Author: Admin

  • Isu kos sara hidup: Tindakan kerajaan umpama tin kosong

    Isu kos sara hidup: Tindakan kerajaan umpama tin kosong

    PADA 12 Disember tahun lalu, orang nombor dua dalam kerajaan PH-BN, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Anwar Ibrahim telah mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup.

    Zahid berkata, beliau diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut, bagi memastikan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dapat dilakukan secara berterusan.

    Katanya lagi, jawatankuasa itu akan memastikan kesinambungan kepada pengumuman yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini, termasuk berkaitan tarif elektrik, petrol serta langkah mengawal kekurangan bahan makanan asas.

    Dalam tempoh sebulan katanya, beberapa pengumuman akan dilakukan dan perubahan-perubahan diumumkan selepas setiap mesyuarat mingguan Kabinet yang melegakan kebanyakan rakyat. Tunggu punya tunggu, belum ada sebarang langkah berkesan untuk menangani permasalahan rakyat berkaitan isu kos sara hidup secara keseluruhan.

    Jika kerajaan menganggap inisiatif nasi harga Rahmah sebagai pendekatan untuk meringankan beban rakyat, ia sebenarnya bukanlah langkah terbaik menyeluruh kerana bukan semua rakyat dapat makan di luar setiap hari. Dan bukan semua restoran dapat menyediakan menu berkenaan kerana tidak mampu menyerap kenaikan harga bahan mentah yang meningkat. Bahkan tidak semua peniaga mampu bertahan dalam tempoh lama untuk menjual produk harga Rahmah.

    Oleh sebab itu rakyat melabelkan kerajaan ketika ini tidak serius dan fokus dalam menangani isu kos sara hidup sehingga Anwar terpaksa menafikan pandangan itu dengan mendakwa ia adalah tuduhan liar semata-mata. Kini sudah masuk tujuh bulan semenjak jawatankuasa itu ditubuhkan, nampaknya isu yang dihadapi rakyat bukan saja tidak berubah tetapi makin bertambah apabila harga barang makin melambung.

    Keluhan rakyat mengenai kos sara hidup pula cuba dinafikan apabila terdapat gerakan memesongkan fakta dilakukan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan memaparkan infografik yang tidak realistik. J-Kom yang bergerak atas restu kerajaan PH-BN mendakwa perbelanjaan dapur rakyat negara ketika ini adalah kurang RM400 sebulan manakala belanja individu bujang sekitar RM200 sebulan.

    Natijahnya, ramai mengecam gambaran perbelanjaan itu kerana nilai sebenar yang keluar daripada poket rakyat ketika ini adalah jauh lebih besar daripada apa yang dikemukakan oleh J-Kom itu. Kenapa rakyat marah dengan kerajaan PH-BN apabila menyentuh isu kos sara hidup?

    Semuanya adalah kerana tindakan pemimpin PH yang dahulunya ketika menjadi pembangkang bercakap seperti mereka hebat semua perkara terutama dalam membela kebajikan rakyat. Apa yang dilakukan oleh pemerintah sewaktu mereka menjadi pembangkang ada saja yang tidak kena walaupun sesetengah kenaikan harga barang itu adalah disebabkan kesan yang di luar jangka.

    Pemimpin PH bercakap seolah-olah mereka bijak dan mempunyai pelbagai formula bagaimana untuk menjadikan harga barang di negara ini pada kadar berpatutan dan terkawal. Nah! Apabila diberikan kuasa (walaupun bukan atas kerelaan majoriti rakyat) ternyata mereka cakap tidak serupa bikin.

    Bukan itu saja, nampak ketara pemimpin PH hanya pandai bercakap berdegar-degar umpama tin kosong yang bising tapi tiada apa isi di dalamnya. Konon dengan segala penubuhan jawatankuasa dapat menyelesaikan isu berbangkit tetapi tiada tindakan yang boleh melegakan hati rakyat ketika ini.

    Untuk menyatakan kerajaan PH-BN adalah kerajaan yang baru bagaikan bayi seperti yang dinyatakan seorang pemimpin PKR, Hassan Karim juga tidak munasabah kerana PH sudah bergabung dengan BN yang mempunyai rekod pentadbiran berpuluh tahun. Jadi apabila sudah mendapat kuasa, di manakah kemahiran itu semua takkanlah hilang sekelip mata sahaja?

