini,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, pihaknya turut sama membantu mengesan lelaki terbabit bersama agensi lain.

    “Kita dapati banyak kes membabitkan Orang Asli melarikan diri ke hutan disebabkan konflik rumah tangga apabila berkahwin pada usia muda.

    “Jakoa dengan kerjasama batin sentiasa berusaha membantu menyelesaikan masalah rumah tangga yang dihadapi masyarakat Orang Asli supaya tidak berlarutan,” katanya yang turut menyertai operasi mencari.

  • Dr. Radzi hadir SLU pengoperasian sekolah di Melaka

    Dr. Radzi hadir SLU pengoperasian sekolah di Melaka

    MENTERI Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin mengadakan sesi libat urus (SLU) pengoperasian sekolah di Melaka hari ini.

    Beliau yang berkongsi intipati program tersebut dalam Facebook miliknya memberitahu, SLU itu bermula dari awal pagi hingga 4 petang.

    Jelasnya, SLU berkenaan melibatkan guru sekolah rendah dan menengah, wakil PIBG sekolah rendah serta menengah dari seluruh Melaka.

    “SLU ini menjurus kepada penjelasan dan perkongsian pandangan mengenai operasi sekolah, terutama dalam aspek keselamatan dan kesihatan semasa di kelas, waktu ketibaaan dan juga penyuraian selepas tamat waktu persekolahan.

    “Antara aspek yang ditekankan adalah untuk memastikan pengudaraan yang baik sepanjang sesi persekolahan secara bersemuka.

    SLU berkenaan melibatkan guru sekolah rendah dan menengah, wakil PIBG sekolah rendah serta menengah dari seluruh Melaka.

    “Ini amat penting bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, khususnya yang melibatkan varian delta,” katanya dalam perkongsian itu.

    Beliau juga berkongsi cadangan pendekatan yang akan dilaksanakan melalui Konsep #sekolahKuSEJAHTERA untuk memupuk dan membudayakan amalan dan nilai murni.

    Katanya, usaha tersebut akan dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif serta membangunkan potensi murid dari peringkat awal lagi.

    “Terima kasih kepada cikgu-cikgu dan ibu bapa yang terlibat dalam SLU bersama kami pagi ini.

    “Saya amat hargai segala input, cadangan dan saranan yang dikongsikan. Kami akan susuli sebaiknya,” katanya.