Author: Admin

  • KPDNHEP Kedah periksa 342 pasar awam sejak 1 November

    KPDNHEP Kedah periksa 342 pasar awam sejak 1 November

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah telah melakukan pemeriksaan terhadap 342 pasar awam di negeri ini sejak 1 November lalu bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan mendadak.

    Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, pihaknya memandang serius isu kenaikan harga barangan termasuk sayur dan barangan mentah sejak kebelakangan ini.

    Sehubungan itu katanya, KPDNHEP telah menggerakkan seramai 172 pegawai penguat kuasa dan 51 pegawai pemantau harga (PPH) di seluruh Kedah bagi memantau serta menangani isu tersebut di pasar awam dan pasar raya.

    “Tinjauan harga di pasar raya juga mendapat berlaku kenaikan dan penurunan setiap hari namun tidak melibatkan semua jenis barang.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan mengambil keuntungan secara berlebihan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, kenaikan harga barang seperti ayam dan sayur berpunca daripada peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import serta kenaikan harga baja dan racun.

    172 pegawai penguat kuasa dan 51 pegawai pemantau harga di seluruh Kedah terlibat memantau serta menangani isu tersebut di pasar awam dan pasar raya

    Menurutnya, sebahagian besar kos operasi penternakan melibatkan kos makanan dengan hampir 100 peratus diimport dari negara asing seperti jagung dan soya.

    “Bagi sayur-sayuran pula, ada dalam kalangan sayur keluaran tempatan yang meningkat harganya kerana kita kini berada pada penghujung tahun. Ketika ini, memang berlaku musim tengkujuh dan harga sayur biasanya akan meningkat.

    “Tambahan pula keadaan cuaca tidak menentu dan ketidak seimbangan permintaan dalam pasaran juga menyebabkan harga barangan tersebut naik secara mendadak,” katanya.

    Katanya, sepanjang tahun ini KPDNHEP Kedah telah menjalankan pemeriksaan di 69,166 premis di seluruh Kedah yang telah menghasilkan 924 tindakan kes melibatkan pelbagai akta dikuatkuasakan KPDNHEP.

    “Nilai rampasan adalah sebanyak RM607,051 manakala jumlah kompaun pula mencecah RM152,600” katanya.

  • PM rasmi pembukaan VTL darat Isnin ini

    PM rasmi pembukaan VTL darat Isnin ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan pembukaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat di Tambak Johor, Johor Bahru pada Isnin ini.

    Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, Perdana Menteri akan merasmikan majlis tersebut pada pukul 10.45 pagi.

    “Pembukaan semula sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia ini amat penting buat sektor ekonomi negara khususnya Johor yang merupakan negeri berjiran dengan Singapura.

    “Ketika sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura ditutup akibat pandemik Covid-19 lalu, segala aktiviti ekonomi di pusat Bandaraya Johor Bahru terhenti sehingga menjadi seperti ‘bandar hantu’.

    “Namun saya bersyukur apabila kepimpinan kedua-dua negara telah bersetuju untuk berbincang dan capai kata sepakat agar pelaksanaan VTL darat dilakukan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini,” katanya.

    Hasni (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, hari ini.

    Hasni berkata, jumlah pengembara yang dihadkan kepada seramai 1,440 orang dibenarkan untuk merentasi sempadan itu pada minggu pertama bukan masalah utama sebaliknya pembukaan semula sempadan itu lebih bermakna.

    “Tidak mengapa hanya 1,440 orang, sekiranya hanya 10 orang sahaja pun tidak mengapa asalkan sempadan Malaysia-Singapura dibuka segera kerana ia penting untuk memulihkan semula sektor ekonomi rakyat dan negeri,” katanya.

    Namun katanya, persediaan tetap perlu dibuat kedua-dua negara untuk membolehkan lebih ramai pengembara dapat berulang alik.

    Majlis perasmian pembukaan VTL darat tersebut akan turut diadakan di Singapura melibatkan Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.

    Pembukaan fasa baharu sempadan Malaysia-Singapura menerusi pelaksanaan VTL darat itu adalah serentak dengan VTL udara yang menghubungkan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

  • Kes rogol meningkat 8.1 peratus di Kelantan

    Kes rogol meningkat 8.1 peratus di Kelantan

    SEBANYAK 96 kes dilaporkan di Kelantan setakat ini dalam tahun ini berbanding 86 kes pada tahun lalu, sekali gus meningkat 8.1 peratus.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, semua daerah menunjukkan peningkatan kadar kes terutama Kota Bharu dan Bachok.

