Author: Admin

  • Ugut bunuh pekerja restoran direman, tukang masak direman 3 hari

    Ugut bunuh pekerja restoran direman, tukang masak direman 3 hari

    SEORANG tukang masak yang membuat ugutan mahu membunuh pekerja restoran di Taman Cheras, Kuala Lumur, kelmarin direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Menerut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, lelaki warga emas tersebut yang berusia 62 tahun itu ditahan ketika berada di bilik sewanya semalam.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Suspek bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran berdekatan Jalan Kaskas, Cheras.

    “Ini adalah kejadian kali pertama suspek berkelakuan begitu, suspek merasa marah kerana dituduh membuang sampah dan air dari atas sedangkan itu bukanlah perbuatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, suspek tinggal di bilik sewa itu sejak beberapa bulan lalu dengan sewa RM400 sebulan.

    “Suspek juga tidak fasih berbahasa Melayu semasa rakaman percakapan diambil,” katanya.

    Media semalam melaporkan seorang lelaki berang kerana ditegur membuang air dan sampah dari tingkat atas unit kediamannya sehingga mengenai sebuah restoran di bawahnya.

    Dalam kejadian pukul 7 pagi kelmarin, suspek didakwa mengugut pekerja lelaki itu sambil memegang pisau pemotong sayur.

    Hasil siasatan awal mendapati suspek dikatakan sering membuang sampah dan air dari tingkat unit kediaman yang disewanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

  • Satu maut, 41 melecur dalam letusan Gunung Berapi Semeru

    Satu maut, 41 melecur dalam letusan Gunung Berapi Semeru

    SEORANG maut manakala 41 yang lain melecur teruk selepas Gunung Berapi Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus semalam.

    Timbalan Ketua Daerah Lumajang, Indah Masdar berkata, sekurang-kurangnya 10 orang terperangkap dalam bangunan dan memerlukan bantuan helikopter untuk mengeluarkan mereka.

    Usaha menyelamat oleh penduduk tempatan terganggu oleh asap tebal, tiada bekalan elektrik dan hujan semasa letusan berlaku.

    Semalam, Gunung Berapi Semeru setinggi 3.6 meter di daerah Lumajang meletus dan mengeluarkan asap dan debu panas.

    Malah, ia mengakibatkan hujan dan banjir di sekitar Kampung Sumberwuluh menyebabkan penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri.

    Dalam pada itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk setempat supaya tidak melakukan aktiviti di sepanjang sungai di daerah itu.

  • Warga emas rugi RM60,000 diperdaya kekasih luar negara

    Warga emas rugi RM60,000 diperdaya kekasih luar negara

    SEORANG warga emas kerugian RM60,000 selepas terperdaya dengan janji kekasih maya dari luar negara yang dikenalinya menerusi media sosial.

    Mangsa berusia 68 tahun itu mula berkenalan dengan suspek pada 2 Ogos lalu yang mendakwa bekerja di sebuah pelantar minyak di Australia.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, hubungan mereka semakin rapat selepas sering berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp.

    “Pada 30 November lalu, suspek telah meminta bantuan wang dengan mendakwa mahu membeli mesin pelantar minyak dan mangsa mempercayai kata-kata suspek.

    “Susulan itu, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah RM60,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau menjelaskan, selepas memasukkan wang tersebut, suspek gagal dihubungi dan menyebabkan mangsa merasa dirinya telah ditipu.

    “Mangsa kemudian tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan membuat laporan berhubung kejadian itu.

    “Kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan modus operandi ‘love scam’,” katanya.

  • Mayat kanak-kanak tidak berpakaian, reput ditemukan

    Mayat kanak-kanak tidak berpakaian, reput ditemukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI bau busuk berhampiran kawasan semak dalam sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur, Johor Bahru terjawab apabila mayat seorang kanak-kanak ditemukan hari ini.

    Mayat tersebut ditemukan seorang penduduk pada pukul 10.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada pihak polis dan bomba.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, susulan itu enam anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mayat kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dan dianggarkan berusia kira-kira tiga tahun manakala jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat sudah reput.

    “Terdapat bahagian mayat tersebut sudah dimakan haiwan mungkin ikan atau biawak. Rambutnya sudah tiada, belakang tengkorak pecah dan otak juga sudah tiada.

