Author: Admin

  • Hutan Lipur Bukit Wang dilanda kepala air

    Hutan Lipur Bukit Wang dilanda kepala air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGUNJUNG yang berkelah di Hutan Lipur Bukit Wang dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini dikejutkan dengan kejadian kepala air yang berlaku kira-kira pukul 6 petang tadi.

    Selain mengakibatkan beberapa kampung terdekat mengalami banjir kilat, kejadian itu turut menyebabkan dua remaja lelaki terkandas hingga terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi, terdapat sekurang-kurangnya lapan keluarga yang tinggal di Kampung Sampang, Kampung Bukit Wang dan Kampung Padang Panjang terjejas akibat kejadian tersebut.

    “Kejadian kepala air itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat selama beberapa jam petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Klip video mengenai kejadian itu yang dirakam beberapa pengunjung turut tular dalam media sosial, malam ini.

    Sekurang-kurangnya lapan keluarga yang tinggal di Kampung Sampang, Kampung Bukit Wang dan Kampung Padang Panjang terjejas

    Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.09 petang tadi menyatakan terdapat lapan individu termasuk warga emas dan kanak-kanak terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Padang Panjang.

    “Setibanya di lokasi, terdapat tiga rumah yang dinaiki air setinggi hampir 1.5 meter. Kesemua mereka yang berusia antara 4 hingga 74 tahun kemudiannya berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya.

    Tambahnya, pihak bomba turut melakukan penilaian risiko di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa tertinggal dengan operasi tamat sepenuhnya pada 7.30 petang.

  • Ziyad tidak akan terima ganjaran RM1 juta: KBS

    Ziyad tidak akan terima ganjaran RM1 juta: KBS

    JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak akan menerima ganjaran RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) susulan penyertaannya dibatalkan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

    Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketetapan dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bukan sebagai hukuman kepada atlet berkenaan susulan terlepas peluang mempertahankan pingat emas pada temasya itu Ogos lepas.

    Ahmad Faizal tanpa mendedahkan secara terperinci berkata, beberapa pihak telah menawarkan untuk memberi ganjaran kepada atlet berusia 31 tahun itu sebagai menghargai pengorbanan dan usahanya di temasya sukan berkenaan.

    “KBS memutuskan tiada ganjaran yang akan diberikan kepada Muhammad Ziyad menerusi SHAKAM.

    “Namun saya akan berhubung dan berbincang dengan Muhammad Ziyad tentang ganjaran yang tidak ada kena mengena dengan peruntukan kewangan kerajaan,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Hari Integriti dan pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi peringkat KBS 2021 di Menara KBS di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya berkenaan sekali gus gagal mengulangi kejayaan diraih pada edisi Sukan Paralimpik Rio 2016.

    Beliau diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak bermula susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.

    Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

    Minggu lepas, sebuah jawatankuasa siasatan dalaman dilantik bagi merungkai isu melanda Muhammad Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo itu, merumuskan atlet tersebut dan jurulatihnya tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan di bilik panggilan.

    Hasil daripada sesi temu bual serta dokumen diperoleh jawatankuasa itu mendapati tiada kelibat Muhammad Ziyad dan jurulatihnya Mohd Faizol Harun pada waktu ditetapkan walaupun mereka mendakwa tiba sebelum tamat waktu pendaftaran di Bilik Panggilan Satu, Stadium Olimpik Tokyo. – Bernama

  • Mahkamah perintah Awie bayar RM80,000 kepada bekas isteri

    Mahkamah perintah Awie bayar RM80,000 kepada bekas isteri

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pelakon dan penyanyi Datuk Ahmad Azhar Osman, atau lebih dikenali sebagai Awie, membayar ganti rugi RM80,000 kepada Rozana Misbun kerana mencederakan bekas isterinya itu tujuh tahun lepas.

    Rozana telah memfailkan saman sivil pada tahun 2017 terhadap Awie memohon ganti rugi bagi kecederaan yang dialaminya akibat dipukul pelakon itu yang didakwa berlaku di tiga lokasi termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak pada 2014.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Awie dan mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Rozana.

    Nor Bee berkata, ganti rugi am RM30,000 bagi kesakitan serta penderitaan dan ganti rugi teruk RM50,000 bagi tekanan serta rasa malu yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen kepada Rozana adalah adil dan munasabah berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

    Mahkamah Tinggi telah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu sehingga menyebabkan Awie membawa perkara tersebut ke Mahkamah Rayuan.

    Nor Bee yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Ghazali Cha memutuskan bahawa tidak ada merit dalam rayuan Awie serta memerintah beliau membayar RM15,000 sebagai kos.

    Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata, panel itu tidak berpuas hati dengan hujah bahawa Mahkamah Sesyen telah terkhilaf atau tersalah arah dari segi undang-undang, fakta atau bukti dalam kes tersebut.

    “Responden (Rozana) memberi keterangan bahawa ketiga-tiga insiden memang berlaku dan Mahkamah Sesyen menerima keterangan itu serta mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai dan perkara ini telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

    Beliau berkata, mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujah peguam Hazman Harun yang mewakili Awie bahawa Rozana adalah terhalang daripada memfailkan tindakan sivil berhubung insiden itu selepas beliau bersetuju menyelesaikan kes tersebut melalui bayaran kompaun.

    Pada Mei 2016, Mahkamah Majistret Ampang membebas dan melepaskan Awie daripada pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana selepas penyanyi rock kumpulan Wings itu membayar kompaun sebanyak RM10,000 serta meminta maaf secara terbuka dalam mahkamah kepadanya.

    “Pada pandangan kami, membayar kompaun bagi kesalahan itu adalah perkara yang berkaitan dengan undang-undang serta prosedur jenayah dan tidak mempunyai sebarang kesan ke atas hak responden (Rozana) untuk memfailkan tindakan sivil terhadap perayu (Awie) bagi mendapatkan remedi berdasarkan fakta yang sama dalam pertuduhan bagi insiden pertama,” kata Nor Bee.

    Beliau berkata, Awie turut didakwa bagi kes kedua iaitu mencederakan Rozana di kaunter PNB dan penyanyi itu telah mengaku bersalah serta didenda sebanyak RM2,000.

    Hakim itu berkata, meskipun tiada pertuduhan dikenakan terhadap Awie bagi insiden ketiga yang didakwa berlaku di kawasan parkir PNB, namun Rozana telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

    Awie menafikan bahawa insiden ketiga itu berlaku dan memfailkan tuntutan balas terhadap Rozana atas dakwaan pecah amanah kerana telah menggunakan wang yang disimpan untuk pendidikan anak mereka. Bagaimanapun, tuntutan balas itu telah ditolak oleh Mahkamah Sesyen.

    Rozana diwakil peguam Azlan Abd Roni, Nasyrah Ezzan Ali dan Ahmad Fakhri Abu Samah. – Bernama

  • Ah Long salah rumah simbah cat merah, tinggal nota ugutan

    Ah Long salah rumah simbah cat merah, tinggal nota ugutan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    GARA-GARA pinjaman wang tanpa lesen atau ah long tersalah rumah, seorang penghantar barang kerugian dan hidup dalam ketakutan apabila kediamannya disimbah cat merah di Taman Muhibbah di Kulai kelmarin.

    Mangsa, Mohd. Hafiz Mohd. Khairi, 36, berkata, ketika kejadian dia dan isteri bersama-sama tiga anaknya pulang ke kampung di Kota Tinggi pada malam kelmarin dan balik ke rumah mereka pada pukul 8 pagi semalam.

    Dia berkata, apabila sampai mereka amat terkejut melihat pagar dan pekarangan rumahnya disimbah cat merah selain terdapat nota ugutan yang ditinggalkan di pagar rumah.

    “Saya hairan melihat cat merah disimbah di seluruh rumah saya. Saya tidak pernah meminjam wang daripada sesiapa apatah lagi ah long.

    “Tiga daripada lapan kucing saya turut terkena cat merah. Beberapa ikan peliharaan saya turut mati kerana cat merah masuk akuarium,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Taman Tropika di sini hari ini.

    Mohd Hafiz (kiri) dan Wee Tse menunjukkan salian laporan polis dan foto-foto rumah disimbah cat merah di Taman Muhibbah, selepas sidang akhbar Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Batu, Taman Tropika, Kulai, hari ini

    Katanya, nota ugutan yang ditinggalkan itu merupakan amaran untuk membakar rumahnya jika enggan membayar balik pinjaman.

    Menurutnya, ah long meninggalkan nombor telefon Singapura dalam nota ugutan itu dan meminta menghubungi individu bernama Kent dan apabila isterinya menghubungi nombor tersebut dan memaklumkan tidak pernah meminjam wang, mereka tidak peduli dengen penjelasan yang diberikan.

    Dia berkata, mereka juga meletakkan alamat jirannya dalam nota ugutan berkenaan yang merujuk kepada rumah sebelah.

    Mohd. Hafiz mendakwa, ah long berkenaan hanya mahukan duit mereka dibayar dan susulan itu dia membuat laporan polis pada Isnin kerana bimbang keselamatan keluarganya terutama anak-anaknya yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.

    “Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya, lebih-lebih lagi ah long berkenaan mengancam untuk membakar rumah saya. Mereka menyuruh saya membayar bagi pihak jiran jika saya tidak mahu membahayakan nyawa keluarga saya,” katanya.

    Dia ada memberitahu jirannya tentang kejadian itu namun mendakwa bahawa tiada seorang pun daripada keluarga mereka meminjam wang.

    Beberapa ikan peliharaan turut mati selepas cat merah masuk akuarium

    “Jiran saya yang merupakan pasangan warga emas berusia 60-an dan anak lelaki mereka berusia 38 tahun berkata, tiada sesiapa di rumah mereka meminjam wang daripada peminjam.

    “Mereka memberitahu saya bahawa mereka juga telah menghubungi dua anak mereka yang tinggal di Singapura dan turut mendakwa mereka tidak membuat sebarang pinjaman,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keluarga Mohd Hafiz tidak bersalah dan berharap polis dapat menyiasat perkara itu secepat mungkin dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

    “Ini adalah tidak adil untuk keluarga kerana mereka tidak melakukan kesalahan. Ugutan daripada pemberi pinjaman terlalu melampau dan menyebabkan tekanan kepada keluarga,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada enam keluarga yang telah diancam ah long sejak Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

  • Polis selamatkan tiga remaja jadi mangsa eksploitasi seks

    Polis selamatkan tiga remaja jadi mangsa eksploitasi seks

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA remaja perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur berjaya diselamatkan hasil serbuan yang dilakukan di sebuah premis kecantikan di Jalan Air Hitam, Batu 21, Kulai, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kesemua remaja tempatan yang diselamatkan itu berusia lingkungan 13 hingga 15 tahun.

    Katanya, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bertindak atas maklumat menjalankan serbuan dan pemeriksaan Op Noda pada pukul 2.40 petang.

    “Setibanya di lokasi, polis membuat pemeriksaan dan menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan.

    “Dalam serbuan itu, polis turut berjaya menyelamatkan remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Polis turut merampas tiga unit telefon bimbit, sehelai tuala, segulung tisu, satu paket kondom dan wang tunai berjumlah RM534.

    Katanya, kesemua suspek dan mangsa yang diselamatkan dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-duanya direman empat hari bermula hari ini sehingga 12 November untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

    Ujar Beng Yeow, kes turut disiasat mengikut Seksyen 373(1)(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

  • PRN Melaka: calon Pas boleh buat kejutan, tarik pengundi muda

    PRN Melaka: calon Pas boleh buat kejutan, tarik pengundi muda

    LAPAN wakil Pas yang dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah yang mampu membuat kejutan dan menarik pengundi muda, kata Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata kesemua calon Pas itu datang daripada pelbagai latar belakang, namun mempunyai ‘satu sasaran’ iaitu membawa kemenangan kepada parti di bawah ‘payung’ Perikatan Nasional (PN).

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, dengan 15 kerusi diwakili Bersatu, PAS (lapan) dan Gerakan (lima).

    Lapan kerusi yang ditandingi Pas adalah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

    “Saya optimis mereka boleh bantu Pas untuk capai kemenangan kalau tidak 100 peratus pun, sekurang-kurangnya dapat tarik pengundi muda dan buat kejutan,” kata Takiyuddin kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan ‘Product Safety Award’ 2021, hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

    Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Bernama

  • 1MDB diurus umpama ‘kedai kopi Cina’

    1MDB diurus umpama ‘kedai kopi Cina’

    Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini bahawa cara pengurusan syarikat itu boleh digambarkan seumpama pengurusan ‘kedai kopi Cina’.

    Analogi itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

    Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata demikian semasa membantah pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed terhadap bekas ketua pegawai eksekutif Mohd Hazem Abdul Rahman, yang dianggapnya tidak relevan kepada pembelaan Najib.

    “Apa sekalipun kita setuju, hal ehwal 1MDB dijalankan dan diurus bagaikan sebuah kedai kopi Cina di Jalan Petaling.

    “Bagi kami, Jho Low (merujuk kepada ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho) adalah ‘alter ego’ serta bayangan tertuduh (Najib) dan mereka bekerjasama… kami boleh terima pemeriksaan balas yang sebegini hanya kerana ia sama sekali tidak relevan dengan kes kami,” kata Sri Ram kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Hakim Sequerah mempersoalkan bentuk soalan Wan Aizuddin terhadap Mohd Hazem yang merupakan saksi pendakwaan ke-10 mengenai prospektus yang diserahkan kepada Bursa Malaysia untuk cadangan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) bagi sebuah anak syarikat 1MDB, yakni 1MDB Energy.

    Semasa menjawab soalan peguam, saksi berusia 49 tahun itu berkata dia hanya mempunyai pengetahuan asas mengenai IPO dan hanya tahu mengenai draf prospektus itu sahaja, sambil menambah dia tidak dapat mengingati tarikh sebenar prospektus itu diserahkan kepada Bursa pada tahun 2014.

    Bagaimanapun Wan Aizuddin yang mewakili Najib terus menekan saksi itu berhubung pengeluaran IPO 1MDB Energy.

    Hakim Sequerah: Kemana hala tuju soalan anda ini, dan apa tujuan soalan berkaitan dengan IPO ini? Saksi ini sudah pun beritahu bahawa dia tidak tahu sangat mengenai penyenaraian. Apa kaitannya dengan pembelaan anak guam anda?

    Wan Aizuddin: Ia bertujuan menunjukkan bahawa terdapat salah pengurusan dalam 1MDB, yang menyebabkan anak guam saya dipersalahkan.

    Peguam itu berkata sama seperti pendakwaan, pihak pembelaan juga perlu membuktikan kes mereka bahawa terdapat kecuaian dan salah laku dalam hal ehwal 1MDB yang lakukan oleh Jho Low.

    Hakim Sequerah kemudiannya meminta Wan Aizuddin meneruskan perbicaraan dengan bentuk soalan berikutnya, dan meminta beliau menyatakan niatnya dalam penghujahan nanti.

    “Sekiranya saksi beritahu anda yang dia tidak tahu, berhenti sahaja di situ dan masukkan ia dalam penghujahan anda nanti,” kata Hakim Sequerah.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu. – Bernama

  • Penunggang motosikal maut tersepit bawah tayar bas

    Penunggang motosikal maut tersepit bawah tayar bas

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal terlanggar seekor anjing sebelum terjatuh dan tersepit di bawah tayar di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Ipoh, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan memberitahu, kejadian tersebut berlaku pada pukul jam 6.30 pagi ketika mangsa yang berusia 26 tahun menunggang sendirian dari tempat kerja untuk pulang ke rumahnya.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah terlanggar seekor anjing yang sedang melintas menyebabkan mangsa tercampak di tengah jalan.

    “Sebuah bas yang dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah sama cuba memberhentikan kenderaan dan mengelak mangsa, namun gagal.

    “Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC disahkan maut pada jam 7.25 pagiakibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katana, mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19.

  • PRN Melaka: 4 kes bawa penyokong – polis akan panggil penganjur

    PRN Melaka: 4 kes bawa penyokong – polis akan panggil penganjur

    POLIS akan memanggil penganjur yang membawa kumpulan penyokong parti ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam, untuk diambil keterangan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Melaka, Asisten Komisioner Azlan Abu, berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu dipercayai penganjur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

    Setakat ini polis menerima empat laporan berhubung kejadian itu membabitkan pusat penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Tanjung Bidara, Kota Laksamana dan Kuala Linggi.

    “Semua individu dipercayai penganjur ini sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan, mungkin hari ini atau selewat-lewatnya esok bagi melengkapkan siasatan.

    “Kertas siasatan perlu disiapkan dalam tempoh tiga hari sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya, hari ini.

    Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya hanya menerima dua permohonan permit untuk menjalankan kempen pilihan raya iaitu daripada parti DAP setakat ini.

    “Setakat yang kita berbincang bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), permit hanya dikeluarkan kepada permohonan mengadakan kempen melalui pembesar suara.

    “Kepada parti politik yang ingin memohon permit berkempen melalui pembesar suara, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Polis Daerah. Setakat ini hanya dua permohonan diterima iaitu daripada DAP,” katanya.

  • Lakukan pembakaran terbuka, premis tapak binaan dikompaun RM2,000

    Lakukan pembakaran terbuka, premis tapak binaan dikompaun RM2,000

    SEBUAH premis di kawasan tapak pembinaan di Seberang Perai, Pulau Pinang dikompaun sebanyak RM2,000 selepas dikesan melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka.

    Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kesalahan itu dikesan dalam satu pemantauan rutin pihaknya semalam.

    Jelas beliau, pembakaran terbuka merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    Tambahnya, menerusi akta itu, kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikenakan bagi setiap longgokan pembakaran dan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pembakaran terbuka merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

    “Sehubungan itu, penduduk Pulau Pinang dinasihatkan segera menghentikan amalan pembakaran secara terbuka bagi menjaga kualiti udara sekitar.

    “Sisa pepejal termasuk reja kayu (kayu-kayu kecil) sebenarnya boleh dikitar semula dan pihak yang berminat boleh menyertai komuniti ‘Zero Waste Network’ (jaringan sisa buangan sifar) bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, maklumat lanjut mengenai komuniti ‘Zero Waste Network’ itu boleh dirujuk di laman sesawang Penang Green Council.

    Dalam masa sama jelasnya, orang awam juga boleh melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].