Author: Admin

  • Ahmad Bilal sentiasa dekat di hati rakyat:Calon PN

    Ahmad Bilal sentiasa dekat di hati rakyat:Calon PN

    CALON Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi DUN N26 Serkam, Ahmad Bilal Rahudin hari ini melawat salah seorang peserta umrah di bawah pimpinan beliau pada tahun 2019.

    “Bilal, bila nak pergi lagi? Mak Lang memang cukup suka. Memang cukup sempurna.”

    Itulah luahan seorang wanita yang digelar Mak lang apabila Ahmad Bilal datang melawat rumahnya.

    Ucapan syukur dan puas hati tidak lekang dari mulut Mak Lang sepanjang mereka berbual dan bercerita tentang pengalamannya mengerjakan umrah.

    “Terima kasih Mak Lang kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk memimpin rombongan umrah semasa itu,

    “Bagi saya, kata-kata Mak Lang amat menyentuh hati saya kali ini. Saya gembira apabila melihat penduduk tempatan selesa dan mesra dengan khidmat saya selama ini.” tulis Ahmad Bilal di Facebooknya.

    Ahmad Bilal juga sempat menceritakan bahawa beliau sendiri sudah lama mengenali Mak Lang, bahkan umur Mak Lang juga hampir seusia dengan umur ibunya.

    Dapat dilihat dari situ bahawa Ahmad Bilal sentiasa dekat dengan rakyat terutamanya penduduk di Kampung Berangan Enam.

    Tambahnya lagi, hari pengundian bakal berlangung tidak lama lagi, oleh itu Ahmad Bilal mengingatkan warga Serkam supaya bijak dalam memilih pemimpin.

    “Saya yakin warga Serkam bijak dalam memilih pemimpin yang sedia turun bersama membantu dan mendengar luahan penduduk setempat.” katanya.

  • SOP memang ketat, tapi nyawa rakyat lebih penting – Bakri

    SOP memang ketat, tapi nyawa rakyat lebih penting – Bakri

    prn melaka mohd muhammad

    PROSEDUR operasi standard (SOP) kepada calon yang berkempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sememangnya terlalu ketat tetapi apa yang lebih penting ialah nyawa rakyat, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin.

    Calon Perikatan Nasional (PN) itu mengakui sekatan untuk aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal menyukarkan calon untuk menyantuni rakyat tetapi sekatan berkenaan adalah bertujuan untuk menjaga nyawa rakyat dan ahli politik wajib patuh kepada sekatan itu.

    “Saya berkempen sudah dua hari dan memang rasa ketat…tak boleh ceramah, memang rasa tersekat. Bagus juga guna digital kerana paling tidak ia memberi keselamatan kepada rakyat.

    “Kalau kita kempen rumah ke rumah, kita kena ingat ada anak kecil, orang tua… anak kecil ini tak vaksin… kita tak nak penularan Covid-19 berlaku,” katanya lapor Bernama semasa wawancara bersama Bicara Harakah dalam talian.

    Beliau turut menyifatkan bahawa gelanggang perang PRN pada kali ini sebagai adil kepada semua pihak kerana semua calon menggunakan teknologi sebagai alat untuk mendidik dan mematangkan rakyat dan bukan menimbulkan suasana tidak harmoni.

    “Saya berpegang kepada satu iaitu apabila anda memberikan maklumat yang betul, orang akan memberi anda keputusan yang betul. Bermain di media sosial hari ini, adalah adil tapi yang lebih penting jadikan medium ini sebagai alat mendidik dan matangkan rakyat,” katanya.

    Selain itu, calon PN DUN Serkam, Ahmad Bilal Rahudin dalam sidang media bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula berkata, meskipun DUN yang ditandinginya terletak di kawasan luar bandar, kempen mempromosikan diri dan perjuangan menerusi media sosial tidak menjejaskannya.

    “Pengundi telah mengamalkan norma baharu sudah dua tahun dan saya rasa tidak ada masalah untuk pengundi tonton penjelasan dalam talian. Ia juga tidak menjadi masalah bagi saya berkempen dalam talian dan bagi PN, kita ada akar umbi yang cukup yang boleh bagi penerangan di lokaliti. Perkara ini perlu dititikberatkan untuk kesihatan awam,” katanya.

    Pada 8 November yang lepas, SPR telah melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

  • Pelajar Nigeria mati dalam tahanan atas sebab semula jadi: Koroner

    Pelajar Nigeria mati dalam tahanan atas sebab semula jadi: Koroner

    MAHKAMAH Koroner hari ini memutuskan bahawa kematian seorang penuntut universiti swasta warga Nigeria, Thomas Orhions Ewansiha ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) pada Julai 2019, adalah atas sebab semula jadi.

