Author: Admin

  • 50 pemandu, pemilik lori sampah demonstrasi aman bantah peraturan baharu MBSP

    50 pemandu, pemilik lori sampah demonstrasi aman bantah peraturan baharu MBSP

    KIRA-KIRA 50 pemandu dan pengusaha lori sampah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini mengadakan demonstrasi aman bagi membantah peraturan baharu yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

    Mereka berkumpul di hadapan bangunan MBSP kira-kira pukul 10 pagi ini bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dan mendesak pengurusan MBSP membatalkan peraturan baharu itu yang disifatkan membebankan dan merugikan mereka.

    Menurut Ketua Kumpulan Kebajikan Pemandu-Pemilik Lori Sampah Seberang Perai, Arif Ibrahim, antara yang menimbulkan rasa tidak puas hati mereka adalah kenaikan caj hampir dua kali ganda untuk membawa sampah ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Seberang Perai Selatan.

    Ujarnya, sebelum ini pihaknya mengenakan caj untuk sebuah lori yang boleh memuatkan lebih tiga tan sisa pepejal dari Bertam, Kepala Batas ke tapak pelupusan sampah itu hanya RM180 kepada pelanggan.

    Bagaimanapun jelasnya, kadar baharu yang dikenakan MBSP iaitu sebanyak RM70 satu tan untuk membawa sisa pepejal itu menyebabkan mereka kini terpaksa mengenakan caj lebih tinggi iaitu antara RM400 hingga RM450 kepada pelanggan.

    Mereka berkumpul di hadapan bangunan MBSP bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dan mendesak pengurusan MBSP membatalkan peraturan baharu itu

    “Peningkatan yang sangat mendadak ini pastinya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk dan akibatnya kami pula dipandang serong yang mana sengaja mahu mengenakan caj mahal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai demonstrasi aman itu.

    Menurut Arif, selain isu kenaikan harga sisa pepejal, pihaknya juga membantah cadangan MBSP untuk memasang peranti penjejak sistem penentu kedudukan hlobal (GPS) pada kenderaan mereka.

    Jelasnya, peraturan itu tidak logik memandangkan mereka hanya mengutip sampah di kilang-kilang atau rumah ke rumah, bukannya mengutip sampah daripada pihak kerajaan.

    Selain itu tambah beliau, pihaknya turut mendesak MBSP menyelesaikan masalah tempat pelupusan sampah di Pulau Burung yang disifatkan sangat teruk dan tidak sesuai.

    “Keadaan di tapak pelupusan sampah itu amat berbahaya kepada pemandu-pemandu lori dan pekerja-pekerja MBSP sendiri kerana beberapa kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan masalah tayar lori yang kerap tersangkut sering berlaku di situ,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau turut mempertikaikan caj sebanyak RM10 yang akan dikenakan kepada pemandu lori setiap kali masuk untuk melupuskan sisa di tapak tersebut berbanding RM20 untuk sepanjang hari seperti sebelum ini.

  • Syabu disorok dalam sofa untuk dihantar ke Malaysia

    Syabu disorok dalam sofa untuk dihantar ke Malaysia

    PIHAK berkuasa Thailand merampas 210 kilogram (kg) methamphetamine yang dijumpai disembunyikan di dalam sofa untuk dihantar ke Malaysia.

    Setiausaha Agung Biro Pencegahan Narkotik (NCB) Wichai Chaimongkol berkata, pegawai Seaport Interdiction Task Force (SITF), pada Isnin, menjumpai 210 bungkusan uncang teh Cina yang disorok di dalam 19 sofa.

    Bertindak atas maklumat, beliau berkata, SITF mengadakan operasi bersama dan turut menahan seorang wanita rakyat Thailand berusia 26 tahun.

    “Dadah itu dibungkus dalam 210 uncang teh Cina, setiap satu seberat satu kg dan disembunyikan dalam sembilan peti kayu kecil dan satu peti kayu besar yang mengandungi sofa,” katanya pada sidang media di Bangkok, semalam.

    Beliau berkata, suspek dipercayai akan menghantar dadah itu kepada sebuah syarikat logistik swasta dan kemudiannya dihantar ke Malaysia.

    Media tempatan melaporkan suspek mendakwa dia dibayar 35,000 baht (RM4,400) untuk menghantar sofa berkenaan.

    Sementara itu, Wichai berkata pihak berkuasa sudah merampas pelbagai jenis dadah membabitkan 68 kes sejak Januari tahun ini.

    Beliau berkata, dadah itu termasuk 204.14 kg methamphetamine , 21.6 kg heroin, 10.02 kg ganja, 515 kg ketamin, 730gm kokain, 990 pil ekstasi dan 6,040 pil methamphetamine. – Bernama

  • Atasi segera isu guru enggan divaksin

    Atasi segera isu guru enggan divaksin

    KEMENTERIAN Pendidikan digesa supaya meneliti segera punca utama guru-guru enggan menerima vaksin Covid-19 dan mengenal pasti langkah penyelesaiannya bagi memastikan pembukaan semula sekolah dapat dijalankan dengan lancar dan selamat.

    Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, kementerian itu harus mengambil langkah yang sesuai untuk memahami sebab utama kenapa golongan guru menjadi anti vaksin.

    Tambahnya yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, penjelasan kepada mereka tentang kepentingan penerimaan suntikan vaksin perlu dilaksanakan supaya dapat mengubah pandangan mereka agar menerima vaksin demi keselamatan pelajar dan seluruh warga sekolah.

    “Kita banyak menerima aduan daripada ibu bapa yang melahirkan kebimbangan berhubung keengganan guru menerima vaksin tersebut.

    “Golongan ibu bapa turut melahirkan rasa kecewa dengan kementerian itu yang disifatkan gagal menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, tindakan keras terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin juga bukan satu cara penyelesaian yang baik dan bernas.

    Tambahnya, apa yang mengecewakan adalah isu itu telah lama wujud namun sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan dan mungkin akan berlanjutan sehingga hari pembukaan semula sekolah.

    Menurutnya, walaupun Kementerian Pendidikan tidak membenarkan guru yang belum melengkapkan vaksin mengajar secara bersemuka di sekolah, namun golongan ibu bapa dan murid tidak dapat memastikan perkara tersebut.

    Malah lebih membimbangkan ujarnya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman sebelum ini juga mengakui antara penjawat awam yang paling ramai tidak menerima suntikan vaksin adalah di Kementerian Pendidikan.

    “Jadi bagaimanakah pihak berkuasa dapat memastikan keselamatan setiap sekolah di seluruh negara,” katanya.

  • 124 dipercayai terlibat kongsi gelap ditahan di pusat KTV

    124 dipercayai terlibat kongsi gelap ditahan di pusat KTV

    KESERONOKAN seramai 124 individu yang dipercayai sedang meraikan sambutan hari jadi di sebuah pusat karaoke (KTV) di Pulau Tikus, Pulau Pinang terbantut apabila premis tersebut diserbu sepasukan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah.

    Operasi hasil risikan polis dan maklumat awam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), IPK Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Timur Laut kira-kira pukul 1 pagi tadi.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais, kesemua yang ditahan termasuk beberapa warga asing itu berumur antara 15 hingga 70 tahun.

    Jelasnya, ketika serbuan mereka yang terdiri daripada 99 lelaki dan 25 wanita sedang leka berhibur dengan alunan muzik yang kuat bagi meraikan sambutan hari jadi salah seorang pelanggan di premis tersebut.

    “Pemeriksaan juga mendapati 26 daripada mereka disyaki mempunyai tatu ahli kumpulan kongsi gelap.

    “Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas 124 individu yang ditahan mendapati 21 daripada mereka positif pelbagai jenis dadah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Tambah Rahimi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Kesalahan Kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya); Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Kesalahan melindungi atau menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin).

    Jelasnya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

    “Tindakan tegas tanpa teragak-agak akan diambil ke atas mana-mana individu yang melanggari undang-undang,” katanya.

  • 27 kru selamat selepas tiga bot barter trade karam, hampir tenggelam

    27 kru selamat selepas tiga bot barter trade karam, hampir tenggelam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 27 kru terselamat selepas dua buah bot barter trade yang dinaiki karam manakala satu lagi hampir tenggelam disebabkan cuaca buruk di tiga lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Pisang, Batu Pahat, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Batu Pahat menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kejadian tersebut daripada sebuah syarikat kalal pada pukul 11 pagi.

    “MRSC Johor Bahru menerima panggilan daripada ejen bot barter trade terbabit yang memaklumkan tiga buah bot barter trade syarikatnya iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya 3 telah mengalami kecemasan di laut.

    “Susulan itu pihak maritim mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 11.30 pagi bagi menjejaki tiga buah bot barter trade itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pada pukul 12.27 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada pihak ejen kapal itu yang memaklumkan KLM Budiman telah dijumpai dan hampir tenggelam pada kedudukan 8.1 batu nautika Tanjung Laboh.

    Jelasnya, bot barter trade itu ditemukan sebuah kapal kargo yang berada berhampiran dan kesemua 10 kru warga Indonesia tersebut dilaporkan selamat.

    Beliau berkata, sekitar pukul 12.57 tengah hari, MRSC Johor Bahru menerima pula maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai penemuan tujuh kru KLM Alam Makmur oleh sebuah kapal pasir pada kedudukan 7.4 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

    “KLM Alam Makmur dilaporkan telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya dan disyaki akibat cuaca buruk,” katanya.

    Sementara pada pukul 3.45 petang katanya, MRSC Johor Bahru menerima maklumat mengenai 10 kru KLM Firman Jaya 3 telah diselamatkan oleh sebuah bot barter trade berhampiran dan telah dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia.

    “KLM Firman Jaya 3 juga telah karam di lokasi yang tidak diketahui kedudukannya berikutan cuaca buruk,” ujarnya.

    Tiga buah bot barter iaitu KLM Budiman, KLM Alam Makmur dan KLM Firman Jaya 3 telah mengalami kecemasan di laut

    Kesemua 27 kru tiga bot barter trade itu katanya, telah berjaya diselamatkan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 5.30 petang semalam dan maritim Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap semua agensi serta komuniti yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.

  • Lelaki Bangladesh ditipu rakan senegara dikurung, diminta wang tebusan

    Lelaki Bangladesh ditipu rakan senegara dikurung, diminta wang tebusan

    IMPIAN seorang lelaki warga Bangladesh yang mahu memulakan perniagaan di Malaysia tidak kesampaian selepas ditipu rakan senegara.

    Mangsa yang dikenali sebagai Mosharaf, 37, berkata, bagi mencapai impiannya dia terpaksa kilang aiskrim miliknya di bandar Cumilla, Bangladesh untuk membiayai kos perjalanan ke Malaysia enam tahun lalu.

    “Di Bangladesh setiap enam bulan suhu sejuk. Jadi saya bercadang hendak berniaga di sini kerana ada kawan cadangkan buka kilang di Malaysia kerana cuaca sentiasa panas,” katanya ketika ditemui pada sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di Kuala Lumpur, hari ini.

    Dia datang ke Malaysia menggunakan visa profesional melalui seorang rakan yang bekerja sebagai ejen di Bangladesh.

    Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lapangan terbang dia dibawa ke sebuah rumah di Shah Alam dan dikurung.

    Bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, pihak sindiket meminta sejumlah wang daripada keluarganya di Bangladesh sebagai syarat untuk melepaskannya.

    “Saya dikurung di tingkat tiga sebuah rumah pangsa di Shah Alam bersama-sama beberapa warga Bangladesh lain tanpa diberi makan. Saya cuba hubungi rakan yang bekerja sebagai ejen tetapi gagal.

    “Isteri saya terpaksa membayar sebanyak RM20,000 melalui pemindahan dalam talian kepada pihak sindiket untuk melepaskan saya,” katanya.

    Dia percaya, rakan senegaranya itu terlibat dengan ejen sindiket pemerdagangan manusia.

    Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan syarikat swasta mengambil kesempatan terhadap buruh asing yang ingin mencari rezeki dengan dijanjikan pendapatan lumayan tidak wajar.

    “Syarikat swasta ini berurusan dengan syarikat atau sindiket di negara sumber untuk mengutip bayaran RM15,000 ke RM20,000 satu pekerja untuk layak bekerja di negara kita.

    “Justeru, saya minta kerajaan mengkaji semula sistem kemasukan buruh asing ke negara ini termasuk tidak melantik pihak ketiga (syarikat swasta) sebagai ejen bagi menghapuskan kegiatan penyalahgunaan kuasa seumpama ini,” ujarnya.

  • Penganggur ditahan baling batu terhadap kenderaan di lebuh raya

    Penganggur ditahan baling batu terhadap kenderaan di lebuh raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG penganggur ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan perbuatan membaling batu dari atas jambatan terhadap kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan hingga menyebabkan beberapa kenderaan rosak seperti yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dibuat hasil risikan dijalankan pasukan khas yang ditubuhkan bagi mengendalikan kes tersebut.

    Katanya, suspek ditahan kira-kira 1.45 petang semalam setelah dilihat memberhentikan motosikal ditunggangnya di atas jejantas lebuh raaya dari Jalan Wang Tepus menghala ke Bandar Darulaman di Jitra.

    tangkapan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dibuat hasil risikan dijalankan pasukan khas

    “Semasa pemerhatian dibuat, didapati penunggang motosikal tersebut telah turun dari kenderaannya dan mengambil sesuatu dari dalam raga motosikal tersebut.

    “Berikutan tindakannya itu, polis menghampiri suspek dan pemeriksaan mendapati terdapat dua ketul batu dalam raga motosikal ditunggangnya itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Isnin lalu seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman dashcam menunjukkan bagaimana seorang lelaki dilihat membaling batu dari atas jambatan ke lebuh raya hingga mengakibatkan cermin depan kereta tersebut pecah manakala beberapa bahagian kereta pula kemek.

    Menurut pengguna Facebook tersebut, kejadian itu berlaku di Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara Selatan dengan dia turut membuat laporan polis berhubung perkara itu.

    Suspek memberi alasan tindakannya itu dilakukan kerana marah dan geram terhadap kenderaan berat yang sering menghimpit motosikalnya sebelum ini

    Mengulas lanjut Rodzi berkata, suspek memberi alasan tindakannya itu dilakukan kerana dia merasa marah dan geram terhadap kenderaan berat yang sering menghimpit motosikalnya sebelum ini.

    “Semakan lanjut mendapati suspek memiliki tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

    “Selain itu, ujian saringan air kencing dijalankan juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

  • 1,620kg saderi mengandungi residu racun perosak dari China dilupus

    1,620kg saderi mengandungi residu racun perosak dari China dilupus

    JABATAN Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melupuskan sebanyak 1,620 kilogram (kg) saderi yang diimport dari China kerana dikesan mengandungi residu racun perosak jenis Organonitrogen melebihi had yang dibenarkan hari ini.

    Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof Sudin berkata, sayuran berkenaan yang bernilai RM12,960 dibawa masuk dari China ke negeri itu menerusi pintu masuk antarabangsa Pulau Pinang.