  • Kedah yang dikejar tak dapat, Selangor pula yang hilang!

    Kedah yang dikejar tak dapat, Selangor pula yang hilang!

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    MEMANG ketara sangat yang kerajaan PH-BN ketika ini bersungguh-sungguh mahu merampas Kedah daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Siang malam mereka meratib nama Menteri Besar, Sanusi Mohd Nor dengan serangan pelbagai sudut hinggakan akaun TikTok pun disekat. Banyak pula program rakyat diadakan di Kedah yang jelas sekali menunjukkan ia adalah penyalahgunaan agensi kerajaan. Tiba-tiba banyak pula bantuan kewangan disalurkan kepada rakyat Kedah dengan penganjuran segala program berskala besar.

    Jika dahulu PH membidas kerajaan BN kerana bertindak demikian, tetapi kini PH pula bersama-sama BN menunggang agensi kerajaan untuk kepentingan politik sendiri. Sewa bas berbuah-buah untuk mengangkut rakyat pelbagai pelosok kawasan bagi menampakkan program dianjurkan itu dapat sokongan rakyat. Bukan itu sahaja, gunakan slogan Malaysia Madani tetapi di sebaliknya ia adalah kempen politik semata-mata.

    Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pula tidak henti-henti menggunakan platform universiti untuk mengadakan kempen politik walaupun pada waktu itu SPR belum pun menetapkan tarikh pilihan raya negeri. Boleh dikatakan macam-macam cara digunakan untuk memburukkan kepimpinan Kedah sehingga menteri kabinet terpaksa berkampung di negeri jelapang padi itu.

    Kenapa mereka begitu bersungguh-sungguh mahu merampas Kedah sedangkan pada PRN kali ini bukan Kedah sahaja yang terlibat? Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pun rakyat kena ke peti undi juga. Tidak lain tidak bukan mereka mahu membunuh karier politik MB Kedah yang begitu lantang mengkritik kepincangan berleluasa kerajaan PH-BN. Pemimpin PH-BN fikir jika Kedah tumbang politik PN akan berkubur tetapi sebenarnya ia tidak semudah itu.

    Pertamanya bukanlah mudah dalam tempoh singkat ini nak menghasut orang Kedah untuk mempercayai segala apa yang keluar dari mulut pemimpin PH-BN sebagai benar. Lakukanlah apa kempen sehingga runtuh pentas ceramah pun, orang Kedah tidak akan sesekali memberi undi kepada PH-BN yang jelas sekali melakukan pembohongan terhadap rakyat bermula dengan penipuan penurunan harga petrol sehinggalah segala janji palsu lain termasuklah slogan “No Anwar, No DAP!”.

    Keduanya, dengan menyerang Sanusi tidak akan mematikan perjuangan PN kerana di belakang parti itu ramai penyokong akar umbi yang muak dengan segala penipuan pimpinan PH-BN ‘bermuka tebal’. Lagipun impak gelombang hijau yang berlaku pada PRU15 lalu masih kuat untuk mengajar PH-BN bahawa sebenarnya rakyat tidak suka akan pemimpin munafik dan gemar mempermainkan undi rakyat.

    Penulis ada membuat tinjauan di akar umbi mengenai perkembangan PRN kali ini dan pandangan rakyat walaupun bukan majoriti tetapi boleh dijadikan satu penanda aras. Kata mereka, dalam PH-BN sibuk mahu merampas Kedah, mereka lupa bahawa sebenarnya Selangor pun sudah goyang kerana tidak mustahil sokongan boleh beralih arah kepada PN.

    Ini kerana sentimen rakyat Selangor adalah berpaksikan kepada isu nasional yang mana pada ketika ini krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan adalah amat tipis. Rakyat yang berada di Selangor melihat kerajaan pusat tidak mempunyai hala tuju jelas dalam memulihkan ekonomi yang boleh menyebabkan bantahan di peti undi.

    Pimpinan kerajaan lebih sibuk berpolitik daripada bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara. Lagipun, Selangor yang sudah lama ditadbir PH memerlukan satu aura baru yang lebih segar berbanding pimpinan sedia ada. Maka, tidak mustahil kemenangan PN di kerusi luar bandar di Selangor peringkat Parlimen semasa PRU15 boleh merebak ke kawasan bandar majoriti Melayu pada PRN kali ini.

