Author: Admin

  • Inspektor polis Perak ditahan mengamuk di Pulau Pinang

    Inspektor polis Perak ditahan mengamuk di Pulau Pinang

    SEORANG Inspektor polis yang bertugas di Perak ditahan selepas bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis lain dalam kejadian di  Lebuh Queen, Georgetown, Pulau Pinang semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung kejadian seorang lelaki yanh dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol mengamuk kira-kira pukul 1.30 pagi.

    Menurutnya, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun berada dalam keadaan agresif dan enggan memberikan kerjasama.

    Jelasnya, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis dan enggan memberi kerjasama ketika dipujuk untuk berhenti membuat bising,

    “Polis juga telah meminta suspek ke balai polis, namun suspek telah bertindak agresif dan melawan anggota polis mengakibatkan suspek cedera di bahagian kedua-dua siku.

    “Hasil semakan mendapati suspek sedang menjalani hukuman tahan kerja atas kesalahan tata tertib,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Soffian memberitahu, suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

    Tambah beliau, suspek kini ditahan di Klinik Pakar Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan dan siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.

  • 164kg ganja dalam tujuh guni dirampas di R&R Tikam Batu

    164kg ganja dalam tujuh guni dirampas di R&R Tikam Batu

    CUBAAN seorang lelaki untuk menyeludup 164.64 kilogram (kg) ganja ke selatan tanah air gagal selepas polis menahannya di kawasan Kuala Muda, Sungai Petani, pada Khamis lalu.

    Tangkapan dilakukan hasil maklumat yang disalurkan sebelum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menahan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina di hentian rehat dan rawat (R&R) Tikam Batu menghala ke Kuala Lumpur pada pukul 5.45 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun memandu kereta tersebut.

    “Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menemui tujuh guni mengandungi 158 bungkusan plastik lut sinar.

    “Setiap bungkusan dibaluti kertas putih mengandungi daun kering mampat yang disyaki dadah jenis ganja dengan berat 164.64kg,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.

    Mohd Roze berkata, lelaki tersebut direman untuk siasatan lanjut sehingga 8 Disember ini dan ujian urin terhadapnya bagaimanapun negatif.

    “Suspek direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan lanjut juga dilakukan untuk mengenal pasti ahli-ahli sindiket yang terlibat,” ujar beliau.

    Katanya, ganja bernilai RM412,000 itu sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 16,000 orang penagih.

  • Op Dadu:3 remaja antara ditahan ketika bertaruh judi

    Op Dadu:3 remaja antara ditahan ketika bertaruh judi

    SERAMAI 10 lelaki, tiga wanita dan tiga remaja berusia 16 tahun yang sedang bertaruh judi dalam talian di sebuah rumah teres di Sungai Petani ditahan dalam Op Dadu pada 25 November lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari, kesemua mereka ditahan berusia 16 hingga 64 tahun.

    “Mereka ditahan ketika baru satu jam memulakan pertaruhan judi dalam talian secara langsung melalui aplikasi WeChat.

    “Polis baru mengesan aktiviti perjudian dalam talian secara langsung ini merupakan modus operandi baharu digunakan sindiket judi iaitu berlangsung tanpa kehadiran pemain,” katanya dlam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

    Berikutan itu, polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai penganjur aktiviti perjudian terbabit berusia 52.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 4(1)(g) akta sama kerana melakukan judi terbuka secara dalam talian.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 hingga RM50,000 serta boleh dipenjara sehingga tiga tahun.

  • Anggota, pegawai jangan cemar imej PDRM menerusi ‘Tik Tok’

    Anggota, pegawai jangan cemar imej PDRM menerusi ‘Tik Tok’

    TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang melakukan aksi keterlaluan dalam media sosial.

    “Tindakan seperti itu tidak sesuai dan hanya mencemarkan imej pasukan. Jika kita mengesan ada yang melakukan sedemikian, siasatan lanjut akan dilakukan sebelum tindakan tindakan sewajarnya diambil.

    “Kalau adanya anggota atau pegawai yang berpakaian lucah masuk dalam Tik Tok contohnya, kita akan ambil siasat dan juga mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo PDRM Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6 Wakaf Tapai, Marang, hari ini.

