Author: Admin

  • Lebih 3,000 penduduk Kepala Batas serbu jualan murah Keluarga Malaysia

    Lebih 3,000 penduduk Kepala Batas serbu jualan murah Keluarga Malaysia

    LEBIH 3,000 penduduk sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini menyerbu pekarangan Wisma UMNO Kepala Batas untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga lebih murah.

    Ia sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang berlangsung selama lebih empat jam bermula pukul 8 pagi yang bertujuan meringankan beban kos perbelanjaan rakyat kebanyakan.

    Antara barangan asas yang dijual dengan harga yang murah adalah ayam mentah berharga RM5 seekor; sepapan telur ayam Gred C (RM8);  lima kilogram beras (RM10) serta daging lembu tempatan dijual berharga kira-kira RM30 sekilogram.

    Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, program yang menawarkan penjimatan antara 25 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas itu dapat meringankan beban kos sara hidup yang kian meningkat ketika ini.

    Malah melihat kepada sambutan yang diterima juga, beliau memberi jaminan program tersebut akan dilaksanakan setiap minggu sehingga harga barangan keperluan kembali terkawal.

    “Saya akan cuba usahakan (program jualan mingguan), jika dapat sambutan saya akan buat tiap-tiap minggu sehingga keadaan (harga) lebih stabil dan mungkin juga ada pendekatan lain (dalam menstabilkan harga barang),” katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau program tersebut.

    Secara keseluruhan, program jualan yang disertai 10 buah syarikat dan agensi itu di berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM63,148 membabitkan nilai subsidi RM14,943.

    Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa pasar raya dari segi menyediakan bekalan untuk program tersebut.

    Program itu diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember lalu dan akan dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen bermula Sabtu lalu bagi menawarkan harga barang keperluan asas antara 20 hingga 50 peratus lebih murah berbanding tempat lain.

    Inisiatif itu dilaksanakan oleh KPDNHEP; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan.

  • Siasat isu ‘lesen terbang’ yang tular – Ka Siong

    Siasat isu ‘lesen terbang’ yang tular – Ka Siong

    MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sedia menyiasat berkenaan isu ‘lesen terbang’ yang tular dalam media sosial.

    Jika terbukti benar beliau akan memastikan pihak yang terbabit dengan perbuatan diri dikenakan hukuman setimpal.

    Beliau berkata, perkara itu juga kini dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Aktiviti menjual lesen memandu secara haram dengan menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian ditetapkan di Institut Memandu (IM) adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial, hari ini.

    Ka Siong berkata, ujian yang ditetapkan oleh IM adalah prosedur penting untuk dipatuhi kerana bukan sahaja membabitkan pendedahan terhadap peraturan jalan raya, juga bertujuan mendapat kefahaman jelas mengenai keselamatan jalan raya sebelum seseorang dibenarkan memiliki lesen memandu.

    Pada masa sama, beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sudah mengeluarkan kenyataan media semalam, berhubung perkara itu.

    Media semalam melaporkan, (JPJ) akan menjalankan siasatan bersama SPRM berhubung dakwaan ada pegawainya terbabit kegiatan menjual ‘lesen terbang’.

    Dalam satu kenyataan hari ini, JPJ memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan yang dibuat oleh seorang pempengaruh atau ‘influencer’ media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

    Individu terbabit, dalam hantaran video di Facebook yang bertajuk ‘Lesen Gerenti Lulus’, mendakwa wujud tawaran menerusi media sosial mendapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah.

    Menerusi video berdurasi dua minit enam saat itu, individu berkenaan mendakwa kegiatan itu didalangi sindiket dianggotai pelbagai pihak termasuk pegawai JPJ sendiri.

    Dakwanya lagi, kegiatan sedemikian sudah beberapa kali didedahkan media sejak 2014, namun masih berleluasa dan sindiket didakwa semakin berani dengan mengiklankannya di media sosial.

  • Kekurangan bekalan disebabkan Covid-19, bukan sebab minyak masak peket disorok

    Kekurangan bekalan disebabkan Covid-19, bukan sebab minyak masak peket disorok

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, tiada aktiviti menyorok minyak masak peket dikesan berlaku susulan kekurangan bekalan bahan tersebut di pasaran.

    Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, punca kekurangan bekalan sebelum ini disebabkan gangguan di peringkat kilang ekoran terdapat kes positif Covid-19.

