Author: Admin

  • JSJN rampas RM8.1 juta syabu diedar guna kargo KLIA

    JSJN rampas RM8.1 juta syabu diedar guna kargo KLIA

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dengan merampas sejumlah 200 kilogram syabu bernilai RM8.1 juta di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 hingga 26 Oktober lalu.

    Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, kejayaan itu diperoleh menerusi operasi JSJN Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) KLIA.

    Katanya, pihak berkuasa sebelum itu memeriksa lima kotak barangan yang diisytiharkan sebagai peralatan elektronik menggunakan perkhidmatan kargo syarikat penerbangan dari KLIA ke Auckland, New Zealand.

    “Hasil pemeriksaan menemui 200 kilogram syabu bernilai RM8.1 juta sebelum pihak berkuasa memberkas empat lelaki tempatan berumur 34 hingga 59 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.

    “Semakan rekod mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pengurusan Pentadbiran Lapangan Terbang (AMC) di Sepang, hari ini.

    Katanya, siasatan awal mendapati dua suspek ditahan merupakan kakitangan syarikat penerbangan kargo, saringan awal dijalankan mendapati seorang suspek positif dadah jenis ganja.

    Tambahnya, sindiket berkenaan dipercayai mula bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini.

    “Siasatan mendapati sudah terdapat empat kali penghantaran ke luar negara menggunakan modus operandi sama.

    “Setakat ini kita berjaya mengumpulkan maklumat lanjut. Dalang di sebalik sindiket ini juga sudah berjaya dikesan,” ujarnya.

    Beliau berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988.

    “Pelbagai aset disita dianggarkan bernilai RM234,955.76. Antaranya ialah sebuah kenderaan jenis Ford Ranger bernilai RM180,000 selain wang tunai RM3,560, jam tangan bernilai RM2,000 dan tiga akaun bank berjumlah RM49,395.76.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM8,334,955.76,” katanya.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Keempat-empat suspek yang diberkas direman pada hari ini (Isnin) hingga 5 November ini bagi membantu siasatan. Polis akan terus mengesan saki baki ahli sindiket terlibat untuk diseret ke muka pengadilan,” katanya.

  • Ops Sarang Khas gempur sarang dadah 5 daerah

    Ops Sarang Khas gempur sarang dadah 5 daerah

    POLIS menggempur sarang pengedar dan penagih dadah dan menahan 132 individu dalam operasi Ops Sarang Khas secara serentak di Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut, dalam operasi selama dua hari.

    Ops Sarang Khas tersebut dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, (BSJN) Polis Pahang kelmarin dan semalam di lima daerah itu.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, operasi itu bertujuan menggempur sarang pengedar dadah yang semakin berleluasa di daerah terbabit, khususnya di kawasan Felda yang mempunyai ramai penagih dan dikenal pasti menerusi risikan dan maklumat orang ramai.

    “Seramai 14 orang akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis heroin serta syabu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.

    “Tiga orang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu,” katanya pada sidang media, hari ini.

    Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Azmi Awang Lah dan Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor.

    Beliau berkata, seramai 21 orang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu.

    “Selain itu, 88 warga tempatan yang lain disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB1952 kerana positif dalam ujian air kencing dan enam orang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun kerana disyaki memiliki cecair disyaki air ketum.

    “Dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 151.51 gram, syabu 113.62 gram dan pil Yaba seberat 23.85 gram berjaya dirampas.

    “Ia termasuk dadah jenis eramin 54.5 gram, kodein 0.04 liter dan air ketum 4.5 liter yang keseluruhannya dianggar bernilai RM17,493,” katanya.

    Ramli berkata, sepanjang Januari hingga September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menangkap 6,342 pengedar dan penagih dadah dengan jumlah keseluruhan kes yang direkod sebanyak 5,220 kes.

