MALAYSIA memohon budi bicara lembaga pengampunan Singapura untuk memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran Dhamalingam, tahanan warganegara Malaysia yang dikenakan hukuman mati di negara itu.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia menghormati proses udang-undang Singapura dan masih menunggu keputusan pihak berkuasa negara itu.
“Dalam hal ini saya kena ulang, kita boleh memohon melalui cara kita, berhubung dengan mengutus surat, tetapi kita tidak boleh campur dari segi urusan dan proses undang-undang di negara Singapura,” katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 dan Jasamu Dikenang di Wisma Putra,Putrajaya, hari ini.
Ditanya mengenai surat yang beliau utuskan kepada Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan berhubung kes itu, Saifuddin berkata beliau masih belum mendapat jawapan balas setakat ini.
Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010.
Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden. Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak pada 1 Jun 2020.
Pada Rabu lepas, Saifuddin dalam kenyataan berkata Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura terus memantau perkembangan kes berkenaan dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada lelaki itu dan keluarga. – Bernama
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, ketika mengumumkan perkara itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Wan Azizah yang memegang jawatan itu sejak 20 September 2018 atas minat, semangat dan komitmen yang diberikan terhadap sukan itu serta pembangunannya di Malaysia.
“Setinggi-tinggi penghargaan kami kepada Dr Wan Azizah atas semua sumbangan beliau dalam sukan badminton dan BAM sejak tiga tahun lepas.
“Kami menghargai bimbingan, idea dan input Datuk Seri dalam usaha mengukuhkan persatuan secara keseluruhan. Sumbangan Datuk Seri kepada badminton Malaysia akan sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, Mohamad Norza mengiringi Wan Azizah melawat ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi menunjukkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap kerja pembangunan dan inisiatif cemerlang yang dilaksanakan BAM setakat ini.
Dalam lawatan itu, Wan Azizah turut diberi taklimat mengenai pelbagai kemudahan yang disediakan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain garis panduan kesihatan yang dikenakan kepada semua kakitangan kejurulatihan dan pemain di ABM bagi menjaga kesihatan dan keselamatan mereka. – Bernama
SURUHANJAYA Tenaga (ST) merampas pelbagai peralatan elektrik bernilai kira-kira RM2 juta dalam serbuan di empat gudang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor pada Selasa lepas kerana disyaki mengedar peralatan elektrik yang tidak mendapat kelulusan.
Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas berkata, serbuan dibuat susulan aduan mengenai penjualan kelengkapan elektrik yang menggunakan label SIRIM palsu di pasaran serta dalam talian.
Beliau berkata, kelengkapan elektrik seperti kabel pendawaian pelbagai saiz, lampu LED, soket alir keluar dan adapter elektrik itu dirampas kerana gagal mematuhi keperluan undang-undang seperti tidak mempunyai Perakuan Kelulusan mengimport atau mengilang dari ST sebelum ia dibawa masuk atau dikilang.
“Peralatan elektrik yang dirampas itu juga tidak dilekatkan dengan label SIRIM-ST serta menggunakan label SIRIM-ST palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas pengimport, pengilang atau penjual yang didapati gagal mematuhi Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.
Bagi kes pemalsuan label, tindakan undang-undang akan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), katanya.
“Pihak pengimport, pengilang dan penjual kelengkapan elektrik pula perlu mematuhi perundangan negara ini dan memastikan hanya kelengkapan elektrik yang telah diperakui selamat, dijual di premis jualan ataupun dalam talian,” katanya. – Bernama
JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, terbukti lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.
Ini termasuk negara kehilangan emas beserta rekod dunia yang dilakukan Muhammad Ziyad, lapor Berita Harian.
Rumusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Siasatan Dalaman dalam laporan yang diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, jawatankuasa siasatan dipengerusikan Borhan Dolah itu mendapati jurulatih dan atlet berkenaan tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.
“Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh Olahraga Para Dunia (WPA) bagi isu Ziyad, pihak persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal Para Olahraga khususnya mengenai peraturan ‘Did Not Start’ (DNS) yang dikenakan kepada atlet para olahraga.
“Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet lain, iaitu dari Australia dan Ecuador melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Ahmad Faizal berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu berkenaan dan mahu semua pihak harus lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.
“KBS juga akan memastikan tindakan susulan yang wajar diambil oleh atlet, jurulatih dan juga pegawai khususnya bagi tujuan kesedaran, pengajaran, penambahbaikan dan rujukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.
