Author: Admin

  • Najib hilang kelayakan tanding p’raya walau sabitan SRC tangguh – Pakar perlembagaan

    Najib hilang kelayakan tanding p’raya walau sabitan SRC tangguh – Pakar perlembagaan

    Walaupun Najib Razak telah mendapatkan penangguhan atas sabitan jenayahnya dalam kes SRC International, bekas perdana menteri itu masih tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan selesai.

    Demikian menurut beberapa pakar perlembagaan dan peguam ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

    Shad Saleem Faruqi dari Universiti Malaya berkata walaupun Najib boleh kekal sebagai ahli parlimen Pekan, tetapi dia hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

    “Beliau kekal sebagai ahli parlimen sehingga rayuan atau petisyen untuk pengampunannya diselesaikan. Ini diperuntukkan dalam Perkara 48(4)(b) Perlembagaan Persekutuan.

    “Tetapi dia serta-merta hilang kelayakan untuk pencalonan, bertanding pilihan raya atau pelantikan ke mana-mana Dewan jika dia sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara setahun atau denda 2,000. Ini diperuntukkan dalam Perkara 48(5),” kata Shad Saleem.

    Pakar perlembagaan itu berkata Najib boleh bertanding dalam pilihan raya sekiranya dia mendapat pengampunan penuh diraja sebelum hari penamaan calon.

    Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta dana SRC International, serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Penghakiman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara minggu lalu, selepas panel tiga hakim mendengar rayuan Najib.

    Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan Najib menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

    Ini disahkan oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan peguam Najib ketika dihubungi, serta semakan nota wartawan dari mahkamah pada hari itu di mana panel hakim membenarkan permohonan pembelaan untuk penangguhan sabitan dan pelaksanaan hukuman.

    Susulan keputusan ini, timbul persoalan sama ada ahli politik Umno itu masih layak bertanding dalam pilihan raya akan datang atau tidak, dengan peguam terkenal Haniff Khatri menggesa Mahkamah Rayuan menjelaskan perkara berkenaan.

    Penangguhan tak bermakna lupus sabitan Najib
    Peguam kanan Salim Bashir Bhaskaran turut berkongsi pandangan sama, berkata penangguhan sabitan yang diberikan kepada Najib tidak mempunyai kesan terhadap kehilangan kelayakannya sebagai ahli parlimen sekrang.

    “Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang itu tidak perlu mengosongkan kerusinya sementara menunggu keputusan rayuannya.

    “Sekarang ini, persoalan satu lagi sama ada dia boleh bertanding atau tidak? Dalam keadaan ini, kita perlu rujuk subseksyen 5 Perkara 48.

    “Subseksyen itu mengatakan seseorang yang telah disabitkan bersalah, dia tak boleh menjadi ahli parlimen. tak boleh dicalon, tak boleh dipilih jadi ahli parlimen.

    “Walau ada penangguhan, ia tidak ada apa-apa kesan (kedudukan Najib sebagai MP sekarang).

    “Tetapi kesan sama ada dia boleh bertanding ataupun tidak, itu tertera dalam perlembagaan dan perlembagaan cukup jelas, Perkara 48(5) kata dia tidak boleh,” katanya.

    Menurut Salim, Najib hanya boleh bertanding pada pilihan raya akan datang jika dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    “Kalau tak lepas, maka itulah pengakhirannya.

    “Kalau PRU sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan, dia tak boleh bertanding,” jelasnya.

    Seorang lagi peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata perintah penangguhan tidak bermakna sabitan Najib telah “dilupuskan’.

    Menurutnya, terdapat kes rujukan di India apabila Perdana Menteri India ketika itu Indira Gandhi disabitkan dengan kesalahan pilihan raya oleh Mahkamah Tinggi Allahabad.

    “Indira disabitkan dengan kesalahan pilihan raya oleh mahkamah tinggi Allahabad. Dia memohon rayuan dan mendapat penangguhan sabitan dan hukuman.

    “Dia kemudiannya memberitahu Mahkamah Agung India bahawa sabitan kesalahannya telah ditangguhkan dan dengan itu dia boleh bertanding dalam pilihan raya.