    “Kekurangan bekalan minyak masak peket yang dilaporkan berlaku sebelum ini tiada kaitan dengan aktiviti menyorok, sebaliknya disebabkan beberapa faktor terutama di pihak kilang.

    “Ketika ini tidak sepatutnya timbul masalah kekurangan bekalan minyak masak peket kerana kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik setiap bulan untuk diedarkan di seluruh negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Peringkat Negeri Sembilan di Tapak Pasar Tani Paroi Jaya, Seremban, hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya melantik pengedar dan pengilang mengikut kuota ditetapkan untuk setiap penduduk.

    Menurutnya, berdasarkan data pihaknya, tiada masalah membabitkan isu agihan kuota minyak masak.

    “Cuma ada masanya, berlaku sedikit gangguan lebih-lebih lagi dalam tempoh Covid-19 apabila ada kilang terpaksa menutup operasi disebabkan ada pekerja mereka dijangkiti wabak pandemik ini.

    “Selain itu, terdapat pusat pengedaran dan gudang tempat pengumpulan ditutup menyebabkan tiada bekalan,” katanya.

    Beliau berkata, pengguna yang berhadapan dengan isu bekalan minyak masak peket di pasaran, perlu tampil membuat aduan dan memberi maklum balas kepada KPDNHEP.

    Menurutnya, ia bagi membolehkan pihaknya pergi ke lokasi berkenaan dan melihat bentuk bantuan boleh diberikan supaya situasi itu dapat diatasi.

    “Contohnya, satu kilang tidak dapat beroperasi dan terpaksa ditutup kerana ada kes Covid-19, kami cuba cari kilang berdekatan di kawasan sama.

    “Langkah itu bagi bantu tampung sementara waktu, ini pendekatan kami lakukan,” katanya.

  • 141,000 rakyat Malaysia terus bekerja di Singapura

    141,000 rakyat Malaysia terus bekerja di Singapura

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DIANGGARKAN 141,000 rakyat negara ini memilih untuk terus bekerja di Singapura sejak sempadan kedua-dua negara di Tambak Johor dan Linkedua ditutup pada Mac tahun lalu akibat Covid-19.

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, ketika negeri itu membangunkan aplikasi Johor Immunity Planning System (Johor ImmuPlan) untuk rakyat negara ini yang mahu bekerja di Singapura sebelum ini, didapati seramai 115,000 orang membuat pendaftaran.

    “Ini bermakna terdapat seramai 141,000 yang sedang bekerja di sana manakala 115,000 lagi sedang memohon untuk bekerja di sana, menjadikan hampir 300,000 rakyat Malaysia bergantung harap kepada pembukaan sempadan berkenaan.

    Katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas, di Johor Bahru, hari ini.

    Bermula 29 November lalu, pengembara rakyat Malaysia yang lengkap dos suntikan vaksin dibenarkan pulang ke tanah air di bawah inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara.

    Hasni (tengah) diberi penerangan semasa melawat tapak pameran pada Majlis Pelancaran Kebun Bandar di pekarangan Masjid Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini

    Bagi VTL darat, 1,440 pengembara perlu menggunakan khidmat bas dari Terminal Queen Street ke Terminal Larkin Sentral tanpa perlu menjalani perintah kuarantin sebaik tiba, sementara langkah sama turut diaplikasi bagi terminal udara.

    Tambah Hasni, kepimpinan kedua-dua negara juga komited dan bersetuju untuk memastikan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura melalui inisiatif VTL darat terus berjalan lancar.

    “Dalam pertemuan saya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan beberapa hari lalu, beliau memaklumkan penutupan semula sempadan itu hanya akan dibuat sebagai langkah terakhir.

    “Ketika ini kedua-dua negara bersetuju untuk memastikan sempadan itu terus dibuka dalam masa sama kajian sedang dibuat terhadap varian baharu. Dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi kita mungkin akan mendapat gambaran lebih jelas berkenaan varian Omicron ini tetapi ketika ini sempadan tersebut akan terus dibuka,” ujarnya.

  • UMNO Johor letak tepi Muafakat Nasional

    UMNO Johor letak tepi Muafakat Nasional

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, mereka buat masa ini hanya mahu memberi tumpuan kepada pengukuhan parti dan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu berbanding perkara lain.

    Beliau berkata, ia termasuk soal kerjasama dengan pihak lain terutama berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang sedang diperkatakan ketika ini.