    Sama-sama kita tunggu kuasa rakyat di peti undi pada 12 Ogos ini!

  • Bisanya politik insan bernama Sanusi Mohd Nor

    Bisanya politik insan bernama Sanusi Mohd Nor

    PENULIS tersenyum apabila membaca komen Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pelawak politik.

    Kata Timbalan Perdana Menteri itu, seorang pelawak mempunyai ramai pengikut bukan kerana aura tetapi kalau pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap sangat terkenal dan popular maka beliau serahkan kepada kebijaksanaan pengundi di Kedah.

    “Yang kita cari ialah kerajaan yang boleh dipercayai, yang berwibawa serta pemimpin, yang serius yang menjaga soal-soal kepentingan dan kemakmuran rakyat bukan hanya menjadi pelawak politik,’’ kata Zahid.

    Hakikatnya kenyataan Ahmad Zahid boleh dianggap satu lagi ‘serangan’ yang membuktikan pemimpin PH-BN yang semakin ‘mati akal’ untuk ‘menghentikan’ gelombang Sanusi. Tetapi penulis percaya apapun yang Zahid kata dan apapun gelaran buruk yang diberikan kepada Menteri Besar Kedah itu, ia sama sekali tidak akan mampu menggugat populariti anak kelahiran Sik itu.

    Sebaliknya, ia hanya menampakkan betapa resahnya pemimpin PH-BN melihat gelombang Sanusi yang ‘semakin mengganas’ bukan sahaja di Kedah tetapi juga di negeri-negeri lain.

    Benar Sanusi bijak ‘menghiburkan’ mereka yang menghadiri ceramah beliau tetapi fikirkan kembali adakah ucapan beliau sekadar cakap kosong atau melakukan tingkah laku bodoh seperti ‘membaling mikrofon’ ketika berceramah? Sanusi bukanlah pelawak atau badut, sebaliknya beliau membalas serangan pemimpin PH-BN berdasarkan fakta dan menyerang kembali mereka juga melalui fakta. Paling penting beliau tidak berbohong apatah lagi bersandiwara supaya ‘nampak suci’.

    Seperti mana kata Sanusi dalam wawancara bersama Sinar Harian baru-baru ini, ‘’Kalau saya tidak betul, saya belajar. Saya tidak tahu, saya tanya. Kalau saya benar, saya akan berdiri dengan kebenaran dan akan mempertahankannya habis- habisan tidak kira siapa, saya lawan kalau saya di pihak benar.’’.

    Tidak kira siapapun yang ‘menyerang’ beliau, Sanusi akan membalas kembali dengan fakta. Inilah kelebihan yang ada kepada Sanusi sehingga memungkinkan pemimpin PH-BN semakin kepanasan. Apa yang beliau lakukan berbeza dengan sesetengah pemimpin PH-BN. Ada dalam kalangan mereka tidak habis-habis berbohong, ada dalam kalangan mereka cakap lain buat lain dan ada antara mereka di hadapan ahli janji lain, bersumpah lain di belakang buat lain.

    Sanusi tidak ada sikap itu. Sebaliknya seperti mana kata beliau dalam wawancara berkenaan;

    ‘’Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya tidak pandai berlakon untuk menjadi orang lain. Apabila bergelar MB pun itulah diri saya sendiri. Kalau menjadi kontroversi, beban, liabiliti atau kelebihan untuk PN, terserahlah kepada penilaian orang.

    ‘’Pada peringkat awal memang ramai tidak faham saya. Lebih 80 peratus orang kecam namun lama-kelamaan mereka faham. Kita bawa cara kita tanpa meniru sesiapa. Saya harap rakyat boleh terima pendekatan saya. Saya akui pendekatan ini mungkin ada untung, ada rugi, bagi yang tidak dapat adaptasi sikap saya, dia ‘koyak’ lah.’’

    Mungkin disebabkan ‘koyaklah’ pemimpin PH-BN semakin ‘tenggelam punca’ untuk mencari modal bagi ‘meranapkan’ pengaruh Sanusi dan ‘akan berpesta’ jika Sanusi terlepas cakap.Ketika itu Sanusi akan berada dalam situasi bagaikan ‘seekor rusa yang diserang sekumpulan dubuk’. Lebih aneh lagi apabila ada pemimpin PH-BN bercakap soal tatasusila, adab dan akhlak politik sedangkan dalam kalangan mereka sendiri ada yang cukup tipis sikap itu.