  • PRN Melaka: Rundingan Bersatu, PAS, UMNO cari penyelesaian terbaik

    PRN Melaka: Rundingan Bersatu, PAS, UMNO cari penyelesaian terbaik

    prn melaka

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi kepercayaan penuh terhadap rundingan antara Bersatu, Pas dan UMNO bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November ini.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya memberi kepercayaan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam rundingan tersebut untuk mendapatkan keputusan terbaik bagi semua pihak.

    “Namun begitu bagi pihak Perikatan Nasional (PN), kita bersedia dalam apa jua keadaan untuk menghadapi PRN kali ini.

    “Kalau boleh kita tak nak pilihan raya. Kami bagi pihak kementerian ini hendak fokus kepada pengoperasian semula sekolah,” ujar beliau yang juga Menteri Kanan Pendidikan, mengulas mengenai rundingan antara tiga parti tersebut yang sedang berjalan ketika ini.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus (SLU) Kementerian Pendidikan (KPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka, hari ini.

    Mengenai SLU tersebut, Dr. Radzi berkata, penerangan berkenaan konsep #SekolahKuSEJAHTERA yang akan dilaksanakan KPM diberikan bagi memberi kefahaman sepenuhnya.

    “Kita turun ke bawah berbincang dengan ibu bapa bagaiamankah cara terbaik untuk kita memastikan konsep #SekolahKuSEJAHTERA ini dapat dilaksanakan dengan baik.

    “#SekolahKuSEJAHTERA secara umumnya adalah usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni dan penting dalam kehidupan ini kepada anak-anak kita di sekolah dari peringkat umur mereka masih kecil.

    “Maknanya anak-anak di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menenngah didedahkan dengan konsep-konsep penting dalam kehidupan, apabila sampai masanya pihak kementerian akan menjelaskan konsep-konsep ini dan penerapannya di sekolah,” katanya.

    Jelasnya, konsep itu bukan satu mata pelajaran baharu dan pihaknya yakin penerapan secara semula jadi di sekolah akan membolehkan nilai-nilai murni dan penting dalam kehidupan disemai sekali gus menjadi satu norma baharu generasi akan datang.

  • 1.3 juta pelajar di empat negeri mula bersekolah hari ini

    1.3 juta pelajar di empat negeri mula bersekolah hari ini

    LEBIH 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah melibatkan empat negeri yang sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memulakan sesi persekolahan, hari ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, empat negeri terbabit adalah Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Beliau memberitahu, jumlah tersebut merangkumi 694,531 murid sekolah rendah membabitkan Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) dan 652,148 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat.

    “Kemasukan yang berperingkat ini membolehkan kita mengawal dan memantau keadaan di sekolah bagi memastikan operasi sekolah berjalan lancar dan teratur,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus KPM di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka, hari ini.

    Katanya, selain daripada membuat pemantauan di sekolah, pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama semua guru, termasuk guru prasekolah serta ibu bapa.

    Menurutnya, sesi libat urus itu membabitkan perkara berkaitan dengan pengoperasian dan menumpukan konsep Sekolahku Sejahtera, yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

    “Kita akan berbincang dengan ibu bapa bagaimana cara terbaik untuk memastikan konsep Sekolahku Sejahtera itu dapat dilaksanakan dengan baik.

    “Konsep berkenaan adalah sebagai usaha untuk menerapkan nilai penting dalam kehidupan anak-anak dan sudah pasti ia bukanlah satu mata pelajaran baharu, sebaliknya kaedah menerapkan nilai semula jadi dalam kehidupan yang akan menjadi satu norma buat generasi baharu,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, KPM sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk turun padang secara mengejut memantau tahap pengudaraan optimum di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Setakat ini pihaknya melihat ada peningkatan dalam usaha untuk mengoptimumkan pengudaraan di sekolah meskipun pada peringkat awal ramai dalam kalangan pentadbir sekolah kurang memahami mengenai kaedah serta pendekatan yang boleh digunakan bagi melaksanakan usaha berkenaan.