    Malah menurut Menteri Besar Johor itu, pengukuhan UMNO dan BN lebih utama kerana sebarang jalinan kerjasama sepatutnya bersandarkan kepada kekukuhan parti itu sendiri.

    “Kita tahu MN adalah satu persefahaman yang dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak di mana satu piagam telah ditandatangani antara UMNO dan Pas.

    “Namun pada saya apa yang penting sekarang adalah UMNO dan BN itu sendiri perlu diperkuatkan dengan mengatasi segala masalah yang boleh gugat kekuatan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kebun Bandar di Taman Impian Emas di Johor Bahru, hari ini.

    Hasni (kanan) memetik timun yang diusahakan dalam kawasan pekarangan masjid sebelum menyempurnakan Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu diminta mengulas pendirian UMNO Johor dalam soal kerjasama MN bersama Pas.

    Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

    Berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun malangnya apabila sampai di peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN.

    Bagaimanapun Hasni berkata, pihaknya tidak menolak untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Perkara itu tertakluk kepada kekuatan UMNO dan BN itu sendiri. Di Johor kita dapat lihat UMNO dan BN buat program sendiri, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga buat program sendiri, jadi saya rasa itu satu suasana amat sihat di mana masing-masing jaga parti sendiri,” ujarnya.

  • Sesi persekolahan diteruskan hingga cuti penggal, hujung minggu ini

    Sesi persekolahan diteruskan hingga cuti penggal, hujung minggu ini

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SESI persekolahan tahun ini akan diteruskan hingga ke penghujung penggal memandangkan jumlah pelajar yang dijangkiti Covid-19 ketika ini dianggap masih lagi rendah berbanding jumlah pelajar secara keseluruhan di seluruh negara.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, data menujukkan jumlah kes aktif melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara masih berada di tahap rendah iaitu melibatkan hanya 200 hingga 250 orang berbanding 4.5 juta pelajar yang hadir ke sekolah.

    “Secara umumnya jika dilihat dalam konteks kita nak bergerak ke fasa endemik, kita tahu akan ada kes yang berlaku di luar sana dan itu tak dapat dielak. Namun dalam konteks data yang kita ada, jumlah kes aktif itu adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan murid.

    “Dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik, ini yang akan berlaku. Tetapi kita dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ada, kita cuba kawal supaya tak berlaku penularan besar Covid-19 dan insya Allah sesi persekolahan akan berterusan hingga ke akhir penggal ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang, hari ini.

    Penggal persekolahan tahun ini bakal berakhir pada hujung minggu ini iaitu pada 10 Disember 2021.

    Radzi menambah, pihaknya pada setiap masa sentiasa menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil terutamanya melibatkan sekolah-sekolah yang memiliki kes Covid-19.

    “KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa membuat penilaian mengenai langkah yang perlu diambil. Jika berlaku kes seperti di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, mereka akan mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah.

    “Bagi pihak Kementerian Pendidikan pula, kami akan sentiasa akur dengan nasihat diberikan itu,” katanya.

    Mengulas lanjut Radzi berkata, kementeriannya berpandangan sistem persekolahan secara bersemuka amat penting dalam usaha meminimumkan masalah murid bagi mengelakkan mereka tercicir dari pelajaran.

    “Dalam sistem bersemuka ini, kita dapat kenal pasti masalah mereka dan langkah-langkah intervensi boleh dilaksanakan segera. Tetapi apabila sekolah ditutup seperti sebelum ini, mungkin akan timbul perasaan ‘renggang’ antara murid dengan sistem perskolahan walaupun Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

    “Memang ramai kata sekolah jangan dibuka dulu, tetapi kita dah bincang bahawa amat pentinng untuk sekolah dibuka sambil semua pihak meneliti akan intervensi perlu dilaksanakan supaya anak-anak ini rapat dengan sistem persekolahan,” katanya.

  • Ahmad Faizal jumpa pemimpin pertubuhan belia minggu depan

    Ahmad Faizal jumpa pemimpin pertubuhan belia minggu depan

    MENTERI Belia dan Sukan akan bertemu pemimpin pertubuhan belia bagi membincangkan dasar had umur belia minggu depan.

    Menurut Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, pertemuan itu bertujuan mencari titik penyelesaian bagi pelbagai isu belia termasuk berkaitan akta berhubung had umur belia selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Belia Malaysia (MBM).

