Author: Admin

  • Anggota tentera, pelajar IPT maut, empat parah tercampak dari kenderaan di Langkawi

    Anggota tentera, pelajar IPT maut, empat parah tercampak dari kenderaan di Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang anggota tentera bersama seorang mahasiswi maut manakala empat lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kampung Kilim, Ayer Hangat, dekat Langkawi, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 petang itu, anggota tentera tersebut yang juga pemandu kenderaan, Mohd. Firdaus Nor Shaidi, 23, meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha (HSM) manakala mahasiswi tersebut, Maizatul Hana Mohd. Rosdan, 21, menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, ketika kejadian, kenderaan jenis Toyota Avanza dinaiki enam individu itu datang dari arah Kuah menghala ke Ayer Hangat.

    “Siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai dipandu laju sebelum terbabas ke sebelah kiri, dan merempuh sebatang pokok di bahu jalan.

    “Berikutan impak pelanggaran yang kuat, kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 27 tahun dipercayai tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

    Difahamkan kesemua mereka datang ke pulau tersebut untuk melancong dengan kejadian berlaku di jalan lurus dalam keadaan hujan renyai.

    “Bedah siasat terhadap jenazah mangsa akan dilaksanakan pagi esok dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 22 ditahan termasuk 4 wanita dalam parti liar, semua positif dadah

    22 ditahan termasuk 4 wanita dalam parti liar, semua positif dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESERONOKAN 22 individu berhibur dalam parti liar selama dua hari dengan menyewa sebuah homestay di Taman Pura Kencana, Sri Gading, Batu Pahat terbantut apabila diserbu polis awal pagi semalam.

    Menerusi serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada pukul 1.30 pagi, mereka
    sedang berkumpul dan berhibur sambil mendengar muzik.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menahan mereka yang terdiri daripada 18 lelaki dan empat wanita berusia 16 hingga 23 tahun.

    “Hasil pemeriksaan mendapati seramai 22 orang berada dalam rumah teres dua tingkat berkenaan yang disewa selama dua hari.

    “Mereka berkumpul dan berhibur sambil mendengar muzik dengan semuanya berada di bawah pengaruh dadah. Ujian ke atas mereka mendapati semua positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kompaun juga dikeluarkan terhadap mereka di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

    Beliau menambah, siasatan lanjut masih dijalankan.

  • 4 lelaki ditahan menyamar polis samun warga asing

    4 lelaki ditahan menyamar polis samun warga asing

    TINDAKAN empat lelaki dipercayai rakan yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga Bangladesh di Bayan Baru, Pulau Pinang kelmarin memakan diri selepas mereka ditahan polis kelmarin.

    Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya yang menerima laporan berkenaan kejadian itu daripada seorang pengadu pada pukul 2.12 petang.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, empat suspek itu dipercayai terlibat dalam kegiatan samun wang dan telefon bimbit milik mangsa semasa berada di Astaka Bukit Gedung kira-kira pukul 4.30 pagi.

    “Dalam kejadian itu, suspek dikatakan menyamar sebagai anggota polis lalu menyamun sebuah telefon bimbit jenis Samsung dan wang tunai RM60 milik pengadu di lokasi kejadian.

    “Ketika itu, dua rakan pengadu yang turut berada di tempat kejadian juga disamun wang tunai bernilai RM90 dan RM20 sebelum suspek melarikan diri menaiki motosikal jenis dan nombor pendaftaran yang tidak pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, susulan laporan yang dibuat polis berjaya menahan suspek di sekitar Bayan Baru dan di Kampung Baru, Ayer Itam dan siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    Tambahnya, suspek kini ditahan reman sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan termasuk mengenal pasti sama ada terlibat dengan kes-kes jenayah lain.

  • Lima lelaki simbah cat, bakar kereta anggota kastam

    Lima lelaki simbah cat, bakar kereta anggota kastam

    KERETA Proton X70 milik seorang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Pelabuhan Klang bukan sahaja disimbah cat malah dibakar semasa dihantar di pusat mencuci kereta di Taman Pandamaran Permai, Klang pukul 11 pagi semalam.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan daripada pengadu berusia lingkungan 50-an pada 16 November lalu mendakwa kereta miliknya itu disimbah cat.

    Katanya, dua hari kemudian polis menerima satu lagi laporan daripada pengadu yang mendakwa keretanya dibakar di pusat cuci kereta ketika dihantar untuk membersihkan kesan simbahan cat.

