Author: Admin

  • Cuepacs gesa segera laksana gaji minumum penjawat awam RM1,800

    Cuepacs gesa segera laksana gaji minumum penjawat awam RM1,800

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya segera melaksanakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang baharu bagi memastikan gaji minimum diperoleh 1.6 juta penjawat awam selaras dengan kos sara hidup masa kini.

    Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, kadar gaji minimum RM1,200 sebulan yang ditetapkan sejak 2002 sehingga kini tidak sesuai dengan keadaan sekarang dan dicadangkan dinaikkan RM1,800 sebulan.

    Beliau berpendapat, sistem SSM sedia ada itu sudah tidak praktikal atau relevan untuk digunakan lagi.

    “Justeru, sistem saraan yang baharu perlu diwujudkan untuk menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa setimpal dengan kos perbelanjaan harian. Gaji minimum perlu berubah setelah harga barangan meningkat berkali-kali sejak beberapa tahun lalu.

    “Cadangan gaji minimum RM1,800 ini bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi dan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Kursus Kepimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, jika kerajaan tidak mengubah kadar sedia ada, sasaran itu tak mungkin akan dapat dikecapi dengan gaji penjawat awam ketika ini.

    Menurutnya, gaji permulaan sektor kerajaan RM1,200 sebulan pada masa ini tanpa mengambil kira elaun lain jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

    Berkenaan aduan berkaitan penjawat awam yang tidak terima vaksin, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung perkara tersebut.

    “Penjawat awam harus divaksin dalam memberi keselesaan terhadap persekitaran tempat kerja yang selamat dan selesa,” ujarnya.

    Pihaknya bersetuju Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan terhadap kakitangan yang tidak mahu mengambil suntikan.

    “Ketua JPA masing-masing disarankan memanggil mereka yang berkaitan. Jika didapati tidak boleh divaksin, dapatkan surat pengesahan dari pengamal perubatan, namun jika enggan tanpa alasan munasabah, adakan perjumpaan seperti sesi kaunseling lanjutan,” katanya.

  • Pesara tentera, pekerja farmasi ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

    Pesara tentera, pekerja farmasi ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

    SEORANG pesara tentera dan pekerja farmasi mengalami kerugian masing-masing RM6,000 dan RM2,589 pada 3 dan 4 November lalu, selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pesara tentera, 39, kerugian RM6,000 selepas tertarik dengan satu pinjaman peribadi menerusi Facebook.

    “Mangsa kemudian menghubungi seorang wanita dikenali Jenifer Wong untuk membuat pinjaman berjumlah RM20,000.

    “Pesara tentera itu kemudian diarahkan memasukkan sejumlah wang bagi urusan pinjaman dan membuat sebanyak enam kali pembayaran secara dalam talian pada 3 dan 4 November.

    “Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas dia diminta membuat pembayaran sekali lagi sebanyak RM2,000 bagi membuka akaun pinjaman berkenaan.

    “Semakan polis mendapati akaun bank yang digunakan oleh suspek sudah mempunyai rekod penipuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kejadian berasingan, Chang Hook berkata, seorang wanita yang juga pekerja farmasi berusia 30 tahun, turut menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud selepas berurusan dengan syarikat dari Klang, Selangor yang ditemui menerusi enjin carian Google.

    Katanya, mangsa yang berminat untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM5,000 itu kemudiannya berhubung dengan seorang wanita, sebelum diarahkan membuat pembayaran bagi memproses pinjaman.

    “Pada 4 November, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam dua akaun bank berjumlah RM2,589.

    “Dia kemudiannya diminta untuk memasukkan lagi RM1,800, namun tidak diendahkan mangsa yang menyedari sudah ditipu,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan Batu Kikir bagi tindakan lanjut.

    Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • PGA tumpaskan sindiket seludup PATI

    PGA tumpaskan sindiket seludup PATI

    BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) didalangi seorang tekong darat warga tempatan tumpas di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor, semalam.

    Menerusi Op Benteng Covid-19 tersebut, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 5 pagi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Rizal Mohamed berkata, hasil pemeriksaan lanjut membongkar kegiatan penyeludupan itu.

    “Kita berjaya mengesan seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada 38 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rizal berkata, operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu mendapati kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut menggunakan bot.

    “Turut dirampas sebuah kenderaan, dua unit telefon bimbit serta wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM61,400,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Permerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

    “Kesemua tangkapan akan menjalani ujan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas polis,” jelasnya.

