Author: Admin

  • Buruh dijel 10 tahun selepas mengaku salah miliki dadah

    Buruh dijel 10 tahun selepas mengaku salah miliki dadah

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang buruh kerana memiliki dadah jenis methamphetamine dua tahun lalu.

    Azmi Ismail, 44, dari Bukit Payong, Marang mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan Hakim Dazuki Ali.

    Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa mempunyai kawalan terhadap dadah jenis methamphetamine seberat 67.43 gram di sebuah kandang kambing di Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, Marang, pukul 9.30 malam, pada 14 Ogos 2019.

    Azmi didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, lapor Sinar Harian.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Hayyatuddin Muhamad.

    Mohd. Hayyatuddin sebelum itu memohon agar Azmi dikenakan hukuman ringan memandangkan anak guamnya membuat pengakuan bersalah sekali gus menjimatkan masa serta kos mahkamah.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemeriksaan polis di kandang kambing berkenaan menemui sejumlah 198 biji pil berwarna merah dan dua biji berwarna hijau disyaki dadah jenis methamphetamine yang diletakkan dalam satu beg sandang berwarna hitam.

    Turut ditemui dalam beg yang diletakkan di atas lantai kandang kambing berkenaan ialah wang berjumlah RM1,800 disyaki hasil jualan dadah dan sebuah telefon bimbit jenama Oppo.

  • Sertai perarakan kematian, 12 lelaki dihadapkan ke mahkamah

    Sertai perarakan kematian, 12 lelaki dihadapkan ke mahkamah

    SERAMAI 12 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menyertai perarakan kematian sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 13 Oktober lalu.

    Bagaimanapun, tujuh daripada mereka mengaku bersalah manakala empat daripada mereka serta seorang remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

    Mereka yang mengaku bersalah R. Kumar, 39; G. Rukumaran, 33; M. Kanes Kumaar, 28; A. Elango, 35, A. Veera Putthiran, 19; S. Muniswaran, 30 dan S. Rishantheren, 23.

    Kesemua mereka dijatuhi hukuman denda RM3,500 serta penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Sementara itu, D. Stephen Dass, 35; M. Sivasangar, 49; K. Harjun, 18; Mazlan Hassan Sha, 35 dan remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

    Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 24 November depan.

    Mahkamah turut membenarkan remaja berusia 17 tahun diikat jamin RM1,500 dengan syarat hanya boleh dijamin oleh ibu atau bapanya.

    Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan cara menjalankan perarakan kematian bagi tujuan keagamaan di dalam kawasan tempatan jangkitan.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Besar Kerian Kedah, Sungai Jawi dalam daerah Seberang Perai Selatan kira-kira pukul 2 petang pada 13 Oktober lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2021 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman manakala tujuh yang mengaku bersalah diwakili peguam, Anbananthan Yathiraju dan selebihnya tidak diwakili peguam.

  • Engggan beri wang, ibu dipukul hingga patah pergelangan tangan

    Engggan beri wang, ibu dipukul hingga patah pergelangan tangan

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan seorang penagih dadah selepas mencenderakan ibunya di rumah mereka di Pelangi Damansara, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

    Suspek yang berusia 45 tahun itu memukul ibunya, 73, dengan sebatang kayu dan mengakibatkan pergelangan tangan warga emas tersebut patah.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berkenaan disahkan mengalami kecederaan itu sewaktu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek memukul ibu kandungnya itu selepas ibunya enggan memberikan wang kepadanya.

    “Warga emas berusia 73 tahun itu membuat laporan polis sekitar pukul 3.24 petang, pada Selasa. Pada hari sama iaitu sekitar pukul 11.30 malam, polis dari Balai Damansara menahan suspek yang berusia 45 tahun.

    “Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja sering bertindak agresif dengan memukul dan meminta wang daripada pengadu untuk membeli dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

  • Dua pegawai SPRM didakwa tipu penguat kuasa RM40,000

    Dua pegawai SPRM didakwa tipu penguat kuasa RM40,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa untuk menyerahkan RM40,000 bagi menyelesaikan kes yang sedang disiasat agensi tersebut pada Khamis lalu.

