Author: Admin

  • Didenda RM3,000 akibat komunikasi jelik di FB

    Didenda RM3,000 akibat komunikasi jelik di FB

    SEORANG pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, kerana membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas ahli lembaga penasihat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Rashpal Singh Randhay di Facebook (FB) miliknya, dua tahun lalu.

    Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Alies Abd Manan, 59, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes berkenaan, hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada lima anak itu menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mohd Alies didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil FB ‘Alies Aliesz’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 4 Oktober 2019.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jalan Bukit Seputih Heights di sini pada 6 petang, 5 Oktober 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Mohd Alies, namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum atas alasan dia hanya berpendapatan RM1,300 sebulan dan perlu menanggung keluarga.

    Berdasarkan fakta kes, pada 6 Oktober 2019, Rashpal membuat laporan polis berhubung video dan kenyataan di FB yang berunsur fitnah terhadapnya selepas menerima video klip daripada kawannya mengenai seorang lelaki sedang menari dan menyerupai dirinya dalam video itu.

    Hasil siasatan mendapati video itu telah dimuat naik oleh OKS. – Bernama

  • Isteri curang tikam suami dengan besi pemegang payung hingga mati

    Isteri curang tikam suami dengan besi pemegang payung hingga mati

    SEORANG isteri menikam suaminya hingga maut semasa bertengkar di kediaman mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves, Gombak, semalam.

    Insiden itu berlaku pada pukul 11.30 malam dalam bilik tidur mereka, berpunca daripada cemburu dan dikatakan isteri tersebut curang.

    Mangsa yang berusia 45 tahun menuduh suspek berusia 26 tahun menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pada mulanya, pihaknya menerima laporan pada 12.35 tengah malam daripada seorang wanita yang mendakwa jiran lelakinya membunuh diri.

    Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan mendapati berlaku pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan lelaki itu, bukannya kerana membunuh diri.

    “Berlaku pertengkaran dalam rumah itu apabila mangsa dikatakan terlebih dahulu mengambil sebilah gunting dan cuba menyerang suspek.

    “Suspek kemudian bertindak balas dengan mematahkan besi pada pemegang payung dan terus menikam perut mangsa.

    “Akibat tindakan itu, mangsa rebah dan terbaring di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah dan terus meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zainal berkata, polis berjaya menemui senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa di bahagian belakang rumah berkenaan.

    “Motif kejadian kerana cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Bedah siasat akan dijalankan esok di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas laporan ujian Covid-19 diperoleh,” katanya.

    Katanya, suspek sudah ditahan dan direman seminggu bagi membantu siasatan.

    “Sekiranya terdapat maklumat tambahan dari orang awam bolehlah berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan I Agilan di nombor 03-61262222 atau 019-5230801,” katanya.

  • Tukang kebun berkain pelikat acu parang samun kedai

    Tukang kebun berkain pelikat acu parang samun kedai

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menahan seorang tukang kebun kerana disyaki terlibat lima kes samun bersenjatakan parang melibatkan kedai serbaneka, kedai runcit dan orang perseorangan sekitar Kuantan, bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek, 30-an, ditahan di rumah keluarganya di Sungai Soi, Kuantan, kelmarin.

    “Penahanan suspek itu susulan laporan polis berhubung kes samun sebuah kedai serbaneka di Indera Mahkota, Kuantan.

    “Hasil siasatan dan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh, suspek disyaki terlibat dalam kes tersebut.

    “Suspek turut mengaku terlibat dalam empat kes lain termasuk samun ke atas Individu perseorangan sebelum ini.

    “Dalam serbuan itu, polis juga merampas sebilah parang, telefon bimbit dan pakaian yang digunakan semasa melakukan samun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

    Katanya, suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkait kes dadah dipercayai bertindak bersendirian dengan menjadikan kedai serbaneka, kedai runcit dan individu perseorangan sebagai sasaran.

    Suspek ujarnya, menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak mengacukan parang kepada pekerja premis.

    “Suspek juga didapati tampil dengan ‘imej baik’ apabila memakai kain pelikat ketika melakukan jenayah itu.

    “Walau bagaimanapun tiada kes kecederaan melibatkan mangsa dilaporkan dalam kes-kes tersebut,” katanya.

    Tambah beliau, walaupun jumlah kerugian dialami mangsa kecil kurang dari RM1,000, namun tindakan suspek itu menimbulkan trauma terhadap semua mangsa terlibat.