    Anggota bomba dibantu polis mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di kawasan semak dalam sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur, Johor Bahru, hari ini.

    “Kita anggarkan kanak-kanak tersebut sudah meninggal dunia dua atau tiga hari lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, pihak bomba kemudian mengeluarkan mayat kanak-kanak tersebut yang berkedudukan kira-kira 1.5 meter dari tebing sungai tersebut.

    Menurutnya, siasatan terhadap mayat kanak-kanak itu dilakukan unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di sini.

    Tambah beliau, penemuan mayat kanak-kanak itu agak menghairankan kerana sebelum ini pihaknya atau BBP berdekatan tidak menerima aduan berkenaan budak hilang atau lemas dalam sungai.

    Shamsul Khomari berkata, operasi yang diketuai Komander Operasi dari BBP Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azharin Abd. Aziz tamat pada pukul 11.26 pagi.

  • Lelaki dipenjara 9 tahun, 6 sebatan kerana bakar masjid

    Lelaki dipenjara 9 tahun, 6 sebatan kerana bakar masjid

    SEORANG lelaki warga tempatan dihukum penjara sembilan tahun dan enam kali sebatan di Mahkamah Perantaraan di Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini akibat membakar masjid.

    Mohd. Erwan Manggis, 38, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Hazarena Hurairah sebelum hukuman tersebut dijatuhkan.

    Bagaimanapun, pihak mahkamah memerintahkan hukuman penjara defendan berjalan bermula tarikh defendan ditahan reman pada 31 Julai lalu.

    Mengikut pertuduhan, pada 4 April 2017, tertuduh bersama seorang rakan berjalan kaki dari rumah rakannya itu di Kampung Mentiri menuju Masjid RPN Kampung Mentiri pada pukul 2 pagi.

    Mereka memasuki pekarangan melalui pagar tidak berkunci dan masuk ke dalam masjid melalui pintu yang juga tidak berkunci.

    Defendan kemudian menggunakan penggantung baju dan menjadikannya sebagai alat untuk mengambil wang dari kotak derma, dengan defendan dan rakannya bergilir-gilir cuba mengambil wang tunai tetapi tidak berjaya.

    Defendan kemudian menyedari terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dan bimbang perbuatan mereka akan diketahui, mendorongnya bertindak memusnahkan sebarang bukti dengan membakar masjid berkenaan.

    Defendan kemudian pergi ke hadapan masjid dan membakar kekisi plastik pendingin hawa menggunakan pemetik api yang dibawanya.

    Defendan serta rakannya berlari keluar dan tidak lama kemudian, mereka terdengar bunyi letupan kuat dan melihat kebakaran besar berlaku di kubah masjid.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dimaklumkan oleh seorang penduduk di kawasan itu dan berjaya mengawal kebakaran, bagaimanapun kebanyakan bahagian bangunan masjid rosak.

    Timbalan Pendakwa Raya, Siti Mu’izzah Sabli, memohon hukuman setimpal untuk memberikan pengajaran kepada tertuduh, yang juga penagih dadah.

    Defendan merayu untuk diringankan hukuman dan meminta supaya tidak disebat, namun hakim mengambil kira betapa seriusnya kesalahan dan bertindak menjatuhkan hukuman yang setimpal.

    Hakim juga mengambil kira bahawa defendan menyebabkan masjid rosak teruk sehingga menyusahkan penduduk setempat yang terpaksa mengerjakan sembahyang di balai raya yang hanya boleh menempatkan 500 orang pada suatu masa.

    Mahkamah turut mengambil kira senarai panjang sabitan kesalahan defendan sejak 2000, dengan yang terbaru dilakukan pada 2019. – AGENSI

  • Kampung Batu Puteh rangkul Anugerah Kampung Pelancongan Terbaik Dunia

    Kampung Batu Puteh rangkul Anugerah Kampung Pelancongan Terbaik Dunia

    KAPUNG Batu Puteh yang terletak di hilir Sungai Kinabatangan, Sabah meraih Anugerah Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia yang julung kali diperkenalkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), di Madrid, Sepanyol, semalam.