    “Namun sekarang, kita melihat guru serta pihak sekolah secara keseluruhannya mula memahami sistem pengudaraan ini satu komponen penting dan mereka saling berusaha untuk memastikan pengudaraan dalam bilik darjah serta pejabat berada pada tahap yang optimum.

    “Saya harap Jabatan Pendidikan negeri serta PPD dapat turun secara mengejut pada bila-bila masa untuk memastikan segala tata cara yang ditetapkan dalam garis panduan yang disediakan itu dapat dipatuhi dengan baik, khususnya aspek pengudaraan,” katanya.

  • Sekolah wajib periksa sijil digital vaksinasi guru-Radzi

    Sekolah wajib periksa sijil digital vaksinasi guru-Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mewajibkan semua sekolah di seluruh negara melakukan pemeriksaan sijil digital vaksinasi terhadap warga pendidik bermula Isnin bertujuan menjamin persekitaran sekolah yang selamat.

    Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, usaha tersebut supaya tidak berlaku kes tertentu termasuk kes guru yang memaklumkan telah divaksin namun sebaliknya.

    Pada masa sama katanya, dapat mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap jangkitan Covid-19 ketika mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

    “Pemeriksaan itu juga bertujuan memperoleh data yang tepat sekiranya jika ada tindakan yang perlu dilakukan.

    “Semua guru akan disemak sijil vaksinasi oleh pihak sekolah bagi memastikan data terkini yang ada ini pada 1 November adalah data yang begitu tepat,” katanya kepada pemberita ketika lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka, hari ini.

    Turut hadir Ketua SetiausAha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof

    Katanya, terdapat pengurangan jumlah guru yang tidak mahu menerima vaksin selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam tidak divaksin tanpa sebarang alasan kesihatan bermula 1 November.

    Namun katanya, jumlah semakin berkurangan tetapi bilangan itu masih ramai dan secara tidak langsung tindakan mereka itu paling memberi kesan dalam konteks operasi sekolah.

    KPM ujarnya, tegas daripada segi vaksinasi dalam kalangan guru kerana menjejaskan operasi di sekolah walaupun jumlahnya tidak ramai tapi kesannya cukup besar.

    Tambah beliau, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga diarahkan melakukan pemeriksaan mengejut di sekolah bagi melihat tahap pematuhan garis panduan yang ditetapkan khususnya pengudaraan optimum di kelas-kelas yang digunakan bagi sesi pembelajaran.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan jumlah murid yang sepatutnya hadir ke sekolah bagi semua negeri yang melepasi fasa empat seramai 694,531 bagi murid sekolah rendah dan 652,148 pelajar sekolah menengah dengan jumlah keseluruhan lebih RM1.3 juta orang.

  • Muhammad Sanusi kini bergelar Datuk Seri

    Muhammad Sanusi kini bergelar Datuk Seri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini secara rasmi bergelar Datuk Seri apabila dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (SPMK) bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-79.

    Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat negeri Kedah.

    Menurut Ammar, Sultan Al Aminul Karim turut berkenan untuk mengurniakan Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) kepada Pengarah Urusan Weststar Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim yang turut membawa gelaran sama.

    “Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidin dikurniakan Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira.

    “Darjah Dato’ Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Dihormati (DSPK) dikurniakan pula kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Mohammad Abd. Rahman serta Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wilayah 2, Laksamana Muda Rusli Ahmad yang membawa gelaran Datuk Pahlawan,” katanya.

    Tambahnya, Speaker Dewan Undangan Negeri, Juhari Bulat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan, Keluarga dan Masyarakat negeri, Halimaton Shaadiah Saad serta Pengarah Tanah dan Galian negeri, Mohd. Fauzi Mustaffa dikurniakan darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk.

    Seramai 15 individu lagi antaranya Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman, Penasihat Undang-Undang negeri, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood serta Pesuruhjaya Pas Kedah, Senator Ahmad Yahya dikurniakan Darjah Dato’ Setia Paduka kepada Dato’ Setia Diraja (DSDK).

    Tiga individu iaitu bekas Pegawai Memerintah Wisma Transit Kuala Lumpur, Brigedier Jeneral Ahmad Faiezzelan Abdul Karim; Penolong Pengarah EIC Cawangan Khas E, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, SAC Dr. Lim Joo Soon serta Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM), Edwin Galan Anak Teruki turut menerima gelaran Datuk apabila dikurniakan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP).

    Mengulas lanjut Ammar berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Setia Bintang-Bintang Kebesaran itu akan diadakan pada tahun 2022.

    “Gelaran dianugerahkan itu bagaimanapun boleh diguna pakai secara rasmi bermula hari ini,” katanya.

  • Kanak-kanak parah ditikam warga emas

    Kanak-kanak parah ditikam warga emas

    SEORANG kanak-kanak lelaki parah selepas ditikam dengan pisau oleh lelaki warga emas di taman permainan rumah pangsa Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, semalam.

    Tikaman itu membuatkan mangsa, 4, cedera di bahagian perut dan paha sudah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.39 petang.

    “Siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek berusia lingkungan 80-an dikesan menyembunyikan diri di salah sebuah unit rumah pangsa berkenaan sebelum dia ditahan pihak polis.

    “Suspek juga adalah jiran mangsa. Siasatan awal mendapati suspek berkenaan mempunyai rekod rawatan psikiatri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noor Dellhan berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan dan difahamkan bahawa kanak-kanak itu dilaporkan dalam keadaan stabil.

    “Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda lain-lain yang merbahaya.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Pejalan kaki, penunggang motosikal maut nahas jalan raya

    Pejalan kaki, penunggang motosikal maut nahas jalan raya

    SEORANG pejalan kaki dan penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta, motosikal dan pejalan kaki di Solaria Residences, Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, pejalan kaki, Suhaila Zainol Abidin, 45, dan penunggang motosikal, Faizal Abu Bakar, 33, dilaporkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.26 malam dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    motosikal maut
    Para petugas Kementerian Kesihatan memberi pertolongan cemas kepada salah seorang mangsa.

    Sebaik sahaja tiba di lokasi jelasnya, pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Honda Wave serta dua pejalan kaki.

    Tambahnya, pihaknya turut mendapati dua lagi mangsa iaitu pemandu kereta lelaki berusia 25 tahun dan pejalan kaki wanita yang tiada maklumat umur cedera parah.

    “Pemandu kereta yang tidak tersepit telah dikeluarkan oleh orang awam dan seorang pejalan kaki telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya kepada pemberita hari ini.

    Jurucakap itu menambah, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Anggota-anggota bomba melakukan operasi menyelamat dan membersihkan lokasi kejadian.

    “Operasi menyelamat dan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian telah selesai sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.38 pagi,” katanya.

  • Buka sebagai restoran, tutup sebagai pusat hiburan

    Buka sebagai restoran, tutup sebagai pusat hiburan

    BERSELINDUNG di sebalik operasi restoran namun menjalankan aktiviti seperti pusat hiburan termasuk menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO).

    Itu modus operandi sebuah premis di Georgetown, Pulau Pinang yang diserbu pihak berkuasa kira-kira pukul 11 malam semalam.

    Akibatnya, seramai 39 pengunjung warga tempatan dikompaun manakala penjaga premis di tangkap atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah selain turut dikenakan tindakan kompaun.

    Turut ditahan ialah seramai 15 pelanggan warga asing serta empat GRO warga asing yang mengunjungi pusat hiburan berkenaan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, premis itu dikesan menggunakan lesen restoran untuk menjalankan aktiviti hiburan.

    Katanya, ketika serbuan dilakukan premis tersebut sedang memainkan muzik dengan kuat dan tiada sebarang penjarakan sosial semasa sedang beroperasi.