    “Suspek kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Tambahnya, siasatan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada suspek turut terlibat dalam kes jenayah lain yang dilaporkan di daerah ini.

  • Sistem AWAS masih kekal beroperasi

    Sistem AWAS masih kekal beroperasi

    SISTEM Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih beroperasi dan dikuat kuasa berpandukan kaedah dan garis panduan operasi standard yang telah ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong berkata hasil kutipan diperoleh daripada pembayaran kompaun atau denda AWAS sejak 1 Sept 2018 hingga 30 Sept lepas adalah lebih RM9 juta.

    “Pengoperasian AWAS adalah bagi mematuhi objektif utama pelaksanaan sistem ini untuk mengubah minda serta memberi pengajaran dan kesedaran kepada orang ramai untuk patuhi peraturan jalan raya demi menjaga tahap keselamatan dan kebajikan semua pengguna jalan raya.

    “Mulai 1 Sept 2018, semua aspek pengoperasian, penyelenggaraan, pembangunan dan penguatkuasaan AWAS telah diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan melalui JPJ,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Othman Aziz yang ingin tahu jumlah kutipan yang diperoleh daripada AWAS kerana kesalahan pemandu dan sama ada kaedah itu akan diperkenalkan semula.

    Henry berkata pada 2018 sebanyak 84,116 saman telah dikeluarkan melibatkan 77,233 saman berkaitan kesalahan had laju manakala 6,883 saman membabitkan kesalahan lampu isyarat.

    “(Bagaimanapun) kadar penyelesaian (bagi semua saman terbabit) agak kurang iaitu di bawah kesalahan had laju hanya 10,604 (saman) yang diselesaikan manakala bagi kesalahan lampu isyarat hanya 1,703 (saman),” katanya. – Bernama

  • Stor penuh najis, belacan diproses dipijak pekerja

    Stor penuh najis, belacan diproses dipijak pekerja

    STOR penyimpanan dipenuhi najis tikus, lebihan tauhu beselerakan dan belacan yang diproses dipijak pekerja.

    Itu situasi yang terdedah menerusi operasi sekumpulan 15 anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang di dua buah premis memproses makanan di Butterworth dan Tasek Gelugor hari ini.

    Ekoran itu, kedua-dua premis memproses tauhu dan belacan tersebut diarahkan menghentikan operasi selama dua minggu untuk kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

    Ketua Unit Penguatkuasaan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd. Wazir Khalid berkata, dalam pemeriksaan pertama di kilang memproses tauhu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, pihaknya mendapati kilang itu beroperasi dalam keadaan tidak bersih.

    “Selain menjumpai najis tikus di dalam stor, kilang yang telah beroperasi kira-kira 10 tahun ini juga didapati kotor dengan lebihan tauhu berselerakan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita dalam operasi itu hari ini yang turut disertai anggota penguat kuasa Bahagian Pelesenan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

    Sementara itu tambah Mohd. Wazir, dalam pemeriksaan kedua di kilang memproses belacan di Butterworth pula, pihaknya mendapati kilang tersebut beroperasi lebih lima tahun tanpa memiliki lesen perniagaan yang sah.

    Katanya, kilang itu dipercayai berselindung di sebalik operasi kilang memproses gaharu yang mana pemilik kedua-duanya difahamkan mempunyai ikatan persaudaraan.

    Tambah beliau, selain diarahkan menghentikan operasi, pihaknya turut mengeluarkan tujuh kompaun bernilai RM12,000 atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan terhadap kedua-dua kilang tersebut.

    “Malah, kita juga mendapati terdapat pekerja di kedua-dua buah premis berkenaan belum mendapat suntikan tipoid dan mereka turut dikenakan kompaun bagi kesalahan itu,” ujarnya.

  • Pegawai SPRM terlibat kes kehilangan RM25 juta kini disiasat atas tuduhan mengedar dadah

    Pegawai SPRM terlibat kes kehilangan RM25 juta kini disiasat atas tuduhan mengedar dadah

    POLIS menemui petunjuk baharu dalam kes kehilangan wang tunai RM25 juta melibatkan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apabila suspek berkenaan kini disiasat atas tuduhan mengedar dadah.

    Pada mulanya polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan suspek memiliki pil Erimin 5, sebelum menemui petunjuk bahawa pegawai SPRM berkenaan mungkin terlibat dalam aktiviti mengedar bahan terlarang itu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman, Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan suspek.

    Katanya, suspek kini ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 atau lebih dikenali sebagai LLPK.

