Author: Admin

  • Dera: Ibu didakwa sebabkan kematian anak lelaki

    Dera: Ibu didakwa sebabkan kematian anak lelaki

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG ibu hanya mengangguk tanda faham ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia lima tahun, awal bulan ini.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, R. Kaleswary, 35, ketika pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normadiana Mamat.

    Kaleswary dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian P.J. Samsoon Paul di sebuah premis di Taman Tan Sri Yaakub, Iskandar Puteri antara pukul 9 pagi hingga 12.20 tengah hari, 3 Disember lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sementara itu, tertuduh bersama teman lelakinya, Muhammad Iskandar Abdullah, 32, turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi pendakwaan secara bersama telah menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di lokasi sama antara April hingga 3 Disember lalu.

    Kaleswary mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, manakala Muhammad Iskandar yang bekerja sebagai penghantar gas mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

    Hukuman terhadap Kaleswary bagaimanapun ditangguhkan terlebih dahulu kerana menunggu laporan bedah siasat yang lengkap.

    Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Muhammad Iskandar kemudian dibenarkan diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

    Pendakwaan di Mahkamah Sesyen pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien dan M. Raveena.

    Mahkamah turut menetapkan tarikh 27 Januari dan 15 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan bedah siasat mangsa.

    Sebelum ini media melaporkan kedua-dua tertuduh telah ditahan polis selepas mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah pada 3 Disember lalu untuk mendapatkan rawatan.

    Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati terdapat kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan yang berkemungkinan akibat didera. Mangsa juga didapati sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    Pasukan forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor turut menemukan getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan ‘poly pipe’ di atas sofa serta kesan darah di rumah suspek yang kemudiannya dirampas sebagai barang kes.

  • Tegur rakan tonton video lucah punca kejadian buli pelajar MRSM

    Tegur rakan tonton video lucah punca kejadian buli pelajar MRSM

    TEGURAN agar tidak menonton video lucah dipercayai menjadi punca seorang pelajar lelaki tingkatan satu dibuli dalam kejadian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah (SAS) Kuala Kangsar, Perak, minggu lalu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, punca kejadian tersebut didedahkan mangsa berusia 13 tahun ketika ditemu bual polis.

    “Berdasarkan temubual itu, mangsa memberitahu dia telah menasihati seorang daripada suspek supaya tidak menonton video lucah dan jika enggan akan melaporkan kepada guru atau warden.

    “Ini antara punca mengapa enam pelajar itu marah dan bertindak memukul serta membuli mangsa. Seorang pelajar tingkatan tiga telah mengarahkan enam pelajar terbabit untuk menumbuk mangsa,” katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak 2021 di Dewan Agro Aman Jaya, Kompleks Perumahan Kakitangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Perak, hari ini.

    Menurut beliau, ekoran insiden tersebut, pihaknya menahan 10 pelajar yang terlibat untuk dirakam percakapan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

    Katanya, mangsa kini dirawat di sebuah hospital di Selangor dan keadaannya  stabil tanpa kecederaan serius.

    “Kita telah merampas 11 buah telefon bimbit untuk dihantar ke bahagian forensik bagi melihat kandungan dalam peranti berkenaan.

    “Setakat ini, dua laporan polis diterima berkaitan kes tersebut iaitu daripada pengetua sekolah dan bapa mangsa. Kertas siasatan kes itu akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan,” katanya.

    Warta Rakyat pada Jumaat melaporkan, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.  

    Video tersebut mendapat perhatian warganet dengan rata-rata mengecam tindakan pelajar-pelajar berkenaan yang membuli mangsa.

    Susulan kejadian itu, 10 pelajar lelaki melibatkan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk membantu siasatan.

    Siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

  • Guan Eng masuk IJN, bicara kes rasuah tetap diteruskan

    Guan Eng masuk IJN, bicara kes rasuah tetap diteruskan

    PERBICARAAN kes Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang tetap diteruskan hari ini walaupun tanpa kehadiran bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

    Peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak Ahad.

    “Tertuduh kini berada di IJN kerana membuat satu prosedur perubatan semalam dan beliau telah diberikan sijil cuti sakit bermula Ahad hingga esok, tetapi kami hari ini mempunyai tiga saksi formal, mohon perbicaraan diteruskan tanpa kehadirannya,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah merekodkan kekesalan pihaknya memandangkan tiga saksi formal dari Pulau Pinang telah hadir pada Selasa.