  • Rayu bina 40 rumah baharu keluarga Orang Asli

    Rayu bina 40 rumah baharu keluarga Orang Asli

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KIRA-KIRA 40 keluarga dari Kampung Orang Asli Teluk Jawa di Pasir Gudang merayu kerajaan membaiki atau membina rumah baharu untuk kerana keadaan kediaman sedia ada yang sudah rosak dan usang.

    Seorang penduduk, Awie Mee, 39, berkata, rumah mereka perlukan kediaman baharu bagi memastikan dapat tinggal dengan selesa dan selamat.

    Awie Mee

    Dia mendakwa, permohonan untuk membaiki rumah mereka sudah dimohon kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sejak lebih 10 tahun lalu tetapi tiada jawapan sehingga kini.

    “Namun ada pihak yang bermurah hati memberi sumbangan zink untuk menggantikan atap rumah kami yang sudah bocor. Rumah kami sudah usang dan jika kerajaan tidak mampu bantu, dapat memberikan peruntukan tiang konkrit pun sudah memadai,” katanya.

    Awie berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menyampaikan pakaian terpakai kepada penduduk kampung tersebut, hari ini.

    Bapa kepada empat anak dan merupakan seorang nelayan itu berkata, semua rumah di kampung itu menggunakan tiang daripada kayu bakau untuk struktur utama rumah dan perlu digantikan pada setiap tahun.

    Menurut Aiman Majid, 35, ketika ini banyak kawasan hutan bakau sudah dimajukan dan penduduk mempunyai kesukaran untuk mendapatkan kayu berkenaan bagi menggantikan tiang lama di rumah mereka.

    Aiman Majid

    “Kita memerlukan kira-kira 40 batang tiang daripada kayu bakau pada setiap tahun untuk menggantikan tiang sedia ada. Kalau kerajaan dapat memberi bantuan tiang konkrit, ini akan bertahan lebih lama dan tidak perlu menukar tiang kayu bakau setiap tahun,” katanya.

    Noraisyah Abdullah, 32, yang juga seorang nelayan mahukan kerajaan membaiki titi kayu yang menjadi penghubung antara rumah ke rumah di kampung tersebut kerana struktur sedia ada sudah rosak dan berlubang.

    Noraisyah Abdullah

    “Saya dan suami terpaksa mengutip kayu dan papan yang dibuang untuk digantikan pada laluan titi yang sudah rosak. Selain itu diharap kerajaan dapat menyediakan tempat pembuangan sampah atau tong sampah. Ketika ini penduduk membuang sampah ke dalam laut,” katanya.

    Yati Mee, 40, berkata, dia dan suami yang menjadi nelayan dengan pendapatan tidak seberapa mengharapkan bantuan kerajaan membangunkan kampung itu yang didakwa sudah diduduki datuk mereka sejak lebih 100 tahun lalu.

    Yati Mee

    Dia mendakwa, rata-rata penduduk adalah nelayan selain menternak kupang dan mereka yang kini merupakan generasi ketiga dan keempat tidak mampu membina rumah baharu atas faktor kewangan.

    Sementara itu, Hassan berkata, kira-kira RM2 juta diperlukan untuk membina kediaman baharu di kampung itu kerana kebanyakan rumah penduduk mengalami kerosakan bahagian atap dan dinding papan lapisnya sudah berlobang serta reput.

    Ketiadaan tong sampah dan tempat membuang sampah khusus mengakibatkan penduduk membuang sampah ke laut di Kampung Orang Asli Teluk Jawa

    “Semua rumah yang ada ini didirikan atas air dan diperbuat daripada kayu sepenuhnya. Perkampungan Orang Asli ini dibenarkan duduk atas tanah rizab kerajaan sejak sebelum merdeka lagi. Kita khuatir ribut akan meroboh dan merosakkan rumah mereka,” katanya.

  • 5,900 sukarelawan CDERT hadapi banjir-Dr. Abd. Latiff

    5,900 sukarelawan CDERT hadapi banjir-Dr. Abd. Latiff

    MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad memberitahu, seramai 5,900 anggota sukarelawan pasukan tindak balas kecemasan pertahanan awam (CDERT) dari seluruh negara bersedia untuk digerakkan bagi memberi bantuan awal bencana banjir.

    Ahli Parlimen Mersing itu berkata, ini berikutan musim monsun timur laut yang sedang melanda ketika ini.

    “Kesemua mereka boleh digerakkan dalam membantu berhadapan dengan bencana monsun hingga Mac tahun depan.

    “Berdasarkan pengalaman, mulai bulan ink hingga Januari adalah tempoh kritikal bagi fenomena ini. Oleh itu bagi parlimen yang sudah tubuhkan CDERT boleh gerakkan semasa bencana ini berlaku,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran CDERT Keluarga Malaysia Parlimen Mersing di Politeknik Mersing, hari ini.