    Mazlan berkata, selain dilarang membuat aksi melampau dalam media sosial, PDRM turut mengingatkan pegawai dan anggotanya agar tidak mengeluarkan apa-apa komen yang jelek terhadap kerajaan atau pasukan beruniform itu.

    Katanya, mereka ini mempunyai saluran tertentu untuk menyampaikan apa-apa maklumat atau yang tidak berpuas hati iaitu melalui persatuan.

    Pada Disember 2020, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pernah menyarankan kepada pegawai dan anggota PDRM untuk tidak bermain aplikasi media sosial, Tik Tok ketika sedang bertugas kerana tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan.

    Katanya, perbuatan seperti menari dalam aplikasi berkenaan tidak ‘manis’ dilakukan oleh seseorang pegawai mahupun anggota dalam sesebuah pasukan beruniform kerana perbuatan itu seolah-olah mengaibkan pakaian seragam PDRM.

  • ‘Siapa yang ikhlas, siapa yang langgar Piagam MN?’ – Wan Saiful

    ‘Siapa yang ikhlas, siapa yang langgar Piagam MN?’ – Wan Saiful

    APAKAH maksud sebenarnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan apabila dia mengatakan Piagam Muafakat Nasional (MN) adalah persefahaman yang tidak mengikat?

    Persoalan itu ditimbulkan oleh Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai reaksi terhadap kenyataan Mohamad pada Sabtu merujuk kepada penolakan Pas terhadap UMNO dan MN.

    Mohamad, menurut laporan laporan media berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO telah memungkiri piagam MN adalah tersasar.

    Wan Saiful turut melontarkan pertanyaan kepada Mohamad, sekiranya piagam MN tidak mengikat, adakah itu bermakna hanya kata-kata UMNO sahaja yang perlu ditaati oleh mereka?

    “Adakah ‘firman’ UMNO satu-satunya ikatan yang diambil kira? Dan bagaimana pula Tok Mat boleh kata ‘untuk paksa UMNO terima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan’?

    “Takkan Tok Mat buat-buat lupa bahawa dia sendiri yang pengerusikan mesyuarat yang putuskan untuk jemput Bersatu masuk MN. Bagaimana boleh dipaksa, bukankah Timbalan Presiden pengerusikan mesyuarat yang membuat keputusan jemput Bersatu, dan Presiden (UMNO) pula tandatangan surat jemputan serta umumkan ke seantero negara?” soalnya dalam dalam hantaran laman Facebook rasminya, hari ini.

    Tambah Wan Saiful, sekiranya dilihat kepada kronologi penubuhan MN,  semua pihak boleh melihat siapakah yang ikhlas berpegang kepada Piagam MN dan siapakah yang melanggarinya.

    “Piagam MN dilancarkan pada 2019. Pada Ogos 2020, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menyatakan bahawa Tok Mat telah mempengerusikan mesyuarat MN yang buat keputusan untuk jemput Bersatu.

    “Susulan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tok Mat itu, satu surat jemputan kepada Bersatu telah ditandatangani oleh Presiden Pas dan Presiden UMNO bertarikh 13 Ogos 2020. Bersatu kemudian bersetuju menerima jemputan itu. Tarikh surat penerimaan dari Bersatu ialah 18 Ogos 2020,” jelasnya. 

    Bagaimanapun katanya, pada Mac lepas UMNO membuat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk menolak penyatuan ummah dan tak mahu kerjasama.

    “Maksudnya UMNO sendiri mengubah keputusan yang dia buat pada Ogos sebelumnya. 

    “Ke mana hilangnya semangat Piagam MN yang membawa kepada keputusan untuk bekerjasama pada Ogos sebelum itu? Surat sudah ditandatangani, tetapi siapa yang ubah?” tanya beliau lagi.

  • 13 maut dalam kejadian tembakan di Nagaland, India

    13 maut dalam kejadian tembakan di Nagaland, India

    SERAMAI 13 orang di Nagaland, India dilaporkan maut selepas sebuah pikap ditembak oleh anggota pasukan keselamatan, sekali gus mencetuskan ketegangan di negeri yang bersempadan dengan Myanmar itu.

    Ketua Menteri Nagaland, Neiphiu Rio pada Ahad merayu semua pihak untuk bertenang dan berjanji akan menyiasat kejadian itu dengan terperinci. Kejadian itu berlaku di kampung Oting di daerah Mon.