    “Kebanyakan kes berkenaan adalah melibatkan mangsa yang berumur bawah 18 tahun sama ada dengan teman lelaki atau pun suka sama suka.

    “Jumlah berkenaan adalah yang dilaporkan kepada polis oleh ibu bapa serta pihak hospital.

    “Kita menyeru kepada semua pihak untuk melaporkan perkara ini kepada polis jika berlaku kes seperti ini.

    “Kesedaran ibu bapa sangat penting bagi memastikan kita dapat menghindari anak-anak daripada terjebak dengan perkara seperti ini,” katanya kepada pemberita di Pasir Mas, hari ini.

    Shafien sebelum itu hadir pada Majlis Apresiasi Media bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga November tahun ini, kadar jenayah di Kelantan menurun sebanyak 21.2 peratus berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Katanya, indeks jenayah di Kelantan mencatatkan penurunan iaitu 1,652 kes berbanding 2,097 kes tahun lalu.

    Sementara itu mengulas mengenai penubuhan Unit Media berkenaan, Shafien berkata, ia ditubuhkan untuk memberi pendedahan yang lebih tepat mengenai isu-isu semasa terutamanya yang sering ditularkan melalui laman-laman sosial.

    Katanya, seramai lima anggota dan seorang pegawai ditugaskan untuk mengawal selia unit media berkenaan supaya masyarakat lebih faham dan jelas mengenai sesuatu isu terutamanya dalam dunia yang cukup pantas kini.

  • Pengganti Mohd Rafiq akan diumum dalam masa terdekat – Muhyiddin

    Pengganti Mohd Rafiq akan diumum dalam masa terdekat – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, pengganti Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka akan diumum dalam masa terdekat.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak menolak, menerusi pengumuman tersebut nanti akan turut melibatkan rombakan kepimpinan BPN Melaka sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Nanti saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti ataupun rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari kehadapan.

    “Tindakan diambil Datuk Mohd Rafiq ini sebagai langkah terhormat selain memudahkan rombakan BPN dapat dibuat susulan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, Pagoh, hari ini.

    Mohd. Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu mengumumkan peletakan kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa semalam dan surat rasmi peletakan jawatannya akan diserahkan kepada Muhyiddin hari ini.

    Beliau berkata, keputusan tersebut bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai PN dan Bersatu Melaka supaya mempunyai masa yang cukup membuat segala persiapan menghadapi PRU-15.

    Tambah Mohd Rafiq, langkah tersebut juga membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU-15.

  • Bersatu beri laluan penuh GPS, tidak bertanding dalam PRN Sarawak

    Bersatu beri laluan penuh GPS, tidak bertanding dalam PRN Sarawak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan parti itu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan pada Disember ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, langkah itu bagi memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar pada PRN Sarawak sekali gus menyapu bersih semuau 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

    Bekas Perdana Menteri itu yakin GPS mempunyai kekuatan sendiri dan keputusan tersebut juga diambil Bersatu kerana menghormati GPS.

    “Kita juga telah berbincang di peringkat Bersatu bahawa kita tidak akan bertanding kerana kita hendak memastikan parti yang sudah ada di Sarawak itu menang dengan cemerlang dan itu juga hasrat pimpinan GPS.

    “Walaupun kita ada tempat tertentu yang parti percaya kita boleh menang, tetapi pandangan daripada pihak GPS perlu dihormati dan saya percaya GPS juga mempunyai kekuatannya tersendiri,”katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, Pagoh, hari ini.

    Muhyiddin tidak menolak kemungkinan GPS bekerjasama dengan parti-parti komponen PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Pandangan daripada pihak GPS adalah kerusi sedia ada dikekalkan, cuma di peringkat PRU15 nanti ada gambaran yang mengatakan mungkin GPS akan memberi pertimbangan dimana parti lain boleh bersama mereka termasuk PN.

    “Apapun kita tetap menghormati pandangan mereka dan atas dasar itu, jentera parti kita yang berada di sana akan tolong membantu untuk pastikan GPS capai kemenangan besar,” katanya.