    Susulan daripada laporan itu, Arjunaidi berkata, pihaknya berjaya mengesan lima lelaki terbabit yang kini direman bagi membantu siasatan.

    “Mereka ditahan di sekitar Klang malam tadi yang berumur antara 30 dan 60 tahun. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

    “Kesemua individu ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Sepang, hari ini.

    Dilaporkan kereta berkenaan terbakar 90 peratus ketika berada di pusat mencuci kereta berkenaan.

    Mengenai motif kejadian, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur khianat terhadap mangsa.

  • Najib tidak wajar minta aset, patut ada rasa malu

    Najib tidak wajar minta aset, patut ada rasa malu

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewajarnya malu untuk menuntut tanah dan rumah bernilai RM100 juta daripada kerajaan ketika negara masih dalam fasa pemulihan Covid-19.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, permohonan itu timbul ketika ramai rakyat Malaysia tidak berkemampuan untuk memiliki rumah pertama walaupun sudah lama bekerja dan berkeluarga.

    “Statistik awal daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada tahun lalu menunjukkan seramai 53 peratus penjawat awam masih tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

    “Malah, masih ramai rakyat marhaen terutama mereka yang bukan penjawat awam sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Najib telah memohon ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah bernilai RM100 juta daripada kerajaan.

    Tengku Zafrul berkata, perbincangan mengenainya sudah diadakan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan sedang menunggu keputusan untuk dimuktamadkan.

    Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, perlu diingatkan bahawa hak saraan bekas Perdana Menteri itu adalah tidak bersifat mutlak kerana ia masih tertakluk kepada kebenaran Kabinet.

    “Beliau tidak boleh anggap dirinya berhak kerana Kabinet boleh buat keputusan untuk menangguhkan pemberian itu sehingga keputusan di mahkamah rayuan diputuskan.

    “Pendek kata, Penasihat Barisan Nasional (BN) itu boleh memohon apa yang beliau mahukan, namun atas budi bicara Jemaah Menteri untuk meluluskannya atau tidak,” katanya.

  • Abu Hashim sasar tubuh koperasi kariah masjid seluruh Taboh Naning

    Abu Hashim sasar tubuh koperasi kariah masjid seluruh Taboh Naning

    CALON Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Abu Hashim Abdul Samad bercadang menubuhkan koperasi kariah masjid di seluruh DUN berkenaan sekiranya diberi peluang menyandang kerusi kawasan itu.

    Menerusi satu bual bicara di Hijau FM, Abu Hashim berkata, masjid bukan sahaja tempat untuk mengerjakan ibadah, malah perlu dierluaskan fungsi masjid dalam bidang perniagaan.

    “Zaman Rasulullah selepas baginda dirikan Masjid Nabawi, baginda keluar dan tengok perniagaan di sekitar Masjid Nabawi dijalankan oleh orang Yahudi, jadi Rasulullah kata, kita juga akan berniaga. Sehingga kini, perniagaan di Masjid Nabawi berjalan lancar dan meningkatkan ekonomi orang islam,” katanya.

    Lebih dikenali sebagai Cikgu Hashim, beliau memaklumkan Koperasi Kariah Masjid di Masjid Al-Muhsinin, Kampung Melekek Luar yang ditubuhkan sejak setahun lalu aktif dengan beberapa aktiviti oleh masyarakat setempat.

    “Dengan adanya koperasi itu, yang pertama fokus kita adalah kepada kedai runcit yang dinamakan Muslim Mart, dan yang kedua adalah projek pertanian berkelompok.

    “Jadi koperasi kariah masjid ini dapat bantu dalam bidang petanian untuk kita gunakan tanah-tanah terbiar dan kita juga dapat bantu masyarakat sekeliling untuk mereka usahakan, beri peluang pekerjaan kepada mereka,” ujarnya.

    Tambah beliau, koperasi kariah masjid juga memberi peluang kepada masyarakat setempat yang mempunyai produk persendirian untuk memasarkan produk mereka yang mana setakat ini kira-kira 15 pengusaha telah menghantar produk mereka kepada pihaknya untuk dipasarkan.

    “Jadi, itulah cadangan saya untuk mengadakan koperasi kariah masjid di seluruh DUN Taboh Naning.

    “Kalau kita bergerak sebagai satu pasukan, amat cantik. Katakanlah kita nak beli barang seperti minyak masak melalui borong, harganya lebih murah berbanding beli dalam kuantiti yang sikit, maka kita boleh jual dengan harga yang murah juga.