    “Bagaimanapun, Mahkamah Agung berkata tidak, kerana penangguhan itu hanya menunggu rayuan. Dan ini tidak bermakna sabitan itu dilupuskan.”

    Sementara itu, peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah ketika dihubungi berkata dia tidak mendapat arahan untuk mengulas soalan mengenai bekas perdana menteri itu boleh bertanding dalam pilihan raya atau tidak.

    Bagaimanapun, tegasnya, kebimbangan utama mereka dalam memohon penangguhan sabitan adalah kedudukannya sebagai ahli parlimen.

    “Jadi dengan penangguhan itu, beliau masih kekal sebagai ahli parlimen.

    “Pilihan raya itu cerita lain, kerana dia belum memutuskan apa-apa.”

  • Mangsa kedua insiden bot bertembung ditemukan

    Mangsa kedua insiden bot bertembung ditemukan

    OPERASI mencari dan menyelamat mangsa kedua kejadian sampan bertembung dengan sebuah bot berdekatan Jeti Tok Kuning, ditamatkan selepas mayat nelayan itu ditemukan pada 3.27 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata mangsa Abdul Rashid Md Derus, 45, ditemukan di kawasan Denai Larian, Sungai Perlis, Pengkalan Asam kira-kira lima kilometer dari Jeti Tok Kuning.

    “Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di kawasan itu dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

    Terdahulu pada pagi tadi, seorang lagi mangsa yang terlibat dalam insiden itu Mohd Faizal Hisham, 39, ditemukan kira-kira 7.46 pagi pada jarak kurang 20 meter dari tempat kejadian.

    Dua nelayan itu sebelum ini dikhuatiri lemas selepas sampan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot dalam kejadian kira-kira 10 malam Khamis lepas. – Bernama

  • Kes buli: Empat lagi ditahan, enam pelajar dibebaskan

    Kes buli: Empat lagi ditahan, enam pelajar dibebaskan

    POLIS menahan empat lagi pelajar bagi membantu siasatan kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular dalam media sosial semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata seorang pelajar berusia 15 tahun dan tiga orang berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar hari ini.

    Katanya, ia menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 10 orang setakat ini selepas enam pelajar ditahan semalam.

    “Enam daripadanya dibebaskan petang ini manakala empat lagi akan dibebaskan esok selepas siasatan selesai,” katanya.

    Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular dalam media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

    Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 hingga 2 pagi pada 9 Dis melibatkan seorang mangsa yang juga berusia 13 tahun.

    Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar yang terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama

  • Negara rugi besar jika tukar Model SWN untuk sediakan rangkaian 5G – Muhyiddin

    Negara rugi besar jika tukar Model SWN untuk sediakan rangkaian 5G – Muhyiddin

    KERAJAAN berdepan risiko implikasi reputasi besar jika menukar model Rangkaian Borong Tunggal, atau Single Wholesale Network (SWN) untuk melaksanakan rangkaian 5G yang sedang dijalankan Digital Nasional Berhad (DNB).

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuklah kehilangan keyakinan pelabur akibat perubahan pendirian kerajaan serta implikasi serius daripada aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan DNB, sekiranya sebarang pelanggaran atau penamatan kontrak disebabkan oleh penukaran model.

    “Negara akan kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030 seperti yang dilaporkan oleh kajian yang dijalankan oleh Ernst & Young Sdn Bhd (EY).

    “Kita juga akan kehilangan kos peluang, atau ‘opportunity cost’ pihak industri dalam memperolehi keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau mengulas mengenai cadangan dikemukakan dalam Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak berjaya dilaksanakan kerana perbezaan kepentingan di kalangan syarikat telekomunikasi.

    Katanya, sebagai mantan Perdana Menteri, beliau telah terlibat dengan pelbagai perbincangan, termasuklah sesi libat urus dalam menjayakan usaha ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin jika perkara itu berlaku, negara akan kehilangan sokongan bagi sehingga 15 ribu pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian 5G, serta gangguan terhadap penciptaan 148,000 pekerjaan di dalam ekonomi secara keseluruhannya.

    Sedangkan, katanya peluang itu sepatutnya mendorong peralihan ekonomi kepada pekerja berkemahiran tinggi.

    “Model SWN yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan mempunyai kelebihan untuk melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, pada kos paling rendah dan kualiti yang lebih baik,” katanya.

    Bahkan, katanya model SWN yang dikawal selia oleh SKMM juga akan menyediakan akses yang adil dan sama rata kepada semua syarikat telekomunikasi seterusnya menggalakkan persaingan yang berfokuskan perkhidmatan kepada pelanggan.

    “SWN juga tidak akan terlibat di dalam pasaran runcit berdasarkan model perniagaan syarikat dan juga syarat lesen oleh SKMM.
    Pada masa yang sama, saya menyambut baik keputusan Telekom Malaysia Berhad yang telah menandatangani perjanjian percubaan bersama DNB.

    “Ini akan melihat pelanggan mereka menerima perkhidmatan rangkaian 5G dalam masa terdekat. Ini jelas membuktikan bahawa model yang diadaptasi oleh DNB serta pengurusan mereka berjaya untuk menyampaikan perkhidmatan 5G berdasarkan garis masa yang ditetapkan,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan isu yang dikemukakan ini dalam menentukan model pelaksanaan yang paling sesuai untuk seluruh rakyat.

    Ini termasuk aspek keterangkuman dan kemampuan rakyat untuk menikmati perkhidmatan 5G pada kos yang rendah serta dapat dinikmati oleh penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

    “Masih ingatkah kes Adik Veveonah Mosibin pada Jun 2020. Itu adalah contoh yang dekat di hati kita. Ini adalah kerana kawasan-kawasan tersebut tidak menguntungkan bagi syarikat-syarikat telekomunikasi.

    “Malah, kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion daripada wang awam dan swasta di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan-kawasan luar bandar, di mana syarikat telekomunikasi yang lazimnya dipacu keuntungan komersial, gagal menyediakan liputan.

    “Syarikat telekomunikasi mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2 peratus, manakala sebaliknya DNB menyasar melancarkan 5G kepada lebih 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang 2024,” katanya

  • Kes buli: Mangsa letih, belum bersedia kongsi pengalaman

    Kes buli: Mangsa letih, belum bersedia kongsi pengalaman

    PELAJAR yang menjadi mangsa buli di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak kini menjalani rawatan di sebuah hospital dan berada dalam keadaan lemah.

    Mangsa yang berusia 13 tahun, difahamkan berada di wad sebuah hospital di Kajang, Selangor untuk pemeriksaan lanjut, susulan ditumbuk bertubi-tubi sekumpulan pelajar lain.

    Ketika SatuBerita menghubunginya, mangsa tidak boleh berbual panjang kerana mengakui masih lemah.

    Pada masa sama, dia juga perlu menyelesaikan isu berkaitan dengan kejadian itu yang menyaksikan enam pelajar kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan.

    Difahamkan, mangsa belum bersedia untuk berkongsi pengalaman ngeri itu dan pada masa sama, mahu mengelak memberi kenyataan yang menggangu siasatan polis.

    Setakat ini juga, belum ada sebarang maklumat berhubung tahap kecederaan yang dialami mangsa.

    Kejadian itu tular dalam media sosial selepas tersebarnya rakaman video yang menunjukkan mangsa ditumbuk secara berulang kali oleh pelajar lain.

    Setakat ini, belum dapat dipastikan punca sebenar kejadian.

    Berikutan kejadian itu, semua pelajar terbabit tingkatan Satu dan Tiga MRSM Sultan Azlan Shah itu disoal siasat polis dan enam daripadanya ditahan, termasuk penular video.

    MRSM mengambil tindakan segera dengan menggantung persekolahan selama dua minggu kepada semua pelajar terbabit dan berkemungkinan akan dipecat daripada MRSM.

  • Kerajaan perlu jelaskan keistimewaan diberi kepada Najib

    Kerajaan perlu jelaskan keistimewaan diberi kepada Najib

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN perlu menjelaskan keistimewaan yang diberi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya Rabu lalu sebulat suara mengekalkan sabitan semua kesalahannya sebelum ini.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri mempersoalkan sama ada keistimewaan tersebut diberi mengikut lunas undang-undang.

