JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini membuat penilaian dan tinjauan susulan penemuan seekor buaya tersesat di Taman Dengkil Jaya, Dengkil, Putrajaya semalam.
Pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung berkata, langkah tersebut selepas pihaknya ke lokasi tersebut semalam dan telah mengambil beberapa langkah keselamatan kepada orang awam.
“Semalam kakitangan kita telah memasang pita tali amaran untuk memberi makluman awal kepada orang awam tentang kehadiran buaya.
“Pasukan Perhilitan akan menilai kawasan pada hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Media semalam melaporkan, penduduk di Taman Dengkil Jaya gempar dengan kehadiran seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter dalam sebuah tasik berhampiran kawasan tersebut pada Isnin.
Menurutnya, pemeriksaan telah dilakukan dan mendapati seekor buaya berada dalam tasik berkenaan dipercayai tersesat dari sungai berhampiran.
SEORANG pengurus bank terbunuh selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan sebuah lori di Kilometer 22.5 Jalan Tampin-Gemas di hadapan kilang Gemencheh Granite, Tampin awal pagi ini.
Mangsa, N. Arumugam, 40, dipercayai dalam perjalanan dari arah Tampin menghala ke Gemas dalam kejadian pada pukul 3 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona dipercayai telah hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori.
“Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandunya terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.
“Mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah bank di Serdang, Selangor mengalami parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
KEPUTUSAN sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan dilepaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia akan diketahui esok.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 10 pagi.
Pada 28 September 2021, pihak pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lepas.
Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 16 November 2021.
Paul, 51, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019 mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.- Bernama
SEORANG lelaki meninggal dunia selepas kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebuah van Toyota Innova milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kilometer 58.0 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, hari ini.
Bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima panggilan orang awam memaklumkan kemalangan tersebut pukul 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, lelaki tersebut yang merupakan pekerja kilang memandu seorang diri manakala van KKM itu dinaiki enam petugas kesihatan.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun memandu dari kediamannya di perumahan tersusun Mawai Baru untuk ke tempat kerjanya di Claybrick iaitu kilang proses batu di Jalan Mawai.
“Semasa sampai di tempat kejadian kenderaannya hilang kawalan dan berpusing disebabkan terdapat batu-batu di atas jalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Akibat daripada itu, pada masa yang sama van itu datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa. Mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, semua petugas kesihatan tersebut termasuk pemandunya yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun mengalami cedera ringan serta dirawat di Hospital Kota Tinggi.
mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir
Hussin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat banyak batu bertaburan atas jalan menyebabkan permukaannya tidak rata selain lokasi kemalangan itu merupakan jalan selekoh serta mempunyai dua lorong.
“Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor berkata, sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Semasa tiba kita dapati mangsa, Azhar Wakeo, 50, tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.
Mohd. Rafi berkata, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum operasi tamat pada pukul 9.49 pagi.
KLUSTER Dah Pelangi di Kedah hari ini mencatatkan pertambahan enam lagi individu yang positif Covid-19 melibatkan pelajar Maktab Mahmud Sik.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, secara keseluruhannya sehingga kini terdapat 30 pelajar disahkan positif Covid-19 di sekolah itu.
“Secara keseluruhannya terdapat 44 individu yang telah disaring dengan 30 daripadanya positif Covid-19 manakala 14 lagi negatif.
“Sehingga kini hanya seorang pelajar yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kulim makanala seorang lagi pelajar yang mendapatkan rawatan di Hospital Sik, telah dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman
Pada 3 Disember lalu, Mohd. Hayati menerusi satu kenyataan mengumumkan kemunculan Kluster Dah Pelangi setelah ujian saringan dijalankan mendapati seramai 24 pelajar di sekolah itu positif Covid-19.
Kenyataan itu memaklumkan, kalangan pelajar terlibat didapati mula dikesan bergejala pada 28 November lalu sebelum mereka disahkan positif setelah pihak sekolah mengambil inisiatif melakukan ujian saringan.
Mohd. Hayati menambah, kalangan pelajar yang disahkan positif itu kini menjalani kuarantin di asrama sekolah tersebut dengan dipantau oleh pejabat kesihatan daerah (PKD).
“Kita menjangkakan kluster ini akan tamat pada 2 Januari depan,” katanya.
SERAMAI 27 daripada 131 individu yang terbabit dalam parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di Kuala Lumpur semalam didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan.
Semua mereka positif dadah amphetamine, methamphetamine, ketamin dan kanabis.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, selain itu 23 warga tempatan dan empat warga asing berusia 17 tahun hingga 50 tahun direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti yang bertentangan dengan penetapan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya.