    Koroner Mahyon Talib dalam keputusan inkues lelaki itu berkata, berdasarkan keterangan saksi, Ewansiha meninggal dunia akibat serangan jantung dan tiada keterangan yang jelas kematiannya berpunca daripada pengabaian atau unsur jenayah.

    “Menurut seorang saksi inkues, sekiranya si mati diberi rawatan segera berkemungkinan kematiannya dapat dielakkan.

    “Namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak depoh Jabatan Imigresen juga telah berusaha untuk menyelamatkan si mati dengan cara menghubungi pihak hospital dengan segera dan memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadapnya,” kata beliau.

    Mendiang yang ketika kejadian berusia 33 tahun sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Limkokwing University of Creative Technology meninggalkan seorang isteri dan dua anak kecil.

    Mahyon berkata, berdasarkan keterangan paramedik terdapat usaha untuk menyelamatkan si mati dan ia juga diceritakan secara terperinci oleh rakan sel si mati dan seorang lagi tahanan yang ditempatkan di sel bertentangan, mengenai perkara itu.

    “Secara keseluruhan, tindakan (untuk menyelamatkan si mati) telah diambil namun nasib tidak menyebelahi si mati,” katanya.

    Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga Ewansiha ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan hari ini dan memulakan saman sivil terhadap Jabatan Imigresen Malaysia atas sebab kecuaian.

    “Ewansiha diberi ubat preskripsi dan rawatan perubatan oleh individu yang tidak berkelayakan. Kami percaya inilah sebab dia mengalami serangan jantung.

    “Kami bersetuju dengan mahkamah bahawa beliau telah meninggal dunia atas sebab semula jadi, tetapi kerana tidak diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya, secara tidak langsung menyebabkan kematian Ewansiha,” kata peguam itu.

    Sebelum ini, media melaporkan Ewansiha adalah antara 20 warga asing yang ditahan dalam satu Op Bersepadu pada 4 Julai 2019 di kawasan Desa Aman Puri, Kuala Lumpur berikutan aduan awam berkaitan kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.

    Bagaimanapun, Ewansiha meninggal dunia pada 9 Julai 2019 ketika berada dalam tahanan Jabatan Imigresen, disyaki terkena serangan sawan ketika sedang tidur. – Bernama

  • Potong kepala, bakar mayat ibu angkat yang didakwa syaitan

    Potong kepala, bakar mayat ibu angkat yang didakwa syaitan

    SEORANG lelaki sanggup membunuh dan memotong kepala ibu angkatnya sebelum membakarnya di Ohio, Amerika Syarikat.

    Lionel Justin Gore, 34, dikatakan bertindak sedemikian kerana mendakwa dimaklumkan ‘roh’ bahawa ibu angkatnya itu adalah syaitan.

    Dia mengaku membunuh Diane Gore di rumah wanita itu di New Matamoras di sempadan Ohio dan Virginia LBarat, Sabtu lalu.

    Selepas ditahan, dia dilaporkan memberitahu pihak berkuasa: “Saya potong kepalanya dan bakarnya dengan api.”

    Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di hadapan anak saudara lelaki Lionel berusia enam tahun, lapor New York Post yang memetik Marietta Times.

    Mayat mangsa ditemukan pihak berkuasa dipanggil ke rumah itu kira-kira jam 6.30 petang, selepas mendapat laporan mengenai kebakaran di kediaman berkenaan.

    Anak saudara Lionel memberitahu polis, dia melihat lelaki itu memotong leher Diane dengan pisau sebelum membakar rumah berkenaan.

    Kanak-kanak itu berkata, dia merangkak untuk keluar dari rumah dipenuhi asap.

    Lelaki itu kini direman dan berdepan tuduhan membunuh, melakukan khianat serta membahayakan kanak-kanak.

  • Maritim tahan bot pukat tunda, tekong warga asing

    Maritim tahan bot pukat tunda, tekong warga asing

    SEBUAH bot pukat tunda kelas B ditahan kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira 3.6 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Lumut, semalam.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan bot yang dikendalikan lelaki warga Myanmar itu dalam rondaan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan negeri pukul 12.45 tengah hari.

    Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tekong berkenaan turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain didapati melakukan aktiviti perikanan dengan menggunakan pukat tunda.

    “Bot berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 5 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63.

    “Bot bersama kru serta hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 10 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

  • Pendaki pengsan sebelum maut di Telaga Tujuh

    Pendaki pengsan sebelum maut di Telaga Tujuh

    SEORANG pendaki lelaki berusia 50-an maut selepas pengsan semasa mendaki di Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini.

    Mangsa, Lim Tham Guan, yang mendaki bersama-sama rakannya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata,pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas bantuan KKM berkaitan kes itu pada pukul 10.45 pagi.

    “Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah terima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 khidmat khas menyelamat bantuan KKM mangsa pengsan di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi.

    “Operasi disertai sepasukan anggota dari BBP Langkawi bersama pihak polis dan KKM.

    “Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat seorang lelaki lingkungan umur 50 an telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.

    “Maklumat yang diterima daripada rakan mangsa menyatakan mereka melakukan aktiviti mendaki di lokasi berkenaan dan mangsa tiba-tiba pengsan serta tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.

    Mohamadul Ehsan berkata, anggota di lokasi menggunakan pengusung bagi membawa turun mangsa ke bawah.

    Beliau berkata, mangsa dibawa turun pada pukul 1.30 tengah hari.

  • Imam kedua maut, seorang jemaah parah dilanggar kereta imam pertama

    Imam kedua maut, seorang jemaah parah dilanggar kereta imam pertama

    IMAM pertama sebuah surau di Taman Bukit Kajang, Kajang, Kuala Lumpur, hilang kawalan sebelum kereta dipandunya melanggar imam kedua surau tersebut dalam kejadian pada jam 6.30 pagi semalam.

    Insiden tersebut berlaku di pekarangan surau tersebut selepas mangsa yang juga pesara berusia 78 tahun dan rakannya yang juga pesara berusia 76 tahun baru selesai menunaikan solat Subuh berjemaah.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa berada di pekarangan surau ketika dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu imam pertama itu.

    “Ketiga-tiganya baru selesai solat Subuh dan mahu pulang ke rumah masing-masing di Taman Kajang Jaya.

    “Dua mangsa berada di pekarangan surau ketika pemandu Perodua Myvi mengundurkan keretanya dari bahagian lot parkir sebelum terlanggar sedikit bahagian belakang sebuah kenderaan lain.

    “Akibat pelanggaran itu, imam pertama berusia 76 tahun itu panik lalu menggerakkan kenderaannya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di hadapannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Azman berkata, imam kedua itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami patah lutut kanan dan patah pergelangan kaki kiri dikejarkan ke hospital dengan ambulans .

    Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kita meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu kenderaan masing-masing.

    “Bagi pemandu sudah berusia, mungkin ada keperluan untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka masih boleh mengendalikan kenderaan dengan baik,” katanya.

  • Maut selepas bantu sedarkan sepupu mengenai kebakaran

    Maut selepas bantu sedarkan sepupu mengenai kebakaran

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki sempat berbakti buat kali terakhir untuk sepupunya dengan membantu mengetuk pintu rumah keluarga berkenaan yang sedang terbakar, sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di Kampung Hutan Betut, Mergong di Alor Setar, pagi ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, individu berkenaan, Mohamad Nazri Mohammad Saad, 48, dikatakan terlebih dulu bertindak sedemikian bagi menyedarkan sepupunya bahawa rumah mereka sedang terbakar.

    Selepas itu, dia difahamkan merasa tidak sedap badan dan berehat di bawah pokok berhampiran sungai sebelum terjatuh ke dalam sungai tersebut.

    Anggota bomba memadam kebakaran dan semua tujuh penghuni rumah dua tingkat tersebut selamat

    Situasi itu disedari penduduk kampung yang segera bertindak mengeluarkannya dari sungai sebelum dibantu anggota bomba yang tiba ke lokasi kejadian tidak lama kemudian.

    Tindakan anggota bomba yang turut memberi bantuan pernafasan kepadanya bagaimanapun tidak dapat menyelamatkan lelaki itu yang disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lama selepas itu.

    Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.32 pagi.

    Selain rumah,tujuh kenderaan turut terbakar iaitu lima kereta dan dua motosikal

    “Kesemua tujuh penghuni rumah dua tingkat itu selamat namun difahamkan terdapat seorang mangsa yang meninggal dunia selepas jatuh ke dalam sungai dekat situ.

    “Selain rumah, ada tujuh lagi kenderaan yang turut terbakar iaitu lima kereta dan dua motosikal,” katanya.

  • Presiden terakhir era Aparteid meninggal dunia

    Presiden terakhir era Aparteid meninggal dunia

    PRESIDEN terakhir era aparteid di Afrika Selatan, Frederik Willem de Klerk meninggal dunia awal Khamis di kediamannya di Fresnaye, Cape Town pada usia 85 akibat kanser mesotelioma, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan daripada yayasannya.

    De Klerk yang berkhidmat sebagai presiden dari September 1989 hingga Mei 1994, dikenali kerana peranan pentingnya dalam menghapuskan penindasan oleh pemerintah kulit putih melalui sistem aparteid.

    Pada 1990, De Klerk mengumumkan pembebasan aktivis Nelson Mandela yang dipenjarakan selama 27 tahun kerana menentang aparteid.

    Pembebasan Mandela membawa kepada pilihan raya pelbagai parti pada 1994 yang menyaksikan parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinannya menang dan beliau menjadi presiden kulit hitam pertama di negara itu.

    De Klerk turut berkongsi Hadiah Keamanan Nobel 1993 bersama Mandela.

    Beliau juga menjadi Timbalan Presiden di bawah kerajaan demokrasi baharu Mandela pada 1994.

    Presiden Cyril Ramaphosa mengucapkan takziah kepada keluarga De Klerk dan mengiktiraf sumbangannya terhadap demokrasi Afrika Selatan.

    Ramaphosa berkata, De Klerk memainkan peranan penting dalam peralihan negara kepada demokrasi pada 1990-an selepas pertemuan pertamanya dengan Mandela pada 1994, yang ketika itu merupakan tahanan politik.

    “Beliau membuat keputusan berani dengan membatalkan pengharaman parti-parti politik, membebaskan tahanan politik dan mengadakan rundingan dengan gerakan pembebasan meskipun berhadapan tekanan daripada pihak lawan di kawasan politiknya,” katanya.

    Ramaphosa berkata, De Klerk adalah warga Afrika Selatan yang komited dan berpegang kepada konsep perlembagaan demokratik dan meletakkan masa depan jangka panjang negara itu mendahului kepentingan politik yang sempit.

    “Semasa menjadi Timbalan Presiden dari 1994 hingga 1996, De Klerk memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan Nasional, mendedikasikan dirinya terhadap perlembagaan untuk memulihkan perpecahan dan konflik masa lalu kita,” kata Ramaphosa.

    Tokoh pembangkang Afrika Selatan Bantu Holomisa, yang juga bekas aktivis perjuangan, berkata keputusan De Klerk mengadakan rundingan bagi menamatkan aparteid membantu menghalang berlakunya pertumpahan darah di negara itu.

    Yayasan Nelson Mandela juga mengiktiraf sumbangan dan peranan penting De Klerk terhadap peralihan negara. – Bernama
     

  • KBS perkenal mySukan TV, fokus siaran sukan akar umbi

    KBS perkenal mySukan TV, fokus siaran sukan akar umbi

    MENYEDARI sukan di peringkat akar umbi di Malaysia kurang menarik perhatian ramai, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif mewujudkan saluran sukan baharu, ‘mySukan TV’ yang bakal menyiarkan pelbagai kejohanan sukan.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, saluran sukan yang dikendalikan konglomerat sosial KBS, ‘Impact Integrated’ itu merupakan usaha untuk meluaskan skop program pembangunan sukan akar umbi dari peringkat sekolah sehingga antarabangsa dan menjadikannya lebih mudah diakses masyarakat.

    “Program utama di mySukan TV merangkumi siaran secara langsung perlawanan atau kejohanan sukan akar umbi di Malaysia bagi peringkat sekolah rendah sehingga peringkat antarabangsa, program-program perkongsian maklumat dan tip (panduan) sukan harian, penerbitan berita serta program bual bicara bersama atlet, jurulatih dan agensi sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Faizal pada masa sama turut mengalu-alukan kerjasama strategik daripada sektor swasta bukan sahaja sebagai penaja program sukan akar umbi, malah berkongsi ilmu dan menyokong inisiatif mySukan TV.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Impact, Integrated Ahmed Faris Amir berkata antara fokus utama lain saluran itu adalah memberi pendedahan dan peluang kepada penggiat sukan untuk menjana pendapatan melalui penyiaran acara dan perlawanan sukan secara langsung di laman web mySukan TV atau media sosial.

    Ahmed Faris berharap mySukan TV dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menyokong gerakan sukan baharu itu sambil menggalakkan mereka menjalani gaya hidup yang lebih aktif dan sihat.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti mySukan TV boleh melayari laman web www.mysukan.tv atau platform media sosial, Facebook dan Instagram @mysukan.tv, Twitter @MySukan_TV dan YouTube @mySukan TV. – Bernama