Author: Admin

  • Zafrul sahkan Najib mohon tanah, rumah bernilai RM100 juta

    Zafrul sahkan Najib mohon tanah, rumah bernilai RM100 juta

    MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

    Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

    “Permohonan telah dibuat, perbincangan pun diadakan, sekarang kita menunggu keputusan jemaah menteri untuk dimuktamadkan,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

    Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) meminta Tengku Zafrul menjelaskan mengapa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 tidak menyentuh mengenai hartanah RM100 juta yang akan diberikan kepada Najib.

    Pada awalnya Zafrul mencadangkan supaya soalan itu dipanjangkan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.

    Bagaimanapun, selepas beberapa kali diminta menjawab persoalan tersebut oleh ahli parlimen blok pembangkang, beliau mengesahkan permohonan telah diterima.

    “Saya kata permohonan ini, seperti saya sebut tadi, ia tiada dalam Bajet kerana ia dibentangkan sebelum permohonan tersebut.

    “Untuk laksanakan ini, ia akan dibawa sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Parlimen nanti,” ujarnya.

    Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang termasuk Mahfuz Omar (PH – Pokok Sena) dan RSN Rayer (PH – Jelutong).

    Sesi penggulungan tersebut juga berterusan panas apabila ahli parlimen membangkitkan perkara sama sehingga membuatkan Speaker, Datuk Azhar Harun beberapa kali mengarahkan mereka untuk duduk.

  • Penjawat awam pukul wanita dalam lif sebab gagal carikan jodoh

    Penjawat awam pukul wanita dalam lif sebab gagal carikan jodoh

    SEORANG lelaki berang dipercayai selepas wanita yang dibayar RM2,500 untuk mencari jodoh untuknya telah gagal, sebelum memukulnya dalam sebuah lif dalam kejadian di Jalan 2 Chan Sow Lin, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Suspek yang merupakan penjawat awam berjumpa mangsa yang sedang bekerja di pejabat di Jalan 2 Chan Sow Lin kira-kira pukul 10.30 pagi.

    Ketua Polis Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, suspek kemudian membawa mangsa masuk ke dalam lif untuk turun ke bawah dan ketika itu lelaki tersebut memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kepala.

    “Mangsa mengalami pendarahan di kepala dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini, tular video dalam media sosial memaparkan seorang wanita dipukul seorang individu dalam sebuah lif.

    Idzam memberitahu, pihaknya sudah mengenal pasti individu terbabit dan akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Anggota tentera cabul wanita di kedai vape dituduh

    Anggota tentera cabul wanita di kedai vape dituduh

    SEORANG anggota tentera yang ditahan kerana disyaki mencabul kehormatan seorang pekerja wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat, Kuala Lumpur, 7 Oktober lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang, pagi esok.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 26 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

    “Polis telah mendapat kebenaran daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek dan dia akan dituduh esok,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Kuala Lumpur, hari ini.

    Pada 5 Oktober lalu, mangsa yang berusia 18 tahun telah didatangi seorang lelaki berpakaian tentera mahu membeli barangan vape di kedai itu.

    Lelaki berkenaan keluar dari kedai selepas selesai membeli barangan vape namun masuk semula ke kedai berkenaan.

    Ketika mangsa menyerahkan pod vape kepada lelaki itu, lelaki berkenaan dipercayai mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan kemudian turut menjilat jari mangsa. – Bernama

  • Kontraktor didakwa atas tuduhan jual darjah kebesaran negeri palsu

    Kontraktor didakwa atas tuduhan jual darjah kebesaran negeri palsu

    SEORANG kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas kesalahan menjual darjah kebesaran negeri yang tidak diiktiraf pada 2017.

    Sinar Harian melaporkan, Nik Hasyidat Nik Daut, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

    Mengikut pertuduhan pertama, Nik Hasyidat didakwa menerima suapan berjumlah RM1,000 melalui akaun bank miliknya di Bank CIMB, Jalan Tunku Ibrahim di Alor Setar pada pukul 3.37 petang, 15 Jun 2020 yang dimasukkan penama, Ahmad Nazri Ibrahim, 57, sebagai dorongan untuk mendapatkan pemberian anugerah tidak diiktiraf.

    Bagi pertuduhan kedua, pada pukul 1.39 tengah hari, 27 Julai 2020 tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM5,000 melalui akaun bank miliknya yang dimasukan penama sama sebagai dorongan untuk mendapatkan pemberian anugerah tidak diiktiraf melalui bank sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Khairul Azreem Mamat dan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurul Suhaila Baharin, manakala tertuduh diwakili peguam, Nazri Awang.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes manakala tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan.