    Oleh itu bagi penulis apa juga ‘serangan’ yang cuba dilakukan oleh pemimpin PH-BN terhadap Sanusi, ia hanya menjadi sia-sia kerana rakyat Kedah lebih mengenali siapa Menteri Besar mereka dan ‘serangan’ itu juga menunjukkan betapa bisanya politik insan bernama Muhammad Sanusi Md.Nor ini.

    Kalau setakat datang sekali sekala ke Kedah dan mahu memburukkan beliau, ia tidak akan mampu menggugat kewibawaan Sanusi. Katalah apapun, tuduhlah apapun, Sanusi tetap Sanusi dan sokongan majoriti rakyat Kedah terhadap beliau kekal utuh.

    Itulah maklumat yang penulis terima daripada sumber-sumber di Kedah waima dalam kalangan penyokong PH-BN sendiri. Mungkin atas faktor inilah, musuh-musuh politik Sanusi cuba menggali sehingga ke lubang cacing apa sahaja yang boleh dijadikan modal untuk memburukkannya.

    Dan ketika ada pemimpin PH-BN bercakap soal akhlak berpolitik, dalam kalangan mereka sendiri percaya kepada fitnah bahawa Sanusi memiliki banglo bernilai RM7.8 juta dan sekarang sidang mencari pula kalau-kalau ada ‘udang di sebalik batu’ dałam pemberian kontrak nadir bumi atau REE di Sik, Kedah.

    Tidak mengapalah kalau mereka merasakan mungkin di situ ada modal untuk menjatuhkan Sanusi cuma pesan penulis jangan sampai tindakan dilakukan untuk menjatuhkan Menteri Besar Kedah itu akhirnya menyebabkan pada PRN 12 Ogos di enam negeri nanti;

    *PH-BN ‘Ranap Elok-Elok’ (REE) di Kedah.
    *PH bagaikan ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

    *UMNO jadi ‘korban 3R’ – ‘Rosak’ ketika PRU-14, ‘Runtuh’ semasa PRU-15 dan ‘Ranap’ dalam PRN.

    Percayalah rakyat Kedah lebih bijak menilai Sanusi berbanding sesetengah pemimpin PH-BN yang memburukkan beliau sehingga terlupa untuk mencerminkan diri sendiri bagaikan ‘’ayam jantan berkokok kuat, ekor bergelumang dengan najis’.

  • Zahid ingatkan Mahfuz jangan dahului hukum Allah

    Zahid ingatkan Mahfuz jangan dahului hukum Allah

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah tidak bersetuju dengan ramalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah bahawa mereka sudah memiliki 16 kerusi boleh menang di Kedah.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendahului hukum Allah sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadualkan 12 Ogos ini.

    “Saya fikir sebelum kita berusaha sehingga ke saat akhir pada hari mengundi kita jangan bersifat mendahului hukum Allah. Walaupun saya tidak ada perbedaan pendapat dengan beliau atau mana-mana pemimpin tetapi eloklah kita bekerja keras dahulu. Baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya di enam negeri ini terutamanya di kedah,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN dan UMNO Kedah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok di Sungai Petani.

    Sebelum ini, Mahfuz berulang kali menyatakan gabungan PH dan BN di Kedah hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas PRN kelak.

    Ini kerana menurutnya, mereka sudah memiliki 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja lagi bagi mengambil alih pentadbiran daripada Perikatan Nasional (PN).

    “Secara realistik, kami sudah ada 16 kerusi dalam tangan dan kita perlu tiga saja lagi untuk ambil alih negeri dari PN. Walaupun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pernah perli saya dengan mengatakan kami hanya berangan-angan, tetapi saya tak kisah,” kata Mahfuz.

    Sementara itu, Ahmad Zahid kembali berterima kasih kepada Muhammad Sanusi yang menggesa beliau bertaubat nasuha sebanyak 48 kali dan meninggalkan dunia politik tanah air.

    “Terima kasih atas nasihat itu tetapi nasihat itu harus digunakan oleh diri beliau sendiri kerana beliau telah mengakui kesilapan beliau dengan meminta maaf. Budaya memaki hamun, mencaci memfitnah selepas itu memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima,” katanya.

  • ‘Terima kasih Zahid, saya nasihat beliau taubat 48 kali’ – Sanusi

    ‘Terima kasih Zahid, saya nasihat beliau taubat 48 kali’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan taubat sama yang disaran kepadanya sebanyak 48 kali.

    Sambil berterima kasih kepada Presiden UMNO yang sedang berhadapan kes mahkamah itu, Muhammad Sanusi turut bersetuju agar taubat nasuha dilakukan oleh mereka yang menyesali perbuatan dilakukan.

    “Saya bersetuju dan berterima kasih di atas nasihat supaya bertaubat nasuha yang sememangnya dianjurkan kepada mana-mana orang yang menyesali dosa yang telah dilakukan.

    “Saya juga ingin menasihatkan beliau bertaubat nasuha 48 kali dan meninggalkan arena politik tanah air di atas kerosakan yang dibawa oleh beliau kepada rakyat negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

    Respon tersebut merujuk kepada kenyataan Ahmad Zahid bahawa Muhammad Sanusi kononnya perlu melakukan taubat nasuha kerana didakwa menghina Sultan Selangor dalam satu ceramah di Selayang, Selangor malam kelmarin.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengingatkan Muhammad Sanusi supaya tidak menjadikan semua perkara sebagai bahan kempen yang merosakkan diri sendiri.

    Beliau berkata, politik bukan bahan lawak atau gurauan dan beliau sendiri tidak akan melayan kempen politik seperti itu.

  • PRN: PN-Pas beri signal awal, jentera UMNO sedang mogok?

    PRN: PN-Pas beri signal awal, jentera UMNO sedang mogok?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    BENARKAH dakwaan mengatakan bahawa jentera UMNO di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri di Terengganu sedang mogok?

    Begitulah antara isu yang kembali hangat diperkatakan oleh kebanyakan pihak di negeri ini apabila ketika petugas Pas sedang rancak menaikkan bendera parti mereka, namun jentera UMNO masih belum kelihatan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.

    Sehingga ini rata-rata jambatan di Terengganu khususnya Jambatan Marang dan Kuala Ibai telah didominasi bendera Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN). Sedangkan bendera UMNO seakan longlai dan tidak bermaya hanya dipasang di beberapa lokasi tertentu sahaja.

    Ada yang bertanya apakah kehilangan jentera UMNO ketika tarikh PRN sudah ditetapkan disebabkan ura-ura mengatakan bahawa PH-BN bakal meletakkan calon daripada parti Amanah bertanding di DUN tersebut? Jika ia berlaku, bermakna dakwaan mengenai isu protes melibatkan jentera UMNO ke atas calon PH sebelum ini ada kebenarannya.

    Bagi kebanyakan pemerhati politik di negeri ini pula, mereka terus mengulangi pandangan sama mengatakan PH-BN dilihat semakin sukar untuk menawan semula Terengganu. Mereka berpendapat, perkara itu jelas berdasarkan sambutan luar biasa rakyat Terengganu terhadap berapa program diadakan PN khususnya Pas.

    Malah, sambutan luar biasa ke atas program Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan yang diadakan di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, minggu lalu jelas membuktikan perkara itu. Hampir 100,000 orang pengunjung dikatakan hadir menyertai program tersebut.

    Manakala pada sebelah petang pula lebih 10,000 konvoi bermotosikal melibatkan anak muda yang mengiringi Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir ke program Santai Anak Muda Himpunan Teguh Pertahan. Perkembangan ini agak jelas menunjukkan orang Terengganu kini memberi sokongan kuat kepada PN. Ia sekaligus membuktikan bahawa PN semakin diterima oleh rakyat khususnya pengundi di negeri ini.

    Sambutan terhadap program himpunan itu juga dikatakan memberi signal atau amaran awal kepada parti lawan khususnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bahawa PN semakin sukar ditewaskan dalam pilihan raya pada 12 Ogos depan.

    Sepertimana kata Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengenai anak muda mewakili parti Pas adalah sebagai pejuang tulen.