    “Premis berkenaan menyalahgunakan lesen restoran dengan menjalankan perniagaan makanan atau restoran pada awal operasi.

    “Kemudian aktiviti premis itu ditukar seperti pusat hiburan dua jam sebelum premis ditutup pada pukul  12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

    Menurutnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 269 kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C)  Akta Imigresen 1959/63.

  • Tempoh ‘bermain’ pelajar, murid sudah berakhir

    Tempoh ‘bermain’ pelajar, murid sudah berakhir

    TEMPOH bagi pelajar dan murid ‘bermain’ dan ‘berkurung’ di rumah akan berakhir pada 7 November ini.

    Selepas berehat panjang ekoran pelaksanaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19, mereka akan kembali semula ke sekolah secara bersemuka pada 8 November depan.

    Rata-rata pelajar dan murid seperti tidak sabar lagi untuk kembali ke sekolah belajar serta bertemu guru dan kawan-kawan yang sudah lama tidak berjumpa.

    Di Terengganu, seramai 145,976 pelajar dilaporkan akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.

    Ia berikutan pengumuman kerajaan mengenai peralihan negeri ini ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin lalu. Daripada jumlah tersebut, seramai 66,202 murid adalah melibatkan sekolah rendah Tahun Satu, Dua dan Tiga. Manakala 35,450 pula merupakan pelajar Sekolah Menengah melibatkan Tingkatan Tiga dan Empat.

    Apa yang boleh diperkatakan mengenai sektor pendidikan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ialah perubahan dari segi suasana gaya hidup baharu dihadapi bukan sahaja para pelajar dan murid, tetapi juga guru dan juga kaum ibu

    Malah, akibat terlalu lama tidak ke sekolah dan hanya belajar secara dalam talian menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadikan minat dan semangat sebahagian pelajar dan murid seakan terencat untuk kembali semula ke sekolah.

    Selain itu, ada juga golongan ini semacam lebih seronok untuk terus berada di rumah, belajar sambil bermain gajet dan menonton televisyen dalam suasana gaya hidup baharu?

    Bagi murid sekolah rendah pula, ada di antara mereka semakin seronok dengan PdPR berbanding secara bersemuka kerana dikatakan lebih bebas disamping kebergantungan penuh kepada ibu yang bertindak sebagai ‘guru’ sewaktu di rumah.

    Kesungguhan kaum ibu yang menjadi guru menyebabkan ada di antaranya seperti tidak mahu melepaskan anak mereka kembali ke sekolah, bukan kerana khuatir soal keselamatan, sebaliknya kerana semakin seronok dengan gaya hidup baharu.

    Bagaimanapun, bagi ibu yang terikat dengan pekerjaan di pejabat, pembukaan sekolah secara bersemuka dianggap sebagai terlerai satu bebanan amat berat yang terpaksa dipikul kebelakangan ini.

    Soal pembelajaran, makanan dan keselamatan anak-anak kini tidak lagi menjadi kerisauan apabila mereka berada di sekolah.

    Manakala bagi golongan guru pula, pembukaan sekolah secara bersemuka sudah tentu diiringi pelbagai cabaran baharu dalam usaha memberi ilmu pendidikan kepada pelajar dan murid, khususnya melibatkan mata pelajaran yang tertinggal.

    Ini kerana, sejak PKP dilaksanakan di seluruh negara, anak-anak tidak lagi belajar di sekolah, sebaliknya terpaksa mengikuti kelas PdPR yang ada ketikanya terbantut dengan pelbagai masalah sampingan seperti talian internet dan ada pelajar dan murid yang ponteng kelas secara dalam talian.

    Pada masa sama, guru-guru juga terpaksa memainkan peranan penting untuk memastikan tahap keselamatan pelajar dan murid mereka sepanjang berada di sekolah sentiasa terkawal dengan mengetatkan pematuhan operasi standard (SOP) diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).