    Amir Izham Isahak, 32 mengaku bersalah sementara Wan Kamarul Za’im Mansor, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mereka didakwa secara bersama-sama sebagai agen kerajaan iaitu Penolong Penguasa P29 SPRM Kluang dan Penguasa P42 SPRM Cawangan Kluangd an SPRM Johor Bahru, bagi mencapai niat bersama telah menipu dengan memperdayakan seorang individu.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menipu dengan memperdayakan seorang individu dengan curang mendorongnya menghantar harta iaitu wang tunai RM40,000 kepada kedua tertuduh dengan balasan kononnya mereka boleh membantu menyelesaikan kes yang disiasat SPRM ke atas individu terbabit.

    Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran dalam daerah Simpang Renggam, pukul 7.57 malam pada 14 Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili Mohd Salleh Togimin dan Wan Kamarul Zaim pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

    Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM35,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Bagaimanapun, peguam Wan Kamarul Zaim, memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM10,000 kerana tertuduh perlu menanggung isteri yang hamil tiga bulan serta empat anaknya.

    Hakim kemudian memerintahkan Wan Kamarul Zaim dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan 24 November ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

    Sementara itu, peguam Mohd. Salleh Togimin kemudian memohon mahkamah supaya keputusan kes Amir Izham ditangguhkann ke tarikh lain.

    Amir Izham turut dibenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah kemudian memutuskan kes Amir Izham disebut semula pada 24 November depan.

  • Polis Johor tumpaskan pusat latihan Macau Scam

    Polis Johor tumpaskan pusat latihan Macau Scam

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS berjaya membongkar kegiatan melibatkan penipuan Macau Scam apabila menangkap lapan lelaki tempatan yang berperanan dalam kegiatan itu termasuk merekrut pekerja baru bagi memperdayakan orang ramai.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modus operandi kumpulan sindiket itu adalah melatih pekerja-pekerja baru mengenai teknik penipuan dengan menyamar sebagai pegawai kutipan hasil daripada sebuah bank tempatan.

    “Hasil siasatan mendapati, mereka yang dilatih akan dipindahkan ke beberapa unit banglo sekitar Johor Bahru dan Kulai dalam tempoh sebulan selepas tamat latihan atau telah mahir menghafal skrip penipuan.

    “Mereka akan menyamar sebagai pegawai-pegawai dari agensi penguatkuasaan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

    Katanya, tujuh daripada mereka yang ditahan itu ditugaskan sebagai pengurus akaun, tenaga pengajar, ejen dan operator pusat panggilan dalam serbuan di sebuah kedai makan yang terletak di Jalan Padu, Kampung Tahana 2, Larkin pada Jumaat lalu.

    Sementara itu, seorang lagi lelaki tempatan yang bertanggungjawab selaku penulis skrip untuk kegiatan penipuan yang dijalankan oleh sindiket itu turut ditahan kelmarin di sebuah rumah di Taman Saga, Kulai.

    Kesemua mereka berusia 21 hingga 43 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Menurut Ayob Khan, ahli sindiket itu ditawarkan gaji sehingga RM3,000 sebulan tidak termasuk komisen tiga peratus setiap kali penipuan berjaya dilakukan dan bayaran sama diberikan kepada orang tengah bersama-sama wang bulanan untuk belanja harian sindiket.

    Manakala individu yang berperanan sebagai penyelia dan tenaga pengajar yang bertindak sebagai ejen akan menerima upah sebanyak RM300 hingga RM800 bagi setiap pekerja baru yang di bawa masuk.

    “Sindiket itu juga dikesan aktif merekrut pekerja untuk bertugas di pusat panggilan Macau Scam di luar negara antaranya Kemboja, Dubai dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau pun dalam negara,” katanya.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas 11 telefon bimbit, dua komputer riba, satu mesin pencetak, satu perakam suara, sebuah buku catatan dan lima dokumen mengandungi skrip kerja.

    “Berdasarkan siasatan awal, kita percaya sindiket ini baharu beroperasi seminggu dan mereka yang menjadi ahlinya tidak sempat menerima bayaran gaji seperti yang ditawarkan,” ujarnya.

    Sementara itu, Ayob Khan turut memohon bantuan awam untuk mengesan dua lelaki yang dipercayai merupakan dalang kepada sindiket berkenaan iaitu Su Hao Shou, 33, yang beralamat di Taman Stulang, di sini dan Mohamad Khairuddin Syah, 25, yang beralamat di Taman Damai Jaya, Skudai.