    Rio menyifatkan pembunuhan itu satu kejadian yang ‘malang’ dan akan memastikan ia akan disiasat dengan adil mengikut lunas undang-undang.

    Agensi berita PTI melaporkan memetik seorang pegawai polis tempatan, kejadian pada Sabtu itu berlaku apabila tentera melepaskan tembakan ke arah pikap yang dalam perjalanan membawa pekerja pulang dari lombong arang batu.

    Maklumat terperinci mengenai kejadian masih disiasat.

    Menurut laman web NDTV, insiden itu mungkin berpunca daripada kesilapan mengenal pasti sasaran ketika tentera sedang mengadakan operasi antipemberontak di kawasan itu.

    NDTV melaporkan 14 orang maut dalam kejadian itu termasuk seorang tentera.

    Menteri Dalam Negeri, Amit Shah berkata, kerajaan negeri akan menjalankan siasatan yang menyeluruh berhubung kejadian itu.

    “Saya turut berduka cita dengan insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya. – Bernama

  • Kanak-kanak dikhuatiri maut dibaham buaya semasa mandi

    Kanak-kanak dikhuatiri maut dibaham buaya semasa mandi

    SEORANG kanak-kanak dikhuatiri maut dibaham buaya di laut berhampiran Kampung Sinakut Felda Sahabat 16, di Lahad Datu semalam.

    Mangsa, Mohammad Zolarian Abdullah, 10 disedari hilang oleh rakannya ketika mereka sedang mandi di kawasan laut kampung berkenaan.

    Kejadian kemudian dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 7.18 malam selepas mangsa tidak ditemui oleh penduduk kampung.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, operasi dilakukan bermula pukul 7.40 pagi tadi.

    “Pencarian dilakukan empat anggota bomba di sekitar pantai iaitu seluas 10 kilometer dari lokasi kejadian.

    “Bagaimanapun, sehingga pukul 2 petang, belum terdapat sebarang tanda positif penemuan mangsa dan keadaan ketika ini hujan serta berangin,” katanya ketika dihubungi.

  • 4 ditahan guna senjata api mainan, menyamar polis semasa menyamun

    4 ditahan guna senjata api mainan, menyamar polis semasa menyamun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN empat lelaki termasuk dua beradik menyamar sebagai polis bagi tujuan menyamun menerima padah apabila mereka diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan kegiatan jenayah itu.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi apabila keempat-empat suspek hadir ke sebuah rumah di Kampung Jeram, Merbau Pulas, dekat Kuala Ketil, semalam

    Katanya, keempat-empat mereka yang berusia 24 hingga 38 tahun memberi alasan kononnya mahu melakukan pemeriksaan terhadap rumah tersebut.

    “Ketika kejadian, rumah itu didiami seorang wanita berusia 42 tahun bersama-sama beberapa kanak-kanak yang merupakan anak saudaranya. Suspek memperkenalkan diri sebagai polis da meminta wanita itu membuka pintu rumah.

    “Wanita itu bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan keempat-empat suspek memecahkan pintu belakang rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Kulim, hari ini.

    Sazalee menambah, suspek turut bertindak melampau apabila mengacukan senjata api mainan dan memaksa mangsa masuk ke bilik.

    “Di bilik itu, wanita berkenaan diikat tangannya menggunalan pengikat kabel. Suspek kemudiannya menyelongkar almari rumah sebelum adik mangsa tiba-tiba pulang dan menyedari kehadiran individu tidak dikenali di rumahnya.

    “Tindakan adik mangsa yang menjerit meminta pertolongan menyebabkan kesemua suspek terkejut. Mereka bertempiaran lari namun seorang daripadanya berjaya ditahan orang awam,” katanya.

    Katanya, siasatan lanjut mendapati lelaki yang ditahan merupakan abang salah seorang suspek dan tindakan dilakukan polis selepas itu membawa kepada penahanan kesemua suspek di Sungai Petani pada pukul 3 pagi tadi.

    “Pihak kami turut berjaya menemukan barangan kemas milik mangsa bernilai RM10,000 yang dilarikan suspek. Selain itu senjata api mainan serta tukul yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

    “Semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka dipercayai baru menubuhkan kumpulan ini untuk melakukan samun dengan menggunakan taktik menyamar polis,” katanya.