  • Heroin, syabu bernilai RM134,800 dirampas dari sindiket di Pulau Pinang

    Heroin, syabu bernilai RM134,800 dirampas dari sindiket di Pulau Pinang

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya tiga lelaki warga tempatan bersama-sama dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM134,800.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah, kesemua mereka yang berusia antara 38 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) pada 23 November lalu.

    Kata beliau, tangkapan pertama iaitu dua lelaki dilakukan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Permatang Pauh yang mana polis turut merampas sebanyak 10 peket heroin seberat 171.35 gram (g) bernilai RM2,296; sembilan peket syabu seberat 13.25g bernilai RM1,325 dan sembilan biji pil Eramin 5 (RM135).

    Tambahnya, seorang lelaki suspek ditahan di tepi jalan di Bukit Tengah ketika sedang menaiki motosikal yang mana polis turut bersama-samanya satu peket plastik heroin seberat 457g bernilai RM6,124.

    Susulan penangkapan ketiga-tiga suspek itu jelas beliau, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam yang mana disewa oleh suspek untuk menyimpan bekalan dadah mereka sebelum diedarkan ke pasaran.

    “Di rumah tersebut, kita berjaya merampas sembilan peket heroin seberat 4.125 kilogram bernilai RM55,275 dan dua ketulan mampat heroin base seberat 750g bernilai RM69,645.

    “Selain itu, kita turut menyita barang kemas iaitu dua utas rantai leher dan dua bentuk cincin serta seutas gelang tangan yang bernilai kira-kira RM12,500 daripada kesemua suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mustafa Kamal Gani, siasatan awal mendapati sindiket itu mula bergiat aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Seberang Perai sejak Jun tahun ini.

    Ujarnya, polis juga sudah mengenal pasti saki baki ahli sindiket itu dan sedang giat mengesan mereka.

    Tambahnya, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek yang merupakan penganggur dan pemandu lori itu turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

    Kata beliau, kesemua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau dengan salah seorangnya memiliki sehingga 18 rekod kesalahan berkaitan kes dadah.

    “Seorang suspek kini direman sehingga 29 November ini manakala dua lagi sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Wanita diperdaya rugi RM17,800 ditipu pinjaman tidak wujud

    Wanita diperdaya rugi RM17,800 ditipu pinjaman tidak wujud

    SEOARNG wanita diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud hingga mengalami kerugian RM17,800 selepas melihat satu iklan pinjaman wang dalam satu Facebook pada Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 28 tahun kemudian berminat membuat pinjaman berjumlah RM10,000 sebelum menekan pautan yang diberikan.

    “Selepas itu, mangsa menerima mesej dari aplikasi WhatsApp memaklumkan dia perlu membayar RM1,000 untuk urusan pinjaman.

    “Mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM1,000 ke akaun bank milik seorang lelaki.

    “Mangsa juga diminta masukkan wang berjumlah RM2,000 untuk urusan insurans dan mangsa telah masukkan wang tersebut ke akaun bank nama lelaki lain sebelum diminta lagi membuat pembayaran RM2,800 ke dalam akaun sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Chang Hook berkata, pada jam 10.40 pagi Jumaat, mangsa menerima mesej daripada nombor yang sama memberitahu sistem untuk memproses pinjamannya mempunyai masalah dan diminta membayar RM4,000.

    “Selepas itu, mangsa diminta pula membuat dua kali pindahan wang ke akaun yang sama berjumlah RM8,000.

    “Bagaimanapun, permintaan suspek meminta bayaran RM5,000 bagi urusan cukai pendapatan tidak dilayan selepas mangsa menyedari ditipu,” katanya.

    Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Peletakan jawatan Mohd Rafiq perlu jadi teladan pemimpin politik

    Peletakan jawatan Mohd Rafiq perlu jadi teladan pemimpin politik

    PELETAKAN jawatan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka perlu menjadi tauladan kepada ramai pemimpin politik di negara ini.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu mencerminkan kualiti tinggi seorang pemimpin kerana mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

    “Jadi saya kagum dengan tahap kepimpinan sebegini berbeza dengan pemimpin-pemimpin lain yang pernah ditewaskan pada pilihan raya tetapi masih sibuk berpolitik hingga mengakibatkan banyak kekeliruan dalam negara sekarang kerana masih nak memegang jawatan.

    “Saya fikir apa yang telah dibuat beliau ini perlu menjadi tauladan kepada begitu ramai lagi pemimpin-pemimpin besar yang jauh lebih berumur…apabila rakyat sudah tolak tu mesti tahu bila nak bersara,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Sebelum itu Ahmad Faizal hadir ke Wisma Bernama bagi menghadiri sesi Program Bual Bicara Bersama Menteri Belia dan Sukan yang disiarkan Bernama TV, hari ini.

    Mohd Rafi mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta hari ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan supaya PN Melaka mempunyai masa mencukupi bagi membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Sementara itu, Ahmad Faizal berkata tiada desakan supaya Mohd Rafiq meletakkan jawatannya itu.

    Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Tambun itu mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Segama Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai ahli Bersatu yang baharu secara rasmi hari ini.

    “Saya percaya beliau yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) sama seperti sebilangan besar rakyat yang selesa dengan kepimpinannya.

    “Saya harap beliau (Mohamaddin) dapat bekerjasama rapat dengan saya dalam Bersatu dan berusaha untuk dapatkan sokongan rakyat dalam PRU akan datang melalui gabungan dalam PN,” katanya. – Bernama

  • PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini

    PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini

    KEMENTERIAN Kesihatan berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika ini, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Katanya, ia berikutan kemasukan pesakit ke hospital semakin meningkat selain kes COVID-19 yang membimbangkan dan kemunculan varian baharu Covid-19 dalam negara.

    “Saya rasa kalau diadakan pilihan raya pada waktu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” katanya di sidang media di ibu pejabat KKM pada Jumaat bagi menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan perlu diadakan PRU15 dengan segera.

    Mengenai prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Khairy berkata, beberapa siri perbincangan dan libat urus telah diadakan antara KKM dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak berhubung perkara itu.

    “Mereka telah mengemukakan beberapa permintaan yang sedikit berbeza daripada PRN Melaka, contohnya ada kawasan di Sarawak tiada capaian internet dan ia menyukarkan untuk calon melaksanakan kempen di kawasan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang ditugaskan untuk perkara berkaitan SOP dan ia akan dimuktamadkan pada 30 November, kemudiannya diusulkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti. 

    SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember, manakala hari pengundian awal pada 14 Disember.

    Ketika ditanya mengenai situasi Covid-19 berkaitan PRN Melaka, beliau berkata kebiasaannya jika diadakan program atau perhimpunan besar, kesannya dapat dilihat dalam 10 hari selepas program diadakan.

    “PRN Melaka baru sahaja selesai, kita mungkin tunggu beberapa hari lagi sebelum kita melihat sekiranya ada trend kenaikan mendadak,” katanya. – Bernama

  • Sempat bergelar isteri setengah jam sebelum mati dalam majlis perkahwinannya

    Sempat bergelar isteri setengah jam sebelum mati dalam majlis perkahwinannya

    SEORANG pengantin wanita meninggal dunia dalam pelukan suaminya selepas diserang sakit jantung ketika majlis perkahwinan mereka masih berlangsung di kampung Reda di selatan Mesir.

    Pengantin wanita, Nadia Taha Madhi, hanya sempat bergelar isteri selama setengah jam selepas dinikahkan.

    Nadia sebelum itu sempat menghubungi bapanya selepas kira-kira 25 minit majlis berlangsung, namun rebah dalam pelukan suaminya, ketika masih memakai gaun pengantin.

    Bapanya tidak percaya anaknya itu meninggal dunia selepas dia pulang seketika untuk berehat.

    “Anak saya sangat gembira apabila dia menari bersama adik-beradiknya dan menerima tetamu ketika majlisnya.

    “Saya terus ke rumah saya selepas majlis perkahwinan untuk berehat selepas melalui hari yang panjang.

    “Dia menghubungi saya sebaik sahaja saya tiba di rumah, 30 minit kemudian saya menerima berita mengejutkan mengenai kematiannya,” katanya seperti dilaporkan Gulf News.

    Katanya, dia masih terkejut dengan kejadian itu.

    “Saya masih terkejut kerana saya tidak faham apa yang berlaku, tetapi apa yang saya ada hanyalah doa untuknya.

    “Semoga Allah mempertemukan kita dengannya di syurga dan memberi kita ketabahan dan kesabaran untuk menanggung kehilangannya,” katanya.