    Menurutnya, JKNPP melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus memastikan produk hasil pertanian yang diimport masuk ke negara ini adalah mematuhi keperluan Akta Makanan 198 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

    “Perkara ini bagi memastikan pengguna dapat dilindungi daripada isu berkaitan keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemantauan secara berkala ke atas produk pertanian yang dijual di pasaran tempatan. 

    Katanya, hasil pemantauan yang dijalankan sepanjang tahun lalu misalnya mendapati secara purata sebanyak 12.2 peratus produk melanggar residu racun perosak telah dikesan.

    “Kebolehkesanan telah dilaksanakan dan diuar-uarkan kepada pengeluar serta pengimport produk hasil pertanian berkaitan perkara ini,” katanya.

    Tambahnya, pada tahun ini pemantauan kehadiran residu racun perosak dalam produk hasil pertanian dilakukan secara berterusan dan tindakan di pelbagai peringkat telah dilaksanakan.

    “Ini bagi memastikan semua pengeluar, penjual, ejen dan pengimport produk hasil pertanian mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

  • Warga emas kelar anak berebut siaran televisyen didakwa membunuh

    Warga emas kelar anak berebut siaran televisyen didakwa membunuh

    LELAKI warga emas yang mengelar leher anak sendiri selepas bertengkar kerana berebut siaran televisyen di Ulu Bernam, Selangor pada 3 November lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini atas tuduhan membunuh.

    S. Krisman, 72, dihadapkan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh anak lelakinya, K Apacnaidu, 37, di sebuah rumah di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam.

    Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 11 pagi hingga 11.30 pagi, pada 3 November lalu. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Amir Hamdzah, manakala tertuduh diwakili peguam, Dr Vasu Appu. Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 22 Disember untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Rakyat Malaysia menanti hukuman mati akan dirawat positif Covid-19

    Rakyat Malaysia menanti hukuman mati akan dirawat positif Covid-19

    PERKHIDMATAN Penjara Singapura (SPS) mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang dijadual dihukum gantung hari ini kerana mengedar dadah disahkan positif COVID-19 pada 9 November 2021, dan akan menerima rawatan perubatan.

    Nagaentran K. Dharmalingam, 33, hadir di Mahkamah Rayuan semalam untuk rayuan terakhir terhadap keputusan hukuman mati apabila mahkamah dimaklumkan beliau disahkan positif Covid-19.

    Menurut SPS, ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dilakukan terhadap Nagaenthran pada 8 November 2021 menunjukkan keputusan negatif pada hari yang sama.

    “Beliau dibawa ke mahkamah pada tengah hari pada 9 November 2021. Selepas menerima keputusan ujian PCR positif pada petang itu, SPS segera memaklumkan mahkamah dan Nagaentran telah diasingkan,” kata SPS di laman webnya.

    Berikutan itu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkuatkuasa serta-merta sehingga semua prosiding yang tertangguh selesai.

    SPS berkata Nagaenthran akan menerima rawatan perubatan dan prosiding akan disambung semula pada tarikh yang akan ditetapkan, selepas beliau pulih.

    “Nagaenthran sihat dan tanpa gejala. Dia tidak melaporkan sebarang penyakit sebelum perbicaraan mahkamahnya. Dia tidak diberi vaksin kerana memilih untuk tidak menerima mana-mana vaksin COVID-19,” kata SPS.

    Menurut SPS, sehingga 9 November, beberapa banduan dan kakitangan penjara dari Institusi A1 iaitu lokasi Nagaenthran ditempatkan disahkan positif COVID-19.

    Unit penempatan yang terjejas di Institusi A1, institusi penjara, telah ditutup untuk mengelakkan penularan virus itu.

    SPS menyebut Nagaentran mempunyai kontak seketika dengan dua kakitangan yang telah disahkan positif.

    Melihatkan kepada bilangan kes dalam komuniti semasa fasa pandemik ini lebih banyak kes jangkitan dijangka berlaku di penjara juga, dan SPS berkata ia mengambil langkah-langkah untuk memastikan keadaan terus terkawal. – Bernama