    Menurutnya semua suspek kini direman selama tujuh hari dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

  • Sindiket seludup PATI keluar masuk tumpas

    Sindiket seludup PATI keluar masuk tumpas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS menumpaskan kegiatan penyeludupan migran didalangi sindiket dikenali sebagai Geng Janggut selepas tertangkapnya ketua kumpulan itu bersama-sama dua orang kanan serta ahli lain dalam operasi baru-baru ini.

    Sindiket tersebut dipercayai telah mengaut keuntungan sehingga RM829,500 hasil kegiatan membawa masuk migran dari Indonesia atau menghantar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terbabit keluar dari negara ini sejak Jun lalu.

    Lelaki Indonesia, Joni Aripin atau dikenali Janggut antara yang ditahan bersama-sama rakan senegaranya, Muhidin @Muhit dan Gern @ Galang yang bertindak selaku orang kanan Janggut serta 12 ahli sindiket.

    Kesemua mereka yang berusia 22 hingga 50 tahun ditangkap oleh sepasukan polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di tiga lokasi berasingan sekitar Johor Bahru dan Kulai pada Rabu dan Khamis lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan risikan dan siasatan, sindiket terbabit dipercayai mengenakan caj RM1,300 bagi membawa masuk setiap migran dan RM1,500 untuk proses keluar.

    “Modus operandi sindiket ini dipercayai mendapat bantuan dan kerjasama daripada lain-lain ejen atau pengurus yang akan mengatur pergerakan migran. Migran ini akan berhubung dengan mereka dan seterusnya ejen atau pengurus migran itu akan mengatur perjalanan tersebut melalui sindiket ini.

    “Transporter akan menghantar migran ke kawasan pendaratan sebelum ditempatkan di penampungan sementara untuk satu tempoh masa tertentu. Migran akan dihantar ke lokasi yang dikehendaki atau ke stesen bas berdekatan sebelum migran bergerak sendiri ke lokasi diingini,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

    Ayob Khan berkata, bayaran yang dikenakan ke atas migran yang ingin memasuki Malaysia perlu dibuat sebelum mereka dibenarkan menaiki bot dari Batam atau Tanjung Pinang, Indonesia.

    Katanya, bayaran itu tidak termasuk upah transporter yang akan mengambil dan membawa migran dari pantai di negara ini ke lokasi penampungan atau lokasi yang ingin dituju PATI tersebut.

    “Sindiket Janggut aktif dalam menjalankan kegiatan penyeludupan migran di kawasan Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi. Sindiket ini mula bergerak aktif sejak April lalu sehingga kini.

    “Pada Jun hingga September lalu, sindiket ini dipercayai telah mengatur kira-kira 465 orang PATI masuk dan 150 orang PATI keluar melibatkan 15 pendaratan bot di kawasan Sungai Tengah, Bandar Penawar,” katanya.

    Kesemua tangkapan tersebut ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 Sosma dan Seksyen 26(a) Akta Anti Pemerdagangan Manusia Dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

    Katanya, operasi akan diteruskan bagi menjejaki saki baki sindiket yang masih bebas bagi memerangi kegiatan penyeludupan migran kerana polis percaya kegiatan itu akan terus berlaku disebabkan permintaan pekerjaan yang tinggi susulan banyak sektor ekonomi kembali dibuka di negara ini.

  • Dua maut dua parah terpelanting dalam kemalangan

    Dua maut dua parah terpelanting dalam kemalangan

    DUA penunggang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Buangsiol, Limbang, malam tadi.

    Mangsa yang maut ialah Akmal Haziq Arshad, 25 dan Richard Ruaini, 33.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, seorang lagi penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 17 tahun dan pembonceng salah satu motosikal iaitu warga Indonesia cedera parah.

    Menurutnya, hasil siasatan awal dijalankan mendapati ketika kejadian, Akmal dan seorang lagi rakannya sedang bergerak seiring dari arah Bandar Limbang menuju ke Patiambun.

    “Sampai di satu laluan lurus, sebuah lagi motosikal ditunggang Richard bersama-sama pemboncengnya tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan dua motosikal itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, impak perlanggaran yang kuat turut menyebabkan kesemua mangsa terpelanting ke tengah jalan.

    Pasukan paramedik yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa katanya, mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi parah.

    “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Limbang untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.