  • Kilang tidak beroperasi jadi stor simpan dadah RM1.52 juta

    Kilang tidak beroperasi jadi stor simpan dadah RM1.52 juta

    TAKTIK seorang lelaki menjadikan sebuah kilang milik keluarganya yang sudah tidak beroperasi sebagai stor menyimpan dadah terbongkar selepas suspek ditahan dalam Ops Kingfisher di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang dan polis merampas dadah ketamin seberat 20.66 kilogram (kg), methamphetamine (7.4 kg) dan ekstasi (3.30 kg) yang dianggarkan bernilai RM1.52 juta,

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, modus operandi lelaki itu adalah menjadikan kilang yang sudah tidak beroperasi sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengaburi pihak berkuasa.

    “Dadah yang dirampas itu disyaki adalah untuk pasaran tempatan. Kita turut menyita wang tunai berjumlah RM200,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

    Dalam kes berasingan, Yahaya berkata, seramai tiga lelaki ditahan dalam Ops Lizard di sekitar Lembah Klang, pada Isnin.

    “Kesemua lelaki berusia 28 hingga 31 tahun itu ditahan pada jam 6.45 petang. Kita turut merampas dadah ganja (31.51 kg) dan 2,800 biji pil erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM122,025,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM42,551.

    “Modus operandi sindiket yang bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini adalah menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dan pengedaran dadah.

    “Dadah itu adalah untuk pasaran tempatan dan hanya diedarkan kepada kenalan rapat sahaja,” katanya.

    Yahaya memaklumkan kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Kakitangan awam Johor dapat RM1,000

    Kakitangan awam Johor dapat RM1,000

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KAKITANGAN kerajaan Johor dan kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.

    Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika membentangkan Bajet Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

    Bantuan khas berkenaan juga akan dipanjangkan kepada semua guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ).

    “Kerajaan negeri tidak melupakan jasa dan khidmat penjawat awam yang telah menjayakan agenda pembangunan dan kebajikan negeri yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran pentadbiran.

    “Bantuan khas kewangan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2021,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu ketika menyampaikan ucapan Bajet Johor 2022 yang bertemakan Memperhebat Kesejahteraan Johor.

    Sementara itu, sebanyak RM90 juta akan digunakan bagi meneruskan program bantuan Kasih Johor dengan menambah bilangan penerima daripada 300,000 kepada 450,000 yang terdiri daripada golongan B40.

    Malah, pemberian wang tunai secara one-off kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga yang berpendapatan RM3,001 hingga RM 7,000 akan diteruskan pada tahun hadapan.

    “Inisiatif ini adalah bagi melengkapkan bantuan awal persekolahan yang diberi oleh kerajaan Persekutuan bagi golongan berpendapatan di bawah RM3,000. Sejumlah RM33 juta akan diperuntukkan dan memanfaatkan 220,000 pelajar.

    “Bagi golongan asnaf, sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan untuk kebajikan sosial dan institusi untuk memanfaatkan anak-anak yatim, warga tua yang tidak berwaris, persatuan orang kurang upaya dan lain-lain,” katanya.

    Terdahulu, Hasni membentangkan Bajet 2022 dengan defisit kali kedua sebanyak RM286.47 juta selepas merekodkan belanjawan lebihan selama 10 tahun berturut-turut sebelum ini.

    Sebanyak RM870 juta diperuntukkan sebagai anggaran perbelanjaan pembangunan pada tahun depan di samping unjuran hasil Johor yang disasarkan sebanyak RM1.67 bilion, manakala unjuran perbelanjaan pula adalah sebanyak RM1.95 bilion.

    Selain itu, sejumlah RM1.08 bilion tidak termasuk caruman kepada pelbagai Kumpulan Wang Amanah turut diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus.

  • Rasuah polis: Jurutera dan pengurus warga India didakwa di mahkamah

    Rasuah polis: Jurutera dan pengurus warga India didakwa di mahkamah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA lelaki warganegara India yang juga bekas pengurus dan jurutera cuba memberi suapan sebanyak RM2,922 kepada seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini.

    Ketiga-tiga mereka berdepan pertuduhan itu selepas memberi rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang setelah ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), September lalu.

    Tertuduh, Kansara Sanjay Bhojabhai, 42; Chavda Narendrakumar Ranjitsinh, 35 dan Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.

    Bagaimanapun, Ahmad Kamil mengarahkan kesemua tertuduh yang merupakan bekas pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, dekat sini untuk melantik jurubahasa dalam bahasa ibunda mereka.

    Hakim turut memerintahkan kes disebut semula pada 22 Disember ini setelah ragu-ragu ketiga-tiga lelaki itu faham akan implikasi pengakuan yang dibuat serta hukuman yang boleh diambil terhadap mereka.

    Mengikut kertas pertuduhan, Kansara, Chavda dan Patel telah merasuah anggota polis berpangkat Lans Koperal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang undang ke atas mereka yang berhimpun di premis dalam kawasan tempatan jangkitan bagi tujuan sosial mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Perbuatan itu dilakukan mereka pada pukul 10.16 malam di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum, di sini, pada 3 September yang lalu.

    Bagi perbuatan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Raya, Ikhwan Ihsan Jalaludin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, K. Bharathi.

    Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 seorang dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh selain mengarahkan pasport diserahkan dan melapor di Pejabat SPRM Johor Bahru pada setiap bulan.

    Ia selepas pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan dua orang penjamin terhadap tertuduh serta syarat tambahan berkenaan.

    Bharathi memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan yang minimum memandangkan mereka telah diberhentikan kerja pada 24 September lalu selain ketiga-tiga tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan anak.

  • Dr. Dina aktif bantu masyarakat Ayer Limau sejak 2007 lagi

    Dr. Dina aktif bantu masyarakat Ayer Limau sejak 2007 lagi

    SITUASI getir yang dialami oleh rakyat Malaysia akibat penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu sukar untuk diterjemahkan.

    Pegawai perubatan yang juga petugas barisan hadapan menjadi saksi terhadap penderitaan dialami oleh rakyat Malaysia.

    Berdasarkan pengalaman itu, ia telah mendorong Dr. Nordina Abdul Latif iaitu calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau untuk menyahut cabaran yang diberikan oleh pimpinan gabungan tersebut.

    Mesra dikenali masyarakat sebagai Dr. Dina, pernah bertugas sebagai pegawai kesihatan di Klinik Kesihatan Lubok Cina, Melaka, selama 14 tahun.

    “Alhamdulillah sebelum ini saya bekerja di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tempat bertugas pertama saya adalah di Hospital Melaka, kemudian di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, seterusnya ditempatkan di Klinik Kesihatan Lubok Cina,” katanya.

    Beliau yang juga merupakan ibu kepada lima orang anak itu berkata, beliau telah lama bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan membantu NGO seperti SMART.

    “Saya banyak membantu aktiviti kemasyarakatan dan pernah membawa masuk seperti satu aktiviti Komuniti Bebas Rokok serta mendapat pengiktirafan Majlis Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHO),” ujarnya.

    Menurutnya, beliau sayang kepada kawasan Lubok Cina ataupun di DUN Ayer Limau kerana sudah lama berkhidmat untuk masyarakat di kawasan berkenaan.

    “Kalau sebut nama Dr. Dina, alhamdulillah masyarakat di sekitar ini banyak yang mengenali diri saya.

    “Banyak program-program saya yang saya telah buat di kawasan DUN Ayer Limau sejak 2007, memang banyak aktiviti kemasyarakatan yang pernah saya buat di sini,” katanya.

    Terdahulu, Dr. Nordina membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma di sebuah kedai kopi di Kampung Bukit Apit, Melaka selepas secara kebetulan menikmati sarapan di situ.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Dr Nordina yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mazenah Baharuddin dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basher daripada Barisan Nasional (BN).

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Ayer Limau dimenangi oleh Datuk Amiruddin Yusof daripada BN dengan majoriti undi 1,479.

  • Najib tandatangan surat sokongan kerajaan tanggung hutang 1MDB USD3 billion

    Najib tandatangan surat sokongan kerajaan tanggung hutang 1MDB USD3 billion

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejumlah US$3 bilion, jika syarikat itu gagal berbuat demikian.

    Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, 57, berkata demikian ketika merujuk kepada surat sokongan kerajaan kepada 1MDB bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan ketika itu.

    Beliau berkata surat itu  menyatakan kerajaan Malaysia telah mengambil maklum bahawa anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL) akan menerbitkan bon sebanyak US$3 bilion yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

    “Dokumen (surat) ini menjelaskan, sekiranya peminjam 1MDB GIL tidak dapat membayar atau terdapat kekurangan dalam membayar hutang ini, syarikat 1MDB akan memberikan bantuan kewangan untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang itu.

    “Selain itu, sekiranya 1MDB gagal untuk membayar hutang berkenaan, maka kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab itu untuk membiayai 1MDB untuk membayar hutang ataupun secara langsung membayar hutang itu sehingga selesai.

    “Dalam erti kata lain, surat sokongan ini adalah seperti sokongan kuat dari kerajaan Malaysia untuk membayar US$3 bilion bon berserta ‘interest’ yang diwujudkan oleh 1MDB melalui 1MDB GIL,” katanya sambil menambah surat sokongan itu dikeluarkan oleh kerajaan dengan kadar yang sangat cepat.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

    Ismee yang membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka berkata, kelulusan untuk membuat ‘fundraising’ sebanyak US$3 bilion telah dicapai pada Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) bertarikh 12 Mac 2013 manakala surat sokongan dikeluarkan pada 14 Mac 2013.

    Saksi itu berkata, hampir kesemua keputusan yang dicapai oleh 1MDB bagi menjayakan ‘fundraising’ US$3 bilion itu adalah melalui DCR dan Special Right Redeemable Preference Shareholders Resolution (SRR).

    “Sepatutnya, sesuatu keputusan yang ingin dicapai boleh dibuat sama ada melalui mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) atau melalui DCR dan SRR. Bagaimanapun sekiranya sesuatu keputusan diperlukan dengan kadar segera maka lazimnya ia akan dibuat melalui DCR dan SRR.

    “Saya mengesahkan bahawa, kuasa Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi penasihat lembaga 1MDB adalah melangkaui BOD 1MBD berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) berkaitan urusan kewangan dan pelaburan syarikat yang melibatkan kepentingan negara hendaklah dibuat keputusan oleh PM (Najib),” kata Ismee.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – Bernama

  • Mas Ermieyati ikrar wujudkan hab e-sukan di Tanjung Bidara

    Mas Ermieyati ikrar wujudkan hab e-sukan di Tanjung Bidara

    MEMPERKASAKAN pembangunan kemudahan di Tanjung Bidara dan Masjid Tanah khususnya sebagai hab e-sukan untuk anak-anak muda bagi melahirkan pemain bertaraf dunia, menjadi antara inti pati ikrar Datuk Mas Ermieyati Samsudin. 

    Perkara itu merupakan tumpuan sosial yang diketengahkan calon Perikatan Nasional (PN) itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebagai dasar manifestonya selain tiga lagi tumpuan iaitu pengukuhan ekonomi, pendidikan dan infrastruktur. 

    “Inilah ikrar saya untuk warga Tanjung Bidara. Empat tumpuan utama. Insya-Allah jika diberi mandat oleh kalian semua. Apa pun, kita akan sama-sama mencari solusi kepada permasalahan yang kita hadapi dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini. 

    Dalam tumpuan pendidikan, antara lain ikrar beliau adalah menambah baik inisiatif Mahasiswa Prihatin kepada pelajar yang memerlukan bantuan komputer riba/tablet untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lebih efisien. 

    “Selain itu, bantuan Pendidikan Prihatin iaitu bantuan tunai untuk anak-anak Tanjung Bidara dalam kalangan B40 yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan yang memerlukan bantuan dalam pelajaran juga akan diperluas.

    “Pendedahan dan bantuan kepada anak-anak yang minat mahupun sedang menganggur untuk menghadiri kurus kemahiran/TVET serta menyebar luas inisiatif Pusat Tuisyen Prihatin Rakyat kepada pelajar-pelajar SPM/STPM/STAM dalam Tanjung Bidara turut menjadi fokus saya,” katanya. 

    Bagi tumpuan pengukuhan ekonomi, Mas Ermieyati mahu memberi nafas dan wajah baharu bagi pelancongan di Tanjung Bidara dan Masjid Tanah amnya di samping memangkin pertumbuhan ekonomi supaya mewujudkan sumber ekonomi dan kekayaan baharu. 

    “’Tidak dilupakan, pemerkasaan bantuan untuk nelayan berdaftar di DUN Tanjung Bidara dan memperhebatkan sektor ekonomi gig termasuk e-hailing yang terjejas akibat COVID-19,’’ katanya. 

    Sementara dalam tumpuan infrastruktur, fokus beliau ialah untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan untuk meningkatkan kesalinghubungan capaian Internet di sekitar kawasan Tanjung Bidara bagi memenuhi keperluan pendidikan dan ekonomi warga Tanjung Bidara.

    “Untuk nelayan, penyediaan dan menaik taraf kemudahan nelayan dari Pantai Tanjung Bidara sehinggalah Pantai Pengkalan Balak akan dilakukan di samping menambah baik akses masuk dan keluar pantai-pantai di Tanjung Bidara dan menambah kemudahan tempat letak kenderaan di kawasan tumpuan pelancongan,” katanya. 

    Mas Ermieyati bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Barisan Nasional) dan Zainal Hassan (Pakatan Harapan).

    Pilihan Raya Negeri Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.