    “Kami yakin kedua-dua mereka masih berada di dalam negara. Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes jenayah komersil boleh hubungi talian 013-2111222,” jelasnya.

  • Muhyiddin ziarah keluarga anggota bomba maut ketika bertugas

    Muhyiddin ziarah keluarga anggota bomba maut ketika bertugas

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba, Mohd Diya Che Jusoh yang meninggal dunia ketika bertugas dalam operasi banjir di Sungai Putat, Melaka semalam.

    Menurut perkongsian di laman Facebooknya, Muhyiddin berkongsi kesedihan apabila dimaklumkan Allahyarham terkorban dalam operasi menyelamat mangsa banjir. 

    Bekas Perdana Menteri meluangkan masa melawat keluarga mangsa di Taman Krubong Jaya, Melaka, hari ini

    “Saya percaya seluruh rakyat Malaysia juga berkongsi kesedihan atas tragedi yang berlaku,” katanya. 

    Muhyiddin juga sempat melakukan lawatan ke rumah keluarga mangsa di Taman Krubong Jaya sebelum menghadiri Sesi Dialog Majlis Pemulihan Negara bersama-sama pemain sektor ekonomi dan sosial negeri Melaka. 

    Bekas Perdana Menteri ini menziarahi balu Allahyarham, Noraida Che Nor serta empat mereka yang berusia antara sembilan hingga tahun. 

    “Saya berdoa semoga ahli keluarga Mohd Diya diberi ketabahan dan kekuatan dalam berhadapan dengan saat-saat yang sukar ini.” katanya. 

    Muhyiddin turut menyatakan bahawa pengorbanan Mohd. Diya sebagai anggota barusan hadapan sangat besar dan beliau juga mendoakan agar Allahyarham memperoleh husnul khatimah serta ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang beriman.

  • Mekanik, isteri ditahan edar dadah

    Mekanik, isteri ditahan edar dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEUNTUNGAN yang diperoleh seorang mekanik hasil menjual dadah sejak setahun lalu membuatkan dia mula gelap mata dan menjadikan aktiviti haram terbabit sebagai punca pendapatan tetap.

    Selain itu, dia turut didapati bersekongkol dengan isterinya untuk mengedar dadah namun aktiviti pasangan sebaya berusia 31 tahun itu terbongkar apabila polis menyerbu dan menahan mereka di sebuh rumah Kampung Bukit Rawa Sedim, Karangan, Kulim, semalam.

    Pasangan yang tidak mempunyai anak itu ditahan pukul 6.30 petang susulan daripada tangkapan dua lelaki di Kampung Ulu Dingin, Mahang pada pagi sebelum itu.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, dalam serbuan pertama seorang lelaki berusia 20-an ditahan di ladang kelapa sawit di Mahang pukul 11 pagi dan hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui enam plastik lutsinar pelbagai saiz berisi heroin dan satu plastik lutsinar berisi syabu dalam beg kuning yang dibawanya.
     

    “Suspek tidak bekerja berusia 20-an itu didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan hasil soal siasat kita berjaya menahan seorang lagi lelaki kira-kira 30 minit kemudian di tepi jalan tidak jauh daripada situ.
     

    “Pemeriksaan lanjut mendapati beg coklat dibawa suspek kedua itu mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi heroin dan satu paket plastik lutsinar berisi syabu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Kulim, hari ini.
     

    Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek yang juga tidak bekerja itu mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan pernah ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
     

    “Susulan daripada penahan dua suspek terbabit membuatkan polis berjaya membongkar aktiviti pengedaran dadah dilakukan suami isteri yang ditahan ketika berada dalam bilik rumah mereka dalam serbuan pukul 6.30 petang pada hari sama dan berjaya merampas heroin serta syabu selain alat penimbang.
     

    “Ujian air kencing mendapati semua suspek lelaki positif morfin manakala wanita yang juga isteri mekanik berkenaan didapati negatif dan kita percaya mereka ini adalah rangkaian sindiket pengedaran dadah sama,” katanya.
     

    Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu dipercayai hanya membuat ‘wayang’ dengan berselindung sebalik pekerjaannya dan dia kemungkinan bersekongkol dengan isteri untuk mengedar dadah dan menjadikan itu sebagai sumber pendapatan utama yang lebih mendatangkan untung buat mereka.
     

    “Dadah yang dirampas dalam tiga serbuan itu dianggarkan bernilai RM24,000 dan kita turut menyita dua motosikal serta wang yang semuanya bernilai RM5, 340.
     

    “Semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengiktu Seksyen 39B ADB 1952 yang jika bersalah boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.
     

    Menurutnya, sepanjang Op Tapis Khas (tokan Jalanan) yang dilakukan sejak 17 Oktober lalu, pihaknya berjaya menahan 53 individu membabitkan pelbagai kesalahan bersabit kes dadah di daerah ini.

  • Pulau Batu Puteh: Sultan Ibrahim terima taklimat Wan Junaidi

    Pulau Batu Puteh: Sultan Ibrahim terima taklimat Wan Junaidi

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sebelum ini meminta tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika ada kecuaian dan kekhilafan dalam isu Pulau Batu Puteh diberi sembah taklimat berkaitan isu pulau tersebut.

    Baginda menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

    Pertemuan lebih sejam antara Sultan Johor dan Wan Junaidi itu tertumpu kepada isu pulau berkenaan yang diumumkan kerajaan mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang mengenainya.

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

    Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli turut hadir dalam pertemuan tersebut.

    Pada 14 Oktober lalu, Sultan Ibrahim terkilan dengan tindakan yang seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang kerana tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh sedangkan telah menemukan bukti baharu yang berpihak kepada Malaysia.

    Baginda bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

    Baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan proses di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

    Dalam pertemuan itu baginda bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh

    “Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

    “Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda.

    Semalam, Dr. Mahathir menerusi catatan dalam laman web beliau berkata, percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya, malah Singapura masih mendakwa pulau itu miliknya.

    Bekas Perdana Menteri berkata, dalam hal itu, kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk isu tuntutan pulau berkenaan kepada ICJ dengan kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat termasuk tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ yang muktamad.

    Kata beliau, rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati, maka negara yang bermaruah mesti menghormati janji kecuali negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

  • Lelaki maut terkena bata dilempar monyet dari tingkat dua

    Lelaki maut terkena bata dilempar monyet dari tingkat dua

    SEORANG lelaki berusia 30 tahun maut setelah kepalanya terkena bata yang dilempar oleh seekor monyet dari tingkat dua sebuah bangunan dalam satu kejadian di Nabi Karim, Delhi Tengah, India.

    Menurut laporan The Indian Express, lelaki malang yang dikenali sebagai Mohammad Kurbaan mengalami kecederaan parah dan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.

    Pihak polis tempatan mendapati, bata berkenaan dilempar dari sebuah rumah milik seorang lelaki, Omprakash Mishra di bangunan itu.

    Omprakash memaklumkan pihak berkuasa dia meletakkan dua batu bata di atas tangki air rumahnya bagi mengelakkan monyet-monyet di kawasan itu membukanya.

    Menurut pihak polis, sekumpulan monyet mengalih kedua-dua batu bata daripada atas tangki berkenaan dan melempar salah satu daripadanya ke bawah bangunan dan terkena kepala Kurbaan.

    DIfahamkan, Kurbaan menjual beg di sebuah kedai berhampiran dan kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan untuk membeli bahan-bahan membuat beg.

  • Polis berkas Tokan aktif edar dadah di paya bakau

    Polis berkas Tokan aktif edar dadah di paya bakau

    TAKTIK seorang tokan dadah yang aktif membekalkan dadah di kawasan paya bakau terpencil di Bagan Pasir, Tanjong Karang, terbongkar apibila berjaya dihidu pihak berkuasa.

    Lelaki warga tempatan berusia 52 tahun itu ditahan dalam satu serbuan dilakukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, selepas menahan suspek yang mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan, pemeriksaan polis menemukan heroin seberat 33.8 gram.

    “Turut dirampas, syabu seberat 8.1 gram dan sebiji pil dipercayai Eramin 5 seberat 0.2 gram.

    “Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 42.1 gram dengan anggaran nilai RM1,415.

    “Dadah yang dirampas ini mampu menampung penggunaan seramai 140 penagih. Suspek didapati aktif membekalkan dadah kepada penagih sejak lebih sebulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, pihaknya berjaya memutuskan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Bagan Pasir.

    Tangkapan dan rampasan katanya, dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Saya memohon masyarakat supaya memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada kami berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.