    Abu Hashim menambah, usahanya menjayakan koperasi di Masjid Al Muhsinin bersama rakan seperjuangan turut mendapat sokongan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selain diiktiraf sebagai koperasi kariah masjid paling aktif di Melaka.

  • Mangsa banjir nyaris lemas ketika selamatkan diri

    Mangsa banjir nyaris lemas ketika selamatkan diri

    SEORANG mangsa banjir di Kampung Tok Deh, Rantau Panjang, Pasir Mas berdepan detik cemas apabila nyaris lemas selepas rebah akibat pening ketika sedang mengharungi banjir di kawasan rumahnya untuk menyelamatkan diri.

    Abdul Majid Ahmad, 55, berkata, ketika kejadian pada kira-kira 8 malam tadi, beliau bersama isteri dan anak lelakinya terpaksa meredah air pada paras dadanya untuk keluar dari kawasan rumahnya ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah.

    “Masa itu air sudah masuk dalam rumah, kawasan luar rumah pula air sudah cecah dada. Jadi kami sekeluarga ambil keputusan untuk keluar ke tempat lebih selamat.

    “Ketika sedang harung air, tiba-tiba saya rasa pening kerana kesejukan dan hampir pitam sehingga menyebabkan saya rebah.

    “Mujur ketika itu anak lelaki saya (Mohd Syamil, 17) sempat memaut badan saya sebelum tenggelam dibawa arus banjir,” katanya kepada Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Rantau Panjang, hari ini.

    Abdul Majid yang menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis berkata, kawasan rumahnya sering dinaiki air kerana berada di kawasan paling rendah dan sudah menjadi kelaziman untuknya dan keluarga berpindah ke PPS SK Tok Deh setiap kali musim banjir.

    Seorang lagi mangsa banjir, Kamaruddin Stapa, 53, dari Kampung Bendang Perol di sini turut berpindah ke PPS bersama enam ahli keluarganya kerana bimbang keselamatan keluarganya berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Golok.

    “Ibu saya (Mariam Ahmad, 80) tidak boleh berjalan kerana sakit lutut dan perlu diusung ketika berpindah awal pagi tadi.

    Sebenarnya air mulai masuk ke kawasan rumah saya sejak kelmarin tetapi disebabkan limpahan air dari Sungai Golok yang masuk melalui longkang menyebabkan air semakin banyak di sini,” katanya.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Tok Deh mendapati beberapa kawasan jalan dari Kampung Tok Deh ke Rantau Panjang turut dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.

    Setakat 2 petang tadi, bilangan mangsa banjir di PPS SK Tok Deh kekal 31 orang daripada enam keluarga, manakala menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan paras amaran dengan bacaan 8.66 meter. – Bernama

  • Ah long ditetak mati berpunca daripada dendam lama dua kongsi gelap

    Ah long ditetak mati berpunca daripada dendam lama dua kongsi gelap

    POLIS Selangor memaklumkan seorang lelaki yang maut ditetak di hadapan dua anaknya selepas mereka makan tengah hari di sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi, Klang, dua minggu lalu berpunca akibat dendam lama antara dua kumpulan kongsi gelap.

    Jelas Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, punca tersebut didedahkan selepas polis menyoal siasat 16 suspek dipercayai ahli kongsi gelap yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    “Polis juga sedang menjalankan siasatan mengenai penglibatan lain-lain ahli kumpulan itu.

    “Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan dendam lama antara dua kumpulan kongsi gelap yang dianggotai mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau percaya penahanan 16 suspek termasuk suspek utama dalam beberapa siri tangkapan di Lembah Klang seperti Sri Petaling serta beberapa lokasi di Johor seperti Ledang dan Muar, kes itu berjaya diselesaikan.

    Katanya, polis kini dalam peringkat melengkapkan siasatan dan akan merujuk Jabatan Peguam Negara untuk arahan pendakwaan.

    Terdahulu, Arjunaidi memberitahu, seorang suspek memandu anggota polis ke sebuah kawasan lapang di Taman Sentosa, Klang untuk menunjukkan lokasi pakaian mereka dibakar.

    “Suspek kemudian membawa polis ke Sungai Klang berhampiran Jambatan Kota untuk menunjukkan senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu. Mereka dipercayai membuang senjata dipercayai parang ke dalam sungai tersebut,” ujarnya.