    Katanya, apa yang menakjubkan apabila peserta konvoi bermotosikal berkenaan bukan sahaja hadir secara sukarela dan tidak dibayar walau satu sen, tetapi juga sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli baju t berharga RM15 sehelai di samping turut menderma.

    Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan parti Bersatu turut terkesan ketika parlimen dibubarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu apabila pejuang dan penyokong Pas dikatakan sanggup membeli segulung bendera menggunakan duit poket sendiri.

    “Macamana nak lawan?, Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi perjuangan untuk parti. Perkara ini tidak ada dalam mana-mana parti sama ada UMNO, PKR ataupun Amanah,” ujar Rosol menerusi satu video yang disiarkan selepas program himpunan tersebut.

    Program Ceramah Perdana Jelajah Mega PNBest Himpunan Teguh Pertahan dirasmikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
    .
    Beliau yang juga Presiden Bersatu menyifatkan kehadiran orang ramai pada malam itu sangat luar biasa sambil meminta rakyat Terengganu terus memberi mandat kepada PN dalam PRN pada 12 Ogos depan. Turut hadir ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri yang turut menyampaikan ceramah.

  • PH hipokrit main isu peribadi untuk jatuhkan Sanusi – Pas Kedah

    PH hipokrit main isu peribadi untuk jatuhkan Sanusi – Pas Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN pihak lawan menggunakan fitnah untuk menyerang serta menjatuhkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, menggambarkan hipokrasi pihak berkenaan yang sering melaungkan mengenai kematangan politik.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya turut mempersoalkan apakah pihak berkenaan tiada lagi modal untuk membahaskan prinsip politik serta dasar cemerlang sepanjang pentadbiran Muhammad Sanusi hingga terpaksa mengheret isu peribadi ke medan politik.

    Justeru katanya, pihaknya mengecam tindakan tersebut yang sememangnya menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama.

    “Perkara ini menggambarkan hipokrasi politik matang yang sering dilaungkan oleh pihak berkenaan. Seolah-olah ‘Mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih. Tuduhan semberono sebegini sememangnya menjadi amalan politik Pakatan Harapan (PH). Sejak awal mereka mengambil alih pentadbiran lagi pelbagai tuduhan yang menyimpang dihalakan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

    Baru-baru ini timbul dakwaan di media sosial mengenai pemilikan sebuah banglo di Sik yang dikatakan milik Muhammad Sanusi tetapi didaftarkan atas nama adiknya.

    Namun Muhammad Sanusi kemudiannya menjelaskan bahawa rumah itu adalah milik abangnya yang bekerja selama berpuluh tahun sebagai penyelam dasar laut telah banyak berkorban selama ini.

    Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, tuduhan jahat dilakukan pihak lawan turut pernah dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya terlibat dengan rasuah.

    “Sedangkan kes tersebut belum pun dibicarakan di mahkamah. Begitu juga tuduhan ke atas Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air sebelum ini oleh Timbalan Presiden PKR, Rafiz Ramli, namun ia terus menyepi hingga ke hari ini.

    “Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menudh PN menerima dana daripada syarikat perjudian tetapi akhirnya terbukti perkara itu satu fitnah dan pembohongan. Dari situ, satu Malaysia dapat menyaksikan bahawa pembohonan dan fitnah menjadi makanan mereka dalam politik,” katanya.

    Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, lebih malang lagi ada badan-badan penguatkuasa diarahkan oleh pihak tertentu untuk terus menjatuhkan reputasi Menteri Besar Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

    “PAS Kedah sekali lagi mengulangi bahawa rakyat Malaysia seharusnya menjauhi politik kotor yang dimainkan oleh pihak lawan. Politik fitnah dan adu domba bukanlah identiti politik negara yang harus diangkat ke tengah. Pas Kedah yakin rakyat sudah matang untuk menilai PH sebagai kaca, manakala PN sebagai permata. Jelas dan terang,” katanya.

  • Kanak-kanak terlepas dari pegangan bapa maut dibawa arus sungai

    Kanak-kanak terlepas dari pegangan bapa maut dibawa arus sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun maut setelah dibawa arus Sungai Pedati, di Baling, Kedah akibat terlepas dari pegangan bapanya yang tergelincir.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mayat mangsa, Adryan Mikhael Mohamad Afiq ditemukan di Kampung Sungai Limau kira-kira sejam selepas kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi tadi.

    Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipegang bapanya, Mohamad Afiq Kasim, 30, ketika mereka sekeluarga berkelah di lokasi berkenaan bersama beberapa kenalan lain.

    “Bapa mangsa dikatakan tergelincir menyebabkan kanak-kanak tersebut terlepas dari pegangannya. Disebabkan itu, mangsa terus dibawa arus sungai berkenaan. Jasad mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 12.45 petang di Kampung Sungai Limau. Dia bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Difahamkan mangsa merupakan anak sulung kepada sebuah keluarga yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang dan jenazahnya dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

  • Gendang rakyat mula bertabuh, PRN Terengganu dijangka sengit

    Gendang rakyat mula bertabuh, PRN Terengganu dijangka sengit

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu kini telah dibuka sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dibubarkan secara rasmi pada 28 Jun lalu.

    Pembubaran itu dibuat lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 30 Jun dimana ia telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu. Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata lebih 9.73 juta pengundi layak bakal menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri terbabit.

    Susulan itu, maka bermulalah episod awal PRN yang menyaksikan gendang rakyat mula bertabuh dengan jentera parti telah menggerakkan peranan dan tugas masing-masing. Calon-calonnya bakal diketahui tidak lama lagi, hanya menantikan saat dan ketika sahaja pertarungan sebenar akan bermula.

    Memandangkan ia merupakan pilihanraya yang melibatkan enam negeri, maka perhatian rakyat kini sudah tentu tertumpu kepada Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Walaupun ia baharu sahaja memasuki episod awal, namun suasana dan bahangnya telah mula dirasai. Markas-markas kini sedang dibina, manakala bendera parti pula sudah dinaikkan di lokasi strategik terutama di atas jambatan di negeri ini.

    Bagi orang politik di Terengganu, sebahagian besarnya sudah bersedia untuk ‘berperang’. Tanpa mengira kaum, agama dan jantina, setiap jentera dilihat seperti terlalu ghairah dan taksub dalam usaha untuk memastikan kemenangan calon yang akan bertanding mewakili parti masing-masing.

    Apa yang menarik perhatian ramai, PRN kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua parti berseteru iaitu Perikatan Nasional (PN) (diwakili Pas dan Bersatu) serta Pakatan Harapan (PH diwakili PKR, Amanah dan DAP) dan Barisan Nasional (BN diwakili UMNO, MIC dan MCA).

    Walaupun tumpuan lebih kepada dua gabungan parti ini yang akan bertanding di Terengganu, namun beberapa calon daripada parti lain termasuk Bebas, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Pejuang dan Putra juga kemungkinan turut meletakkan calon.

    Bagi pemerhati politik tempatan pula, mereka menyifatkan kehadiran calon-calon daripada parti lain tidak membawa ancaman besar kepada PN, kecuali BN. Namun, masalah dihadapi BN sekarang adalah membabitkan ahli di peringkat akar umbi terutama jentera parti yang dikatakan akan mengadakan ‘mogok’ sekiranya di kawasan DUN mereka diletakkan calon daripada PH.

    Malah, seperti biasa kehadiran calon Bebas pula dilihat sebagai ada sesuatu yang tidak kena dan bakal dikaitkan dengan tindakan protes ekoran rasa tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon. Persoalannya,apakah dalam PRN Terengganu pada kali ini akan turut menyaksikan kehadiran calon Bebas?

    Sekiranya ada, bermakna penyakit barah dalam politik di negeri ini khususnya BN masih belum sembuh dan gagal dirawat. Sebagai sebuah parti politik tertua dan matang, BN seharusnya akur dan malu mengenai kesepaduan dan persefahaman dimiliki oleh PN terutama dalam menentukan agihan kerusi dan pemilihan calon pilihan raya.

    Sebab itulah pemimpin PN tidak pernah ‘berkelahi’ mengenai agihan kerusi dan juga calon. Malah, parti terbabit dilihat lebih pentingkan perpaduan dan kesepakatan dalam parti-parti gabungan. Berbanding BN dan PH pertelingkahan mengenai agihan kerusi terus kedengaran walaupun DUN telah dibubarkan.