“Sebarang maklumat berkaitan perlanggaran prosedur operasi standard Pelan Pemulihan Negara atau apa-apa perbuatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Semalam media melaporkan polis menjalankan risikan sebelum serbuan dilakukan di kelan berkenaan pada pukul 10.50 malam.
Difahamkan setiap individu dikenakan bayaran RM60 untuk menyertai parti yang dijemput menerusi aplikasi media sosial.
Serbuan berkenaan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor bersama anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.
SEORANG pelajar lelaki yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas basikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang guru di Batu 6 Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, hari ini.
Mangsa yang berusia 14 tahun menunggang basikal dari rumahnya di Kampung Glouster Batu 6 ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi sebelum kejadian itu berlaku pada pukul 7 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, keterangan awal memaklumkan mangsa keluar dari simpang sebelah kanan secara melulu hingga masuk ke laluan MPV Perodua Alza dipandu seorang guru wanita berusia 36 tahun.
“Keadaan itu menyebabkan pemandu MPV terbabit tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa di bahagian hadapan.
“Pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, petugas kesihatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah selepas tercampak manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan ujian saringan Covid-19.
NASIB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, akan diketahui pada 24 Januari ini.
Sinar Harian hari ini melaporkan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pendakwaan.
Hakim juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan pembelaan atas hujahan lisan mereka.
“Terima kasih atas hujahan anda. Keputusan saya pada 24 Januari,” katanya selepas mendengar hujahan selama 24 hari bermula 6 September 2021.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd. Noh.
SEPASANG suami isteri yang aktif melakukan pecah kedai dan kenderaan di sekitar Bentong diberkas polis pada Khamis lalu.
Menerusi penahanan pasangan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah kedai dan kenderaan yang berlaku di sekitar daerah tersebut.
Suspek lelaki yang berusia 31 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor, manakala isterinya, 37, ditahan di pekarangan IPD Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, suspek ditahan selepas pihak polis memeriksa kenderaan dipandunya dan menemui beberapa barangan dilaporkan hilang seperti yang direkodkan di Balai Polis Genting Highlands.
“Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam satu kes kejadian curi dalam bangunan dan tiga kes pecah kenderaan di Genting Highlands.
“Polis juga menemui dadah jenis syabu seberat 1.88 gram dan ganja seberat 3.25 gram pada badan suspek,” katanya pada sidang akhbar di IPD Bentong, hari ini.
Zaiham berkata, polis merampas wang tunai berjumlah RM400, lima telefon bimbit pelbagai jenama, perkakasan audio kenderaan, tiga beg mengandungi tiga rangkaian kunci, sebuah walkie talkie dan satu beg kulit dalam kenderaan suspek.
“Selain itu, polis menemui beberapa peralatan di dalam kenderaan suspek seperti alat pemotong wayar, testpen, pisau, drill, lampu suluh yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.
“Polis juga menyita kereta jenis Perodua Bezza yang didakwa disewa oleh suspek bermula 29 November hingga 27 Januari tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, suspek didapati positif dadah selain mempunyai lima rekod lampau yang membabitkan tiga kes ragut dan masing-masing satu kes dadah serta imigresen.
“Pasangan ini akan direman tujuh hari di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek turut berdepan tuduhan tambahan berkaitan kes di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
SEMBILAN kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot barter trade yang dinaiki mereka dimasuki air sehingga hampir tenggelam dalam kejadian di perairan Tanjung Pungai, Kota Tinggi, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kejadian menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) pada 11 pagi.
“Bot barter trade membawa muatan bekalan runcit itu dalam perjalanan dari Singapura ke Pulau Natuna, Indonesia berdepan dengan cuaca buruk di laut.
Sebahagian daripada sembilan kru warga Indonesia diselamatkan maritim selepas bot mereka dinaiki dimasuki air dan hampir tenggelam di perairan Tanjung Pungai, Kota Tinggi, semalam.
“Bot ronda Perkasa 30 milik Maritim Malaysia segera bertindak untuk menyelamatkan mereka. Bot barter trade itu dikendalikan sembilan kru warga Indonesia berumur antara 19 tahun hingga 48 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata Nurul Hizam, kesemua kru terbabit dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili bagi urusan penyerahan kepada Konsulat Indonesia di Johor Bahru.
Dalam pada itu, beliau berkata, MRSC Johor Bahru menasihatkan komuniti marin agar sentiasa berhati-hati dan memakai jaket keselamatan sewaktu berhadapan cuaca buruk di laut.
Sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-2199401 atau talian kecemasan MERS 999.