Author: Admin

  • Muhyiddin tak pernah keluar kenyataan perolehan vaksin – KJ

    Muhyiddin tak pernah keluar kenyataan perolehan vaksin – KJ

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa negara telah membelanjakan lebih RM2 bilion daripada peruntukan keseluruhan RM3 bilion bagi perolehan vaksin buat 30 peratus penduduk negara.

    Perkara itu diakui Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut menyifatkan laporan media pada 13 Disember 2020 itu sebagai tidak tepat.

    Menurut Khairy, transkrip penuh ucapan Muhyiddin yang diperolehi pihaknya mendapati Muhyiddin tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, lapor Utusan TV, hari ini.

    Ia berhubung kait dengan laporan berita pada 1 Disember lalu iaitu kenyataan Khairy kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa Muhyiddin telah tersilap cakap apabila mengatakan kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 bilion bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk 30 peratus penduduk negara.

    “Dalam sesi penerangan itu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh telah membangkitkan tentang laporan media yang memetik kenyataan Muhyiddin selaku Perdana Menteri ketika itu seperti dilaporkan portal Berita Harian, Malaysia dan The Straits Times, Singapura pada 13 Disember 2020.

    “Namun, setelah pejabat saya memperolehi transkrip penuh ucapan Muhyiddin, ternyata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu dan ia adalah laporan yang tidak tepat, sekurang-kurangnya oleh dua agensi berita tersebut.

    “Bagaimanapun, kesilapan laporan itu tidak diperbetulkan dan boleh diakses sehingga ke hari ini.

    “Saya juga ingin mengingatkan para pengamal berita untuk lebih berhati-hati dalam laporan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, Muhyiddin tersilap cakap apabila mengatakan kerajaan akan memberi vaksin kepada 6.4 juta rakyat dengan kos RM3 bilion.

    Kenyataan Khairy kepada PAC itu dilakukan pada Januari lalu ketika beliau memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

    PAC dalam laporan mengenai perolehan vaksin Covid-19 berkata, ia mengakibatkan kekeliruan kerana kos RM469 bagi setiap individu jauh lebih tinggi daripada angka yang didedahkan Belgium iaitu hanya RM82.40 seorang.

    Dalam pertemuan pada 1 Mei, Khairy memberitahu Kah Woh bahawa Muhyiddin telah membuat kesilapan ketika menyatakan harga vaksin.

  • Hans Isaac umum undur diri daripada dunia lakonan

    Hans Isaac umum undur diri daripada dunia lakonan

    LEBIH suku abad bergelar anak seni, pelakon Datuk Hans Isaac akhirnya mengumumkan mengunudurkan diri daripada dunia lakonan.

    Dia yang kini sudah berusia 50 tahun menegaskan untuk memberikan tumpuan kepada bidang lain dan mahu memberikan ruang kepada generasi baharu meneruskan legasi.

    “Semua perkara baik akan ada pengakhiran. Semuanya bermula apabila Datin Paduka Shuhaimi Baba memberi peluang kepada saya melakonkan watak dalam filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1994.

    “30 daripadanya filem cereka, sejumlah besar drama dan rancangan TV kemudiannya, diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar dan memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi Buli Balik bersama Afdlin Shauki untuk dilakonkan di Filipina (Miss You Like Crazy) ke filem Singapore City Sharkdan dan kini sudah tiba masanya untuk mengundurkan diri,” ujarnya.

    Dia membuat pengumuman tersebut melalui Instagram peribadinya hari ini mendapat pelbagai reaksi daripada rakan artis dan juga peminat.

    Bagi yang mengikuti kerjaya seni pelakon ini, Hans sebenarnya sudah menceburkan diri ke dalam dunia lakonan sejak tahun 1995 dengan beberapa rangkaian filem seperti Ringgit Kasorrga, Hanya Kawan dan Laila Isabella.

    Dalam tempoh masa yang sudah dilalui, dia banyak mempelajari ilmu baharu dan secara tidak langsung mempopularkan namanya sehingga ke hari ini.

    “Berlakon bukanlah minat saya, tetapi saya belajar untuk mencintai dan menikmati proses itu serta bertuah kerana dapat bekerja bersama yang terbaik dalam industri.

    “Bagi mereka yang amat mengenali saya, mereka akan memberitahu anda bahawa saya bukan jenis yang duduk dan tidak melakukan apa-apa. Saya selalu bertanya kepada diri sendiri apa dan siapa Hans yang seterusnya?”