    “Ini kerana saya mendapati setiap pertubuhan belia itu ada masalah tersendiri yang boleh kita cari jalan bagaimana untuk menemui titik penyelesaian supaya akta ini dapat dilaksanakan.

    “Pertemuan itu juga dapat merungkai permasalahan lain membabitkan pertubuhan belia,” katanya selepas hadir merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawan Belia Malaysia 2021 Peringkat Kebangsaan di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini berhubung perkara pelaksanaan had usia kepemimpinan belia daripada 40 kepada 30 tahun.

    Terdahulu, media melaporkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencari satu resolusi terbaik bagi mencapai situasi menang-menang berhubung isu pelaksanaan had usia kepemimpinan belia daripada 40 kepada 30 tahun.

    Ahmad Faizal dilaporkan berkata, pihaknya akan meneruskan perundingan dengan pertubuhan belia di seluruh negara dalam usaha memberikan kefahaman kepada mereka.

    Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen, pelaksanaan had umur individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan.

    Susulan pengumuman itu, beberapa pihak terutama pertubuhan dan gerakan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melahirkan bantahan terhadap penurunan had umur berkenaan.

  • 31 maut dalam serangan di Mali

    31 maut dalam serangan di Mali

    SEKURANG-KURANGNYA 31 orang terbunuh manakala 17 lagi cedera selepas lelaki bersenjata menyerang sebuah trak, di Mali pada Jumaat, menurut kenyataan pihak berkuasa pada Sabtu.

    Agensi Berita Xinhua melaporkan memetik kenyataan itu, sekumpulan penyamun menyerang dan membakar trak yang sedang dalam perjalanan membawa orang awam ke tapak pesta berhampiran perkampungan Songho.

    Anggota keselamatan bergegas ke lokasi kejadian untuk mengesan dalang serangan itu, menurut kenyataan tersebut.

    Presiden sementara Mali, Assimi Goita, turut mengisytiharkan negara berkabung selama tiga hari bermula Ahad susulan kejadian tragis itu. – Bernama

  • 55 peratus permohonan pertukaran guru diluluskan – Radzi

    55 peratus permohonan pertukaran guru diluluskan – Radzi

    Oleh RIZQI ZABIDI
     
    Pendekatan menyeluruh diambil Kementerian Pendidikan kali ini bakal mendatangkan kegembiraan kepada lebih ramai guru yang memohon untuk bertukar tempat kerja apabila lebih separuh daripada 20,772 permohonan yang dibuat, telah diluluskan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, menerusi pengumuman yang akan dibuat esok, permohonan seramai 11,469 guru atau 55 peratus daripada jumlah keseluruhan pemohon telah diluluskan.

    Katanya, peratusan itu merupakan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini yang secara puratanya mencatatkan peratusan antara 22 hingg 31 peratus sejak 2017 hingga 2020.

    “Pada tahun ini kita melakukan pendekatan baharu bagi membolehkan lebih ramai guru dapat bertukar tempat kerja seperti dihasratkan mereka.

    “Antaranya pihak kementerian turut mengambil kira pengambilan seramai 18,702 yang sedang dijalankan. Sebelum guru-guru ini ditempatkan, maka kita selesaikan dulu pertukaran guru sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, pihak kementerian turut memberi tumpuan kepada sejumlah guru berasal dari semenanjung yang telah lama berada di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    “Dalam permohonan mereka ini, ada yang merasakan sudah sampai masanya untuk mereka kembali ke sememanjung atas faktor tertentu. Maka jika negeri atau kawasan yang dipohon mereka itu sudah penuh sekali pun, pihak kementerian akan tempatkan mereka di kawasan mahu pun negeri terdekat dengan tempat dipohon.

    “Ada juga dalam kalangan guru yang mengajar subjek di luar opsyen asal mereka di universiti. Maka kita akan ambil pendekatan untuk sesuaikan mereka dengan opsyen baharu,” katanya.

    Tambahnya, usaha dilakukan kementerian itu diharap mampu menggembirakan para guru terlibat selain mengurangkan tekanan dihadapi mereka terutamanya yang berada berjauhan dari pasangan.

    “Kesemua kelulusan permohonan ini akan kita umumkan esok,” katanya.

  • Di mana pelancong boleh tonton kesenian Terengganu?

    Di mana pelancong boleh tonton kesenian Terengganu?