    Katanya, pasukan CDERT bakal diwujudkan di seluruh kawasan parlimen untuk memasyarakatkan institusi Angkatan Pertahanan Awam (APM) daripada sudut tindak balas kecemasan pertahanan awam.

    Perkara tersebut katanya, telah dipersetujui oleh Perdana Menteri dan dijangka baki 60 kawasan Parlimen bakal mempunyai pasukan itu menjelang pertengahan tahun depan.

    Tambahnya, ketika ini sebanyak 162 kawasan Parlimen sudah ada pasukan CDERT ini dan baki 60 parlimen lagi akan mempunyai pasukan tersendiri menjelang pertengahan tahun depan.

    Di Johor sebanyak 12 Parlimen telah mempunyai pasukan CDERT dengan jumlah keanggotaan seramai 594 anggota.

  • Pelajar IPTA dikhuatiri lemas dalam tasik

    Pelajar IPTA dikhuatiri lemas dalam tasik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AKTIVITI riadah sekumpulan lelaki yang melakukan aktiviti mendaki bertukar menjadi detik hitam apabila salah seorang daripada mereka telah terjatuh tebing dan masuk ke Tasik Tiga Beradik, Plentong, Johor Bahru, pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Pasir Gudang dikhuatiri lemas di tasik berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.20 pagi menyatakan terdapat seorang lelaki dewasa berusia 20-an dipercayai lemas.

    Beliau berkata, mangsa difahamkan bersama kira-kira 40 rakannya melakukan aktiviti riadah mendaki di kawasan tersebut.

    “Mangsa dipercayai melakukan aktiviti mendaki dikawasan tersebut. Ketika mereka ingin melintasi tasik dengan melalui tebing, mangsa telah terjatuh. 

    “Rakan mangsa cuba membantu dengan menarik mangsa namun kehabisan tenaga dan pegangan tangan mangsa telah terlepas dari tangan rakan mangsa hingga menyebabkan mangsa tenggelam ke dasar tasik. 

    “Selepas cubaan menyelamat gagal, salah seorang rakan mangsa kemudian menghubungi pihak bomba,”katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Saiful Bahri, 11 anggota dari BBP Johor Jaya dan Pasir Gudang digegaskan ke lokasi bagi usaha mencari dan menyelamat yang masih dijalankan sehingga kini.

  • Hari kedua fenomena air pasang besar di Kuala Kedah, penduduk bimbang

    Hari kedua fenomena air pasang besar di Kuala Kedah, penduduk bimbang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    FENOMENA air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Kedah antaranya kampung-kampung dan kawasan pekan yang menempatkan jeti untuk ke Pulau Langkawi, dinaiki air untuk tempoh beberapa jam kelmarin dan semalam.

    Tinjauan Warta Rakyat di kawasan terjejas mendapati, air laut melimpah ke darat selama beberapa jam sejak pukul 11 malam, sebelum surut beberapa jam kemudian mengakibatkan beberapa rumah penduduk turut ditakungi air.

    Menurut penduduk Kampung Seberang Kota, Asiah Din, 58, keadaan itu menyebabkan mereka perlu mengambil langkah berja-jaga pada waktu malam dengan keadaan itu dijangka berterusan hingga Isnin depan.

    “Sejak dua malam lalu, saya bersama anak-anak hanya mengangkat barangan ke tempat-tempat tinggi. Apabila air surut kelmarin pun, kami sekadar mengeluarkan sisa-sisa air dari rumah.

    “Memang kami tak bersihkan semua sebab fenomena air pasang besar ini dijangka berlaku hingga 8 November. Apabila selesai semuanya nanti, barulah kami bersihkan rumah secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui pemberita, awal pagi tadi.

    Sementara itu Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Setar, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, tinjauan pihaknya mendapati keadaan di kebanyakan kawasan masih terkawal.

    “Kebanyakan kawasan dinaiki air pada paras 0.5 hingga 0.7 meter. Arus air yang naik ke dara juga dilihat tidak terlalu laju di kebanyakan kawasan.

    “Sehingga awal pagi ini, masih tiada yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Namun kami berharap semua pihak akan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan masing-masing terjamin,” katanya.

    Menurutnya, tinjauan dilakukan dalam tempoh dua hari ini mendapati air laut naik ke darat untuk tempoh selama kira-kira tiga jam sebelum kembali surut.

  • Bekas atlet menembak negara meninggal dunia

    Bekas atlet menembak negara meninggal dunia

    ARENA sukan negara kehilangan seorang bekas atlet penembak negara, Muslifah Zulkifli yang meninggal dunia pagi tadi. 