    “Hukuman yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu adalah kekal melainkan rayuan di atas sabitan kesalahan dan hukuman dibenarkan ataupun keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, diubah atau dipinda.

    “Justeru dalam kes Najib sekarang, rakyat memohon kerajaan membuat penjelasan secara rasmi bagi merungkai persoalan dan kekeliruan tersebut serta memastikan keistimewaan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Pekan itu mengikut lunas perundangan.

    “Untuk itu, mana-mana keistimewaan yang melibatkan Najib harus dipastikan sama ada ianya diberi berdasarkan budi bicara, mengenang jasa dan mengikut kuasa pentadbiran, ataupun menggunakan budi bicara berdasarka kuasa undang-undang yang menerusi akta ditetapkan,” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri berkata demikian dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, kerajaan juga wajar menyemak hak Najib yang bebas bergerak dalam negara dan kedudukannya sebagai ahli Parlimen.

    Perkara itu katanya, perlu diperjelaskan selain soal keistimewaan untuk menangguhkan hukuman dan memiliki pasport antarabangsa yang dinikmati ketika ini.

    “Semua ini mesti dibezakan sama ada ianya satu keistimewaan ataupun hak mutlak yang dijamin atau dilindungi undang-undang.

    “Jika keistimewaan kepada Najib diberikan tanpa menggunakan kuasa undang-undang maka keistimewaan itu mesti ditamatkan serta-merta kerana ia bakal memberi pelbagai impak buruk.

    “Antaranya, mencetuskan persepsi buruk terhadap kewibawaan sistem tadbir urus dan perundangan negara, menjejaskan institusi kehakiman dan Parlimen serta mencalarkan imej negara dan politik Malaysia pada kacamata rakyat sendiri mahupun masyarakat antarabangsa,” katanya.

    Mohd. Solihan berkata, kes Najib mendapat liputan media di seluruh dunia dan situasi itu memberi impak besar terhadap imej serta kewibawaan Malaysia, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur dan sokongan antarabangsa terhadap negara.

    Sehubungan itu katanya, kerajaan mesti menamatkan isu keistimewaan dalam kes Najib dengan telus, tegas dan serta-merta bagi mengelakkan persepsi menjadi lebih buruk.

  • Anak ‘Tok Nan’ mahu bangunkan Pantai Telok Melano

    Anak ‘Tok Nan’ mahu bangunkan Pantai Telok Melano

    CALON Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan melihat kawasan itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai antara hab pelancongan utama di Sarawak. 

    Berusia 30 tahun, anak bongsu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem itu berkata penduduk Tanjong Datu berharap Pantai Telok Melano yang terletak di kawasan itu muncul sebagai antara destinasi tumpuan bagi pelancong dalam dan luar negara.  

    “Ada beberapa perkara yang disuarakan rakyat sini. Selain daripada penambahbaikan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik. Mereka juga ingin melihat Tanjong Datu ini ditransformasikan untuk menjadi sebuah hab pelancongan. 

    “Bagi saya kawasan (Pantai Telok Melano) yang paling indah dan cantik di Sarawak. Kawasan ini merupakan satu-satunya tumpuan untuk Tanjong Datu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Voluntourism: Penghijauan Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, hari ini. 

    Menurut Azizul, Pantai Telok Melano itu semakin dikenali oleh pengunjung daripada dalam dan luar Sarawak disebabkan kedudukannya yang terletak di hujung selatan Sarawak, berhampiran dengan sempadan Malaysia-Indonesia. 

    Sebagai anak kelima bekas Ketua Menteri Sarawak, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 ini Azizul berkata, beliau tidak mahu menumpang populariti allahyarham bapanya sahaja, sebaliknya beliau mahukan supaya pengundi melihat sendiri kepada kebolehan dan kelayakannya.

    “Tipulah kalau saya katakan kedudukan saya sebagai anak bekas CM (Ketua Menteri) tidak memberi tekanan kepada saya, tetapi ia juga memberi  motivasi untuk saya melakukan yang lebih bagus. 

    “Tekanan ini satu perkara yang biasa buat saya. Saya bekerja dengan baik di bawah tekanan. Saya percaya kepada rekod baik GPS selama ini, pengundi di Tanjong Datu pasti akan terus memberi sokongan kepada saya,” katanya. 

    Allahyarham Adenan menjadi Ketua Menteri Sarawak pada 2014 hingga 2017.

    Pada PRN11 pada 2016, Allahyarham yang lebih mesra disapa ‘Tok Nan’ menjadi wakil rakyat kawasan Tanjong Datu dengan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk penggal ketiga.

    Susulan kematian beliau pada 11 Januari 2017, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dengan balu Allahyarham, Datuk Amar Jamilah Anu dipilih bertanding mewakili BN dan memenangi kerusi itu. – Bernama

  • Persenda OKU: 4 individu dijangka beri keterangan petang ini

    Persenda OKU: 4 individu dijangka beri keterangan petang ini

    EMPAT individu dipercayai terlibat dalam dua video berasingan yang tular di media sosial sejak Rabu lepas, kerana mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), dijangka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, petang ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua suspek berjaya dihubungi oleh pengawai penyiasat semalam, berhubung video tersebut.

    “Mereka akan hadir untuk dirakam percakapan petang ini,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

    Kes terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

    Khamis lepas, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang mempersendakan golongan OKU, walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.

    Sebelum ini, tular di media sosial dua lelaki menggunakan tempat meletak kereta khas untuk OKU di sebuah pusat beli-belah, dengan menyamar sebagai OKU untuk menggunakan parkir berkenaan.

    Selain itu, dua wanita yang merupakan penunggang basikal, mengambil kesempatan menggunakan tandas OKU dengan membuat pergerakan yang mempersendakan golongan tersebut.- Bernama

  • 2 ditahan tikam mati warga emas mahu tunai solat Jumaat

    2 ditahan tikam mati warga emas mahu tunai solat Jumaat

    DUA suspek yang menikam seorang lelaki warga emas hingga mati di hadapan rumahnya di Kampung Idaman, Klang, semalam, direman seminggu bermula hari ini.

    “Permohonan reman sehingga 17 Disember terhadap kedua-dua suspek itu dipohon di Mahkamah Klang,” ujar Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, ketika dihubungi hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, lelaki warga emas yang mahu menunaikan solat Jumaat di masjid maut apabila dipercayai ditikam dua lelaki berhampiran pintu pagar kediamannya.

    Menurut Hoong Fong, mangsa, 69, ditemui terbaring berlumuran darah di hadapan rumahnya sekitar jam 12.38 tengah hari semalam.

    Katanya, kedua-dua suspek yang disyaki menikam mangsa berusia 33 tahun berjaya diberkas di dua lokasi berasingan sekitar Klang dan Shah Alam dalam tempoh empat jam selepas kejadian.

    “Siasatan mendapati, suspek utama dalam kes ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.

    “Senjata yang digunakan suspek untuk menikam si mati juga berjaya ditemui,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Semalam, tular dalam media sosial seorang lelaki warga emas tidak sempat ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat apabila ditikam lelaki dikenali secara tiba-tiba.

  • Bumbung SMK Seri Menanti runtuh

    Bumbung SMK Seri Menanti runtuh

    BUMBUNG sebuah blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Menanti di Muar runtuh, kelmarin, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

    Berita Harian hari ini melaporkan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika sesi persekolahan dan semua pelajar sedang menjalani waktu rehat.

    “Dua buah blok sekolah berkenaan ketika itu terbabit dalam proses baik pulih bumbung, susulan strukturnya yang sudah uzur.

    “Kerja menukar bumbung bermula sejak sesi persekolahan dibuka dan kedua-dua bangunan berkenaan masih belum digunakan lagi,” katanya ketika dihubungi.

    Syed Saddiq berkata, runtuhan bumbung membabitkan sebuah bangunan dan pihak sekolah sudah menyerahkan isu berkenaan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tindakan lanjut.