    SELAIN keindahan alam semulajadi dan gaya hidup masyarakat, aktiviti persembahan kesenian dan kebudayaan merupakan faktor penting dalam mengerakkan sektor pelancongan di Terengganu.

    Malah, sejak dari dahulu lagi elemen inilah menyebabkan kenapa pelancong gemar berkunjung ke negeri yang menggunakan slogan ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik’ ini.

    Antara kesenian popular yang pernah dipersembah dan diketengahkan kepada pelancong ialah Gamelan, Ulik Mayang, Tarian Saba, Tarian Balai, Rodat, Makyong, Main Puteri, Tarian Ya, Abang, Dikir Barat dan Wayang Kulit.

    Kesemua kesenian tersebut sebenarnya amat popular ketika penulis masih kecil dan ia banyak dipersembahkan di majlis-majlis keraian tertentu seperti majlis perkahwinan dan program Pesta Pantai.

    Kemudian, sekitar tahun 1980an, Kerajaan Terengganu telah mengangkat aktiviti kesenian dengan menjadikannya sebagai antara produk pelancongan utama negeri.

    Ia disusuli dengan pembukaan lokasi penting seperti Pengkalan Budaya di Pantai Batu Burok sebagai tempat badan-badan budaya mengadakan persembahan pada setiap hujung minggu.

    Selain Pesta Pantai, persembahan kesenian akhirnya turut dikembangkan melalui Program Hujung Minggu di Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong serta
    Pekan Budaya yang dianjurkan di setiap daerah.

    Pada tahun 2012, ketika penulis bersama Pegurusan Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Terengganu, usaha memartabatkan persembahan kesenian ini diteruskan dengan mengekalkan beberapa aktiviti yang mampu menarik pelancong ke Terengganu.

    Antaranya termasuklah program Pesta Pantai, Pekan Budaya daerah dan Persembahan Kebudayaan Hujung Minggu di Pantai Batu Burok sebelum dikembangkan pula di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus.

    Turut diadakan selepas itu ialah program ‘KT Walk’ di Jalan Sultan Ismail dan ‘Payang Walk’ di hadapan Pasar Kedai Payang.

    Dengan adanya penganjuran program tersebut, ia bukan sahaja memudahkan orang ramai khususnya pelancong yang bertandang ke Terengganu untuk menyaksikan keunikan kesenian yang ada di negeri ini, tetapi juga mampu memulihara dan merancakkan aktiviti kesenian disamping membantu memberi nafas kepada penggiat badan-badan budaya yang ada.

    Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini aktiviti tersebut semakin sukar untuk disaksikan orang ramai, bukan disebabkan Malaysia dikenakan larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, tetapi berikutan peraturan Kerajaan Terengganu yang kini tidak membenarkan persembahan kesenian melibatkan percampuran antara penari lelaki dan wanita dipertonton secara umum.

    Turut dilarang ialah persembahan kesenian yang dikatakan mengandungi unsur-unsur ritual seperti Ulik Mayang, Tarian Saba, Makyong Tarian Ya, Abang dan Main Puteri.

    Persoalannya, apa sudah jadi dengan badan-badan budaya dan penggiat kesenian di Terengganu sekarang ini? Bagaimanakah nasib mereka disebalik peraturan berkenaan?

    Dimanakah pula pelancong yang berkunjung ke Terengganu untuk menyaksikan persembahan kesenian dan kebudayaan negeri?

    Begitulah persoalan demi persoalan diluahkan oleh beberapa rakan penulis dari Kuala Lumpur yang bertandang ke Kuala Terengganu pada minggu lalu.

    Penulis memberitahu sekarang telah memasuki musim tengkujuh disamping masalah pandemik Covid-19 masih lagi belum berakhir menyebabkan kegiatan kesenian turut terbantut, namun rakan penulis seakan tidak percaya.

    Menurut rakan-rakan penulis, mereka amat tertarik dengan kesenian Terengganu, bukan sekadar menyaksikan melalui kaca televisyen dan mana-mana program yang pernah diadakan di Kuala Lumpur, tetapi sanggup datang ke negeri ini ketika berlangsungnya aktiviti berkaitan kesenian dan kebudayaan.

    Mereka menyifatkan kesenian Terengganu sangat unik dan memiliki keindahan tersendiri.

    Justeru, mereka berharap kerajaan negeri dapat membenarkan semula aktiviti persembahan kesenian dan kebudayaan seperti sebelum ini.