“Meskipun sedemikian, lontaran yang dibuat oleh Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan dihargai,” katanya.
Selain Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jawatankuasa Siasatan Dalaman itu turut dianggotai dua lagi panel, iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Salim Parlan dan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd. Manshahar Abdul Jalil.
Antara individu yang dipanggil membantu siasatan oleh jawatankuasa berkenaan adalah Ziyad, jurulatihnya, Mohd Faizol Harun dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang juga ketua kontinjen negara ke Paralimpik Tokyo, Megat D Shahriman Zaharudin.
Ziyad terlepas emas dan rekod dunia yang dicapainya di Tokyo pada 31 Ogos lalu dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Bagaimanapun, Ziyad dan Faizol sebaik tiba di tanah air ketika menceritakan semula detik hitam yang berlaku di Stadium Olimpik Tokyo itu menegaskan bahawa mereka mereka tiba di bilik menunggu tepat pada masanya, iaitu jam 5.55 petang seperti yang ditetapkan dalam peraturan.
SEORANG pesara pensyarah rugi RM1.87 juta selepas diperdaya seorang lelaki yang menyamar ‘Pegawai’ Telekom Malaysia (TM), Selasa lalu.
Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 80 tahun mendakwa, suspek sebelum itu memaklumkan namanya digunakan dalam aktiviti perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Superintendan Tan Poh Cheok, mangsa diminta untuk membuat beberapa transaksi secara pindahan berjumlah RM730,000 dan menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM).
“Selepas itu, wanita berkenaan mendapati terdapat transaksi pindahan wang daripada akaunnya berjumlah RM1.87 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, wanita berkenaan membuat laporan polis pada Selasa lalu dan polis sudah membuka kertas siasatan kes tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.
Poh Cheok menasihatkan orang ramai mendapatkan butiran terperinci pihak berkuasa yang berhubung mengenai sebarang siasatan seperti nama dan pangkat pemanggil, selain tempat bertugas bagi mengelak menjadi mangsa Macau Scam.
“Mereka juga dinasihatkan membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi dan tidak mendedahkan maklumat akaun serta OTP dan TAC (laluan guna sekali dan kod verifikasi) kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon,” katanya.
Orang ramai mempunyai maklumat kegiatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tunda kerana gagal mempamerkan insuran dan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tunda itu ditahan dalam satu operasi pada kedudukan 5.5 batu nautika timur Tanjung Penawar pada pukul 8.45 pagi.
“Kapal tunda itu dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur di antara 20 tahun hingga 50 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Kapal tunda itu dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur di antara 20 tahun hingga 50 tahun
“Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen bot mendapati nakhoda telah gagal mempamerkan insuran dan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.
“Nakhoda serta Ketua Jurutera bot dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan bersauh tanpa kebenaran dan Seksyen 361(6) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan gagal mempamerkan dokumen berkaitan polisi insuran maritim.
LEMBAGA Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya sebarang bentuk tawaran dana bagi menunaikan haji.
TH dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya menerima aduan pendeposit tentang wujudnya individu tidak bertanggungjawab menawarkan dana tersebut bagi tujuan menyegerakan giliran haji.
Jelas TH, sebarang pemilihan giliran haji adalah berdasarkan sistem pendaftaran di mana yang dahulu didahulukan.
Pihak TH turut menegaskan tidak pernah melantik mana-mana organisasi atau orang perseorangan untuk menjadi orang tengah dalam hal-hal berkaitan tawaran mahupun pakej haji.
Justeru, TH menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila menerima panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali berkaitan penawaran dana bagi urusan haji.
Orang ramai boleh berhubung dengan TH di talian 03-62071919 untuk maklumat lanjut.
KELUARGA Rozzana Mat Nanyan, 35, rakyat Malaysia yang kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Myongji, Korea Selatan, merayu bantuan orang ramai termasuk kerabat diraja Johor untuk bawa wanita itu pulang ke Malaysia.
Menurut Nur Diana Rahim Lee, 46, yang juga kakak tiri kepada Rozzana berharap, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan mana-mana pihak dapat membantu membawa Rozzana pulang.
Nur Diana dari Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi berkata, keadaan Rozzana semakin kritikal dan doktor mengesyaki adiknya itu mengalami kerosakan otak akibat kerap diserang sawan.
Menurutnya, doktor mengesyorkan adiknya menjalani pembedahan segera namun dia dan keluarga berharap prosedur serta rawatan selanjutnya dapat dijalankan di Malaysia kerana khuatir bil hospital akan meningkat jika berada lebih lama di negara itu.
Dia tamat kuarantin semalam dan berkesempatan ke hospital itu tengah hari semalam tetapi hanya dibenarkan melawat Rozzana untuk 10 minit, lapor Harian Metro.
“Dia (Rozzana) tidak sedarkan diri dan doktor beritahu keadaannya stabil beberapa hari lalu tetapi kritikal akibat serangan sawan di otak.
“Doktor tidak dapat kenal pasti punca sawan tetapi mengesyorkan pembedahan segera bagi membuang bahagian menjadi punca kekejangan namun ia agak berisiko kerana boleh menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi panggilan WhatsApp.
Nur Diana berkata, doktor memaklumkan Rozzana tidak boleh disedarkan buat masa ini dan masih perlu menggunakan trakeostomi (tiub pernafasan) yang dihubungkan dengan mesin ventilator.
“Ikutkan keadaan Rozzana tidak stabil lagi tetapi kami sekeluarga terutama emak mahu adik dibawa pulang ke Malaysia menerusi penerbangan ambulans udara.
“Saya juga hanya dibenarkan melawatnya sekali saja dalam seminggu.
“Saya dan keluarga sudah semak kos pengangkutan ambulans udara tetapi terlalu mahal iaitu RM375,000 tidak termasuk caj pengusung sebanyak RM78,000.
Rozzana Mat Nanyan
“Kami pula tidak mampu biar adik terus dapat rawatan di sini kerana setakat semalam, bil hospital sudah mencecah 11,510,490 won (kira-kira RM40,425) kerana wang yang ada termasuk hasil sumbangan rakyat Malaysia hanya cukup untuk membayar bil berkenaan, itu pun jika tidak ditahan lebih lama lagi,” katanya.
Nur Diana berkata, ikutkan hati, dia mahu merahsiakan keadaan Rozzana daripada pengetahuan ibu, Kalsom Suleiman, 66, kerana enggan menambah kerisauannya.
“Bagaimanapun, adik-beradik lain nasihatkan saya untuk berterus-terang supaya emak tidak lebih terkejut nanti apabila mengetahui keadaan sebenar.
“Emak harap sangat adik dibawa pulang ke Malaysia kerana mahu doktor di sana (Malaysia) merawatnya. Saya juga yakin ada pakar di sana boleh beri rawatan terbaik buat Rozzana,” katanya.
Pada 10 Oktober lalu, media melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya dimasukkan ke Hospital Myongji selepas diserang asma.
Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon, Korea Selatan tidak sedarkan diri sejak 2 Oktober lalu iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak terkena serangan sawan.
Susulan laporan itu, Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan akan berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana.
SEORANG warga Bangladesh dan isterinya warga Indonesia ditahan dalam serbuan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana terlibat kegiatan memalsukan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya berusia 44 tahun itu ditahan di sebuah kondominium mewah, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi penguatkuasaan itu adalah siri operasi Op ID Hack bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan itu yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu daripada sindiket ID Hack.
“Lelaki terbabit adalah pemborong dan penjual peralatan komputer di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota ini.
“Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, dia mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan berkenaan selain menyewa sebuah unit kondominium mewah sebagai kediaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan dan soal siasat, lelaki berkenaan turut menyamar sebagai warga Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.
“Lelaki berkenaan dikenali sebagai Ali dalam kalangan warga Pakistan dan sebagai Munsi Jewel oleh warga Bangladesh di sekitar ibu kota ini.
“Pemeriksaan menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman lelaki terbabit dan isterinya,” katanya.
Beliau berkata, suami isteri itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/63 (Akta 155).
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 51(3) akta sama.
“Mereka akan ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
DUA lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai, Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menipu tuntutan insurans sebanyak RM500,000 pada April 2019.
Tertuduh, Muhammad Akmal Aliff Omar, 29, dan Muhamad Rizal Ahmad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Butterworth, Nigel Jirin.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah menipu syarikat The Pacific Insurance Bhd. yang mendorong syarikat itu untuk membuat bayaran tuntutan insurans sebanyak RM500,000 atas tuntutan kemalangan yang tidak wujud.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April 2019 di The Pacific Insurance Bhd., 40-01, Q Sentral, 2A, Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 417 atau Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM3,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 November depan.