    “Apabila saya telah mencapai matlamat tertentu, bagaimana saya boleh menambah baik dan pada masa yang sama memberi peluang kepada orang lain di sekeliling saya?” tambahnya lagi.

    Sepanjang bergelar anak seni, terlalu banyak orang yang sudah membantu dirinya dan sudah pasti dia mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa ada di sisinya selama ini.

    “Saya akan terus menyokong industri seperti biasa. Terdapat sisi pawagam, pengurusan dan mungkin juga pergi ke pentas bersama Awie dan Afdlin dari semasa ke semasa untuk ketawa, beriadah dan berseronok.

    “Harapan saya adalah untuk mengarahkan satu lagi teater muzikal di Istana Budaya suatu hari nanti dan akan terus meluangkan masa untuk membina empayar saya.

    “Kerana jika tidak ada orang yang percaya kepada saya sebelum ini, maka tidak akan ada Hans Isaac si pelakon. Dengan itu, terima kasih kepada semua penerbit, pengarah, rakan sekerja dan ahli kru kerana telah memberi saya antara kenangan terbaik dalam hidup,” katanya.

  • 48 maut dalam konflik puak di Darfur, Sudan

    48 maut dalam konflik puak di Darfur, Sudan

    SEKURANG-KURANGNYA 48 orang terbunuh dalam konflik puak di Darfur, Sudan, lapor Xinhua memetik kenyataan sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada Isnin.

    “Laporan awal menunjukkan terdapat 48 kematian akibat ditembak dan ramai lagi cedera  dengan beberapa orang daam keadaan kritikal akibat konflik di kawasan Kirainik, di Darfur. 

    “Keganasan meletus di kawasan itu selepas militia bersenjata membunuh dan mencederakan beberapa orang pelarian domestik (IDP) serta membakar kem IDP dan pasar awam,” menurut kenyataan Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan.


    Pihak berkuasa Sudan belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai jumlah sebenar yang maut  atau cedera. 

    Darfur dicengkam perang saudara sejak 2003 semasa pemerintahan bekas Presiden Omar al-Bashir, yang digulingkan pada April 2019.

    Kerajaan peralihan di Sudan berusaha untuk menamatkan konflik melalui perjanjian yang dicapai pada 3 Okt 2020, namun masih ada beberapa kumpulan bersenjata belum menandatangani kesepakatan itu. – Bernama

  • Kanak-kanak ditemukan lemas, terapung dalam paya

    Kanak-kanak ditemukan lemas, terapung dalam paya

    KEHILANGAN seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun selepas tidak balik ke rumahnya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang sejak petang semalam, terjawab apabila ditemukan meninggal dunia hari ini akibat lemas dalam sebuah paya.

    Muhammad Syafiq Abdullah ditemukan pada pukul 8 pagi di kawasan paya berdekatan kampung itu yang jaraknya hanya 500 meter dari rumahnya.

    Mayat ditemukan berseluar pendek berwarna biru tanpa baju, terapung dalam paya itu yang kedalamannya lebih kira-kira 1 meter.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris berkata, kehilangan mangsa di rumah hanya disedari ibunya kira-kira pukul 6 petang semalam sejurus tersedar daripada tidur.

    “Pada mulanya menyangkakan anaknya keluar bermain seperti selalu.

    “Namun, sehingga pukul 8 malam mangsa didapati masih belum pulang ke rumah yang seterusnya mengundang rasa tidak sedap hati serta bimbang tentang keselamatan mangsa sebelum meminta bantuan ahli keluarganya dan penduduk kampung mencari mangsa.

    “Usaha pencarian dilakukan di kawasan parit, paya dan lombong serta semua kawasan di sekitar kampung tetapi kanak-kanak itu tidak dijumpai.

    “Suri rumah tersebut mengambil keputusan membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya yang dilihat kali terakhir pukul 4 petang semalam telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Jelas Mohd. Zain, hasil siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan terjatuh ketika cuba mengambil sebiji bola yang dipercayai terjatuh ke dalam kawasan paya.

    Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

    Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Dakwaan pencemar sungai, udara tidak boleh didakwa, tidak berasas – Mas Ermieyati

    Dakwaan pencemar sungai, udara tidak boleh didakwa, tidak berasas – Mas Ermieyati

    DAKWAAN menyatakan bahawa Peguam Negara, yang bertindak sebagai Pendakwa Raya, kadang-kadang tidak membenarkan pendakwaan dibuat terhadap mereka yang melakukan pencemaran sungai dan udara adalah tidak berasas.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undangDatuk Mas Ermieyati Samsudin berkata sesuatu pendakwaan di mahkamah adalah bergantung kepada hasil siasatan kes.