    Justeru, pemerhati politik menyifatkan suasana yang tidak harmoni itu bakal meleraikan perpaduan dalam kalangan jentera parti, sekaligus memusnahkan harapan untuk mencapai kemenangan.

    Dalam PRU-14 pada tahun 2018, Pas berjaya memerintah Terengganu setelah memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN manakala BN pula hanya menang 10 kerusi sahaja yang kini dikatakan hampir ‘patah’.

    Dan apakah 930,894 orang pengundi di negeri ini akan memilih dan terus memberi peluang kepada PN untuk memerintah Terengganu?

  • Anwar patut contohi politik matang Sanusi

    Anwar patut contohi politik matang Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sering mengikuti ceramah atau menonton klip-klip video lawannya yang bukan sahaja menyerang partinya tetapi diri beliau selaku Menteri Besar Kedah.

    Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja ucapan atau kenyataan daripada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan yang berbentuk negatif terhadapnya.

    Antaranya daripada Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor melalui media sosialnya.

    Tetapi Muhammad Sanusi memahami bahawa perkara itu sebahagian asam garam dalam dunia politik yang sebaliknya memerlukan setiap persoalan dijawab dengan fakta.

    Tidak sedikit pun ada rasa dendam atau sakit hati dalam diri Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu kerana beliau faham sebagai pemimpin ada beberapa ‘topi’ dan ‘kasut’ yang perlu dipakai mengikut kesesuaian masa.

    Disebabkan faktor itulah tidak ada masalah untuk Muhammad Sanusi menerima kunjungan Dr. Ismail, pada petang semalam yang mana ketika ini beliau bertanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), agensi yang amat berkait rapat dengan negeri Kedah.

    Tidak ada masa untuk ADUN Jeneri itu bermain politik dalam semua perkara walaupun beliau menyedari individu yang mahu berjumpanya itu adalah orang yang sama sering menyerangnya dalam setiap ucapan atau kandungan media sosial.

    “Sebagai Pengerusi MADA dia buat temujanji saya terima, dia hantar surat saya segera bagi tarikh hari ini (semalam).

    “Saya tak mau jadi PM (Perdana Menteri), hantar surat tiga kali tak mau jumpa walaupun Dr. Ismail hari-hari kata kat saya. Pi buka TikTok dia (tengok apa yang dia kata) tapi saya nak jumpa dia.

    “Ini urusan pentadbiran kerajaan antara agensi Kerajaan Persekutuan yang ada di Kedah dengan kerajaan negeri. Saya kata perlu jumpa kerana itu urusan kerja, yang dia duk kata kat saya tak buat apa-apa tu hal politik,” katanya memetik intipati sidang akhbar beliau selepas Mesyuarat Exco Kedah, semalam.

    Begitulah betapa profesional dan berjiwa besarnya Muhammad Sanusi yang sering dilabel sebagai lantang, samseng dan suka mencari gaduh walhal perkara yang terjadi semalam mencerminkan sikap sebenarnya.

    Sikap dan karakter seperti itulah yang sebenarnya perlu dijadikan contoh oleh semua pemimpin politik tidak kira yang berjawatan besar atau kecil, berkedudukan tinggi atau rendah untuk profesional.

    Semua orang tahu bagaimana ahli politik perlu menjalankan peranan mereka tetapi tidak semua perkara perlu dipolitikkan sehingga akhirnya yang rugi adalah rakyat.

    Contoh yang ditunjukkan Muhammad Sanusi itu perlu dicontohi Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera memberi tarikh untuk mengadakan perjumpaan government to government (G2G) antara Putrajaya dan Alor Setar.

    Anwar boleh sahaja mencuri sedikit waktu lapangnya yang kerap menjelajah Kedah semenjak dua menjak ini untuk bertemu Muhammad Sanusi sambil menikmati peknga bersama gulai ikan.

    Atau jika tidak sempat kerana programnya yang padat perlu berjumpa para pelajar di sana sini, rasanya tidak ada masalah untuk Muhammad Sanusi berkunjung ke Seri Perdana atau mana-mana tempat yang Anwar selesa.

    Kerana tidak ada ruginya untuk seorang Perdana Menteri mendengar hasrat daripada sebuah kerajaan negeri yang berbeza fahaman politiknya kerana pembentukan Malaysia juga melibatkan negeri Kedah Darul Aman.