    “Kita tahan di bawah Seksyen 3(1) LLPK untuk buat siasatan. Ada dua saksi yang kita tangkap. Jadi daripada situ kita nampak ada macam unsur-unsur pengedaran dadah berlaku.

    “Dia (suspek) asalnya kita tangkap kerana memiliki pil Erimin 5 dan ujian air kencing positif kerana salah guna dadah, susulan laporan yang dibuat oleh SPRM.

    “Kami mengesyaki dia terlibat dalam mengedar pil Erimin 5 dan juga methamphetamine,” kata Razarudin seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    Difahamkan, ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif amfetamin dan benzo – bahan yang biasanya ditemukan dalam Erimin 5 dan methamphetamine.

    Menurut Razarudin, pihak polis percaya suspek mungkin terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selama lebih setahun.

    “Dia sekarang ditahan selama 60 hari di bawah LLPK. Tapi kita tak akan tahan sampai 60 hari, apabila siasatan selesai kita akan serahkan kertas siasatan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut,” kata Razarudin.

    Suspek merupakan salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang ditahan oleh suruhanjaya itu bulan lalu bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa kuasa dan penyelewengan dalam kes membabitkan ‘seorang bekas ketua jabatan’.

    Difahamkan, para pegawai berkenaan disyaki terlibat dalam kes kehilangan sejumlah wang tunai, yang merupakan sebahagian daripada bukti yang dirampas SPRM.

    SPRM merampas wang tunai berkenaan pada 2018 ketika menjalankan siasatan terhadap bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

    Suspek kemudian disiasat polis setelah dia didakwa memiliki dadah dan didapati positif.

    Difahamkan, dia juga disiasat atas kesalahan berkaitan senjata api dan disyaki memiliki peluru lebih daripada yang sepatutnya serta memiliki senjata api palsu.

    Pada 12 Oktober, Jabatan Peguam Negara dilaporkan menemui kesalahan lain yang memerlukan siasatan lebih lanjut pihak berkuasa dalam kes kehilangan wang tunai berkenaan berdasarkan kertas siasatan yang dikemukakan oleh SPRM.

  • Petani haram warga asing ceroboh tanah, buat pembakaran terbuka

    Petani haram warga asing ceroboh tanah, buat pembakaran terbuka

    PENDUDUK Kampung Johan Setia, Klang mahu tindakan diambil terhadap segelintir petani haram warga asing yang bertindak menceroboh tanah secara sesuka hati sekali gus mengundang keresahan mereka.

    Mereka didakwa bukan sahaja menceroboh tetapi melakukan pembakaran secara terbuka turut menyebabkan kawasan itu sering berlaku pencemaran udara.

    Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Johan Setia, Muhamad Kamal Ismail, 48, berkata, isu pencerobohan tanah oleh petani warga asing di kawasan itu semakin berleluasa sejak empat tahun lalu.

    Malah katanya, kejadian kebakaran juga kerap berlaku disebabkan oleh tindakan mereka.

    “Kebanyakan petani haram di sini terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia.

    “Kebiasaannya mereka melakukan pembakaran tersebut bagi meneroka tanah untuk melakukan aktiviti pertanian secara haram namun tindakan berkenaan telah menyebabkan berlakunya pembakaran tidak terkawal sehingga sering mengundang risiko pencemaran udara kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Kamal berkata, aktiviti pembakaran haram oleh pihak terlibat kebiasaannya dilakukan pada waktu malam bagi menggelakkan kegiatan itu dikesan orang awam.

    “Untuk tahun ini sahaja, dianggarkan lima kejadian kebakaran berlaku antaranya melibatkan kawasan stor pembuangan sisa pepejal yang ditinggalkan, kebun petani, tapak pelupusan sampah haram dan lain-lain,” katanya.

    Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Sri Nadi, di sini, Othman Baharuddin, 64, berkata, insiden kebakaran tanah lapang berhampiran rumahnya pada Sabtu lalu turut mengundang kebimbangan berikutan jarak lokasi kejadian hanya terletak sekitar 60 meter.

    Othman berkata, ketika kejadian itu, dia amat risau sekiranya api kebakaran merebak sehingga ke kawasan rumah kediamannya.

    “Nasib baik angin ketika itu tidak ke arah rumah kami dan pasukan penyelamat segera tiba bagi melakukan kerja pemadaman,” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Rahman Tahir, 65, berkata, kawasan Kampung Johan Setia sememangnya kerap berlaku kejadian kebakaran terbuka dan disebabkan itulah pemantauan perlu dilakukan secara berkala.