    Berita pemergian arwah dikongsi Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi akaun media sosial mereka, hari ini.

    “Dimaklumkan Muslifah Zulkifli (bekas atlet menembak kebangsaan) baru saja meninggal dunia pagi ini.

    “Takziah kepada keluarga beliau dan semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang beriman,” tulis MSN pada akaun Instagram miliknya.

    Muslifah adalah bekas penembak negara yang lama berada dalam program latihan pasukan kebangsaan dan pernah terbabit dalam Program Podium pada tahun 2015 hingga 2017.

    Allahyarham pernah memenangi pingat gangsa Sukan Asia 2014 bagi acara rifle 50 meter prone berpasukan wanita bersama Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim.

  • Bapa, anak menagih dadah dicekup

    Bapa, anak menagih dadah dicekup

    SEORANG penagih dadah ditahan bersama-sama anaknya dalam serbuan Op Jihad Dadah di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Petaling Jaya, tengah malam tadi.

    Serbuan pukul 12 tengah malam itu menahan lelaki berusia 38 tahun bersama-sama anak lelakinya yang berusia 17 tahun.

    Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai sempat membuang serbuk disyaki dadah.

    Lelaki tersebut meronta-ronta dan meraung semasa hendak ditahan anggota serbuan memaksa isterinya yang turut berada dalam rumah membuat keputusan untuk pergi ke balai supaya suaminya memberi kerjasama kepada pihak polis.

    Difahamkan, lelaki terbabit dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun itu pernah ditahan di kediaman tersebut sebelum ini atas kesalahan sama malah kes berkenaan masih di peringkat perbicaraan di mahkamah namun kedua-dua mereka masih tidak serik.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Fakhruddin Abdul Hamid berkata, Op Jihad Dadah merupakan yang pertama kali seumpamanya diadakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

    “Jihad dadah ini bertujuan menangkap pengedar dan penagih dadah yang bergiat aktif di dalam daerah Petaling Jaya dan menyekat kemunculan penagih baharu serta memberi pendidikan dan kesedaran kepada kumpulan sasaran.

    “Kawasan Lembah Subang dipilih kerana terdapat banyak aduan yang diterima berkaitan dengan masalah penagihan dadah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Petaling Jaya, malam tadi.

    Mohd. Fakhruddin memberitahu, pihaknya berjaya merampas syabu (81.03 gram), heroin (21.07 gram), ganja (0.30 gram) dan air ketum (10 liter) di Lembah Subang sejak Januari hingga Oktober 2021.

    Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya turut mencatatkan sebanyak 59 tangkapan melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam tempoh sama di sini.

    Op Jihad Dadah itu melibatkan 123 orang pegawai kanan dan anggota polis dari bahagian dan cawangan serta balai-balai di bawah Petaling Jaya.

    Operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melibatkan anggota dari kedua-dua agensi.

  • ‘Hero Bukit Kepong’ J.J. Raj meninggal dunia

    ‘Hero Bukit Kepong’ J.J. Raj meninggal dunia

    HERO Bukit Kepong, Tan Sri John Joe Raj atau lebih dikenali sebagai J.J. Raj (Jr) meninggal dunia pada usia 100 tahun di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Ara Damansara pad pukul 1.55 pagi tadi akibat serangan jantung.

    Kematian bekas Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disahkan disahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan, hari ini.

    “Jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh Tan Sri J.J. Raj (Jr.) sangat besar dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan dan negara,” katanya.

    Mendiang yang terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis, sewaktu era darurat pada tahun 1950.

    Pertempuran pengganas komunis dengan sepasukan anggota polis di Balai Polis Bukit Kepong itu merupakan antara tragedi hitam yang tersemat dalam sejarah negara.

    Keadaan Balai Polis Bukit Kepong selepas kejadian serangan pengganas komunis pada 23 Februari 1950.

    Tragedi pada 23 Februari 1950 itu yang turut dikenali sebagai The Malayan Alamo menyaksikan bagaimana sebuah balai polis terpencil di Bukit Kepong musnah di tangan komunis.

    Balai Polis Bukit Kepong ketika itu diketuai Sarjan Jamil Mohd. Shah, terletak kira-kira 59 kilometer dari bandar Muar.

    Balai polis tersebut pula berada di bawah kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pagoh yang diketuai J.J. Raj (Jr).

    Selepas tragedi itu, mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Pesuruhjaya Polis.

    Jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai, petang ini.

    Mendiang meninggalkan empat orang anak serta tiga cucu, isterinya, Puan Sri Irene Raj meninggal dunia pada 2007.