    “Selaras dengan kehendak undang-undang di bawah seksyen 44, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 125), izin pendakwaan mestilah diperoleh terlebih dahulu daripada Pendakwa Raya.

    “Arahan pertuduhan hanya akan dikeluarkan setelah Pendakwa Raya berpuas hati bahawa segala keterangan dalam kertas siasatan adalah mencukupi untuk membuktikan elemen pertuduhan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) adakah kerajaan berhasrat memberi kuasa pendakwaan kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar supaya tindakan dapat terus diambil ke atas pihak yang mencemar sungai dan udara berikutan mendakwa pihak Peguam Negara kadang-kadang tidak membenarkan dakwaan dibuat terhadap pesalah alam sekitar itu.

    Menjawab soalan tambahan Mukhriz sama ada campur tangan dari pihak berkepentingan hingga ada kes tidak mendapat kelulusan untuk dibawa ke mahkamah, Mas Ermieyati memberi jaminan isu pencemaran alam sekitar adalah amat serius dan pihaknya memberi jaminan tiada campur tangan yang boleh menjejaskan mana-mana siasatan atau pendakwaan.– Bernama

  • Jangan lambat salur peruntukan kepada PMKS

    Jangan lambat salur peruntukan kepada PMKS

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERUNTUKAN RM40 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2022 untuk geran, jaminan dan ekuiti kepada semua perniagaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga syarikat senaraian awam perlu segera disalurkan.

    Presiden Gabungan Persatuan Anak Negeri Malaysia (Gapan), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, peruntukan sebanyak itu tidak membawa erti sekiranya penyaluran bantuan tersebut lambat, berdepan birokrasi dan tidak sampai kepada golongan sasaran.

    Katanya, Gapan yang terdiri daripada sembilan Persatuan Anak Negeri menegaskan sektor PMKS telah melalui suatu fasa yang amat sukar dalam meneruskan kehidupan perniagaan mereka.

    Maka, Syed Hussein berkata, fasa pemulihan ini diharapkan dapat memberi peluang kedua kepada usahawan-usahawan di negara ini.

    “Gapan mengalu-alukan peruntukan besar yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan PMKS di seluruh negara terbela apabila memasuki tempoh pemulihan ekonomi selepas negara dilanda pandemik.

    “Ini adalah penting kepada PMKS untuk membantu mereka bangkit kembali dan bersaing di pasaran yang sedang pulih. Namun begitu, pendekatan oleh kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pengumuman Bajet 2022 mestilah disalurkan tepat kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Syed Hussein menyarankan sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu menyalurkan bantuan kepada usahawan-usahawan yang benar-benar memerlukan.

    Kata beliau, pihaknya menyokong sepenuhnya cadangan dan tindakan proaktif yang diambil Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam mengkaji semula syarat serta kelayakan inisiatif serta bantuan yang ditawarkan kementerian itu dan agensi di bawahnya bagi memudah cara proses permohonan para usahawan mendapatkan pembiayaan.

    “Saranan menteri bagi memudah cara proses permohonan ini yang bersesuaian dengan situasi semasa adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh PMKS di seluruh negara,” katanya.

  • Bas persiaran rempuh tiga kereta, dua cedera

    Bas persiaran rempuh tiga kereta, dua cedera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH bas persiaran tanpa penumpang hilang kawalan sebelum merempuh tiga buah kereta di kilometer (KM) 37, Lebuh Raya Selatan Susur Bandar Dato Onn, Johor Bahru, hari ini.

    Kemalangan pada kira-kira pukul 9 pagi itu melibatkan bas persiaran, kereta jenis Proton Saga, BMW dan Perodua Myvi.

    Pelanggaran itu mengakibatkan dua lelaki cedera iaitu mangsa berusia 38 tahun yang memandu Proton Saga manakala seorang lagi berusia 47 tahun memandu kereta BMW.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Abd. Aziz berkata, tujuh anggota dengan bantuan sebuah unit Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

    Anggota bomba membantu mangsa yang cedera selepas sebuah bas persiaran merempuh tiga buah kereta di kilometer (KM) 37, Lebuh Raya Selatan Susur Bandar Dato Onn, Johor Bahru, hari ini.

    “Kejadian juga dipercayai berlaku apabila bas persiaran telah merempuh tiga buah kenderaan itu sekali gus mengakibatkan dua mangsa mengalami kecederaan

    “Dalam perlanggaran tersebut, tiada penumbang di dalam bas persiaran itu. Bas itu juga telah dialihkan selepas pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kedua-dua pemandu katanya, diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru,” katanya.

  • Dua pekerja SWM Corp maut dalam kemalangan

    Dua pekerja SWM Corp maut dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA pekerja SWM Corp maut manakala seorang lagi parah selepas lori pengangkut sampah milik syarikat konsesi itu kemalangan berhampiran ST Rhodes Club, Ladang Johor, Labis, dekat Segamat, hari ini.

    Kemalangan melibatkan dua pekerja syarikat konsesi itu iaitu pemandu lori tersebut, Ramli Ibor, 58, dan kelindan, Muhammad Helmi Karim, 30, dengan lori jenis Isuzu melibatkan pemandunya, Nor Fazli Ramli, 30.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md. Sarif berkata, pihaknya
    menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 8.11 pagi.

    “Seramai 14 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Dua mangsa daalam lori SWM Corp telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian

    “Kemalangan itu melibatkan sebuah lori 3 tan membawa muatan besi binaan telah bertembung dengan sebuah lori SWM Corp,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

    Beliau berkata, akibat pelanggaran secara berdepan itu semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

    Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan rescue tools dan stretcher.

    “Dua mangsa daalam lori SWM Corp telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

    Sementara pemandu lori berkenaan katanya, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Segamat dengan menaiki ambulans bagi menerima rawatan lanjut.

    Beliau menambah, operasi berkenaan tampat pada pukul 10.56 pagi.

  • Warga emas rugi RM11,600, terpedaya iklan jual MyPR

    Warga emas rugi RM11,600, terpedaya iklan jual MyPR

    HASRAT seorang peniaga mahu mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) hampa apabila kerugian RM11,600 selepas ditipu satu sindiket yang menawarkan kad itu menerusi iklan dalam Facebook bulan lalu.

    Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun mendapat maklumat berkaitan pihak yang boleh menguruskan hal itu melalui iklan tersebut sebelum berurusan dengan seorang wanita pada pukul 1.08 petang, 10 November lalu.

    Ketua Polis Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, individu tersebut menghantar mesej melalui aplikasi whatsApp dan memaklumkan cara-cara dan bayaran yang perlu dilakukan untuk mangsa untuk mendapatkan kad MyPR itu,

    “Mangsa tertarik dengan tawaran yang diberikan oleh individu tersebut untuk satu keping kad MyPR berharga RM4,800.

    “Setuju tawaran yang diberikan, mangsa telah berhubung lanjut dengan individu berkenaan bagi mendapatkan kad MyPR untuk seorang rakannya dan pekerjanya dengan kos dua kad MyPR berjumlah RM9,600 sahaja.

    “Bagaimana pun, dia diminta membuat penambahan bayaran sebanyak RM2,000 setiap kad dan mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM11,600 serta meminta individu itu selesaikan proses permohonan untuk satu kad MyPR sebelum membuat bayaran tambahan berbaki RM2,000 lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Chang Hook berkata, mangsa telah membuat pembayaran tersebut (berjumlah RM11,600) ke tiga akaun yang berbeza namun individu berkenaan mendesak mangsa menjelaskan baki bayaran RM2,000 lagi sebelum kedua-dua kad tersebut diproses.

    “Curiga dengan tindakan tersebut, mangsa telah membuat semakan dan mendapati urusan yang dijalankan ini adalah tidak sah sebelum membuat laporan polis malah sehingga kini mangsa gagal berhubung dengan individu tersebut. Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Hasil siasatan awal mendapati akaun itu mempunyai rekod berkaitan kes penipuan bagi mendapatkan kad MyPR bersangkut repot Taman Ungku Aminah, di Johor Bahru,” katanya.

  • Paul Yong diarah bela diri atas tuduhan rogol pembantu rumah

    Paul Yong diarah bela diri atas tuduhan rogol pembantu rumah

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh, hari ini memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, pada tahun 2019.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, lapor Astro Awani, hari ini.

    Sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan selama dua hari pada 15 dan 16 Februari 2022.

    Yong, 51 tahun, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Dia disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.