    Tambahnya, kebanyakan tanah yang diceroboh adalah berstatus hak milik persendirian malah kebanyakan pemilik juga tidak mengetahui mengenai keadaan yang berlaku itu.

    “Kebanyakan pemilik tanah hanya mengetahui tanah mereka diceroboh selepas menerima notis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    “Disebabkan itulah, kami sebagai penduduk berharap agar pemilik tanah di kawasan ini dapat bersama-sama membantu dengan memastikan tanah mereka tidak diceroboh,” katanya.

    Ahad lalu, JAS Selangor berjaya mengesan aktiviti pembakaran terbuka di Kampung Johan Setia bersebelahan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini menerusi pemantauan menggunakan dron.

  • Bot nelayan tempatan dikendali kru Thailand lakukan pelbagai kesalahan ditahan

    Bot nelayan tempatan dikendali kru Thailand lakukan pelbagai kesalahan ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Thailand kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan pada kedudukan kira-kira 10.4 batu nautika barat daya Mukah Head pukul 1.19 petang semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu dikesan sedang menangkap ikan oleh Kapal Maritim (KM) SIKUATI semasa melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut. 

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan 14 kru warga Thailand termasuk tekong berumur di antara 37 hingga 74 tahun.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit melakukan pelbagai kesalahan antaranya lesen bot dan permit menggaji warga asing tamat tempoh serta melanggar zon yang dibenarkan untuk penangkapan ikan.

    Selain itu katanya, empat daripada kru asing berkenaan juga didapati memiliki dokumen perjalanan diri tamat tempoh.

    “Sehubungan itu, bot dan hasil rampasan ikan kira-kira satu tan dan kesemua kru berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut.

    “Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu dokumen perjalanan diri yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu tambah Abd. Razak, Maritim Malaysia mengingatkan semua terutama komuniti nelayan supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada. 

    Katanya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999. 

  • Lelaki ditahan buat panggilan 180 kali sehari terhadap bekas kekasih

    Lelaki ditahan buat panggilan 180 kali sehari terhadap bekas kekasih

    POLIS Itali menahan seorang pengintai maya yang didakwa membuat panggilan telefon kepada bekas kekasihnya sebanyak 180 kali sehari dan mengancam mahu membunuhnya.

    Polis pada Selasa memaklumkan, lelaki berusia 56 tahun itu sering mengekori bekas kekasihnya selain turut merosakkan kereta wanita berkenaan, lapor Agensi Berita ANSA.

    Dia ditahan di Bari, Puglia.

    Antara ancaman terakhir lelaki itu kepada bekas kekasihnya adalah, “Kisah ini hanya akan tamat apabila saya bunuh awak.” – Bernama

  • Polis tahan penganggur rampas pil kuda rampas, wang tunai RM80,000

    Polis tahan penganggur rampas pil kuda rampas, wang tunai RM80,000

    SEORANG penganggur ditahan bersama-sama pil kuda dan wang tunai RM80,000 selepas pihak polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubok Lesung, Air Putih, Kemaman, kelmarin.

    Menerusi serbuan pukul 12.10 tengah hari itu, suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah, hasil pemeriksaan lanjut menemui 27 biji pil warna merah disyaki pil kuda yang bernilai RM270.

    “Polis turut menjumpai wang tunai bercampur-campur bernilai RM80,000 yang disyaki hasil aktiviti penjualan dadah.

    “Berdasarkan maklumat diterima, pihak polis percaya suspek mula bergiat aktif sejak awal tahun ini untuk memasarkan bahan terlarang itu di daerah Kemaman.

    “Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan telah ditahan reman sehingga 21 Oktober depan.

    “Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

    Mohd. Haki berkata, dadah dan wang tunai yang di rampas itu merupakan rampasan terbesar sejak Ops Jihad Dadah 2.0 dilancarkan pada 14 Oktober lalu.

    “Setakat ini, pihak polis telah menahan 49 individu berusia dalam lingkungan antara 18 hingga 70 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.

    “Daripada jumlah itu, seramai 11 individu diklasifikasikan sebagai kes pembekalan, 38 orang penagih termasuk empat individu lagi yang terlibat dalam kes yang dikehendaki,” katanya.

    Ops Jihad Dadah 2.0 dilancarkan serentak di lapan daerah di Terengganu pada 14 Oktober lalu oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.