    Menurutnya, Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Selam, Pasukan Marin Klang dan Forensik Polis Diraja Malaysia terlibat dalam usaha mencari senjata yang dibuang suspek.

    Beliau turut memaklumkan yang polis mengesan sebuah lokasi homestay di Bandar Botanic Klang yang disewa suspek sebelum dan selepas kejadian.

    Dalam kejadian 6 November lalu, mangsa bersama-sama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun datang ke restoran tersebut pada pukul 11.50 pagi.

    Sejurus selesai makan, tiga beranak itu berjalan kaki ke arah kereta Toyota Vellfire yang berada 30 meter dari premis berkenaan.

    Sewaktu mangsa mahu membuka pintu kereta itu, dia bagaimanapun didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan parang dan terus menetaknya.
    Kedua-dua anak mangsa bagaimanapun selamat tanpa sebarang kecederaan.

  • Kenyataan Pengerusi PN Melaka bantah calon Ketua Menteri palsu

    Kenyataan Pengerusi PN Melaka bantah calon Ketua Menteri palsu

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menafikan kenyataan akhbar yang tular kononnya ahli parti menzahirkan ketidakpuashatian melantik calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri.

    Kenyataan akhbar kononnya dikeluarkan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen itu, disahkan palsu oleh Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Badrul Hisham Shaharin.

    Menerusi kenyataan akhbar palsu itu kononnya Mohd Rafiq didakwa kecewa kerana PN membuat kesilapan kerana Mas Ermieyati bukan berasal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Peringatan dan penjelasan ringkas bahawa kenyataan itu palsu, turut dimuat naik dalam Facebook Mohd. Rafiq, hari ini.

    Pada 14 November lalu, tular dalam media sosial, poster yang kononnya mendakwa Mohd Rafiq sebagai calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

    Ibu Pejabat PN kemudian menafikan pengeluaran sebarang poster berkenaan calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

    DUN Telok Mas menyaksikan saingan empat penjuru dengan Mohd. Rafiq dicabar Datuk Abdul Razak Abdul Rahman daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Pakatan Harapan) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Telok Mas dimenangi oleh Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi.

  • Trend peningkatan jenayah siber di Pulau Pinang membimbangkan

    Trend peningkatan jenayah siber di Pulau Pinang membimbangkan

    KES penipuan jenayah siber di Pulau Pinang menunjukkan trend peningkatan membimbangkan iaitu sebanyak 28.2 peratus setakat Oktober tahun ini berbanding sepanjang tahun lalu.

    Kes-kes jenayah siber melibatkan penipuan seperti pinjaman tidak wujud, pelaburan dan ah long itu direkodkan sebanyak 2,494 kes dalam tempoh hanya 10 bulan tahun ini iaitu sejak Januari hingga Oktober lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Asmadi Yusoff berkata, ia melibatkan kerugian yang mencecah hampir RM79 juta kepada mangsa-mangsa terlibat.

    “Secara keseluruhannya, kes jenayah siber ini merangkumi sebanyak 14.36 peratus daripada kerugian kes yang disiasat di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, siasatan ke atas kes jenayah siber yang melibatkan penipuan pembelian pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan kira-kira 200 pembeli mendapati suspek yang ditahan di Pulau Pinang baru-baru ini bergerak bersendirian menjalankan perniagaan itu secara ‘online’.

    “Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini turut menjual alat permainan PS4 dan PS3, namun tiada sebarang masalah membabitkan penjualan konsol terbabit ketika itu.

    “Malah, suspek turut memiliki syarikat yang didaftarkan atas namanya bagi menambah keyakinan pelanggan,” katanya.

    Tambah Mohd. Asmadi, suspek juga dipercayai menggunakan akaun ibunya yang turut menjalankan perniagaan ‘online’ untuk memperoleh wang daripada para pembeli pratempahan PS5 itu.

    Jelasnya, suspek turut mendakwa memperoleh konsol PS5 itu daripada pembekal lain dan polis masih menyiasat kes itu dengan lanjut.

    “Setakat ini terdapat lapan kes membabitkan penipuan PS5 ini dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM28,000,” katanya.

    Akhbar sebelum ini melaporkan hampir 200 pembeli pratempahan konsol permainan PS5 kerugian kira-kira RM500,000 selepas diperdaya individu yang membina reputasi sebagai ‘penjual dipercayai’ atau ‘trusted seller’ sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan.