Author: Admin

  • Kaji semula perkhidmatan feri selang dua jam

    Kaji semula perkhidmatan feri selang dua jam

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menyemak semula jadual perkhidmatan feri Pulau Pinang-Butterworth khususnya melibatkan trip dengan selang dua jam antara perjalanan pada waktu-waktu tertentu.

    Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, situasi itu akan menyebabkan kesulitan khususnya kepada penumpang pejalan kaki yang amat bergantung kepada feri untuk membawa mereka menyeberangi selat.

    Jelas beliau, penumpang pejalan kaki berkemungkinan tidak mempunyai pengangkutan sendiri serta hanya bergantung kepada perkhidmatan teksi dan mengambil teksi untuk menyeberangi jambatan pula melibatkan kos yang mahal.

    “SPPP juga perlu mempertimbangkan mereka yang bergantung kepada pengangkutan bersambung untuk mendapatkan atau mempunyai masa janji temu sensitif seperti janji temu untuk ke hospital.

    “SPPP tidak boleh mengharapkan penumpang pejalan kaki untuk merancang perjalanan mereka mengikut jadual feri kerana selang dua jam adalah terlalu lama dan membuang masa penumpang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, selang 20 minit hingga setengah jam bagi setiap perjalanan feri dilihat lebih munasabah apatah lagi dengan kehidupan di Pulau Pinang kini yang hampir pulih apabila beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka kekerapan perkhidmatan feri harus dipertingkatkan.

    “Jika SPPP berpendapat selang dua jam itu diperlukan untuk mengurangkan kos operasi, maka adalah salah kerana operasi pengangkutan awam tidak boleh dianggap sebagai usaha mencari wang.

    “Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau menjelaskan, SPPP mungkin perlu belajar daripada perkhidmatan kereta api di Hokkaido, Jepun yang terus menyediakan perkhidmatan ke stesen kereta api Kyu-Shirataki yang kurang digunakan dan terpencil beberapa kali sehari.

    Jelasnya, perkhidmatan itu disediakan hanya untuk menghantar seorang pelajar sekolah menengah ke kelas dan pulang semula serta beroperasi sehingga penumpang tunggal itu menamatkan pengajian.

    “Walaupun SPPP tidak dapat mencontohi perkhidmatan kereta api Hokkaido itu, ia sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan keperluan penumpang pejalan kaki untuk mengendalikan jadual yang lebih cekap.

    “SPPP tidak boleh mengharapkan penumpang yang tiba di Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth selepas 11 pagi untuk menunggu di terminal feri sehingga 1 petang untuk mendapatkan feri seterusnya ke Pulau Pinang,” katanya.

  • Pesakit Covid-19 di hospital Melaka meningkat sejak kempen PRN

    Pesakit Covid-19 di hospital Melaka meningkat sejak kempen PRN

    JUMLAH kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di Melaka mencatat peningkatan sehingga 57 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memuncak dan memasuki minggu kedua.

    Portal COVIDNOW menunjukkan kadar peningkatan itu kedua tertinggi di negara ini dan dicatatkan ketika pusingan akhir kempen PRN.

    Lonjakan itu menjadikan jumlah penggunaan katil hospital kerajaan di Melaka semakin membimbangkan, iaitu pada kadar 77 peratus dengan 24.1 peratus daripadanya bagi kes Covid-19.

    Tujuh hari lalu yang juga hari pertama kempen PRN Melaka, jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 mencatatkan 15 kes, namun meningkat kepada 26 kes pada Selasa, disusuli 70 kes (Rabu), 26 kes (Khamis), 31 kes (Jumaat), 32 kes (Sabtu) dan 33 kes semalam.

    Selain itu, jumlah kes baharu Covid-19 di negeri bersejarah itu juga mencatat peningkatan tiga peratus sejak tujuh hari lalu, dengan 195 purata kes dalam tempoh seminggu.

    Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Melaka pula tidak menunjukkan sebarang penurunan dan menghampiri 1.0, apabila mencatatkan 0.97 semalam.

    Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, purata Rt di seluruh negara kembali mencatatkan 1.0, sekali gus bererti pola penurunan jumlah kes baharu sejak beberapa minggu lalu sudah terhenti.

    “Ini bermakna kes harian semakin mendatar dan kebimbangan kita jika ia kembali meningkat.

    “Orang ramai digesa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan disaran segera mendapatkan dos penggalak bila janji temu diberi,” katanya.

  • PRN Melaka: 11 peratus keluar mengundi setakat 9 pagi

    PRN Melaka: 11 peratus keluar mengundi setakat 9 pagi

    PROSES pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat jam 9 pagi ini adalah 11 peratus.

    Secara keseluruhan samai 11,557 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 31 pusat pengundian awal (PPA) hari ini.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi awal terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

    Sejumlah 21 PPA membabitkan 24 Dewan Undangan negeri (DUN) akan dibuka bermula jam 8 pagi dan akan ditutup 2 petang.

    Sementara bagi 10 PPA lagi akan ditutup jam 5.30 petang.

  • Letupan teksi di luar hospital serangan pengganas

    Letupan teksi di luar hospital serangan pengganas

    POLIS United Kingdom (UK) mengisytiharkan insiden letupan melibatkan sebuah teksi di luar hospital di Liverpool semalam sebagai serangan penganas.

    Menurut polis UK, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya seorang lelaki yang memasuki kenderaan dilengkapi alat letupan.

    Letupan itu berlaku beberapa minit sebelum rakyat Britain bertafakur bagi hari peringatan pejuang perang yang diadakan setiap tahun.

    Akibat kejadian, seorang terkorban manakala pemandunya dimasukkan ke hospital akibat cedera.

    Pihak polis belum menyimpulkan sama ada kejadian itu berkait dengan hari berkenaan ataupun berlaku disebabkan ancaman penganas.

    Polis turut masih mengikuti rapat perkembangan terkini berkenaan kejadian itu.

  • Salah guna kuasa: Pengetua dipenjara selepas rayuan ditolak

    Salah guna kuasa: Pengetua dipenjara selepas rayuan ditolak

    SEORANG pengetua sekolah menengah terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan bagi tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65 kira-kira empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk M.Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan Norliza Mat Radzi, 53, berhubung sabitan, hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Julai 2017.

    Hanipah, yang mengetuai panel itu, berkata hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Norliza oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak terlalu berat memandangkan tempoh maksimum hukuman penjara bagi kesalahan tersebut ialah 20 tahun.

    Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu, yang bebas atas jaminan sementara menunggu rayuan, diperintah menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

    Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di sekolah itu antara 12 Feb dan 13 April 2016.

    Sebelum ini, Norliza gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

    Dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,500 bagi pertuduhan pertama iaitu memilih syarikat miliknya sendiri, Orean Collection, untuk menjadi membekalkan alat bantuan mengajar bernilai RM2,091.65.

    Bagi pertuduhan kedua iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan tuala kecil bagi program ‘Selamatkan Bumi Kita’ bernilai RM500, dia dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000.

    Norliza turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 bagi pertuduhan ketiga iaitu memilih syarikat yang sama untuk membekalkan hamper, set fail, alat tulis dan pingat bagi program Perkhemahan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 2016 bernilai RM4,000.

    Mahkamah Sesyen telah memerintahkan Norliza menjalani hukuman penjara secara serentak. Dia telah membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

    Norliza diwakili peguam Anwar Ab Raof manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan. –Bernama

  • Najib tidak kata atau buat apa-apa untuk pisahkan diri daripada Jho Low- Saksi

    Najib tidak kata atau buat apa-apa untuk pisahkan diri daripada Jho Low- Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berkata atau melakukan apa-apa untuk memisahkan dirinya daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman berkata Najib tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk tidak mematuhi arahan yang diberikan oleh Jho Low dalam semua perkara berkaitan 1MDB.

    Sri Ram: Ketika anda bermesyuarat di rumah tertuduh dan Jho Low hadir, apa yang anda perhatikan mengenai hubungan antara Jho Low dan tertuduh?


    Mohd Hazem: Mereka teramat rapat.


    Sri Ram kemudian menyoal saksi pendakwaan ke-10 berusia 49 tahun itu mengapa beliau mematuhi arahan Jho Low dan Mohd Hazem menjawab semua arahan Jho Low ‘datang daripada Najib sendiri.’

    Mohd Hazem juga berkata peranan Jho Low dalam 1MDB telah disembunyikan semasa pertemuan dengan firma perakaunan KPMG Malaysia untuk membincangkan audit syarikat itu kerana Jho Low sendiri telah mengarahkan agar namanya tidak didedahkan.

    Ditanya lanjut mengenai penyingkiran KPMG Malaysia sebagai juruaudit pembangunan strategik syarikat itu, Mohd Hazem berkata firma tersebut enggan menandatangani laporan audit bagi tahun kewangan 2013 1MDB.

    Saksi itu juga berkata beliau telah menerima tekanan termasuk daripada Najib sendiri untuk memastikan bahawa laporan audit tersebut ditandatangani.

    “Saya telah dipanggil secara langsung oleh beliau (Najib) yang meminta saya mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu (menandatangani laporan audit) dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah menggantikan KPMG dengan juruaudit baharu.


    “Ketika itu, saya berada dalam kedudukan yang tidak membolehkan saya untuk tidak mematuhi Datuk Seri Najib kerana beliau adalah Perdana Menteri,” katanya.

    KPMG dilantik sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012 namun telah dipecat pada 2013 selepas enggan menandatangani akaun bagi tahun kewangan 2013 1MDB.


    Mohd Hazem juga berkata beliau tidak menerima satu sen pun daripada wang yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB atau diberikan sebarang pampasan kewangan oleh Jho Low atas dakwaan bersubahat untuk menggelapkan wang daripada syarikat itu.


    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.


    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama

  • Ketua Kampung Long Tap ditemukan lemas selepas perahu karam

    Ketua Kampung Long Tap ditemukan lemas selepas perahu karam

    KETUA Kampung Long Tap, Clement Wan Tingang, 74, lemas selepas perahu dinaikinya karam di sungai di Long Tap, hulu Baram, Miri, Jumaat ditemukan mayatnya hari ini.

    Mayat ditemui tersangkut di atas batu di tebing Sungai Abang, kira-kira pukul 9.10 pagi tadi.

    Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kemudian mengambil mayat mangsa dan menyerahkan kepada keluarganya untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian yang menimpa mangsa pada jam 11 malam, Jumaat lalu.

    “Keluarga mangsa membuat panggilan terus kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ah Lian yang memaklumkan kejadian yang menimpa ketua kampung itu.

    “Berikutan panggilan itu diterima hampir tengah malam, anggota dari BBP Marudi pergi ke lokasi kejadian pada jam 7 pagi, Sabtu kerana untuk ke Long Tap terpaksa melalui jalan balak yang memakan masa lapan jam perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, tiba di lokasi pada petang Sabtu, empat anggota dari BBP Marudi itu terus mengaktifkan operasi SAR bersama penduduk kampung.

    “Selepas pencarian memasuki hari ketiga, mayat mangsa ditemui hari ini di jarak kira-kira empat kilometer di hilir Sungai Abang,” katanya.

    Menurutnya lagi, mangsa aktif dalam aktiviti kebombaan dan pernah mengikuti ‘Summer Camp’ anjuran JPBM Sarawak pada 2018 yang diadakan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat berhubung langkah mencegah kebakaran.

  • 45 PATI Indonesia ditahan, dua positif Covid-19

    45 PATI Indonesia ditahan, dua positif Covid-19

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki warganegara Indonesia ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) di perairan utara Tenggaroh, Mersing pagi tadi.

    Daripada jumlah itu, dua PATI disahkan positif Covid-19 setelah ujian saringan dilakukan terhadap kesemua mereka.

    Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), anggota petugas pemerhati telah mengesan bunyi bot yang mencurigakan kira-kira pukul 1 pagi.

    “Atas maklumat tersebut, anggota petugas telah membuat serbuan dan sekitar pukul 1.30 pagi, seramai 39 PATI berjaya ditahan. 26 daripadanya dipercayai baru saja tiba dan selebihnya sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal.

    “Pada pukul 8.45 pagi, anggota Quick Reaction Force (QRF) yang ditugaskan untuk membuat penjejakan berjaya menangkap enam lagi PATI sedang bersembunyi di kawasan Ladang Sawit Tenggaroh Timur tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama.

    “Mereka dipercayai saki baki PATI yang baru tiba ke negara ini. Kesemua 45 PATI tersebut terdiri daripada 36 lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia berusia sekitar 19 hingga 46 tahun,” katanya di sini, hari ini.

    Tambah kenyataan itu, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguruskan dua PATI tersebut mengikut prosedur sehingga diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

    Ujarnya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,000 melibatkan RM4,174, matawang Rupiah Indonesia IDR5,455,300 (RM1,590) bersama-sama lapan buah telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama.

    Sementara itu, kesemua PATI yang negatif diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru. Manakala, laporan kejadian tersebut pula dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

  • Judi: Mufti P. Pinang kecewa kenyataan Muhammad Sanusi

    Judi: Mufti P. Pinang kecewa kenyataan Muhammad Sanusi

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengaitkan judi ekor dengan Pulau Pinang adalah sesuatu yang tidak wajar.

    Malah, beliau turut beranggapan kenyataan Muhammad Sanusi itu satu penghinaan terhadap institusi-institusi agama Islam di Pulau Pinang yang sentiasa komited kepada usaha-usaha bagi memertabatkan kedudukan Islam di negeri itu.

    Tambah beliau, sebagai seorang pemimpin kerajaan sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia, Muhammad Sanusi sepatutnya mempamerkan kematangan berfikir dan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam menghayati semangat Keluarga Malaysia sebagaimana dicetuskan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

    “Selaku seorang ‘abang’ suka saya menasihati Menteri Besar Kedah supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

    “Beliau perlu menjaga imej jawatan yang disandangnya sebagai seorang prmimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad.

    “Beliau juga sepatutnya seboleh-bolehnya cuba tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbukan kontroversi dengan pemimpin-pemimpin negeri yang lain terutama negeri jiran, sebaliknya berusaha menjalin hubungan yang mesra dengan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan Muhammad Sanusi semalam yang menyebut sesiapa yang ingin membeli nombor ekor (judi) boleh berbuat demikian di Pulau Pinang selepas Kerajaan Negeri Kedah memutuskan akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

    Dalam pada itu Wan Salim berkata, umum sedia maklum Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja atau sultan dan Pulau Pinang termasuk sebuah negeri yang segala urusan mengenai agama Islam terletak secara langsung di bawah naungan Seri Paduka Baginda.

    Jelasnya, walaupun pada masa ini parti yang memerintah Pulau Pinang adalah Pakatan Harapan (PH) yang merupakan gabungan antara parti-parti DAP, PKR dan Amanah, namun kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan tetap terpelihara dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri.

    “Sebagai contoh, bajet yang diperuntukkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi melaksanakan pelbagai program dan keislaman di negeri ini mencecah hampir RM70 juta sejak tahun 2008,” katanya.

  • Penagih lemas terjun sungai semasa larikan diri daripada polis

    Penagih lemas terjun sungai semasa larikan diri daripada polis

    SEORANG penagih dadah lemas selepas terjun ke sungai semasa dikejar polis di Taman Arbi berdekatan Kampung Tabuan Melayu, Khuching, pukul 10 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, Syed Mahadar Wan Mohamad, 37, bersama-sama seorang lagi rakannya bertindak melarikan diri ketika polis menjalankan pemeriksaan di kawasan kediaman itu.

    “Dalam Ops Tapis membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah, suspek bertindak melarikan diri terjun ke sungai ketika polis menghampiri rumahnya.

    “Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit lemas manakala rakannya yang selamat ditangkap sepasukan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Difahamkan suspek berasal dari Sebuyau pergi ke rumah rakannya di kampung berkenaan.

    Berdasarkan video yang tular dalam media sosial, penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian sempat memberi bantuan awal kepada lelaki terbabit sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

    Ahsmon berkata, kes masih lagi dalam siasatan pihak polis.