    “Apa yang menjadi kekesalan, tertuduh memilih untuk dimasukkan ke IJN pada 12 Disember sedangkan tertuduh mengetahui kesnya berjalan pada 13 Disember.

    “Saya berharap perkara sebegini tidak berlaku lagi, saya tidak mahu jadikan ia sebagai isu besar dan mohon tertuduh lebih bertanggungjawab,” katanya.

    Kes itu dijadualkan untuk sambung bicara semalam, tetapi dilapangkan ke hari ini.

    Hakim Azura Alwi membenarkan prosiding perbicaraan hari ini dan esok diteruskan tanpa kehadiran Guan Eng dengan mengguna pakai Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah.

    Pada prosiding hari ini, tiga saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan iaitu Datuk Ng Wee Kok, M. Maheswari dan S. Vijayalakchimi yang masing-masing merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan Guan Eng serta bekas Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang.

    Saksi pendakwaan ke-17 hingga 19 itu pada Selasa juga mengesahkan beberapa minit dan butir-butir mesyuarat berkaitan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

    Selain itu, saksi-saksi itu turut mengesahkan peranan mereka sebagai setiausaha untuk mencatat segala minit mesyuarat yang dibincangkan.

    Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

    Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura bersambung Rabu. – Bernama

  • Pengantin baharu ditahan bantu siasatan kes samun

    Pengantin baharu ditahan bantu siasatan kes samun

    SEORANG kelindan lori ditahan polis sebaik selesai akad nikah semalam bagi membantu siasatan kes samun menggunakan senjata dan berkumpulan pada September lalu.

    Suspek, 22, ditahan di Pejabat Agama Daerah Kemaman pukul 12 tengah hari.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah itu bersama-sama dua lagi rakan berusia 29 dan 33 tahun yang sudah ditahan dan didakwa di mahkamah pada 22 November lalu.

    “Pengantin baharu itu turut memiliki satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dua kes Seksyen 15 (1) ADB 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurut Hanyan, suspek dipercayai melakukan jenayah itu bersama-sama dua rakan pada pukul 4 petang di sebuah rumah sarang burung di Mukim Mak Lagam, Kemaman.

    Katanya, ketika kejadian, mangsa yang sedang bekerja di rumah sarang burung berkenaan mendakwa didatangi empat lelaki dengan seorang daripada mereka memiliki senjata api.

    Hanyan berkata, kumpulan penjenayah itu turut merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan melarikan dua guni berisi sarang burung.

    Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga 20 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

  • Sekolahku Sejahtera berlandaskan empat komponen utama- Dr. Radzi

    Sekolahku Sejahtera berlandaskan empat komponen utama- Dr. Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr. Radzi Jidin memberitahu, kerangka konsep Sekolahku Sejahtera, khusus bagi menangani gejala buli di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berlandaskan empat komponen utama.

    Jelas beliau, empat komponen itu melibatkan penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan. Pendekatan itu bertujuan memupuk dan menerapkan nilai-nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah, khususnya di kalangan murid-murid.

    Nilai-nilai itu katanya, akan diterap dan dididik oleh guru secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

    “Penerapan elemen selamat, sihat, seronok, empati, jati diri, adab sopan, harmoni dan rasional dalam kalangan warga sekolah akan dapat membentuk keperibadian murid yang menyedari bahawa buli perlu dibanteras sepenuhnya.

    “Dalam konteks pelaporan, KPM telah menyediakan saluran pelaporan bagi membolehkan pihak sekolah melaporkan kes buli kepada Kementerian.

    “KPM juga telah menyediakan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Perbuatan Buli Dalam Kalangan Murid di Sekolah dan Buku Panduan Pengurusan Menangani Buli Di Sekolah sebagai panduan kepada pihak sekolah,” katanya lagi.

    Pada masa ini, kata Radzi, KPM sedang merangka sistem pelaporan yang akan membolehkan warga sekolah termasuk murid dan ibu bapa mereka membuat aduan terus kepada pihak kementerian dan maklumat yang diterima akan dilindungi.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Ahmad, yang ingin mengetahui langkah proaktif kementerian untuk menangani kejadian buli yang semakin menjadi-jadi.

    Dalam pada itu, Dr. Radzi berkata, KPM sedang meneliti hukuman ke atas murid yang melakukan perbuatan buli dengan membuat penambahbaikan kepada mana-mana hukuman yang tersenarai dalam surat pekeliling ikhtisas.

    Selain itu beliau berkata, KPM juga akan memperkukuhkan komponen pemantauan, termasuk memperkasakan lagi jawatan warden di sekolah, selaras dengan tanggungjawab mereka.

    “KPM sedang meneliti hukuman ke atas murid yang melakukan perbuatan buli dengan membuat penambahbaikan kepada mana-mana hukuman yang tersenarai dalam SPI tersebut. Ini bagi memastikan hukuman yang dikenakan setimpal dan menjadi pendekatan pencegahan yang berkesan.

    “Perbincangan akan terus dilaksanakan dengan agensi pusat bagi memastikan jawatan warden sekolah diperkasakan selaras dengan tanggungjawab dan keperluan semasa mereka,” katanya lagi.

    Buat masa ini, Dr. Radzi berkata, sebagai tindakan segera, KPM akan mengarahkan semua sekolah melaksanakan program kesedaran bersama pegawai perhubungan sekolah dari Polis Diraja Malaysia tentang buli dalam minggu pertama sesi penggal ketiga pada Januari 2022.

    KPM katanya lagi, sentiasa berusaha untuk mencari pendekatan terbaik bagi membanteras gejala buli di sekolah.

  • Pemandu treler dihukum penjara 110 tahun sebabkan empat kematian dalam nahas ngeri

    Pemandu treler dihukum penjara 110 tahun sebabkan empat kematian dalam nahas ngeri

    SEORANG pemandu treler dijatuhi hukuman penjara 110 tahun semalam kerana menyebabkan kematian dalam nahas jalan raya di Colorado pada 2019.

    Rogel Aguilera-Mederos didapati bersalah pada Oktober atas lebih 20 pertuduhan, termasuk menyebabkan kematian dan cuai ketika memandu sehingga menyebabkan nahas ngeri itu.

    Aguilera-Mederos memberitahu penyiasat brek trak itu terputus dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak kejadian daripada berlaku.

    Nahas itu berlaku di Interstate 70, Lakewood, Colorado, di barat Denver, lapor United Press International (UPI).

    KCNC-TV di Denver melaporkan, menerusi rakaman video kemalangan menunjukkan Aguilera-Mederos boleh menggunakan laluan treler untuk mengelak melanggar kenderaan lain, tetapi tidak melakukannya.

    Treler dipandunya merempuh kenderaan yang sedang berhenti, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh empat orang – Doyle Harrison, William Bailey, Miguel Angel Lamas Arellano dan Stanley Politano.

    Hakim A. Bruce Jones berkata di bawah undang-undang negeri, beliau perlu menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan dan atas faktor itu hakim mengenakan hukuman minimum bagi setiap pertuduhan.

    Aguilera-Mederos memohon pengampunan sebelum hukuman dijatuhkan dan meminta maaf kepada keluarga mangsa kerana ia adalah kemalangan dan bukan disengajakan. – Bernama

  • Juruteknik maut terkena renjatan ketika selenggara lampu limpah

    Juruteknik maut terkena renjatan ketika selenggara lampu limpah

    SUSULAN kematian seorang juruteknik ketika menyelenggara lampu limpah di taman tema air popular di Perak, Ahad lalu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan notis larangan meneruskan kerja penyelenggaraan di satu bahagian dalam taman tema air itu.

    Pengarah JKKP Perak, Supian Alias berkata, siasatan pihaknya mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira 12.45 tengah hari itu membabitkan lelaki tempatan berusia 25 tahun.

    “JKKP menghantar sepasukan pegawai penyiasat menjalankan siasatan terhadap kemalangan itu. Hasil siasatan awal, mendapati mangsa telah bekerja selama empat tahun sebagai juruteknik di taman teman air tersebut.

    “Semasa kejadian mangsa sedang menyelenggara lampu limpah berhampiran satu kawasan kolam mandi di taman tema air tersebut yang sering tidak berfungsi. Mangsa ditemui terjatuh ke dalam air dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh rakan sekerjanya.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 1.48 tengah hari pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Supian berkata, susulan siasatan awal itu, JKKP mengeluarkan arahan ‘larangan kacau ganggu’ sehingga tindakan penambahbaikan diambil majikan dan satu notis larangan meneruskan penyelenggaraan telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja penyelenggaraan peralatan elektrik.

    Menurutnya, JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

    “Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

    Beliau berkata, kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).  

  • Hakim tolak kes 1MBD dibicara secara hibrid

    Hakim tolak kes 1MBD dibicara secara hibrid

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk kes Datuk Seri Najib Razak melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dijalankan secara hibrid.

    Harian Metro melaporkan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kes itu boleh diadakan secara hibrid pada masa hadapan.

    “Berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk perbicaraan dikendalikan secara hibrid, selepas meneliti hujahan lisan dan memikirkan mengenai perkara ini, buat masa ini mahkamah menolak perkara itu.

    “Bagaimanapun, mahkamah tidak menolak perkara itu (perbicaraan secara hibrid) dijalankan pada masa hadapan,” katanya.

    Mahkamah kemudiannya melapangkan perbicaraan itu sehingga Khamis ini, berikutan Najib dan peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dihalang dari memasuki kompleks mahkamah memandangkan status MySejahtera masing-masing diletakkan sebagai ‘kontak kasual’.

    Terdahulu, peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Najib, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dan Muhammad Shafee tidak boleh memasuki bangunan mahkamah.

    “Status anak guam menunjukkan beliau di bawah kategori ‘kontak kasual’ dan berada di tempat letak kereta serta tidak dibenarkan masuk.

    “Kedua-dua mereka mempunyai kontak dengan anak lelaki Muhammad Shafee iaitu Muhammad Farhan yang positif Covid-19 pada 6 Disember lalu dan tempoh kuarantin selama 10 hari akan berakhir esok (Rabu),” katanya.

    Perbicaraan kes itu pada Khamis akan diteruskan dengan soal balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir yang merupakan saksi ke-12 dan ke -13 pendakwaan.

    Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon supaya perbicaraan kes itu dijalankan secara hibrid berikutan perubahan sebanyak dua kali pada status MySejahtera bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hanya membenarkan individu berstatus ‘risiko rendah’ atau berwarna biru dalam aplikasi MySejahtera untuk memasuki bangunan berkenaan.

  • Pegawai polis sanggup tempuh 7 jam perjalanan untuk mengundi

    Pegawai polis sanggup tempuh 7 jam perjalanan untuk mengundi

    SEORANG pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sanggup menempuh perjalanan tujuh jam dari Miri ke Kapit melaksanakan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 hari ini.

    Asisten Superintendan Makkaranu Beddu membuang undi awal untuk PRN itu, mengundi untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram.

    Beliau berkata, biarpun keadaan cuaca yang tidak menentu di sepanjang perjalanan, namun itu tidak menghalang misinya untuk mengundi.

    “Alhamdullillah selesai kita mengundi awal pada pagi ini sebenarnya saya telah bertugas di IPD Miri dan telah tiba di Kapit semalam demi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

    “Ini adalah tanggungjawab dan saya sanggup datang untuk menjalani proses undi awal pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) kali ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi, hari ini.

    Selain itu, beliau menggesa agar anggota dan pegawai lain untuk sama-sama keluar mengundi sebelum ditamatkan pukul 5 petang ini.

    “Kepada mereka yang mendaftar sebagai pengundi awal datanglah beramai-ramai dan mainkan peranan anda sebagai pengundi,” katanya.

    Proses pengundian awal di IPD Kapit melibatkan 96 pegawai dan anggota serta isteri yang mengundi untuk DUN berkenaan.

    Ia turut dikawal 20 petugas dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melancarkan proses pengundian sepanjang hari ini.

    Untuk rekod, 23,043 pengundi akan mengundi awal membabitkan 69 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRN-12 Sarawak.

    Ia membabitkan 10,458 anggota dan pegawai polis serta pasangan manakala bakinya membabitkan anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

  • Mahkamah arah bekas menteri Sabah bela diri tuduhan guna dokumen palsu

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur mengarahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony membela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lepas.

    Malaysiakini hari ini melaporkan, keputusan itu disampaikan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter.

    Naib presiden Warisan itu didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mengikut pertuduhan, Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

    Peter juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.