    Pengumuman rasmi dan majlis penganugerahan berlangsung semalam dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengerusi Koperasi Ekopelancongan Komuniti Batu Puteh Abdul Sanih Nasri, yang menerima anugerah itu daripada Setiausaha Agung UNWTO, Zurab Pololikashvili.

    Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini berkata, kejayaan Kampung Batu Puteh adalah hasil usaha gigih pihak koperasi komunitinya yang mempunyai 350 ahli dan pemegang saham meliputi penduduk desa, nelayan dan petani yang menceburi ekopelancongan dan inisiatif pemuliharaan alam sekitar.

    Menurut MOTAC, usaha sama itu yang diketuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Model Pelancongan Masyarakat Berekologi Mampan (MESCOT) bersama Miso Walai Homestay yang pernah menerima anugerah inap desa terbaik, menawarkan pengalaman pelancongan budaya berasaskan komuniti yang tersusun.

    Sementara itu, susulan anugerah berprestij berkenaan, Nancy berkata, Batu Puteh adalah model pelancongan luar bandar, ekopelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti bertanggungjawab yang berjaya, yang sentiasa dipromosikan secara meluas oleh Malaysia.

    “Bidang pelancongan ini merupakan antara kekuatan utama negara memandangkan kita dikurniakan dengan begitu banyak aset semula jadi, warisan dan kepelbagaian budaya,” katanya.

    Bagi Malaysia, beliau berkata pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memberi peluang kepada permulaan baharu berikutan terdapat peningkatan minat terhadap pelancongan ‘bandar kedua’ dan penerokaan destinasi yang kurang dikenali.

    “Saya percaya ini adalah waktu terbaik untuk mempromosikan ‘permata tersembunyi’ dalam negara kita, kerana pelancong dijangka lebih gemar kepada destinasi berasaskan alam semula jadi dengan gaya hidup yang relaks dan udara segar,” tambah Nancy.

    Beliau juga memuji UNWTO kerana memperkenalkan anugerah itu tepat pada masanya.

    “Anugerah dan pengiktirafan ini akan membawa maksud yang lebih besar dan menjadi kebanggaan dalam kalangan perusahaan kecil dan mikro tempatan yang membentuk majoriti perusahaan pelancongan di rantau Asia Pasifik,” katanya. – Bernama

  • Seorang maut, dua parah kereta berpusing dan rempuh pokok

    Seorang maut, dua parah kereta berpusing dan rempuh pokok

    TIGA sahabat yang sedang perjalanan pulang ke rumah selepas makan di sebuah kedai terlibat kemalangan apabila kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok di Kampung Kolam, Kuala Berang, hari ini.

    Kemalangan pukul 5 pagi itu mengakibatkan Muhammad Aziq Adam Abdul Raqib, 20, beralamat di Taman Gong Badak Empat, Kuala Nerus, maut.

    Sementara dua lagi rakannya parah iaitu Muhammad Shafiq Md. Shadip dan Muhammad Amir Naim Anuar, kedua-duanya juga berusia 20 tahun dan berasal dari Felda Bukit Bading, Kuala Berang.

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga FL dinaiki mereka dikatakan terbabas sebelum merempuh sebarang pokok di lokasi kejadian.

    “Sebelum kejadian, tiga rakan terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke Felda Bukit Bading selepas selesai makan di sebuah kedai di Kampung Binjai Rendah, Marang, pada 3 pagi.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Muhammad Shafiq dikatakan hilang kawalan dan berpusing ke bahu kiri jalan menghala ke Ajil, Kuala Berang sebelum merempuh pokok dan ketiga-tiga mangsa tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, semua mangsa dikeluarkan anggota bomba sebelum dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT).

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Anggota polis guna tiktok waktu bertugas dikecam netizen

    Anggota polis guna tiktok waktu bertugas dikecam netizen

    SEBUAH video tular sejak semalam yang memaparkan seorang anggota yang berpakaian seragam polis membuat rakaman video TikTok ketika bertugas.

    Video tersebut menjadi bualan di laman Twitter apabila pemilik akaun @My_CrimeWatch berkongsi video 39 saat itu yang memaparkan anggota tersebut merakam dirinya serta seorang individu yang dipercayai ‘suspek’ atau Orang Kena Pengawasan (OKP) ketika dalam perjalanan ke mahkamah.

    “Bermain aplikasi TikTok ketika sedang bertugas dan menyarung uniform adalah suatu perbuatan yang menyalahi budaya kerja.

    “Tidak kiralah jika anda dari PDRM, ATM, Jabatan Penjara Malaysia, AADK dan sebagainya. Apatah lagi jika anda menjadikan wajah OKP, OKT atau suspek sebagai content,” tulis @My_CrimeWatch

    Difahamkan, mereka menaiki sebuah kereta polis yang dibunyikan siren dimana pemandu serta penumpang hadapan juga lengkap berpakaian seragam polis.

    Namun, tindakan anggota polis tersebut telah mengundang kemarahan orang ramai kerana dilihat melanggar etika sewaktu bertugas.

  • Buli di kem tentera:Mangsa belum tampil beri penjelasan hingga kini

    Buli di kem tentera:Mangsa belum tampil beri penjelasan hingga kini

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pihak tampil memberikan penjelasan berhubung isu buli yang didakwa berlaku di sebuah kem tentera.

    “Tuan punya badan dari posting awal tak tampil. Tapi ada perkara lain dibangkitkan netizen di luar sana dan saya telah minta Timbalan Menteri, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz buat siasatan secara peribadi sendiri.

    “Kami tidak akan berkompromi dalam isu buli, tetapi kami juga tidak mahu sebarang dakwaan palsu dibuat terhadap anggota tentera,” katanya selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hishammuddin berkata, beliau bagaimanapun sudah meminta timbalannya, Ikmal Hisham Abdul Aziz, menyiasat sendiri kes berkenaan.

    Jelasnya, jika dakwaan terbabit tidak berasas, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan malah rakyat tidak sepatutnya menghakimi dakwaan berkenaan yang disebarkan di media sosial semat-mata.

    “Dalam hal ini apa yang dipanjangkan kepada kita akan disiasat. Akan tetapi, jangan kita dakwa mereka yang tidak berdosa dan jangan kita terikut apa yang kita baca di luar sana. Seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah,” katanya.

    Semalam, seorang anggota tentera didakwa dipukul ‘setiap hari’ oleh kumpulan ‘seniornya’ di kem tentera, selain dipaksa menghabiskan gajinya membeli barang keperluan untuk mereka.

    Abang kepada mangsa berkenaan membuat pendedahan itu dalam laman media sosial, sekali gus mengundang campur tangan Hishammuddin yang menjanjikan siasatan.

    Dalam tangkap layar perbualan mesej yang tular dalam Twitter, lelaki itu mendakwa adiknya, yang tinggal di kem bujang tentera, dibuli saban hari oleh 12 hingga 14 prajurit ‘senior’.

    “Adik aku…hari-hari kena pukul dengan senior dan habis duit gaji dia kena pau. Sampai duit simpan dia pun dah nak habis. Bayangkan kena belikan barang-barang keperluan yang 12-14 orang tu,” katanya dalam mesej dikongsi bersama pengguna Twitter @Pedoqpop.

    Dalam catatan Facebook semalam, Hishammuddin berkongsi tangkap layar ciapan pengguna Twitter @pedoqpop, dan meminta individu itu tampil memberikan maklumat dan berjanji bahawa identiti pemberi maklumat itu akan dirahsiakan.

  • KPDNHEP lancar Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia stabilkan harga barang

    KPDNHEP lancar Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia stabilkan harga barang

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) susulan kenaikan harga barang dan sebagai langkah menstabilkan harga barangan keperluan masa ini.

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa sama skim tersebut akan turut memastikan keberadaan bekalan di pasaran berkuat kuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021.

    Jelas beliau, skim berkenaan akan melibatkan kawalan harga ke atas item-item tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti berikut:

    (1) Ayam hidup
    (2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
    (3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
    (4) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
    (5) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
    (6) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
    (7) Kacang panjang
    (8) Cili merah
    (9) Tomato
    (10) Sawi hijau
    (11) Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing)
    (12) Timun

    Selain itu kata Alexander, senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

    “Pengumuman harga bagi barangan yang terlibat akan dilakukan dalam masa terdekat. Bagi ayam dan telur penentuan harga akan dilakukan di peringkat ladang, borong dan runcit.

    “Bagi sayur-sayuran, harga kawalan akan ditentukan di peringkat borong dan runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .